Khamis, 7 Julai 2011

KITA SAMA MANUSIA ...TAK KAN TAK SILAP...YANG SILAP SAJA NAK TEGUR....YANG DAH BETUL TERUSKAN...KAN ELOK BEGITU...YANG SEMPURNA ALLAH SAJA...

Siasat secara telus isu rampas senjata
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyelar tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan rampasan sejumlah besar senjata dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Senjata yang ditemui semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur semalam termasuk 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T berlogo Bersih 2.0.

Ketua DPPNS, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, adalah tidak masuk akal telahan itu dibuat hanya berdasarkan penemuan baju T bersama senjata tersebut.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meyangkal keras segala tuduhan tersebut dan meminta supaya pihak polis tidak terburu-buru di dalam menentukan kesalahan ke atas pihak tertentu tanpa ada pembuktian yang benar-benar kukuh dan munasabah.

Sambil menyifatkan ianya satu lakonan terbaru pihak plis untuk memburuk-burukkan Bersih, baju t itu boleh sahaja dicetak oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan seharusnya disiasat dengan telus dan teliti.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup gusar sekiranya rampasan ini merupakan satu agenda ataupun lakonan baru pihak polis untuk terus menjustifikasikan tindakan mereka menangkap dan menahan pemimpin-pemimpin gerakan Bersih 2.0," katanya.

"DPPNS turut menyifatkan tuduhan pihak polis bahawa Bersih dipengaruhi fahaman komunis sebagai berniat jahat dan menakut-nakutkan rakyat agar tidak hadir ke perhimpunan tersebut.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap supaya pihak polis dapat melakukan penyiasatan terhadap isu ini dengan secara telus dan professional tanpa bias serta campurtangan pihak-pihak yang lain," katanya.

Semalam, polis mendakwa merampas sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang dan mengaitkannya dengan perhimpunan, Sabtu ini.

Hari ini pula Tun Hisan berkata, sekatan jalan raya dilakukan di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan kesesakan teruk bertujuan menghalang elemen yang tidak diingini daripada 'menyeludup' senjata ke ibu negara.


Pemuda PAS desak SPR bersihkan pengundi berganda
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 6 Julai: Setelah berjaya mengesan lebih 17,000 pengundi bertindih dalam senarai daftar pemilih di Selangor, Pemuda PAS yakin, perkara sama berlaku di seluruh negara.

Sehubungan itu, mereka mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar membersihkan semua nama berganda dan bertindih itu bagi menjamin bersihnya perjalanan sistem pilihan raya dalam negara ini.

Pengarah Jentera Pilihan Rayanya, Mohd Sany Hamzan berkata, petugas berkaitan telah dan sedang meneliti perkembangan negatif itu dalam jarak dekat dan akan membongkar isu ini secara berperingkat.

Beliau yang ditemui selepas sidang media berkaitan hal sama petang semalam di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di Pusat Dagangan Shah Alam, dekat sini.

Sany tidak menolak kemungkinan mengadakan satu lagi kempen ‘mensucikan’ segala kebobrokan yang terkandung dalam daftar pemilih ke seluruh negara sebelum PRU13.

Jika usaha melalui Bersih 2.0 yang mendesak lapan tuntutan mengenai pilihan raya tidak ditunaikan, tegasnya, pihaknya akan mengadakan kempen Suci pula.

Menurutnya, sehingga kini mereka telah mengesan beberapa perkara yang sangat meragu dan mendukacitakan kerana terdapat unsur penipuan dan boleh dikategorikan sebagai jenayah.

Antaranya bagaimana seseorang itu dalam jumlah beribu boleh didaftarkan di dua tempat mengundi berlainan, namun dengan kebijaksanaan petugas PAS, usaha penipuan ini terbongkar.

“Mereka dapat dikesan kerana meskipun ada di antara mereka menukar nama seperti Husni kepada Hosni atau menukar angka akhir di kad pengenalan baru tapi nombor kad lama mereka tetap sama.

“Jadi di mana sahaja mereka didaftarkan, nombor kad pengenalan lama mereka masih boleh dikesan dan di situlah tempat mengundi mereka dapat dikesan yang ditempatkan di dua tiga tempat berasingan.

“Kami percaya masih banyak lagi perkara yang boleh dikesan dalam masa terdekat ini membabitkan pihak yang telah dikenalpasti,” tegasnya.

Mereka akan membuat laporan tentang perkara ini, ujarnya, kepada pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi berkaitan.

Sementara itu, Peguam Pemuda PAS Malaysia, Zainal Said berkata, mereka sedang meneliti perkembangan terkini dan akan bertindak mengikut saluran undang-undang negara dan jika perlu ke peringkat antara bangsa.


Bersih cadang berhimpun di Stadium Merdeka
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bercadang untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di Stadium Merdeka.

Pemilihan yang dibuat ke atas Stadium Merdeka berdasarkan kedudukan stadium itu di tengah pusat bandar dan mudah didatangi orang ramai dari seluruh negara.

Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan menjelaskan, penyerahan memorandum yang mengandungi 8 tuntutan Bersih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak akan dilakukan dengan perarakan.

Sebaliknya, ia hanya akan dilakukan oleh tidak lebih 10 orang wakil Bersih yang akan berkunjung ke Istana Negara dari tempat perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka.

"Penyerahan memorandum itu tidak membabitkan seorangpun pemimpin parti-parti politik dari Pakatan Rakyat. Mereka yang terbabit adalah dari Bersih atau NGO sahaja dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau menjelaskan, Bersih 2.0 menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda menerima mengadap wakil Bersih yang terdiri daripada beliau, Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin, semalam.

Bersih 2.0 menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Tuanku di atas keprihatinan terhadap aspirasi rakyat untuk menikmati demokrasi dan hak asasi seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pada pertemuan itu, rombongan Bersih 2.0 telah mempersembahkan kepada Tuanku di antara lain kenyataan dan pendirian Bersih 2.0.

"Pertama, Bersih 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di Stadium dan berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan lancar, manakala wakil Bersih 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kedua, kerajaan menunjukkan good faith dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah EO dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong-penyokong Bersih 2.0.

"Ketiga, menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk pembaikan sistem dan proses pilihanraya," katanya.

Tuntutan Bersih 2.0

Bersih 2.0 adalah gabungan yang sah kerana disertai oleh pertubuhan-pertubuhan dan entiti yang berdaftar.

Menurut Ambiga, Bersih 2.0 menuntut satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan di dalam dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihanraya yang sedia ada.

"Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan (stakeholders)," katanya.

Lapan tuntutan jangka pendek Bersih 2.0 dipenuhi sebelum PRU Ke-13 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menurutnya, semua yang telah ditahan berkaitan sokongan kepada Bersih 2.0 hendaklah dibebaskan termasuk enam pemimpin PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) mestilah dibebaskan serta merta atau dihadapkan ke mahkamah.

Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan Bersih 2.0 ditarik balik atau digugurkan dan mereka yang masih ditahan dibebaskan tanpa syarat.

Katanya, Bersih 2.0 turut menuntut agar semua gangguan (harassment), ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong-penyokong Bersih 2.0 dihentikan dan ini bermakna rakyat dibenarkan memakai baju kuning, usaha-usaha menjayakan perhimpunan Bersih 2.0 di stadium tidak dihalang.

"Pihak polis, DBKL atau pihak-pihak lain tidak memberikan apa-apa halangan kepada semua rakyat yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka pada pukul 2 hingga 4 petang 9 Julai (Sabtu) ini.

"Bersih 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar," jelasnya.

Beliau juga memberitahu, Bersih 2.0 sedang berusaha untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan segera untuk membincangkan semua tuntutan itu dan sebarang perkara berkaitan Bersih 2.0.


PAS cadang Najib hadir himpunan Bersih 2.0
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 6 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak disaran hadir ke Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Dengan kehadirannya, sudah pasti beliau dapat mendengar sendiri semua ucapan pimpinan Bersih dan jemputan mereka terutama huraian lapan tuntutan berkaitan pilihan raya bersih dan telus dalam negara.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) bersetuju penuh dengan saranan agar Najib hadir sendiri di Stadium Merdeka, Sabtu ini untuk mendengar dengan lebih dekat lagi isu yang dibangkitkan Bersih mewakili lebih 60 NGO.

"Ya elok sangat jika perdana menteri dapat hadir dalam Himpunan Bersih ini," jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Namun begitu Najib, ujarnya, tidak dijemput untuk merasmikan Himpunan Aman Bersih tetapi beliau boleh hadir sebagai penonton biasa sahaja seperti orang lain juga.

Jika rakyat awam terpaksa berjalan, membawa peralatan berwarna kuning dan juga berbaju kuning, Najib digalakkan juga berbuat demikian, ujarnya lagi.

Bersih pada asalnya akan diadakan dalam perarakan raksasa dari tiga lokasi menuju ke Istana Negara untuk diserahkan memo berkaitan oleh pimpinan Bersih.

Namun selepas lebih 2,000 lapuran polis dibuat terhadap penganjur oleh puak-puak pengampu BN dan kumpulan 'carma' serta provokasi media menyebabkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong termasuk mengeluarkan titah baginda.

Setelah tiga wakil Bersih menghadap baginda dan mendapat nasihat Istana, lokasi himpunan telah ditukar ke Stadium Merdeka.

Kini hanya menanti masa dan ketika sahaja, himpunan jutaan rakyat akan berlaku secara aman tenteram dengan mendapat perkenan Agong.

Namun sehingga kini, Bersih dilapurkan sebagai belum halal meskipun dalam titah Agong langsung tidak terdapat kalimah haram terhadap Bersih.

Ekoran titah Agong, pimpinan Bersih mendesak pihak berkuasa akan memberikan laluan mudah kepada semua peserta Bersih untuk menjayakannya.

Desakan itu termasuklah membebaskan mereka yang direman dan melupuskan semua tuduhan terhadap orang awam dan wakil rakyat terlibat.


Bersih: Hishammuddin canggah Najib
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 6 Julai: Kelmarin Perdana Menteri kata kerajaan sanggup sediakan stadium untuk Bersih 2.0 berkumpul, Ahad lalu Yang di-Pertuan Agong menitahkan kerajaan melaksana segala amanah secara adil dan bijaksana.

Anehnya hari ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilapor berkata, tangkapan ke atas aktiviti berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 akan berjalan seperti biasa.

Persoalannya siapa lebih berkuasa di antara Menteri Dalam Negeri (KDN) atau Perdana Menteri.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri tidak memperlihatkan semangat seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

”Pemuda PAS menjunjung kasih di atas titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ampuni perkenan menerima mengadap wakil Bersih 2.0 semalam.

”Jelas perjuangan Bersih sudah mendapat perhatian sewajarnya ketua tertinggi negara. Oleh itu Perdana Menteri yang menjalankan tugas bagi pihak tuanku perlu menterjemahkan titah baginda secara adil,” katanya di sini.

Semalam Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga diterima mengadap ekoran kenyataan Yang di-Pertuan Agong menitahkan hendaklah dipastikan tuntutan demontrasi tidak membawa kemusnahan kepada negara.

Sehari selepas itu Datuk Seri Najib Razak pula menyatakan kerajaan sanggup menyediakan stadium untuk Bersih 2.0 berkumpul daripada pagi sehingga malam.

Namun hari ini Menteri Dalam Negeri pula menegaskan tangkapan ke atas aktiviti berkaitan perhimpunan Bersih 2.0 akan diteruskan.

Abdul Latif berkata, janji Perdana Menteri bersedia membenarkan himpunan Bersih diadakan di stadium perlu dilaksanakan tanpa berdolak dalih lagi.

Katanya, jangan pula meletakkan sebarang syarat bagi menggagalkan himpunan itu kerana ia dianggap boleh menimbul rasa tidak senang di kalangan peserta Bersih 2.0.

”Pemuda PAS juga menggesa pihak berkuasa membebaskan segera semua tahanan Bersih dan menggugurkan dakwaan terhadap mereka sebagai merealisasikan persafahaman yang telah dicapai.

”Kami juga berharap tiada lagi sebarang bentuk provokasi dan penahanan baru hanya kerana memakai baju kuning.

”Pihak keselamatan juga tidak wajar lagi membuat sekatan jalanraya sehingga menghalang peserta Bersih hadir pada perhimpunan di stadium 9 Julai ini,” ujarnya.

Menurutnya yang juga Adun Mengkebang sewajarnya titah Tuanku diambil perhatian serius kerajaan khasnya Suruhanjaya Pilihan Raya bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 lebih bersih, adil dan telus.

Ikat jamin RM4,000

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan seorang peniaga, Zakaria Cik Wail, yang ditahan ketika menjual kemeja T di Dataran Ilmu Jumaat lalu hari ini dibebas dengan ikat jamin sebanyak RM4,000.

Sebutan kesnya akan dibuat pada 9 Ogos depan di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Bagaimanapun pihak pendakwa menukar pertuduhan ke atas Zakaria daripada Seksyen 4 (1) (c) tuduhan menghasut kepada Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana menjual barangan pertubuhan haram (Bersih).

Beliau dibawa ke mahkamah di sini pagi tadi dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat. Turut berada di mahkamah anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri dan ahli keluarga Zakaria.

Kelmarin seorang lagi pemuda, Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin didakwa di Mahkamah Majistret Bachok atas tuduhan serupa.

Pada Ahad lalu beliau ditahan kerana mempamerkan sehelai Baju Bersih 2.0 di sebuah kedai di Permatang Piah, Mahligai. Anggota jawatankuasa Pemuda PAS Bachok itu juga diikat jamin RM4,000.


Rakyat tidak harus berundur tuntutan Bersih
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Senator Mumtaz Md Nawi menyifatkan Bersih 2.0 menempa satu kejayaan awal apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan ruang untuk mereka mengadakan perhimpunan di stadium pada 9 Julai ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada sekretariat Bersih 2.0 yang bersifat terbuka untuk sebarang rundingan, Mumtaz berkata, Bersih 2.0 menunjukkan pendirian yang jelas iaitu ingin memastikan lapan tuntutan mereka didengar untuk diambil tindakan.

"Ini menunjukkan sikap terbuka pihak Bersih 2.0 nak menyelesaikan isu. Ia bukan masalah nak menunjukkan bantahan sahaja.

"Kalau memang tujuan mereka nak berjalan, mereka akan teruskan di jalan raya tapi kerana tujuan untuk menyelesaikan masalah.

"Ini satu tindakan matang dan rasional pihak Bersih 2.0 dalam menghormati Yang di-Pertuan Agong, bersikap terbuka, dan sekurang-kurangnya sudah nampak satu kejayaan apabila diberi satu ruang untuk dengar tuntutannya secara terbuka," kata beliau ketika ditemui di lobi Dewan Negara hari ini.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu juga berkata, sikap Bersih 2.0 ternyata berbeza dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sudah menutup pintu rundingan dan menafikan segala dakwaan ketidaktelusan yang berlaku.

"Kenyataan SPR seolah-olah mereka tidak akan meminda apa-apa pun. Prosedur SPR sepatutnya boleh dipertingkatkan.

"Jadi keengganan mereka untuk berikan satu ruang untuk perbincangan menyebabkan wujudnya satu gabungan yang dianggotai 80 NGO ini.

"80 NGO nak kemukakan tuntutan pun mereka seolah-olah menutup pintu perbincangan. Inilah yang tak selesai masalah," katanya.

Justeru katanya, rakyat tidak harus berundur sebaliknya turun beramai-ramai menyatakan lapan tuntutan tersebut.

"Kita mahu kuantiti (peserta himpunan) yang ramai untuk menunjukkan bahawa ada ramai yang nampak SPR tidak telus dan kita tidak boleh berundur

"Kita ada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong. Bila Yang di-Pertuan Agong beri arahan begitu (berhimpunan dalam stadium) kita akur.

"Akurlah kerana tujuan kita bukan hanya nak menujukkan kuantiti yang ramai yang tidak berpuas hati dan mahukan perubahan tetapi yang penting kualiti dan hasilnya," katanya.


Himpunan Bersih untuk nasihati pemerintah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Himpunan aman Bersih yang menurut cadangannya akan diadakan dengan kerjasama pihak keselamatan dan pihak berkuasa di Stadium Merdeka pada 9 Julai nanti merupakan salah satu usaha menyampaikan nasihat kepada pemerintah dan rakyat yang diperintah secara baik.

Hal ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w. riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat,” iaitu “(Nasihat) bagi Allah, bagi Kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi pemerintah orang-orang Islam dan rakyat mereka,” demikian menurut Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr. Khairuddin Razali (gambar).

Menurut beliau lagi, dalam konteks Bersih, nasihat adalah bertujuan agar pilihan raya yang menjadi tempat rakyat memilih teraju pemerintahan dijalankan oleh pihak berkenaan secara lebih telus dan adil dalam semua sudut dan bagi semua pihak.

Katanya, ketelusan dan keadilan akan menjurus kepada terpilihnya mereka yang beramanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah pemerintahan negara.

“Kita dalam masa yang sama menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak negara dan payung rakyat jelata terhadap hasrat sebahagian rakyat mendapatkan hak mereka menyatakan pandangan dan nasihat dengan cara aman dan dibenarkan oleh perlembagaan negara,” ujarnya.

Menurutnya, keamanan dan kemakmuran negara serta perpaduan antara rakyat akan sentiasa utuh sekiranya kerjasama semua pihak sama ada pihak berkuasa yang memerintah dan rakyat yang diperintah dapat digembleng atas dasar kebajikan dan taqwa.

“Insya Allah ini sepertimana yang dianjurkan oleh al-Quran menerusi firman-Nya dalam surah al-Maa`idah, ayat 2 bermaksud “dan bekerjasamalah kamu atas dasar kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: