Sabtu, 12 Mac 2011

JANGAN KERJAYA KITA TAK SABIT DENGAN HUKUM...RAKYAT MALAYSIA TAHU HUKUM HALAL HARAM...BERTAUBATLAH..

Rasa Tidak Dihargai, Fauziah Nawi Luah Perasaan

KUALA LUMPUR: Pelakon Fauziah Nawi, 58, kecewa apabila masyarakat tempatan tidak menghargai penglibatannya sebagai seorang pelakon yang telah berkecimpung selama 25 tahun dalam industri seni.

Menurut Fauziah atau nama panggilannya, Ibu, kekecewaan itu bermula apabila kehadirannya lebih-lebih lagi dalam bidang teater diterima masyarakat negara luar, tetapi tidak pula di negara sendiri.

"Pada Oktober tahun lalu, saya dipanggil untuk membuat pementasan solo berjudul Cinta Julia, di Esplanade, Singapura dan Alhamdulillah, seminggu sebelum pementasan, tiket sudah habis dijual.

"Waktu itu saya rasa terharu kerana orang luar menerima saya menghiburkan mereka. Berbeza sekali di sini, jika teater tersebut bukan pementasan berskala besar, tempat duduk penonton pasti banyak yang kosong.

"Ketika di Singapura, yang membuatkan saya rasa sebak, apabila wajah saya yang sudah berumur ini terpampang di luar sekitar Esplanade dan beberapa tempat awam.

"Mungkin ada yang akan marah bila saya cakap begini, tetapi itulah hakikatnya, orang luar lebih menghargai kerja-kerja seni kita," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar teater monolog 3 Wajah di restoran Rebung, di sini, Jumaat.

Tambah Fauziah, walaupun teater berskala kecil masih sukar diterima umum, dia tetap akan setia dengan dunia lakonan teater sehingga akhir hayat.

Sementara itu, selepas kejayaan pementasan Cinta Julia di Singapura, Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) membawa siri kedua monolog tersebut dengan judul baru pula iaitu 3 Wajah.

Ia merupakan gabungan tiga naskah monolog hasil karya Iryanda Mulia Ramli iaitu, Tukang Sapu, Hutang dan Pukul yang diadakan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Teater yang dipentaskan secara solo oleh Fauziah sendiri itu membawa mesej kemanusiaan dan kehidupan yang kelihatan agak remeh tetapi memberi impak besar dalam perkembangan dan keseimbangan masyarakat masa kini.

"Bukan mudah membawakan monolog kali ini kerana saya berperanan memegang sebanyak tiga watak.

"Lebih mencabar lagi apabila saya perlu menghafal skrip sebanyak 15 muka surat dan ia bukannya satu perkara yang mudah bagi golongan berusia seperti saya.

"Bagaimanapun, saya percaya ia sebuah karya yang menarik untuk ditonton,"ujarnya.

3 Wajah bakal dipentaskan bermula 30 Mac hingga 3 April depan.

Tiket yang berharga RM50 (dewasa) dan RM15 (pelajar) boleh ditempah menerusi talian 012-6170697/012-2429621 atau melalui e-mel, sanggarstefani@gmail.com.


Ziana Zain Perjelas Tuduhan Berlagak Diva

PETALING JAYA: Penyanyi popular Ziana Zain menjelaskan dia mempunyai alasan yang kuat terhadap dakwaan berlagak diva dan meninggalkan sesi fotografi sebuah majalah secara tidak profesional baru-baru.

Jelas Ziana, tindakannya meninggalkan sesi fotografi sebuah majalah fesyen keluaran Mac itu adalah kerana pakaian yang disediakan telah melangar prinsip dan boleh menjejaskan imejnya.

“Saya tinggalkan sesi fotografi itu kerana pakaian yang diberikan kepada saya sangat tidak sesuai dengan imej saya sekarang. Bagi saya ia terlalu remaja dan tidak sesuai dengan status saya sebagai ibu dan isteri.

“Kalau saya pakai juga sudah tentu ada yang akan berkata lebih teruk lagi. Kenapa saya nak rosakkan imej yang saya bina selama 20 tahun dengan pakaian sebegitu?” katanya ketika ditemui pada Majlis Perlancaran Antabax di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat.

Tambah Ziana, dia kesal dengan tuduhan majalah tersebut yang menganggapnya sebagai artis tidak profesional, emosi dan tidak pandai berfesyen.

“Saya kecewa dan terkilan dengan apa yang mereka katakan tentang saya. Ia seperti satu serangan peribadi kepada saya.

“Saya datang untuk sesi fotografi dengan hati yang terbuka. Saya bukan tolak mentah-mentah untuk tidak pakai baju tersebut.

"Saya pakai juga baju itu tetapi ia memang tidak sesuai langsung dengan usia saya.

“Bagaimanapun saya menolak dengan baik dan minta digantikan dengan baju lain tetapi mereka tidak beri sebarang pilihan selain pakai baju tersebut. Siapa yang tidak professional?” soalnya.

Tambah Ziana, selama 20 tahun dalam industri hiburan, kejadian itu merupakan pengalaman pertama dia berhadapan masalah dengan media.

Jelas Ziana lagi, dia tidak pernah cerewet dengan pakaian atau solekan yang disediakan melainkan ia benar-benar melangar prinsipnya.

“Siapa yang pernah bekerja dengan saya tahu bagaimana saya bekerja, saya tidak pernah berlagak seperti seorang diva dan terlalu cerewet dengan pemilihan pakaian atau solekan.

“Tapi bila ia menyentuh kepada maruah dan imej yang mana boleh mejejaskan nama baik yang saya bina selama ini sudah tentu saya menolak,” katanya.

Menurut Ziana lagi bukan dia sahaja yang menegur tentang pakaian tersebut, malah artis lain seperti Ning Baizura dan Erra Fazira turut mempersoalkan pakaian masing-masing ketika terlibat dalam sesi fotografi itu.

“Mereka seharusnya buat kajian dulu artis mana yang datang dan pakaian apa yang sesuai untuk artis tersebut.

“Ketika itu, bukan saya sahaja yang tidak mahu pakai baju yang disediakan malah Ning dan Erra juga minta pakaian lain,” katanya.


Kehilangan Bapa Ujian Hebat Syahrini

PENYANYI Indonesia Syahrini mengaku ujian terhebat dalam hidupnya ialah kehilangan bapa tercinta.

Jelasnya perkara tersebut sukar untuk diterima berbanding kehilangan kerjaya sebagai seorang penyanyi.

"Ujian terberat dalam hidup saya adalah kehilangan bapa tersayang bukan kehilangan Anang seperti yang kamu katakan," ujarnya seperti dilaporkan oleh Kompas.com.

Tambah Syahrini, pemergian tersebut sangat mempengaruhi hidupnya. Dia juga sempat menulis sebuah lagu untuk arwah bapanya itu.

"Kerana pemergiannya saya belajar tentang keiklasan, kesabaran dan pengalaman itu saya telah tulisnya dalam sebuah lagu.

"Tajuk lagu tersebut ialah Kepulangan Ayahanda. Ya saya yang buat lagu itu, dan akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya.


'Imam Muda Musim Kedua' Perkenalkan Mursyid
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar bersama mudir dan mursyid-mursyid baru Imam Muda

PETALING JAYA: Astro memperkenalkan barisan Mursyid (guru) yang akan berperanan sebagai tenaga pengajar dan penasihat tenaga pengajar untuk musim kedua program realiti Imam Muda.

Program itu menampilkan empat orang Mursyid yang kesemuanya merupakan muka baru sebagai tenaga pengajar.

Mereka adalah Ustaz Ikmal Zaidi, Ustaz Tuan Asmawi, Ustaz Izhar Ariff dan Ustaz Zulkefli Hamat.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Imam Muda amat komited dengan usaha menonjolkan golongan muda yang berpotensi bagi memikul tanggungjawab bukan saja sebagai seorang imam yang serba boleh tetapi juga pemimpin yang berwibawa.

“Kami amat serius dalam memastikan calon Imam Muda kali ini mendapat didikan terbaik daripada pelbagai bidang keagamaan sebagai pelengkap ke arah menjadi seorang Imam Muda.

”Jika pada musim pertama kami memperkenalkan dua orang Mursyid untuk menjadi penasihat dan pembimbing kepada 10 Imam Muda, pertambahan kepada empat individu ini menunjukkan kekuatan azam kami untuk meningkatkan lagi kualiti rancangan ini.

"Secara tidak langsung calon Imam Muda musim ini perlu bersedia dari segi mental dan fizikal terhadap cabaran yang pastinya akan lebih hebat bakal dilalui oleh mereka,” katanya.

Bagi merancakkan lagi perubahan untuk musim kedua ini, Mursyid bukan sahaja berperanan sebagai penasihat dan pembimbing malah akan turut serta sebagai tenaga pengajar dalam bidang masing-masing.

Mereka juga akan menjadi tulang belakang dan bersama-sama dengan Mudir membentuk Imam Muda yang terunggul.

“Perubahan yang dilakukan ini menggalakkan lagi penglibatan Mursyid dan Mudir secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran Imam Muda.

"Ini akan menambahkan lagi keakraban mereka seterusnya memudahkan proses perkongsian ilmu,” ujarnya.

Selain itu, penyertaan kumpulan pelajar Malaysia yang pulang dari Mesir turut merancakkan lagi sesi temu duga musim ini.

Fktor-faktor inilah yang akan mewujudkan persaingan sengit pemilihan calon Imam Muda musim kedua yang sedang dijalankan sekarang,” katanya.

Siri pencarian Imam Muda musim kedua ini bakal bersiaran di saluran rasmi Astro OASIS (saluran 106) bermula 1 April 2011.










Tiada ulasan: