Ahad, 6 Mac 2011

6000 TERBUNUH SEMATA2....DEMI KUASA...ADAKAH MEREKA TAK TAKUT ALLAH...PEMIMPIN AKAN DITANYA APA YG DIPIMPIN...LEBIH2 JIKA BUAT MUNGKAR & LANGGAR HUKUM

Tentera Gaddafi mengganas di Zawiya


SEORANG anggota penentang Gaddafi membidik meriam antipesawat di Zawiya kelmarin.


ZAWIYA - Pertempuran sengit tercetus antara tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan kumpulan penentang di bandar ini semalam, lapor sebuah akhbar.

Kumpulan penentang mendakwa, mereka berjaya menawan semula Dataran Jihad di pusat bandar ini selepas mematahkan serangan briged elit Gaddafi yang memasuki bandar ini dengan dibantu beberapa kereta kebal dan artileri pada pagi semalam.

"Beratus-ratus askar Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal memasuki bandar ini sekitar 6 pagi. Penduduk bandar ini bangkit menentang mereka dan telah mencapai kemenangan setakat ini," kata jurucakap kumpulan penentang, Youssef Shagan.

Serangan ke atas Zawiya yang terletak sekitar 48 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli menyaksikan kumpulan penentang yang sebahagian besarnya cuma bersenjatakan senapang patah dan pedang, bertempur dengan briged elit Gaddafi yang dibantu beberapa kereta kebal, meriam dan mesingan berat.

"Pasukan keselamatan Gaddafi membunuh dengan sewenang-wenangnya termasuk orang awam. Situasi di bandar ini lebih dahsyat daripada Iraq," kata seorang saksi.

"Imam-imam di sini telah mengisytiharkan jihad ke atas tentera Gaddafi," tambahnya.

Saksi berkenaan memaklumkan situasi tersebut dalam satu wawancara telefon.

Dalam perkembangan berkaitan, stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan, beberapa pegawai perubatan sebagai berkata, angka kematian orang awam di sini setakat semalam telah melebihi 40 orang.

Antara yang terbunuh termasuk komander kumpulan penentang di Zawiya, Hussein Darbouk.

Sementara itu, lebih 17 orang terbunuh selepas depot simpanan peluru yang ditawan kumpulan penentang di bandar Benghazi, selatan Libya meletup semalam dipercayai akibat perbuatan sabotaj ejen Gaddafi.

Kebangkitan rakyat menentang pemerintah Libya, Muammar Gaddafi tercetus sejak beberapa minggu lalu.

Protes tersebut didorong oleh kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang memaksa Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan.

Di Libya, orang ramai berang kerana Gaddafi, 68, gagal membasmi kemiskinan dan gejala rasuah selepas mentadbir negara itu selama 41 tahun. - Agensi


Pertempuran sengit di Zawiyah



PEMBERONTAK Libya melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi berhampiran Ras Lanuf.
PEMBERONTAK Libya melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi berhampiran Ras Lanuf.

TRIPOLI: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mengerahkan kereta kebal ke bandar Zawiyah untuk merampas semula bandar berkenaan tetapi menghadapi tentangan sengit daripada pemberontak.

“Kini, dengan meriam, kereta kebal dan kereta perisai, kami akan dapat melihat pembunuhan seperti yang berlaku di Iraq,” kata seorang penduduk kepada stesen televisyen Al Arabiya.


“Pertempuran kini berlaku di pusat bandar. Lebih 15 kereta perisai memasuki Zawiyah. Pertempuran sengit berlaku di semua kawasan dan pihak berkuasa masjid menggesa penduduk keluar untuk ‘berjihad’ menentang tentera Gaddafi,” kata saksi itu.

Stesen televisyen Al Jazeera turut menyiarkan laporan serupa di Zawiyah, 50 kilometer ke barat Tripoli dan mendakwa kereta kebal juga membedil kediaman penduduk.


Jurucakap pasukan pemberontak yang dihubungi Reuters menerusi telefon berkata, tentera Gaddafi menguasai sebahagian besar bandar itu selepas pertempuran Jumaat lalu tetapi berdepan dengan pemberontak yang berlindung di dalam bangunan di sekitar dataran utama bandar itu.


“Ada sesuatu yang buruk akan berlaku hari ini (semalam). Perang akan meletus,” kata jurucakap pemberontak, Youssef Shagan.

Menurutnya, tentera Gaddafi mengepung semua jalan raya.

“Mereka menggunakan kereta kebal dan senjata berat untuk melindungi askar mereka. Kami mahu menawan semula Zawiyah, tidak kira dengan apa cara sekalipun,” katanya.


Di timur Libya, pasukan pemberontak berkata, mereka menawan bandar Bin Jawad, 525 kilometer dari Tripoli.

Sementara itu, angka kematian akibat pertempuran di sekitar Ras lanuf di timur Libya dan apa yang didakwa oleh pemberontak sebagai pengeboman tentera Gaddafi terhadap sebuah depoh senjata, juga di timur negara itu, meningkat kepada 26 orang.


Saksi berkata, jumlah itu mungkin meningkat lebih tinggi apabila lebih banyak mayat ditemui dan dibawa ke hospital. - Agensi



Pemberontak dakwa kuasai bandar Ras Lanuf


RAS LANUF, Pemberontak Libya mendakwa mereka menawan bandar ini, pusat penapisan minyak utama selepas pertempuran sengit dengan tentera kerajaan.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal oleh seorang pegawai kanan kerajaan.


Pertempuran yang meletus kelmarin tertumpu di pusat bandar Ras Lanuf.

Ratusan pemberontak bersorak dan melepaskan tembakan ke udara petang semalam dengan berkata mereka menguasai bandar berkenaan.


Wartawan AFP melaporkan, anggota pemberontak juga mengawal di luar perkarangan Operasi Minyak Harouge, balai polis dan pintu masuk kawasan kediaman berhampiran.


Bagaimanapun, di Tripoli, Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaaim berkata, kerajaan masih menguasai Ras Lanuf.

“Keadaan di Ras Lanuf tenang,” katanya.
Seorang doktor di bandar itu berkata, ramai yang terbunuh dan cedera akibat serangan roket.

”Kami melihat mayat bergelimpangan di jalan raya,” kata seorang sukarelawan pemberontak. - AFP


Libya gesa gantung sekatan



PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Rejim Muammar Gaddafi mendesak Majlis Keselamatan PBB menangguhkan sekatan yang dikenakan terhadap pemimpin Libya itu berhubung tindakan ganasnya terhadap penunjuk perasaan.

Menteri Luar, Mussa Kussa, dalam suratnya kepada majlis berkenaan berkata, hanya ‘kekerasan sederhana’ digunakan terhadap penunjuk perasaan itu dan kerajaan terkejut dengan sekatan yang dikenakan.


Rejim itu mendesak sekatan perjalanan dan pembekuan aset yang diarahkan terhadap Gaddafi ‘digantung’ sementara menunggu siasatan.

Pada masa sama, Mussa menggesa Majlis Keselamatan bertindak terhadap negara yang mengancam menggunakan kekerasan terhadap Libya.


Surat itu yang dihantar kepada majlis itu kelmarin, adalah reaksi pertama Libya sejak sekatan diluluskan sebulat suara Sabtu lalu.


Kumpulan hak asasi manusia berkata, 6,000 orang terbunuh sejak tunjuk perasaan untuk menggulingkan Gaddafi bermula 15 Februari lalu. - AFP



Gaddafi gagal singkir pemberontak


TENTERA pemberontak melepaskan tembakan menggunakan senapang anti-pesawat semasa bertempur dengan tentera pro-Gaddafi dekat Ras Lanuf, kelmarin. - REUTERS


TRIPOLI 5 Mac - Regim Muammar Gaddafi gagal dalam cubaan merampas kembali bandar berdekatan ibu negara ini dengan menyerang balas kumpulan penentangnya dengan melepaskan gas pemedih mata dan tembakan untuk menyuraikan demonstrasi bantahan di ibu negara Libya ini semalam.

Sekurang-kurangnya 83 terbunuh dalam pertempuran berasingan di tiga bandar tetapi pemberontak berjaya mengukuhkan kedudukan dan merampas bandar berkenaan dari kawalan Gaddafi.

Namun, pemberontak menyatakan mereka berjaya mengundurkan tentera yang setia kepada Gaddafi dari bandar pelabuhan minyak Ras Manuf, Ajdabiyah yang terletak di timur Tripoli.

Pasukan keselamatan Gaddafi menyerang bandar Zawiyah yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak selepas solat Jumaat dan membunuh ketua pemberontaknya.

Sekurang-kurangnya 30 orang awam dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di bandar itu.

Jurucakap pasukan pemberontak, Youssef Shagan berkata, mereka terpaksa berundur ke Dataran Syahid di Zawiyah.

''Mereka menembak orang awam. Kami masih mengawal pusat dataran Zawiyah. Mereka berada kira-kira empat atau lima kilometer daripada kami,'' kata jurucakap pemberontak,

Shagan berkata, komander tentera mereka, Hussein Darbuk telah dibunuh di Harsha, sebuah bandar kecil di luar Zawiyah.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Mohamed berkata, pasukan Gaddafi menggunakan pelancar bom, mesingan dan menempatkan penembak hendap di sebuah hoel baru di bandar itu untuk menembak penunjuk perasaan ketika mereka berarak selepas solat Jumaat.

Di Ajdabiyah, pasukan pemberontak mendakwa mereka berjaya mengusir tentera Gaddafi dari bandar Ras Lanuf semalam.

Sebanyak 26 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran tersebut dan jumlah tersebut dijangka meningkat ketika masih banyak mayat ditemui.

"Kami telah berjaya merampas Ras Lanuf 100 peratus," kata tentera pemberontak, Hafez Ihrahim kepada Reuters di Ras Lanuf, sebuah bandar pelabuhan minyak utama di Laut Mediterranean, yang terletak di jalan pantai sekitar 660 kilometer di timur Tripoli.

Dalam pada itu, sebanyak 27 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila sebuah gudang simpanan senjata tentera Libya berdekatan Benghazi meletup.

''Seramai lapan terbunuh dalam letupan di pangkalan tentera Rajma manakala lebih 20 lagi cedera,'' kata seorang pakar bedah di pusat perubatan Benghazi, Imad Talahma.

Jurucakap pemberontak di Benghazi, Mustafa Gheriani berkata, mereka tidak pasti sama ada ia satu sabotaj, kemalangan atau serangan udara namun tiada sesiapa pun nampak pesawat melalui ruang udara di sini. - Agensi


Pemberontak tawan pelabuhan minyak Libya

RAS LANOUF - Pemberontak Libya menawan bandar pelabuhan minyak Ras Lanouf daripada pasukan tentera pro-Muammar Gaddafi. kelmarin.

Ini adalah kemenangan kententeraan pertama dalam kemaraan ke barat dari kawasan yang dikuasai mereka di timur menuju ke Tripoli.

Saksi berkata, Ras Lanouf yang terletak di timur Sirte, kubu kuat Gaddafi, jatuh ke tangan pemberontak semalam selepas pertempuran hebat dengan pasukan tentera pro-kerajaan yang kemudiannya melarikan diri.



Tunjuk perasaan mengganas di Iskandariah

ISKANDARIAH - Sekitar 1,500 penunjuk perasaan menggempur ibu pejabat keselamatan Iskandariah, Mesir selepas pertempuran dengan polis, kelmarin.

Ratusan penunjuk perasaan menyerbu bangunan itu selepas bom petrol dan tembakan dilaporkan datang dari dalam bangunan tersebut.

Pegawai keselamatan telah menggunakan peluru hidup dan bom petrol untuk cuba membubarkan demonstrasi, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera.

Media tempatan melaporkan pegawai atasan polis di dalam bangunan itu dilihat membakar dan mencarik dokumen sensitif, termasuk pasport dan kad pengenalan.


Penunjuk perasaan Oman tuntut perubahan

MUSCAT - Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di ibu kota Oman menuntut perubahan politik dan menyediakan pekerjaan untuk mereka, kelmarin.

Demonstrasi prokerajaan turut diadakan untuk menyokong pemimpin negara itu, Sultan Qaboos bin Said.

Jurucakap penunjuk perasaan, Yousef al-Zadjali berkata, tujuan mereka mengadakan demonstrasi ini adalah untuk menyokong Sultan Qaboos, bukan membangkangnya.

"Kami hanya berhadapan dengan gejala rasuah di negara ini," katanya.

Penunjuk perasaan menuntut Sultan Qaboos untuk memecat semua menteri kerajaan dan arahkan mereka disiasat untuk dakwaan rasuah.

Tiada ulasan: