Jumaat, 8 Julai 2011

KESUNGGUHAN ITU SANGAT PENTING....DISAMPING DOA SERTA TAWAKAL....SEMUANYA DALAM KETENTUAN ALLAH...ALLAH MAHA BESAR...

Bersih : "Kita yakin pintu stadium akan dibuka untuk kita"
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Julai: Kurang 24 jam menjelang Himpunan Bersih 2.0, penganjurnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) terus menerima tekanan dari pihak berkuasa termasuk permohonan permit berhimpun di Stadium Merdeka, akhirnya ditolak.

Biarpun berdepan halangan itu, Bersih yang disokong parti-parti politik dan 80 NGO tetap akan meneruskan hasratnya seperti yang diperuntukkan perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, mereka mengajak rakyat untuk berhimpun di luar Stadium Merdeka, jam 2 petang esok.

"Kepimpinan Bersih 2.0 mengulangi komitmen akan berada di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang esok. Kita akan bertemu di tempat letak kereta, dan percaya bahawa pintu akan dibuka untuk kita," kata mereka.

Dalam kenyataan itu mereka turut menzahirkan rasa kecewa dengan layanan pihak kerajaan dan pihak berkuasa terhadap keihlasan mereka.

Sedangkan kata mereka, hasrat perhimpunan itu sangat murni iaitu untuk menuntut daftar pemilih dibersihkan, sistem pengundian pos diperbaharui, bahawa dakwat kekal akan digunakan, tempoh minimum 21 hari kempen yang ditabal, akses yang bebas dan adil kepada media untuk semua yang diperuntukkan , institusi awam diperkukuhkan, dan rasuah serta politik kotor dihentikan.

"Pihak berkuasa telah meletakkan halangan demi halangan, padahal hanya perlu memberikan kerjasama yang ikhlas untuk memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat.

"Setelah berdepan pelawaan stadium yang tidak ikhlas, dinafikan permit, penangkapan, penahanan dan banyak lagi, kami merasakan bahawa kami telah melakukan segala yang termampu untuk menunjukkan keikhlasan dan niat baik kami dalam perundingan dengan kerajaan.

"Tetapi kita hanya dibalas dengan keputusan sebaliknya dan halangan besar," kata mereka lagi.

Tegas mereka, tidak ada sebarang sekatan yang akan memintas usaha ke arah keamanan dan keadilan apatah lagi demi menegakkan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad Bersih untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka esok.

“Ini adalah saat penting dalam sejarah dan kami yakin rakyat akan menyambut seruan untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang membentuk Malaysia. Bersama-sama kita berjuang untuk mewariskan kepada anak-anak kita sebuah negara yang adil, demokratik, dan penuh dalam kasih sayang untuk satu sama lain,” kata kenyataan itu.

46 peguam PAS mula bertugas malam ini
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: 46 peguam PAS akan mula bertugas jam 10 malam ini bagi memberikan khidmat kepada peserta perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara esok.

Mereka memenuhi pejabat Agung PAS bagi mengikuti taklimat tugas mereka dan menerima pakaian khas yang akan mereka gunakan sepanjang menjalankan tugas itu.

(Lima dari 46 peguam PAS yang akan bertugas mulai malam ini)

Pasukan yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS, Haji Asmuni Awi itu akan berada di semua kawasan yang dijangka akan ada orang yang berhimpun sempena perhimpunan itu.

Di samping mempunyai nombor hotline, mereka juga akan berada di stesyen-stesyen yang ditetapkan mengikut giliran tugasan mereka.

46 peguam ini tidak termasuk 120 peguam yang disediakan oleh Majlis Peguam untuk menyeliakan perhimpunan Bersih 2.0 ini.

Selain mengiringi pimpinan PAS, para peguam ini akan berada di pusat-pusat tahanan sementara yang dijangka akan dibuka oleh polis untuk menahan peserta perhimpunan kali ini.

Mereka akan bertugas dari jam 8 pagi esok hinggalah jam 2 pagi ekoran tindakan polis mengetatkan sekatan terhadap perhimpunan ini.

Antaranya mendapat perintah dari mahkamah terhadap 91 pemimpin Bersih, PAS, PKR, DAP, Pemuda Umno dan Perkasa.

Perintah larangan itu diperolehi polis Kuala Lumpur daripada majistret untuk menghalang 91 pemimpin daripada tiga kumpulan utama yang merancang untuk berhimpun pada 9 Julai.

Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut – daripada PERKASA, BERSIH 2.0 dan PATRIOT supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.

Timbalan ketua polis Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Amar Singh Ishar Singh (kanan, tengah) berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

(Salah seorang peguam PAS, Mohd Fikah Sanusi dengan pakaian rasmi yang akan dipakai oleh mereka esok)

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan dari perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia," katanya yang membacakan satu kenyataan.

Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan BERSIH 2.0 termasuk pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.

Seramai 14 orang daripada kumpulan PERKASA pula termasuk presidennya Datuk Ibrahim Ali serta barisan pemimpin tertingginya – Datuk Ab Rahman Ab Bakar dan Syed Hassan Syed Ali.

Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang seramai 11 orang pemimpin pemuda Umno yang mendukung Perhimpunan PATRIOT termasuk ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.


Tiada ulasan: