Jumaat, 8 Jun 2012

NAK CARI NAHAS ...JIKA NAK SAMAN...BILA MEMBELA DIRI PERKARA ITU AKAN TERBURAI...DIAM JALAN SELAMAT...LAH NI RAMAI DAH TAHU MANA MUNGKAR MANA2 KERJA TAAT PADA ALLAH...CUMA ADA LAGI YANG JAHIL DAN SUKA MAKSIAT...

Mansuh pamer bantah elak calon BN disabotaj?

Muhamad Faizal, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memansuhkan proses pamer dan bantah adalah kerana bimbang calon-calon BN disabotaj ahli mereka sendiri.

Menurutnya, gerakan sabotaj itu wujud sejak 2008 lagi dan lebih ketara sejak kebelakangan ini sehingga Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan amaran keras kepada pihak yang beniat melakukan tindakan itu.


Malah katanya, kenyataan pimpinan Umno bahawa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini tidak semestinya Ketua Bahagian, mampu menjuruskan sabotaj itu akan benar-benar berlaku.

"Tindakan SPR itu menjelaskan bahawa wujud satu gerakan sabotaj kepada calon BN yang akan bertanding pada pilihanraya nanti dalam bentuk teknikal yang akan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada calon Pakatan Rakyat.

"SPR cuba melindungi kemungkinan besar berlaku gerakan sabotaj dalam Umno-BN yang sememangnya telah berlaku sebelum ini," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat proses pamer dan bantah perlu bagi memastikan calon yang mewakili setiap parti itu bersih dari perkara-perkara yang menjejaskan diri sebagai calon.

"Proses pamer dan bantah itu adalah satu tindakan untuk kita melihat bahawa calon yang bertanding itu bersih terutama dari segi bankrup serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Apabila proses itu ada, kita boleh membantah kerana kita tidak mahu calon yang bertanding itu mempunyai rekod yang boleh menjejaskan beliau sebagai calon apatah lagi bila memenangi pilihanraya," katanya.

Keputusan terbaru SPR itu juga kata Azmin, jelas menunjukkan badan pilihan raya itu hanya berminat kepada isu-isu serpihan sedangkan perkara besar seperti daftar pemilih yang bersih, kebebasan media mahupun kerajaan sementara tidak diberi keutamaan.

"Kenapa tidak memberi tumpuan kepada perkara yang menjaminkan pilihanraya bersih dan adil.

"Ini yang kita dalam Pakatan Rakyat hadapi, SPR sepatutnya menyenangkan keadaan bukannya menyulitkan keadaan," tegasnya.

Bertam Nite: PKR pandang berat, tarian tidak sesuai

Hazayani Zakaria, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Pihak penaja 'Bertam Nite' harus bertanggungjawab di atas tindakan membenarkan persembahan tarian ala K-Pop pada majlis makan malam tersebut, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Saifuddin bagaimanapun berkata, penganjur iaitu Cabang Kepala Batas juga melakukan kesilapan apabila mempercayai sepenuhnya pihak penaja tanpa melakukan raptai.

"Pihak penaja harus bertangungjawab dalam perkara ini walaupun sudah memohon maaf dan penganjur juga harus berhati-hati selepas ini.

"Difahamkan, acara malam itu sepatutnya persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum tapi keluar-keluar tarian yang tidak sopan, ini akibat tiada rehearsal dan serah bulat-bulat kepada penaja," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Saifuddin juga berkata, PKR tetap berpendirian bahawa tarian seperti itu tidak sesuai diadakan pada majlis makan malam anjuran parti kerana mengabaikan nilai kesopanan.

"PKR memberi teguran kepada penganjur bahawa kita menghormati kebudayaan pelbagai kaum tapi harus berlandaskan nilai-nilai kesopanan.

"PKR memandang berat perkara ini dan memberi teguran keras kepada anggota parti yang terbabit," tegasnya.

Sementara itu, pihak yang menaja program ini menghantar surat kepada PKR memohon maaf di atas kesilapan ini.

Surat itu ditujukan kepada Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Johari Kassim.

Dalam sidang medianya, Johari memohon maaf di atas peristiwa itu dan memberitahu ia bukan dari pihaknya.

Keputusan kes Mahfuz, Salahudin 3 September

Harakahdaily, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) Kuala Lumpur semalam menetapkan tarikh 3 September ini bagi keputusan kes dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub menyaman kerajaan.

Keputusan itu dibuat hakim Prasad Sandosham Abraham selepas mendengar keterangan lima saksi bagi pihak defenden semalam.

Mereka adalah Inspektor Mohd Zaidi Mad Zizat, Supritenden Aida Abdul Hamid, ASP R.Muthusamy, ASP Zulkifli Osman dan Jurugambar Polis Ganeson.

Sementara itu, ketika memberi keterangan semalam, Zaidi mengaku telah menangkap dua pemimpin PAS pada hari perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Beliau juga mengaku kedua-duanya bukan ditangkap ketika menyertai perhimpunan itu.

Pengakuan itu direkodkan ketika menjawab pertanyaan peguam plaintif, Abdul Aziz Hamzah.

Pada 8 Ogos tahun lalu kedua-dua mereka memfailkan saman malu terhadap empat pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan Zaidi.

Ianya ekoran dakwaan penangkapan salah terhadap mereka di KL Sentral pada 9 Julai lalu sempena himpunan Bersih 2.0 di ibu negara.

Saman tersebut difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

MB S’gor kunjungi Nik Aziz sempena lawatan rasmi

Rizal Tahir, 08 Jun 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini bertemu Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena lawatan rasminya ke negeri itu hari ini.

Pertemuan itu diadakan tertutup di Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10, selepas tuan guru selesai mengadakan kuliah dataran dataran ilmu sebentar tadi.

Selain melakukan lawatan ke beberapa cabang dan ranting petang ini, Khalid akan menyampaikan ceramah Malam Merdeka Rakyat peringkat negeri Kelantan.

Ceramah berkenaan akan di adakan di padang Majlis perbandaran ketereh bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dijangka menyampaikan ceramah yang akan bermula 9 malam ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan peguam scorpine Fadiah Nadwa Fikri.

Sementara itu turut hadir mengiringi Khalid, Timbalan PKR Negeri Abdul Aziz Kader dan Setiusaha Mohd Hisomuddin Bakar.

Unisel: Gamis desak PTPTN keluar kenyataan rasmi

Harakahdaily, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mendesak Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu pembekuan pinjaman ke atas mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dengan menyatakan sebab-sebab pembekuan tersebut dibuat.

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden turut mendesak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) segera menamatkan polisi pembekuan tersebut serta membuka semula dan menerima permohonan yang dibuat oleh mahasiswa Unisel.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Ismail Mohamed Said (Pengerusi PTPTN) sebagai pihak yang bertanggungjawab berhubung isu ini, memohon maaf kepada mahasiswa Unisel dan Kerajaan Negeri Selangor,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Gamis membantah dan mengecam tindakan KPT dan PTPTN yang melaksanakan pembekuan sementara pinjaman ke atas pelajar (Unisel) khususnya kepada pelajar baru ambilan bulan April yang lepas.

Tambahnya, tindakan tersebut jelas sekali menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Malaysia dan bercanggah dengan moto “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Bantahan dan kecaman itu, jelasnya berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

- PTPTN ditubuhkan adalah bertujuan untuk memberi pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan bagi menyara yuran pengajian dan kos sara hidup.

Sejumlah RM43 billion yang diluluskan oleh kerajaan dan dengan hanya RM27.5 billion yang dibayar kepada para peminjam, sepatutnya menjadikan PTPTN berkemampuan menjalankan fungsinya ke atas semua IPT yang berkaitan tanpa pengecualian ke atas IPT tertentu.

- KPT atau PTPTN tidak selayaknya menafikan hak para pemohon yang berkelayakan dan memohon dengan mengikut prosedur yang telah ditetapkan apatah lagi ke atas para mahasiswa di sebuah IPT berprestij seperti Unisel yang telah terbukti melahirkan ramai graduan berkualiti. Kegagalan menyediakan pinjaman pengajian tersebut akan merencatkan prestasi akademik para pelajar.

- Pembekuan pinjaman PTPTN dengan alasan untuk menguji kemampuan Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk menyediakan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman pendidikan tersebut adalah tindakan yang tidak professional bahkan amat jelek sekali kerana telah menjadikan mahasiswa sebagai mangsa.

Beku PTPTN: Umno BN amal politik ‘zaman batu’

Hasbullah Mohd Ridzwan, 08 Jun 2012
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam tindakan zalim, angkuh dan biadap kerajaan Pusat terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) yang ingin memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya kerana disebabkan oleh perbezaan ideologi politik di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional.

Hanya disebabkan ‘dendam politik’ maka Umno dan Barisan Nasional bertindak membekukan pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menganggap ‘keseronokan’ Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohamed Khaled Nordin di atas arahan untuk ‘membekukan’ pinjaman tersebut dan kenyataan dangkal Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang menyatakan bahawa pinjaman tersebut akan hanya disambung sekiranya PKR mengaku salah secara jelas menunjukkan bahawa Umno dan Barisan Nasional mempraktikkan budaya politik ‘zaman batu’ yang cukup jijik.

Hanya kerana dendam kesumat disebabkan perbezaan pandangan politik menyebabkan Umno dan Barisan Nasional hilang pertimbangan kewarasan selaku pemerintah sehingga sanggup untuk menzalimi rakyat sendiri.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengingatkan Umno dan Barisan Nasional bahawa sejarah telah menunjukkan para penzalim akan dibiarkan berleluasa dan berseronok dengan kezaliman yang mereka lakukan sebelum daripada mereka ‘dijatuhkan’ dengan secara hina oleh Allah Taala tanpa mereka sedari.

Dan insyaAllah hasil daripada kezaliman Umno dan Barisan Nasional ini, seluruh rakyat dan para mahasiswa pasti akan bangkit untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di atas kenyataan beliau yang menyatakan bahawa pihak Unisel akan menggunakan aset mereka untuk membantu menangani kesusahan yang menimpa pelajar-pelajar tersebut sebagai langkah jangka masa pendek.

Proses perbincangan dengan pihak kerajaan pusat untuk menyelesaikan masalah ini masih terus dijalankan.

Semoga keprihatinan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan dapat meringankan beban pelajar-pelajar Unisel yang dizalimi oleh Umno dan Barisan Nasional.

Juga sekalung tahniah diucapkan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluiddin yang turut tidak bersetuju dengan pembekuan pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menasihatkan Umno dan Barisan Nasional supaya berubah kepada politik yang lebih matang dan berhemah serta meninggalkan budaya politik dendam dan fitnah kerana ianya tidak membawa kebaikan kepada pembangunan masyarakat yang bertamadun.

Sudah tiba masanya untuk rakyat ‘menurunkan’ Umno dan barisan nasional daripada tampuk kekuasaan negara kerana mereka kini semakin dikuasai oleh nafsu serakah untuk terus memerintah kerana hendak menjaga kepentingan diri dan kroni semata-mata dan bukan lagi memberikan khidmat untuk keselesaan rakyat seluruhnya.

Rakyat perlu memberikan sokongan dan undian kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional selaku pemerintah negara bagi merealisasikan pendidikan percuma kepada seluruh rakyat sepertimana yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Hasbullah ialah etua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Altantuya: Najib dicabar saman Phnom Penh Post

Harakahdaily, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa Datuk Seri Najib Razak menyaman akhbar The Phnom Penh Post yang berpengkalan di Kemboja kerana melaporkan perdana menteri itu pernah dipertemukan dengan Altantuya di Paris.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, perdana menteri juga patut menyaman wartawannya bagi membersihkan namanya dan juga nama negara.

"SAMM mendesak Najib Razak di atas kapasiti Perdana Menteri, menyaman akhbar The Phnom Penh Post serta penulis artikel di ruangan Regional Insider yang bernama Roger Mitton.

"Pendedahan beliau bukan sahaja memalukan negara... malah mengundang persepsi sangat buruk terhadap kredebiliti seorang Perdana Menteri beragama Islam yang sebelum ini pernah bersumpah kononnya tidak mengenali penterjemah yang dibunuh tanpa motif iaitu Altantuya Shaaribu," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Badrul, pendedahan akhbar itu antara lain mengatakan Najib Razak telah dipertemukan dengan Altantuya Shaaribu oleh Razak Baginda di Paris.

Turut didedahkan ialah pembahagian skandal rasuah sebanyak USD160 juta antara Najib, Razak dan beberapa pemimpin Umno.

Beliau turut memetik laporan akhbar itu yang antaranya menyatakan seperti berikut:

"Soon after meeting her in Hong Kong, Razak took her off to tour Europe in his red Ferrari, wining and dining at all the best spots and finally ending up in Paris where they met Najib....It is alleged that the $160 million was split between Razak, Najib and other figures in the United Malays National Organisation, the dominant party in Malaysia’s ruling National Front coalition".

Sehubungan itu tegas Badrul, Najib sebagai seorang ketua negara tidak harus berdiam diri kerana laporan oleh wartawan The Phnom Penh Post itu adalah sangat serius dan telah dilulus-terbit untuk tatapan seluruh dunia.

"Yang akhirnya mengundang persepsi - Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang terpalit jenayah rasuah, termasuklah jenayah pembunuhan.

"Yang memalukan negara bukan demonstrasi rakyat tetapi imej negara akan terjejas kerana beberapa pemimpin negara yang terpalit skandal jenayah terus menerajui negara tanpa ada keberanian membersihkan imejnya," tegasnya

Lebih 100 rumah, kedai akan dibina di Gua Musang

Rizal Tahir, 08 Jun 2012
KOTA BHARU: Bandar Gua Musang bakal berubah wajah apabila beberapa buah projek yang membabitkan pembangunan bercampur bakal dibangunkan bermula tahun ini.


Projek yang mengandungi dua fasa itu dimajukan sebuah syarikat swasta True Impression Sdn Bhd dengan Majlis Daerah Gua Musang yang membabitkan tanah seluas 16.7 ekar di Bandar Lama Gua Musang.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak itu disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di sebuah hotel, di sini semalam.

Majlis Daerah Gua Musang diwakili Yang Dipertuanya, Mohd Yusof Hussin dan Ketua Whip MDGM, Hussin Embong.

Manakala syarikat berkenaan diwakili dua orang Pengarah Urusannya, Rusnifa Wahid an Tan May Wee.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 33 buah unit rumah, 18 unit rumah kedai akan dibangunkan untuk fasa pertama ini.

Tambahnya, manakala fasa kedua pula akan dibina 73 unit rumah teres disamping beberapa lagi pembangunan lain bagi menampung keperluan masyarakat di situ.

“Gua Musang sebagai sebuah jajahan pintu masuk ke negeri ini perlu disediakan pembangunan yang teratur memandangkan ianya menjadi tarikan pelancong,”ujarnya.

Beku PTPTN: Politik ugut ketinggalan zaman

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: “Politik ugut seperti ini sebenarnya sudah ketinggalan zaman, kerana rakyat sudah semakin cerdik politik dan memilih parti politik yang mampu memberikan tawaran dan kebajikan terbaik kepada mereka,” kata Riduan Mohd Nor (gambar).
Sehubungan itu, katanya Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana membekukan mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) daripada mendapat pinjaman PTPTN.

Ketua Penerangan DPPM itu berpandangan kerajaan tidak wajar menafikan hak mahasiswa Unisel dalam mendapatkan pinjaman bagi membiayai pendidikan mereka kerana tindakan ini dikhuatiri akan menjejaskan masa depan mahasiswa tersebut.

“DPPM merasakan tindakan kerajaan ini sebagai usaha membalas dendam terhadap Pakatan Rakyat yang berjuang memansuhkan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma kepada rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, PTPTN dijadikan perkakas baru untuk diperalatkan bagi melunaskan perasaan benci meluap-luap terhadap PR yang berjuang untuk kesejahteraan rakyat.

“Tindakan ini dibuat dengan harapan supaya rakyat akan mempersalahkan pula PR sehingga mereka gagal mendapat kemudahan PTPTN,” ujarnya.

Riduan menambah, ia juga sebagai ugutan terhadap rakyat negeri Selangor supaya tidak memberikan undi kepada PR atau mereka akan hilang kemudahan PTPTN.

“DPPM merasakan tindakan ini mungkin dibuat kerana kerajaan BN sudah ketandusan idea untuk menangkis tawaran PR yang disambut hebat oleh rakyat serta hilang hujah untuk menafikan pendidikan percuma yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Beliau menjelaskan, jika kerajaan BN merasa tergugat dengan tawaran PR, sebaiknya kerajaan memikirkan formula lain yang lebih menarik bagi menambat hati rakyat, bukan mengugut mereka seperti ini.

DPPM menegaskan, janji dan komitmen PR untuk menghapuskan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma adalah jelas dan pelaksanaannya akan dibuat jika PR memerintah kelak.

“Semua pelajar akan nikmati kemudahan ini tanpa mengira latar belakang, fahaman politik, warna kulit dan keturunan,” ujarnya.

Malah, tambah Riduan setiap pelajar akan dibantu bagi memastikan mereka berjaya dalam pendidikan kerana agenda PR adalah memberi kebajikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan percuma, bukan memperniagakannya seperti yang berlaku selama ini.

Tiada ulasan: