Isnin, 11 Jun 2012

MASA NAK BUAT...DI WAR-WAR KEHEBATANNYA...BEREBUT2 UNTUK DAPATKAN TENDER...RUNTUH...SEMUA TUTUP MULUT...YANG KENYANG MEMANG DAH KENYANG....AGAK SAPE YANG SALAH...FIKIR2LAH SENDIRI....

Bapa kafir: Rahim Noor, NST disaman RM10 juta

Aslani M dan Hazayani Zakaria, 11 Jun 2012


KOTA BHARU: Gara-gara mengeluarkan kenyataan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai bapa kafir, kini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.

Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.  Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.
Saman tersebut difailkan Nik Aziz melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu dan akan diserahkan kepada semua defendan terbabit dalam masa terdekat ini.

Selain Rahim, enam lagi defendan yang dinamakan ialah NST, ketua editornya, Abdul Jalil Hamid dan wartawannya iaitu Rahmah Ghazali, Lim Poh Lean, Nik Amran Abdullah dan pengarang NST Syed Nadzri Syed Harun.

Saman itu dibuat ekoran kegagalan kedua dua pihak memohon maaf dan menarik balik tuduhan terhadapnya sebagai “bapa kafir” dalam tempoh yang diberikan.

"Defendan-defendan secara bersama/berasingan telah bertanggungjawab menulis dan menyebabkan tersiarnya sebuah artikel di muka surat 6 di dalam akhbar New Straits Times, yang bertajuk 'NIK AZIZ IS FATHER OF KAFIR’ yang diterbitkan pada hari Selasa 08 Mei 2012, yang mana artikel tersebut secara jelas menyebut secara langsung berita yang tidak benar dan tidak berasas yang dikaitkan dengan Plaintif," tulis writ saman tersebut.

Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut “Nik Aziz is father of kafir”.

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.

Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.

Saman juga dikemukakan terhadap enam lagi pihak iaitu tiga wartawan NST yang terbabit menulis berita berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan NST, penyunting kumpulan NST dan syarikat NST.

Menteri Besar dalam pernyataan tuntutan mahu defendan-defendan menarik balik berita fitnah yang disiarkan NST pada 8 Mei lalu.

Selain itu permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif dengan mengiklankan permohonan maaf tersebut semuka penuh dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Turut dituntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan ganti rugi punitif.

Injunksi juga dikemukakan bagi menghalang defendan-defendan memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan yang berunsur fitnah terhadap plaintif.

Dalam afidavitnya Menteri Besar berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai “bapa kafir” menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.

Tulisan tersebut juga disifatkan memberikan gambaran yang buruk terhadap plaintif.

3 tahun skandal runtuhnya Stadium Sultan Mizan

Dr.Syed Azman Syed Ahmad, 11 Jun 2012
Hujung minggu lepas menyaksikan ribuan rakyat Terengganu yang kebanyakannya terdiri dari kalangan anak-anak muda telah berhimpun di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu bagi memperingati peristiwa '3 tahun runtuhnya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin' yang berlaku pada 2 Jun 2009.

Peristiwa malang yang kini menjadi mercu tanda bagi keangkuhan dan kebebalan kepimpinan UMNO Terengganu ini telah mengakibatkan rakyat Terengganu terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit.

Untuk ingatan kita, stadium ini telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu. Projek mega  ’kebangaan’ kerajaan kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta. Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada  lebih RM 292 juta.

Projek Mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama yang rapat dengan kepimpinan Umno Terengganu iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk ’Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. yang didatangkan khas dari Korea Selatan.

Namun pada 2 Jun 2009 suatu trajedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Pada jam 9.40 pagi, sebahagian daripada bumbung utama stadium kebangaan ini telah runtuh.

Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini tetapi terdapat beberapa kenderaan yang rosak teruk akibat dari keruntuhan ini. Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam ’Tempuh Tanggungan Kecacatan’ dan pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.

Pada 15 Jun 2009, satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk meenyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini. Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini telah di taklimatkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia.

Antara faktor yang telah dikenalpasti olh pihak JKR semasa taklimat kepada PAC adalah 4 punca utama iaitu; Rekabentuk yang tidak memadai; Bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlaku salah jajaran kepada geometri; Kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak dan Bahan dan kualiti hasilkerja (workmanship) tidak memenuhi spesifikasi yang telah ditentukan. Mutu pembuatan komponen keluli didapati tidak baik dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditentukan.

Skandal runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan ini  adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Walaupun kerajaan negeri telah berbelanja ratusan juta, kini telah lebih 3 tahun stadium ini tidak dapat digunakan langsung. Manakala kerja-kerja baikpulih tidak berjalan lancar seperti yang di jangkakan.

Lebih malang lagi apabila baru-baru ini telah berlaku kecurian barang-barang seperti peralatan sukan, kabel dan generator yang di anggarkan lebih dari RM50 juta.
Uniknya sepanjang stadium ini tidak dapat digunakan ia telah dijaga di bawah sebuah syarikat keselamatan yang di bayar lebih dari RM1 juta setahun oleh kerajaan Terenganu bagi menguruskan penjagaan stadium tersebut. Namun telah berlaku kecurian barangan stadium yang amat-amat memalukan seluruh rakyat Terengganu.

Ramai kalangan rakyat Terengganu juga sehingga kini masih tertanya-tanya siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keruntuhan yang memalukan ini? Dan pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih ini?

Dan berapakah pula kos sebenar baikpulik stadium ini yang bernilai hampir RM300 juta ini? Dan bilakah baikpulih stadium ini akan disiapkan?

Kini persoalan besar yang timbul, apakah keseluruhan struktur stadium ini selamat untuk digunakan oleh rakyat Terengganu?

Skandal besar yang memalukan ini sehingga kini telah mendapat reaksi ’sambil lewa’ dari kepimpinan Dato Sri Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Beliau tidak boleh menutup ’sebelah mata’ dengan menyalahkan ’kontraktor kroni’ kepimpinan yang lalu dibawah Dato Sri Idris Jusuh semata-mata.

Skandal besar ini telah meletakkan maruah rakyat Terengganu amat tercabar. Seluruh rakyat Terengganu bukan sahaja menanggung bebanan 'malu' tetapi juga terpaksa menanggung kerugian berjuta-juta sedangkan di waktu yang sama 'kontraktor kroni' berpoya-poya mengaut laba keuntungan yang besar.

Namun inilah realiti yang berlaku di negeri 'penyu bertelur' ini. Negeri yang kaya raya ini terus berhadapan dengan pelbagai skandal, salah-urus  dan masalah kepimpinan yang amat lemah. Kebanyakan rakyat bawahannya pula terus disogok dengan pemikiran 'subsidi' dan 'wang ehsan' dan terpaksa menanggung bebanan yang melibatkan pembaziran dan kerugian ratusan juta ringgit.

Ya...penyu terpaksa menangis lagi di negeri Gganu kite ini.
-------------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burpk, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk


Kroni: Ismail Sabri seolah sindir ketua sendiri

Riduan Mohd Nor, 11 Jun 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengingatkan pemimpin Umno di semua peringkat supaya tidak memperjuangkan kelompok tertentu atau kroni sahaja sebaliknya berjuang untuk semua rakyat sebagai kenyataan yang melucukan.
Kenyataan beliau ibarat ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus’, beliau mahu mengajar pemimpin partinya supaya ‘berjalan lurus’  walhal beliaulah yang perlu dinasihatkan dahulu supaya ‘berjalan lurus’ sebelum beliau menasihatkan pemimpin lainnya.

Datuk Seri Ismal Sabri seperti baru menyedari sekarang bahawa Umno berjuang untuk keluarga dan kroni terdekat.

Umum mengetahui kebejatan Umno bukan berlaku sehari dua ini, tetapi sudah bertahun lamanya dan sudah berbilion ringgit duit rakyat dirompak untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

Amalan ini sudah sebati dalam diri mereka sehinggakan ramai pemimpin pemimpin Umno pelbagai peringkat dan keluarga mereka hidup kaya raya dengan hasil projek segera.

Datuk Seri Ismail sendiri boleh hitung jumlah pemimpin termasuk suku sakat dan keluarga mereka yang menikmati kekayaan hasil daripada projek kerajaan.

DPPM menganggap kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri mengesahkan lagi bahawa perjuangan Umno telah jauh tersasar dari matlamat penubuhannya yang mahu membela nasib bangsa Melayu di negara ini.

Bahkan Tun Dr Mahathir sendiri pernah mengakui teruknya Umno sehingga menggambarkan Umno busuk sehingga ke ususnya.

Mungkin Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan kenyataan sedemikian dengan melihat keadaan parti beliau yang sudah semakin hilang sokongan rakyat dan mungkin beliau pula akan kalah di parlimennya dalam PRU ke 13.

DPPM juga mengagak beliau seolah-olah menyindir ketuanya sendiri iaitu Presiden Umno yang dilihat terlalu banyak terpalit dengan dakwaan skandal dan rasuah serta amalan kronisme yang berlingkar sekitar beliau.

Barangkali Datuk Seri Ismail Sabri digerakkan oleh seseorang atau kumpulan tertentu untuk mengeluarkan kenyataan demikian sebagai tanda bermulanya persengketaan yang besar terhadap Presiden Umno dan sekutunya.

Bagi mereka, era Datuk Seri Naib sebagai Presiden Umno terlalu berpenyakit sehingga sukar diubati lagi dan perlu diganti dengan pemimpin lain yang dilihat lebih bersih.

Sukar bagi beliau dan pemimpin Umno lainnya membersihkan imej parti mereka dalam keadaan pemimpin tertinggi mereka terpalit dengan amalan rasuah dan kronisme yang semakin membarah.

Padahal, rakyat melihat kesemua pemimpin Umno mengamalkan politik yang sama iaitu rasuah dan kronisme yang terus menjadi sebagai sebahagian hidup mereka.

Padang rosak teruk gara-gara program PM

Mohd Hussin Ibrahim, 11 Jun 2012
GUA MUSANG: Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) kini menanggung kos kira-kira RM200,000 kerana padang tempat berlangsung program dihadiri Datuk Seri Najib Razak rosak teruk.

Dan akibat kerosakan itu padang milik MDGM tersebut tidak lagi dapat digunakan untuk sebarang aktiviti sukan sehingga sekarang.

Pada awal April lalu Perdana Menteri datang ke Gua Musang merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia yang diadakan di padang berhampiran Pusat Sivik.

Lebih malang lagi Kesedar dan Kementerian Penerangan merupakan penganjur program difahamkan masih membisu sehingga sekarang biar pun notis peringatan dihantar MDGM.

Ahli Majlis MDGM, Amran Abdullah berkata, majlis daerah membenarkan penggunaan padang tersebut selepas dimohon Kesedar.

Bagaimanapun katanya, pihak penganjur tidak menghormati kebenaran yang diberi dan menggali lubang bagi mendirikan khemah besar sehingga menyebabkan padang rosak teruk.

“Isu ini sudah dibincang di peringkat ahli majlis bersama Yang Dipertua. Mesyuarat memutuskan Kesedar perlu menanggung kos kerosakan padang.

“Namun tuntutan awal yang dibuat tidak dihiraukan. Oleh itu kami bersetuju menghantar tuntutan sebanyak RM200,000 bagi menampung kos kerja-kerja membaiki kerosakan padang,” katanya di sini.

(Tunggu pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

Benarkah Aishah akan bertanding atas tiket PAS?

Salmiyah Harun, 11 Jun 2012
Penglibatan artis atau selebriti dalam dunia politik bukanlah satu fenomena yang baru. Namun sejak kebelakangan ini ianya menjadi perdebatan hangat apabila artis muncul di pentas politik pembangkang. Bagi sesetengah pihak ianya perkara yang pelik, tidak pula menjadi pelik apabila artis berada di pentas kerajaan.
Situasi ini sedikit sebanyak dirasai seorang penyanyi bersuara merdu yang cukup popular dengan lagu Janji Manismu, Aisyah. Beliau kini mengakui ada kepuasan bila berada di dalam jemaah yang berpendirian sama, PAS.
Bagaimanapun semenjak beliau mula mendekati PAS, pelbagai persepsi timbul malah ada yang mengatakan beliau antara yang akan bakal bertanding atas tiket PAS dalam PRU nanti. Sejauhmana kebenaran itu? Ikuti temubual Wartawan Harakahdaily, SALMIYAH HARUN dengan Wan Aishah.


1. Bagaimana perasaan Saudari setelah duduk di dalam PAS berbanding sebelum ini? Seronok?


Menyertai PAS bukan untuk berseronok tapi untuk membantu dalam perjuangan meletakkan Islam sebagai 'priority' dalam kehidupan rakyat. Ianya satu cabaran yang besar. Saya cuma boleh bantu apa yang termampu tapi ada satu kepuasan bila berada di dalam jemaah yang berpendirian yang sama.


2.Macam mana perhubungan saudari dengan rakan-rakan artis yang lain, adakah mereka memandang serong selepas saudari masuk PAS?
Setakat ini saya macam biasa sahaja dengan rakan-rakan artis, kalau mereka pandang serong itu tidak jadi masalah kepada saya. Kita semua ada pendirian dan pandangan masing-masing. Yang penting ada rasa hormat antara satu sama lain .


3.Saudari berucap di Perhimpunan Hijau ada 1 Jun lalu, bagaimana perasaan saudari ketika itu?

Saya sangat terharu bila berada di perhimpunan hijau tempoh hari, betapa ramainya penyokong yang membanjiri stadium. Rakyat yang datang dari setiap pelusuk negara, pengorbanan mereka untuk sampai ke perhimpunan itu tanpa dibayar malahan dengan duit mereka sendiri. Walaupun ramai dari kalangan mereka bukannya datang dari golongan berada. Saya juga terharu diberi penghargaan untuk bercakap. Menunjukkan PAS adalah
parti politik yang progresif dan tidak mengamalkan kronisme.


4.Sejak saudari berada di pentas PAS, ada tak tawaran dari pimpinan PAS untuk saudari bertanding dalam PRU nanti?


Setakat ini belum ada tawaran rasmi dari PAS Pusat untuk saya bertanding dalam PRU.

5.Jika saudari diberi peluang bertanding, kawasan manakah saudari mahu?


Saya belum terfikir sampai ke tahap itu.


6.Khabar angin mengatakan Saudari bakal bertanding di Jempol. Betul ke?

Saya pun tidak tahu dari mana datangnya cerita saya hendak bertanding di Jempol. Ianya tidak betul kerana saya tidak dapat apa-apa tawaran rasmi dari PAS.


7.Ditakdirkan saudari menjadi wakil rakyat selepas PRU nanti, apa agaknya perkara utama yang saudari mahu lakukan untuk rakyat?


Kalau ditakdirkan begitu saya akan berkhidmat untuk rakyat sebaik mungkin, dengar rintihan dan masalah mereka. Yang penting ialah 'to give the people what they realy need' (memberi bantuan kepada yang memerlukan).

Mengapa UiTM sukar terima Bumiputera Sarawak?

Jofri Jaraiee, 11 Jun 2012
Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan sebuah universiti kerjasama pendidikan awam dengan kampus utama yang terletak di Shah Alam, Selangor, Malaysia.

Ia adalah institusi utama Sistem Universiti Teknologi MARA, universiti terbesar di Malaysia dari segi saiz dan enrolmen pelajar  dan satu-satunya universiti awam yang menjalankan pengambilan dua kali setahun.

Kemasukan universiti adalah terbuka kepada Bumiputera dan pelajar antarabangsa sahaja, kecuali bagi program-program persediaan yang dijalankan di Pusat Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Malaysia di mana bukan Bumiputera diterima. Dasar ini dilindungi menurut kuasa Perkara
153 Perlembagaan Malaysia.

Kita ada menerima aduan daripada ibubapa pelajar bumiputera Sarawak yang mengatakan sukar bagi anak mereka untuk masuk ke universiti tersebut disebabkan status bangsa anak mereka terutama sekali ibu mereka bukan bumiputera sedangkan bapa mereka adalah bumiputera asal Sarawak,
Kalau mengikut keturunan selalunya ikut daripada keturunan seorang bapa bukannya ibu.

Apakah taraf status sebenar “Bumiputera” yang dibenarkan oleh UiTM dalam pengambilan pelajar bumiputera dari Sarawak?

Adakah kedua ibubapa pelajar mesti bumiputera sepenuhnya? Bagaimana pula sekiranya bapa pelajar bumiputera berkahwin dengan ibu yang bukan bumiputera maka adakah anaknya tidak diiktiraf sebagai bumiputera?

Inilah persoalan yang sering timbul kepada pelajar bumiputera Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke UITM dimana masalah akan timbul apabila bapa pelajar bumiputera berkahwin campur dengan orang bukan bumiputera.

Ibu bapa pelajar dari Sarawak khususnya amat kesal dengan sikap pengurusan UiTM dalam urusan pengambilan pelajar baru dari Sarawak disebabkan status ibubapa mereka.

Kita mendesak agar pihak kementerian pelajaran dapat menjelaskan dengan segera taraf status Bumiputera yang sebenarnya agar tidak menyusahkan pelajar bumiputera Sarawak dari terus terpinggir dari pelajaran. Kebanyakan perkara ini berlaku kepada pelajar bumiputera Sarawak yang kedua ibubapanya berkahwin campur.

Jangan pinggirkan atau diskriminasi pelajar bumiputera dari Sarawak untuk sama-sama maju ke hadapan bersama pelajar dari Semenanjung kerana Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia.
Berlaku adillah kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik demi masa depan pelajar tersebut nanti.

Penulis ialah Yang Dipertua PAS kawasan Miri.

Tiada ulasan: