Selasa, 1 Februari 2011

MENANG ATAU KALAH...KHIDMAT PERLU DITERUSKAN DENGAN TIDAK MEMILIH PARTI ATAU KAUM..SELAIN MEMAHAMKAN ISLAM KPD MEREKA

Cikgu Mala digesa terus turun padang
Harakahdaily

LABIS, 31 Jan: PAS kawasan Labis khususnya calonnya di Tenang, Cikgu Normala Sudirman diseru supaya terus turun padang bagi memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat walaupun kalah dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Asas yang sangat baik telah dibina untuk Dun Tenang. PAS kawasan Labis, khususnya Cikgu Mala mesti terus turun padang," kata Mazlan Aliman AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan jentera PAS di PRK Tenang.

Menurut beliau, PAS menghormati keputusan pengundi walaupun jelas sekali dalam pilihan raya ini sebagaimana biasa PAS bertanding melawan jentera kerajaan pusat dan negeri Johor bukannya BN dan Umno.

"Adalah jelas PAS bertanding melawan jentera kerajaan (Pusat dan Johor)," katanya.

Sebagai parti politik, katanya, Umno dan BN tiada kekuatan apa-apa.

"Projek segera jutaan ringgit, sogokan dan propaganda media pro BN telah digunakan sepenuhnya (dalam kempen mereka)," kata beliau.

Mazlan juga berjanji, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) pimpinan beliau akan terus memperkasa gerakkerja sesuai dengan mottonya menarajui perubahan.

Beliau juga, bagi pihak jentera penerangan PRK ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat, petugas parti, dermawan, pengamal media dan sukarelawan yang datang dari seluruh negara bagi membantu jentera PAS dan Pakatan dalam pilihan raya kecil ini.


Selepas Tenang, PAS rangka strategi berkesan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Jan: PAS akan merangka strategi berkesan dalam pilihanraya seterusnya dan akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Demikian kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily ekoran kekalahan calonnya, Normala Sudirman di Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang, PAS senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata,.

Tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.

Berikut adalaah kenyataan penuh beliau:

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

“Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN N.05 Tenang”

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen, Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan.

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan.

Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini.

Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini.

Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.

Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan.

Kita senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem
demokrasi yang adil dan tulen.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

26 Safar 1432 H / 31 Januari 2011 M


Pengalaman ngeri 2 MP terperangkap di 'pulau' Pogoh
Harakahdaily

LABIS, 31 Jan: Dua Ahli Parlimen (MP) PAS menceritakan pengalaman ngeri mereka awal pagi tadi sehingga terperangkap dalam satu 'pulau' banjir di Pogoh.

“Kami sekarang berada di Kampung Bukit Limau Manis, Pagoh 3, Segamat. Kami telah memaklumkan kepada pihak berkuasa. Bantuan masih tidak kesampaian. Paras air semakin naik dan hujan masih turun.

(GAMBAR: Dr Hatta bergambar dengan kanak-kanak di 'pulau' Pogoh tempat beliau terperangkap sehingga jam 8.30 malam 31 Januari. Selepas itu, belliau dibawa dengan bot penduduk kampung keluar dari situ dan dalam perjalanan menaiki Hilux. Kereta beliau terpaksa ditinggalkan di pulau 'Pogoh" ini)

Bekalan elektrik terputus. Kami sekarang tengah menumpang in satu rumah orang kampung dan dilayani dengan baik,” tulis Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli yang tersangkut di kampung tersebut bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mengimbas kembali peristiwa ngeri semalam, Dr Hatta berkata beliau dan Mahfuz cuba meninggalkan Labis pada pukul 1.30 pagi, namun tidak berjaya kerana tersekat kerana kesesakan yang teruk di Segamat.

“Kami tidak boleh meneruskan perjalanan, oleh itu kami berpatah balik ke arah Labis dan mengambil jalan Felda Chempedak ke Pagoh.

Selepas mengharungi dua kawasan banjir, masalah kami bermula,” imbas Dr Hatta.

(GAMBAR: Mahfuz bergambar dengan keluarga angkat tempat beliau menumpang ketika terperangkap)

Dalam perjalanan menghala ke Pagoh, Dr Hatta berkata mereka menemui lima kawasan banjir namun mereka berjaya merentasinya dengan kereta T Fortuner.

“Kawasan banjir terakhir sangat dalam airnya dan air mengalir dengan sungguh deras sekali. Air juga memasuki kereta, namun kita berjaya sampai ke kawasan tanah kering. Ia sudah 3 pagi pada masa itu,” kata Dr Hatta yang mengklasifikasikan peristiwa itu tersebut sebagai ‘sangat ngeri’.

Selepas itu, Dr Hatta dan Mahfuz membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan, dan selepas satu minit daripada tempat kejadian ngeri tadi, mereka sekali lagi bertembung dengan kawasan banjir, di mana kali ini Mahfuz, yang juga Naib Presiden PAS menasihatkan Dr Hatta untuk tidak mengambil risiko untuk mengharungi kawasan banjir keenam ini.

“Saya setuju dengan Mahfuz dan menghentikan kereta di tepi jalan berdekatan dengan dua rumah kampung yang bersuluh,” kata Dr Hatta.

Sebelum berehat sejenak di kereta, Dr Hatta sempat meletakkan satu petanda di masa gigi air berada untuk melihat perubahan paras air.

“Saya tidur nyenyak sehingga masa untuk solat subuh dan mendapati petanda yang saya letak telah hilang dan paras air hanya beberapa kaki saja daripada kereta. Subhanallah. Kami terperangkap di dalam satu pulau!” kata Dr Hatta lagi.

Namun begitu, nasib malang Dr Hatta dan Mahfuz di’offset’kan dengan layanan mesra penduduk-penduduk kampung di Kampung Bukit Limau Manis di mana mereka dijemput untuk menumpang di salah semua rumah mereka.

“Kami dijemput oleh orang kampung, menunaikan solat dan diberitahu bahawa daripada pengalaman lepas mereka, ia akan mengambil masa beberapa hari untuk paras air turun. Ahh sudahh!

Nasib baik ada bekalan elektrik untuk mencajkan Blackberry,” kata Dr Hatta yang ketika itu berasa yakin bahawa mereka akan diselamatkan oleh bantuan JKM atau pasukan Ahli Parlimen kawasan tersebut sekejap lagi.

“Saya yakin bahawa JKM atau pasukan ahli parlimen kawasan ini akan datang dengan boat untuk memberikan ikan sardin. Aku pun akan buat muka welfare tadah tangan,” tambah Dr Hatta.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, sehingga jam 2 petang tadi, menurut Dr Hatta, masih tiada orang dan pihak berkuasa yang datang menghulurkan bantuan, dan keadaan bertambah perit apabila bekalan elektrik turut terputus di kampung tersebut.

“Kami masih menunggu,” itulah mesej terakhir yang dihantar Dr Hatta dan Mahfuz kepada Harakahdaily tengah hari tadi.



Khalid Samad: Tenang dan MB Selangor
Khalid Samad
1. Ada yang mengatakan MB perlu letak jawatan kerana ‘kalah’ dalam Dewan berhubung pindaan perlembagaan.

Respon saya: Selagi mana 34 adalah lebih dari 20 maka persoalan letak jawatan adalah tidak releven. Mungkin hasil dari pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris, UMNO merasakan 20 adalah lebih besar dari 34!

Keadaannya berbeza sekiranya BN mendapat undi lebih dari PR. Dalam keadaan itu mungkin boleh dikatakan bahawa MB telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan.

2. Ada yang mengatakan PR dikalahkan di DUN Selangor kerana usul pindaan ditolak.

Respon saya: Sebenarnya dalam soal ini, tiada yang menang dan tiada yang kalah. Apa yang berlaku, dan inilah apa yang diinginkan, ialah pendirian masing-masing menjadi jelas.

PR adalah pro-Raja Berpelembagaan dan pro-Federalisma. Ini adalah kerana PR mengemukakan pindaan yang ingin memberi peranan kepada Sultan dan Menteri Besar. Peranan Sultan akan dipertahankan oleh mereka yang menerima konsep Raja Berpelembagaan. Menolak peranan Sultan bererti menolak konsep Raja Berpelembagaan.

Menteri Besar adalah mewakili pilihan rakyat. Dia mewakili kerajaan Negeri. Menolak peranan MB bererti menolak hak Negeri dan hakikat bahawa Negeri adalah suatu entity yang berdaulat. Menolak hakikat ini bererti menolak Federalisma.

UMNO/BN menunjukkan melalui penolakan pindaan bahawa mereka ingin memusatkan kuasa di peringkat Pusat. Mereka anti-Raja Berpelembagaan dan anti-Federalisma. Hanya Pusat sahaja yang berperanan.

3. Ada yang mengatakan PR derhaka kerana menolak Khusrin.

Jawapan saya: Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang baru mengatakan PR derhaka kerana menolak Khusrin sedangkan Sultan merestu perlantikannya. Hakikatnya DYMM Sultan Selangor memahami perlembagaan Negeri Selangor. Baginda memahami bahawa dalam perlembagaan sekarang, Baginda tidak ada kuasa menolak perlantikan Khusrin kerana kuasa semuanya ditangan Pusat. Itulah sebabnya pindaan cadangan PR perlu.

Ketua Pembangkang tidak menjelaskan peruntukan mana di dalam perlembagaan yang boleh digunakan oleh Baginda Sultan untuk menolak perlantikan Khusrin. Dia tidak menjelaskannya kerana dia tahu memang tiada peruntukan sebegitu.

Oleh itu, penolakan pindaan telah mendedahkan penderhaka yang sebenar dan hujjah yang dibawa Ketua Pembangkang tidak berasas.

4. Kekalahan di Pilihan Raya kecil Tenang.

Semua tahu BN berjaya mempertahankan Tenang dengan majoriti yang bertambah. Ini sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan. Hakikatnya PrK adalah lebih sukar bagi kita berbanding PRU kerana dalam PrK seluruh kekuatan BN serta agensi kerajaan termasuk TV dan Radio ditumpukan di satu kerusi yang ditandingi. Bermacam-macam janji serta projek ditaburkan dan oleh itu BN boleh mendapat lebih ramai dari golongan atas pagar.

Ini adalah lebih lagi dalam negeri-negeri yang diperintah BN atau kawasan kubu mereka.

PrK penting bagi kita untuk terus menyemarakkan semangat ke arah membawa agenda perubahan. Kita pertahankan sokongan yang telah diperolehi selama ini dan bina kekuatan sambil menunggu PRU. Hakikat kita mampu menafikan majoriti 7 ribu di Hulu Selangor dan 5 ribu di Tenang seperti yang diramalkan BN menunjukkan kita mempunyai kekuatan yang lebih dari apa yang dianggarkan oleh mereka.

PrK Merlimau juga akan kita hadapi dengan penuh kesedaran bahawa ianya kawasan BN. PAS masih belum berjaya mendapatkan kerusi di Melaka dan PrK bukan mudah untuk dimenangi. Hanya, kita perlu turun dengan segala kekuatan yang kita ada untuk menentukan sokongan yang ada terus dipertahankan. Sambil itu ianya merupakan peluang untuk kita menyampaikan mesej kita dalam usaha bersiap sedia untuk PRU.

Bagi petugas-petugas PAS/PR, kita sudah lama memahami, kalah menang tetap sama kerana ganjaran kita berdasarkan usaha kita dan bukan keputusan yang dicapai. Oleh itu saya yakin bahawa petugas-petugas ini akan terus bersama dalam menghadapi PrK Merlimau dengan semangat yang tetap tinggi. Kalau BN mengharapkan semangat kita akan pudar, maka mereka akan kecewa.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD




PAS, PKR dan 71 NGO demo bantah Mesir
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Pemimpin PAS, PKR dan beberapa NGO hari ini berhimpun di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum menuntut agar regim Hosni Mubarak berundur.

Mereka berhimpun bagi menunjukkan semangat setiakawan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dan menuntut agar kerajaan yang ada tidak menggunakan kekerasan dan menerima tuntutan rakyat.

Antara yang hadir adalah AJK PAS Pusat Mohamad Sabu, Dr Syed Azman, Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan Tantawi dan juga ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.

Mereka berarak daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ sambil melaungkan kecaman ke atas Mubarak dengan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ratusan telah terkorban apabila ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.


Tiada ulasan: