Selasa, 12 Jun 2012

JIKA DIKAWAL...UNIT AMAL DAN POLIS BERKERJASAMA....TIADA SABOTAJ...PERHIMPUNAN BERHIMPUN CARA AMAN...BERSURAI PUN AMAN..PEMBUAT KACAU AKAN ALLAH HUKUM JUA...KITA TUNGGU ORANG2 YANG DIZALIMI BERDOA...MAKA DOANYA AKAN ALLAH MAKBULKAN....INSYAALLAH

Bersih 3.0: Menteri KDN patut tanggung kerugian

Mohd Sayuti Omar, 11 Jun 2012
Kalau Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bersama polis bijak membaca keadaan dan pandai menguruskan keselamatan awam negara tidak mengalami kerugian sebanyak RM1.8 juta dalam tempoh hanya beberapa jam saja. Tetapi kerana Hishammuddin dan pasukan polis tidak bijak menyebabkan wang sepatutnya boleh digunakan untuk membeli uniform baru polis hangus begitu sahaja.
Kerugian wang negara sebanyak RM1.8 juga itu kerana digunakan untuk mengawal himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini. Jumlah itu tentulah untuk membayar gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan himpunan dan juga tanggungan-tanggungan lain termasuk membayar rawatan anggota polis cedera dalam himpunan berkenaan.

Angka itu dikeluarkan hari ini oleh kementerian dalam negeri di parlimen bagi menjelaskan pertanyaan wakil rakyat DAP Batu Gajah (Fong Po Kuan).


Dalam kejadian itu kementerian dalam negeri memberi tahu sebanyak 909 kelongsong gas pemedih mata digunakan pada himpunan pada 28 April itu di mana jumlah tersebut tiga kali ganda daripada yang digunakan dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lepas. Jumlah ini mengesahkan bahawa Bersih 3.0 lebih hebat dan ramai berbanding dengan kehadiran pada Bersih 1.0 dan Bersih 2.0.


Turut sama dijelaskan sebanyak 58 lagi jenis gas yang dibaling dengan tangan terhadap para himpunan. (Cis... kepada polis jahat).


Barang kali wajar kalau mana-mana parti bakal membentuk kerajaan di masa akan datang tidak melantik orang-orang yang tidak bijak ataupun kurang akal dalam menyelesaikan apa juga isu membabitkan rakyat kerana disebabkan kelemahan itu kerajaan terpaksa mengalami kerugian. Bayangkan kalau menteri dalam negeri dan juga perdana menteri gentleman membenarkan himpunan itu berlangsung secara aman negara tidak mengalami kerugian sebanyak itu dan wang RM1.8 juga boleh diagihkan untuk perkara lebih berfaedah.


Sebenarnya kalau hendak dihitung jumlah kerugian itu bukan saja bagi kerajaan tetapi peserta juga mengalami kerugian sama. Betapa tidak beratus buah telefon bimbit, kamera, kereta, motosikal juga mengalami kemusnahan disebabkan kerakusan polis.  Semasa peserta himpunan lari bercelidar disebabkan amukan polis, berbagai peralatan peribadi termasuk dompet, beg tangan, gedget, kasut, selipar dan pelbagai peralatan IT bertaburan di  jalanan.

Semoga untuk masa akan datang kejadian seperti itu (yang boleh dilakukan dengan baik) tidak diurus dengan rakus semata-mata kerana kerajaan UBN ingin memberi gambaran kepada umum yang himpunan Bersih jahat. Kini orang ramai dapat menilai sendiri siapa yang selama ini mengkhianati harta benda negara ataupun membelanjakan wang negara di tempat tidak wajar dan mengetahui apakah punca dan di mana kelemahannya. - http://www.msomelayu.blogspot.com/

Kutuk pembunuhan umat Islam Rohingya

Harakahdaily, 11 Jun 2012
Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan dan pemimpin Islam di Malaysia dan seluruh dunia segera mengambil berat perkembangan yang sedang berlaku ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar sekarang ini.


Sejak 3 Jun baru-baru ini 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu dibunuh dalam sebuah bas yang sedang pulang dari majlis Tabligh untuk kembali ke Rangoon, oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine.


Mereka diserang setelah seorang wanita Rakhine dikatakan telah dirogol dan dibunuh oleh orang Rohingya.

Lanjutan itu kami dimaklumkan puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan.


Manakala kampung  Sara Prang dan Tarang Shong di daerah Rathidong telah dibakar semuanya sehingga tidak ada seorang pun lagi yang tinggal.

Akibatnya ketegangan telah tercetus bila orang Islam Rohingya terus dijadi sasaran oleh Buddhis Rakhine termasuk di kawasan kampung lain di seluruh  wilayah Arakan.



Setakat ini  pertempuran antara pendudukan etnik Rohingya Muslim dan pihak keselamatan  telah merebak ke beberapa perkampungan lain. Laporan yang diterima polis menembak ke arah penduduk dan sehingga kelmarin beberapa orang telah terbunuh sementara ramai yang cedera.

Dari maklumat langsung dari Maungdaw kami diberi informasi  bahawa sebenarnya ramai umat Islam Rohingya  yang telah dibunuh dalam tempuh beberapa hari yang lalu. Dari berita Kaladan Press Network dilaporkan 100 orang Rohingya telah ditembak mati dan lebih 500 orang lagi cedera di Maungdaw.


Namun mayat mereka yang dibunuh telah diangkut oleh tentera dan polis dan sehingga ini tidak diserah kepada keluarga yang berkenaan. Oleh sebab itu tidak ada maklumat tepat bilangan yang terbunuh sehingga ini.


Namun pelarian Rohingya di Malaysia melaporkan kepada kami mereka berhubung langsung dengan keluarga di Arakan dan mendapati ramai yang tercedera tapi tidak dibenarkan mendapat rawatan di hospital. Akibatnya ramai yang mati dalam keadaan tidak mendapat ubat dan rawatan yang diperlukan.


Lebih memeranjatkan kami, pihak keselamatan, polis dan tenterakini dilaporkan telah bekerjasama dengan etnik Rakhine untuk melancarkan serangan ke atas etnik Rohingya Muslim.

Walaupun dharurat diisytiharkan di Maungdaw dan kini di seluruh Arakan , pihak polis dan pengganas Rakhine dilaporkan terus menyerang penduduk Rohingya tanpa belas kasihan.

Pihak berkuasa telah menguatkuasakan Akta 144 yang menghadkan pergerakan penduduk   namun etnik Rakhine telah dibiar bebas berkeliaran di bawah pengawasan polis untuk membakar rumah dan merampas barangan penduduk Rohingya.


Setakat ini, berita yang diterima, empat perkampungan telah diserang dan dibakar. Rumah penduduk di sebuah kampung Samamia Para @ Myothu Gi telah dibakar termasuk sebuah masjid turut dirosakkan.


Rumah orang Rohingya dikawal rapi oleh pihak keselamatan  namun bukan untuk melindungi mereka akan tetapi untuk menembak mereka jika mereka keluar rumah . Lantaran itu penderitaan umat Islam Rohinga dalam beberapa hari ini bertambah parah bila mereka tidak dapat keluar dari rumah untuk membeli keperluan makanan seharian.


Kelmarin, 9 Jun sebuah kampung iaitu Hazmia Para telah juga diserang dan dibakar.


Terbaru, 10 Jun dua kampung paling besariaitu Warlispara dan Saki Para (dua kampung paling ramai umat Islam Rohingya) yang mempunyai Madrasah dan ribuan pelajar telah diserang oleh pihak Rakhine. Dilaporkan ramai yang terbunuh, masjid dan Madrasah di kampung tersebut juga dibakar.


Dari maklumat terkini semua perhubungan terputus dari Arakan termasuk tidak membenarkan sebarang rakaman mengenai apa yang berlaku di Arakan. hanya melalui rangkaian telekomunikasi dari bandar sempadan dengan Bangaladesh iaitu Maungdaw sahaja telefon boleh berfunsgsi untuk mendapat maklumat.


Kami mengutuk dengan keras terhadap pihak berkuasa Myanmar yang sejak 1982 telah melancarkan penghapusan etnik terhadap kaum Rohingya. Umat Islam Rohingya pernah diperlaku secara kejam oleh regim tentera Myanmar pada tahun 1942 yang mengakibat 100,000 orang Rahingya terbunuh.


Kini lebih 400,000 pelarian Rohingya berada di kem pelarian di Bangladesh, 60,000 di Thailand 150,000 di Pakistan  40,000 di Malaysia. Puluhan pelarian di kem pelarian di Kutupalong dan Coax Bazar di Bangladesh berada dalam keadaan sangat dhaif kerana pihak berkuasa Bangladesh tidak memberi sebarang bantuan.


Nasib umat Islam Rohingya yang berada di Myanmar berada dalam keadaan yang sangat buruk dan sangat tenat. Undang-undang dan operasi keselamatan Nasaka sejak 1982 telah mengakibat kesengsaraan yang berat keatas Umat  Islam Rohingya yang maseh berada di wilayah Arakan , Myanmar.


Antara penderitaan yang dialami ialah perampasan rumah, tanah, ternakan , pemusnahan masjid, arahan tidak dibenarkan membaikki mana-mana masjid , ratusan Masjid dimusnah dan diganti dengan Pagoda Buddha, perkahwinan dan pergerakkan yang dihadkan hanya dengan keizinan tentera, penangkapan, penyiksaan tanpa bicara, perkosaan wanita dan pemaksaan keluar dari Islam dan dipaksa menganut Buddha.


Penduduk Rohingya didera sehingga tidak dibenarkan memilikki walaupun pisau atau parang untuk kegunaan di rumah kecuali dengan izin tentera. Malah mereka juga tidak boleh memiliki telefon bimbit. Ada yang ditangkap dan dipenjara sehingga 7 tahun hanya kerana memilikki telefon bimbit.


Kami dengan ini mendesak kerajaan Malaysia segera mengambil tindakan untuk mengerakkan inisiatif dari pihak ASEAN agar pembunuhan ini dapat dihentikan dan etnik Rohingya dibela dan dilindungi. Sekretariat ASEAN perlu melaksanakan polisi melindungi hak Asasi Manusia dikalangan anggotanya terutama selepas Persidangan Kemuncak ASEAN pada 2009.


Kami juga menyeru supaya kerajaan Malaysia menyatakan pendiriannya mengenai pembunuhan umat Islam oleh regim tentera Myanmar yang memberi kerjasama kepada golongan rasis nasionalis Rakhine Buddha.


Kami menegaskan jika penyembelihan umat Islam di Myanmar berterusan, kami akan bertindak dengan lebih tegas dan berkesan supaya regim tentera Myanmar tidak sewenangnya menzalimi Umat Islam Rohingya di Myanmar.


Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA


Mohd Azmi Abdul Hamid

Setiausaha Agung MAPIM


967 gas pemedih mata dilepaskan pada Bersih 3.0

Salmiyah Harun, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Sebanyak 967 butir gas pemedih mata telah dilepaskan dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Jumlah itu lebih tiga kali ganda berbanding dalam perhimpunan Bersih 2.0, iaitu sebanyak 262 butir.

Tembakan yang dilepaskan dalam Bersih 3.0 itu termasuk 909 butir 'shell tear smoke' dan 58 butir 'grenade tear smoke'.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussin dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan.

Dalam jawapan itu, Hishammuddin turut memberitahu kerajaan telah menanggung kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta akibat daripada penganjuran perhimpunan itu.

Fong Po Kuan dalam soalan lisannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota yang bertugas, perbelanjaan pada hari tersebut.

Sementara itu, Hishammuddin memandang serius sebarang pelanggaran Peraturan sedia ada (SOP) yang telah ditetapkan dan dua anggota polis telahpun didakwa di mahkamah.

"Sekiranya terdapat mana-mana anggota keselamatan terbukti bersalah melanggar SOP yang telah disediakan, tindakan undang-undnag akan tetap diambil terhadap anggota berkenaan," katanya.

Pengkhianatan BN memang realiti, bukan persepsi

Harakahdaily, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menutup kelemahan BN yang semakin terhakis sokongan dengan menyalahkan media baru yang menyebarkan fitnah kepada BN sehingga orang mula membenci dan membentuk persepsi buruk terhadap Umno BN.

"Selama ini yang membuat fitnah ialah cyber trooper pro Umno cuba menggunakan media baru untuk memfitnah pemimpin Pakatan Rakyat namun tetap tidak berjaya," kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Terbaru, katanya terdapat gambar Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat bersalam dengan Ambiga, pada hal gambar asal Ambiga bersalam dengan Hillary Clinton.

Sebelum ini, kata beliau gambar Lim Guan Eng menyembelih lembu korban disebarkan sedangkan hakikatnya ialah gambar Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang sedang menyembelih lembu korban.

"Apakah isu NFC yang diberi kepada suami Sharizat sebanyak RM250 juta satu persepsi?

"Adakah cerita hapus hutang sebanyak RM589 juta kepada Tan Sri Tajudin Ramli satu persepsi sedangkan anak-anak muda yang berhutang dengan PTPTN sebanyak RM30,000 dikejar sampai dalam kelambu?" ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan apakah satu fitnah apabila pemimpin PR mendedahkan isu kontrak bernilai RM30.8 juta yang melibatkan syarikat Istijuara Sdn Bhd milik anak Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Tanya beliau lagi, adakah Raja Farhana Raja Nong Chik akan mendapat projek sebanyak ini jika bukan anak Raja Nong Chik.

"Apakah tindakan bebal pemimpin Umno yang memberhentikan PTPTN kepada Unisel dan KUIS satu fitnah?" tanya beliau lagi.

Tambahnya, tindakan seorang pemimpin yang buta perut terhadap konsep federalisme, seolah-olah Selangor bukan berada di dalam peta Malaysia.

Justeru, tegasnya politik ugut bukan lagi sesuai di zaman millenium baru, ia sesuai di zaman batu.

"Stail ini seolah-olah melawan arus yang besar dan memberi kesan kepada persepsi buruk kepada kerajaan BN," jelasnya.

Katanya, anak-anak muda yang menjadi pengundi baru seramai 2.4 juta yang berumur 40 tahun ke bawah amat benci stail politik seperti itu yang mana mereka akan terjemahkan di dalam peti undi.

Beliau berkata, kehadiran hampir 70% anak muda di dalam himpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau Ke Putrajaya adalah angka petunjuk mereka benci dengan politik kotor BN.

Ganas: Konstabel didakwa, pegawai atasan terlepas

Salmiyah Harun, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengkaji semula Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ekoran tindakan keras anggota itu terhadap peserta Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Tegasnya, panel penyiasatan yang dibentuk dilihat tidak ada keupayaan menjalankan siasatan yang bebas.

Dalam soalan tambahannya, beliau berkata dalam himpunan tempoh hari jumlah mereka yang cedera parah terlalu besar berbeza dalam himpunan sebelum ini.

Malah beliau menyifatkan pertuduhan terhadap dua anggota polis berpangkat konstabel yang didakwa melakukan kekerasan kepada jurugambar dalam insiden itu, tidak mencukupi.

Ini kerana katanya, pegawai atasan yang bertanggungjawab akan terlepas begitu sahaja.

"Dakwa dua pegawai di peringkat bawahan untuk melepaskan orang yang lebih tinggi yang bertanggungjawab. Itu bukan alasannya," katanya.

Pertuduhan itu, katanya tidak akan berjaya menangani isu tindakan kekerasan polis pada masa akan datang.

Ketika menjawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula IPCMC.

Nazri sebelum ini berkata, hanya dua konstabel polis diambil tindakan sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap dakwaan kekejaman polis semasa perhimpunan pada 28 April itu.

Himpunan Hijau berbeza dengan Gelombang Biru

Abdul Hadi Awang, 11 Jun 2012

Himpunan hijau anjuran PAS adalah siri ijtimak yang diadakan sejak lebih tiga puluh tahun di peringkat nasional, negeri dan kawasan.  Di peringkat nasional dianjurkan tidak secara tahunan, tetapi mengikut masa yang dikira sesuai bagi mengumpulkan ahli di seluruh negara.

Setiap himpunan mempunyai tema bagi memperkasakan aqidah perjuangan PAS dan membangkitkan semangat ahli serta penyokong.

PAS tidak terikut-ikut atau terpengaruh dengan pihak lain, termasuk yang menganjurkan beberapa himpunan gelombang biru yang dikatakan menghimpun berjuta peserta.

Bahkan ternyata perbezaan yang jauh laksana langit dan bumi, seperti berbezanya warna hijau dan biru itu. Aturcara dan pengisiannya juga sangat tidak sama.

Ahli dan penyokong PAS sahaja dikerah datang dari seluruh pelusuk negara. Mereka datang mengikut arahan pemimpin dengan kenderaan dan cara masing-masing dengan duit sendiri.

Mereka yang datang menyertai gelombang biru lain caranya. Kalau tidak ada habuan yang nampak dimata dan seronok didengar, mereka tidak bersedia pun untuk datang.

Himpunan hijau dihitung sendiri oleh mereka yang datang dan menyaksikannya. Gelombang biru memerlukan tambah nilai dengan berbagai cara penggambaran melalui sudut yang ramai peserta, bukannya semua sudut dan disolek melalui penyiaran  melalui media yang dikuasai sepenuhnya.

Setiap ahli dan penyokong PAS yang datang ke himpunan hijau mengharapkan pahala daripada Allah. Duit dan tenaga terpaksa dikorbankan kerana yakin adanya pahala, walau apapun orang mengata.

Mereka yang menyertai gelombang biru sila nyatakan, adakah mereka juga mahukan pahala?

Himpunan hijau didahulukan dengan pesanan supaya para pimpinan disemua peringkat supaya berjuang dengan sifat taqwa dan ikhlas menegakkan Islam tepat dengan petunjuk Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. dengan akhlak yang mulia dan hanya percaya kepada janji Allah dunia dan akhirat.

Kalau ditunjuk-tunjuk zahir sahaja tiada fadilatnya dan cabut lari, tanpa  dilihat habuannya dengan mata kasar dan tidak diketahui bila masa mencapainya, sehingga ternganga, tiba-tiba diminta menghulurkan derma pula, tetapi yakin dan percaya kepada janji Allah.

Gelombang biru dipenuhi ucapan janji kebendaan dan kemewahan melempah ruah. Diminta menunggu bila hendak ditaburkan. Akan diberi apabila ditadah tangan, disuap sebaik sahaja dinganga dan ada yang datang dijemput untuk mengambil atau dibawa bergolek datang ke rumah  atau menadah poket untuk diisi. Semuanya sudah siap dengan angka berbilion ringgit.



Kemuncak himpunan hijau dimulakan dengan sembahyang Maghrib berjamaah, sembahayang hajat secara bermunajat mengadu dan merayu kepada Allah dan sembahayang isya berjamaah.
Selepasnya mendengar ceramah para pemimpin PAS dan tokoh masyarakat daripada berbagai bidang yang baru menyertai PAS. Diselangi pula dengan laungan takbir, sama ada menyubur semangat atau dibenci syaitan yang tidak suka dengan laungan takbir. Seterusnya diakhiri dengan doa yang dipimpin oleh Mursyid Am.

Ada pun kemuncah gelombang biru ialah pesta hiburan oleh kumpulan K- pop atau sewaktu dengannya. Walau pun melangkah waktu sembahayang fardu, kerana agama hak masing-masing tidak bercampur dengan politik.  Diikuti pula nyanyian bergema bersama sorak surai terlalu gembira, disertakan dengan tari-menari kerana terlalu gembira.

PAS mengerahkan ahli bagi himpunan hijau supaya bersiap sedia menghadapi pilihanraya umum, walau pun belum diumumkan. Kerja pilihanraya mesti dilakukan daripada sekarang. Bersiap sedia menghadapi piliharaya dengan cabaran banyak penipuan yang nyata dan tersembunyi.
Gelombang biru dianjurkan untuk menabur umpan terlebih dahulu secara janji kalau menang dan  sewaktu pilihanraya juga sudah dapat upah.
Para pemimpin dalam keadaan teragak-agak menentukan tarikh pilihanraya kerana mereka yang datang belum tentu mengundi Barisan Nasiaonal.

Penganjur tetap dibayangi kebimbangan  gelombang berlalu dengan meninggalkan mata kail sahaja dan umpannya hilang entah ke mana.

Demikianlah perbezaan mukadimah dan pengisian diantara Himpunan Hijau anjuran PAS dan gelombang Biru anjuran Umno.

Himpunan hijau membuktikan bahawa hampir sejuta ahli PAS sedia mengikut arahan para pemimpinnya diseluruh negara, bukan sahaja berhimpun, bahkan bekerja dengan pendekatan terkini bersama Pakatan Rakyat.

Kerahan dibuat hanya kepada ahli-ahli Pas sahaja, kerana kita tidak mahu diramaikan oleh bukan ahli PAS, termasuk kalangan parti-parti pakatan rakyat. Sekurang-kurangnya menyatakan PAS boleh ganti Umno dan Gagasan Pakatan Rakyat menggantikan Barisan Nasional.

Maka PAS menyeru secara khusus kepada umat Islam, kebanyakannya adalah berbangsa Melayu, bahawa parti kebangsaan Melayu yang bernama Umno sudah habis tempoh tugasnya dan perlu direhatkan, seperti parti–parti lain diseluruh dunia yang mengamalkan demokrasi.

Bukan sahaja telah berlalu lebih lima puluh tahun sejak merdeka menjadi tulang belakang kepimpinan negara, tetapi menjadi parti yang leka dan melekakan rakyat dengan hiburan dan janji kemewahan demi terus menang walau pun menipu rakyat tanpa menyelesaikan masalah yang telah berlalu.



Dihinggapi pula masalah baru dan masalah yang akan datang. Walau pun sudah ada kalangan pemimpinnya yang berani berkata :”Melayu Mudah Lupa!”.

Himpunan hijau menghimpunkan ahli dan penyokong Pas daripada berbagai bangsa yang menganut Islam dan kalangan bukan Islam yang mendukung perjuangan politik Islam melalui Dewan Himpunan, dengan Islam memimpin umat manusia majmuk menegalkan keadilan kepada semua.

Pas bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat termasuk kalangan bukan Islam dan bukan Melayu tetap menerima hakikat wujudnya masyarakat majmuk  berpaksikan resolusi bersama bertunjangkan apa yang ditetapkan dalam perlembagaan.

Islam Agama Persekutuan dan hak yang adil kepada berbagai agama yang dianut oleh rakyat.

Hak istimewa bumiputera dan layanan adil terhadap pelbagai kaum yang juga menjadi rakyat.

Bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi dan mengiktiraf adanya bahasa ibunda masing-masing.

Raja berperlembagaan yang berhak juga memerhati sekiranya ada kesilapan bukannya simbol tanpa kuasa.

Pendekatan yang menyatukan rakyat melalui asas tersebut dengan betul dan seksama dan bukannya mengapikan semangat fanatik perkauman, apatah lagi dijadikan senjata untuk melagakan rakyat bagi mengekalkan kuasa secara zalim.

PAS  mendukung konsep negara berkebajikan yang diterapkan dalam buku jingga. Berhasrat melahirkan kepimpinan negara yang menunaikan amanah, bukannya mendapat kuasa yang menjadi peluang kepada segelintir manusia dan menghiburkan rakyat supaya leka mudah ditipu.

Pakatan Rakyat akan menyerahkan kepada rakyat menjadi hakim yang adil pada setiap pilihanraya yang benar-benar menjadi hak rakyat dan kerajaan Pakatan Rakyat boleh diturunkan kalau bersalah bukannya secara menipu.

Himpunan hijau adalah latihan kepada ahli Pas bahawa mereka datang berhimpun tanpa paksaan dan habuan. mereka datang sebagai rakyat yang memahami haknya yang sebenar, bukan rakyat yang diajar sentiasa berbohong dengan mengampu para pemimpin yang sentiasa menyuap umpan yang mengenyangkan perut  dan membodohkan akal.

Himpunan hijau adalah menyatakan perjuangan Pas untuk semua rakyat, kerana Islam itu adalah rahmat Allah kepada seluruh alam.

----------------------------------------------------------
Penulis adalah PRESIDEN PAS


BN ghairah statistik, jenayah gagal ditangani

Harakahdaily, 11 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Alasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa kejadian serangan ganas terhadap aktivis sosial dan guru tiada kaitan dengan keselamatan awam, menimbulkan persoalan sama ada kerajaan Barisan Nasional mampu menangani masalah jenayah di negara ini. Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata, alasan Hishammuddin tidak berasas berikutan  kes aktivis Bersih Dr Wong Chin Huat yang cedera diserang sekumpulan perompak ketika berjogging di sekitar rumahnya Sabtu lalu serta seorang guru yang teruk dipukul dalam satu cubaan menculik minggu lalu.
“Saya kesal dengan tindakan Menteri tersebut yang tidak sensitif dengan kejadian jenayah terutamanya yang berlaku di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau menyifatkan kejadian jenayah yang berlaku itu sebenarnya tidak langsung mencerminkan keselamatan yang bertambah baik.
“Sebagai sebuah kerajaan yang mementingkan keselamatan negara dan orang ramai sewajarnya Hishammuddin perlu menjaga hak asasi manusia yang sentiasa mengharapkan keselamatan mereka (terjaga) terutamanya wanita apabila berada di luar rumah,” tambah beliau.
Beliau juga turut menyarankan agar setiap negeri menubuhkan suatu badan keselamatan yang boleh membantu polis dalam mengatasi masalah jenayah yang kian meruncing.
“Pasukan sukarelawan ditubuhkan untuk bekerja sama dengan polis demi menjaga keselamatan orang awam. Ini penting bagi memastikan keselamatan orang awam terutamanya wanita akan lebih terjamin,” ujarnya.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, isu keselamatan bukan isu politik, maka kerajaan persekutuan perlu lebih tegas menjaga nyawa dan harta benda rakyat walau pun indeks menunjukkan penurunan kejadian jenayah kerana kejadian ngeri masih banyak berlaku. – Roketkini.com

Tiada ulasan: