Jet Libya bedil bandar minyak
TUNIS - Sumber pemberontak Libya semalam menyatakan tentera yang setia kepada diktator Muammar Gaddafi membedil sejumlah roket dari beberapa kapal tangki ke arah kedudukan mereka di bandar pelabuhan Ras Lanuf.
"Saya melihat sendiri ia berlaku. Kapal-kapal tangki membedil peluru roket ke arah bandar ini (Ras Lanuf)," kata seorang anggota pemberontak, Salem Magrebi.
"Beberapa pesawat turut menggugurkan bom manakala roket turut dibedil dari darat," tambahnya.
Salem berkata, dia bercakap menerusi telefon dari sebuah kawasan perumahan di bandar berkenaan.
"Saya melihat beberapa mayat terbaring di jalan raya," ujarnya.
Perkembangan tersebut berlaku selepas tentera Gaddafi melancarkan penggeboman terbaru ke atas Ras Lanuf semalam.
Bom dan peluru berpandu meledak beberapa kilometer dari loji penapisan minyak Ras Lanuf dan hampir mengenai bangunan syarikat penapisan minyak Emiriyah Arab Bersatu.
Serangan balas oleh tentera yang setia kepada Gaddafi itu telah mengekang kemaraan tentera pemberontak di pesisir pantai timur Libya yang mana mereka terpaksa berundur dari bandar Bin Jawad selepas menerima tentangan sengit.
Dalam pertempuran yang berlaku sejak 15 Februari lalu bagi menuntut peletakan jawatan Gaddafi sebagai pemimpin, seramai 400 orang dilaporkan telah terbunuh.
Kebangkitan rakyat Libya itu didorong oleh kejayaan para penunjuk perasaan di Mesir dan Tunisia yang mengakibatkan para pemimpin di kedua-dua negara terpaksa meletakkan jawatan.
Gaddafi yang berkuasa hampir 42 tahun dilaporkan gagal untuk memerintah dengan baik negara tersebut sebaliknya membazirkan wang negara dengan sesuka hatinya. - Agensi
Dua maut tunjuk perasaan tuntut negeri baru
HYDERABAD, India - Polis menembak gas pemedih mata semalam untuk meleraikan kumpulan penunjuk perasaan yang melancarkan protes untuk menuntut sebuah negeri sendiri di selatan India.
Pergolakan terbaru itu berlaku selepas imej pentadbiran sedia ada tercemar ekoran skandal rasuah yang terus melanda ahli-ahli politik mereka.
Semua premis perniagaan di bandar ini yang merupakan ibu negeri Andhra Pradesh ditutup selepas ribuan orang termasuk wakil rakyat, pelajar dan pegawai pentadbiran tempatan memenuhi jalan raya untuk melakukan demonstrasi.
Bandar ini juga menjadi ibu pejabat beberapa firma global di India termasuk Google dan Microsof.
Para penunjuk perasaan itu menuntut supaya rantau Telengana di Andra Pradesh berpisah dari negeri tersebut untuk menjadi sebuah negeri berasingan.
Tuntutan tersebut menjadi semakin lantang selepas penubuhan negeri itu mendapat persetujuan parti Kongres pimpinan Perdana Menteri, Manmohan Singh pada tahun lalu.
"Tunjuk perasaan ini adalah satu amaran kepada pemerintah bahawa warga Telengana tidak akan berpuas hati sehingga mereka mendapat sebuah negeri sendiri," kata seorang pelajar Lakshma Reddy, yang turut serta dalam demonstrasi itu. - Reuters
Tentera rampas Zawiyah
TERUS TENTANG...kumpulan anti-Gaddafi menaiki kereta membawa pelancar roket melintasi kawasan stor petroleum yang terbakar di Sidr town, timur Libya, semalam.
MANGSA GADDAFI...seorang jururawat membantu mengangkat pejuang revolusi yang cedera ketika bertempur dengan tentera yang setia kepada kerajaan Libya di Ras Lanuf, semalam.
TRIPOLI: Tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi berjaya merampas kembali bandar Zawiyah daripada kumpulan antikerajaan selepas berlaku pertempuran sengit di situ, semalam.
Penduduk Zawiyah berkata, tentera terbabit menggunakan kereta kebal dan artileri menyerang bandar berhampiran Tripoli itu.
“Bandar ini kini di bawah kawalan tentera kerajaan,” katanya melalui telefon.
Menurut saksi yang enggan dikenali itu, pertempuran sengit di antara tentera kerajaan dan pemberontak berlaku sehingga malam kelmarin.
Semalam, katanya, keadaan agak tenang dan ramai penduduk mengambil kesempatan dengan melarikan diri dari Zawiyah.
“Saya dan keluarga melarikan diri ke Jedayem,” katanya.
Jedayem adalah perkampungan kecil terletak kira-kira tiga kilometer di barat Zawiyah.
Terletak 40 kilometer dari ibu negara Libya, Zawiyah berada dalam penguasaan pejuang revolusi sejak kebangkitan rakyat mahu menyingkirkan Gaddafi bermula pertengahan bulan lalu.
Tentera Gaddafi kemudian menggempur Zawiyah selama beberapa hari menggunakan pelbagai senjata berat.
Lewat kelmarin, jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim, berkata Zawiyah kini dirampas daripada pejuang revolusi tetapi keadaan masih belum aman sepenuhnya.
“Ada sedikit keganasan di sana sini di samping sambutan meraikan kejayaan tentera,” katanya.
Stesen televisyen kerajaan pula melaporkan, penduduk mengadakan ‘demonstrasi besar-besaran’ di tengah bandar Zawiyah bagi menunjukkan sokongan kepada Gaddafi.
“Orang ramai keluar ke pusat bandar bagi menunjukkan perpaduan dengan pemimpin revolusi (Gaddafi),” lapor stesen itu.
Sebelum ini, stesen berkenaan pernah melaporkan kejayaan pihak berkuasa mengekang kebangkitan rakyat, tetapi ternyata ia palsu.
Laporan kejayaan di Zawiyah semalam turut memaparkan gambar orang ramai bersorak sambil mengibarkan bendera Libya.
Stesen televisyen itu mendakwa, rakaman berkenaan dibuat kakitangannya di bandar Zawiyah. - AFP
Syria tentang sebarang campur tangan asing
DAMSYIK: Syria semalam berkata, negara itu menentang sebarang campur tangan negara asing ke atas Libya ketika Barat terus membincangkan langkah terbaik menangani konflik berkenaan.
Kenyataan Kementerian Luar Syria berkata, sebarang campur tangan asing hanya akan mencabul kedaulatan dan kemerdekaan Libya.
Dalam kenyataan sama, Syria juga membayangkan sikapnya mengkritik keganasan ke atas pemberontak.
“Syria menyeru Libya mengambil langkah perlu melindungi nyawa orang awam, selain menggunakan kebijaksanaan serta dialog bagi memenuhi kehendak rakyat,” kata kenyataan itu.
Setakat ini Damsyik mengambil sikap berdiam diri terhadap kebangkitan rakyat menyingkirkan pemimpin diktator di Timur Tengah.
Ketika ini, kumpulan antikerajaan menggesa komuniti antarabangsa menguatkuasakan zon larangan terbang di udara Libya bagi mengelak ia digunakan untuk mengebom orang awam.
Pentagon berkata, ada beberapa pilihan boleh dilakukan ke atas Libya, termasuk zon larangan terbang.
Bagaimanapun, Setiausaha Negara, Hillary Clinton, berkata larangan itu mestilah dibuat di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Reuters
Belia Syiah tak berarak ke istana
MANAMA: Kumpulan belia Syiah Bahrain berkata, mereka enggan menyertai perarakan ke istana raja pada hari ini bagi mendesak kerajaan melakukan reformasi.
Mereka juga mendesak kumpulan Syiah berhenti mengapi-apikan ketegangan dengan pemerintah bermazhab Sunnah.
Pergerakan belia itu berkata, perarakan hari ini hanya menghangatkan kebencian puak dan menyebabkan orang tidak berdosa menjadi mangsa.
Bahrain berdepan protes terburuk sejak 1990-an selepas rakyatnya berdemonstrasi menuntut perubahan di negara itu. - Reuters
Rakyat Oman mahu Menteri dipecat
MUSCAT: Penunjuk perasaan menuntut kerajaan Oman memecat Menteri Penerangan negara itu, tiga hari selepas 10 menteri Kabinet disingkirkan Sultan Qaboos Said.
Walaupun Sultan Qaboos melakukan rombakan Kabinet kali kedua dalam tempoh seminggu, protes diteruskan kerana orang ramai belum berpuas hati.
Sebelum ini, Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri adalah antara tokoh yang diketepikan dalam rombakan kedua itu.
Bagi penunjuk perasaan, Sultan Qaboos - berkuasa sejak 1970- perlu mengetepikan Menteri Penerangan, Hamed Al-Rashdi, kerana mengekang kebebasan media selama bertahun-tahun.
“Kami mahu dia dipecat,” kata seorang daripada penunjuk perasaan di Ibu Pejabat Majlis Syura, semalam.
Kelmarin, kira-kira 200 orang berkumpul di Kementerian Penerangan menuntut media negara itu dibebaskan daripada kongkongan kerajaan.
Loji minyak Libya musnah dibedil
|
|
RAS LANOUF 10 Mac - Dua loji minyak di sini terbakar selepas pertempuran antara tentera pemimpin negara ini, Muammar Gaddafi dengan pemberontak semalam, menambah kesan buruk kepada industri tenaga Libya yang hampir lumpuh itu.
Wartawan Associated Press (AP) di sini menyaksikan satu letupan di loji minyak Sidr, 580 kilometer dari timur Tripoli. Tiga kepulan asap tebal dapat dilihat dari kawasan itu dipercayai akibat pembakaran minyak.
Seorang jurucakap pembangkang, Mustafa Gheriani berkata, serangan meriam mengenai satu saluran paip Sidr dari lapangan minyak di padang pasir.
''Satu gudang simpanan minyak juga diserang dipercayai oleh serangan udara,'' katanya.
Gheriani menuduh tentera Gaddafi sengaja menyasarkan loji minyak sebagai amaran kepada Eropah bahawa keadaan huru-hara di Libya akan mengancam bekalan minyak.
''Gaddafi fikir beliau boleh menekan Eropah tetapi keadaan ini akan memakan dirinya sendiri,'' katanya kepada AP.
Pengerusi National Oil Corp. Libya, Shukri Ghanem berkata, letupan di Sidr itu melibatkan tangki kecil diesel yang terbakar dan menegaskan ia tidak akan mempengaruhi pengeluaran minyak.
Dalam pada itu, kebakaran tersebut meningkatkan tanda aras kos minyak Brent melebihi kepada AS$115 (RM356.5) setong.
Tanda aras minyak mentah Brent meningkat ke tahap tinggi satu sesi sebanyak AS$116.18 (RM360.158), hampir peringkat tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun. Ia kemudian turun semula kepada AS$115.54 (RM358.174) setong.
''Ia amat membimbangkan apabila berlaku kerosakan kepada loji minyak di Libya. Gambaran sebenar bagaimanapun tidak berubah iaitu bekalan minyak sudah terganggu dan ia akan kekal untuk satu masa yang panjang,'' kata ketua pengkaji minyak JPMorgan di New York, Lawrence Eagles.
Pendekatan diambil oleh Arab Saudi dan negara anggota OPEC lain untuk menambah bekalan minyak disambut baik oleh pedagang namun pasaran minyak tetap menerima kesan ekoran kebimbangan kemungkinan kerosakan loji-loji minyak. - AP/Agensi
13 maut rakyat Islam, Kristian Mesir bertempur
KAHERAH 10 Mac - Pertempuran maut antara masyarakat Kristian Qibti dengan penganut Islam malam kelmarin di bandar ini yang meragut 13 nyawa, memburukkan lagi ketegangan kaum dan meningkatkan kebimbangan di kalangan penduduk Kristian tentang kedudukan mereka di Mesir.
Keganasan itu tercetus semasa satu bantahan berlangsung di kawasan miskin Manshiyet Nasr, lokasi kebanyakan masyarakat Kristian bekerja sebagai pengutip sampah.
Kira-kira 100 penganut Kristian menyekat sebatang jalan raya bagi menuntut kerajaan membina semula sebuah gereja di luar Kaherah yang dimusnahkan penganut Islam Jumaat lalu.
Mereka dilapor marah dengan hubungan percintaan terlarang melibatkan seorang lelaki Kristian dengan wanita Islam yang kemudian berubah menjadi pertelingkahan antara keluarga.
Seorang penganut Kristian, Ashraf Ramzy yang mengalami kecederaan di kepala selepas pertempuran itu menyifatkan kejadian itu sebagai menakutkan kerana tentera tidak campur tangan.
"Penganut Islam berdiri di belakang tentera dan melaungkan 'tentera dan rakyat adalah satu', yang juga slogan yang biasa didengar semasa revolusi Mesir.
"Adakah itu bermaksud kami bukan rakyat negara ini?," kata Ramzy.
Seorang lagi penganut Kristian, Mina Magdy berkata, keadaan kini menjadi semakin buruk selepas Presiden Hosni Mubarak digulingkan kerana tentera dikatakan tidak berbuat apa-apa untuk melindungi masyarakat Kristian.
"Lihatlah apa yang berlaku kepada kami. Mubarak memang teruk, tetapi situasi kini semakin tegang," katanya.
Tambahnya, penduduk di kejiranan Kristian juga tidak berani keluar dari rumah semalam kerana bimbang serangan sama akan berulang. - Agensi
Barat mahu rampas minyak Libya
2011/03/11
TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menuduh Barat mahu merampas minyak negara itu ketika memberi amaran rancangan mereka menguatkuasakan zon larangan penerbangan akan memakan diri kerana tenteranya terus menyerang pemberontak menyebabkan beberapa kemudahan minyak terbakar.
Beliau sekali lagi menuduh al Qaeda dalang di sebalik pemberontakan yang bermula sejak 15 Februari dan menggesa penduduk membebaskan bandar kedua Libya, Benghazi yang ditawan pemberontak.
Kerajaannya turut menawarkan AS$410,000 (RM1.24 juta) sebagai hadiah bagi menangkap Mustafa Abdel Jalil, ketua majlis pemberontak yang mengiktiraf dirinya sebagai wakil negara Afrika Utara itu di Benghazi, Sabtu lalu.
Di timur Libya, tentera kerajaan mendekati pertahanan pemberontak di Ras Lanuf dengan melancarkan bedilan ke pusat bandar berdekatan hospital dan mengebom sebelah baratnya selain meneruskan serangan udara.
Roket Katyusha dan mortar menghujani kawasan padang pasir di kedua-dua belah lebuh raya.
Pemberontak dilaporkan berundur ke timur menuju Ras Lanuf, manakala yang lain terus maju ke depan dengan hanya berbekalkan raifal Kalashnikov.
Kira-kira 10 roket ditembak daripada bangunan kerajaan ke sebuah dusun tiga kilometer barat Ras Lanuf yang menyebabkan pokok terbakar.
Sementara itu, Perancis menjadi negara pertama yang mengiktiraf pihak pembangkang Libya sebagai wakil yang sah dan akan menghantar duta ke wilayah pemberontak.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengambil inisiatif itu ketika kepimpinan Kesatuan Eropah (EU) masih teragak-agak untuk mengiktiraf pemberontak Libya.
Persidangan pemimpin EU hari ini (Jumaat) akan terus membincangkan krisis Libya.
“Perancis mengiktiraf majlis peralihan nasional sebagai wakil sah rakyat Libya,” kata wakil pembangkang, Ali al Issawi.
“Berdasarkan pengiktirafan ini, kita akan membuka misi diplomatik, yang mempunyai kedutaan sendiri di Paris dan duta Perancis akan dihantar ke Benghazi,” kata pemimpin itu. – AFP
Rumah Saif al Islam di London kena ‘tawan’
2011/03/11
LONDON: Kira-kira 20 penduduk setinggan termasuk aktivis warga Libya yang dalam buangan memenuhi halaman rumah bernilai £12 juta (RM57.6 juta) di sini yang dikatakan milik anak lelaki pemimpin Libya, Saif al Islam.Setinggan dan aktivis berkenaan kemudian dilihat membentangkan kain rentang dari bumbung rumah agam dan berteriak supaya Muammar Gaddafi keluar Libya dan London.
Saif al-Islam yang juga anak Gaddafi membeli kediaman itu di kawasan eksklusif di pinggir Hampstead Garden, utara London pada 2009, lapor media.
Rumah empat tingkat itu mulanya diiklankan untuk dijual menerusi laman web hartanah dengan harga £12.5 juta (RM61.4 juta). Ia mempunyai sembilan bilik tidur, lima bilik menyambut tetamu, kolam renang, jakuzi dan panggung wayang.
Penduduk setinggan yang menggelar diri mereka Kumpulan Menjatuhkan Pemerintah Kuku Besi, berkongsi dengan penunjuk perasaan anti Gaddafi Kempen Perpaduan Libya-Britain (BLSC), memanjat bumbung dan mengibarkan bendera.
“Kami mahu menunjukkan regim Libya yang mereka sudah habis dan Gaddafi tiada tempat di Britain,” kata Azeldin el Sharif.
Seorang setinggan yang hanya mahu dikenali sebagai Dariush, berkata:
“Kami duduk di rumah ini dan bersatu dengan rakyat yang melawan di Libya dan bercadang terus berada di sini sehingga ia dipulangkan kepada warga Libya,”.
Katanya, pihaknya mendapati bangunan itu tidak diduduki tetapi dipenuhi perabot dan jualannya masih ditangguhkan. – Reuters
Muslim Amerika jadi sasaran lagi
2011/03/11
WASHINGTON: Pemimpin Islam Amerika Syarikat gusar dengan rancangan seorang ahli perundangan negara itu untuk mengadakan perbincangan mengenai golongan radikal masyarakat itu yang dijadualkan bermula hari ini.
King menuduh pemimpin Islam termasuk imam masjid tidak banyak mengambil langkah menyekat generasi muda Muslim di Amerika menjadi radikal, selain tidak memberi kerjasama kepada agensi undang-undang.
Beliau juga menuduh kebanyakan masjid di Amerika dikuasai golongan pelampau.
“Saya mahu (penduduk Amerika) sedar pergerakan al-Qaeda bersungguh-sungguh menjadikan masyarakat Muslim supaya berpendirian radikal,” kata King, kelmarin.
King berkata, dua warga Muslim Amerika yang tahu mengenai usaha itu di masjid Amerika akan memberi keterangan, termasuk seorang warga Afrika Amerika yang menjadi radikal dan memeluk Islam.
Pemimpin Islam pertama yang menjadi anggota Kongres, Keith Ellison, berkata beliau juga akan memberikan keterangan sebagai pandangan alternatif kepada King.
Tetapi, pertubuhan besar Islam yang tidak langsung dijemput memberi keterangan di bangunan Capitol Hill itu serta pejuang hak asasi mengecam King dan menyifatkan rancangan beliau sebagai usaha mencetuskan ketakutan.
“Tujuh juta penduduk Amerika (yang beragama Islam) tidak wajar menjadi tumpuan syak wasangka,” kata Shahid Buttar yang mengetuai Jawatankuasa Pertahanan Akta Hak.
Peguam Negara, Eric Holder, turut menolak pandangan King bahawa pemimpin Islam tidak memberi kerjasama dan menekankan ‘mereka memberi sumbangan besar menyekat serangan.’
Malah, Pengarah Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR), Nihad Awad menganggap pendekatan King itu sendiri akan menyebabkan generasi muda menjadi radikal.
CAIR merujuk kepada kajian terbaru Universiti Duke menunjukkan 11 warga Amerika beragama Islam melakukan serangan ganas sejak 9/11 menyebabkan 33 kematian berbanding 150,000 pembunuhan di negara itu dalam tempoh sama.
Imam Johari Abdul-Malik dari Majlis Penyelaras Pertubuhan Muslim pula berkata, beliau dan pihak lain mengakui ada orang Islam yang radikal.
“Kami tidak nafikan perkara itu wujud dalam masyarakat. King betul dari segi tertentu, tetapi pendekatannya salah,” kata Johari yang kecewa kerana orang Islam masih dipandang serong, walaupun membantu agensi keselamatan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan