Ahad, 10 Jun 2012

LASAK AJE BUAT APA...AKIDAH DAN IMAN TAK LASAK...ALLAH TAK TANYA LASAK TAK LASAK....TAPI ALLAH TANYA KAMU BERJUANG ISLAM ATAU TAK....ALLAH TAK TANYA KEMENANGAN...KITA PATUT MEMPUNYAI ISLAM YANG TULEN......IAITU 'AKIDAH YANG BENAR@HAQ...IBADAHNYA SAH"

Visual Bersih 3.0, PTPTN burukkan lagi imej Najib

Abdul Aziz Mustafa, 09 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 9 Jun: Tindakan menyekat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dipercayai memburukkan lagi imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden PAS Mahfuz Omar.


"Berikutan tindakan ganas kerajaannya terhadap rakyat yang berhimpun secara aman dalam himpunan Bersih 3.0 28 April lalu, populariti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) merudum selepas kajian juga menunjukkan 92 peratus dari rakyat yang ditanya mahu daftar pengundi dibersihkan.

"Bila populariti Najib merudum, tergesa-gesa (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) umumkan bahawa rakaman visual versi kerajaan Umno sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya serta akan dimuat naik ke laman web kementerian.

"Bila tiba masanya, tiba-tiba dia umumkan pula rakaman itu tidak jadi disiarkan. Mungkin tak sempat edit ikut selera mereka agaknya," kata beliau.

Dalam keadaan Umno Barisan Nasional (BN) dilihat tidak henti-henti melakukan tindakan salah demi tindakan salah selepas Bersih 3.0 lalu, tindakan menyekat pinjaman PTPTN itu dilihat oleh Mahfuz sebagai kesilapan terburuk kerajaan pimpinan Najib.

"Tindalan itu paling memburukkan imej kerajaan Najib.

"Tindakan menyekat pinjaman PTPTN itu dipercayai menyebabkan populariti Najib semakin merudum.

"Ia sangat menyakitkan hati orang-orang Melayu dan terima kasih kepada (Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed) Khaled Nordin yang umumkan sekatan itu dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) yang terang-terang menyokong sekatan itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Tindakan itu, kata Mahfuz, menguatkan lagi azam rakyat untuk tidak memberikan undi dan kuasa kepada Umno dan BN yang terbukti sesuka hati menyalahgunakan kuasa.

"Apa yang menarik, semua itu berlaku ketika Himpunan Hijau menuju Putrajaya membuktikan bahawa sokongan orang-orang Melayu kepada PAS bukan sahaja tidak berubah malah semakin bertambah," katanya.

Bagi Mahfuz, himpunan tersebut bukan sahaja suatu motivasi kepada ahli-ahli PAS untuk melipatgandakan usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang, malah ia jelas menghantar mesej yang jelas yang menjadikan para pemimpin Umno tidak tentu arah.

"Sebab itulah mereka marah-marah, mengeluarkan kata-kata yang bukan-bukan, mencerca dan menidakkan kejayaan himpunan itu.

"Para pemimpin Umno tahu, mereka tidak boleh mengharapkan undi kaum Cina, sebab itulah sokongan orang-orang Melayu yang ternyata begitu hebat kepada PAS itu amat menggerunkan mereka," katanya.

Mahfuz melihat, sekatan pinjaman PTPTN itu adalah sebahagian dari manifestasi sikap tidak tentu arah Umno itu.

BR1M: Rakyat bukan ikan tilapia

Hazayani Zakaria, 09 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 9 Jun: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 tidak akan dapat 'menyucikan dosa' kerajaan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nasrudin Hassan (gambar).

Sambil menyifatkan BR1M sebagai hak rakyat, Nasrudin berkata, bantuan itu memang wajar diberikan kepada rakyat yang memerlukan tetapi bimbang ianya dijadikan umpan pilihan raya.

"Kita tak pernah mempertikai hak rakyat untuk dapatkan bantuan daripada kerajaan tapi bukan bermaksud bantuan itu boleh mencuci penyelewengan, rasuah, dosa yang dilakukan oleh kerajaan.

"Lambat laun rakyat sedar juga kes-kes rasuah seperti NFC dan sebagainya dan rakyat akan sedar bagaimana kerajaan menguruskan wang negara," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada Kabinet kelmarin, supaya kerajaan memberi BR1M kedua kepada rakyat.

Nasrudin berkata, jika kerajaan benar-benar ikhlas membantu rakyat, bantuan seperti ini bukan sahaja diberi menjelang pilihan raya tetapi sepanjang masa.

"Yang timbul kenapa jadi gula-gula pilihan raya kerana seringkali diberi kepada rakyat menjelang musim pilihan raya. Kenapa tidak daripada awal dulu dan tidak dijadikan dasar kerajaan. Menjelang pilihan raya macam-macam diberikan," katanya.

Namun ujarnya, rakyat khususnya golongan muda yang celik maklumat tidak akan terpengaruh dengan umpan sedemikian sebaliknya tahu berfikir untuk memilih kerajaan yang terbaik pada pilihan raya umum akan datang.

"Anak-anak muda yang mendapat maklumat jelas, mereka tidak mudah untuk dipengaruhi kerana prinsip perjuangan bukan berharga RM500 untuk menentukan corak pemerintahan negara melalui pilihan raya umum akan datang.

"Rakyat dapat membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya, bukan berdasarkan siapa yang boleh beri umpan kepada mereka kerana rakyat bukan ikan tilapia untuk dibuat demikian tapi rakyat manusia yang ada akal, ada agama dan boleh berfikir," katanya.

Isu Syria: Pemuda PAS tubuh pasukan khas

Hazayani Zakaria, 09 Jun 2012

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menubuhkan pasukan khas bagi membantah kekejaman dan penindasan regim Bashar Assad ke atas rakyat Syria.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan, pasukan khas yang dipengerusikan Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa itu secara konsisten akan merayu kerajaan Syria menghentikan tindakan kejam ke atas rakyatnya.

"DPPM merayu kerajaan syria supaya mengasihani rakyat mereka terutamanya orang tua, wanita dan kanak-kanak," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Pasukan khas itu juga katanya mendesak Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) segera campurtangan bagi menangani krisis di Syria.

Selain itu, mereka mengecam keras campurtangan luar ke atas Syria sehingga mencetuskan perang saudara yang rumit untuk diselesaikan.

"DPPM juga mendesak kerajaan Malaysia menutup kedutaan syria dan memberi tekanan kepada mereka agar tidak boleh beroperasi di negara ini, sehingga kekejaman dihentikan," katanya lagi.

Semalam, kira-kira seratus orang menyertai demontrasi anjuran DPPM di hadapan kedutaan Syria selepas solat Jumaat.

Mereka menggesa kerajaan Malaysia segera menutup kedutaan syria dan menghalau duta Syria ke Malaysia.

Malam 1 Jun itu, di Stadium Darul Aman

Ahmad Lutfi Othman, 07 Jun 2012
Sebenarnya saya hampir terlepas daripada mengikuti secara dekat peristiwa bersejarah Himpunan Hijau ke Putrajaya, malam 1 Jun lalu, yang mengumpulkan lebih 100,000 penyokong PAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Mulanya, sahabat saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob yang dijangka menemani sepanjang perjalanan ke utara, terpaksa membatalkan hasratnya disebabkan demam.

Meskipun dapat menghadiri program Amanat Khas Presiden, yang mencatat kehadiran lebih 3,000 aktivis parti dari seluruh pelosok negara, pada hari sama, pagi Jumaat, di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, sekali lagi saya hampir terlepas majlis kemuncak malamnya disebabkan kereta ketua pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, terperangkap dalam kesesakan teruk di sekitar stadium. Sepatutnya beliau menjemput saya di hotel, yang jaraknya tidak pun sampai 5 kilometer.

Ada rakan menawarkan kemudahan untuk membonceng motosikal, namun terhalang dengan keuzuran kaki kiri saya. Mujur kakitangan Hotel Regency Alor Setar ringan tulang  berjalan kaki  ke Pekan Rabu mencari teksi; pemandunya nampak agak keberatan disebabkan beliau sendiri baru saja menempuh laluan yang cukup perlahan. (Rupanya masa sama ada teman-teman lama yang 'tersangkut' dan memilih untuk berehat di hotel saja -- mereka tentu tidak menduga Stadium Darul Aman malam itu bakal melakar sejarah).

"Kalau ada pertandingan bola babitkan pertandingan penting pun jalan tak seteruk ini," kata pemandu dalam usia 60-an itu. "Cuba tengok, kenderaan terpaksa diletakkan jauh dari stadium," tambahnya, semasa kami melepasi Masjid Zahir. "Ramai sungguh kali ini, saya tak pernah alaminya di Alor Setar," ujarnya, sambil menceritakan pengalamannya lebih 40 tahun memandu teksi.

Seminggu sebelum 1 Jun, saya agak risau melihatkan promosi himpunan semacam tidak begitu rancak dan kurang diperkatakan. Saya kerap membandingkan dengan gimik prademonstrasi Bersih 3.0 -- ibarat langit dengan bumi. Sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, tiada acara "pemanas badan", malah baju hijau, yang sepatutnya mula dijual, hampir tiada kelihatan. Kawan-kawan yang pernah menjadi pengusaha kilat baju-T Bersih pula "buat tak kisah aja".

"Saya lebih bimbang jika gegak gempita perarakan Bersih 3.0, yang berjaya menghimpunkan lebih suku juta orang itu akan ditenggelamkan begitu saja jika himpunan hijau nanti gagal capai target," saya luahkan kerisauan kepada seorang pemimpin PAS, beberapa hari sebelum berakhir bulan Mei lalu. Beliau seperti berkongsi rasa. 

Meneliti laman-laman sosial, seperti Facebook, debaran itu agak terubat apabila menatap pelbagai gaya poster himpunan (sebahagiannya direka sendiri, dengan logo yang sama), namun langsung tidak terbayang ia satu kempen strategik untuk menghimpunkan 100,000. Ya, tidak mudah untuk 'memanggil' 100,000 ke Alor Setar dalam waktu yang cukup singkat. Harakah sendiri cukup lambat menyiarkan iklan dan hebahan, malah nama program pun bertukar-tukar.

Difahamkan persiapan hanya mengambil masa dua minggu, satu tempoh yang relatif singkat jika diukur skala program yang mahu menghimpunkan 100,000 orang. Apatah lagi ia merupakan aktiviti menggantikan muktamar tahunan parti, yang sepatutnya berlangsung pada masa sama. Maknanya, himpunan ini, dari satu segi, mencabar keupayaan PAS untuk membuktikan kemampuan jentera dan petugas partinya berdepan "ibu segala pilihan raya", PRU13.

"Himpunan ini bukannya program gabungan bersama Pakatan Rakyat kerana ia umpama muktamar parti, sekali gus menguji komitmen aktivis parti Islam untuk mengharungi bermacam-macam mehnah dan fitnah," kata seorang  tokoh akademik.  "Walaupun sama sekali tidak bertujuan mempamerkan kekuatan PAS tetapi saya percaya ia berjaya menyuntik semangat dan keyakinan buat ahli-ahli bahawa PAS tidak boleh diremehkan. Bukan hanya Kedah yang mahu dipertahankan tetapi impian untuk menguasai Putrajaya, yang banyak bergantung kepada potensi PAS, dapat dicapai jika strategi dan pendekatannya betul," tambahnya.

Semasa menapak perlahan di celah-celah ribuan hadirin, menuju pintu utama stadium, saya mendengar pidato Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri. Beliau sempat menitipkan pesanan agar setiap penggerak jemaah terus istiqamah dan bersabar meniti perjuangan suci ini.

Dari bilik VIP di tingkat atas stadium, langkah saya terhenti. Saya terpukau dengan lautan hijau, yang cukup memikat. Pandangan saya terpaku seketika terutama kepada ribuan yang memenuhi padang dan balapan. Ya, saya benar-benar terkejut. Tidak pernah saya jangkakan dapat menyaksikan suasana yang syahdu, tetapi penuh bersemangat itu. Subhanallah!

Lebih mengujakan apabila melihat reaksi proaktif hadirin yang secara berterusan mengibarkan bendera parti, Jalur Gemilang dan kelihatan juga bendera negeri-negeri tertentu, tanda pertemuan yang dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib itu dihadiri penyokong parti seluruh negara.

Beberapa kali saya terpaksa menahan air mata kegembiraan. Kebimbangan saya sebelum ini bukan saja berakhir tetapi digantikan automatik dengan rasa syukur, sebak dan terharu. Sukar digambarkan perasaan penuh nikmat itu. Bagaikan darah mengalir lancar di segenap tubuh, yang membangkitkan rasa ghairah yang luar biasa hebatnya, untuk menyambut setiap lontaran idea dan harapan pemidato utama, terutama daripada kepemimpinan parti. Saya juga terkenangkan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Assyahid Ustaz Ibrahim Libya, dua anak Kedah yang memahat sejarah tersendiri dalam PAS.

Dari kedudukan saya, yang betul-betul berada di bahagian atas tingkat tetamu kehormat, butiran ucapan agak sukar ditangkap. Malam itu, bagi saya, isi pidato tidak penting lagi. Saya bagaikan menonton satu persembahan yang berjaya mengusik emosi dan perasaan. Gelombang lautan manusia yang nampak berombak, ditambah sorakan dan takbir, serta lebih istimewa lagi tiupan trompet yang biasanya bergema semasa pertandingan bolasepak.

Melalui layar besar, saya lebih terpesona dengan aksi tangkas pengarah program, Mahfuz Omar, yang secara santai menguasai pentas utama. Gaya Naib Presiden PAS itu memperkenalkan beberapa 'selibriti' yang kini menjadi anggota keluarga besar parti cukup menarik.

Misalnya, penampilan bekas pengacara TV Al-Hijrah, Robby anak Tandang, seorang Iban, yang telah memeluk Islam dan kemungkinan bertanding dalam PRU13 nanti, atas tiket PAS, di Sarawak. Semasa saya berkunjung ke Miri dua bulan lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Jofri Jaraiee, banyak bercakap tentangnya. Malam itu bicara Rudi mempesona terutama apabila mengaitkan dengan hikmah agama. Kebetulan 1 Jun itu Hari Gawai dan Rudi tidak lupa mengucap selamat buat rumpun bangsanya.

Secara peribadi saya terkesan dengan ucapan penyanyi Aishah. Tutur katanya teratur dan penekanannya jelas -- isyarat pemikiran politik dan budayanya juga begitu mantap. "Selama 25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS  dan membuktikan PAS for everyone," kata Aishah. Bekas Juara Lagu itu sempat mengingatkan: "Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini."

Begitu juga dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Fauzi Shaari, yang kebetulan esok paginya, 2 Jun, saya sempat berbual ringkas bila terserempak dengannya di tangga Pekan Rabu. (Pagi Sabtu itu, setiap kali melangkah di Pekan Rabu, kita pasti berselisih bahu dengan penyokong PAS dari seluruh negara -- petanda aktivis parti Islam mendominasi Alor Setar).
Sesungguhnya Himpunan Hijau itu amat besar makna dan impaknya buat PAS, parti yang dianggap cukup kritikal dalam PRU13 nanti, terutama untuk merebut hati dan minda pengundi Melayu. Cabarannya terlalu besar dan kesempatan masa yang masih berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggembleng setiap potensi kekuatan untuk memastikan PAS dapat membantu impian Pakatan ke Putrajaya.

Justeru, saya tidak hairan apabila melihat Umnpo cukup resah dan gelisah dengan Himpunan Hijau itu. Sehinggakan Dr Mahathir Mohamad terpaksa memberi komen bahawa  jumlah besar yang membanjiri program itu  tidak akan diterjemahkan di kertas undi, sambil menegaskan peserta dibayar untuk menghadirinya.

TPM Muhyiddin Yassin juga berkata peserta Himpunan Hijau itu  mungkin dibayar supaya hadir. Katanya, peserta berkenaan mungkin dibayar supaya hadir dari seluruh negara.

Rupanya kerisauan dan kebimbangan saya sebelum 1 Jun telah beralih kepada pemimpin Umno, tentunya dalam bentuk yang lebih dahsyat!

Malam itu, saya terpaksa bergegas pulang cepat ke hotel untuk menyiapkan muka-muka utama Harakah edisi Isnin. Malangnya, rakan-rakan jurugambar dan wartawan gagal menghantar bahan tepat pada masanya disebabkan gangguan internet.

Dan saya turut terlupa untuk "menghijaukan" masthead Harakah daripada warna asal merah. "Kalau masthead Utusan Malaysia yang  biru itu pun boleh ditukar kepada merah untuk meraikan bersama sambutan Umno ke-66 tahun di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei, mengapa masthead Harakah tak boleh tukar menjadi hijau," tanya seorang pembaca setia Harakah.

Berkenaan nombor plat WWW1

Subky Latif, 06 Jun 2012
DULU plat motokar nombor MCA1 dibida hingga RM300,000. Untuk plat nombor WWW1 ia dibida setinggi RM520,000.
Siapa yang berjaya membidanya tidak penting, tetapi ia menggambarkan bahawa negara dan bangsa kita sudah masuk ke  alam seperti itu dan ada orang yang sedia membida setinggi itu malah mungkin lebih tinggi dari itu hanya untuk satu nombor motokar.

Ia terjadi begitu ialah sistem yang  terpakai di negara ini oleh orang-orang yang membenarkan sistem itu begitu.

Ia halal dan dibenarkan oleh undang-undang. Tetapi adakah ia benda yang betul  dan bijaksana?

Sistem menjual nombor plat yang elok dengan harga yang setinggi itu tentulah disebabkan JPJ merasa  sukar untuk memberi nombor yang elok-elok oleh  disebabkan ramai orang yang mahukannya.

Kalau yang mahukan nombor yang elok itu adalah orang awam biasa, maka mudah kepada pemberi nombor memberi kepada siapa yang dia suka. Kalau yang memohon itu orang bernama, maka payah bagi memberinya, apa lagi kalau ia adalah raja-raja.

Kalau seorang raja yang memohon maka ia mudah  diperkenankan, tetapi kalau serentak sekalian Sultan memohonnya, maka kepada raja yang hendak diberi.

Maka diadakan sistem membida. Siapa yang boleh memberi tender yang tertinggi, maka orang lain tidak boleh takwil. Jika ia diberi percuma, maka ditakuti ada orang dalam bermain kayu tiga secara gelap atau pintu belakang,  mengambil  harga untuk diri  sendiri. Siapa yang boleh menyogok sekian banyak, maka dia boleh dapat nombor itu.

Bagi mengelakkan berlaku bentuk rasuah yang demikian, maka ia tawarkan kepada semua di pasaran terbuka untuk membida. Gara-garanya ada bida sampai setengah juta.

Orang seperti Robert Kuok, Ananda Krishnan, Tony Farnandez, Vincent Tan dan Syed Mokhtar tak terasa apa sekali pun membida pada harga sejuta atau lebih. Duit mereka tidak luak.

Tetapi adakah bijak dan waras membida setinggi itu sedang dalam masyarakat kita penuh  dengan serba ketempangan.  Orang yang memerlukan duit, makanan, pakaian dan lain-lain begitu ramai sedang duit yang banyak digunakan untuk membeli satu nombor motokar.

Dari mana duit itu diperolehi tidak penting. Adakah dari duit loteri, menang judi, atau keuntungan perniagaan dan sebagainya, tetapi apakah ia satu amalan yang wajar?

Jika dengan setengah juta digunakan untuk menghantar orang yang belum pernah haji menunaikan haji, besar mana ganjaran pahala yang diperolehi. Seorang haji perlu RM10 ribu, dengan bida itu boleh hantar 50 jamaah. Segala ibadat dan pahala wajib haji setiap orang itu  akan diperolehi oleh orang yang menghantarnya.

Setiap hamba Allah akan  ditanya dari mana hartanya diperolehi dan bagaimana ia digunakan. Seorang kaya yang soleh setengah hari lewat masuk syurga dibandingkan dengan orang miskin yang soleh. Sebab Allah tanya cara dia berbelanja atas hartanya.

Nabi Sulaiman a.s. adalah maksum, kerana baginda adalah orang terkaya di dunia, baginda ditanya setiap kekayaannya digunakan, maka baginda menunggu 40 tahun masuk  syurga selepas nabi-nabi lain.

Bagaimana sekalian membida nombor itu berbelas dan berpuluh ribu hendak menjawab apakah masing-masing telah menggunakan wang secara betul?

Kerajaan dan JPJ yang membenarkan amalan itu telah menyebabkan begitu  ramai orang yang terlibat dalam perkembangan yang tidak sihat itu.

Kalau raja-raja  terlibat membida, maka yang pertama dipersoal bukan  raja-raja, tetapi ialah pihak yang menyediakan sistem hingga kejadian yang tidak sederhana berlaku. Islam yang sederhana tetapi yang melampaui tahap kesederhanaan.

Kita telah tercebur dalam amal kapitalisme yang parah.

Kembali ke era pemuda Umno tahan lasak

Subky Latif, 05 Jun 2012
KEKECOHAN dan gangguan terhadap ceramah PKR yang  dihadiri oleh Anwar Ibrahim di  Lembah Pantai malam Khamis 24 Mei 2012 adalah rentetan UMNO kembali  ke era Pemuda UMNO tahan lasak pra 13 Mei, 1969.
Pemuda UMNO masa itu dipimpin oleh Tan Sri Senu Abdul Rahman. Saya mengenali Senu dari dekat. Dia seorang yang baik dan berfikiran maju tetapi bukan seorang yang samseng.

Tetapi orang di bawah beliau ada yang ultra dan samseng. Maka dia hilang kawalan terhadap anak buahnya. Pemuda UMNO zaman itu mungkin ramai dan kuat, tetapi tidak dihormati. Mereka  digerusi dan ditakuti. Dalam mana-mana politik  duniawi adalah orang keras dan pelampau iaitu ektrimis. Tetapi Pemuda UMNO tahan lasak pelampau, sebaliknya samseng yakni gangsterisma. Mereka kaki pukul, kaki gaduh dan kaki kacau.

Pembangkang penting dan utama era itu adalah PAS. PAS banyak pengalaman menjadi mangsa politik ranggi itu. Ia adalah era paling hitam bagi Pemuda UMNO.

Sejak Tun Hanif Omar menjadi Ketua Polis Negara dan Tun Musa Hitam menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO  di bawah Dato Harun Idris, sifat samseng Pemuda tahan lasak itu mula dibendung dan orang lupa kepada samsengnya.

Tetapi ia mulai kembali ke   zaman huduh itu apabila ceramah pembangkang mulai diganggu. Penunggang motosikal bukan sekadar menggamatkan dentum bunyi motorsikal masing-masing bah meronda seperti mat sempit berdekatan majlis ceramah pembangkang. Ia amat mencabar kesabaran pembangkang.

Mulai semula budaya UMNO mengadakan ceramah kilat beberapa rantai dari ceramah PAS. Sejak dulu dan sekarang ceramah UMNO tidak berorang. Maka ia tidak banyak mengadakan ceramah. Yang rajin mengadakan ceramah ialah pembangkang terutama  PAS. Ceramah selalunya ada sambutan. UMNO pun suka mendengar ceramah pembangkang di celah-celah gelap malam.

Tetapi selalunya bila ada ceramah pembangkang biasalah UMNO mengadakan ceramah segera kadang-kadang berhadapan dan bersebelah dengan ceramah pembangang. Bukan  ramai yang mendengar mereka, tetapi cukup mengacau, menghalang orang pergi ke ceramah pembangkang dan mengganggu yang hadir ke ceramah mendengar ceramah itu.

Gangguan itu mudah mencetuskan perbalahan seperti yang berlaku dalam ceramah PKR di  Lembah Pantai itu.

Percayakah orang bahawa yang mengganggu itu bukan UMNO? Sama ada ia dilakukan oleh UMNO atau oleh sesiapa saja selain UMNO, tetapi persepsi orang ia adalah UMNO.

Boleh jadi bukan oleh UMNO. Tetapi sasaran ceramah itu selain dari menerangkan dasar dan perjuangan partinya, ia juga bagi menegur kelemahan kerajaan dan  di mana tidak kenanya UMNO dalam berbagai perkara. Payah bagi pihak yang  tidak berkenaan untuk memberi reaksi atas sasaran ceramah pembangkang.

Mungkin ia angkara orang lain, tetapi orang tetap kata ia khianat UMNO. Maka UMNO mesti menjaga kesabarannya sebagai pengamal demokrasi yang matang menjauhkan diri tohmah dikatakan samseng.

Orang yang tidak serorok dengan ceramah Anwar adalah UMNO totok saja.  Orang lain sanggup pergi ke mana-mana untuk mendengarnya. Teremasuk orang UMNO. Mana ada penceramah politik  dalam dunia yang tidak membidas dan mengecam lawan politik. Bukan  UMNO kalau dia tidak kata PAS, PKR dan DAP tidak baik. Kalau pembangkang boleh sabar apa UMNO kata kepada mereka termasuk mengata Tok Guru Nik Aziz bapa kafir, maka UMNO yang berpolitik lebih 60 tahun sanggup belajar dari perkara itu.

Jika Anwar tidak diterima orang sebagai pemimpin dan tiada orang hendak mendengarnya lagi, maka mengapa ceramahnya diganggu. Kalau orang sudah  tidak bersamanya, nescaya tiada lagi yang mendengarnya. Bila yang mendengarnya, dia pun tidak berceramah lagi. Jika UMNO tidak suka ceramahnya, UMNO boleh arah orang UMNO dan penyokongnya mendengar ceramahnya. UMNO jangan pergi mendengarnya.

Masalahnya UMNO pun ramai yang hendak mendengarnya. Kerana UMNO  tidak terdaya menangkis serangannya dan tidak dapat menafikan kebaikan yang kerajaan pembangkang buat, maka cara mudahnya, ia balik ke alam samseng.

Najib mahu UMNO dan rakyat berfikir dan bertindak mengikut kelas  dunia pertama, ketika semua orang sudah masuk ke kelas dunia pertama, UMNO masih berada di kelas dunia ketiga. UMNO tahan lasak lebih terkebelakang dari kelas dunia ketiga.

Tiada ulasan: