Isnin, 7 Februari 2011

JIKA KITA ADA PERSAAN..KITA ADA MARUAH..JIKA TIDAK...KITA TAK BERMARUAH..KITA MENANG TIKET PARTI BKN INDIVIDU...SEPATUT YG DA KUAR PARTI LETAK JAWATAN

Pelancaran Dana Pendidikan PAS 13 Feb
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Program Makan Malam sempena pelancaran Dana Pendidikan PAS akan diadakan pada 13 Februari ini di Dewan Jubli Perak, Shah Alam bermula jam 8.30 malam.

Pengarah program, Dr Azman Ibrahim berkata, majlis itu akan dihadiri oleh Presiden PAS dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr Haron Din.

Katanya, majlis dimulakan dengan makan malam diikuti persembahan multimedia, ucapan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pendidikan dan Pengisytiharan LPA oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Seterusnya diikuti dengan ucapan Pelancaran Dana Pendidikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi serta penyerahan sumbangan dana dan ucapan penangguhan oleh Dr Haron Din.

Menurutnya, dalam menunaikankan hasrat dan tugasan yang diamanahkan oleh Lajnah Pendidikan PAS Pusat, pihak Jawatankuasa Panitia Pelaksana Program sedaya upaya cuba menyusun atur perjalanan majlis demi menyempurnakankan dua objektif utama iaitu merasmikan pelancaran Dana Pendidikan PAS dan keduanya, mengumpulkan sumbangan daripada para dermawan bagi mengisi tabung dana itu.

Beliau turut mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua yang menyumbangkan masa, tenaga, buah fikiran, kewangan dan sebagainya sama ada secara langsung atau tidak langsung demi kejayaan majlis yang bermakna itu.

Menurutnya, objektif diwujudkan dana itu adalah untuk membantu pembiayaan para pelajar dalam usaha melahirkan para ulama dan petugas parti, membantu institusi pendidikan rakyat merangkumi keperluan prasarana dan pengurusan di samping memberi bantuan untuk kebajikan guru dan pelajar serta perlaksanaan program-program berorientasikan pendidikan.

Jelasnya lagi, dana yang ditubuhkan oleh PAS Pusat itu bagi maksud untuk mengumpulkan sumber kewangan dan dibelanjakan berdasarkan objektif yang digariskan.

"Dana ini akan berkekalan bagi jangka masa yang tidak ditetapkan dan hanya akan ditutup atas sebab-sebab yang munasabah seperti akaun tidak aktif, tujuannya sudah tidak relevan dengan keadaan semasa atau atas arahan Jawatankuasa PAS Pusat," ujarnya.


Pengundi desak Gobala letak jawatan
Fakhri Ali

PADANG SERAI, 6 Feb: Desakan supaya Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat kawasan tersebut memuncak apabila sebahagian besar pengundi mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabatnya di hadapan Taman Kobis, Jalan Paya Besar, Lunas awal pagi tadi.

Demonstrasi aman yang bermula seawal jam 8 pagi tadi turut mendesak Gobala supaya bersikap 'gentleman' dan profesional supaya melepaskan jawatan yang disandang oleh beliau semasa mendapat sokongan dari Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Serai, Ustaz Mohd Fauzi Tahir yang berucap pada pagi tadi, turut mendesak Gobala supaya berundur dengan cara hormat.

"Dulu beliau melompat dan lantang membantah tindakan Adun Lunas, Radzhi Salleh yang menjadi wakil rakyat Bebas. Kini apabila beliau sendiri bercakap tidak serupa bikin, maka tunjukkan kejantanan beliau, memang beliau berani melepaskan jawatan.

"Jika benar beliau tidak mempunyai agenda tersembunyi kenapa tak nak letak jawatan sebagai Ahli Parlimen, letak dan undur. Kita adakan pilihan raya kecil. Tengok dan lihat. Apakah beliau akan dapat sokongan semula atau kecundang atas tiket Bebas. Saya harap beliau berani menerima cabaran ini," katanya lagi.

Manakala Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Padang Serai, Rohaya Yusof yang ditemui turut melahirkan rasa kecewa beliau dengan tindakan Gobala mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

"Kami yang mendokong beliau. Kami juga yang membantu beliau untuk memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada tahun 2008 yang lalu. Kini beliau bukan lagi wakil rakyat yang kami sokong.

"Oleh itu sahutlah cabaran pengundi kawasan ini, supaya lepaskan jawatan sebagai wakil rakyat. Berikan mandat kepada pengundi kawasan ini untuk meletakkan kedudukan sebenar beliau samada masih diterima atau tidak dalam kawasan ini," tegasnya lagi.

Para peserta penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang pelbagai mendesak Gobala supaya berundur.

Antara sepanduk yang dibawa berbunyi 'Jangan tipu pengundi', 'Jangan jadi barua politik', 'Padang Serai bukan hak MP bebas', 'MP gila wang tak layak jadi pemimpin' dan sebagainya.

Pihak polis turut membuat sekatan jalan raya berhadapan jalan masuk ke Taman Kobis, Paya Besar di mana demonstrasi aman diadakan.


Tanggung sendiri: Najib tidak boleh tuduh kerajaan difitnah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Feb: PAS menyambut baik jaminan kerajaan untuk menanggung semua kos bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir kembali ke tanah air seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan tersebut bagaimanapun agak lewat dibuat kerajaan sehingga timbul kekeliruan berkaitan perkara tersebut sebelum ini.

Ekoran kelewatan tersebut juga, maka Najib katanya tidak boleh menganggap tuduhan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang membiayai kos membawa pulang pelajar terbabit sebagai fitnah.

"Kita sambut baik jaminan kerajaan itu tapi Perdana Menteri tak boleh anggap dakwaan ibu bapa pelajar, dan rakyat bahawa kerajaan tiada wang dan pelajar kena tanggung tambang balik, sebagai fitnah.

"Saya difahamkan mereka mendapat maklumat dari Wisma Putra dan Kedutaan sendiri bahawa kos tambang balik dari Jeddah ke Malaysia kena tanggung sendiri sehingga ada yang telah membeli tiket sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Perkara tersebut juga kata Mahfuz turut dilapor media perdana sebelum ini.

Najib sewaktu mengumumkan jaminan tersebut di Masjid Jamek Kampung Baru semalam menganggap dakwaan kerajaan tidak mempunyai wang, adalah pembohongan dan fitnah besar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau seperti dilapor media berkata, isu tersebut telah dipolitikkan oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang seharusnya memberi kerjasama bukannya mempolitikkan isu berkenaan dengan menyebar fitnah.

Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan, pengumuman jaminan tersebut dibuat Najib ekoran malu kepada Putera Raja Arab Saudi, Putera Turki Abdullah Al Saud, kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Seperkara lagi kata Mahfuz, kerajaan juga tidak sepatutnya mengumumkan untuk merujuk dan berurusan dahulu dengan pihak swasta lain seperti Lembaga Tabung Haji, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia berhubung pembiayaan kos terbabit.

Tindakan tersebut katanya hanya hanya akan memberi gambaran bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menanggung sepenuhnya kos misi tersebut.

"Kita setuju pihak swasta tunai tanggungjawab sosial, tapi tak kan kerajaan nak tengok dulu swasta boleh bagi berapa.

"Sepatutnya umum tanggung penuh la, lepas tu bincang la nak cari duit dari mana," katanya lagi.


Tiada ulasan: