Sabtu, 9 Julai 2011

JIKA KITA MENJAGA KEPENTINGAN ISLAM...ORANG BUAT MUNGKAR...ZINA..BUANG ANAK...ROGOL..ROMPAK DLL...BEGINI TAHAPNYA..KAN ELOK....

Macamlah negara di ambang perang
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Mula-mula Umno Barisan Nasional (UBN) berkata peniaga akan rugi dan jalan akan jadi jam dan sesak jika perhimpunan jalan diadakan di Kuala Lumpur.

“Kini polis menutup puluhan jalan, apakah ia tidak menyebabkan sesak?

“Apakah dengan tutup semua jalan, larangan masuk KL tidak merugikan peniaga?” soal Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Suasana gila yang diwujudkan sekarang akibat tindakan kerajaan dan juga pihak polis yang tidak konsisten dan membingungkan, kata Tuan Ibrahim menzahirkan betapa UBN jadi serba tak kena.

“Mula-mula dulu serang habis-habisan Bersih 2.0 dengan melemparkan pelbagai tuduhan liar sehingga tahap mereka dituduh pengkhianat, mengganggu, pemusnah negara dan lain-lain.

“Kemudiannya, selepas Agong bertitah, Perdana Menteri sendiri memberikan cadangan agar perhimpunan aman itu diadakan di stadium, pilih mana-mana stadium, bertempiklah sampai pagi pun kita tak halang.

“Sekarang apabila Bersih 2.0 memilih stadium, nada penipu mula zahir – Bersih 2.0 terus dituduh sebagai pertubuhan haram, tak ada permit, melanggar undang-undang lalu dikeluarkan satu perintah mahkamah senarai semua pimpinan yang dilarang memasuki Kuala Lumpur, dan mula menyekat kereta tertentu.

“Inilah tanda Umno Barisan Nasional semakin gila, gila yang tiada lagi ubat,” kata beliau dengan sinis.

Rakyat juga tertawa dengan gelagat UBN terhadap Bersih 2.0, yang disifatkan Tuan Ibrahim sebagai tanda jelas bahawa parti pemerintah tersebut berada dalam kini keadaan betul-betul panik bagaikan bakal dimusnahkan dengan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Belum pernah dalam sejarah negara, ada rakyat sendiri tidak dibenar masuk dan bergerak bebas ke ibu kota dengan puluhan jalan ditutup, sekatan jalan raya di seluruh negara, stesen bas dipindah, permit bas dibeku, apa-apa yang kuning dilarang dan lebih kronik lagi semua polis, FRU dan tentera diarahkan untuk standby …’macamlah’ negara berada di ambang perang,” kata beliau.

Selain menutup puluhan jalanan, polis semalam turut mendapat perintah mahkamah untuk menghalang hampir semua pemimpin tertinggi PAS termasuk dalam 91 individu untuk berada di ibu negara hari ini untuk perhimpunan aman di Stadium Negara.

Putrajaya juga bertindak untuk menutup Puduraya untuk sementara waktu mulai tengah malam semalam dan dipindahkan ke lokasi lain dipercayai untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar memaklumkan pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen sementara kepada bas kilang dan sekolah ke Kuala Lumpur.

Justeru itu, bas-bas ke utara dan timur akan beroperasi di perhentian Jalan Duta manakala bas-bas ke selatan pula akan bergerak dari Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan.

Selain Hentian Puduraya, warga Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan bas di Hentian Jalan Duta, Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan Hentian Pekeliling.

Dengan ketakutan melampau yang ditunjukkan muktahir ini, Tuan Ibrahim berkata UBN kini boleh diibaratkan sebagai orang sakit tenat yang baru sahaja dimaklumkan oleh doktor yang hayatnya hanya ada beberapa bulan saja lagi.

“Bayangkan 'pesakit' hanya menghitung saat dengan penuh ketakutan dan kengerian - itulah realiti kepada reaksi Umno Barisan Nasional terutamanya Umno hari ini,” selar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, sambil menyeru rakyat untuk ‘membungkus’ UBN yang gila ini pada Pilihanraya Umum ke 13 supaya ia tidak meracau lagi.

Bubar sahaja Suhakam jika suaranya tidak dihormati
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pihak polis dan kerajaan Malaysia menghormati pandangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai badan bebas yang memantau hak-hak asasi di Malaysia.

“Jika tidak, DPPWP meminta kerajaan memansuhkan sahaja Suhakam kerana suara mereka tidak lagi didengari,” kata Timbalan Ketua DPPWP, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam kenyataannya berkata kebebasan berhimpun secara aman adalah terkandung dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Beliau juga mengingatkan bahawa kebebasan menyuarakan pandangan dan pendapat pula terkandung dalam Perkara 19 UDHR.

Mohamad Suhaimi berkata, DPPWP mengingatkan kerajaan bahawa Himpunan Bersih 2.0 adalah himpunan aman dan dijamin oleh pemimpin-pemimpinnya.

Tambahnya, tidak ada agenda tersirat di sebalik himpunan itu melainkan untuk menyambut semangat kebebasan berhimpun dan bersuara seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Katanya, dalam menjunjung titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Bersih 2.0 sanggup berkompromi untuk mengadakan himpunan di Stadium Merdeka.

Oleh itu, ujarnya DPPWP mendesak kerajaan dan pihak polis agar menghormati titah ucapan DYMM serta pandangan Suhakam agar membenarkan himpunan diadakan secara aman di Stadium Merdeka petang ini.

DPPWP sanggup memberi kerjasama untuk memastikan keselamatan orang awam, peniaga, serta lalulintas berjalan lancar pada masa tersebut.

DPPWP juga, katanya mendesak kerajaan agar membebaskan semua tahanan Bersih 2.0 dan tidak melakukan tangkapan lagi bagi menghormati peserta Himpunan Bersih yang bertindak mengikut lunas Perlembagaan.

Selain itu, tambahnya DPPWP mendesak kerajaan agar mendakwa semua tahanan yang ditangkap di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 dibebaskan atau didakwa di mahkamah secepat mungkin.


Polis guna ayah halang Nasrudin sertai Bersih
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Provokasi yang dilakukan oleh pihak polis ternyata makin melampau apabila ayah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) turut dijadikan alat untuk menghalang Ketua DPPP menyertai himpunan Bersih 2.0 esok.

Ketua DPPP, Nasruddin Hassan Tantawi ketika mendedahkan perkara itu berkata, ayahnya ditahan oleh pihak polis selama beberapa jam bagi tujuan itu.

Menurut beliau, ayahnya telah ditahan oleh polis yang datang mengambilnya di rumahnya sekitar jam 9 pagi tadi, tetapi dibebaskan sebelum solat Jumaat.

Katanya, ketika di balai polis, ayahnya diminta menasihatkaan beliau agar tidak menyertai himpinan aman Bersih 2.0 esok kerana perhimpunan itu tidak dibenarkan oleh pihak polis.

"Ayah saya ditahan oleh pihak polis tanpa sebarang kesalahan, tetapi hanya diminta menasihatkan saya agar tak menyertai himpunan Bersih 2.0 esok.

"Amat lucu apa yang dilakukan oleh pihak polis itu. Ayah saya yang diminta menasihati saya agar tak menyertai himpunan Bersih 2.0, pada hal apa salahnya himpunan Bersih 2.0 itu dari sisi undang-undang?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di pekarangan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, malam ini.

Selain kejadian itu, menurut beliau, terdapat tindakan provokasi terkini lain lagi yang dilakukan oleh pihak terhadap beliau untuk menghalang beliau menyertai perjimpunan itu esok.

"Ini berlaku secara langsung ke atas saya ketilka saya melalui satu sekatan jalan raya yang dibuat oleh pihak polis ketika saya hendak ke sini tadi.

"Pihak polis menjelaskan kepada saya yang saya termasuk dalam kumpulan 91 nama yang dihalang memasuki pusat bandar Kuala Lumpur pada 9 Julai. Oleh itu, saya diminta tidak ke Kuala Lumpur malam ini untuk ke sini.

"Bagaimanapun, larangan itu tetap tak saya pedulikan. Malah saya jelaskan kepada pihak polis yang saya tak dibenarkan masuk ke Kuala Lumpur pada 9 Julai. Sekarang baru 8 Julai. Jadi tak ada halanganlah bagi saya untuk ke Kuala Lumpur malam ini," katanya sambil disambut laungan Allahu akbar daripada ribuan hadirin.

Sungguhpun begitu, katanya, beliau tetap juga mengalami kerumitan untuk sampai ke Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad pada malam ini akibat sekatan itu, sehingga menyebabkan beliau terpaksa menggunakan 'jalan tikus' dan memasuki perkampungan Orang Asli di gombak.

"Kesemua kisah yang berlaku itu, walaupun memperlihatkan tindakan keterlaluan pihak polis, tetapi turut menjadi lucu sehingga menyebabkan sesiapa saja boleh tertawa mendengarnya," katanya.

Timbalannya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang turut hadir membaca doa pada akhir majlis.


Perintah sekatan bukti ketakutan BN - DAP
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: DAP menyifatkan tindakan mengeluarkan perintah sekatan ke atas 91 pemimpin masuk ke Kuala Lumpur esok sebagai tidak masuk akal dan membuktikan ketakutan menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan pihak polis.

Sambil mengulangi pendirian DAP yang menyokong perhimpunan aman Bersih dan mengutuk sebarang bentuk keganasan, setiausahanya, Lim Guan Eng membawa falsafah Yunani Plato bahawa “kita boleh memaafkan kanak-kanak yang ketakutan ketika gelap; tragedi hidup yang sebenar ialah apabila manusia takutkan cahaya”.

Beliau berkata, di Malaysia sudah muncul pemimpin yang memegang jawatan tinggi takut untuk berhadapan dengan rakyat yang memperjuangkan hak asasi mereka untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung sistem pilihan raya.

"Kami bersetuju bahawa konflik dan demonstrasi ganas harus dielakkan tetapi dari peringkat awal, perhimpunan Bersih 2.0 adalah merupakan perhimpunan aman. Sememangnya tidak ada unsur keganasan, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis dan kerajaan yang menggambarkan sebaliknya," kata beliau dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah memberi perkenan kepada pihak Bersih 2.0 untuk mengadakan perhimpunan di mana-mana stadium.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) telah menasihatkan Bersih 2.0 untuk menggunakan stadium, tetapi, pada hari ini kita dapati bahawa barisan Kabinet khususnya Menteri Dalam Negeri tidak memahami arahan mudah ini," katanya.

Katanya juga, selain enggan memberikan permit, kerajaan juga mengenakan pelbagai tindakan termasuk penahanan sewenang-wenangnya 193 orang sejak beberapa minggu lepas antaranya enam aktivis PSM.

"Apa yang telah berlaku di negara kita apabila pemimpin kita dianggap seperti orang asing di tanah kita sendiri?"soalnya.

"Bagaimana begitu ramai pemimpin yang telah dipilih di negara ini ditahan kerana kononnya mempunyai elemen-elemen bahaya?

"Jangan kita pernah lupa bahawa bekas Presiden Majlis Peguam Negara Datuk Ambiga Sreenevasan telah dikurniakan Anugerah Keberanian Wanita Antarabangsa oleh Setiausaha Amerika Syarikat, Hillary Clinton dan Michelle Obama.

"Pemimpin-pemimpin dunia mengangkatnya sebagai wanita yang berani tetapi di Malaysia, beliau dicerca sebegitu teruk dan dianggap sebagai musuh awam di mana pemimpin-pemimpin UMNO mendesak agar kerakyatan beliau dibatalkan," tegasnya.

Bersih:"Kita yakin pintu stadium akan dibuka untuk kita"
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Kurang 24 jam menjelang Himpunan Bersih 2.0, penganjurnya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) terus menerima tekanan dari pihak berkuasa termasuk permohonan permit berhimpun di Stadium Merdeka, akhirnya ditolak.

Biarpun berdepan halangan itu, Bersih yang disokong parti-parti politik dan 80 NGO tetap akan meneruskan hasratnya seperti yang diperuntukkan perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, mereka mengajak rakyat untuk berhimpun di luar Stadium Merdeka, jam 2 petang esok.

"Kepimpinan Bersih 2.0 mengulangi komitmen akan berada di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang esok. Kita akan bertemu di tempat letak kereta, dan percaya bahawa pintu akan dibuka untuk kita," kata mereka.

Dalam kenyataan itu mereka turut menzahirkan rasa kecewa dengan layanan pihak kerajaan dan pihak berkuasa terhadap keihlasan mereka.

Sedangkan kata mereka, hasrat perhimpunan itu sangat murni iaitu untuk menuntut daftar pemilih dibersihkan, sistem pengundian pos diperbaharui, bahawa dakwat kekal akan digunakan, tempoh minimum 21 hari kempen yang ditabal, akses yang bebas dan adil kepada media untuk semua yang diperuntukkan , institusi awam diperkukuhkan, dan rasuah serta politik kotor dihentikan.

"Pihak berkuasa telah meletakkan halangan demi halangan, padahal hanya perlu memberikan kerjasama yang ikhlas untuk memenangi kepercayaan dan keyakinan rakyat.

"Setelah berdepan pelawaan stadium yang tidak ikhlas, dinafikan permit, penangkapan, penahanan dan banyak lagi, kami merasakan bahawa kami telah melakukan segala yang termampu untuk menunjukkan keikhlasan dan niat baik kami dalam perundingan dengan kerajaan.

"Tetapi kita hanya dibalas dengan keputusan sebaliknya dan halangan besar," kata mereka lagi.

Tegas mereka, tidak ada sebarang sekatan yang akan memintas usaha ke arah keamanan dan keadilan apatah lagi demi menegakkan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman.

Kenyataan itu mencerminkan pendirian muktamad Bersih untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka esok.

“Ini adalah saat penting dalam sejarah dan kami yakin rakyat akan menyambut seruan untuk mempertahankan prinsip-prinsip yang membentuk Malaysia. Bersama-sama kita berjuang untuk mewariskan kepada anak-anak kita sebuah negara yang adil, demokratik, dan penuh dalam kasih sayang untuk satu sama lain,” kata kenyataan itu.

Tiada ulasan: