Jet Gaddafi bom bandar Libya
BREGA - Jet-jet pemerintah Libya mengebom bandar ini semalam yang dikuasai oleh para penunjuk perasaan antipemimpin Muammar Libya.
Serangan itu dibuat selepas Gaddafi memberi amaran bahawa beliau akan memerangi gerakan para penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya.
Tunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya itu dibuat sejak 15 Februari lalu.
Kebangkitan rakyat Libya itu dibuat selepas kejayaan para penunjuk perasaan di Kaherah yang mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden pada 11 Februari lalu.
Jet-jet itu menggugurkan dua butir bom di bandar ini dekat dengan sebuah loji penapisan minyak.
Para penentang Gaddafi di bandar ini menggunakan mesingan untuk mengusir askar-askar upahan pemimpin tersebut.
Di bandar Benghazi, seorang jurucakap di pusat para penunjuk perasaan menyatakan bahawa kira-kira 100 orang sudah ditahan.
Menurutnya, Gaddafi didapati cuba untuk mengukuhkan kedudukannya semalam.
Para saksi menyatakan mereka melihat sejumlah tentera dan askar upahan pemimpin itu bergerak ke arah Raslanuf.
"Kami sedang melihat sama ada mereka (askar-askar Gaddafi) akan melakukan serangan atau mengukuhkan kedudukan sebelum kawasan Sirte," kata jurucakap di pusat para penunjuk perasaan di Benghazi.
Kumpulan-kumpulan penentang menguasai kawasan timur dan barat Libya termasuk di Benghazi dan beberapa kemudahan minyak negara itu.
Gaddafi masih dapat bertahan di ibu kota Libya, Tripoli.
Pihak pendakwa raya di Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyatakan di The Hague, Belanda bahawa Gaddafi dan pembantu-pembantunya akan disiasat berhubung dakwaan melakukan jenayah menentang kemanusiaan semasa mengekang kebangkitan rakyatnya.
Menurut pendakwa raya di mahkamah jenayah itu, Luis Moreno-Ocampo kepada pemberita di The Hague, beberapa individu telah dikenal pasti seperti Gaddafi dan orang-orang di sekelilingnya termasuk anak-anak lelakinya.
Gaddafi memberi amaran dalam ucapannya kelmarin bahawa pertempuran dengan rakyat itu akan melibatkan tempoh masa yang panjang jika terdapat campur tangan asing.
"Jika Amerika atau Barat mahu memasuki Libya, kedua-dua pihak itu perlu mengetahui ia akan menjadi neraka dan bermandikan darah, lebih teruk dari Iraq," kata Gaddafi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton memberi amaran bahawa sebarang campur tangan Barat akan menjadi kontroversi di dunia Arab.
Menurutnya, para penentang Libya mahu mengusir Gaddafi yang sudah memerintah hampir 42 tahun menerusi pendekatan mereka sendiri.
Gaddafi memperoleh kuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan pada 1 September 1969.
Sementara itu, pemerintah China menyatakan bahawa integriti Libya perlu dihormati manakala Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memikirkan langkah yang perlu diambil untuk masa depan Libya.
Libya menyumbang 2.3 peratus minyak mentah dunia. Namun, pergolakan di negara itu menyebabkan harga minyak naik melebihi AS$100 (RM303) satu tong sejak beberapa hari lalu.
Beberapa buah kapal tentera AS sudah dihantar untuk mendekati perairan Libya yang mencetuskan kebimbangan sama ada negara itu akan diserang. - Agensi
Penentang Gaddafi semakin yakin
BREGA 3 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini menghadapi tentera pemberontak yang semakin yakin dan tersusun, yang merayu bantuan udara antarabangsa dan berharap untuk meneruskan kemaraan ke barat menuju ke ibu negara, Tripoli.
Pemberontak menangkis serangan darat dan udara oleh tentera Gaddafi di terminal minyak Brega, timur negara ini semalam sementara pemimpin veteran itu memberi amaran kepada kuasa asing, Libya akan bertukar menjadi 'satu lagi Vietnam' jika mereka campur tangan dalam pemberontakan menentang pemerintahannya selama 41 tahun.
Di bandar raya Benghazi, pemberontak meminta bantuan antarabangsa bagi melancarkan serangan udara dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan askar upahan Afrika yang didakwa dikerahkan oleh Gaddafi untuk menembak rakyatnya sendiri.
"Kami meminta serangan udara strategik ke atas kedudukan askar upahan kerana kehadiran askar upahan asing di bumi Libya ditentang keras," kata jurucakap pentadbiran pemberontak Majlis Kebangsaan Libya, Hafiz Ghoga.
Penganalisis dalam pada itu mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan daripada perkembangan yang berlaku dengan cepat dan dengan sistem komunikasi yang tidak menentu.
"Kita harus ingat, kerajaan dan pemberontak masing-masing cuba menggambarkan momentum di pihak mereka," kata penganalisis di Institut Royal United Services di Britain, Shashank Joshi.
Askar kerajaan dengan bantuan udara melancarkan serangan ke atas Brega semalam, dan buat sementara waktu menawan terminal eksport minyak yang terletak 800 kilometer ke timur Tripoli itu.
Tentera pemberontak menawan semula bandar tersebut yang telah mereka kuasai selama seminggu, dan kini bersedia untuk mara ke barat menghala ke ibu negara jika Gaddafi enggan berundur.
Gaddafi yang dikelilingi penyokong setia di Tripoli menyelar 'gengster bersenjata' yang didakwanya mendalangi kekacauan itu.
"Kita akan terlibat dalam perang besar dan beribu-ribu rakyat Libya akan mati jika Amerika Syarikat (AS) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masuk.
"Kita bersedia untuk menyerahkan senjata kepada sejuta, dua juta atau tiga juta orang dan satu lagi Perang Vietnam akan bermula," kata Gaddafi kepada penyokongnya.
Seorang penentang Gaddafi di Tripoli berkata, Gaddafi akan bertahan untuk tempoh agak lama kerana bukan mudah untuk penduduk tidak bersenjata menghadapi angkatan bersenjata yang tidak teragak-agak untuk menembak rakan senegara mereka sendiri. - Reuters
AS tidak mahu Libya jadi Somalia
|
|
WASHINGTON 3 Mac - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton semalam berkata, satu keutamaan bagi AS semasa krisis di Libya ialah mencegah negara di Afrika Utara itu daripada menjadi seperti Somalia atau pangkalan bagi pengganas.
Clinton dalam ucapan kepada Jawatankuasa Perhubungan Luar Senat bagi mempertahankan bajet Jabatan Negara berkata, ramai aktivis al-Qaeda yang ditahan di Afghanistan dan Iraq 'datang dari Libya, termasuk timur Libya yang kini dikatakan kawasan bebas Libya'.
"Satu perkara yang sangat membimbangkan kita ialah Libya terjerumus ke dalam huru-hara dan menjadi sebuah Somalia gergasi," kata Clinton.
Somalia dibelenggu krisis, tanpa kerajaan pusat yang berfungsi, sejak awal 1990-an dan kekosongan itu diisi oleh kumpulan militan seperti al-Shabaab yang dikaitkan dengan al-Qaeda.
Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi sejak beberapa hari lalu mendakwa pemberontakan menentang rejimnya didalangi oleh al-Qaeda dan bukan pemberontakan rakyat untuk menegakkan demokrasi.
Clinton menolak cadangan para Senator supaya AS bertindak segera untuk menyokong penguatkuasaan zon larangan terbang di ruang udara Libya bagi menghalang Gaddafi mengebom penunjuk perasaan.
Beliau menyebut tentang ketidakpastian mengenai 'siapa yang mempunyai kedudukan yang sah, siapa yang tidak' dan berkata, masih terlalu awal untuk mengiktiraf sesuatu kumpulan.
Pegawai kanan pertahanan kelmarin berkata, menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya seperti dilakukan di Iraq pada 1990-an adalah sangat rumit dan sukar.
"Kita juga perlu memikirkan soal menggunakan tentera AS di sebuah lagi negara di Asia Barat," kata Setiausaha Pertahanan, Robert Gates. - dpa
Pembangkang Yemen sediakan pelan undur
|
|
SANAA 3 Mac - Kumpulan pembangkang dan pemimpin agama di Yemen menawarkan pelan kepada Presiden Ali Abdullah Saleh untuk beliau berundur secara terhormat menjelang akhir tahun ini.
Cadangan itu dipersetujui semasa mesyuarat dengan para ulama, kata jurucakap pembangkang di Parlimen, Mohammed al-Sabri hari ini.
"Kami sudah mempersetujui cadangan penyelesaian termasuk pelan untuk Presiden berundur sebelum akhir tahun ini," katanya.
Saleh belum mengulas tentang cadangan itu tetapi seorang pegawai kanan kerajaan berkata, Presiden akan memberi respons 'positif' terhadap pelan pengunduran tersebut.
Saleh hendaklah mengumumkan pelan itu kepada rakyat, yang kemudian memutuskan sama ada cadangan tersebut diterima atau ditolak, menurut kenyataan daripada perikatan pembangkang di Parlimen dikenali sebagai Forum Bersama.
Penunjuk perasaan Yemen tidak akan membenarkan mana-mana pihak berunding atas nama mereka mengenai perkara itu, katanya.
Pemerintahan Saleh selama 32 tahun digegarkan oleh gelombang protes yang meragut sekurang-kurangnya 19 nyawa sejak 16 Februari lalu.
Pemimpin veteran itu berkali-kali menolak desakan rakyat supaya meletakkan jawatan.
Konsesi beliau setakat ini, untuk tidak bertanding semula pada 2013, ditolak oleh pembangkang sebagai tidak memadai.
Pada Ahad lalu, Saleh berikrar untuk mempertahankan rejimnya 'sampai ke titisan darah terakhir', dan menuduh penentangnya mengeksploitasi protes sebagai helah untuk memecahbelahkan negara ini. - AFP
Perdana Menteri Mesir letak jawatan
KAHERAH 3 Mac – Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir hari ini mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri, Ahmed Shafiq.
Pengumuman itu dibuat di laman Facebook majlis tersebut hanya beberapa jam selepas aktivis dijadual mengadakan protes besar- besaran di Dataran Tahrir, tengah Kaherah untuk menuntut Shafiq dan Kabinetnya meletakkan jawatan.
Bekas Menteri Pengangkutan, Essam Sharaf dilantik untuk menggantikan Shafiq dan membentuk kerajaan baru.
Angkatan bersenjata memerintah negara ini sejak bekas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 18 Februari lalu, selepas protes 18 hari di seluruh negara. – dpa
Beyonce dermakan duit anak Gaddafi
|
|
LOS ANGELES 3 Mac - Pemenang anugerah Grammy, Beyonce Knowles (gambar) telah menderma bayaran yang diterima daripada anak lelaki Muammar Gaddafi ketika menjayakan konsert Tahun Baru kepada bantuan Haiti lebih setahun yang lalu.
Beyonce menyerahkan duit tersebut sebaik sahaja dia mengetahui Gaddafi terlibat dengan konsert di sebuah parti tertutup di St. Barts, Pulau Caribbean pada 31 Disember 2009.
"Semua bayaran kepada Beyonce atas persembahannya di parti tertutup yang diadakan di Pantai Nikki, St. Barts pada sambutan Tahun Baru 2009 didermakan kepada bantuan gempa bumi Haiti lebih setahun yang lalu.
"Sebaik sahaja mengetahui penganjur pihak ketiga berkait dengan keluarga Gaddafi, keputusan dibuat untuk menggunakan wang tersebut untuk tujuan yang baik," ujar jurucakap Beyonce, Yvette Noel-Schure yang turut menambah wang yang diserahkan termasuk bayaran kepada agensi tempahannya.
The New York Post melaporkan awal Januari tahun lalu, Beyonce menyampaikan lima buah lagu dan mengenakan seluar seksi berwarna hitam di sebuah parti yang dianjurkan oleh anak lelaki Gaddafi, Hannibal. - AFP
Armada perang Barat pantau perkembangan
2011/03/04
ATHENS: Dua kapal perang Amerika Syarikat, USS Kearsarge dan USS Ponce dijadual tiba hari ini di perairan Libya ketika keadaan terus huru-hara di negara Afrika Utara itu dengan penyokong pemerintah melancarkan serangan udara terhadap kota yang di tangan penentang termasuk Brega.
Dalam perkembangan terbaru, tiga marin warga Belanda ditawan penyokong bersenjata yang setia dengan pemimpin Muammar Gaddafi semasa cuba menyelamatkan pekerja senegara, kata jurucakap Kementerian Pertahanan di The Hague.
Mereka dikepung lelaki bersenjata dan ditangkap Ahad lalu selepas mendarat berhampiran Sirte dengan helikopter Lynx yang dibawa kapal angkatan laut HMS Tromp yang berlabuh di persisiran Libya bagi membantu mengeluarkan pekerja dari negara bergolak itu.
Penahanan mereka dijangka memperkuat desakan supaya Amerika dan negara Barat lain campur tangan di Libya. Perancis dan Britain turut menempatkan tentera masing-masing dekat perairan Libya.
Tugas mereka, bagaimanapun, sukar kerana Gaddafi dipercayai dibantu 25,000 askar upahan dari Liberia, Sierra Leone, Uganda, Chad, Mali dan Zimbabwe hasil bantuan pembiayaannya untuk pergerakan kemerdekaan sejak beberapa dekad lalu.
Pemimpin Liga Hak Asasi Manusia Libya, Ali Zeidan berkata askar asing paling ramai adalah dari Chad dan mereka dibayar antara AS$300 hingga AS$2,000 (RM900 hingga RM6,000) sehari.
Penentangan terhadap Gaddafi turut menimbulkan krisis kemanusiaan khususnya dekat sempadan Tunisia apabila beribu-ribu pekerja asing cuba untuk keluar dari Libya.
Askar kerajaan yang mendapat sokongan udara melancarkan serangan dan menawan seketika Brega sebelum kembali dikuasai penentang.
Ketika penyokong Gaddafi bertempur dengan penentang yang menguasai semakin banyak kawasan di Libya, Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa berkata pelan damai tajaan Presiden Venezuela, Hugo Chavez sedang dikaji.
Mengikut pelannya, Chavez menyarankan Gaddafi berunding dengan pemimpin penentang.
Sementara itu, di DAKAR, dalam usaha menyelamatkan rakyat asing di Libya, beribu-ribu imigran Afrika diabaikan, terkandas dalam ketakutan berikutan pemisah tersalah anggap mereka sebagai askar upahan berjuang untuk Gaddafi.
Khabar angin bahawa Gaddafi mengupah pejuang dari selatan Sahara untuk menamatkan kebangkitan popular melawan beliau menjadikan sekumpulan rakyat Afrika menjadi sasaran kemarahan, kebanyakan mereka dari negara miskin masih merancang perpindahan mereka.
Abdulai Sisay, seorang pelajar di sebuah kolej Islam di Benghazi, adalah seorang daripada 4,000 penduduk Sierra Leone di Libya dan ibunya, Aminata, 60, di Freetown berkata beliau berterusan berhubungan dengan beliau.
“Beliau amat takut kerana terkurung di rumah sewa dan enggan membuka pintu apabila diketuk,” katanya.
“Katanya beberapa rakannya juga diserang oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali kerana beliau berkulit hitam. Apabila mengintai dari tingkap, beliau mendengar jeritan ‘ bunuh askar upahan Gaddafi.”
Tidak diketahui berapa ramai rakyat Afrika yang disifatkan sebagai buruh asing terkandas di negara yang kaya dengan minyak itu dan beberapa negara melaporkan sehingga 300,000 dari negara jiran Chad dan 50,000 dari Nigeria. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan