Khamis, 7 Jun 2012

BILA AHLI DAN PEMIMPIN POLITIK TIDAK CERDIK...MEREKA BERIA-RIA NAK BERKUASA LAGI...RAKYAT LAH NI CERDIK DAH...INGAT MATI...JAGA AKIDAH...JAGA HUKUM...MEREKA MASIH TERCARI2 PERJUANGAN YANG BENAR

PTPTN Unisel: Abim anggap hasil politik memualkan

Harakahdaily, 07 Jun 2012
SHAH ALAM: Abim Negeri Selangor memandang serius dengan dakwaan Pihak Perbadanan Tabung Pendidikan tinggi Nasional (PTPTN) menggantung bantuan pinjaman pendidikan kepada pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel).

Jika benar dakwaan ini, ia amat merugikan dan  sekaligus meletakkan masa depan pelajar terbabit dalam keadaan yang tidak menentu.

Demikian kata Khairuddin Bin Abas, Yang Di Pertua Abim Negeri Selangor dalam satu kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, Abim Negeri Selangor berpandangan pihak PTPTN tidak wajar bertindak sedemikian, memandangkan ia menafikan hak para pelajar pembiayaan yang layak untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepertimana yang termaktub dalam objektif penubuhan badan tersebut iaitu:-

"Memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) selaras dengan hasrat Kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan."

ABIM Negeri Selangor berpandangan selaku IPTS yang menawarkan kursus yang diiktiraf dan mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Unisel pasti telah memenuhi syarat asas menerima pembiayaan PTPTN dari badan berkenaan.

Bahkan, katanya, Abim Negeri Selangor juga berkeyakinan para pelajar yang ingin memohon telahpun memenuhi pra-syarat mengikuti pengajian di Unisel.

Menilai implikasi besar (jika pembiayaan ditarik balik) terhadap masa depan sistem pendidikan di negara ini, Abim Negeri mendesak penyelesaian segera dicapai oleh pihak-pihak terbabit.

Abim Negeri Selangor juga memuji tindakan pentadbiran UNISEL yang berbincang dengan pihak PTPTN serta menilainya sebagai satu tindakan yang wajar.

Dalam hal ini masa depan serta kebajikan pelajar mesti diletakkan sebagai keutamaan penting, katanya.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya polemik ini terjadi akibat dari amalan budaya politik tidak matang serta menggambarkan mentaliti politik yang rendah serta memualkan.

Oleh yang demikian, Abim Negeri Selangor menggesa pihak PTPTN agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan dakwaan penggantungan dan menyatakan dengan jelas sebab munasabah di sebalik isu ini.

"Kami juga mendesak pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk memelihara kebajikan dan masa depan pelajar di masa depan," desak beliau.

Mengambil kesempatan ini, Abim Negeri Selangor juga menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini daripada berlarutan.

Ini kerana, ia menyentuh secara langsung imej Unisel selaku IPT utama di negeri Selangor di samping menyentuh secara langsung kesinambungan masa depan para pelajar.

Apa fatwa tinggal puasa rai Sukan Olimpik

Salmiyah Harun, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap atlet beragama Islam yang akan menyertai sukan Olimpik pada bulan Ramadan bermula 27 Julai ini.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpandangan walaupun Malaysia mempunyai peserta bukan Islam tetapi bagaimana dengan peserta Islam yang bertanding bagi acara yang tidak sesuai untuk berpuasa sama ada etika berpakaian yang tidak sesuai dengan Islam.
Setiausaha Agung, Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid juga berkata, adalah tidak sesuai untuk umat Islam menggadaikan kesucian Ramadan hanya kerana hendak mengejar medal Olimpik.

"Itu adalah sesuatu yang tidak wajar, peserta umat Islam perlu utamakan penghormatan bulan Ramadan dan etika bersukan di peringkat antarabangsa.  Pendirian Majlis Fatwa dapat menjelaskan perkara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap senario ini,  apabila kewajaran Olimpik memulakan 'precedent' pada bulan Ramadan tambahan pula umat Islam seluruh dunia tidak ambil kisah maka tidak mustahil ia boleh dilakukan lagi selepas ini.

"Bila acara dunia seperti ini memulakan pada bulan Ramadan pun kita tidak kisah, maka sudah menjadi alasan mereka tidak ambil kisah tentang sensitiviti agama selepas ini," katanya.

Jelasanya, senario ini menunjukkan barat tidak ambil kisah tentang agama walaupun mereka sering kata menghormati agama Islam di peringkat dunia.

Bagi Mapim, penentu atur cara Olimpik sepatutnya dari awal memastikan tidak berlaku pada bulan Ramadan sebagai menghormati penyertaan peserta-peserta dari negara Islam.

Dan, Mapim tidak menolak penganjuran ini wujudnya unsur-unsur tidak menghormati budaya dan agama di peringkat global.

"Apabila teruskan jadual itu maka negara-negara Islam harus bersepakat untuk menentukan sikap sama ada sesuai atau tidak peserta  Islam menyertai sukan itu.  Sudah tentu ianya adalah suatu hak negara untuk tentukan sama ada mahu menyertai atau tidak kerana alasan agama," katanya.

Mapim melahirkan kekecewaan malah membantah sikap penganjur sukan Olimpik yang tidak bersikap toleransi dengan budaya dan agama tidak diambil kira,  dalam acara itu memperjelaskan lagi bahawa agenda global sudah menguasai sampai mengenepikan unsur-unsur agama.

Sementara itu, Angkata Belia Islam Malaysia (Abim) turut mempunyai pandangan yang sama di mana Majlis Fatwa Kebangsaan juga wajar menasihati pimpinan negara bagi mengatasi masalah ini.

Ini kerana menurut Presiden Abim,  Amidi Abd Manan  ada yang berpendapat dibenarkan meninggalkan puasa Ramadan kerana bersukan dan perkara ini perlu diperjelaskan sebaiknya.

"Kalau kita diniatkan untuk bermusafir di Olimpik nanti untuk dibenarkan tidak berpuasa, kita harus ingat musafir ada tempoh tempoh tertentu. Malah ada ramai juga mengatakan kalau kita turun tengok bola, itupun dalam negara kita tidak boleh dikira musafir," katanya.

Bagaimanapun beliau akan berbangga sebagai orang Islam dan warga negara Malaysia  jika melihat atlet negara yang sanggup tarik diri kerana pentingkan syariat.

"Tinggal puasa semata-mata untuk raikan Sukan Olimpik perkara ini perlu diperhalusi  kerana ia menjadi contoh kepada masyarakat, kerana dibimbangi alasan ini akan dipakai selepas ini.

Perlu tengok luas-luas perkara ini," katanya.

Sukan Olimpik 2012 dijadualkan berlangsung di London bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos, sebanyak 204 buah negara menyertai sukan ini termasuklah negara Islam.  Kira-kira 10, 250 atlet akan bertanding dalam 300 acara dan 26 sukan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong  berkata, terpulang kepada atlet berkenaan sama ada mahu meneruskan puasa mereka apabila beraksi di pentas Olimpik nanti walaupun beliau secara peribadi menganggap bersukan juga satu perjuangan dan ada ketikanya ibadat itu dibolehkan untuk digantikan pada waktu lain.

‘Terima kasih’ kerana ‘tidak cerdik’ – Nik Aziz

Rizal Tahir, 07 Jun 2012
KOTA BHARU, 7 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengucapkan ‘terima kasih’ kepada pihak tertentu kerana telah berjaya memalukan perjuangan sendiri akibat tindakan 'tidak cerdik’.
Ucapan terima kasih itu diberikan Tuan Guru kepada pihak  yang menyerahkan peralatan membina lebuh raya di hadapan Kompleks Kota Darulnaim semalam yang dinamakan atas NGO Tukar seperti kereta sorong, penyodok pasir dan lain-lain lagi.

Tuan Guru juga turut menyifatkan tindakan sedemikan sebagai memalukan orang Melayu yang dilakukan dengan tujuan untuk memalukan pihak yang lain (kerajaan negeri).

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi kedai menjual kereta terpakai milik anggota jawatankuasa Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Kasuadinata Dollah, 46, di sini hari ini.

Katanya, bangsa lain akan lebih menjauh dari Islam apabila melihat hanya ini taraf pemikiran orang Melayu yang berniat untuk memalukan sesama mereka.

“Tanpa mereka sedari akhirnya akan memalukan diri mereka sendiri malah akan menimbulkan bangsa lain berasa benci untuk berkawan dengan orang Melayu kerana sikap sedemikian,” katanya lagi.

Menurutnya, orang Melayu yang tidak begitu mengetahui pegangan agama sendiri, tidak begitu kaya, tetapi berperangai pulak tidak senonoh di mata.

“Insya Allah benda-benda begini akan terkena diri mereka sendiri akhirnya,” ujarnya.

Sementara itu, Tuan Guru melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menziarahi mangsa kereta terpakai yang terbakar, Kasuadinata.

Pada kejadian 20 Mei lalu, tiga buah kereta terpakai yang akan dijual untuk pelanggan terbakar kira-kira jam 1.00 pagi dipercayai perbuatan khianat.

Tafsir kerugian tiga buah kereta jenis Mercedes, Honda Jazz dan Myvi, bernilai RM250,000.

PTPTN-Unisel: Satu lagi tragedi kependidikan

Harakahdaily, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang isu pembekuan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) sebagai satu lagi tragedi kependidikan dan hak kebajikan pelajar.
“Sikap pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menggantung pinjaman pendidikan kepada pelajar baru Unisel ini dilihat suatu penafian hak kepada pelajar Unisel dan lebih dilihat sebagai satu keputusan politik murahan,” kata Setiausaha Agungnya, Mohd Shazni Abdullah.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, PKPIM berpandangan pihak PTPTN seolah-olah tidak matang dan professional dalam membuat pertimbangan sedemikian.

Katanya, PTPTN perlu bijak dalam mendepani masalah-masalah yang berkaitan isu politik dan juga hal-hal yang berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan peranan kerajaan negeri khususnya melibatkan pemberian pinjaman pendidikan.

Sehubungan itu, ujarnya PKPIM menggesa agar isu itu perlu ditangani dengan segera.

Beliau berkata, hal-hal yang berkaitan mengenai kebajikan pelajar perlu diletakkan pada perhatian yang pertama sebelum menghukum dari dimensi politik yang sangat menyimpang dari kepentingan pelajar itu sendiri.

“PKPIM menyeru agar pihak berwajib mengambil langkah sewajarnya dalam membela nasib dan pelajar lain agar isu pendidikan ini tidak dipolitikkan dan menjadi barah yang merebak ke seluruh kampus yang lain terutamanya melibatkan negeri-negeri tertentu di bawah Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Oleh yang demikian, katanya PKPIM menggesa pihak PTPTN agar menarik semula pembekuan berkenaan dan memberikan penjelasan yang tuntas berkenaan isu itu agar tidak memudaratkan dan menjaga kebajikan seluruh pelajar.

“Bukankah  objektif  PTPTN  adalah memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan?” tanya beliau.

PKPIM, ujar beliau merasakan bahawa universiti perlu kembali segar sebagai wahana pencerdasan dan pemerkasaan bangsa, sifatnya sebagai non-partisan institution harus dipelihara dan selamanya dipertahankan manakala peranan kerajaan seharusnya lebih bersifat membantu dan membimbing, tidak terlalu mengawal atau mengongkong.

RTM: Bukan masa kempen pilihan raya sahaja

Anis Nazri, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan kesediaan kerajaan membenarkan parti-parti politik membentangkan manifesto masing-masing menerusi RTM.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pemuda, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata perkara itu perlu dilakukan berterusan bukan hanya ketika musim pilihan raya semata-mata.

"Kita alu-alukan penambahbaikan tersebut kerana ia memang tuntutan kita.  Cuma, saya harap ia berterusan dan bukan hanya ketika musim pilihan raya," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung keputusan kerajaan membenarkan parti politik membentangkan manifesto ketika kempen pilihan raya.

Rais, dalam kenyataannya berkata perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya diluluskan jemaah menteri. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tentang had masa dan syarat-syarat yang bakal dikenakan berikutan keputusan itu.

Dalam pada itu, Nik Abduh berkata keputusan itu juga sebagai tanda kerajaan mulai sedar BN bergerak atas demokrasi yang tidak adil sebelum ini.

"Mereka sudah sedar bahawa sebelum ini mereka menghadapi pilihan raya dengan cara yang tidak adil apabila tidak memberikan akses media kepada parti-parti yang bertanding. Kita harapkan ia berterusan kerana demokrasi yang sebenar ialah demokrasi yang digunakan secara adil," kata beliau lagi.

Malam 1 Jun itu, di Stadium Darul Aman

Ahmad Lutfi Othman, 07 Jun 2012
Sebenarnya saya hampir terlepas daripada mengikuti secara dekat peristiwa bersejarah Himpunan Hijau ke Putrajaya, malam 1 Jun lalu, yang mengumpulkan lebih 100,000 penyokong PAS di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Mulanya, sahabat saya, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob yang dijangka menemani sepanjang perjalanan ke utara, terpaksa membatalkan hasratnya disebabkan demam.

Meskipun dapat menghadiri program Amanat Khas Presiden, yang mencatat kehadiran lebih 3,000 aktivis parti dari seluruh pelosok negara, pada hari sama, pagi Jumaat, di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, Kota Sarang Semut, sekali lagi saya hampir terlepas majlis kemuncak malamnya disebabkan kereta ketua pemberita Harakah Kedah, Azamin Amin, terperangkap dalam kesesakan teruk di sekitar stadium. Sepatutnya beliau menjemput saya di hotel, yang jaraknya tidak pun sampai 5 kilometer.

Ada rakan menawarkan kemudahan untuk membonceng motosikal, namun terhalang dengan keuzuran kaki kiri saya. Mujur kakitangan Hotel Regency Alor Setar ringan tulang  berjalan kaki  ke Pekan Rabu mencari teksi; pemandunya nampak agak keberatan disebabkan beliau sendiri baru saja menempuh laluan yang cukup perlahan. (Rupanya masa sama ada teman-teman lama yang 'tersangkut' dan memilih untuk berehat di hotel saja -- mereka tentu tidak menduga Stadium Darul Aman malam itu bakal melakar sejarah).

"Kalau ada pertandingan bola babitkan pertandingan penting pun jalan tak seteruk ini," kata pemandu dalam usia 60-an itu. "Cuba tengok, kenderaan terpaksa diletakkan jauh dari stadium," tambahnya, semasa kami melepasi Masjid Zahir. "Ramai sungguh kali ini, saya tak pernah alaminya di Alor Setar," ujarnya, sambil menceritakan pengalamannya lebih 40 tahun memandu teksi.

Seminggu sebelum 1 Jun, saya agak risau melihatkan promosi himpunan semacam tidak begitu rancak dan kurang diperkatakan. Saya kerap membandingkan dengan gimik prademonstrasi Bersih 3.0 -- ibarat langit dengan bumi. Sekurang-kurangnya di Kuala Lumpur, tiada acara "pemanas badan", malah baju hijau, yang sepatutnya mula dijual, hampir tiada kelihatan. Kawan-kawan yang pernah menjadi pengusaha kilat baju-T Bersih pula "buat tak kisah aja".

"Saya lebih bimbang jika gegak gempita perarakan Bersih 3.0, yang berjaya menghimpunkan lebih suku juta orang itu akan ditenggelamkan begitu saja jika himpunan hijau nanti gagal capai target," saya luahkan kerisauan kepada seorang pemimpin PAS, beberapa hari sebelum berakhir bulan Mei lalu. Beliau seperti berkongsi rasa. 

Meneliti laman-laman sosial, seperti Facebook, debaran itu agak terubat apabila menatap pelbagai gaya poster himpunan (sebahagiannya direka sendiri, dengan logo yang sama), namun langsung tidak terbayang ia satu kempen strategik untuk menghimpunkan 100,000. Ya, tidak mudah untuk 'memanggil' 100,000 ke Alor Setar dalam waktu yang cukup singkat. Harakah sendiri cukup lambat menyiarkan iklan dan hebahan, malah nama program pun bertukar-tukar.

Difahamkan persiapan hanya mengambil masa dua minggu, satu tempoh yang relatif singkat jika diukur skala program yang mahu menghimpunkan 100,000 orang. Apatah lagi ia merupakan aktiviti menggantikan muktamar tahunan parti, yang sepatutnya berlangsung pada masa sama. Maknanya, himpunan ini, dari satu segi, mencabar keupayaan PAS untuk membuktikan kemampuan jentera dan petugas partinya berdepan "ibu segala pilihan raya", PRU13.

"Himpunan ini bukannya program gabungan bersama Pakatan Rakyat kerana ia umpama muktamar parti, sekali gus menguji komitmen aktivis parti Islam untuk mengharungi bermacam-macam mehnah dan fitnah," kata seorang  tokoh akademik.  "Walaupun sama sekali tidak bertujuan mempamerkan kekuatan PAS tetapi saya percaya ia berjaya menyuntik semangat dan keyakinan buat ahli-ahli bahawa PAS tidak boleh diremehkan. Bukan hanya Kedah yang mahu dipertahankan tetapi impian untuk menguasai Putrajaya, yang banyak bergantung kepada potensi PAS, dapat dicapai jika strategi dan pendekatannya betul," tambahnya.

Semasa menapak perlahan di celah-celah ribuan hadirin, menuju pintu utama stadium, saya mendengar pidato Ustaz Azizan Abd Razak, Menteri Besar Kedah, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri. Beliau sempat menitipkan pesanan agar setiap penggerak jemaah terus istiqamah dan bersabar meniti perjuangan suci ini.

Dari bilik VIP di tingkat atas stadium, langkah saya terhenti. Saya terpukau dengan lautan hijau, yang cukup memikat. Pandangan saya terpaku seketika terutama kepada ribuan yang memenuhi padang dan balapan. Ya, saya benar-benar terkejut. Tidak pernah saya jangkakan dapat menyaksikan suasana yang syahdu, tetapi penuh bersemangat itu. Subhanallah!

Lebih mengujakan apabila melihat reaksi proaktif hadirin yang secara berterusan mengibarkan bendera parti, Jalur Gemilang dan kelihatan juga bendera negeri-negeri tertentu, tanda pertemuan yang dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib itu dihadiri penyokong parti seluruh negara.

Beberapa kali saya terpaksa menahan air mata kegembiraan. Kebimbangan saya sebelum ini bukan saja berakhir tetapi digantikan automatik dengan rasa syukur, sebak dan terharu. Sukar digambarkan perasaan penuh nikmat itu. Bagaikan darah mengalir lancar di segenap tubuh, yang membangkitkan rasa ghairah yang luar biasa hebatnya, untuk menyambut setiap lontaran idea dan harapan pemidato utama, terutama daripada kepemimpinan parti. Saya juga terkenangkan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Assyahid Ustaz Ibrahim Libya, dua anak Kedah yang memahat sejarah tersendiri dalam PAS.

Dari kedudukan saya, yang betul-betul berada di bahagian atas tingkat tetamu kehormat, butiran ucapan agak sukar ditangkap. Malam itu, bagi saya, isi pidato tidak penting lagi. Saya bagaikan menonton satu persembahan yang berjaya mengusik emosi dan perasaan. Gelombang lautan manusia yang nampak berombak, ditambah sorakan dan takbir, serta lebih istimewa lagi tiupan trompet yang biasanya bergema semasa pertandingan bolasepak.

Melalui layar besar, saya lebih terpesona dengan aksi tangkas pengarah program, Mahfuz Omar, yang secara santai menguasai pentas utama. Gaya Naib Presiden PAS itu memperkenalkan beberapa 'selibriti' yang kini menjadi anggota keluarga besar parti cukup menarik.

Misalnya, penampilan bekas pengacara TV Al-Hijrah, Rudi anak Tandang, seorang Iban, yang telah memeluk Islam dan kemungkinan bertanding dalam PRU13 nanti, atas tiket PAS, di Sarawak. Semasa saya berkunjung ke Miri dua bulan lalu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Jofri Jaraiee, banyak bercakap tentangnya. Malam itu bicara Rudi mempesona terutama apabila mengaitkan dengan hikmah agama. Kebetulan 1 Jun itu Hari Gawai dan Rudi tidak lupa mengucap selamat buat rumpun bangsanya.

Secara peribadi saya terkesan dengan ucapan penyanyi Aishah. Tutur katanya teratur dan penekanannya jelas -- isyarat pemikiran politik dan budayanya juga begitu mantap. "Selama 25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS  dan membuktikan PAS for everyone," kata Aishah. Bekas Juara Lagu itu sempat mengingatkan: "Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini."

Begitu juga dengan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Fauzi Shaari, yang kebetulan esok paginya, 2 Jun, saya sempat berbual ringkas bila terserempak dengannya di tangga Pekan Rabu. (Pagi Sabtu itu, setiap kali melangkah di Pekan Rabu, kita pasti berselisih bahu dengan penyokong PAS dari seluruh negara -- petanda aktivis parti Islam mendominasi Alor Setar).
Sesungguhnya Himpunan Hijau itu amat besar makna dan impaknya buat PAS, parti yang dianggap cukup kritikal dalam PRU13 nanti, terutama untuk merebut hati dan minda pengundi Melayu. Cabarannya terlalu besar dan kesempatan masa yang masih berbaki ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggembleng setiap potensi kekuatan untuk memastikan PAS dapat membantu impian Pakatan ke Putrajaya.

Justeru, saya tidak hairan apabila melihat Umnpo cukup resah dan gelisah dengan Himpunan Hijau itu. Sehinggakan Dr Mahathir Mohamad terpaksa memberi komen bahawa  jumlah besar yang membanjiri program itu  tidak akan diterjemahkan di kertas undi, sambil menegaskan peserta dibayar untuk menghadirinya.

TPM Muhyiddin Yassin juga berkata peserta Himpunan Hijau itu  mungkin dibayar supaya hadir. Katanya, peserta berkenaan mungkin dibayar supaya hadir dari seluruh negara.

Rupanya kerisauan dan kebimbangan saya sebelum 1 Jun telah beralih kepada pemimpin Umno, tentunya dalam bentuk yang lebih dahsyat!

Malam itu, saya terpaksa bergegas pulang cepat ke hotel untuk menyiapkan muka-muka utama Harakah edisi Isnin. Malangnya, rakan-rakan jurugambar dan wartawan gagal menghantar bahan tepat pada masanya disebabkan gangguan internet.

Dan saya turut terlupa untuk "menghijaukan" masthead Harakah daripada warna asal merah. "Kalau masthead Utusan Malaysia yang  biru itu pun boleh ditukar kepada merah untuk meraikan bersama sambutan Umno ke-66 tahun di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei, mengapa masthead Harakah tak boleh tukar menjadi hijau," tanya seorang pembaca setia Harakah.

Haram jadah: Anak mungkin saman malu Najib

Hazayani Zakaria, 07 Jun 2012
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menghantar notis menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan terbuka berhubung ucapannya yang menyebut 'haram jadah' kepada peneroka, 8 Mei lalu.


Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata notis itu akan dihantar ke kediaman rasmi Najib di Putrajaya pada 15 Jun, selepas solat Jumaat.

"Peguam Anak telah meneliti beberapa kali ucapan Najib dan ternyata ia mengandungi kenyataan berniat jahat, jijik dan dan tidak sepatutnya.

"Kita akan serah notis dan kalau notis ini juga tidak dilayan, kita akan teruskan hasrat saman malu terhadap Najib," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau juga memberitahu, Anak akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (Berhad), dijangka pada bulan ini.

Mazlan berkata,  pihaknya akan menghimpunkan sekurang-kurangnya 20,000 orang di Kuala Lumpur terdiri daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan itu.

Katanya, perhimpunan itu merupakan kemuncak kepada usaha Anak selepas usaha dilakukan selepas segala pendekatan diplomasi mereka tidak diendahkan.

"Sebelum ini Anak sudah guna semua saluran undang-undang. Memorandum pernah dihantar kepada perdana menteri, kita pergi ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia, pergi ke Suruhanjaya Sekuriti, tapi mereka tidak mahu dengar pandangan kami," kata beliau.

Mazlan yang juga penyelaras Gerakan Selamat Felda (GSF) berkata, pihaknya mengisytihar perang terhadap Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Isa Samad, Ahmad Maslan dan pihak yang menyokong penyenaraian FGVH yang akan dimuktamadkan pada 28 Jun ini.

"Oleh kerana pandangan kita tidak diendah, Anak umumkan isytihar perang ke atas mereka dan akan akan adakan kempen radikal selama tiga minggu ini," katanya.

Mazlan juga yakin himpunan itu akan mendapat sambutan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada pelbagai NGO dan orang perseorangan yang tidak berpuas hati dengan penyenaraian FGVH.

"Saya yakin Anak mampu himpunkan jumlah yang besar kerana sebelum ini ramai yang dah hubungi saya tanya samaada Anak merancang himpunan atau tidak dan saya rasa inilah masanya," katanya sambil manambah lokasi dan tarikh perhimpunan tersebut akan diumumkan minggu hadapan.

Tiada ulasan: