Sabtu, 9 Jun 2012

LAIN KALI PILIH WAKIL RAKYAT ATAU MENTERI YANG CERDIK....JANGAN YANG BERBELIT2...MULA KATA LAIN BILA KENA KODEM TINDAKANNYA....PENGUNDI LAH KENA KENAL MANA2 PENYAMUN TERBUS...KERJA NAK CARI MAKAN DAN HIDUP MEWAH...

Jangan cabar kuasa Sultan, nasihat MB Kedah
ROSLINDA HASHIM
9 Jun 2012
Jangan cabar kuasa Sultan, nasihat MB Kedah
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Pindaan yang dibuat ke atas Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 belum diwartakan dan masih di peringkat awal.

Oleh itu tegas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, pihak yang masih mempertikai pindaan itu dilihat seolah mahu mencabar kuasa Sultan yang merupakan Ketua Agama Islam Negeri Kedah, kerana setiap pindaan berkaitan isu agama Islam mendapat perkenan Tuanku.
         
“Setakat ini baru lulus pindaan belum warta lagi. Tugas saya hanya bentang usul pindaan itu di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan setelah tiada bantahan, usul diluluskan. Ia juga perlu perkenan Sultan,” katanya.
         
Bagaimana pun, Azizan enggan memanjangkan isu terbabit yang dianggapnya sudah selesai.
         
April lalu, Azizan pernah mengingatkan pihak luar supaya tidak mempertikai pindaan yang dibuat dan membezakan bidang kuasa kehakiman dengan Jabatan Mufti.
         
Menurutnya, pindaan enakmen itu dibuat ekoran sebelum ini wujud kekeliruan dalam banyak perkara menyebabkan pihaknya meminda beberapa perkara untuk disesuaikan dengan kehendak semasa.
        
“Kita sudah bincang mengenai pindaan ini sejak dua tahun lepas, bukan disebabkan atas faktor tertentu. Kita hanya pinda apa yang diluluskan oleh Dun sahaja. Ia hanya terpakai kepada orang Islam,” katanya.
         
Azizan berkata, pindaan itu tidak menyekat hak rakyat untuk bersuara kerana fatwa itu masih boleh dirujuk dan dibincang kecuali selepas ianya sudah diwartakan.
        
Sementara itu, Mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, pindaan dibuat berlandaskan proses yang betul demi untuk kepentingan umat Islam pada masa akan datang.
         
“Pindaan yang dibuat tidak babitkan agama lain, pihak luar tak perlu persoal. Pandangan agama tidak wajar dipertikai, ada yang ikut dan ada tidak, sama dengan negara Islam lain, yang pandangan agama dalam sesuatu isu tidak sama,” katanya.
         
Menurutnya, pindaan enakmen itu dicadangkan oleh Jabatan Mufti Kedah melalui Penasihat Undang-Undang Negeri untuk penambahbaikan bagi sistem sedia ada selain mahu memperkasa pandangan Jawatankuasa Fatwa dan Mufti.
         
“Draf pindaan itu sudah dibentangkan kepada Sultan Kedah untuk penelitian, sebelum mendapat perkenan Tuanku untuk dipinda,” katanya.
         
Sheikh Muhamad Baderudin berkata, pandangan agama tidak boleh dicabar di mahkamah kerana ia berkaitan dengan hukum-hakam agama.
         
“Antara tujuan pindaan dibuat ialah supaya fatwa yang diputuskan tidak diseret ke mahkamah bagi membolehkan hukum itu ditarik balik. Kita juga mahu pandangan jawatankuasa fatwa dan mufti, yang diberi autoriti oleh Sultan Kedah, selaku Ketua Agama Islam Negeri Kedah dihormati,” katanya.
         
Kelmarin, Majlis Peguam menyuarakan kebimbangan terhadap pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008, yang diluluskan Dun Kedah, April lalu, disifatkan tidak berperlembagaan kerana seolah menyingkirkan bidang kuasa mahkamah, selain bertentangan dengan doktrin pengasingan kuasa.
PTPTN-Unisel: Sekadar uji Selangor, kata Khaled
Wartawan Sinar Harian
9 Jun 2012
PTPTN-Unisel: Sekadar uji Selangor, kata Khaled
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
SHAH ALAM - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya sekadar ingin menguji sama ada Kerajaan Negeri Selangor serius dalam menyediakan pendidikan percuma.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan memansuhkan PTPTN dan menggantikan dengan pendidikan percuma jika diberi manfat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu kata beliau, adalah jelas Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak dapat mencapai matlamat memberikan pendidikan percuma.

Khaled juga berkata, keputusan menarik balik pembekuan pinjaman PTPTN membabitkan penuntut-penuntut pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) dibuat setelah pihak Kementerian Pengajian Tinggi menimbang rayuan daripada kedua-dua pusat pengajian tinggi itu.

Terdahulu dalam satu mesej menerusi akaun Twitter, Khaled berkata, pengurusan Unisel ada mengemukakan rayuan kepada beliau berkenaan perkara itu.

"Unisel pun ada merayu pada saya, dan menyatakan PTPTN memang diperlukan, maka tidak sebab untuk tidak setuju pentingnya PTPTN," kata beliau.

Kelmarin, Kerajaan Negeri Selangor dan pemimpin-pemimpin PR mendakwa tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut-penuntut Unisel sebagai tidak adil.

Keputusan membatalkan pembekuan itu dimaklumkan kepada pengurusan Unisel pagi semalam.
UiTM: Khalid Ismath boleh merayu
Wartawan Sinar Harian
9 Jun 2012
UiTM: Khalid Ismath boleh merayu
Khalid Ismath
SHAH ALAM - Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang kesimpulan berhubung penggantungan pelajar jurusan undang-undang, Khalid Mohd Ismath.

Katanya, seperti pelajar lain, Khalid dikenakan tindakan tata tertib, tetapi masih boleh merayu.

“Ramai pelajar buat kesalahan dan merayu pada saya untuk menggugurkan hukuman. Namun ia bergantung kepada hakim kita,” katanya, semalam.

Ditanya pendapatnya sekiranya Khalid enggan merayu, Sahol berkata, itu terpulang kepada Khalid.

Katanya, Khalid terlibat dalam kesalahan memalukan nama baik UiTM dan perlu terima hukuman.

Beliau membidas Khalid yang mendakwa UiTM sebagai alat kerajaan dan mengingatkan perkara itu seharusnya tidak dijadikan isu.
Naib Canselor Unisel: Alasan sekat PTPTN 'agak politikal'

8 Jun 2012
Isu PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
SHAH ALAM - Universiti Selangor (Unisel) milik kerajaan Selangor melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung keputusan menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, keputusan itu memberi semula peluang kepada kira-kira 80 peratus daripada lebih 1,000 pelajar pengambilan baru universiti itu menyambung pengajian mereka. "Kami menerima  panggilan pagi tadi minta pihak kami hadir ke pejabat KPT dan berjumpa dengan Ketua Eksekutif PTPTN Agus Cholan. Perbincangan berlangsung kira-kira 10 minit sebelum kami diberi surat menyatakan pembekuan ditarik balik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua pelajar boleh membuat permohonan secara on-line bermula malam ini atau esok seperti yang dijanjikan dalam surat yang diserahkan kepada Unisel.

Anuar berkata, pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan wakil PTPTN pada Rabu minggu lepas dan diminta membuat rayuan apabila dimaklumkan nama Unisel tidak terdapat dalam senarai institusi pengajian tinggi bagi pinjaman perbadanan itu.

"Alasannya agak politikal, saya tidak mahu ulas," katanya ketika ditanya apakah alasan yang diberi berhubung pembekuan Unisel daripada senarai PTPTN.

"Yang penting pelajar kini boleh membuat pinjaman dan menyambung pengajian di Unisel, terima kasih kepada semua termasuk Menteri Pengajian Tinggi," katanya.

Ditanya pandangan beliau mengenai kepentingan PTPTN kepada pelajar bagi menyambung pengajian apabila terdapat pihak yang mahu pinjaman oleh perbadanan itu dihapuskan, Anuar terdiam seketika dan tersenyum lebar.

"Jawapan saya ya dan tidak kerana ia bergantung kepada situasi. Ia penting bagi pelajar yang kurang berkemampuan, namun pinjaman itu juga bergantung kepada sistem, dasar dan suasana yang berubah mengikut kerajaan  memerintah," katanya.

Beliau turut mengakui pembekuan pinjaman PTPTN itu menyebabkan bilangan pelajar yang memohon untuk masuk ke Unisel berkurangan.

Katanya purata kos yuran pengajian di Unisel bermula dari RM14,000 bagi diploma dan RM39,000 bagi peringkat ijazah.

Unisel mempunyai 12,000 pelajar termasuk 500 pelajar antarabangsa di lapan fakulti di dua kampus Shah Alam dan Berjuntai Bestari, Kuala Selangor dengan 51 peratus pelajar universiti itu berasal dari Selangor diikuti Johor, Perak dan Sabah serta negeri lain. - Bernama
'Jangan sampai korban masa depan pelajar'
Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2012
Isu PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
SHAH ALAM – MCA menegaskan kepentingan pelajar di universiti tidak seharusnya dikorbankan demi agenda sesetengah pihak kerana golongan pelajar adalah harapan negara di masa depan.

Naib Presidennya, Senator Gan Ping Sieu berkata, isu Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sekarang seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar politik yang mengabaikan kebajikan rakyat dinyahkan dari negara ini.

"Saya menegaskan pendirian saya bahawa PTPTN dikekalkan, saya tidak kisah apa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) katakan. Memansuhkannya adalah polisi yang silap.

“Tetapi untuk membekukan pinjaman ini di universiti yang dikawal kerajaan PR adalah sesuatu yang tidak waras,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Ping Sieu turut mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) agar tidak termakan umpan politik murahan PR yang mahu menjadikan diri mereka wira segera dalam isu PTPTN.

“BN harus berwaspada terhadap taktik kelas rendah yang bertujuan mengalihkan perhatian kita daripada isu-isu dasar yang sebenar,” katanya.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said, mengesahkan pembekuan kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) ditarik balik atas alasan kurang kemampuan kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan pendidikan percuma.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan keputusan PTPTN membatalkan keputusan membekukan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel sebagai langkah yang baik.

"Baik," kata beliau ringkas, sehari selepas menyifatkan langkah PTPTN menyekat penuntut-penuntut Unisel sebagai tidak wajar.
PKR mahu jaminan Khaled isu PTPTN-Unisel tak berulang
Jamilah Hamzah
8 Jun 2012
Isu PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
SHAH ALAM - PKR menyambut baik keputusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik balik pembekuan pinjaman kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), tetapi mahu jaminan Menteri Pengajian Tinggi bahawa perkara yang sama tidak akan berulang.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengumuman tidak rasmi bahawa PTPTN telah membatalkan arahan pembekuan pinjaman kepada pelajar Unisel disambut dengan lega.

"Saya mengingatkan Khaled supaya jangan sekali-kali cuba memperjudikan masa depan dan kebajikan pelajar demi kepentingan politik Umno.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan pembekuan pinjaman PTPTN, beliau wajar memberi jaminan bahawa PTPTN tidak akan membekukan pembiayaan kepada mana-mana institusi atau pelajar yang layak menerimanya," katanya.

Rafizi juga berkata, PKR akan terus mendesak menteri terbabit mengeluarkan jaminan agar tindakan kebudakan-budakan oleh PTPTN di Unisel tidak akan berulang lagi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa PTPTN telah membatalkan pembekuan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel.

Perkara itu  disahkan oleh Pemangku Naib Canselor Unisel,  Prof Dr Anuar Ahmad kepada Sinar Harian.

"Ini hasil perbincangan bersama pihak PTPTN yang dipengerusikan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan di pejabat PTPTN jam 11 pagi tadi.

"Saya kini dalam perjalanan untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) memaklumkan perkara ini," katanya.

Tindakan PTPTN membekukan kemudahan pinjaman berhadapan dengan reaksi yang pelbagai.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, PTPTN tidak wajar menyekat penuntut Unisel daripada terus menikmati kemudahan pinjaman agensi itu walaupun pembangkang berpendirian ia patut dimansuhkan.

Katanya, para penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.
Kelmarin, pemimpin-pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor mengecam tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman kepada pelajar Unisel.

Mereka mendakwa PTPTN mengambil tindakan itu atas arahan Khaled.

Rafizi mendakwa Khaled menyekat kemudahan PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel.

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau.

Dalam kenyataannya petang ini, Rafizi juga berkata bahawa pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam akan mengadakan dana RM30 juta untuk membantu penuntut Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN.

Katanya, mereka mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Selangor bagi memberi dana sebanyak RM30 juta dalam membantu penuntut Unisel yang terjejas ekoran pembekuan bantuan kewangan oleh PTPTN.

"Saya mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Selangor berhubung penubuhan dana RM30 juta untuk membantu pelajar-pelajar Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN baru-baru ini.

"Iltizam PR untuk melakukan yang termampu bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas adalah sangat bertentangan dengan sikap tiga orang Menteri Umno iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khaled dan Datuk Seri Noh Omar yang gembira dengan kesusahan pelajar demi permainan politik mereka," katanya lagi.
Katanya, kemarahan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, kumpulan mahasiswa, orang kebanyakkan hinggalah pimpinan Barisan Nasional (BN)  akhirnya mendesak Khaled dan PTPTN menghentikan tindakan menjadikan pelajar itu sebagai mangsa keadaan ekoran arahan menyekat pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel tersebut.

Tiada ulasan: