Khamis, 7 Jun 2012

BILA KEBURUKAN MULA TERBURAI....BAGAI BAU MUNTAH AKAN TERSEBAR...INGAT KUASA ALLAH...KITA TAK BOLEH MELAWAN TAKDIR ALLAH...TAK BOLEH INGKAR KETENTUAN ALLAH...HUKUM ALLAH AKAN SAMPAI...YANG JAHAT DIPERLIHATKAN SERTA AKAN DIHUKUM....SEDARLAH KITA MEMANG JAHAT...NAK LARI MANA...

Ikatan puji PAS ikhlas bina bangsa Malaysia

Nazri Abdullah, 07 Jun 2012
SERDANG: Presiden Protem Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa, PAS antara parti yang sekarang ini membina bangsa Malaysia seperti yang diperjuangkan pemimpin-pemimpin awal negara.

Katanya, ianya boleh dilihat dengan slogan 'PAS untuk semua' dan menerima dan mengiktiraf orang bukan Islam sebagai ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

"Parti moden yang ada sekarang yang mahu membina bangsa Malaysia adalah PAS.

"Saya kenal mereka. 'PAS untuk semua' bukan slogan politik semata-mata tapi mereka ikhlas sayangkan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian Ikatan hari ini.

Majlis perasmian parti itu diadakan di sebuah hotel di Seri Kembangan, pagi ini.

Menurut beliau lagi, perjuangan PAS mempunyai banyak persamaan dengan perjuangan zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Onn Jaafar yang mahu membina bangsa Malaysia.

Dan sebab itu juga katanya, visi Ikatan adalah berpaksikan kepada "amanat merdeka bapa Malaysia" Tunku Abdul Rahman serta isi kandungan Perlembagaan Malaysia bagi membina bangsa Malaysia.

Antara isi kandungan amanah tersebut adalah rakyat berbilang kaum dan agama - Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Siam, Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan lain-lain mesti ikhlas satu sama lain, jika mahu hidup satu keluarga.

Malah, setiap mereka, tidak boleh kata atau berbuat sesuatu yang menyakitkan hati atau menyusahkan hati setiap kaum.

Katanya, usaha membina bangsa Malaysia itu bagaimanapun gagal diteruskan kerajaan BN pada hari ini yang lebih mementingkan kuasa politik sehingga sanggup menggunakan isu perkauman untuk tujuan itu.

"PAS tolak rasuah sebab mereka ikut apa dinyatakan dalam al-Quran, mereka parti yang bersih, sama macam zaman Tunku," katanya lagi.

Dalam pada itu, kira-kira 200 orang hadir di majlis perasmian parti itu hari ini.

Selain Kadir sebagai presiden, Ikatan dipimpin tiga timbalan presiden iaitu bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Bujang Ulis, ahli bank Ong Hock Siew dan bekas Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan.

Manakala Presiden Uruskop Datuk Seri Mustafa Kamal Maulut dilantik menjadi setiausaha agung parti ini. Sebanyak enam orang dilantik menjadi ahli Majlis Tertinggi.

Parti itu bakal menggunakan 'tangan bersalam', sebagai logo parti.

Pada sidang media selepas itu, Kadir berkata parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang memandangkan pendaftaran parti itu belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun ia terpulang kepada ahli parti itu untuk bertanding atas tiket individu.

Ditanya kenapa beliau tidak terus sahaja menyertai PAS atau Pakatan Rakyat berbanding menubuhkan parti baru, Kadir berkata parti baru lebih memudahkan beliau merekrut sokongan rakyat kebanyakan.

Beliau juga memberitahu, Ikatan akan bergerak berdasarkan isu yang kadang kala akan sependapat dengan Pakatan Rakyat dan ada kalanya berbeza.

Skandal Scorpene merebak ke Vietnam

milosuam.blogspot.com, 07 Jun 2012
AKHBAR online berbahasa Inggeris berpengaruh Vietnam pada 4 Jun lalu menyiarkan laporan berhubung isu skandal kapal selam Scorpene yang membabitkan orang nombor satu negara.

"Submarine deal resurfaces to haunt Malaysia’s top man" (Pembelian kapal selam timbul kembali menghantui pemimpin teratas Malaysia), itulah tajuk yang tersiar di The Phnom Penh Post.




Di bawah ini ReJaM© cuba terjemah tulisan yang dilaporkan di akhbar tersebut. Kalau ada cikgu Bahasa Inggeris di sini, tegurlah mana-mana yang silap.

Keputusan yang telah dibuat di Paris bulan lalu bermakna bahawa episod paling sensasi di rantau ini akan timbul kembali bersama dendam.

Ianya bermula 12 tahun lalu semasa Perdana Menteri Malaysia memegang portfolio pertahanan dan telah memesan dua buah Kapal Selam Scorpene dari pembuat kapal selam Perancis, DCNS berharga US$400 juta setiap satu.

Pembelian melalui orang tengah Razak Baginda, yang menerajui Institut Kajian Strategi Malaysia, yang dibiayai oleh Najib dan direka untuk memperluaskan kerjaya politiknya.

Sebagai pendedahan penuh, biar saya dedahkan bahawa saya selalu bertemu dengan Razak semasa bertugas di Kuala Lumpur sekitar tahun 1990 an dan sering bertemu beliau setiap kali ke Malaysia.

Bagaimanapun, ketika beliau dipilih untuk pembelian Scorpene, saya telah meninggalkan Kuala Lumpur dan tidak lagi berjumpa dengannya sehinggalah kami berjumpa semula di Venice, Italy sewaktu persidangan ASEAN-EROPAH 2002.

Razak hanya hadir sebentar, dan bila saya bertanya kepadanya mengapa begitu tergesa-gesa, katanya dia diperlukan di Paris untuk satu rundingan penting pertahanan.

Kemudian diketahui di parlimen Malaysia bahawa komisyen terhadap sub kontrak itu adalah 114 euro juta, atau sekitar $160 juta pada waktu itu.

Wang itu telah dibayar ke dalam sebuah akaun bank di Kuala Lumpur milik Perimekar, sebuah syarikat yang baru sahaja ditubuhkan oleh Razak sebelum kontrak tersebut ditandatangani dan ia langsung tidak memiliki rekod menguruskan perolehan pertahanan sebelum ini.

Adalah didakwa $160 juta telah dibahagi-bahagikan di antara Razak, Najib dan tokoh-tokoh lain di dalam United Malays National Organization, Umno sebuah parti yang dominan di dalam gabungan parti pemerintah Malaysia.

Berdasarkan dakwaan ini, polis Perancis telah menggeledah pejabat-pejabat DNS dan merampas longgokan dokumen-dokumen menunjukkan pembayaran rasuah yang sangat besar.

Dan bulan lalu, selepas memeriksa dokumen-dokumen tersebut, hakim Roger Le Loire telah mengarahkan satu siasatan jenayah dilakukan.

Kebarangkalian tinggi ia akan melibatkan subpoenas (memanggil sebagai saksi) kedua-dua Razak dan Perdana Menteri Najib untuk hadir ke mahkamah.

Bagaimanapun, sebelum menumpukan kepada isu yang dramatik itu kita harus ingat bahawa ketika rundingan dibuat terhadap kontrak tersebut, sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Razak.

Dia telah jatuh cinta.

Meskipun Razak seorang yang mementingkan keluarga dengan imej umum yang berprofil tinggi dan sudah lama mencontohi mentornya Najib yang suka merayu wanita, hubungan kali ini jelas sekali berbeza.

Dia sudah tersangkut dan terpesona terhadap wanita itu - seorang model Monggolia yang begitu mempersonakan bernama Altantuya "Tuya" Shaaribuu.

Tidak lama selepas bertemunya di Hong Kong, Razak membawanya menjelajah ke eropah menaikki ferrari merahnya, makan dan minum (wine) di kesemua tempat-tempat menarik dan ia berakhir di Paris di mana mereka bertemu Najib.

Altantuya yang cantik manis dan memahami banyak bahasa ini juga cukup bijak dan cepat belajar tentang rasuah besar tehadap rundingan kapal selam. Dia dikatakan meminta bahagian untuk dirinya.

Namun dia tidak henti-henti mengugut Razak, manakala Razak yang bimbang perbuatan itu akan menjatuhkannya, cuba untuk menamatkan hubungan mereka.

Dia tidak akan dapat bahagiannya, dan dalam keadaan terdesak, Razak telah memberitahu Najib dan polis telah dipanggil untuk menyahkannya.

Dua pegawai Cawangan Khas telah melakukan tugas itu dan menculiknya.

Mereka merogolnya, menembak kepalanya dan meletupkan badannya dengan bom C4 yang diperolehi dari kementerian pertahanan Najib - sebagai langkah keselamatan, mereka telah memadam data kemasukan Altantuya ke Malaysia daripada rekod-rekod imegresen.

Hasilnya, Altantuya lenyap.

Namun terima kasih kepada tekanan yang berterusan daripada keluarga dan kedutaan Mongolia, jenayah tersebut akhirnya didedahkan dan mereka yang terlibat telah ditangkap - kesemuanya tentu sekali kecuali Najib.

Selepas perbicaraan panjang yang begitu mendebarkan, dua orang polis telah dihukum mati manakala Razak dibebaskan. Bagaimanapun dengan siasatan yang dilancarkan oleh hakim Le Loire di Paris, nampaknya dia akan dipanggil kembali ke mahkamah.

Dan PM Najib juga takkan terlepas begitu mudah, kerana isu ini akan dibangkitkan di parlimen minggu hadapan dan akan memberi kesan kepada pilihanraya umum yang akan datang.

Maka kematian Tuya yang begitu mengerikan tidak akan sia-sia.

Sumber: [The Phnom Penh Post]

ReJaM© "Penat betul translate, menyesal gua translate kah kah kah... "

‘Teruskan, jika ini cara Umno akhiri hayat mereka’

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: “Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau menyatakan demikian menerusi twitter berhubung laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai demonstrasi sekumpulan NGO di Kota Darulnaim semalam.

“Saya ditunjukkan dengan muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memuatkan demonstrasi NGO pro Umno di hadapan Kota Darulnaim semalam yang membawa kereta tolak dan alat-alat pembinaan, kononnya sebagai 'sumbangan' untuk pembinaan lebuhraya.


“Saya katakan, jika Umno merasakan dengan budaya seperti ini, mereka akan mendapat sokongan, teruskanlah,” tulis beliau.

Tetapi beliau yang juga Mursyidul Am PAS ingin mengingatkan, selepas tarian punggung, hadiah 'najis' di Pulau Pinang, demonstrasi kepala lembu dan sebagainya, hari ini dengan perbuatan seperti itu, semuanya hanya menjatuhkan maruah bangsa Melayu yang kononnya diperjuangkan oleh Umno.

Percayalah, tegasnya Umno sendiri akan malu dengan perbuatan itu satu hari nanti.

Teruskanlah dengan budaya politik seperti ini jika inilah cara Umno ingin mengakhiri hayat mereka.

NUJ sambut baik siaran adil untuk semua

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyambut baik cadangan kerajaan mahu memberikan ruang siaran secara adil untuk semua parti yang bertanding semasa pilihan raya umum nanti.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Agungnya, V Ambalagan (gambar) mencadangkan agar watu utama (prime time) diberikan untuk membolehkan setiap parti memaklumkan manifesto masing-masing di media kerajaan.

NUJ juga mencadangkan agar, RTM dan Bernama menjalankan tugas ini bagi pihak media kerajaan.

NUJ juga mencadangkan, media swasta termasuk stesen TV, radio dan media cetak juga memberikan peluang yang sama.

"Untuk radio dan TV swasta, mereka sepatutnya memberikan ruang yang sama kepada BN dan pembangkang sebagai satu khidmat nasional mereka," katanya.

Awal tahun ini, NUJ telah menyerahkan cadangan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen untuk Penambahbaikan Pilihan raya agar memberikan hak untuk mendapatkan liputan media yang adil untuk semua parti.

"Kami juga memohon agar pemilik media cetak dan online menjual ruang iklan mereka untuk semua parti politik," kata Ambalagan lagi.

Namun begitu, NUJ juga mencadangkan agar satu jawatankuasa pemantau media ditubuhkan oleh SPR selepas Dewan Rakyat dan DUN dibubarkan.

Jawatan kuasa ini perlu untuk memastikan etika kewartawanan dipatuhi dan berkuasa untuk menyekat sebarang laporan yang melanggar garis panduannya.

RTM: Tidak memadai sekadar bentang manifesto

Hazayani Zakaria, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) berpendirian keputusan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi televisyen adalah tidak memadai untuk akses pilihan raya yang adil.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi (gambar) berkata, meskipun DMPP menyambut baik keputusan itu, namun kerajaan juga harus memberi ruang kepada parti-parti politik menerangkan manifesto mereka dan menjawab segala tohmahan kerajaan kepada Pakatan Rakyat (PR).

"Sekadar memberi ruang kepada pembentangan manifesto tidak mencukupi. Apatah lagi ketika Umno BN sepanjang masa melontarkan fitnah terhadap PR melalui 24 jam siaran TV dan radio yang dikuasi mereka.

"Ruang dan peluang yang lebih adil dan berimbang kepada semua parti politik dalam menjayakan demokrasi pilihan raya mesti berjalan dan terpakai kepada semua tanpa memilih bulu," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengumumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan pembentangan manifesto parti-parti politik dalam waktu yang dihadkan.

Aiman berkata, tiada guna PR diberi masa satu atau dua jam untuk membentangkan manifesto tetapi selepas itu PR diserang dan diperlekeh sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.

Justeru katanya, pengumuman Rais itu seperti melepaskan batuk di tangga dan usaha mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan melaksanakan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"DMPP percaya pengumuman ini hanyalah suatu tindakan silap mata bertujuan mengaburi kesedaran rakyat, membohongi rakyat yang kononnya kerajaan telah memenuhi tuntutan Bersih 2.0.

"Kita yakin dan percaya pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak) kini sangat tertekan dengan kesedaran dan kebangkitan rakyat," katanya lagi.

Walau bagaimanapun ujarnya, rakyat konsisten mendesak kerajaaan memenuhi lapan tuntutan Bersih, salah satunya akses media yang adil kepada semua parti.

"Sbg pihak DMPP cabar pentadbiran Najib agar berani dan matang dalam menghadapi rakyat. Jangan asyik menjerit meminta pimpinan PR jadi anak jantan tapi Umno BN sendiri jadi pondan," tegasnya.

Masalah lif: Dakwaan berita TV9 tidak benar

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dakwaan Berita TV9 pada 5 Jun lalu bahawa Kerajaan Negeri Selangor lambat mengambil tindakan untuk membaikpulih lif-lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara adalah tidak benar.
Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) telah diarahkan untuk membaikpulih lif-lif dan pam air yang rosak di PPR selepas lawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 23 Oktober 2011.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad (gambar).

Menruutnya, pihak MBPJ telah melantik beberapa buah syarikat untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih lif pada 18 November 2011 dan perlu disiapkan berperingkat-peringkat sehingga 8 April 2012 iaitu dalam tempoh 4 bulan dan sebuah syarikat  untuk menjalankan kerja-kerja membaikpulih  pam air bermula 8 Februari 2012 sehingga 8 Mac 2012 iaitu dalam tempoh 30 hari.

“TV9 hanya membangkitkan isu membaikpulih lif ini pada 23 Mac 2012.

“Walau bagaimanapun pihak syarikat-syarikat membaikpulih lif berhadapan dengan kesukaran bagi menyiapkan kerja-kerja menurut kontrak tersebut akibat vandalisme yang berulang seperti kecurian kabel dan komponen lif di bilik motor room dan riser ketika kerja-kerja baik pulih sedang berjalan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Chempaka berkata, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman telah membuat sidang akhbar pada 26 Mac lepas bagi memberikan maklum balas tentang kelewatan tersebut.

Jelas beliau lagi, susulan daripada kecurian yang berulang dan vandalisme itu, pihak majlis telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dengan menambah pintu keselamatan pada bilik motor dan di tingkat 18 pada setiap blok untuk menghalang sesiapa memasuki ke bilik motor lif untuk mengelakkan kehilangan kabel-kabel.

Selain itu, katanya pihak majlis juga telah memasang kunci pada setiap bilik riser bagi memastikan kabel-kabel itu tidak dicuri lagi.

Ujar beliau lagi, kerja-kerja membaikpulih lif telah disiapkan dan diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Dan Keselamatan Pekerja (JKKP), wakil MBPJ (JKKP), dan wakil syarikat pengurusan pada 9 Mei dan 15 Mei lepas.

Iskandar menambah, manakala kerja-kerja pembaikan pam air telah disiapkan pada 8 April lepas.

Ambil tindakan ke atas penganjur 'Bertam Nite'

Harakahdaily, 07 Jun 2012
PULAU PINANG: Pemuda PAS Pulau Pinang mendesak PKR menyiasat sepenuhnya 'Bertam Nite' dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang bersalah ke atasnya.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam kenyataannya berkata,  pimpinan Pakatan Rakyat juga mesti segera menyiasat penganjur program ini serta mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat "bagi membuktikan bahawa kita bukan golongan yang hipokrit!"

"Ditegaskan bahawa, kami tidak bantah hiburan, tetapi kami bantah maksiat," kata beliau dalam
kenyataan itu.

Video 'Bertam Nite' yang menayangkan persembahan tarian ala K-Pop kini tersebar luas manakala gambarnya juga tersiar luas dalam laman-laman sosial.

Pemuda PAS P.Pinang difahamkan bahawa program tersebut adalah program makan malam anjuran PKR DUN Bertam, dalam Parlimen Kepala Batas, Pulau Pinang.

PKR sebelum ini dalam kenyataannya mendakwa, majlis mereka telah disabotaj.

"Jika dikatakan ada unsur sabotaj sekalipun, sepatutnya pihak penganjur perlu segera menghentikan tarian tersebut dan tidak membiarkan ianya terus berlangsung sehingga menjadi tatapan hadirin dan dirakam secara bebas.

"Pihak penganjur juga mesti tegas mengambil tindakan kepada pihak yang melakukan sabotaj jika benar ianya satu sabotaj untuk merosakkan imej pimpinan muslim dalam PR khasnya dari PAS," kata kenyataan itu.

PKR ambil tindakan

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman twitternya memberitahu, majlis anjuran Cabang Kepala Batas itu bertentangan dengan dasar parti itu.

"Acara bertentangan dengan dasar parti, akan diputuskan dalam mesyuarat malam nanti (malam tadi)," katanya.

'Bertam Nite' yang diadakan bertujuan untuk mengumpul dana jentera pilihan raya Pakatan Rakyat itu menampilkan tiga gadis seksi memakai skirt pendek ala K-Pop yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Sementara itu, pihak yang menaja program ini telah menghantar surat kepada PKR memohon maaf di atas kesilapan ini. (Lihat surat di atas)

Surat itu ditujukan kepada Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Johari Kassim. (Gambar)

Dalam sidang medianya, Johari memohon maaf di atas peristiwa itu dan memberitahu ia bukan dari pihaknya.

Ia adalah kesilapan pihak penaja program yang sepatutnya mempersembahkan tarian tradisonal dari pelbagai kaum.

Peranan kuasa ketiga dalam forum di Balai Islam

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KOTA BHARU: Peranan kuasa ketiga dalam pilihan raya umum ke 13 nanti bakal dibedah sempena program bual bicara bersama Facebookers 15 Jun ini.

Program yang akan diadakan di Balai Islam Lundang, tapak pelbagai program wacana sebelum ini itu, akan menampil empat penal hebat.

Mereka adalah Exco kerajaan negeri, Datuk Nik Mohamad Amar, Dr Yusri Mohamad (bekas Presiden Abim), Dr Maszlee Malik (Pensyarah UIA) dan Ustaz Fauzi (Isma).

Di samping mereka, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dijangka akan memberikan ucapan dan amanatnya di majlis ini.

Dua moderator akan mengendalikan forum ini iaitu Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Baihaqi Atiqullah dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong.

Isu kuasa ketiga selain BN dan Pakatan Rakyat menjadi sebutan pelbagai pihak sebelum ini.

Namun siasapakh mereka masih menjadi tandatanya.

Yang disebut-sebut adalah para NGO yang bergerak di negara ini.

NGO pula ada yang ditubuhkan oleh parti pemerintah untuk menjadi jurucakap dan kumpulan pendesak bagi pihak mereka di samping NGO yang bebas dari parti politik.

FGVH: Peneroka hanya 5.5%, syarikat asing 94.5%

Muhammad Faizal, 07 Jun 2012
PETALING JAYA: Prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus manakala 94.5 peratus sahan diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan bumiputra.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli (gambar), berkata ini menimbulkan persoalan penting status tanah-tanah kerana is kini dimiliki dan dikuasai oleh syarikat yang tidak dikuasai bumiputra, lalu bertentangan dengan undang-undang Tanah-tanah Rezab Melayu (TRM) yang mengekalkan hakmilik di tangan Melayu atau bumiputra.

"Pada 28 Mei yang lalu kita telah mendedahkan bagaimana Barisan Nasional (BN) telah memajakkan TRM yang dianggarkan seluas 105,382 ekar kepada FGV yang disenaraikan.

"Sehingga kini, PKR tidak tidak mendapat apa-apa jawapan dari Datuk Seri Najib Razak mahu pun Tan Sru Isa Samad berhubung perkara tersebut," jelasnya.

Rafizi turut memberitahu satu peruntukan penting di dalam perjanjian tersebut yang menjelaskan pegangan tanah di penempatan Felda seluruh negara dan mempunyai kesan besar kepada kebajikan peneroka Felda.

"Tanah sedia ada dirujuk sebagai 'existing lands' iaitu 343,484.46 hektar tanah Felda Plantations Sdn Bhd yang dipajakkan termasuklah Tanah-tanah Rezab Melayu.

"Tanah sedia ada tambahan atau 'additional existing lands' iaitu semua tanah-tanah tidak bergeran yang kini dimiliki oleh Felda dan ini merujuk kepada semua tanah lapang yang kini dimanfaatkan bagi tujuan kemasyarakatan di penempatan Felda seperti tapak kedau, padang, surau, jalan dan lain-lain," jelasnya.

Tambahnya lagi, Tanah akan datang 'future lands' iaitu semua tanah yang Felda bakal peroplehi di masa hadapan.

Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan PKR selama ini bahawa semua tanah-tanah tidak bergeran di dalam penempatan Felda di seluruh negara telah pun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki majoriti oleh pelabur swasta sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti kemasyarakatan ekonomi warga Felda.

"Apakah jaminan Najib dan Isa bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaannya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda.

"Apakah jaminan bahawa kedai-kedai runcit kecil yang didirikan di atas tanah-tanah tidak bergeran ini suatu hari nanti tidak akan dirobohkan oleh FGV," sambung beliau lagi.

Tegas Rafizi, pendedahan ini jelas membuktikan bahawa Najib dan Isa telah berbohong apabila mereka menyatakan tanah-tanah yang melibatkan warga Felda tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian FGV.

Kalau banyak salah, liat mahu lepaskan kuasa

Aspan Alias, 07 Jun 2012
Hari demi hari undang-undang ketat yang menghantui rakyat semakin jelas dengan hampirnya pilihanraya umum ke-13 ini. Nampaknya kartun tidak boleh digunakan dalam pilihanraya ini, itu kata Timbalan Pengerusi SPRM. Dr Mahathir pula meminta kebebasan internet disekat dan seperti biasa Rais Yatim dengan pantas ‘merawikan’ kata-kata Dr Mahathir itu.


Tetapi cerita tentang pengundi haram yang didaftarkan di dalam senarai pengundi tidak juga diselesaikan oleh SPRM. Pihak berkuasa dan pemimpinnya asyik mentelaah bagaimana hendak sekat pihak pembangkang, tetapi kerja dan tanggungjawabnya untuk membersihkan senarai pengundi yang merupakan asas demokrasi itu sampai ke hari ini tidak diendahkan.

Saya dan ramai lagi telah bercakap dan bertanya kenapa kali ini sudah mula timbulnya unsur-unsur menekan seolah-olah ianya membayangkan bahawa BN tidak mahu menerima keputusan PRU jika rakyat menolaknya. Dengan penekanan ini maka jelas yang sebenarnya yang akan mewujudkan huru-hara selepas pilihanraya nanti ialah pihak BN.

Zunar, kartunis begitu berang dengan kecenderungan kartun digunakan oleh sesetengah pihak sebagai alat kempen dalam pilihanraya nanti. Zunar akan tetap melukis kartunnya dan tidak ada apa-apa pun boleh menghalang beliau melukis kartun yang menjadi bidang kegemaran dan  profesionalisma  nya.

Jika seruan Mahathir untuk melakukan sekatan terhadap internet sebagai alat penyampai maklumat bagi pihak pembangkang elok kita bertanya, bagaimana pembangkang hendak menyampaikan mesejnya kepada rakyat? Kerajaan buat apa lagi kepada pembangkang? Segala-galanya hendak disekat.

Kalau takut sangat dengan kebangkitan maklumat untuk rakyat, kenapa masih hendak menjadi kerajaan? Rakyat hendak menggunakan internet itu untuk mengetahui apa terjadi kepada isu Scorpene misalnya. Media arus perdana tidak akan menyiarkan perkara yang sebenarnya tentang Scorpene ini. Rakyat ingin tahu bagaimana penglibatan Altantuya dalam isu pembelian Scorpene itu.

Melalui internetlah kita boleh mengetahui bagaimana komisyen haram yang diterima oleh pemimpin kita dalam projek membeli kapal selam yang suatu ketika dahulu tidak dapat hendak menyelam itu? Semua orang hendak tahu di mana komisyen haram itu dibayar…..di Hongkong ke atau di Singapura atau di mana?

Kita hendak tahu berapa Najib perolehi daripada pembelian kapal selam itu dan jika boleh kita hendak tahu samada isu tuntutan Najib untuk dibayar sebanyak USD1 billion sebelum wakil syarikat pembinaan kapal selam itu mendapat tempahannya. Kita juga hendak tahu berapa Altantuya sepatutnya dapat sebahagian daripada komisyen itu. Sudah dibayar atau belum lagi kepada Altantuya.

Jika belum dibayar kita hendak tahu sudahkah dibuat urusan untuk membayar waris kepada Altantuya jumlah yang sepatutnya diberikan kepadanya. Banyak lagi isu-isu yang rakyat hendak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Semuanya ini memerlukan maklumat dari internet kerana media arus perdana tidak akan menyiarkannya. Kenapa kita perlu menyokong seruan Mahathir untuk membebaskan kegiatan melalui internet itu. Jika dilaksanakan kehendak Mahathir itu ia bermakna kerajaan ingin mengikat tangan penyokong pembangkang dan melakukan ‘circumvention’ terhadap proses demokrasi yang sebenarnya.

Apa yang BN hendak sorokkan sangat itu? Bukankah BN kata mereka tidak bersalah dalam semua tuduhan dan spekulasi rakyat seluruh dunia itu? Jika tidak bersalah kenapa takut-takut? Kalau pembangkang berbohong rakyat boleh tengok pembohongan itu melalui internet. Kenapa takut kerana rakyat akan menghakiminya samada BN atau PR yang berbohong. Tetapi kita takut-takut yang BNlah yang berbohong, bukannya PR.

Jika pembangkang memenangi pilihanraya melalui internet, apa salahnya. Negara ini negara demokrasi dan rakyat berhak untuk mendapatkan semua maklumat-maklumat tersebut. Kalau di negara Cina komunis pun internet bebas untuk menjadi media pilihan rakyatnya kenapa Malaysia memilih untuk menjadi lebih buruk dari pentadbiran negara komunis itu.

Jika Myanmar sekarang sudah terbuka kepada dunia luar kenapa pula kita yang hendak menutup negara kita dari dunia luar. Mahathir juga yang telah memperjuangkan dunia tanpa sempadan tetapi apa bila ‘nature’ hendak mengambil tempat dan melakukan perubahan BN sudah tidak dapat menerimanya. Sikap tidak dapat menerima kekalahan ini adalah sikap semula jadi politik dunia ketiga.

Tetapi pemimpin kita dengan gah ke sana ke mari bercakap tentang wawasan 2020 yang meletakkan negara setaraf dengan negara-negara maju. Negara maju apa yang hendak kita capai jika kekalahan dalam pilihanraya menjadikan mereka hilang akal dan tidak dapat menerimanya langsung, seolah-olah hendak memisahkan kulit dari daging atau hendak memisahkan kulit dengan kuku.

Parti Buruh Britain baru sahaja menerima kekalahan dan kekalahan yang terbaru ini bukannya kekalahan kali pertama. Parti Buruh bergilir-gilir memerintah dengan parti Conservative tetapi tidak pula mereka sanggup menolak asas demokrasi yang sebenar semata-mata untuk mempertahankan kuasa. Kalah kali ini mereka akan dapat semula dalam pilihanraya yang akan datang. Menang dan kalah itu perkara biasa dalam sesebuah negara maju.

Hanya BN sahaja yang merasakan seolah-olah dunia akan kiamat jika kalah dalam pilihanraya. Sebenarnya kekalahan BN jika benar berlaku, merupakan hikmah besar buat BN itu sendiri. Dalam kekalahan itu BN boleh membersihkan kekotoran yang mereka lakukan semasa memerintah. BN tidak mungkin dapat membersihkan kekotoran yang mereka lakukan jika masih berkuasa, malahan BN akan bertambah sombong dan angkuh jika terus mendapat mandat.

Jika BN menang lagi rasuah akan dilakukan dalam jumlah trillion ringgit, bukannya lagi dalam jumlah ratusan billion. Lagi pun adalah ‘natural’ bagi sesebuah parti yang terlalu lama memerintah di mana-mana negara lain jatuh tersungkur di hadapan mata rakyat mereka.

Hanya di negara kita pengalaman ini baru sahaja hendak berlaku. Di negara lain pertukaran pemerintah ini berlaku acap kali tanpa masalah. Gordon Brown telah menyerahkan kuasa hanya dalam tempoh enam jam kepada parti Conservative dan Liberal Demokrat setelah beliau tidak berdaya menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya Britain tahun lalu.

Jika saya yang jembel ini boleh mempelajari apa yang berlaku di negara maju, masakan Mahathir tidak dapat belajar daripada keadaan itu. Jika untuk menutup kesalahan merupakan sebab untuk mempertahankan kuasa dengan apa daya sekali pun, itu bukan masalah rakyat kita. Itu masalah mereka. Siapa suruh melakukan kerja-kerja tidak baik terhadap negara dan rakyat?

Kita mesti akui segala kerja jenayah yang dilakukan oleh pimpinan BN selama ini merupakan kerja jenayah (treason) terhadap negara dan mengkhianati negara itu adalah terlalu besar kesalahannya untuk dimaafkan rakyat. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

WWW 1: Pemuda PAS persoal apa agenda Kosmo

Muhammad Faeez, 07 Jun 2012
IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak mendedahkan akhbar Kosmo sudah lama memainkan isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1.


Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, sejak 8 April akhbar kepunyaan anak syarikat Utusan Malaysia itu telah mensensasikan isu bidaan ini.


“Saya hairan kenapa dalam banyak-banyak media perdana, Kosmo sahaja yang terlalu teruja memainkan isu ini.


“Umum mengetahui Kosmo adalah merupakan anak syarikat Utusan dan kami melihat seolah-olah ada seseorang di belakangnya yang cuba bermain api,” katanya ketika sidang media selepas Mohammad Nizar selesai memberikan keterangan kepada polis di Pejabat PAS Perak, semalam.


Dalam Kosmo bertarikh 8 April, akhbar itu telah mula menimbulkan isu ini dengan menggambarkan akan berlaku catatan rekod bidaan tertinggi.


Seterusnya pada 25 Mei Kosmo telah mendedahkan bahawa Sultan Johor telah memenangi bidaan plat kenderaan WWW 1 dan dalam keluaran itu juga Kosmo secara sinis telah menggambarkan nilai bidaan tersebut.


Pada 28 Mei pula, Kosmo sekali lagi di ruangan karikatur telah membincangkan tentang bidaan plat tersebut dan turut memainkan isu ini pada 30 Mei di mana Dewan Pemuda PAS Perak telah membuat laporan polis berhubung keluaran itu.


Kosmo pada keluaran 31 Mei cuba melagakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu dengan Sultan Johor apabila mengeluarkan berita di muka depan bertajuk Mohammad Nizar kritik Sultan Johor berhubung plat WWW 1 disiasat.



Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu mempersoalkan mengapa Kementerian Pengangkutan di bawah menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA mendedahkan isu bidaan ini.


“Kenapa pada 2010 isu bidaan plat ini yang mencecah RM300,000 itu rekod bidaan tertinggi ketika itu tidak tidak didedahkan kepada umum sedangkan isu bidaan plat WWW 1 yang melibatkan Sultan Johor ini didedah dan dihebahkan secara meluas?" soalnya.


Beliau hairan apakah agenda kementerian mendedahkan isu yang membabitkan Sultan Johor ini.


Mengulas lanjut, Raja Ahmad Iskandar turut mempersoalkan kenapa Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien tidak membuat sebarang tindakan dan kenyataan kepada Kosmo yang terang menjurus kepada Sultan Johor.


“Di mana Pemuda Umno dan Perkasa yang lantang bercakap tentang isu ini.


“Pemuda PAS kesal dengan situasi yang berlaku dan kami sangat kesal dengan sikap pihak Polis yang terbukti tidak adil dan memilih ‘bulu’ dalam mengenakan sesuatu tindakan.


Turut bersama-sama dalam sidang media itu ialah Mohammad Nizar bersama-sama peguam dan pimpinan Pemuda PAS dan Pakatan Rakyat Perak.


Jalur Gemilang ini

Harakahdaily, 07 Jun 2012
Jalur Gemilang ini
Ku tenung dan ku kaji
Kulihat ada seri
Kulihat ada naluri tersendiri

Jalur Gemilang ini
Kan ku genggam sepenuh hati
Kan ku bela penuh erti
Kan ku jaga hingga mati

Jalur Gemilang ini
Kamu lambang perjuangan suci
Tetapi ramai yang telah khianati
Walaupun kamu kononnya dihati

Jalur Gemilang ini
Kami akan bawa mu ke tempat suci
Sebagai obor perjuangan abadi
Untuk membela ibu pertiwi

Jalur Gemilang ini
Hari ini Himpunan Hijau di sini
Kami bertekad dan melafas janji
Ke Putrajaya demi Islam yang suci

ZS
Alor Setar 1 Jun 2012





Tiada ulasan: