Isnin, 8 Ogos 2011

SEPATUTNYA KITA ADA RASA MALU...MALU BERMAKNA KITA ADA MARUAH DIRI...JIKA ASYIK2 KITA DIA ORANG KATA....'KITA NI PENIPU'..

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه , Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: يَخْرُجُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ رِجَالٌ يَخْتِلُونَ الدُّنْيَا بِالدِّينِ يَلْبَسُونَ لِلنَّاسِ جُلُودَ الضَّأْنِ مِنْ اللِّينِ أَلْسِنَتُهُمْ أَحْلَى مِنْ السُّكَّرِ وَقُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الذِّئَابِ
"Akan timbul di akhir zaman orang2 yg mencari kepentingan dunia dgn menjual agama. Mereka menunjukkan kpd orang lain pakaian yg melambangkan mereka zuhud di dunia, dan percakapan mereka lebih manis dari gula. Padahal HATI mereka adalah HATI serigala, mempunyai tujuan2 jahat".>: Riwayat at-Tirmidzi.


Syekh Muhammad bin Umar Al-Bantani:
مَنْ لَمْ يَحْزَنْ عَلىَ فَوَاتِ الطَّاعَةِ وَلَمْ يَنْدَمْ عَلىَ فِعْلِ المَعْصِيَةِ فَهُوَ مِنْ عَلاَمَاتِ مَوْتِ قَلْبِهِ

Barangsiapa tdk bersedih dlm meninggalkan ketaatan dan tdk merasa menyesal melakukan kemaksiatan maka hal tersebut pertanda bahawa hatinya tlh mati.>: Syekh Muhammad bin Umar Al-Bantani:




PAS rakam takziah kepada mangsa tanah runtuh
Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 8 Ogos: PAS Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang, Cameron Highlands dan berharap kerajaan negeri berbuat sesuatu supaya kemalangan tidak berulang.

(Pelbagai pihak bertungkus lumus membantu mencari mangsa yang tertimbus)

Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam kenyataan medianya turut melahirkan rasa simpati dengan kematian tujuh orang termasuk empat wanita maut dan dua cedera parah dalam kejadian tersebut petang semalam.

“PAS Pahang ingin merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan dalam masa terdekat akan ke sana menyampaikan sumbangan.

“Serentak dengan itu juga kita meminta kerajaan negeri segera memantau penerokaan tanah di kawasan tanah tinggi itu kerana biasanya banjir lumpur dan hakisan tanah berlaku akibat operasi penebangan balak yang tidak terkawal,” katanya.

Tambahnya, PAS tidak menolak takdir tetapi kesilapan manusia mesti diminimakan supaya peristiwa buruk tidak kerap berulang.

Terdapat 60 keluarga di perkampungan Orang Asli berkenaan.

Dalam kejadian 5.45 petang semalam, berlaku banjir lumpur dan tanah runtuh selepas hujan lebat sejak 5 petang sehingga menimbus tiga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di perkampungan berbukit berkenaan.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Normadiah Lasik, 69, Ali Hassan, 50; Jaafar, 49; Mohd Ikbal Jaafar, 15; Sara Gunung, 37; Norma Gunung, 51; dan Yusnizan Yusof, 22, manakala yang parah pula ialah Bah Anjang Besar a/l Anjang, 39, dan Serry Priary a/p Suri, 15 tahun.

Enam orang daripada mereka dilaporkan beragama Islam.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, sudah sering kali berlaku malapetaka tanah runtuh di kawasan tanah tinggi itu yang menyebabkan kehilangan nyawa.

“Sebab itu PAS Pahang mendesak supaya kerajaan negeri berhati-hati meluluskan kawasan penebangan balak dan penggondolan bukit kerana implikasinya boleh mengorbankan nyawa manusia,” tegasnya.

Satu nama dua tempat mengundi di online SPR
Saidah Hairan

SHAH ALAM, 8 Ogos: Jabatan Pilihan raya PAS Negeri Selangor mendesak SPR mengeluarkan nama-nama pemilih yang berada dalam daftar pemilih bertindih sebanyak 11,000 ditemui di Dun khususnya yang dikuasai Pakatan Rakyat.

Daftar pemilih bertindih itu didedahkan Pengarah Jabatan Pilihan raya negeri Selangor, Jaafar Samsudin setelah membuat semakan online daftar pemilih SPR di alamat http//www.spr.gov.my.

Beliau menjelaskan semakan itu ditemui dalam pemilih bagi isu rumah iaitu nama pemilih dan nombor Kad Pengenalan yang sama hanya ditukar tarikh lahir tetapi tempat mengundi di DUN yang sama hanya daerah mengundi berbeza.

Nama yang ditemui Zaidi bin Dol Majid mempunyai nombor Kad Pengenalan 780606105543 alamat PT 13, Sungai Nibong dan Parlimen Sungai Besar DUN Sungai Panjang dan daerah mengundi Batu 23, kampung atau pekan Sungai Nibong.

Katanya, pemilih Zaidi juga mempunyai nombor kad pengenalan 780606105543 di alamat parti 13, Sungai Nibong, Sekinchan dan tempat mengundi Parlimen Sungai Besar, DUN Sungai Panjang dan daerah mengundi Parit 13 Sungai Nipah.

"Kita akan mengemukakan satu lagi bukti ini dan bertanya kepada SPR adakah mereka mengambil tindakan dan jika tidak mengambil tindakan mereka akan terus mengekalkan penipuan ini," katanya.

Ini ternyata kata beliau jumlah pengundi bertindih itu jauh lebih besar daripada mereka yang didaftarkan dalam daftar pemilih di negeri Selangor.

Beliau menegaskan, kaedah itu yang mudah dimana Umno boleh memenangi kerusi di mana mereka menggunakan mekanisma untuk memenangi kerusi jika mereka betul-betul didaftarkan dalam senarai pengundi.

"Mereka tidak boleh dihalang untuk membuang undi, jika ini tidak diatasi ia merupakan satu bebanan yang berat untuk memenangi kerusi kita, sebab jumlah pengundi bertindih ini besar dan begitu mudah untuk dilaksanakan dalam PRU ke13," tegasnya.

Beliau mengimbas kejadian di Parlimen Gombak pada PRU ke12 di mana ramai pengundi yang mengundi di Terengganu dan petang pula balik ke Selangor untuk mengundi di tempat lain.

"Siapakah mereka yang diberikan peluang untuk mengundi lebih daripada sekali, sudah tentu orang ini yang akan dikerahkan untuk mengundi iaitu penyokong Umno-BN," tegasnya.

Beliau akan menunjukkan bukti kepada SPR bagaimana terdapat 10 orang pengundi Sabah yang diberikan oleh Guru Kemas untuk mengundi lebih daripada sekali iaitu pendatang asing dan orang Sabah.

"Nama-nama mereka diambil untuk mereka didaftarkan sebagai pengundi bertindih," tegasnya.

Beliau menegaskan, SPR tidak dapat menolak tentang pendedahan itu dan mesti memberikan jawapan yang rasional dan tidak boleh berdolak dalik.

Katanya, penipuan itu sangat serius dan menjadi tanggungjawab SPR jika Kad Pengenalan Merah boleh diserahkan kepada JPN tetapi pengundi bertindih merupakan tanggungjawab SPR sepenuhnya.

"Ini satu tanggungjawab SPR yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja, SPR mesti bertanggungjawab dan tidak boleh berdolak dalik atau menyalahkan sistem teknikal yang tidak dikemaskini," tegasnya.

Beliau menegaskan tindakan SPR itu satu kegiatan yang paling kotor di mana daftar pemilih induk amat tidak bersih dan tidak bertanggungjawab.

Kata beliau sudah tentu itu amalan biasa yang hendak dibuat sama ada dalam Pilihan raya kecil atau pilihan raya umum tahun 2008 dan PAS Selangor bersedia untuk berjumpa dengan SPR.

"Saya saya harap dilakukan segera jika tidak PAS Selangor akan mengambil tindakan laporan polis dan susulan itu dikemukakan kepada Pakatan Rakyat untuk dibawa ke Parlimen," tegasnya.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan SPR pada 22 Julai, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menjamin akan membersihkan nama-nama yang didapati bertindih dalam daftar pemilih.

"SPR mesti buang nama tersebut jika tidak dilakukan maka SPR telah mengingkari persetujuan ini," katanya.


Khairul Fahmi terima rumah Oktober ini

Harakahdaily

KOTA BHARU 8 Ogos: Rumah yang dijanjikan kerajaan negeri Kelantan kepada penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat akan diserah Oktober ini.

Rumah banglo di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa itu kini 80 peratus siap dan akan siap sepenuhnya dalam masa sebulan lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood.

“Perancangan asal rumah ini akan diserahkan dalam tempoh enam bulan iaitu Julai lalu kepada Khairul Fahmi tetapi berlaku kelewatan sehingga ia terpaksa ditangguhkan.

“Sebenarnya projek rumah itu di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan tetapi Kerajaan Negeri yang menanggung kos rumahnya. Tempoh kelulusan daripada syarikat Binaraya kepada PKINK sudah mengambil masa dua bulan, jadi saya terlepas pandang soal itu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini mengumumkan pemberian hadiah itu sebagai menghargai jasa penjaga gol itu yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 tahun lalu.


Undian tajuk Tembelang Undi Pos
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Mulai semalam, undian dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah bil 1664 yang akan berada di pasaran mulai Ahad dengan tajuk ‘Tembelang Undi Pos' digunakan sebagai tajuk berita utama berikutan tindakan bekas tentera akui selewengkan undi pos.

Bagi membaca kenyataan penuh, boleh baca Harakah cetak atau terus langgani harakah digital yang dikenali bagai 'elektronik paper' di alamat, http://epaper.harakah.net.my

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari lagi, pada hari Rabu akan mengundi tajuk lain pula.

Manakala keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, ‘Pagi MyPR, Petang Mykad’ berada pada tahap 94.81 peratus atau 329 daripada 347 undian bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 17 undian (4.9%) yang tidak bersetuju dan 1 (0.29 %) yang berkecuali atau tidak pasti.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan juga undian-undian yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php.


Jiwa bersih lahir kerja kualiti
NIk Abdul Aziz Nik Mat
Saya baru berkesempatan mengikuti sesi pengajian kitab Bidayatul Hidayah di Kompleks Kota Darul Naim pada hari Khamis lalu. Sebenarnya pengajian kitab ini pada setiap hari Khamis sudah bermula semenjak awal tahun ini dan dibuka untuk kakitangan Kompleks Kota Darul Naim, cuma dikejar oleh kepadatan jadual kerja, saya hanya sempat meluangkan masa bersama-sama kakitangan menadah kitab ini pada hari Khamis lalu. Alhamdulillah, kuliah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Abdul Kadir bin Haji Nik Muhammad itu saya lihat sangat baik dan bermanfaat terutamanya ke arah melahirkan kakitangan kerajaan yang mempunyai jiwa yang bersih.

Tasauf sebenarnya tidak asing di dalam Islam. Namun mungkin kerana masyarakat disibukkan dengan soal-soal fiqh, sehingga kadang-kadang terlepas pandang tentang kepentingan penyucian jiwa. Sedangkan selalunya iman iaitu amalan hati disebut terlebih dahulu sebelum amal yang merupakan amalan anggota fizikal. Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Yang bermaksud : Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal saleh, tentulah kami tidak akan menyia-nyiakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik. – Surah al-Kahfi, ayat 30

Ayat di atas jelas sekali meletakkan bahawa beriman dan beramal soleh merupakan dua syarat yang perlu ada untuk seseorang itu diberikan ganjaran yang baik oleh Allah SWT. Bahkan betapa pentingnya iman yang merupakan gerak kerja hati, ia diletakkan lebih dahulu daripada amal. Di dalam hadis, Rasulullah SAW pernah menerangkan persoalan ihsan yang juga merupakan gerak kerja hati. Sabda Baginda SAW tentang ihsan sewaktu ditanya oleh Jibril yang datang menyerupai seorang lelaki :

أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك

Yang bermaksud : Kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak (mampu membayangkan) kamu melihatnya, maka (ketahuilah) Dia melihatmu.

Justeru selagi mana roh bercampur baur dengan jasad, maka selagi itulah pengajian tasauf tidak boleh dipisahkan dengan pengajian fiqh. Bukan tidak penting berbincang tentang soal sah batal solat dan sebagainya, tetapi penting juga untuk turut dibincangkan persoalan hati yang bersih bagi memastikan amalan diterima oleh Allah SWT. Hati yang bersih sahaja yang akan menerima hidayah daripada Allah SWT. Khususnya di bulan Ramadhan ini yang disebut sebagai bulan hidayah, sekalipun hidayah datang mencurah-curah, jika tidak ditadah dengan hati yang bersih, ia tidak akan memberikan apa-apa manfaat. Umpama hujan yang turun dengan lebat dari langit, tetapi jika tidak ditadah dengan bekas atau tempayan, ia hanya akan berlalu begitu sahaja.

Oleh yang demikian, apabila pengajian tasauf dimulakan di dalam kompleks Kota Darul Naim semenjak awal tahun ini, saya sungguh-sungguh merasa gembira. Sekalipun saya rasa sudah terlewat sebenarnya pengajian ini dimulakan dengan usia kerajaan Kelantan di bawah dasar Membangun Bersama Islam yang mencecah 21 tahun pada tahun ini, saya tetap gembira dengan perkembangan positif ini. Hakikatnya, di luar pagar komples Kota Darul Naim, pengajian tasauf sudah diajar di pondok-pondok begitu lama. Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1933 juga terkenal sebagai seorang tokguru tasauf. Saya amat berterima kasih kepada seluruh tuan-tuan guru pondok samada yang telah pergi atau yang masih ada bersama kita yang tidak jemu-jemu mengajar persoalan dosa pahala syurga neraka kepada rakyat Kelantan. Hasilnya, hari ini, rakyat Kelantan dikenali sebagai masyarakat beragama yang tidak senang digugat dengan gelombang jahiliyyah. Apa-apa dasar dan pelaksanaan yang selari dengan syariat Islam yang cuba diperkenalkan oelh kerajaan negeri Kelantan diterim baik oleh masyarakat kerana mereka sudah diajar oleh tuan-tuan guru pondok begitu lama. Tinggal lagi untuk mempraktikkannya di dalam kerangka undang-undang. Semoga Allah mengurniakan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Hari ini, dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan diterima dengan baik oleh rakyat. Tidak ada sebarang masalah yang timbul sekalipun dulu ramai yang melabel bahawa Islam tidak boleh memerintah. Jika adapun sedikit gangguan hanyalah ibarat nyamuk yang berdesing di luar kelambu termasuklah usaha untuk menyaman kerajaan negeri ekoran isu judi beberapa minggu lepas. Saya anggap saman ini hanyalah satu usaha untuk mengacau keharmonian rakyat Kelantan. Jika diturutkan hati, ingin saja saya perkenalkan dasar Membangun Bersama Islam dan Iman, kerana iman itulah yang berkait rapat dengan hati. Namun, bimbang nanti disalahfaham oleh golongan-golongan tertentu, saya mengira setakat ini cukup sekadar kita menyebut Membangun Bersama Islam. Itupun ada yang berpura-pura tidak faham lantas menyerang kita dari pelbagai sudut.

Apapun saya berharap semoga pengajian tasauf seperti ini berterusan sehingga berjaya melahirkan golongan pekerja yang bersih jiwanya. Saya percaya, kebersihan jiwa ini yang melahirkan kerja yang berkualiti. Dalam erti kata lain, bersih jiwa bersih amalan, insya-allah. Inilah yang menggembirakan hati saya sebagai seorang yang diberikan amanah oleh Allah SWT menerajui pentadbiran negeri Kelantan. Saya mengharapkan agar apa yang dilakukan ini menjadi ganjaran yang baik di sisi Allah SWT sebagai bekalan untuk menghadapNya kelak, insya-Allah.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

Menteri Besar Kelantan


Akhbar perdana jadi 'gengster' tanpa media alternatif
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Rakyat khususnya golongan muda diseru menyokong sumbangan media alternatif yang memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, kewujudan media alternatif dapat menjadi pengekang kepada media arus perdana yang semakin 'samseng'.

"Saya fikir sumbangan akhbar alternatif ini mesti disokong kerana hanya melalui akhbar alternatif kita mendapat gambaran yang lebih berimbang, memungkinkan kita untuk menentukan apa sikap kita.

"Saya dapati bahawasanya tanpa media alternatif, akhbar arus perdana akan menjadi gengster," kata beliau sewaktu berucap merasmikan pelancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini, petang semalam.

Kempen ini dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa bertemakan 'baca dan banding'.

A. Samad yang lebih senang dipanggil Pak Samad, 76, juga berkata, media alternatif sangat sesuai untuk anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

"Saya fikir media alternatif ini lebih untuk anak-anak muda, rakan-rakan kita yang lebih berilmu.

"Memang benar ia belum sampai ke desa-desa tapi saya fikir yang diperlukan ialah kelompok anak muda yang berilmu pengetahuan dan anak-anak muda inilah nanti yang akan berlegar, akan sampai ke ceruk-ceruk untuk memperjelas apa yang berlaku di negara ini," katanya di hadapan kira-kira 50 anak muda, majoritinya mahasiswa kampus sekitar Lembah Kelang.

Ujarnya, tidak menjadi suatu kerugian jika tidak membaca media arus perdana kerana laporannya hanya menyokong kerajaan dan mengakui sudah hampir satu tahun beliau tidak membaca akhbar arus perdana.

"Untuk pengetahuan anda sudah hampir satu tahun saya langsung tidak membaca akhbar arus perdana.

"Biarpun ada benda yang mungkin saya terlepas kerana tidak membaca akhbar arus perdana tapi saya rasa dengan tidak membacanya pun saya sudah tahu, jadi tidak rugi.

"Kita lihat adalah kalau yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang sentiasa salah. Ini yang harus dibetulkan," katanya disambut tepukan gemuruh anak muda.

Beliau turut menyatakan pendirian yang meyokong pihak pembangkang.

"Saya memang gemar untuk datang dan mendengar daripada mereka yang oposisi. Saya langsung tidak gemar mendengar orang yang sokong (kerajaan).

"Saya memang gemar apabila ada yang membangkang dan minat saya membaca akhbar alternatif kerana saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar arus perdana," katanya yang mula menjadi ikon anak muda selepas lantang menyatakan sikap tidak bersetuju dengan kerajaan antaranya dalam isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan terbaru, Bersih 2.0.

Anak muda kena lakukan perubahan

Selain itu, Pak Samad menyeru anak muda agar berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan BN yang sudah lama dibiarkan bermaharajalela di negara ini.

"Banyak hal lain juga boleh dilakukan anak muda yang cendekia antaranya ialah merubah maksudnya sudah tiba masanya kita adakan regime chance.

"Kita sudah memberi masa kepada orang memerintah ini selama 54 tahun dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu.

"Kalau selama 54 tahun kita membenarkan ini berterusan yang salah ialah kita juga.

Tambahnya, kuasa banyak terletak di tangan anak muda jika mereka berani.

"Oleh itu saya mengharapkan golongan anak-anak muda mengadakan satu tindakan yang berani untuk mengubahnya dan saya percaya hanya di tangan anak muda sahaja regime chance itu mungkin (berlaku)," katanya memberi semangat kepada anak muda.

Sementara itu, SMM menganjurkan kepen ini bagi menyeru rakyat menjadikan media alternatif di seluruh Malaysia sebagai sumber media yang kukuh dan dekat di hati rakyat.

Sabtu lalu, SMM memulakan kempen dengan bertemu masyarakat Kuala Lumpur sambil memakai baju khas kempen yang tertera alamat laman sesawang media alternatif di Malaysia termasuk Harakahdaily serta melakukan edaran risalah serta buah tangan kepada warga kota.

Sebelum majlis pelancaran semalam, berlangsungnya forum mengenai Lynas di dewan yang sama.

SMM merupakan gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA).



Had umur Umno-BN makin pendek
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my
MINGGU lepas saya diundang untuk mengisi program Lujnah Penerangan PAS Negeri Sembilan. Majlis diadakan di Markas PAS Kuala Pilah di bawah pimpinan Yang Dipertuanya, Zaharudin Othman.

Pada majlis tersebut saya pertegaskan kepada rakan-rakan PAS, bahawa kedudukan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan dilihat termasuk dalam kategori 'A' untuk dimenangi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal dipanggil pada bila-bila masa.

Dari segi faktanya, saya melihat potensi Negeri Sembilan lebih baik dari Terengganu untuk dimenangi kerana, Pakatan Rakyat hanya ketinggalan empat kerusi sahaja berbanding Barisan Nasional.

Di Negeri Sembilan, pada PRU 2008, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri, BN menang 21 kerusi. PAS menang satu kerusi, DAP 10 kerusi dan KeADILan menang empat kerusi.

Pada PRU tersebut, PAS Negeri Sembilan bertanding 13 kerusi. BN menang hampir semua kerusi majoriti Melayu. Pakatan Rakyat menang semua kerusi majoriti Cina dan kawasan campuran.

Maka di sini, PAS menggalas cabaran yang lebih besar, bekerja keras untuk menang di kawasan Melayu, sekali gus membantu Pakatan Rakyat untuk menguasai Negeri Sembilan.

Dengan kemenangan Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan, ia bakal menyumbang undi bagi kerusi Parlimen untuk membantu Pakatan Rakyat di peringkat Nasional menguasai Putrajaya.

Maka saya pertegaskan kepada rakan-rakan PAS, bahawa menguasai kerusi Melayu di Negeri Sembilan, bukan suatu perkara yang mustahil. Mereka harus melipatgandakan usaha menawan hati pengundi. Yang penting bagi PAS ialah memperkukuhkan saf kepimpinan, supaya ia lebih mantap dan bekerjasama erat dengan DAP dan KeADILan.

Miracle di Perak, boleh berulang di Negeri Sembilan, jika pemimpin PAS Negeri Sembilan berusaha dengan gigih.

Hakikat ini diperakui oleh Umno-BN. Dalam dry run atau pilihan raya olok-olok yang dijalankan BN, mereka memperolehi dapatan yang menggerunkan iaitu mereka bakal kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada PRU ke-13 nanti.

Malah dalam pilihan raya latihan yang diadakan itu juga, mencatatkan BN tidak mampu merampas semula Selangor dan bakal kehilangan sehingga 15 kerusi dari 56 kerusi Dun di Johor.

Persekitaran ini memang tidak pernah diduga BN. Pada PRU 2008 di Johor, Pakatan Rakyat menang enam kerusi Dun. Empat DAP manakala dua lagi PAS.

Manakala di Perak, dry run BN menunjukkan bahawa Umno hanya boleh menang 27 daripada 59 kerusi Dun meskipun BN memerintah semula negeri itu sejak awal 2009 ekoran rampasan kuasa secara haram. Walaupun dilapor pada Jun lalu, Umno negeri itu yakin boleh menang 33 kerusi.

Hasil dapatan ini juga menunjukkan bahawa kedudukan dan populariti Menteri Besar Perak lantikan mahkamah, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir, terumbang-ambing dan semakin menjunam kerana tidak mendapat sokongan majoriti rakyat.

Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 darpada 59 kerusi Dun di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat memperoleh 31 kerusi.

"Keadaan tidak berubah di Perak dan kini keadaan yang sama wujud di Negeri Sembilan memandangkan pembangkang menjadi semakin kukuh, melihat pada kemungkinan Dato' Seri Mohamad Hasan tidak akan kekal sebagai menteri besar,"kata sumber Umno yang dipetik media.

Hasil dapatan BN pada dry run yang dijalankan menunjukkan jentera BN dihambat dengan banyak kelemahan. Antaranya wujud sentimen ketua-ketua Umno yang mahukan nama mereka diletakkan sebagai calon, barulah jentera parti digerakkan.

Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian di Perak keberatan untuk berkempen atau mendaftar pemilih baru melainkan mereka pasti akan menjadi calon pilihan raya umum ke-13.

"Umno Perak kuat dan boleh menang 33 kerusi negeri tetapi pemimpin-pemimpin bahagian tidak mahu bergerak kecuali mereka atau calon pilihan mereka diletakkan," kata sumber tersebut.

Masalah timbul di kalangan BN pula didapati jika parti boleh menggerakkan jenteranya, hanyalah Umno. Parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan masih tidak bergerak kerana pengaruh mereka di kalangan kaum yang mereka wakili sudah semakin pupus.

Kebanyakan penganalisis menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh setahun ini tetapi ada juga mengatakan ia kemungkinan diadakan seawal November ini selepas Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen awal 7 Oktober dan sebelum perhimpunan agung tahunan Umno.

Namun hasil dapatan dry run BN amat menggerunkan BN. Jentera Umno yang sudah digerakkan pun penuh dengan kelemahan, manakala jentera komponen lain tidak boleh diharapkan. Maka barangkali dengan sebab itu Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak, masih tidak dapat memberi bayangan bila pilihan raya umum akan diadakan.

Walaupun timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu BN agar bersedia untuk menghadapi PRU dalam waktu terdekat, namun jentera BN masih berada di tahap yang pasif.

Satu hakikat yang tidak boleh dinafikan, selama ini pun, dalam banyak pilihan raya, bukan jentera Umno-BN yang bergerak. Mereka hanya berlonggok untuk 'mengabihkan beras' di markas-markas, mengupah mat rempit melalak di jalan raya sambil mengibarkan bendera BN.

Yang bergerak dan dipergunakan sepenuhnya untuk membantu BN adalah media arus perdana, institusi istana, agensi kerajaan seperti SPR, polis, tentera, mahkamah, jabatan penerangan serta kementerian-kementerian lain.

Yang digembleng untuk melawan arus Pakatan Rakyat bukannya jentera Umno, tetapi jentera kerajaan. Umno-BN tidak pernah berdepan dengan Pakatan Rakyat secara 'anak jantan' sebab mereka macam 'pondan siam'.

Jentera pilihan raya Umno-BN, tidak mampu berhadapan dengan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat secara gentleman. Mereka akan kalah jika bertembung one-by-one. Yang mereka tegak berkuasa selama ini hanyalah kerana dibantu seratus peratus jentera kerajaan. Tanpa bantuan jentera kerajaan Umno-BN sudah lama 'bungkus'.

Umno-BN bergantung kepada kejahatan pegawai kerajaan yang berperanan di agensi tertentu, seperti memanipulasi senarai daftar pengundi, pemalsuan kad pengenalan untuk membolehkan pendatang haram menjadi penggundi dan lebih jahat lagi mereka yang bersubahat memberikan kad pengenalan kepada pendatang asing untuk menjadi warganegara. Hanya cara ini sahaja Umno-BN boleh diselamatkan.

Oleh itu pegawai kerajaan seharusnya ingat, bahawa anda bukan hanya berhadapan dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau Lim Kit Siang sahaja. Ketiga-tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat ini mewakili kuasa rakyat yang besar. Sekurang-kurangnya 48 peratus rakyat Malaysia mengundi Pakatan Rakyat pada PRU ke-12.

Ingatlah Pakatan Rakyat menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Perak (sebelum dirampas) dan menang 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pakatan Rakyat menguasai 82 kerusi Parlimen dan hampir 200 kerusi Dun. Kuasa rakyat yang besar ini tidak akan membenarkan kerakusan dan kemungkaran berterusan dalam negara.

Justeru, dengan kelemahan Umno-BN yang amat ketara sekarang, didorong kegagalan mereka memulihkan ekonomi negara, maka Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang amat cerah untuk menguasai Putrajaya pada PRU ke-13 nanti dan memperbetulkan segala kepincangan yang diciptakan Umno-BN.

Kepada pemimpin Umno dan pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan mereka, terimalah hakikat bahawa usia Umno-BN sebagai peneraju negara semakin pendek. Muzium dan liang lahad sudah menggamit mereka.

Pada ketika itu mana-mana pegawai kerajaan yang bersubahat dengan pemimpin Umno-BN, melakukan kejahatan dan pemalsuan, akan menerima hukuman yang setimpal daripada rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: