Selasa, 12 Jun 2012

NAMPAKNYA PR LEBIH BERSEMANGAT SERTA BERSEDIA...SEDANGKAN BN NAMPAK TAK KUAT@LONGLAI...SEMUA TEKNIK@CARA DIBUAT TAK MENJADI....MUNGKIN KESALAHAN TELAH BANYAK DILAKUKAN...DAN TAK BOLEH DITUTUP LAGI...BAU NYA HINGGA KELUAR....

Dewan Rakyat tolak usul bincang isu Scorpene

Muhammad Faizal, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak usul tersebut dalam kamar kerana tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat 23(1)h.

Sebelum itu, Nurul Izzah mengemukakan usul menangguhkan mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2) bagi mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan dengan tujuan merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai.

Melalui surat yang dikemukakan beliau meminta agar dewan mendesak Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Malaysia menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan isu komisen dan penjualan dokumen rasmi sulit dalam kes Kapal Selam Scorpene.

Menurutnya lagi, pendedahan isu komisen dan penjualan rasmi sulit Kementerian Pertahanan Malaysia mengenai Scorpene kepada Syarikat Pertahanan Perancis seperti yang didakwa oleh Suaram di Bangkok pada 30 Mei yang lepas boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

"Suatu dokumen yang sulit iaitu penilaian Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) terhadap Scorpene yang akan dibeli oleh kerajaan itu didakwa telah dibeli oleh sebuah Syarikat Pertahanan Perancis.

"Laporan yang didedahkan oleh Peguam Perancis, Joseph Breham yang mewakili NGO Hak Asasi Manusia atau Suaram mendakwa syarikat berkenaan didakwa membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd, dikatakan untuk kerja-kerja kejuruteraan komersial," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.

Tambahnya lagi, dokumen rahsia tersebut merupakan satu penilaian untuk tempahan kapal selam berkenaan yang mana ia merupakan laporan yang sangat sulit.

Menurutnya lagi, pendedahan ini perlu diperjelaskan kepada Dewan Rakyat dan juga rakyat bagi memberitahu betapa seriusnya isu itu lebih-lebih lagi melibatkan rahsia pertahanan negara.

"Kita tidak mahu rahsia negara boleh digadaikan begitu sahaja demi kepentingan politik sesetengah pihak.

"Saya mengesa Kerajaan Malaysia menjelaskan secara terperinci peranan syarikat Terasasi yang didakwa menjual rahsia negara kepada syarikat Perancis berhubung urusniaga RM4 bilion untuk membeli kapal selam," katanya.

Nurul Izzah turut menyatakan Dewan Rakyat sebelum ini tidak pernah dimaklumkan berkenaan dengan peranaan Terasasi dan juga peranan yang dimainkan Abdul Razak Baginda dalam transaksi yang melibatkan kertas penilaian Scorpene.

"Perkara ini sepatutnya dibincangkan tetapi saya kecewa kenapa ia ditolak adakah kerana ingin melindungi pihak-pihak tertentu itu," sambung beliau lagi

Kes B Kepong: Pengadu minta Mat Sabu dibebaskan

Harakahdaily, 11 Jun 2012
PULAU PINANG: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?
Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?
J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?
J : Ya, setuju.

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?
A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?
J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?
A: Setuju.

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan  beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis.

Kelantan benarkan balik qari wanita sertai tilawah

Salmah Mat Husain, 11 Jun 2012

(Anuar Ghazali menerima hadiah dari MB Kelantan)

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan memberi laluan semula kepada qari wanita (qariah) untuk menyertai tilawah membaca Al- Quran bermula tahun depan.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, ketika ia disekat 22 tahun lalu, ia hanya disekat sementara bukannya diharamkan.

Langkah ini, katanya diambil memandangkan banyak hasrat disampaikan melalui pertemuan dan surat agar membenarkan ianya diadakan semula "akhirnya ikatan sekatan itu dibuka semula bermula tahun hadapan."

Beliau berkata, kebenaran ini diberikan berdasarkan pendekatan serupa yang diambil Rasulullah dalam isu menziarahi kubur.

"Ketika itu, ada yang menangis, jilat kubur, cium dan lain-lain lagi," katanya.

Begitu juga di Kelantan, peringkat awal dahulu masyarakat tidak begitu berpegang pada syariat khususnya dalam menjaga aurat, berpakaian menjolok mata hingga tidak ada perbezaan lelaki dan wanita.

Sedangkan Allah jadikan ianya berbeza antara lelaki dan wanita, katanya.

"Kini banyak dah tutup aurat, amalan hidup juga berbeza banding dulu," katanya.

Beliau berkata kepada media selepas majlis makan tengahari bersama MB untuk meraikan johan tilawah Al-quran peringkat kebangsaan Anuar Ghazali.

Anuar yang mewakili Kelantan menjadi johan dalam tilawah itu dengan mendapat pencapaian tertinggi iaitu 93.6 peratus dan juga johan paling muda, 36 tahun.

Beliau bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

Ketika ditanya, tidakkah ia bakal menjadi isu, Nik Aziz menjawab, Kelantan sudah sentiasa menjadi isu dan tidak putus-putus.

"Lagipun dulu hanya kita sekat bukan haram terus," katanya.

Sudah 14 kali Umno ganggu ceramah PAS di Gopeng

Harakahdaily, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: "Sudah 14 kali ceramah PAS diganggu oleh UMNO BN di Gopeng. Malam tadi saya bersama Pak Jabit, YB Dr Lee Boon Chye dan Cikgu Nazri (bekas AJk UMNO Bahagian Gopeng) diganggu oleh ceramah UMNO di tempat yang sama yang jaraknya 50 meter sahaja.

"Dua hari sebelum ini juga diganggu dengan karaoke," demikian tulis Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir Masduki di dalam blognya hari ini.

Berikut ialah tulisan beliau.

Sudah 14 kali ceramah PAS diganggu oleh UMNO BN di Gopeng. Malam tadi saya bersama Pak Jabit, YB Dr Lee Boon Chye dan Cikgu Nazri (bekas AJk UMNO Bahagian Gopeng) diganggu oleh ceramah UMNO di tempat yang sama yang jaraknya 50 meter sahaja. Dua hari sebelum ini juga diganggu dengan karaoke.

Pihak polis tidak pula menghalang ceramah UMNO BN yang dianjurkan tanpa permit dan kebenaran polis. Sedangkan ceramah PAS ada kebenaran polis dan ikut peraturan. Kehadiran mereka tidak lebih 50 orang pun, berbanding ceramah PAS yang dihadiri hampir 500 orang.

PAS tetap bersabar sekalipun diganggu dan diprovokasi sedemikan rupa. Inilah politik biadab dan kebinatangan UMNO BN. Sempit sangatkah bumi Sg Rapat sehingga mereka anjurkan program berdekatan dengan program PAS, kalaupun nak buat ceramah ditempat yang sama, UMNO boleh buat malam esok dan jawab semua hujjah kita.

Ceramah PAS, ratusan yang hadir tanpa disediakan pengangkutan dan duit.


Ceramah UMNO, bas disediakan untuk mengangkut orang ramai dari luar, namun bawah khemah tetap kosong.

Perdana Menteri Malaysia mesti Melayu Islam

Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 11 Jun 2012
Baru-baru ini kita dihebohkan di media arus perdana berkenaan dengan satu isu kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mana berikrar akan terus berjuang supaya seorang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan alasan tiada undang-undang yang diperuntukkan untuk menghalang bukan Melayu menjawat jawatan tersebut. Kenyataan beliau ini boleh kita ditafsirkan sebagai sensitif dan boleh membawa kepada keresahan dalam kalangan masyarakat khususnya, masyarakat Melayu.
Hal ini disebabkan, kenyataan-kenyataan seumpama ini bukanlah kali pertama dikeluarkan oleh beliau. Sebagai contoh, ketika PAS bercita-cita ingin mengujudkan sebuah negara pemerintah Islam beliaulah orang yang kuat menentang saranan tersebut sehinggakan cita-cita PAS untuk mewujudkan sebuah negara Islam terpaksa diketepikan bagi menjaga hubungan antara DAP dan PAS.
Malah,  kenyataan beliau ini yang mahu seorang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri, merujuk kepada Lim Guan Eng telah membawa pelbagai persepsi berbeza dalam kalangan mahasiswa, parti politik, mahu pun masyarakat umum. Ternyata kenyataan ini sudah tentu memberi impak yang besar kepada orang Melayu khususnya. Hal ini disebabkan kenyataan seumpama ini boleh mengubah kuasa politik, terutama kuasa politik orang Melayu dan juga hala tuju pemerintahan negara antara 10 atau 20 tahun akan datang.  Hal ini disebabkan dari awal kemerdekaan negara sehingga sekarang, Perdana Menteri Malaysia adalah dalam kalangan orang Melayu sendiri, dan sejarah belum lagi tercipta yang mana bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.
Persoalannya adakah orang Melayu sanggup berperdana menterikan seorang yang bukan Melayu?  Penulis boleh menjangkakan jawapannya tidak. Hal ini melibatkan beberapa faktor, salah satunya ialah pengaruh sejarah politik negara dan juga suasana negara yang mana majoriti masyarakatnya adalah orang Melayu. 

Mengapa isu Perdana Menteri bukan Melayu timbul?

Walaupun di dalam Perlembagaan Malaysia dengan telah terang mengatakan bahawa  tiada peruntukan yang menyebut hanya orang Melayu sahaja yang boleh dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi kaum-kaum lain juga turut berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri jika mendapat undian yang cukup dari anggota parti yang membentuk kerajaan. Namun, perlu difahami bahawa kondusi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan majoritinya adalah masyarakat Melayu. Justeru, adalah wajar jika ketua eksekutif atau kerajaan dilantik dalam kalangan Melayu sendiri, yakin boleh membawa aspirasi  dan perpaduan negara. Tetapi mengapa isu ini timbul? Persoalan ini dapat penulis kaitkan dengan isu muzakarah antara pimpinan PAS dan UMNO yang dicadangkan sebelum ini, namun amat mendukacitakan apabila muzakarah yang dirancang sekian lama terkubur di tengah jalan, disebabkan beberapa perkara.
Jika kita ingin membincangkan berkenaan isu permasalahan UMNO dan PAS, perbezaan pandangan, hala tuju perjuangan melibatkan kedua-dua parti politik ini ia, terlalu panjang untuk dibincangkan di dalam ruang yang terhad ini. Namun, sejarah telah menceritakan bahawa kedua-dua kuasa politik ini amat liat untuk menemui titik persefahaman.
Jika ada usaha sekali pun untuk menyatupadukan kedua-dua parti politik ini ia pasti menemui kegagalan. Namun, apa yang dapat penulis katakan berkenaan isu Perdana Menteri bukan Melayu adalah gambaran kepada keresahan dan kebimbangan DAP jika  umat Melayu bersatu, melalui landasan UMNO dan PAS. Hal ini disebabkan jika Melayu bersatu melalui kedua-dua parti politik ini ia cukup ampuh, dan sudah pasti memberi satu kelebihan, dan nilai kekuatan kepada bangsa Melayu itu sendiri.  

Mengapa Melayu berat menerima Perdana Menteri bukan Melayu?

Faktor utama mengapa orang Melayu amat berat menerima Perdana Menteri bukan Melayu adalah kerana ia berkait rapat berkenaan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 153 yang mana bersangkut paut dengan hal-hal berkaitan hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, dan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Menurut pandangan penulis isu hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, dan agama Islam inilah menjadi punca utama keresahan orang Melayu apabila Karpal Sing menimbulkan isu yang mana akan terus berjuang supaya seorang Perdana Menteri yang akan dilantik dari kalangan bukan Melayu selagi beliau masih hidup. Walaupun Pakatan Rakyat (PR) berulang-ulang kali menyatakan bahawa sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan pusat pasca PRU 13, hak keistimewaan orang Melayu akan terus terpelihara dan terjamin menurut perlembagaan.
Namun, persoalannya benarkah ia betul-betul terjamin sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan persekutuan kelak. Perkara inilah masih menjadi igauan dalam benak fikiran orang-orang Melayu itu sendiri. Hal ini disebabkan, orang Melayu melihat bangsa Melayu masih bertatih di dalam menguasai pelbagai sektor terutamanya pegangan ekonomi.
Jika Perdana Menteri dilantik dalam kalangan bukan Melayu menurut Karpal Singh, orang Melayu menganggap ia satu lesen besar kepada DAP untuk mewujudkan konsep kesamarataan dalam apa juga sektor, ekonomi, pendidikan, perniagaan, pegangan saham dan sebagainya. Secara tidak langsung ia menjarakkan lagi jurang ekonomi antara Melayu dan bukan Melayu, yang kaya terus mengaut kekayaan, manakala yang miskin akan terus tertindas.  Mungkin kita tidak melihatnya secara kasar atau melalui pembentuk dasar-dasar negara, namun ia boleh berlaku dalam bentuk yang lebih halus sehinggakan orang Melayu tidak sedar apa yang sedang berlaku.

Ditambahkan lagi, sekiranya Perdana Menteri yang bakal dilantik sekali pun dalam kalangan Melayu Islam sekiranya PR menang dalam PRU 13 nanti dan berjaya membentuk kerajaan persekutuan. Namun, timbul pula persepsi dalam kalangan Melayu bahawa Perdana Menteri yang dilantik hanyalah Perdana Menteri boneka semata-mata seperti yang digambarkan kepada Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak suatu ketika dahulu.
Walaupun Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak namun orang di kiri dan di kanan beliau adalah orang-orang DAP yang boleh mempengaruhi beliau membuat keputusan. Sama juga situasinya di peringkat pusat jika Perdana Menteri yang dilantik dalam kalangan Melayu, namun ia tidak ubah hanya sebagai simbol semata-mata bagi mengelakkan kemarahan orang Melayu.
Hal ini disebabkan orang Melayu melihat parti DAP lebih bersifat  rasis berbanding MCA kerana orang Melayu melihat DAP adalah parti yang mewarisi semangat Malaysia Malaysia dari parti PAP pimpinan Lee Kuan Yew. Setelah Singapura berpisah dengan Malaysia pada 1963, DAP dikatakan sebagai parti sapihan daripada PAP dan yang mana membawa ideologi yang hampir sama yang pernah diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu.

Bagaimana Perdana Menteri bukan Melayu beragama Islam?

Hal ini dapat kita sandarkan kepada kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Azizi Nik Mat yang mana meletakkan syarat bahawa Perdana Menteri yang bakal dilantik sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya mestilah beragama Islam, manakala soal kaum yang bakal dilantik beliau tidak kisah asal Perdana Menteri tersebut beragama Islam. Beliau menambah lagi, negara ini adalah negara umat Islam maka Perdana Menteri yang bakal dilantik sebagai pemimpin utama negara mestilah dalam kalangan pemimpin beragama Islam supaya orang Islam boleh memimpin orang Islam dan bukannya orang bukan Islam memimpin orang Islam.
Malah idea ini juga, turut dikongsi oleh bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mana senada dengan Mursyidul Am PAS  Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Perdana Menteri mestilah beragama Islam tetapi tidak mengira kaum. “Mana-mana kaum di Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri, asalkan beragama Islam. India Muslim, Cina Muslim sekali pun boleh memerintah, yang penting agama mesti Islam” (Sinar Harian 28 Mei 2012).

Apabila kita melihat komen dan pandangan kedua-dua tokoh ini dapat disimpulkan bahawa syarat utama Perdana Menteri yang bakal dilantik mestilah beragama Islam tanpa mengira kaum di Malaysia. Namun, harus kita ingat bahawa kaum majoriti di Malaysia adalah Melayu dan kita perlu mengambil semangat ini untuk menetapkan bahawa orang Melayulah yang lebih layak dilantik mengisi kerusi Perdana Menteri sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya kelak.

Musyidul Am dan Presiden PAS ke Johor

Harakahdaily, 11 Jun 2012
BATU PAHAT: PAS negeri Johor akan melancarkan program Gelombang Hijau Menuju Ke Putrajaya di sini dan di Muar pada Sabtu, 16 Jun ini dengan penyampaian amanat penting Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Program ini sebagai lanjutan dari Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Alor Star 1 Jun lalu.

Program tersebut terbahagi kepada tiga segmen seperti berikut:

Pada jam 11 pagi hingga 3.00 petang, 16 Jun: Jamuan Rakyat bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di nombor 79 Jalan Besar Tongkang Pechah, Batu Pahat.

Tetamunya, Abdul Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang.
Kupon menyertainya berharga RM10.00 dijual.

Menyusul ialah program Hi-Tea bersama Presiden PAS pada jam 4.30 hingga 6.30 petang, di KM 9 Kampung Sungai Terap Jalan Bukit Pasir, Muar.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Pada sebelah malamnya, ‘Munajat dan Ceramah Perdana’ di Nombor P17 Kampung Parit 2 Sagil, Ledang.

Penceramah: Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Haji Salahuddin Ayub dan Pesuruhjaya PAS, Johor, Datuk Dr Haji Mahfodz Mohamed.

PAS negeri Johor mengharapkan semua ahli dan penyokong supaya menghadiri program tersebut dan menangguhkan semua program lain yang telah dirancang sebelum ini.

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz bin Nik Mat akan berada di Johor dan akan menyampaikan ceramahnya pada 29 Jun.

Semua program PAS di negeri Johor ini adalah dalam rangka bersiapan PAS negeri Johor untuk menghadapi pilihan raya akan datang di mana PAS bersama Pakatan Rakyat negeri Johor dilihat mempunyai potensi besar untuk menang di negeri tersebut.

Pemuda Pakatan Melaka sedia hadapi PRU

Ahmad Danial, 11 Jun 2012

(Pemuda Pakatan Rakyat Melaka sedia untuk hadapi pilihan raya ke 13)

MELAKA: Perpaduan dan kerjasama satu pasukan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Melaka semakin erat dari masa ke semasa.

Semalam satu lagi program besar menggabungkan ketiga-tiga parti komponen PR di Melaka diadakan di mana Himpunan Pemuda PR Melaka telah berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

Ketiga-tiga pimpinan Pemuda PR di peringkat pusat turun padang ke Melaka membuktikan keutuhan dan kesepaduan kerja antara mereka.

Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada petugas-petugas pemuda PR Melaka.

Program yang dijalankan di Dewan Pejabat DAP Melaka, Lorong Pandan di sini semalam, dihadiri lebih dari 300 petugas pemuda dan pimpinan PR setempat.

Dalam ucapan masing-masing, ketiga-tiga pimpinan tertinggi pemuda ketiga-ketiga parti melahirkan keyakinan bahawa PR akan menumbangkan BN pada PRU 13 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru di Putrajaya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pemuda PAS akan turun habis-habisan pada pilihanraya umum ke 13 nanti bagi memastikan PR menang bagi menggantikan kerajaan BN yang jelas gagal mentadbir Malaysia.
"Pemuda PAS sentiasa bersedia untuk menggalas tugas yang diamanahkan oleh pimpinan PAS dan PR," ujar beliau.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar menyelar tindakan Umno/BN Melaka yang bertindak liar mengganggu ceramah dan program PR di Melaka akhir-akhir ini.

"Gangguan yang di lakukan UMNO Melaka dalam setiap program yang dilaksanaka Pakatan Rakyat Melaka menjadi bukti bahawa UMNO sudah tertekan dan tidak berupaya untuk berlawan hujah dengan PR".

"Bila mereka tertekan dan tidak berupaya menjawab segala fakta dan hujah kita, mereka menggunakan samseng dan gangster mengganas dan mengganggu program kita," tambah Shamsul.

Sementara itu Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke dengan tegas mengulangi ikrar untuk memastikan PR menubuhkan kerajaan baru di peringkat pusat dan negeri.

"Rakyat jelas sudah menolak BN, kita akan pastikan PR menang majoriti kerusi Parlimen dan Dun, kita akan bentuk kerajaan baru yang jauh lebih baik dari BN," tegas Anthony Loke yang juga merupakan Ahli Parlimen Rasah.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua DAPSY Melaka, Tey Kok Kiew, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah dan Ketua AMK Melaka, Law Bing Haw.

Khalid cabar pusat jangan ambil cukai Selangor

Khaulah Azwar, 11 Jun 2012
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mencabar Kerajaan Pusat agar tidak mengambil wang cukai daripada kerajaan negeri Selangor jika tidak mahu membantu rakyat Selangor.

Beliau berkata, pendidikan percuma mampu dilaksanakan sekiranya segala sumber cukai rakyat negeri Selangor tidak disalurkan kepada Kerajaan Pusat sebaliknya diuruskan dengan lebih baik oleh kerajaan negeri.

“Jika dilihat, negeri Selangor menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah keseluruhan kekayaan Kerajaan Pusat.

“Walaupun urusan universiti ini di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, namun jika kita diberi peluang mengurus sumber dan hasil yang diperolehi sendiri, maka kita dengan senang hati akan melaksanakan dasar pendidikan percuma di negeri ini,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Kejohanan Etiqa Selangor International Junior Masters 2012 di Kelab Golf Seri Selangor petang semalam.

Ujar Khalid lagi “Sebelum isu ini ditimbulkan, kita memang sudah ada rancangan untuk menggunakan aset-aset Unisel bagi tujuan penambahbaikan prasarana, pembesaran dan sebagainya.

“Sebab itu kita pantas menyediakan pelan tindakan jangka pendek bagi membantu ibubapa dan pelajar jika PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) meneruskan rancangan pembekuan pinjaman terhadap pelajar baru Unisel kerana kita mempunyai aset yang cukup untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, dengan pengumuman terbaru penarikan pinjaman itu, kita rasakan adalah lebih baik aset yang ada digunakan untuk pelan jangka panjang pembangunan Unisel dengan harapan lebih ramai lagi pelajar dapat kita beri tempat di masa hadapan,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, Abdu Khalid juga enggan mengulas lanjut cabaran Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin untuk Kerajaan Negeri menyediakan dana RM30 juta seperti diumumkan.

Abdul Khalid dengan sinis meminta pimpinan Umno-BN belajar dahulu cara menguruskan dana rakyat.

“Barangkali Kerajaan Pusat tidak mengajar mereka untuk menguruskan dana rakyat dengan betul dan amanah serta berintegriti.

“Jadi adalah lebih baik mereka diam sahaja dan cubalah belajar untuk menjadi pemimpin yang sebenar dalam memastikan setiap dana yang dibelanjakan itu berbaloi bagi setiap sen dan bukan disia-siakan seperti yang sering dilakukan mereka,” kata beliau.

Tiada ulasan: