Isnin, 4 Jun 2012

KATA2 NI...KATA2 PERLI...DALAM MAKSUDNYA...ORANG YANG TAK BELAH MANA2 MUNGKIN SETUJU....KALAU DAH LAMA SANGAT TENTU TAK ORI LAGI...DAH BANYAK EDIT....HUKUM ALLAH...JAHAT BALASNYA JAHAT...BAIK BALASNYA BAIK...NI PERATURAN SEMUA ORANG SETUJU...KALAU TAK SETUJU TENTU OTAKNYA DILUTUT....

Visual Bersih 3.0: Kenapa tak tunggu 10 tahun?

Abdul Aziz Mustafa, 04 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mengapa tidak tunggu 10 tahun lagi untuk siar visual himpunan Bersih 3.0 di laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN), Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan.
"Rakyat yang terlibat dalam himpunan tersebut telah siarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan itu seawal hari yang sama, mengapa KDN perlu menanti sehingga lebih dari sebulan untuk menyiarkan rakaman itu?

"Tidak masuk akal jika sebuah kementerian yang mendapat peruntukan begitu besar setiap kali belanjawan negara di bentangkan bertindak begitu lembab sedangkan rakyat yang menyiarkan pelbagai gambar dan rakaman semasa perhimpunan 28 April itu seawal hari yang sama tidak mendapat apa-apa upah, gaji atau bayaran," katanya.

Mahfuz menyifatkan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa rakaman visual tersebut sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya akan dimuat naik ke laman web kementerian hari ini dan akan dapat dilihat orang ramai mulai esok sebagai sudah terlambat dan amat lucu.

"Kalau rakaman-rakaman yang disediakan oleh KDN itu benar-benar menguntungkan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), mengapa tidak siarkan pada hari yang sama?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu terus mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan, mengapa rakaman itu kelihatan tergesa-gesa hendak disiarkan selepas tersiar berita bahawa populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh merudum selepas himpunan Bersih 3.0 itu?

"Kenapa nampak kelam kabut hendak siarkan selepas diumumkan rating Najib jatuh merudum?

"Adakah kerana kerajaan baru tersedar bahawa rakyat benci tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan kerajaan Najib terhadap mereka yang berhimpun menuntut pilihan raya yang bersih dan adil itu?" soal beliau.

Mahfuz juga menyuarakan kebimbangannya rakaman yang akan disiarkan itu diedit oleh kementerian Hishammuddin terlebih dahulu untuk menipu rakyat.

"Kita masih ingat selepas Bersih 2.0, polis mendakwa (Timbalan Presiden PAS) Mohamad Sabu membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan jenis Pajero milik polis sedangkan sebelum itu Mat Sabu membuat laporan polis bahawa beliau dilanggar kenderaan jenis Proton Waja milik polis.

"Seluruh dunia melihat rakaman insiden itu diedit terlebih dahulu dan oleh kerana terlalu ghairah hendak menuduh Mat Sabu berbohong, polis terlupa laporan kepada pihaknya yang dibuat oleh Mat Sabu yang menyatakan dengan jelas bahawa beliau dilanggar oleh kereta jenis Waja milik polis.

"Ternyata akhirnya polis menjadi bahan ejekan rakyat kerana pembohongan itu," kata beliau.

Mahfuz bagaimanapun yakin, rakaman yang hendak dipertontonkan oleh KDN kepada orang ramai itu akan menjadi bahan ketawa dan persendaan rakyat.

"Rakyat tidak lupa rakaman yang diedit dalam peristiwa Mat Sabu dilanggar Proton Waja polis itu dan saya yakin rakaman KDN mengenai Bersih 3.0 itu juga akan menjadi bahan ketawa dan ejekan rakyat," katanya.

Himpunan peneroka Felda halang penyenaraian FGVH

Salmiyah Harun, 04 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menggerakan puluhan ribu peneroka Felda dalam Gerakan Selamatkan Felda (GSF) untuk menghalang penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.

Menurut Presidennya, Mazlan Aliman (gambar), gerakan itu akan dibuat dalam tempoh tiga minggu ini sebelum FGVH dimuktamadkan.

Beliau memberi gambaran gerakan atau himpunan yang akan diadakan itu sama seperti Gerakan Mansuhkan PPSMI atau Gerakan Mansuhkan ISA.

"Kita sudah buat macam-macam, kita sudah serah memo kepada Perdana Menteri, ke Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara, malah kita sudah kemukakan bukti-bukti salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Malangnya, kata beliau usaha itu tidak berupaya meredakan keghairahan pemimpin untuk menyenaraikan satu-satunya harta penting orang Melayu, Felda.

Jelasnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memaklumkan kepada pelabur-pelabur antaranya Tabung Haji, Tabung Angkatan Tentera, KWSP dan pelabur-pelabur asing supaya jangan melabur dalam FGVH kerana mereka akan berdepan dengan iklim pelaburan yang tidak sihat.

"Anak juga akan mengheret beberapa orang yang dianggap pengkhianat kepada peneroka seperti Isa Samad, Sabri Ahmad, dan Najib Tun Razak sendiri ke mahkamah," katanya kepada Harakahdaily.

Anak konsistan menegaskan mereka bukan bercakap soal saham tetapi pokoknya adalah penyenaraian FGVH yang sakit dan memberi risiko tinggi kepada peneroka.

Tambah Mazlan, kerajaan mesti membatalkan penyenaraian ini dalam masa yang sama tidak perlu berdolak dalik dengan mengatakan FGVH lebih baik dari 'Facebook' dan kenyataan itu merupakan ulangan retorik.

"Kalau kita ingat selepas era penswastaan mana-mana syarikat besar apabila dilancarkan saham sehingga mencecah RM12 seunit. Malangnya ke mana perginya syarikat ini seperti Lembaga Padi Negara yang diswastakan kepada Bernas. Semuanya menemui kegagalan.

"Bila berlakunya ini kerajaan tidak ambil peduli, dan tidak mustahil perkara ini turut terjadi pada Felda, akibatnya peneroka yang menanggung," balas beliau.

Mazlan membayangkan saham FGVH yang hanya lebih kurang RM20 billion dan tidak mustahil saham ini akan lenyap dalam masa satu hari jika pasaran saham tidak menentu.

Justeru beliau tidak menolak penyenaraian ini adalah semata-mata agenda untuk mengambil dan merompak wang rakyat untuk pilihan raya umum nanti.
Nizar beri kenyataan kepada polis Rabu

4 Jun 2012
Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
KLUANG - Dua pegawai polis Johor akan mengambil kenyataan daripada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak Rabu ini berhubung kenyataannya menerusi Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengesahkan perkara itu berkata, Mohammad Nizar bersetuju untuk memberikan kenyataannya kepada polis pada hari tersebut.

"Saya telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Shariff, pihak polis Johor telah menerima 39 laporan polis dan kenyataan daripada 39 orang mengenai kenyataan Nizar itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Bercakap selepas melakukan program tinjauan mesra di Taman Sri Lambak di sini, beliau yang juga Anggota Parlimen Semberong itu berkata, Mohammad Nizar perlu melalui proses siasatan seperti biasa.

Baru-baru ini, Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak menerusi laman Twitter mempersoal pembelian nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, menggambarkan seolah-olah baginda menggunakan wang rakyat.

Semalam, lebih daripada 500 daripada 26 persatuan di Johor mengadakan perarakan sejauh kira-kira 3 kilometer di bandaraya Johor Baharu bagi mengutuk tindakan Mohammad Nizar itu.

Hishammuddin berkata, perarakan oleh rakyat Johor itu semalam merupakan luahan daripada bawah yang menyayangi baginda Tuanku dan merasakan institusi diraja tidak harus diperkotak-katikkan.

Bagaimanapun, beliau menasihati sebarang tindakan perlu mengikut lunas undang-undang negara dan membiarkan proses siasatan berjalan lancar.

Ditanya akta apakah bekas Menteri Perak itu disiasat, beliau berkata, Mohammad Nizar disiasat mengikut Akta Hasutan, tetapi proses pendakwaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara.
"Selepas kertas siasatan itu selesai, polis akan menyerahkannya kepada Jabatan Peguam Negara yang akan melihat di bawah akta mana beliau akan didakwa," kata Hishammuddin. - Bernama
PRU: Pas yakin peluang ke Putrajaya cerah
Wartawan Sinar Harian
4 Jun 2012
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Pas yakin laluan ke Putrajaya makin mudah setelah melihat kejayaan serta peningkatan sokongan rakyat terhadap beberapa program besar yang dianjurkan parti di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas kini berada di landasan yang betul dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). “Melihat kepada 'mood' selepas perhimpunan hijau kelmarin, peluang kita  semakin cerah.

Kita percaya dengan strategi yang telah dirancang, Pas berada di landasan betul. “Pas tidak berseorangan menggerakkan misi tu, rakan komponen PR juga sedang bekerja keras. Tidak mustahil kita dapat tawan Putrajaya  ada PRU13,” katanya.

Menurutnya, segala perancangan disusun  berjalan dengan lancar dan kebanyakan isu yang timbul berjaya ditangani dengan baik. “Memang tidak dinafikan ada satu dua perkara mengganggu perjalanan kita untuk menawan Putrajaya dan kita melihat cabaran besar kita berada di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun kita mampu tanganinya melalui kerjasama yang baik dengan rakan PR,” katanya.

Semalam, pimpinan Umno pelbagai peringkat menyifatkan Pas menghadapi laluan sukar dalam mencapai misi mereka menawan Putrajaya dan menjadi wadah politik utama untuk umat Islam bagi menggantikan Umno.
'PR harap naik turun pemimpin dengan sopan'
ABDUL HADI AWANG
4 Jun 2012
MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN
TARIKH Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) masih dalam ramalan berbagai pihak. Beginilah sifatnya demokrasi di Malaysia. BN yang berketuakan Umno mempunyai kuasa penuh untuk mewajibkan kemenanganya dengan segala cara, daripada menggunakan media sebelah pihak, menabur politik wang rasuah, menyalahggunakan duit negara, memaksa jentera kerajaan, menambah pengundi dengan pelbagai cara, sehinggalah menentukan tarikh pilihanraya.

Seluruh dunia yang menghayati sistem demokrasi yang memberi hak kepada rakyat manjadi hakim yang bebas dan adil, hanya badan bebas yang mengandalikan pilihan raya menentukan tarikh pilihan raya. Bukan sahaja dipilih tarikh paling selesa kepada rakyat dan semua parti politik yang berhak, bahkan tempoh yang lama telah diketahui umum.

Ada kalangan negara telah menetapkan tarikh pilihan raya berikutnya lebih awal, sebaik sahaja  pilihan raya umum selesai diadakan. Ada juga menetapkan kemudiannya, tetapi tempoh masa yang lama diketahui umum.

Hanya negara yang mengamalkan sistem satu parti sahaja memerintah, seperti negara komunis dahulu dan negara sapertinya, kerajaannya menetapkan pilihan raya dalam tempoh terdekat mengikut keselesaannya boleh mencapai kemenangan dan rakyat lebih berpeluang memilih satu parti yang telah memerintah walaupun banyak melakukan kesilapan.

Di negara kita Malaysia, kerajaan BN memilih cara yang wajib menjamin kemenangan BN selama-lamanya. Maka kerajaan BN sahaja berkuasa menentukan tarikh setelah segala persediaan untuk kemenangannya diatur. Setelah selesai mengatur penipuan, menaburkan duit rasuah kepada seluruh pengundi atau isu yang dijadikan perangkap samar kepada parti lawan, juga fitnah disebarkan, maka tarikh pilihan raya barulah diumumkan.


Termasuk juga peluang musim haji yang menjadi ibadat wajib kepada penganut Islam yang merupakan pengundi terbesar. Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh. Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.


Beginilah nasib rakyat Malaysia sejak dahulu sehingga kini. Rakyat diulit dengan berbagai lagu dan irama politik murahan, walaupun merosakkan akhlak ditempat yang sudah rosak dan ditayangkan lagu agama di tempat beragama kerana sifat pragmatik Umno bersama rakannya dalam BN. Namun kita menyaksikan alam yang bersifat berubah, termasuk alam politik.

Sistem kuku besi komunis yang menguasai negara kuasa besar dunia Kesatuan Soviet hancur berkecai dan berubah ke arah demokrasi, sehingga negara komunis mengubah pendekatan. Selepas itu Filipina meninggalkan Marcos dalam kenangan, diikuti oleh Suharto di Indonesia dan akhirnya negara-negara Arab yang dikuasai kerajaan tentera yang menetapkan keputusan pilihan raya sebelum pilihan raya lagi.

Bahawa parti kerajaan pasti menang mencapai lebih sembilan puluh sembilan peratus. Namun negara tersebut ikut sama melakukan Islah sistem demokrasinya. Begitu juga yang terakhir di Myanmar.


Kita mengharapkan negara Malaysia yang berslogankan sopan santun, naik turun pemimpinnya juga melalui sopan santun, bukannya dengan cara memalukan. Mereka akan dikenang sejarah oleh generasi akan datang kerana sejarah tidak mampu ditipu dengan apa cara sekalipun.

Pas mengajak masyarakat Islam khasnya membetulkan imej Islam yang dirosakkan oleh Umno atau tegasnya Pas ganti Umno, dan mengajak masyarakat semua kaum amnya bersama Pakatan Rakyat mengganti Barisan Nasional.

Sekiranya kemenangan berpihak kepada kami, maka segala kerosakan sistem demokrasi yang berlaku wajib diperbetulkan. Walaupun di masa depan rakyat menolak Pas dan Pakatan Rakyat dengan jalan yang adil disebabkan kesalahan dan kelemahan pemerintahan, tetapi bukannya dengan cara menipu yang menzalimi diri sendiri.


- Dato Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas
Pelajar latihan industri dituduh rogol pelancong Switzerland
ADILA SHARINNI WAHID
4 Jun 2012
KOTA BHARU - Seorang pelajar sebuah pusat latihan perindustrian dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol pelancong Switzerland, bulan lalu.

Muhamad Irfan Daud, 19, dikenakan tuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Dia dituduh merogol setiausaha berusia 25 tahun di sebuah rumah di Taman Intan, Lorong LPP Lundang di sini, jam 5 petang pada 10 Mei lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Kes akan didengar 2 Ogos ini.
'Pembunuhan demi maruah'

4 Jun 2012
MELBOURNE - Juri Mahkamah Agung di Sydney diberitahu tindakan seorang lelaki Indonesia membunuh kekasih isterinya adalah demi maruah, selepas kisah hubungan sulit itu tersebar dalam kalangan komuniti Malaysia di Sydney.

Hazairin Iskandar mengaku tidak bersalah membunuh Mohd Shah Saemin yang berasal dari Melaka, di luar fletnya di Leichhardt, Sydney pada 21 Februari 2010, tetapi mengaku bersalah menyebabkan kematiannya, lapor Australian Associated Press (AAP).
 
Di mahkamah itu pada Isnin, Pendakwa Raya Kara Shead berkata juri akan mendengar bahawa isteri Hazairin, Nita, mempunyai hubungan sulit dengan Mohd Shah yang juga rakan sekerjanya di Konsulat Malaysia, ketika kematiannya.

"Hubungan sulit ini menjadi topik perbincangan dalam kalangan komuniti Malaysia di Sydney," kata Shead menambah: "orang memberitahu (Hazairin) dia adalah suami dan harus menghentikannya."

Juri akan mendengar Hazairin dan anak lelakinya Andrew menunggu Mohd Shah di luar fletnya sebelum melanggar kereta mangsa dengan kereta sewa mereka dan mengejar lelaki itu di sepanjang jalan, kata Shead.

Pendakwaan akan membuktikan Hazairin menikam Mohd Shah sekurang-kurangnya empat kali pada bahagian atas badan dengan sebilah pisau sementara anaknya membelasah mangsa berulang kali dengan tukul.

"Mangsa cuba melarikan diri, dia lari daripada dua penyerangnya itu," kata Shead dipetik AAP.

"Ketika melarikan diri itu, dia menjerit untuk menyelamatkan diri."

Mohd Shah mengalami beberapa pukulan objek tumpul di kepala, namun meninggal dunia akibat pendarahan daripada kesan tikaman.

"Pendakwaan akan membuktikan bahawa demi maruah keluarganya dan bersama anak lelakinya, tertuduh merancang untuk membunuh si mati menerusi apa yang mereka anggap sebagai pembunuhan demi menebus maruah," kata Shead.

"Ini merupakan pembunuhan yang dirancang dan dengan niat. Tertuduh merancang untuk membunuh atau sekurang-kurangnya menyebabkan kecederaan parah terhadap si mati."

Juri juga diberitahu Hazairin dibicara berasingan daripada anaknya. Kes didengar di hadapan Hakim David Davies. - Bernama
Kes Nizar: Jangan salahkan Pas
MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN
3 Jun 2012
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempertikaikan bidaan nombor plat WWW1 bernilai RM520,000 yang dimenangi Sultan Johor bukanlah pandangan Pas, sebaliknya adalah pandangan peribadinya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, adalah tidak adil menyalahkan Pas kerana itu adalah tindakan spontan Mohammad Nizar selepas pengumuman dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Biarlah undang-undang mengambil tempat berhubung perkara ini. Kita serahkan kepada saluran perundangan, setiap orang melakukan kesilapan.

"Tidak ada sesiapa pun berhak menghukum beliau melainkan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak itu yang mempertikaikan keputusan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menawarkan bidaan tertinggi nombor WWW1.

Bagaimanapun Nizar telah memohon maaf, 30 Mei lalu juga melalui laman Twitternya.

Tindakan Nizar itu membuatkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim bertitah menerusi mesej Twitternya, mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayahanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai Kerajaan Negeri.

Salahuddin berkata, Pas tetap dengan dasar mereka yang menghormati institusi Raja-Raja Melayu sebagai komponen perlembagaan negara.

"Pas tidak lentur dengan prinsip dan dasar parti yang meraikan Raja selaras dengan Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

"Pas berpegang teguh kepada perkara ini dan terus memartabatkan Raja-Raja Melayu," katanya.

Baru-baru ini, JPJ melalui laman webnya telah menyenaraikan nama-nama pembida kepada nombor plat WWW dan “DYMM Sultan Ibrahim Johor” telah dinyatakan sebagai pembida yang berjaya membuat bidaan tertinggi mengatasi 9,998 pembida yang lain.

Jumlah RM520,000 yang dibayar baginda adalah yang tertinggi yang pernah dibuat ke atas nombor tunggal.

Tiada ulasan: