Selasa, 12 Jun 2012

BILA ANGGAP KERAJAAN MILIKNYA...BILA ANGGAP WANG DARI POKETNYA...SEDANGKAN IA DIPILIH...MAKA SUDAH TENTU WAKIL YANG BUKAN DARI PARTINYA BERHAK JUGA DAPAT...TAPI KENAPA DINAFI...DALAM ISLAM PERKARA NI TAK DIBENARKAN OLEH ALLAH SWT..

Tolak usul jual rahsia: Pandikar Amin ditekan

Muhammad Faizal, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Jingga 13 menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia apabila  menolak usul tergempar yang meminta penjelasan Kementerian Pertahanan menjawab pendedahan penjualan dokumen sulit rahsia kepada syarikat pertahanan Perancis.

Tindakan Pandikar Amin ini turut menunjukkan bahawa beliau berada di bawah telunjuk Umno bagi melindungi pengkhianat negara.

Jelas Ketua Koordinatornya, Fariz Musa, alasan Pandikar Amin menolak usul tersebut kerana tidak mempunyai bukti dan hanya andaian semata-mata merupakan satu kenyataan yang dangkal dan tidak berasas.

"Sedangkan Peguam Joseph Breham yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendedahkan syarikat tersebut membayar 36 juta euro (RM142 juta) kepada Terasasi (Hong Kong) Ltd kononnya untuk kerja-kerja kejuruteraan komersial tetapi sebenarnya telah menjual maklumat keselamatan negara kepada syarikat Pertahanan Perancis," jelasnya.

Tambahnya, Razak Baginda benar-benar kebal daripada sebarang tindakan , bukan sahaja usul tersebut ditolak sementah-mentahnya tetapi dakwaan serius berkaitan satu pengkhianatan kepada negera apabila membocor dan menjual maklumat kerahsiaan negara sedikit pun tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Sikap berdiam diri pihak ATM dan PDRM benar-benar menghairankan seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan daripada rakyat berkaitan Skandak Scorpene yang benar-benar mengaibkan negara.

"Tetapi tindakan berbeda terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat yang dilihat dwi-standard apabila wujud fitnah dan tuduhan oleh  pihak-pihak tertentu diambil tindakan drastik dan segera oleh pihak PDRM,SPRM dan sebagainya," jelas beliau lagi.

Menurut Fariz lagi, kes yang sudah ditutup 17 tahun dulu juga dibongkarkan semula supaya menimbulkan persepsi negatif kepada pimpinan PKR dan Pakatan Rakyat.

"Lagak Pandikar Amin benar-benar bertujuan menyelamatkan Datuk Seri Najib Razak,  ketika itu sebagai Menteri Pertahanan yang turut terpalit dengan skandal pembelian 2 buah kapal selam serta pembocoran dan penjualan dokumen rahsia negara oleh Razak Baginda dan bapanya yang merupakan rakan akrab kepada Najib.

"Rakyat ingin mengetahui siapakah yang telah memberikan keizinan atau membenarkan Razak Baginda memperolehi dokumen rahsia keselamatan negara tersebut?

"Skandal Scorpene adalah isu yang benar-benar memalu dan menjatuhkan maruah negara," tegasnya.

Jingga 13 mencabar agar Tan Sri Pendekar Amin meletak jawatan dengan segera kerana beliau tidak punya integriti dan kreadibiliti sebagai Speaker Dewan Rakyat yang bersekongkol dengan pengkhianat negara.

Ibu: Takziah buat Jamil Khir

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) mengucapkan takziah kepada Datuk Seri Jamil Khir Baharom kerana telah kehilangan ibunya yang meninggal dunia pada pagi tadi.

DPPWP dimaklumkan bahawa Allahyarhamah Hasiah@Halijah AHmad telah meninggal dunia selepas Subuh tadi akibat sakit tua, kata Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

DPPWP mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama golongan para solihin.

"Semoga Datuk Seri Jamil Khir tabah sentiasa di atas kehilangan seorang ibu yang amat disayangi," kata Kamaruzaman.

Ibu Jamil Khir, Hasiah@Halijah Ahmad, 71, meninggal dunia akibat sakit tua di kediaman menteri itu di ibu negara, pagi ini.

Setiausaha akhbar Jamil Khir, Mejar Suleiman Moideen, berkata jenazah Hasiah yang meninggal dunia selepas Subuh tadi kini ditempatkan di rumah Jamil Khir di No 8, Jalan 5-12 C, Kg Batu Muda, Batu 4 1/2 Jalan Ipoh.

Jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Saidina Hamzah dan dikebumikan di tanah perkuburan Raudahtul Sakinah, Kg Batu Muda, kata Suleiman ketika dihubungi hari ini.

Allahyarhamah meninggalkan tiga orang anak. Jamil Khir adalah anak sulung beliau.

Pemuda tawar Puad Zarkashi sertai PAS semula

Harakahdaily, 12 Jun 2012
JOHOR BAHRU: Pemuda PAS Johor menyifatkan Dr Puad Zarkashi menyindir Umno Johor apabila berkata PAS Johor rugi besar kerana perpecahan dalam DAP.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, perpecahan Umno Johor terlalu ketara dan Puad perlu fikir kembali dan sewajarnya meninggalkan parti itu dan menyertai semula PAS yang pernah disertainya sebelum  ini.

"PAS Johor tidak menjadi pilihan rakyat Johor semasa Dr Puad Zarkashi berada dalam PAS dahulu. Sekarang PAS Johor sudah jauh berubah.

"Saya kira sudah sampai masanya Dr Puad Zarkashi bersama pimpinan PAS Johor dan PR menubuhkan kerajaan yang jauh lebih bersih dan berkemampuan memerintah Johor selepas pilihanraya ke-13," kata Suhaizan dalam satu kenyataan medianya har ini.

Puad, ahli Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini mendakwa PAS Johor rugi kerana DAP sedang berpecah di negeri itu.

Bagi Suhaizan, ia hanya kenyataan sindiran kepada Umno yang rata-rata berpecah di negeri itu.

Pemuda PAS Johor berpandangan bahawa Dr Puad Zarkashi sedang memukul anak untuk sindir menantu, kata Suhaizan.

Perpecahan yang serius bukan berlaku dalam parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebaliknya berlaku dalam kepimpinan UMNO di Johor sendiri.

Dr Puad Zarkashi kononnya memukul PAS dan DAP tetapi hakikat sebenarnya sedang memukul UMNO Johor, dakwa beliau.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS itu, pepecahan dalam UMNO  Johor berlaku di semua peringkat daripada sayap-sayap, cawangan, bahagian dan negeri.

Pemuda UMNO Johor kelihatan tidak bermaya untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13, katanya.

Ketua Pemuda UMNO Johor Baharu dan Tebrau lebih menampil dibandingkan dengan Ketua Pemuda UMNO Johor. Perkara ini berlaku akibat daripada masalah dalaman Pemuda UMNO Johor sendiri.

UMNO Johor sudah 6 tahun tidak mengadakan konvensyennya, tambah beliau.

Kali terakhir konvensyen di adakan adalah pada 5 November 2006. Pada kovensyen tersebut Dr Puad Zarkashi (gambar) dengan lantang membantah Pembelajaran dan Pengajaran Sains Dan Mathematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI).

Mengikut sumber dalaman, UMNO Johor tidak lagi membuat konvenysen adalah kerana Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman tidak dapat menjawab pelbagai masalah yang berlaku di Negeri Johor khusunya yang berlaku diperingkat bahagian-bahagian UMNO Johor.

Perpecahan UMNO di peringkat bahagian tertentu sangat serius sehingga sukar untuk kepimpinan UMNO meletakkan calon dalam pilihanraya umum akan datang, tambah beliau.

Sebagai contoh pertembungan klasik, yang semua orang UMNO mengetahuinya, berlaku dalam UMNO Bahagian Pulai di antara Ketua Bahagian UMNO Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Adun Kempas Datuk Osman Sapian.
"Pertembungan ini sangat serius sehingga menyukarkan UMNO meletakkan calon Parlimen Pulai dan DUN Kempas," dakwa Suhaizan.

Menurutnya, calon Menteri Besar Johor daripada Barisan Nasional (BN) juga menghadapi masalah.

Datuk Abdul Ghani besar kemungkinan tidak akan menjadi Menteri Besar Johor selepas pilihanraya umum akan datang.

Ini kerana UMNO Johor perlukan penyegaran dengan kempimpinan yang baru.

Kekosongan ini telah menyebabkan berlakunya lobi melobi antara bakal calon-calon Menteri Besar Johor.
Proses lobi melobi ini telah menyebabkan perpecahan UMNO Johor.
"Berita ini kebanyakkan rakyat Johor memahaminya," dakwa beliau.

Kesan kepada perpecahan UMNO Johor ini, dakwa beliau, telah menyebabkan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Ghani terpaksa membuat lawatan disetiap bahagian UMNO di Johor lebih daripada sekali untuk membuat persiapan pilihanraya umum akan datang.

Presiden UMNO dan Timbalannya kerap membuat lawatan ke Johor sehingga lebih tiga kali dalam tempoh satu bulan.

Lawatan-lawatan politik seumpama ini tidak pernah berlaku pada pilihanraya umum sebelum ini di negeri Johor.

"Salah satu punca kenapa Datuk Seri Mohd Najib Razak  masih belum membubarkan parlimen adalah berpunca daripada ketidakyakinan Presiden UMNO mengekalkan kemenangan di Johor seperti sebelum ini," katanya.

Terdapat sembilan kerusi parlimen BN yang panas di Johor. Semakin hari semangkin banyak bilangan parlimen yang panas kepada BN di Johor.

Walaubagaimana pun, kata Suhaizan, keperihatinan Dr Puad Zarkashi terhadap PAS yang mahu menubuhkan kerajaan bersama PR di Johor adalah sesuatu yang membanggakan.

Ini memberi gambaran bahawa dalam hati Dr Puad Zarkashi sudah ada sinar cahaya PAS, sebuah parti yang pernah dianggotainya suatu masa dahulu.

'Dari Parlimen' hanya berbicara dengan wakil BN

Syed Abdulllah Jamalullail,
Program 'Dari Parlimen' yang disiarkan selama setengah jam secara langsung oleh TV1 pada jam 10.00 pagi apabila adanya persidangan Parlimen bukan sahaja masa yang diperuntukkan itu terlalu singkat tetapi diperhatikan banyak kepada 'berbicara' dengan Ahli Yang  Berhormat dari Barisan Nasional sahaja dalam bilik khas RTM di Parlimen tetapi hanya 5 minit sahaja disiarkan secara langsung terus dari perbahasan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat itu sendiri.

Diharap pihak RTM lebih perihatin lagi untuk memberikan kepuasan kepada para penonton agar tidak merasa bosan dengan cara pengendalian acara siaran langsung dari Parlimen itu hanya menumpukan kepada berbicara sesama sendiri. Berilah lebih masa siaran langsung di dalam dewan daripada hanya lebih kepada berbincang yang sudah pun banyak diadakan programnya dalam mana-mana TV kita.

Kalau hendak diadakan apa-apa juga program terutama sekali berkaitan dengan rakyat hendaklah telus dan ikhlas supaya mesej itu sendiri dapat disampaikan terus kepada rakyat.

Lagi pun rakyat hendak melihat sejauh mana wakil-wakil rakyat mereka mampu memberikan atau membahaskan sesuatu isu negara itu sama ada bijak ataupun sebaliknya dan di samping itu boleh memerhatikan siapa yang selalu ponteng persidangan dewan yang mulia itu.

Lihat perbezaan di antara Kerajaan PAS vs BN

http://batuvskayu.blogspot.com, 12 Jun 2012

Apa yang membezakan ketiga-tiga gambar  di atas..?
Jelas menunjukkan sikap riak dan menunjuk-nunjuk parti Barisan Nasional seolah olah semua projek datang dari duit parti dan mak bapak mereka ....mereka lupa bahawa semua projek yang dijalankan oleh kerajaan adalah dari dana orang awam dan pembayar cukai...
Lihatlah projek Kerajaan  Kelantan ,ada pernah  Tuan Tuan dan Dato Dato sekalian melihat akan papan tanda projek yang diletakan  seperti ini "SATU LAGI PROJEK KERAJAAN PAS"? sudah tentu tiada...
Ini menunjukan perbezaan ketara di antara kedua dua parti di antara Pas dengan Bn..
Kerajaan Bn seolah mahu  memperbodohkan  orang ramai dan rakyat sekalian, tetapi mereka lupa bahawa pemikiran rakyat telah terbuka dan pandai menbezakan di antara yang hak dan yang batil.
Macam sial Bn...harap kita kasi ubah dah lama dah.............

Pemberian kepada T’ganu, royalti atau wang ehsan

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Kewangan menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
“Adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan,” demikian pertanyaan bagi jawab lisan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.

Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan statistik kecenderungan remaja khasnya dan rakyat Malaysia amnya yang mungkin boleh diukur daripada lawatan mereka ke Pusat Sains Negara, Pusat Remote Sensing Negara, Agensi Angkasa Negara dan Agensi Nuklear Malaysia atau program anjuran Kementerian sempena promosi Tahun
Sains, Gerakan dan Inovasi.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah seseorang pegawai awam berpangkat JUSA "C" atau Gred Khas "C" ke atas dibiarkan "terapung" (float) di perjawatan "JPA Pool" kerana masih tidak disahkan penempatannnya di mana-mana jabatan yang bersesuaian.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah pengundi pos yang berdaftar setakat bulan Jun 2012 di seluruh negara. Bagaimanakah mekanisme yang dibuat SPR atau Kerajaan untuk membuat pengasingan antara anggota tentera dan anggota polis yang telah berdaftar sebagai pengundi pos terdahulu dan sekarang perlu mengundi secara
pengundian awal.

Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah permohonan dan jumlah biasiswa yang ditawarkan di bawah Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi tempoh sepuluh tahun terakhir (2002-2011) dan apakah Kerajaan berhasrat menambah lagi jumlah peruntukan tersebut supaya lebih ramai yang boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan sejauh manakah penyelesaian berkaitan caj pembangunan yang dikenakan oleh Kerajaan Singapura bagi kawasan tanah yang diterima oleh Perdana Menteri di Marina South dan di Ophir/Rochor berikutan pertukaran tanah Keretapi Tanah
Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga lagi di Bukit Timah.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sumber kewangan untuk membiayai bayaran 'durian runtuh' sebanyak RM1.68 bilion kepada peneroka Felda. Apakah asas atau formula yang digunakan untuk menentukan jumlah RM15,000 kepada peneroka, isteri dan anak peneroka. Bagaimanakah dan bilakah pembayaran tersebut dapat diselesaikan.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah SPAD telah mengeluarkan kebenaran atau permit bagi van-van pelancong asing daripada Thailand untuk beroperasi mengangkut pelancong di dalam kawasan Malaysia.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk mengatasi masalah kos import daging setelah NFC gagal.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan.

Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berapakah jumlah pelatih yang meninggal dunia dan mengalami kecacatan kekal semasa dalam tempoh latihan mereka. Berapakah pula jumlah pampasan yang telah pihak Kerajaan keluarkan.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan berapakah penduduk luar bandar yang masih tidak mendapat kemudahan infrastruktur asas berbanding dengan keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.

DatukTaib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik kes penyeludupan pendatang asing bagi tahun 2010 dan 2011. Kenapakah statistik meningkat begitu ketara daripada tahun 2010 ke 2011 dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasinya.

Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai semua ajaran sesat yang wujud di negara ini khususnya di Terengganu serta jumlah siasatan dan pendakwaan yang telah dilakukan.

Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan perkembangan terkini cadangan penswastaan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah Akta Pilihanraya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 akan dipinda sebelum PRU 13 nanti.

Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kemampuan server Kementerian bagi ujian PSELT amat perlahan dan kadangkala berlaku “server breakdown” terlalu lama, guru terpaksa mengakses laman web ini. Tempoh yang diberi juga terhad (7 hingga 10 minit sekali) menyebabkan ramai guru gagal melaksanakan program ini. Apakah komen Menteri.

Gelagat Umno sebelum turun takhta

Ahmad Lutfi Othman, 12 Jun 2012
Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.

Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah. Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.

Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.

Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak.

Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa  rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda.

Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.

Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.

Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.

Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?).

Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan  kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar.


Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy  Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.

Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka.

Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman,  malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar?

Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno.

Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata!

Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu.

Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno.

Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang,  Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled  baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.  Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."

Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi.

Ketegangan Rohingya: Mapim gesa usul khas Parlimen

Harakahdaily, 12 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengesa agar Parlimen yang mulai bersidang semalam mengusulkan isu pelarian Rohingya dan insiden ketegangan sektarian yang sedang berlaku di Myanmar sejak beberapa hari yang lalu.
(Antara mangsa keganasan)

"Kami mengesa isu ini diambil perhatian berat kerana sejak 3 Jun 2012 yang lalu wilayah Arakan di Myanmar bergolak apabila pihak polis bersama etnik Rakhine bergabung menyerang komuniti Rohingya menyebabkan ratusan yang terbunuh," kata Mohd Azmi Abdul Hamid, Setiausaha Agong MAPIM

Insiden pembakaran beberapa kampung orang Islam Rohingya dan masjid dilaporkan berlaku dan pihak keselamatan bersekongkol dengan kaum Rakhine Buddha dalam melakukan pembunuhan serta pembakaran perkampungan Rohingya di seluruh wilayah Arakan.

Sehingga kenyataan ini ditulis, sudah 7 buah kampung orang Islam dibakar, sebuah masjid tertua dan sebuah Madrasah yang mempunyai 1400 orang pelajar turut dibakar.

Malangnya berita lengkap tidak dapat disiarkan akibat seluruh komunikasi di sekat oleh pihak keselamatan.
"Kami hanya mendapat maklumat dari pelarian Rohingya di Malaysia yang cuba berhubung dengan keluarga mereka di Arakan," kata Azmi dalam kenyataannya itu.


(Asap tebal kelihatan apabila rumah dibakar dalam keganasan)

Mereka berpendapat jika keadaan ini berterusan , pergolakan di Myanmar akan merebak dan Myanmar akan menambah satu lagi negara yang dicemari oleh pertumpahan darah dirantau ini dan bakal mencetuskan ketidakstabilan serantau.

Umat Islam yang nampaknya menjadi mangsa sepanjang masa kepada kempen yang berbaur rasis dan sektarian ini perlu segera dibendung kerana perasaan marah dan emosional masyarakat Islam boleh meledak dan tindakan yang tidak  diingini boleh tercetus di rantau ini, kata beliau bimbang.

Ini tidak mustahil kerana umat Islam yang dizalimi oleh regim tentera Junta Burma sejak 1942 , oleh pemerintahan Siam ke atas umat Islam di Patani sejak 1902 dan  ke atas umat Islam Bangsa Moro oleh penjajah Sepanyol, Amerika dan Manila sejak 1521 adalah pengelaman pahit yang dideritai sehingga hari ini, tambah beliau.

"Umat Islam mempunyai kesabaran pada tahap dibenarkan dan jika terus diasak mereka berhak untuk mempertahankan diri dan harta mereka seperti yang berlaku di banyak negara lain," katanya.
"Kerana itu jika tiga negara ini tidak menunjukkan sikap terbuka dan mengiktiraf serta menghormati hak umat Islam  minoriti di negara masing-masing, beliau percaya rantau ini akan bergolak terus antara umat Muslimin dengan penganut agama lain," katanya.

(Salah seorang mangsa keganasan)


Oleh itu, beliau mengesa supaya Ahli Parlimen Malaysia mengguna  Persidangan kali ini supaya mengangkat isu kezaliman ke atas Umat Islam Rohingya yang sedang diberlaku beberapa hari yang
lalu di Myanmar.

Malaysia tidak boleh mendiamkan diri apalagi Negara ini menampung lebih 40,000 pelarian Rohingya yang tidak boleh pulang ke Myanmar akibat kezaliman tentera dan polis Myanmar, katanya.

Dengan mengenepikan isu Rohingya yang di sebut oleh PBB sebagai antara kaum paling tertindas di dunia, akan menjadikan Malaysia sebagai anggota negara OIC yang tidak bertanggungjawab ke atas Umat Islam di Negara lain, tegasnya.

Tiada ulasan: