Sabtu, 9 Jun 2012

APA NAK PANIK2 PASAL HAL DUNIA...JIKA DITAKDIR MENANG...MENANGLAH...DAN SEBALIKNYA...YANG PATUT PANIK CARA KITA MEMERINTAH...MEMERINTAH CARA BETUL@HAQ ...IKUT QURAN HADIS SELAMAT...IKUT CARA SENDIRI..SERTA CARA SYAITAN...NERAKA MASUKLAH....TAKUT BUKAN NEGERI MAJU...YANG MAJU KRONI2 ...SAUDARA-MARA....ANAK BERANAK YANG MAJU...HIDUP KAYA RAYA....MEWAH SAKAN...SANGGUP MEREKA DUDUK DIRUMAH2 TERES ATAU FLAT...BUKANNYA BANGLO ATAU VILLA JUGA ISTANA....KERETA WIRA ATAU WAJA BURUK....JANGAN AUTALAH...RAKYAT ADA MATA...ADA OTAK BOLEH FIKIR....

Isu beku PTPTN: Kerajaan BN mulai panik - MB

Aslani M, 09 Jun 2012
KETEREH: Kesediaan kerajaan Selangor mencari dana bagi membantu pelajar Unisel dan KUIS membuatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti kelam kabut apabila membuka semula pinjaman PTPTN yang dibeku baru-baru ini.

Sedangkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin dalam kenyataannya sebelum ini mengakui kerajaan membeku pinjaman kepada pelajar Unisel, dianggap ramai sebagai tindak balas ekoran kesungguhan Pakatan Rakyat mahu menghapuskan PTPTN.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ekoran masalah yang dihadapi pelajar Unisel menyebabkan kerajaan negeri mencari sumber kewangan lain bagi membantu mereka.

“Hasil daripada pelbagai usaha kita sudah ada duit sebanyak RM30 juta bagi membantu pelajar selepas dinafikan hak mendapat pinjaman di bawah PTPTN.

“Kerajaan BN ugut dengan menarik balik pinjaman yang diberi kepada pelajar. Mereka ingat kita tidak pandai kira untuk mencari duit.

“Akhirnya selepas kita sudah ada RM30 juta, tiba-tiba malam tadi PTPTN mengumumkan membuka semula pinjaman kepada pelajar Unisel,” katanya pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam malam tadi.

Pada tempat berlangsung ceramah penuh sesak biar pun pada sebelah petang hujan lebat.  Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategik, Rafizi Ramli, Ketua Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Abdul Aziz Kadir dan Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh.

Isu PTPTN menjadi hangat apabila Pakatan dalam Buku Jingga menawarkan memberi pendidikan percuma kepada rakyat, dengan mengembalikan semula biasiswa yang ditukar menjadi pinjaman di bawah kerajaan BN sekarang.

Anwar pula memberitahu sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, langkah pertama akan diambil mengisytihar memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, kerajaan hanya memerlukan sekitar RM5 bilion bagi memberi pendidikan percuma dan  bantuan kepada pelajar setiap tahun.

“Setiap tahun kerajaan mendapat hasil daripada royalty petroleum sebanyak RM80 bilion, dan hanya RM5 bilion digunakan bagi tujuan pendidikan percuma.

“Kita masih lagi ada RM75  bilion, bagaimanapun pula ada pihak menganggap negara boleh bankrap dengan menyediakan pendidikan percuma. Saya pun tidak faham kaedah matematik yang mereka gunakan,” ujarnya.
'Jangan ingat saya lembab', kata Anwar
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
9 Jun 2012
'Jangan ingat saya lembab', kata Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim
KOTA BHARU - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau bukan seorang yang "lembab", kononnya sanggup tidak menjaga kepentingan orang Melayu, selaku kaum majoriti, termasuk  melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada DAP jika menguasai Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Pembangkang ini berkata, Pakatan Rakyat (PR) khususnya DAP juga memahami Melayu merupakan majoriti rakyat negara ini dan tidak mempertikaikan sebarang kelebihan yang diperuntukkan.

Perkara itu juga pernah ditekankan oleh DAP sebelum ini iaitu orang Melayu akan menyandang jawatan Perdana Menteri.

"Ada orang kata saya akan pegang jawatan PM selama tiga bulan sahaja sebelum serah kepada (Pengerusi DAP Kebangsaan) Karpal (Singh), saya bukan seorang begitu lembab.

"Sekiranya memerintah apa yang ada kini termasuk Bahasa Melayu akan diperkukuhkan lagi," kata Ketua Umum PR ini ketika berucap pada Ceramah Perdana di Padang Malis Daerah Machang di sini malam tadi.

Pada ceramah yang dihadiri lebih 5,000 penyokong itu, Anwar berkata, Sabah akan memberi kejutan terbesar dalam PRU-13 dengan peningkatan sokongan yang kepada PR.
Dalam satu ceramah di Johor beberapa hari lalu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau tidak menolak kemungkinan Anwar bakal dipilih sebagai Perdana Menteri sekiranya PR berjaya mentadbir negara.

Bagaimanapun katanya, Ketua Umum PKR itu hanya akan menjadi Perdana Menteri buat seketika berikutan DAP tetap mahu jawatan berkenaan disandang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurutnya, hakikat itu berdasarkan kenyataan Karpal yang menegaskan akan terus berjuang untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri selagi beliau masih hidup.

“Kita semua tahu Anwar akan menjadi Perdana Menteri jika PR berjaya menguasai Putrajaya, tetapi ia hanya untuk seketika dan sebagai taktik sahaja kerana Karpal sudah kata sampai mati akan perjuangkan Perdana Menteri dipegang oleh orang bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

“Karpal juga menyebut nama Lim Guan Eng sebagai Perdana Menteri dan dia (Guan Eng) boleh menjawat jawatan tersebut kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan menghalangnya jadi Perdana Menteri,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat tidak halang bubar Parlimen

9 Jun 2012
Sidang Dewan Rakyat tidak halang bubar Parlimen
Menjelang PRU 13
KUALA LUMPUR - Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa termasuk ketika persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum diadakan, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan, undang-undang atau Peraturan Urusan Mesyuarat Parlimen yang menghalang Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.

Malah, katanya, pembentangan Belanjawan 2013 yang dijadual pada 28 Sept ini bukan indikasi penting bagi pembubaran Parlimen kerana Perdana Menteri boleh membuat pengumuman itu sebelum atau selepas pembentangan itu, sekiranya beliau mendapat 'ilham'.

"Cuma kesannya pada rang undang-undang, contohnya jika rang undang-undang belanjawan telah dibentang dan sesi perbahasannya masih belum selesai apabila pembubaran Dewan Rakyat diumumkan, perbahasan rang undang-undang itu terpaksa ditangguhkan.

"Tetapi rang undang-undang tidak akan pupus, ia masih sah dan boleh diteruskan perbahasannya pada sidang mesyuarat selepas pilihan raya kelak, tanpa perlu dibentang semula" katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama bagi mengulas mengenai prosedur Dewan Rakyat sekiranya pembubaran Parlimen diumumkan ketika sesi mesyuarat sedang berjalan.

Prosedur itu, menurut Wan Junaidi terpakai kepada semua rang undang-undang yang belum diluluskan semasa pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, dalam situasi kerajaan bertukar, kerajaan atau menteri kewangan baharu berhak membentangkan semula belanjawan mereka menurut idea sendiri mengenai apa yang hendak dibelanjakan, kata Wan Junaidi.

Persidangan Dewan Rakyat akan kembali bersidang bermula Isnin ini dan dijadual berlangsung selama 12 hari.

Persidangan seterusnya dijadual dari 24 Sept hingga 27 Nov, dengan tumpuan utama kepada perbentangan Belanjawan 2013 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan 'demam pilihan raya' yang semakin hangat, sudah timbul spekulasi bahawa Najib akan mengumumkan pembubaran Parlimen ketika Dewan Rakyat kali ini masih dalam sesi.

Sejarah seumpamanya pernah dilakar bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan pembubaran Parlimen ketika Dewan Rakyat bersidang bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.

Dalam pada itu, berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada 11 Jun, sebanyak empat rang undang-undang telah disenarai untuk dibentangkan bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-undang Pelindung (Pindaan) 2012 yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2012 (Jabatan Perdana Menteri), Rang Undang-undang Perubatan (Pindaan) 2012 (Kementerian Kesihatan) dan Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 (Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar). - Bernama
Calon PRU13: Umno kemuka 5+15
MOHD IDROS MOHD ALI
8 Jun 2012
Sidang Dewan Rakyat tidak halang bubar Parlimen
Menjelang PRU 13
GEORGETOWN - Mungkin ada kejutan dan mungkin tiada!. Walaupun sudah ada senarai calon, ia masih menjadi rahsia kerana belum mendapat kata putus daripada pucuk pimpinan parti.
Lima calon parlimen dan 15 calon Dewan Undangan Negeri (Dun) yang akan mewakili Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sudah dihantar kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, senarai yang dikemukakan itu adalah calon yang boleh menang kerana mereka disenangi dan dipercayai oleh ahli Umno dan juga orang ramai.
Beliau berkata, ia merangkumi muka lama dan baru yang mampu melakar kejayaan cemerlang dan memberi saingan sengit kepada pembangkang dalam pilihan raya kelak.
"Ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dicadangkan bertanding untuk kerusi parlimen kerana kewibawaan dan ketokohannya.
"Macam-macam kaedah yang kita gunakan. Ada kerusi yang kita hantar satu nama sahaja kerana ia adalah pilihan terbaik. Ada dua nama apabila kita masih fikir mana calon yang paling sesuai sama ada orang lama atau orang baru," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, bagi sesetengah kerusi, tiga nama dikemukakan apabila ada cadangan untuk mengenengahkan calon baru dan dalam masa sama, wakil rakyat sedia ada menyatakan hasrat tidak mahu bertanding semula.
"Dalam hal ini, Umno Pulau Pinang menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti menentukannya. Jika mereka merasakan wakil rakyat sedia ada masih mampu memikul tugas dengan prestasi cemerlang sebelum ini, calon itu mungkin dikekalkan kerana masih menjadi pilihan utama pengundi di kawasan berkenaan," katanya.
Zainal Abidin yang juga Ketua Umno Bahagian Nibong Tebal berkata, penilaian senarai calon itu adalah bersesuaian dengan keadaan semasa.
"Apa yang penting ialah ahli Umno perlu akur dengan pilihan yang ditentukan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.
Bekas Presiden MTUC antara 5 dilantik senator

8 Jun 2012
Bekas Presiden MTUC antara 5 dilantik senator
Yang Dipertua Dewan Negara beramah mesra dengan Ahli Dewan Negara
yang baru dilantik di Bangunan Parlimen di sini, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Ketua Wanita MCA Pahang Datuk Lim Nget Yoon, 56, merupakan antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di bangunan Parlimen hari ini.

Kelima-lima mereka dilantik sebagai Senator buat kali pertama untuk penggal tiga tahun.

Empat lagi yang dilantik ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Marang Toh Puan Zaitun Mat Amin, 55, Ketua Wanita Umno Bahagian Bentong Roslin Abdul Rahman, 52, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan & Sekutu, Syed Shahir Syed Mohamud, 60, dan Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ariffin S.M. Omar, 62.

Pelantikan Dr Ariffin dan Syed Shahir diusulkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menggantikan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dan Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff yang tamat perkhidmatan pada 30 Mei lepas.

Syed Shahir ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau dan rakan lain akan meneruskan usaha mengangkat isu berkaitan pekerja di negara ini.


Syed Shahir, berasal dari Raub, Pahang dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA) dari University of Newcastle merupakan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kelana Jaya dan dilantik berdasarkan pengalamannya yang menjadi aktivis dalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sejak tahun 1977.

Zaitun pula berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai senator dan berjanji akan lebih aktif dalam menyuarakan pendapat wanita di Dewan Negara.

"Tugas sebagai Senator ini bukan satu tugas remeh kerana kita telah dipertanggungjawabkan untuk membela nasib rakyat...saya akan berusaha ke arah itu terutama dalam memastikan kepentingan kaum wanita di negara ini terpelihara," katanya yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Wanita 2005. 

Dalam ucapannya pada majlis itu, Abu Zahar mengingatkan Anggota Dewan Negara supaya berusaha memahami, menghayati, mempertahankan dan mendukung Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menasihati mereka supaya tidak sesekali melanggar dan mengingkari sumpah setia yang telah dilafazkan kerana ia amat penting untuk dipraktikkan demi kepentingan rakyat. - Bernama
Manifesto-RTM: Bukti kerajaan terbuka, kata Muhyiddin

7 Jun 2012
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR -  Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada parti-parti politik membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya garis panduan mengenai perkara itu, termasuk masa siaran dan tajuk manifesto pembangkang, akan diperincikan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saranan yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya ini kita sambut baik...maknanya kerajaan BN bersikap telus, terbuka dan tidak bimbang untuk memberi peluang kepada mereka (parti pembangkang) untuk keluar dalam media rasmi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan penduduk Gombak di Sekolah Menengnah Kebangsaan Taman Melawati, Hulu Kelang dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas reaksi beberapa pemimpin pembangkang yang mendesak agar peluang sama rata diberikan kepada mereka daripada segi masa siaran untuk memperjelaskan mengenai manifesto pilihan raya di RTM.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata parti-parti politik kini dibenarkan membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi RTM setelah kertas Kabinet mengenainya diluluskan Jemaah Menteri.

Rais hari ini menjelaskan butiran terperinci mengenai peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi setiap parti politik yang ingin berbuat demikian akan dikeluarkan selepas pembubaran Parlimen.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk G.Palanivel berkata langkah itu tepat pada masanya kerana ia akan membolehkan parti-parti politik menyuarakan pendapat mereka secara bebas lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan  datang.

"Ini juga merupakan satu peluang kepada MIC untuk membentangkan manifesto kami kepada masyarakat India," katanya.

Menyuarakan pendapat serupa, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas berkata penyiaran manifesto akan membolehkan parti-parti politik untuk mendekati audien mereka.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berpendapat mempromosikan manifesto akan membolehkan penonton membuat penilaian dan memutuskan parti mana yang mereka mahu undi, khususnya di kalangan atas pagar. 

"Manifesto mencerminkan dasar dan pencapaian sesebuah parti. Pengundi akan mendapat lebih banyak maklumat daripada liputan ini dan dapat lebih mengenali parti-parti sebelum memutuskan siapa yang mereka akan undi.

Janji-janji kosong juga boleh dinilai menerusi liputan itu sekiranya terdapat parti-parti yang cenderung untuk menjadi lebih populis daripada berdepan realiti," katanya. - Bernama
Muhyiddin: Selangor boleh lebih maju di bawah BN

7 Jun 2012
KUALA SELANGOR - Selangor boleh lebih maju jika Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dibawa BN adalah jauh lebih baik berbanding Parti Keadilan Rakyat yang menerajui Selangor sejak tiga tahun lepas.
"Ini janji kita. Banyak faedah daripada kerajaan Barisan Nasional," katanya semasa berucap pada Majlis Mesra Rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa di Jeram, dekat sini.
Beliau berkata Selangor menjadi antara negeri termaju di Malaysia hasil daripada usaha kerajaan dan para pemimpin BN yang menerajuinya sebelum ini.
"Walaupun banyak khazanah kekayaan di atas dan di bawah muka bumi, ia tidak mungkin boleh dibuka dan dimaju, dibangunkan kalau tiada keupayaan daripada segi kepimpinan.
Kepimpinan itu lahir daripada kebijaksanaan, pengetahuan, ilmu dan  kemahiran yang ada," katanya.
Bagi menentukan hala tuju negeri ini amnya dan Malaysia khususnya, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata rakyat memerlukan kepimpinan yang bijaksana untuk membimbing dan membina kekuatan ke arah menjadikan negara ini lebih maju, dihormati dan disegani di dunia.
Beliau berkata menerusi Program Transformasi Kerajaan, BN berusaha meningkatkan peluang rakyat mengecapi pendidikan berkualiti, membangunkan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta mengurangkan beban rakyat dengan memberikan bantuan kewangan dan subsidi barangan.

Selain itu, katanya kerajaan juga mengotakan janjinya mengawal harga petrol dengan menurunkan harga RON97 kepada RM2.80 seliter hari ini berbanding RM2.90 sebelum ini.

Justeru, katanya rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan yang jauh lebih baik di negara yang aman dan stabil berbanding negara jiran.
Menurutnya kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha memperkukuhkan lagi ekonomi negara walaupun banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kini berdepan masalah ekonomi.
"Ini bermakna dalam situasi yang begitu mencabar, BN berupaya mempertahankan kedaulatan ekonomi kita, bukan setakat itu kita menunaikan tanggungjawab kita, menepati janji kita," katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan RM200,000 yang dipohon Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa itu, yang dibina pada 1909 ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Beliau turut memuji usaha pihak sekolah itu yang sentiasa berusaha memartabatkan anak bangsa dalam bidang pendidikan. - Bernama
Manifesto di RTM: 'Saya lebih daripada setuju'
MALIZAI MAZLAN
7 Jun 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas menyambut baik keterbukaan kerajaan membenarkan parti pembangkang menyiarkan manifesto parti masing-masing di stesen televisyen tempatan termasuk RTM semasa tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kebebasan tersebut memberi peluang kepada setiap parti di negara ini untuk menyuarakan pandangan menerusi manifesto di media sepanjang tempoh berkempen PRU13.
Menurutnya, sewajarnya kebebasan tersebut dapat dinikmati sejak dari dahulu lagi untuk membenarkan parti-parti pembangkang menyatakan hasrat yang diperjuangkan sejajar dengan Malaysia sebagai negara demokrasi.
“Saya merasakan ruang tersebut diberikan kerana selama ini kerajaan banyak menerima pelbagai desakan daripada pembangkang. Saya lebih daripada setuju dengan kebebasan itu,” katanya kepada media semalam.
Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Usaha sama antara Majlis Daerah Gua Musang dengan Syarikat True Impression Sdn Bhd di sebuah hotel di sini, hari ini.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut mempersoalkan kenapa dalam tempoh sekarang kerajaan memberikan akses tersebut, bagaimanapun beliau sangat bersetuju dengan tindakan berkenaan biarpun ditetapkan had waktu siarannya.
Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Dr Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai dalam satu mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini dan itu juga diputuskan berikutan penubuhan jawatankuasa khas berhubung perkara itu di Dewan Rakyat.
Sebelum ini, akses media yang bebas dan adil adalah salah satu daripada lapan tuntutan menerusi Bersih 3.0 pada 28 April lalu untuk memperjuangkan hak mendapatkan liputan mahupun penyebaran maklumat pada PRU13 nanti.
Projek di Bandar Lama Gua Musang itu membabitkan pelaburan kira-kira RM20 juta melibatkan pembinaan unit kedai, pejabat, rumah berkembar dan banglo yang dijangka siap dalam masa 18 bulan dan semalam pihak pemaju turut memberi wang pendahuluan sebanyak RM1 juta.
Hadir sama pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah True Impression Sdn Bhd, Ir Rusnipa Wahi dan Ketua Jajahan Gua Musang, Mat Jusoh Husin.

Tiada ulasan: