Jumaat, 8 Jun 2012

YANG BOLEH BERLAGAK DAN SOMBONG IALAH ALLAH...KERANA PAKAIANNYA....NYAWA KITA DAN SEGALANYA DITANGAN ALLAH...PERASAN2LAH SIKIT KITA NI MAKHLUK...DAH ALLAH BAGI HIDUP DIDUNIA NI....PATUT BERSYUKUR...

Beku PTPTN: Umno tunjuk lagak tak kena tempat

Anis Nazri, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap pelajar Unisel.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.

"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.

"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak pelajar terbabit.

Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza fahaman politik.

Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan. Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.

Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.

Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.

'Haram jadah': 5 peneroka lapor polis

Khairil Abdul Rahim, 08 Jun 2012
TEMERLOH: Seramai lima orang peneroka sekitar Jengka semalam bertindak membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Rancangan (JKKR) Jengka 15 Adnan Darus serta dua akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro.

Menurut salah daripada mereka Abdul Rahim Abdul Rahman, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Temerloh itu terpaksa diambil berikutan peneroka-peneroka terbabit merasa maruah mereka diaibkan secara terbuka seolah-olah mereka orang yang bersalah.

Katanya, pada 8 Mei lalu Najib ketika mengisytiharkan ‘durian runtuh’ di Felda Jengka 8 telah menghina peneroka dengan perkataan haram jadah yang ditujukan kepada 8 peneroka yang memfailkan saman injunksi bagi menghalang pelupusan ekuiti saham Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebelum ini.

“Kenyataan yang diungkapkan Najib di hadapan 40 ribu warga Felda dan disiarkan secara langsung oleh televisyen itu telah mengakibat kami dipandang hina oleh masyarakat.

“Selepas kenyataan tersebut diungkap PM pihak media turut menjadikan kami sebagai sasaran cemuhan sepanjang agihan durian runtuh kepada peneroka sehingga menyuburkan perasaan buruk sangka dan permusuhan sesama warga Felda.

“Dengan kenyataan biadab itu juga terbit bentuk ugutan dan tekanan kepada kepada peneroka supaya tidak membawa sebarang kes bersangkutan Felda ke mahkamah, ia tentu tidak adil kerana menyekat hak peneroka untuk memilih mahkamah sebagai salah satu jalan penyelesaian,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis.

Abdul Rahim berkata, bagi akhbar Utusan Malaysia, pada 18 Mei lalu telah menyiarkan satu berita di muka depan bertajuk ‘Peneroka Fail Injunksi Ambil Cek Durian Runtuh’ dengan memaparkan gambar dua orang peneroka yang sedang menerima cek.

Tambahnya, akhbar berkenaan sengaja membuat dakwaan kedua-dua peneroka tersebut kononnya memfailkan injunksi menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) walhal mereka memfailkan injunksi menghalang pelupusan aset KPF kepada FGVH.

“Akhbar berkenaan juga mendakwa peneroka-peneroka yang menjadi tumpuan ramai sengaja menebalkan muka dan menelan segala tohmahan yang dilontarkan apabila tampil mengambil cek dutrian runtuh.

“Akhbar tersebut juga mengada-adakan cerita kononnya kami berlima mengambil cek dalam keadaan tergesa-gesa dengan memberi alasan mempunyai urusan lain bagi menggambarkan kami malu,” ujarnya.

Jelasnya, berita yang sengaja direka-reka itu mengakibatkan  timbulkan keadaan tidak baik, syak wasangka dan boleh menimbulkan permusuhan sesama warga Felda.

Tambahnya, akhbar Harian Metro pula menyiarkan berita menggambarkan ‘peneroka lima sekawan’ berkenaan tidak mempunyai prinsip kerana termakan hasutan pembangkang sehingga malu untuk berhadapan dengan peneroka lain walaupun membantah dan membawa kes ke mahkamah.

Menurutnya lagi, akhbar berkenaan hanya memetik kenyataan bohong dan fitnah daripada Pengerusi JKKR Jengka 15.

“Hasil daripada kenyataan yang disiarkan itu membuatkan mesyarakat memandang serong dan timbul prasangka buruk kepada kami,” jelasnya.

Sementara itu, peguam Harris Abdullah yang turut hadir, selepas ini pihaknya akan bertindak lanjut dengan memfailkan saman terhadap empat pihak di atas kerana terdapat locus standi.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda PAS Pahang Ustaz Shahril Azman Abdul Halim dan kira-kira 30 orang peneroka.

Lelaki tawar 10 dinar beli plak royalti Kelantan

Harakahdaily, 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Belum sampai dua hari plak asal Sokongan Tuntutan Pendaratan Minyak dan Gas ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, sudah ada individu yang menawarkan harga yang tinggi untuk memilikinya.

Menurut aktivis Gerakan Menuntut Royalti Petroleum Kelantan (Gegar), Mohd Fauzi Mohd Azmi, seorang lelaki menawarkan 10 dinar (RM7,990) untuk membeli plak tersebut sewaktu berkunjung ke gerai pameran Gegar hari ini.

Bagaimanapun kata Fauzi, plak itu tidak akan dijual kepada sesiapa pun kerana mempunyai nilai sejarah bagi rakyat Malaysia khususnya rakyat Kelantan sendiri.

"Plak itu tak akan dijual kepada sesiapa pun kecuali kalau boleh ditukar dengan royalti petroleum rakyat kelantan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau juga berkata, plak tersebut terpaksa disimpan 'di tempat yang selamat' kerana ia mula menarik perhatian pihak-pihak tertentu.

"Pagi tadi saya terima penggilan yang kata dia dari pihak istana, nak ambil plak itu untuk cop mohor sultan.

"Tapi saya hubungi kawan yang bekerja di istana, dia kata tak ada. Kalau ada, istana mesti keluarkan surat terlebih dahulu. Jadi kami risau ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dapatkan plak itu kemudiaan menghancurkannya," katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, Gegar meneruskan usaha mendapatkan tandatangan orang -orang kenamaan dari pelbagai parti politik untuk menyokong usaha NGO itu mendapatkan hak rakyat Kelantan.

"Kita sedang kumpul tandatangan  VIP tak kira aripada Umno, PAS, PKR, DAP atau dari mana-mana pun untuk menadapatkan sokongan mereka.

"Sekarang kita bukan fokus kepada royalti rakyat Kelantan sahaja tapi kita nak hasil minyak didaratkan di Kelantan, bukan di Thailand, bukan di tempat lain." tegasnya.

Kelmarin, Tuanku Sultan Muhammad ke-V  berkenan mencemar duli menandatangani plak Tuntutan Royalti Petroleum itu bersempena Ekspo Pertanian Kelantan 2012 di perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV.

Beku PTPTN: Khaled bakal senasib Khir Toyo

Faekah Hussin, 08 Jun 2012
Umno telah memukul gendang menandakan bermulanya perang habis-habisan terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan menjadikan anak-anak muda di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) sebagai tebusan.

Menteri Pengajian Tinggi mengarahkan permohonan pinjaman PTPTN untuk pelajar baharu Unisel dibekukan. Timbalan Perdana Menteri pula menyokong  tindakan jahat ini.  Datuk Seri Noh Omar pula memberi kata dua-sama ada PKR mengaku silap isu pendidikan percuma atau pelajar menangung sengsara.

Terbaharu, PTPTN membenarkan pelajar Unisel memohon pinjaman pendidikan hanya selepas beberapa hari isu ini mendapat liputan meluas media massa. Keputusan flip flop ini mungkin tidak tahan dengan desakan dan kecaman pelbagai pihak termasuk parti komponen BN termasuk ahli Umno peringkat akar umbi yang menentangnya kerana menganiaya pelajar Melayu.

Tindakan Menteri Pengajian Tinggi yang membekukan PTPTN dan disokong pula Timbalan Perdana Menteri  adalah berniat jahat yang  akhirnya memakan diri sendiri.  Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan pembekuan ini adil tetapi selepas keputusan ini ditarik balik, apakah beliau berani mengatakan tindakan menarik balik pembekuan ini sebagai tidak adil?

Nampaknya kedua-dua Menteri dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang,  Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Datuk Seri Khaled Nordin baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua negeri di Malaysia berhak mendapat peluang pendidikan yang saksama, tidak kira negeri itu ditadbir oleh pembangkang atau pemerintah yang menepati konsep Federalisme.

Rakyat Selangor atau penduduk di Selangor membayar cukai lebih RM90 billion kepada Persekutuan atau 23% daripada pendapatan negara. Bagaimanapun, hanya RM370 juta sahaja diagihkan kepada Selangor dalam bentuk pelaburan pembangunan.

Nilai ini sama sekali tidak sepadan dengan sumbangan yang diberikan Selangor kepada pembangunan negara. Jelas sekali, Persekutuan mengamalkan diskriminasi melampau terhadap Negeri Selangor.

Kita sedar Umno BN sangat terdesak untuk merampas semula Selangor. Namun, tindakan zalim membekukan pinjaman PTPTN adalah keterlaluan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

Tindakan ini menampakkan Umno BN telah mula beralih fokus kepada  mempertahankan Kerajaan Pusat kerana keyakinan untuk dapatkan semula Selangor semakin tiada harapan. Umno BN telah berpatah arang untuk merampas semula Selangor.

Kita berterima kasih kepada Khaled Nordin yang juga disebut-sebut bakal menggantikan Dato’ Abdul Ghani Othman, Muhyiddin dan Noh yang telah menggagalkan transformasi yang dicanang  Perdana Menteri.

Selepas ini, Khaled Nordin akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo.

* Penulis adalah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor

Makan malam amal untuk dana 'Ops Scorpene'

Anis Nazri , 08 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan menganjurkan makan malam amal 'Ops Scorpene' bagi membiayai kesnya di Perancis berhubung kontoversi kapal selam Scorpene.

Majlis makan malam yang akan diadakan 15 Jun ini, akan diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bermula jam 7.30 malam.

Menurut Penyelaras Suaram, E. Nalini, majlis makan malam kali ini mensasarkan kutipan sebanyak RM 30000, berbanding RM 25000 yang diperolehi melalui majlis makan malam yang dianjurkan sebelum ini.

"Ia bertujuan membiayai kos undang-undang terhadap firma pembuat kapal selam, DCNS, di Perancis, berhubung pembelian kapal selam Scorpene yang difailkan Suaram," kata Nalini melalui teks mesejnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, majlis makan malam itu akan menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua; Naib Presiden PKR, Tian Chua; dan peguam Suaram, Joseph Breham dan Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin menyumbang, bolehlah mendapatkan tiket di pejabat Suaram dengan menghubungi 03-77843525 atau Sarah (01303470860).

Sumbangan juga boleh disumbangkan ke akaun Suaram atas nama Suara Inisiatif Sdn Bhd, di akaun Maybank 5122 9542 0324.

Tiada ulasan: