Isnin, 1 Ogos 2011

ORANG YANG BENAR2 FAHAM ISLAM..INGIN KEBENARAN...TAK MENYOKONG MUNGKAR...PENIPU...ZALIM...MEREKA NI MENYOKONG ISLAM...

SPRM sahkan Bazar Tok Guru bebas rasuah
Harakahdaily

KOTA BHARU, 1 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mengesahkan tiada unsur rasuah dalam isu Bazar Tok Guru selain tidak menerima laporan rasuah daripada mana-mana pihak mengenai isu Ladang Rakyat.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor seperti dilapor Sinar Harian berkata, pihaknya menjalankan siasatan rapi dan telus terhadap kes terbabit dan menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa SPRM tidak melakukan siasatan.

“Saya ingin ulangi kenyataan sebelum ini bahawa tiada elemen korupsi dalam isu Bazar Tok Guru dan kami menyangkal tidak buat kerja berhubung kes ini. Jika ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa kami masuk, tapi setakat ini tidak terima (laporan berasas mengenainya)," katanya pada sidang media di Bangunan SPRM, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Sebelum ini ada pihak termasuk Umno Kelantan mempolitikkan isu Bazar Tok Guru dengan mendakwa kerajaan negeri kerugian RM50 juta untuk projek itu.

Mereka juga telah membuat laporan kepada SPRM agar kes itu disiasat.

“Mengenai isu Ladang Rakyat pula, setakat ini tiada mana-mana pihak yang membuat laporan mengenainya, tetapi kami menjalankan siasatan berdasarkan laporan dalam media dan pemantauan masih dilakukan,” katanya lagi.

Katanya lagi daripada 174 maklumat yang diterima berhubung kes rasuah di negeri itu, hanya 17 kertas dibuka untuk siasatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pengerusi Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak) yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, bahawa terdapat pegawai SPRM Kelantan lebih berpihak kepada PAS.

Terdahulu beliau menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM negeri yang baru, Nor Rasmi Shari, disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Putrajaya, Datuk Sutinah Sutan.

Nasaruddin juga menolak dakwaan pertukarannya ke ibu pejabat SPRM Putrajaya sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme disebabkan tekanan pihak tertentu.

Ketua Pakatan hanya yang berada dalam Pakatan
Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat tidak sekali-kali dipilih dari para pemimpin NGO dan parti-parti politik lain, sebaliknya hanyalah terbuka kepada pemimpin-pemimpin yang berada dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Oleh itu, dakwaan yang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah akan dilantik menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, ternyata tidak berasas dan hanyalah disifatkan sebagai permainan politik Umno semata-mata.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar menjelaskan, dakwaan yang ditimbulkan media itu sebenarnya adalah mahu memberi tekanan kepada Tengku Razaleigh agar beliau menyatakan pendiriannya berhubung kedudukannya dalam parti kini sama ada mahu terus bersama Umno atau tidak.

Menurut beliau, di pihak Pakatan Rakyat, perkara itu tidak berbangkit kerana Tengku Razaleigh bukannya berada dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini Tengku Razaleigh tidak pula menjawab dakwaan itu bagi menyatakan pendiriannya, walaupun ia merupakan satu tekanan kepada beliau sendiri untuk menjawabnya.

"Sungguhpun begitu, tindakan Tengku Razaleigh yang menubuhkan sebuah NGO baru, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) amat kita persetujui dan alu-alukan kerana ia akan membangkitkan satu lagi suara di tanah air kita.

"Tapi kalau sekadar pemimpin NGO, tidak berada dalam barisan kepimpinan Pakatan Rakyat, tidak berbangkit untuk Tengku Razaleigh hendak dilantik sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat," katanya ketika menjawab soalan Harakahdaily pada majlis tazkirah di pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Perlantikan Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebagai pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat, menurut beliau, tidak pernah dibincangkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat kerana perkara itu tidak pernah berbangkit dalam gabungan tersebut.

"Malah dakwaan mengenainya disifatkan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai 'lawak jenaka' seperti yang disiarkan Harakahdaily hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru (Bebas), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang mengatakan beliau telah mendapat maklumat bahawa Pakatan Rakyat mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah untuk dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahrain yang merupakan bekas ahli PKR itu mendakwa pelawaan terhadap Tengku Razaleigh itu dibuat oleh Pakatan Rakyat sebagai persiapan Pakatan Rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi, ekoran Anwar berhadapan masalah berhubung kontroversi video seks dan dipercayai akan dipenjarakan berikutan kes liwat.

Ekoran dakwaan itu, beberapa blogger Umno kemudiannya menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah dalang utama yang merancang untuk membawa Tengku Razaleigh ke dalam Pakatan Rakyat.

Mereka mendakwa terdapat satu pertemuan di kediaman Menteri Besar Kelantan antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan anak-anak pejuang Umno termasuk anak kepada bekas Menteri Besar Selangor, Harun Idris, Mazlan Harun bersama anak Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar serta seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.

"Lawak jenaka!, Itulah saja yang boleh saya sifatkan kepada khabar angin yang mengaitkan saya dengan perbincangan rahsia untuk melantik YBM Tengku Razaleigh sebagai Ketua Pakatan Rakyat menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya nasihatkan, sempena bulan Ramadhan ini, tulislah perkara-perkara yang betul dan benar. Ingatlah, apa yang ditulis dan diucap akan menjadi bahan untuk dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak," kata Nik Aziz mengulas perkara itu melalui Facebook.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Tumpat turut menasihati para pemimpin dan ahli-ahli Pakatan Rakyat agar tidak terpengaruh dengan permainan politik Umno itu.

"Dakwaan yang tidak berasas itu tentunya turut mempunyai maksud untuk melaga-lagakan antara para pemimpin Pakatan Rakyat dengan sesama pemimpin Pakatan Rakyat, Tengku Razaleigh dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebagainya.

"Jadi para pemimpin dan ahli-ahli parti yang berada dalam Pakatan Rakyat perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan permainan Umno itu demi kepentingan Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Ramadhan bulan tarbiyah

Sebelum itu, dalam tazkirahnya, beliau turut mengingatkan setiap umat Islam agar berusaha mempertingkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah sempena ketibaan bulan Ramadhan tahun ini.

"Setelah Ramadhan demi Ramadhan kita lalui, sepatutnya Ramadhan tahun ini menjadikan iman dan ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat.

"Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang meliputi perjuangan untuk akhirat dan keduniaan, selaras dengan tuntutan Allah yang perlu terus kita pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa terutama dengan ketibaan Ramadhan tahun ini," katanya.

Cabaran Ramadhan, katanya, antara lain adalah agar setiap muslimin dan muslimat menjadi hamba Allah yang lebih baik dalam pelbagai aspek, sejajar dengan latihan dan praktikal ibadat puasa itu sendiri yang memberikan pelbagai bimbingan, ilmu dan pengalaman kepada setiap orang dari segi kerohanian.

Katanya, pengalaman itu pula tidak terkecuali sama ada yang dikumpulkan dengan hanya melibatkan individu itu sendiri sahaja dan menerusi jemaah, termasuk melalui solat tarawih dan berbuka puasa secara berjemaah.

Golongan muda tetap bersama PAS
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: PAS Kelantan yakin golongan muda di negeri itu tetap bersama mereka meskipun Umno BN dilihat sedang giat mendekati golongan ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS sentiasa berwaspada dengan tindak tanduk Umno BN yang ingin menawan kira-kira 400,000 pengundi muda pada pilihan raya umum ke-13.

"Setakat ini PAS Kelantan masih dapat menguasai golongan muda samaada yang tinggal di Kelantan atau di luar Kelantan dan kita sentiasa memberi penjelasan mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan Umno seperti isu tanah, ladang rakyat dan sebagainya," kata beliau ketika ditemui di Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.

Mengulas mengenai kempen Gelombang Merah yang dilancarkan Umno Kelantan, Ahmad mendakwa Umno cuba mengambil kesempatan menyamakan gelombang itu dengan kemaraan pasukan bola sepak Kelantan Red Warrior.

"Gelombang Merah ini sebenarnya peringkat awal sahaja nampak Umno bersemangat kerana dia mengambil kesempatan dengan kebangkitan pasukan bola Kelantan.

"Maka dia cuba nak menggunakan semangat bola sepak kelantan itu dengan kebangkitan Gelombang Merah," katanya.

Namun kata Ahmad, PAS Kelantan menjelaskan kepada rakyat khususnya golongan muda bahawa Gelombang Merah itu tiada kaitan dengan pasukan bola sepak negeri itu.

"Selepas itu rakyat faham dan PAS juga berusaha untuk menjelaskan kepada rakyat bahawa gelombang merah tidak ada kait mengait dengan bola dan PAS pun buat gerakan juga iaitu Tegakkan Islam Hancurkan Jahiliyah," katanya.

Tambahnya juga, kempen itu dilihat gah kerana mendapat bantuan media arus perdana yang menghebahkan kempen tersebut.

"Gelombang Merah pada peringkat awal dilihat berjaya kerana dibantu media arus perdana tapi kita dapat jelaskan kepada golongan muda dengan cara turun padang menemui mereka," katanya.

Februari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan “Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat” akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu bagi mengalihkan sokongan golongan muda daripada PAS kepada Umno BN.


Undian tajuk Dakwat Kekal, Bukan Biometrik
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Mulai semalam, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah bil 1662 yang telah berada di pasaran dengan tajuk ‘Dakwat Kekal, Bukan Biometrik'.

Tajuk berita utama itu berikutan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat memberikan penegesan sebenar beliau berhubung dengan isu biometrik yang dimanipulasikan oleh sesetengah pihak.

Bagi membaca kenyataan penuh, boleh baca Harakah cetak atau terus langgani harakah digital yang dikenali bagai 'elektronik paper' di alamat, http://epaper.harakah.net.my

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari lagi, manakala pada hari Rabu nanti, akan mengundi tajuk lain pula.

Manakala keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, ‘Dolak Dalik SPR’ meningkat sedikit kepada 96.43 peratus atau 486 daripada 504 undian bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 18 undian (3.57%) yang tidak bersetuju dan tiada (0 %) yang berkecuali atau tidak pasti.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan juga undian-undian yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php.


Balu Allahyarham Baharudin fail notis usul esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Balu Allahyarham Baharudin Ahmad akan memfail notis usul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, petang esok.

Harakahdaily difahamkan tindakan itu diambil untuk memohon satu siasatan khas dibuat berhubung kematian suaminya.

Ini kerana hingga hari ini pihak majistret atau Jabatan Peguam Negara masih tidak memberi maklum balas kepada surat peguam yang dihantar.

Walaupun Baharudin Ahmad meninggal dunia ketika perhimpunan Bersih 2.0 berdekatan KLCC pada 9 Julai lalu, namun keluarga beliau masih menunggu laporan post mortem dari Hospital Kuala Lumpur untuk mengetahui apa punca sebenar kematiannya.

Ini kerana, sehingga kini mereka masih belum mendapat laporan itu walaupun sudah beberapa kali diminta dari pihak hospital.

Pihak polis mendakwa, Baharudin mati kerana komplikasi jantung.

Namun keluarganya tertanya-tanya, apa punca empat tulang dadanya patah di samping tiga batang giginya juga patah.

Semasa hari pengebumian, anak saudara Baharudin, Azhar Kassim ketika bercakap kepada Harakahdaily melahirkan rasa ragunya mengenai punca tulang dada dan gigi yang patah itu akibat dari CPR yang dibuat ke atas Baharudin.

Tiada ulasan: