Ahad, 10 Jun 2012

CABAR ...TAK PE...JANGAN KITA CABAR AJARAN ALLAH...HUKUM ALLAH SERTA TAKDIR ALLAH...JANGAN DEGIL PADA ALLAH...JANGAN KITA ISLAM BERADA DIPENTAS2 KAFIR....MAKSUDYA.. KITA BERCAKAP MENENTANG ISLAM TAPI MENGAKU ISLAM LAGI....JANGAN SEBARANG CABAR...NANTI MAKAN DIRI...SEDARLAH KITA BUKAN AHLI AGAMA...YANG TAK TAHU HUKUM....

Khalid Ismath mahu cabar hukuman UiTM
Wartawan Sinar Harian
10 Jun 2012
Khalid Ismath mahu cabar hukuman UiTM
Khalid Ismath
SHAH ALAM - Penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Mohd Ismath, yang kelmarin digantung tiga semester, mahu mencabar keputusan pusat pengajian tinggi itu di mahkamah.

Khalid berkata, beliau mahu mencabar penggunaan peruntukan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 oleh UiTM dalam mengenakan tuduhan ke atasnya.

Khalid, 22, dibicarakan Jumaat lalu oleh Lembaga Tatatertib UiTM dan dijatuhkan hukuman digantung pengajian selama tiga semester bermula sesi akademik September ini.

Sebahagian tuduhan ke atas itu berkait dengan tindakannya ketika demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya akan teruskan perjuangan saya di mahkamah agar Akta 174 ini (Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976) dimansuhkan. Sama seperti perjuangan mahasiswa untuk hapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) satu ketika dulu,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Dua tahun lalu, empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membawa kes mereka ke mahkamah dengan mencabar Seksyen 15 Auku.

Keputusan mahkamah memihak kepada keempat-empat penuntut itu dan kerajaan sedang membuat rayuan.

Malah keputusan itu juga telah menjadi titik tolak kepada pindaan Auku baru-baru ini, sekali gus membolehkan pelajar-pelajar aktif berpolitik.

Pindaan itu dituntut oleh kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang.

Sehubungan itu Khalid berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) pada Selasa ini.

“Saya mempunyai rancangan saya sendiri. Bagaimanapun segala keputusan akan dibuat sebulat suara bersama SMM terlebih dahulu. Saya perlu bincang dan keputusan akan dibuat bersama ahli SMM,” katanya.

Beliau juga merasakan keputusan Jumaat lalu berat sebelah kerana percaya masih ramai lagi mahasiswa UiTM lain yang aktif berpolitik tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.

Khalid, mengikut tuduhan pertama, didakwa tidak hadir kelas selama dua minggu berturut-turut dan dikenakan hukuman tidak dibenarkan mengambil peperiksaan dalaman semester ini manakala di bawah tuduhan kedua pula, Khalid didakwa menerbitkan unsur-unsur ugutan menerusi Facebook. Selain itu, Khalid juga dituduh menghina isteri Perdana Menteri.

Di bawah tuduhan kedua dan ketiga, Khalid dikenakan hukuman masing-masing membawa hubung digantung pengajian satu dan tiga semester. Hukuman itu berjalan serentak.
SMM: Tindakan PTPTN ibarat ugut pelajar
Nurul Aini Mohamed Ali
10 Jun 2012
SMM
SMM
SHAH ALAM - Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang mendakwa keputusan menarik balik pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membabitkan penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa (Kuis) seolah-olah mempersendakan dan mahu mengugut mahasiswa.

"Tindakan membekukan pinjaman PTPTN kemudian menarik semula keputusan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online semalam.

Tambah beliau, tindakan yang dilakukan PTPTN jelas menunjukkan yang mereka menyebelahi Umno dengan menggunakan taktik itu untuk menakutkan para pelajar supaya tidak terpedaya dengan idealisme Pakatan Rakyat (PR).

"Saya merayu agar kerajaan tidak memperjudikan nasib kami sebagai pelajar. Isu ini seolah-olah meletakkan masa depan kami sebagai mainan politik Umno," katanya.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan PTPTN hanya sekadar ingin menguji sama ada Kerajaan Negeri Selangor serius dalam menyediakan pendidikan percuma.

Sebelum ini, PR berjanji akan memansuhkan PTPTN dan menggantikan dengan pendidikan percuma jika diberi manfat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Safwan juga berkata, Umno sanggup menggadaikan masa depan mahasiswa dalam kepentingan politik mereka.

"Saya mengecam tindakan PTPTN yang tidak matang ini dan menolak sekeras-kerasnya permainan politik kotor ini yang menjadikan mahasiswa sebagai mangsa," tambahnya.

Kelmarin, PTPTN mengesahkan pembekuan kemudahan pinjaman agensi itu kepada penuntut Unisel ditarik atas alasan kurang kemampuan kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan pendidikan percuma.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kemudahan PTPTN yang disekat terhadap Unisel telah ditarik balik ekoran ketidakmampuan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi pendidikan percuma di negeri yang ditadbir PR.

"Rakyat kini mampu menilai. Jangan jadikan kami (mahasiswa) sebagai mangsa.
"Jika PKR mampu menyediakan pendidikan secara percuma, mengapa tidak kerajaan juga menyediakan kemudahan yang sama?" kata Safwan yang mengetuai demonstrasi menuntut pemansuhan PTPTN di ibu negara April lalu.
Jangan politikkan isu PTPTN, Aspirasi gesa PR Selangor
Nurul Aini Mohamed Ali
10 Jun 2012
SHAH ALAM - Sambil menggesa institusi pengajian tinggi tidak diganggu oleh anasir politik, Persatuan Alumni Pemimpin Aspirasi Malaysia (Aspirasi) berharap Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak mempolitikkan isu sekatan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Mohd Shahar Abdullah berkata, tindakan PTPTN menarik balik keputusan membekukan pinjaman kepada penuntut Unisel dan Kuis memberi kelegaan kepada mereka.

"Ini kerana mahasiswa merasa bimbang tidak mendapat sebarang pembiayaan jika PTPTN meneruskan hasrat membekukan pinjaman,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Shahar berkata, kebajikan mahasiswa perlu mendapat keutamaan kerana mahasiswa merupakan aset negara yang cukup bernilai kepada negara.

Sehubungan itu, beliau juga mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor agar tidak mempolitikkan isu PTPTN, sekali gus mengheret mahasiswa ke dalam kancah permainan politik mereka.

“Jika benar mereka (Kerajaan Negeri Selangor) mampu menyediakan pendidikan tinggi secara percuma, mengapa mereka tidak realisasikan sejak mereka menang pilihan raya 2008?

"Jelas di sini mereka terdesak memperalatkan mahasiswa bagi meraih undi untuk Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13),” jelas beliau.

Beliau juga menegaskan agar isu ini harus dihentikan secepat mungkin kerana universiti merupakan gedung ilmu yang seharusnya tidak diganggu pihak luar demi kepentingan politik semata-mata.

“Biarlah mahasiswa dapat belajar dan menimba ilmu dalam keadaan tenang. Jangan meracuni fikiran mereka dengan isu-isu sebegini,” tambah beliau.

Katanya, Aspirasi syukur dan lega kerana keputusan PTPTN menarik balik pembekuan pinjaman kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kelmarin.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, agensi itu menarik balik pembekuan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel berkuat kuasa serta-merta.

"Menteri Pengajian Tinggi telah pun menghantar surat kepada Unisel mengenai penarikan balik pembekuan pinjaman PTPTN dan para pelajar boleh memohon PTPTN seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat respons daripada pelbagai pihak terutama daripada ibu bapa pelajar yang mahu sekatan itu ditarik balik.
AJK Pemandu Bersih 2.0 diserang lima pemuda
NORAIZURA AHMAD
9 Jun 2012
AJK Pemandu Bersih 2.0 diserang lima pemuda
Dahi Huat Wong cedera selepas dipukul dengan topi keledar dan ditumbuk
oleh lima lelaki yang tidak dikenalinya.
KUALA LUMPUR – Ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 diserang lima pemuda ketika sedang jogging di Taman Kanagapuram di Seksyen 18, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi, Chin Huat Wong, 39, cedera di kepala selepas diserang menggunakan topi keledar dan ditumbuk oleh lima lelaki menaiki motosikal.

Huat Wong berkata, dia dikepung dan berlari sejauh 100 meter untuk menyelamatkan diri tetapi gagal selepas terjatuh.

“Saya dipukul bertubi-tubi dan salah seorang daripada mereka mengarahkan saya memberi wang.

“Lima pemuda tersebut beredar selepas saya tidak memberikan wang kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, akibat serangan tersebut, dia menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dia membuat laporan di pondok polis PPUM.

Dia yang juga pensyarah di salah sebuah universiti tempatan berkata, tidak menolak kemungkinan serangan ke atasnya bermotifkan politik kerana penyerang tidak menunjukkan kesungguhannya untuk menyamun.


Huat Wong berkata, hairan dengan tindakan penyerang kerana tidak memeriksa badannya selepas diberitahu tidak mempunyai wang walaupun dia mempunyai telefon bimbit di dalam poket seluarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunadi Mohamed mengesahkan menerima laporan tersebut.


Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan samun dan pihaknya akan menjalankan siasatan.
Khaled: PR perlu kota janji pendidikan percuma
AZIZAN INCHE HARUN
10 Jun 2012
PTPTN-Unisel: Sekadar uji Selangor, kata Khaled
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
PASIR GUDANG – Pakatan Rakyat (PR) sekadar menabur janji untuk memberikan pendidikan percuma apabila berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, walhal perkara itu mustahil dilaksanakan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PR bijak bermain dengan sandiwara politik, sedangkan hakikat sebenarnya begitu memerlukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurutnya, sekiranya PR ingin merealisasikan janji berkenaan, ia sudah boleh dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT) yang ada di negeri yang ditadbir kerajaan PR dan tidak perlu tunggu sehingga mengambil alih pentadbiran negara.

“Pembekuan sementara PTPTN terhadap pelajar Universiti Selangor (Unisel) sekadar untuk menilai sama ada betul atau tidak PR nak melaksanakan pendidikan percuma.

“Kita nak mereka kotakan janji memberikan pendidikan percuma di IPT yang ditadbir mereka, tetapi ternyata apa yang dilaungkan itu sekadar politik sebaliknya mereka mahukan PTPTN,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Motivasi Peserta Program Azam Tani Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Parlimen Pasir Gudang, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Hashim Abdullah; Ketua Pengarah LPNM, Sahdan Salim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy dan Adun Johor Jaya, Tan Cher Puk.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan PR di Selangor sekurang-kurang boleh memberikan subsidi pendidikan kepada penuntut di UNISEL sekiranya tidak mahu memberikan pendidikan percuma.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memberikan subsidi pendidikan yang tinggi terhadap yuran pengajian pelajar di IPT awam.

“Jika kita buat perbandingan antara Universiti Malaya (UM) dan Unisel, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UM hanya perlu membayar RM8,176 untuk pengajian sepanjang empat tahun kerana diberikan subsidi, berbanding RM32,230 kerana tidak diberikan subsidi di Unisel.

“Kita harap rakyat faham fungsi dan kepentingan PTPTN agar tidak mudah termakan dengan janji politik PR kerana hakikatnya pendidikan percuma memang mustahil dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan bantuan kepada lebih 200 penerima bantuan Azam Tani, baikpulih rumah, lesen bot dan ternakan kupang yang merangkumi keseluruhan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.

Katanya, seramai 30 peserta Program Azam Tani menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM270,000, manakala 77 peserta yang melibatkan peruntukan sebanyak RM770,000 menerima bantuan baik pulih rumah di perkampungan nelayan Kuala Masai.

“Seramai 33 nelayan Orang Asli Kuala Masai turut menerima bantuan lesen bot dan 67 lagi diberikan bantuan ternakan kupang dengan peruntukan sebanyak RM268,000,” katanya.
Amanat Haji Hadi: Umno mahu dedah siri kenyataan Pas

9 Jun 2012
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
MACHANG - Umno bersedia mendedahkan kenyataan berbentuk 'fatwa' yang pernah dikeluarkan pemimpin Pas dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat, kata  Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata semenjak 'Amanat Haji Hadi' dikeluarkan pada 1981, pihaknya ada merekodkan kenyataan pemimpin Pas sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis.

"Rekod ini kita kena tengok semula sebelum kita hebahkan kepada orang ramai, kita akan semak siapa yang benar dan siapa yang tidak benar tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sukarelawan Jiwa Malaysia di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menafikan pernah menjanjikan syurga kepada pengundi yang memilih Pas pada pilihan raya.

Akhbar hari ini melaporkan Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau hanya menyebut orang yang mengundi parti itu, khususnya pada Pilihan Raya Umum 1990, mendapat pahala.

Sehubungan itu, Mustapa menasihati rakyat agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan dakyah Pas yang cuba meraih sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Sementara itu, di BACHOK, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Senator Datuk Awang Adek Hussin berkata penafian Nik Abdul Aziz hanya helah politik selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.
Beliau berkata, 'fatwa' itu sudah menjadi pegangan kepada anggota Pas bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh negara.

"Penafian itu hanya helah dan samar kerana ia menguntungkan Pas," katanya pada majlis perasmian Ujian Kemahiran Menembak Tahunan Anggota Rela di Lapang Sasar Gunung di sini.
Awang Adek berkata jika Nik Abdul Aziz benar-benar ikhlas, beliau harus turun padang menerangkan kepada anggota Pas di seluruh negara mengenai penafiannya itu. - Bernama

Tiada ulasan: