Selasa, 2 Ogos 2011

MONOPOLI HARAM DARI SEGI MUAMALAT ISLAM...

Perutusan Ramadhan Ketua DPP Malaysia
Nasrudin Hassan at-Tantawi
Buat seluruh warga muda Muslim

1. Ramadhan adalah bulan yang penuh kemuliaan justeru itu, muliakan diri kita dengan menyertai Amal Islami lantas memperjuangkannya agar ia tegak di dalam diri kita dan tegak juga di atas tanahair kita, serta hiasi diri dengan akhlak Islami seperti tawadhu', ikhlas dan ramah.

2. Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan, justeru itu hindarkan diri kita dari kancah maksiat dan mungkar yang menghakis keberkatan sebaliknya meriahkan hari - hai kita bersama Ramadhan dengan pesta ibadah. Banyakkan Ibadah, kurangkan juadah dan lazimkan bersedekah.

3. Ramadhan adalah bulan yang penuh keampunan, justeru itu dekatkan diri kepada Allah, munajat dan beristighfar memohon keampunan sehingga diri kita tenang dan optimis untuk menggalas amanah perjuangan ini tanpa dihambat oleh bayang dosa dan noda.

4. Ramadhan adalah bulan yang penuh kerahmatan, justeru itu bina kasih sayang berteraskan ukhuwwah Fillah sesama kita, hargai mereka yang tidak bernasib baik, santuni mereka yang jahil, didik mereka yang liar, bimbing mereka yang tersasar dari jalan kebenaran. Jangan banyakkan musuh sebaliknya kita adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang.

5. Ramadhan adalah bulan Jihad atau bulan perjuangan. Justeru itu, jangan biarkan diri terus dikongkong nafsu. Bebaskan diri dari lingkaran syahwah dan bangkit dengan semangat Badar al Kubra untuk terus menjulang panji perjuangan Islam ini dengan tabah, yakin dan istiqamah.

6. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Justeru itu, marilah kita membaca al Quran dan mengkhatamkannya di bulan Ramadhan ini serta dalam masa yang sama, kita fahami, hayati dan laksanakan kandungan al Quranul Karim sehingga politik kita, ekonomi kita, sosial kita berada di antara helaian - helaian al Quran sebagai kitab petunjuk dari Allah Azza wa Jalla.

7. Ramadhan adalah bulan Takaaful. Justeru itu, jangan dilupa pada yang miskin juga pada yang tiada memiliki apa-apa. Banyakkan menganjur majlis berbuka puasa [Maaidatur Rahman] untuk mengundang fakir miskin, anak - anak yatim dan insan yang memerlukan berbuka puasa.

8. Ramadhan adalah bulan zikir [mengingati Allah]. Justeru itu, jangan kering bibir melainkan banyak berselawat, bertasbih dan bertahmid mengingati Allah dan banyakkan solat sunnat di waktu malam seperti Terawih dan witir, demikian juga melazimi majlis -majlis ilmu untuk mengingatkan kita kepada amanah beragama dan tanggungjawab memperjuangkannya.

9.Ramadhan adalah bulan Puasa. Justeru itu, tahan diri dari makan dan minum di siang hari. Jua tahan diri dari melakukan perkara yang keji dan dicela syara'. Jaga kesihatan dengan baik dan amalkan gaya hidup sihat. Syukuri segala nikmat kurniaan Allah, jangan tamak dan rakus menjamu nafsu.

10. Ramadhan adalah bulan Taqwa. Justeru itu, tunduk dan patuhlah kepada semua perintah Allah dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt. Taqwa senjata yang paling berkesan untuk menghadapi apa jua bentuk konspirasi musuh yang menentang Islam. Tanpa taqwa, objektif ramadhan gagal dicapai dan ramadhan kita tahun ini sia - sia. Taqwa adalah KPI kepada Madrasah Ramadhan yang kita sertai ini.



Nasrudin bin Hassan
Airport Antarabangsa Kuwait.
2.0 Ramadhan 1432

Husam: Kelantan mahu import beras dibuka untuk negeri PR
Husam Musa

Surat ini diutus kepada YAB Datuk Seri Perdana Menteri pada 1 Ramadhan.

Pertama, untuk mengucapkan salam Ramadhan kepada YAB Datuk Seri. Di samping itu, saya doakan juga dengan berkat Ramadhan, YAB Datuk Seri segera sembuh.

Kedua, untuk mencadangkan program pengurangan kos hidup yang melambung sekarang bagi membantu meringankan keperitan rakyat jelata. Ramadhan antara lain mendidik keprihatinan jiwa Mukmin terhadap anggota masyarakat yang lemah, terkesan dengan beban hidup dalam menyara kehidupan diri dan keluarga.

Melalui berlapar, kita merasai kesukaran rakyat yang miskin dan memerlukan. Kita menghayati keperitan mereka dan mendesak jiwa dan minda kita memikirkan seribu satu cara untuk berkongsi penderitaan mereka.

Salah satu isu yang menghimpit rakyat sekarang adalah kenaikan kos barang-barang keperluan seharian, seperti YAB Datuk Seri sendiri mengakuinya dengan cadangan langkah memerangi kos kehidupan sebagai satu lagi bidang keberhasilan utama negara seperti yang diumumkan oleh YAB sehari dua yang lalu.

YAB Datuk Seri,

Pada pandangan saya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa dan cara yang boleh menurunkan harga barang keperluan dengan segera, terutama beras, gula, tepung dan susu.

Salah satu penyumbang bagi tingginya harga barang-barang ini ialah dasar yang salah yang dilaksanakan oleh Kerajaan YAB Datuk Seri sendiri iaitu menentukan import kepada monopoli agensi atau syarikat tertentu.

Tanpa monopoli ini, harga barang keperluan dapat diturunkan serta merta.

YAB Datuk Seri,

Sebagai membuktikan dakwaan saya, YAB Datuk Seri boleh menyemak perbandingan harga dunia dan harga yang dikenakan kepada pengguna Malaysia. Sebagai contoh, harga beras gred berkualiti, purata adalah USD 650 semetrik tan. Bermakna harganya adalah RM 20 setiap sepuluh kilogram. Bandingkan berapa harga yang dikenakan kepada pengguna sekarang?

Bagi mengukuhkan pandangan saya bahawa harga barangan ini boleh dikurangkan melalui permit import yang tidak ekslusif kepada hanya satu syarikat seperti Bernas, izinkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri, mengimport 500,000 metrik tan beras berkualiti premium untuk jualan Negeri Pakatan Rakyat sebagai langkah permulaan.

Seperti dalam makluman YAB Datuk Seri, penggunaan beras Negara adalah berjumlah 2 juta metrik tan dan apa yang kami pohon tidak menjejaskan pengguna negeri lain.

Insya’allah ia akan membantu empat perkara;

a. Harga yang lebih murah
b. Kualiti premium
c. Sekuriti bekalan makanan untuk keperluan Negara
d. Tidak membebankan kewangan kerajaan kerana ia tidak memerlukan subsidi.

Kami Insya’allah berkeupayaan melakukannya dalam tempoh dua minggu dari tarikh keizinan diberikan dan jika keizinan ini boleh disegerakan oleh YAB Datuk Seri, pengguna boleh menempuh Ramadhan ini dengan kos hidup yang lebih rendah.

Buat permulaan, Insya’Allah kami boleh mulakan dengan beras, gandum, susu dan gula.

Mengikuti surat ini nanti ialah surat-surat dan tindakan rasmi yang lain, termasuk dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi menjadikan semangat Ramadhan membantu mereka yang berkesempitan suatu realiti.

Sekian, terima kasih.

Dato Hj Husam Musa
-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
-Naib Presiden PAS


Hanya al-Quran dokumen yang ditadarus setiap tahun
Zainal Abidin Husein

KOTA BHARU, 2 Ogos: Al-Quran menjadi dokumen paling istimewa di dunia ini apabila kitab suci Islam ini ditadarus setiap tahun.

(Saudara Muhammad Ghana, mewakili komuniti antarabangsa menerima tugasan tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Kota Bharu)

“Tidak ada dokumen lain dilakukan seperti ini,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Jika dibanding dengan agama-agama lain kata beliau, tidak ada yang melakukan upacara tahunan dengan meminta semua pengikut membaca keseluruhan kandungannya dalam masa satu bulan.Buku-buku dan dokumen-dokumen lain yang dianggap bermutu tinggi dan mulia pun tidak diulangi bacaannya sebagaimana al-Quran ditadarus.

“Di sepanjang sejarah manusia menyanjung pelbagai dokumen seperti deklarasi hak asasi dan perlembagaan negara-negara.

“Tapi kita tak pernah dengar dokumen-dokumen ini dibaca semula secara menyeluruh seperti tadarus,” kata beliau di majlis perasmian Tadarus Perdana Anak Muda Tamu Ramadan di Qaryah Ramadan di sini Isnin..

Al-Quran lahirkan generasi pemimpin dunia

Sementara itu, membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran adalah teras kepada pembentukan generasi pertama Islam yang menjadikan mereka pemimpin dunia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

“Mereka bangkit dari satu tahap kehidupan yang amat rendah kepada satu pasukan yang memiliki keupayaan luarbiasa untuk mengurus dunia global apabila mereka hidup bersama al-Quran”, kata beliau yang juga Exco kerajaan Kelantan.

Kerana itu beliau menyeru anak-anak muda untuk mengambil kesempatan di sepanjang Ramadan untuk merapatkan “persahabatan” dengan al-Quran.

“Kitab agung ini (al-Quran) akan menjadikan martabat seseorang akan terus meningkat jika mendekatinya,” ujar beliau.

Jika sesiapa yang boleh membaca al-Quran dengan baik sahaja sudah dianggap begitu mulia, beliau menambah tentulah mereka yang memahami isinya, mengajar orang lain dan beramal dengan ajarannya akan bertambah-tambah tingkat keupayaan mereka.

Husam berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian program tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Isnin.

Tadarus anjuran kerajaan negeri itu dijangka akan disertai lebih 10 ribu peserta yang terdiri dari kalangan belia dan remaja.

Lokasi-lokasi program ini diadakan di seluruh negeri bertempat di masjid, pondok, sekolah kelolaan YIK, sekolah agama swasta dan beberapa agensi terpilih.

Kemuncak program ialah majlis khatam yang akan menghimpunkan semua peserta tadarus pada penghujung Ramadan.

“Pihak kerajaan yakin anak-anak muda Kelantan yang telah dididik untuk sentiasa bersama al-Quran tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menambahkan keupayaan masing-masing,” kata Husam.

Berserta program ini kata beliau pellbagai acara iringan akan diadakan bagi membolehkan para peserta dan orang ramai merasa al-Quran boleh didekati dengan pelbagai cara dan satu bahan yang boleh diguna dalam menghadapi pelbagai situasi.


Monopoli BN punca kos sara hidup tinggi
Aziz Muda

SHAH ALAM, 2 Ogos: Pakatan Rakyat yakin kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung oleh setiap rakyat negara ini pada hari ini adalah akibat dasar-dasar Kerajaan Barisan Nasional yang mewujudkan sistem monopoli dan ketinggalan zaman.

Sehubungan itu, terdapat keperluan mendesak agar sistem permit terutamanya yang bersabit import barang keperluan utama dikaji keseluruhannya kerana ia meningkatkan harga barangan yang menekan rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat juga berpendapat harga petrol dan diesel yang tinggi di Malaysia adalah akibat perancangan guna tenaga yang lemah.

Menurut beliau, Malaysia dilaporkan masih menggunakan sehingga 70 peratus dari minyak mentahnya yang bergred tinggi dan mahal untuk diproses menjadi petrol dan diesel bagi kegunaan domestik.

Katanya, oleh kerana harga minyak mentah adalah komponen kos yang paling utama, sebarang usaha untuk menukar minyak mentah kepada gred yang lebih murah akan secara langsung menurunkan harga petrol dan diesel di Malaysia.

"Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat yakin bahawa harga petrol dan diesel boleh diturunkan segera. Salah satu caranya melalui perancangan guna tenaga yang lebih munasabah," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK), di sini, hari ini.

Sebelum itu di tempat yang sama, Pakatan Rakyat, menurutnya, telah mengadakan Rundingan Ekonomi Buku Jingga yang pertama hari ini dengan ahli ekonomi, penganalisa pasaran dari bank dan firma kewangan, pimpinan kesatuan sekerja dan persatuan pengguna.

Katanya, rundingan tersebut antara lain membincangkan secara terperinci langkah-langkah segera yang boleh dilakukan untuk mengawal inflasi dan membantu jutaan isi rumah Malaysia yang terbeban dengan kos sara hidup mutakhir ini.

"Rundingan tersebut adalah yang pertama daripada beberapa siri selepas ini bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dan cadangan untuk digarap di dalam Belajawan 2011 yang akan diumumkan oleh Pakatan Rakyat dalam bulan Oktober ini.

"Setiap rundingan akan memfokuskan kepada persoalan dasar ekonomi negara yang utama, termasuklah dasar-dasar pertumbuhan dan persaingan ekonomi, menurunkan kos sara hidup rakyat dan reformasi sistem pendidikan supaya selari dengan keperluan modal insan negara," katanya.

Peluang yang diperolehi oleh pimpinan Pakatan Rakyat pada hari ini untuk bertukar-tukar fikiran dengan wakil-wakil dari pelbagai sektor penting ekonomi negara itu, katanya, akan dimanfaatkan sebaik mungkin, apabila pandangan-pandangan itu akan digarabkan di dalam Belanjawan 2011 oleh Pakatan Rakyat.

"Belanjawan 2011 oleh Pakatan Rakyat adalah satu lagi dokumen ekonomi yang memberi peluang kepada rakyat dan sektor niagawan menilai sendiri perbezaan pendekatan ekonomi yang akan diambil oleh Pakatan Rakyat dan kerajaan BN, sekiranya Pakatan Rakyat yang berkuasa selepas pilihanraya umum akan datang," katanya.

Turut hadir pada rundingan dan sidang media itu termasuklah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad serta pemimpin DAP.


Punca kematian Baharudin dalam sijil tidak jelas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Peguam yang mewakili keluarga Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika perhimpunan Bersih 9 Julai lalu, berkata banyak perkara yang diragui tentang kematiannya, termasuk punca kematian yang ditulis pada sijil kematian, lapor KeadilanDaily.

“Salah satunya ialah punca kematian pada sijil Baharudin tidak dinyatakan dengan jelas,” kata Ahmad Jufliz Faiza ketika dihubungi Keadilandaily.

Menurut Ahmad Jufliz, sijil kematian yang dikeluarkan pada 11 Julai itu hanya ditulis pending laboratory analysis di butiran punca kematian.

“Laporan bedah siasat hanya mengambil masa sekitar dua minggu untuk siap, namun keluarga mangsa masih lagi tidak perolehi sebarang dokumen bedah siasat,” ujarnya.

Ahmad juga hairan dengan kenyataan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada 22 Julai lalu yang menafikan kematian Baharudin disebabkan tindakan ganas polis.

Allahyarham sebelum ini turut dikesan mengalami patah tulang rusuk, patah gigi dan luka pada bibir.

Namun polis berkata ia berpunca dari rawatan bantuan pernafasan (CPR) yang diberikan pihak polis sedangkan, laporan bedah siasat masih belum dikeluarkan oleh pihak hospital.

“Polis sepatutnya kena jalankan siasatan dan memberi kenyataan berdasarkan fakta dan bukannya berunsur politik,” kata Ahmad Jufriz lagi.

Semalam, balu allahyarham, Rosni Malan memfailkan notis di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya laporan bedah siasat suaminya didedahkan kepada umum.

Keluarga mangsa juga memohon mahkamah mengarahkan majistret menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Baharuddin dan supaya polis mendedahkan semua dokumen berkaitan kes itu.

Rosni, 55 turut merayu orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantunya mencari kebenaran dan keadilan terhadap arwah suaminya.

Rosni dan keluarganya juga menafikan allahyarham menghidap sebarang penyakit kronik seperti mana dakwaan polis bahawa Baharuddin mati kerana komplikasi jantung.

“Terdapat banyak tuduhan yang dibuat mengenai kematian suami saya tetapi apa yang saya tahu berbeza dengan maklumat yang diterima. Suami saya sentiasa sihat sebelum ini dan tiada tanda dia mengalami apa-apa sakit yang serius,” katanya seperti dilapor.


P’raya olok-olok: Pakatan cabaran besar BN berasas
Harakahdaily

IPOH, 2 Ogos: Keyakinan PAS Perak bahawa Pakatan Rakyat bakal memberi cabaran besar buat Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal berlangsung bila-bila masa sahaja ternyata berasas.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husain (gambar) menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan The Malaysian Insider hari ini menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) boleh kehilangan Perak dan Negeri Sembilan pada PRU ke-13, berdasarkan keputusan pilihan raya olok-olok.

Pilihan raya olok-olok tersebut diadakan sebagai langkah persediaan awal jentera BN untuk menghadapi PRU ke-13.

Pada Mac 2008, Umno bertanding di 34 daripada 59 kerusi Dewan Undngan Negeri di Perak dan menang 27 kerusi manakala MCA pula satu. Pakatan Rakyat pula memperolehi 31 kerusi.

Tidak sampai setahun memerintah, rampasan kuasa berlaku setelah beberapa episod lompat parti yang sedikit sebanyak menjejaskan pihak Kerajaan Perak ketika itu yang diterajui Pakatan Rakyat.

“Krisis dalaman yang dihadapi Umno kian meruncing dan ia terbukti dengan hasil keputusan pilihan raya olok-olok ini,” kata Abu Bakar dalam satu kenyataan di sini.

Lalu, ujarnya PRU 13 akan menjadi manifestasi bahawa rakyat tidak merestui perbuatan mereka merampas Perak daripada Pakatan Rakyat.

Justeru, beliau menggesa semua ahli PAS agar meningkatkan lagi hubungan dengan Allah SWT terutama sekali di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tegasnya, teruskan berkhidmat pada masyarakat agar Allah SWT berkenan untuk memberikan kemenangan Pakatan Rakyat menjelang PRU 13.


Dawama: Kenapa berlaku demikian
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: “Persoalannya kenapa berlaku demikian?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berhubung kakitangan Dawama diberi cuti tanpa gaji.

Katanya, paling malang notis cuti tanpa gaji dikeluarkan ketika kakitangan yang beragama Islam menyambut awal Ramadhan pada tahun ini.

Justeru, ujarnya penyiasatan menyeluruh perlu dibuat kenapa berlaku kepada agensi mendapat kontrak tetap daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mencetak dan memasarkan buku Kementerian Pelajaran Malaysia.

Baginya, negara dikejutkan dengan berita kakitangan Dawama diberi cuti tanpa gaji sehingga kepada satu waktu yang tidak dimaklumkan.

Hampir 400 kakitangan Dawama telah menerima notis tersebut bermula pada 1 Ogos (semalam) termasuk Sabah dan Sarawak.

Dawama ialah syarikat yang bertanggungjawab mencetak dan memasarkan bahan bacaan terbitan DBP menerusi kontrak yang ditandatangani pada 1 September 2002.

Tempoh kontrak dengan syarikat konsesi itu adalah selama 12 tahun dan akan tamat pada 2014.

Sejak tahun 2002, Dewan Bahasa dan Pustaka mengalami kerugian RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun.

Menurut Idris, sebelum diswasta DBP mencatat keuntungan setiap tahun RM20 juta.

DBP yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 dengan nama asalnya Balai Berita.

Beliau menambah, DBP yang diletak di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, yang menterinya sekarang ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti bertindak mengatasi kemelut Dawama.

“Setelah pemimpin Umno merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ketika memperkenalkan Matematik dan Sains, sekarang satu lagi pengkhianatan Umno terhadap institusi yang memartabatkan Bahasa Melayu mengalami krisis kewangan sehingga menjejaskan penerbitan DBP yang telah dimonopoli oleh Dawama,” ujarnya.

Katanya, kes Dawama menambahkan satu lagi hujah ketidakwibawaan kerajaan Barisan Nasional untuk menguruskan negara ini.

“Inilah akibat dasar penswastaan ala BN yang membebankan rakyat dan mengkayakan kroni,” ujarnya.

Akhirnya, kata beliau segala kerugian ini rakyat akan dibebankan, kerana kerajaan terpaksa mengambil alih syarikat yang menghadapi masalah.

Menurutnya, model penswastaan BN mudah sahaja hendak memahaminya, untung kroni sapu, apabila rugi rakyat tanggung.


Kenyataan pegawai SPRM ikut rentak Umno
Aslani

KOTA BHARU, 2 Ogos: Kenyataan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, Kelantan belum bebas rasuah kerana tiada laporan dibuat dianggap seperti kebudak-budakan.

Kenyataan itu dibidas pelbagai pihak sambil menganggap cuba memperbodohkan masyarakat. Ia juga memperlihatkan pegawai kerajaan seperti mengikut rentak Umno.

Kenyataan pegawai terbabit kemudian cuba dimanipulasi media proUmno sehingga ada rancangan khas di TV1 pagi tadi mengulas isu berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, mungkin pada peringkat permulaan ada pihak cuba membuat gimik terhadap dakwaan berlaku rasuah membabitkan pemimpin PAS di Kelantan.

”Usaha tersebut tidak lebih bagi menarik perhatian orang ramai semata-mata. Mereka juga sengaja mahu mencari publisiti murahan.

”Apabila Pengarah SPRM Kelantan membuat penjelasan tiada rasuah dikaitkan dengan kerajaan negeri tiba-tiba ada pula orang lain yang cuba mempertikainya,” katanya di sini.

Semalam media melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sultan berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tidak boleh mendakwa kerajaannnya bersih dari rasuah kerana tiada laporan dibuat.

Sedangkan Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd Noor mengesahkan tiada unsur rasuah termasuk membabitkan isu Bazar Tok Guru.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian dan peniaga Pasar Lama MPKB mendakwa wujud unsur penyelewengan dalam isu Bazar Tok Guru.

Kenyataan yang dikeluarkan Pengarah SPRM Kelantan itu kemudian dipertikaikan Pemuda Umno sehingga mendakwa ada pegawai SPRM berpihak kepada PAS.

Ahmad berkata, penjelasan dibuat pegawai SPRM terbabit menjelaskan dakwaan Umno kononnya pemimpin PAS terbabit dengan rasuah tidak berasas.

”Kita sentiasa memberi peringatan kepada pegawai dan pemimpin khususnya di bulan Ramadan ini terhadap perkara-perkara yang menyalahi tuntutan agama.

”Malah Menteri Besar berharap Kelantan berlainan berbanding negeri-negeri lain. Kalau dahulu orang datang ke sini sebagai laluan untuk pergi ke tempat maksiat, namun sekarang tidak berlaku lagi,” katanya.

Penolong Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Kelantan, Wan Zulkefli Wan Mohamad berkata, tiada laporan dibuat terhadap dakwaan penyelewengan di Kelantan kerana tidak ada bukti.

Katanya, pemimpin Umno hanya sekadar menuduh bagi memburukkan Kelantan di media massa, sedangkan mereka tiada bukti menyokong segala tuduhan dibuat.

Oleh itu kata beliau kenyataan pegawai kanan SPRM di Putrajaya Kelantan belum bebas rasuah kerana tiada laporan dibuat menggambar pegawai kerajaan terpaksa mengikut rentak Umno.


Najib mencari ‘Talian Hayat’
Dr. Dzulkefly Ahmad
31 JULAI — Bila penulis menerbitkan satu makalah “General Election in July, folks!” pada 20 Mei lalu, ia bukan bertujuan untuk ‘spin’. Mengimbas kembali, itulah ruang tarikh atau ‘window’ paling wajar menyerang-hendap atau ‘ambush’ Pakatan Rakyat. Pengumuman pembubaran parlimen boleh menjadikan perhimpunan Aman Bersih 2.0, 9-Julai lalu di satu kedudukan yang sukar diberikan tumpuan oleh penganjur. Lebih parah lagi bagi parti-parti politik yang dalam ‘panic mode’. Najib gagal.Malang buat Umno-BN, Perdana Menteri Najib tidak sehebat pendahulunya.

Najib kini sudah kehilangan jendela atau ‘window’ paling strategiknya. Sebaliknya, tidak keterlaluan kalau penulis nyatakan bahawa Najib mungkin sahaja akan kehilangan peluang untuk memimpin dalam perang PRU k-13 ini! Maksudnya, penulis meramalkan Najib akan disingkir sebagai Presiden Umno sekaligus Pengerusi BN sebelum PRU ke-13,.Begitu sekali? Ya, demi menyelamatkan Umno-BN, Najib akan bakal diketepikan. Sejarah akan berulang. Tun terpaksa diketepikan Umno untuk menyelamatkan parti Melayu itu, sebab telah menjadi ‘liabiliti’ terbesar perjuangan parti mereka. Ternyata strategi itu berbisa dan mengena. Pak Lah menang besar dalam PRU ke-11, April, 2004 itu, bahkan antara terbesar dalam sejarah politik pilihanraya Umno.

Kini Umno sedang menghitung opsyen atau pilihan strategik yang sama. Bezanya Tun diketepikan setelah terlalu lama memimpin; 22 tahun. Najib baru sahaja masuk tahun ketiganya. Najib pun belum pernah menang pilihanraya umum yang dikemudinya sendiri. Besar harapan Najib untuk membuktikan kepemimpinannya.

Mungkin sahaja itu akan tinggal cita-cita. Dia semacam akan tersungkur di garis permulaan tampaknya. Dia sedang menemui ‘ su’ul khatimah’ atau ‘kesudahan buruk’ dalam kerjaya politiknya. Bagi seorang ahli politik tambahan calon negarawan, kesudahan seperti itu amat mengaibkan dan mengerikan sekali.

Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib?

Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya (bukan ‘pendek kata’), Najib telah menjadi ‘liabiliti paling besar’ buat Umno diambang PRU ke-13 ini. Dia telah menjadi seumpama Tun dalam masa yang jauh lebih singkat. Bagi sebuah parti, yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa. Pemimpin boleh datang dan pergi. Tak ada siapa yang akan kekal. Tapi parti dan ‘perjuangan’ mesti dipertahankan, walau apapun.

Mungkin ‘mantra’ atau ‘maxim’ ini umum dan berkuatkuasa untuk semua. Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi. Tahap sokongan atau ‘approval rating’ beliau, mengikut dapatan beberapa pusat kajian polls, menunjukkan peningkatan pada peringkat awalnya menjadi PM. Najib telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan ‘pandangan awam’ atau ‘public opinion’ sehingga sanggup mengungkpakan bahawa ‘Era kerajaan tahu semua telah berlalu”. Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat.

Najib cuba perbaikki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh pra PRU ke-12 dengan mantranya “Rakyat di dahulukan dan prestasi diutamakan’. Kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baikpulih ‘persepsi’ terhadap partinya. Najib juga cuba mendekati dan melayani warga ‘netizen’ dan golongan muda dalam media baru- facebook dan twitter dan berinteraksi secara maya dan ‘engaged’ secara langsung juga dengan mereka.

Justeru, tidak hairan Najib masih boleh memenangi beberapa pilihanraya kecil sehingga keputusan mutakhir terikat pada kedudukan seri 8-8 sejak selepas PRU ke-12.

Namun amat malang bagi Najib, semakin ghairah beliau membuktikan kepimpinannya, semakin menyerlahkan kelemahan sebenar dirinya, samada pada rakyat atau pengundi dan lebih parah lagi kepada pendukung setia dan ‘warlords’ partinya sendiri, Umno.

Mutakhir ini, ‘tahap sokongan’ atau ‘approval rating’ terus merosot berbanding sedikit waktu dahulu. Tiga tahun adalah lama dalam politik. Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta kebocoron dalam pengurusan kewangan dan pembangunan Negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya. Najib seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu. Beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

Samada isu nama Allah, isu kepala lembu atau babi hutan. serangan terhadap rumah ibadat, Interlok, PPSMI, GMI, rampasan negeri Perak dan pelbagai lagi perilakunya dalam beberapa PRK khususnya di Sibu, Serawak dan Hulu Selangor, telah pun menyelak hakikat sebenar ‘dirinya’. Beliau ‘reckless’ atau tidak punya ‘jatidiri politik’ yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan.

Sebaliknya kata-kata tidak cermat, seperti ‘you help me dan I help u’ memperkuhkan pelbagai amalan buruk dalam rasuah politik pilihanraya. Memberi kedudukan tinggi orang yang sabit rasuah sementara dia mahu perang rasuah. Dia sinonim dengan tabiat flip-flop, satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan. Beliau hanya mahu ‘sokongan’ semua.

Kini Najib berdepan pelbagai ujian getir. Rakyat dan pengundi terus menilai sementara partinya terus cemas serta rimas dengan prestasi Najib dan mutakhir ini gelagat buruk dan perilaku ‘first ladynya’ . Ia memburukkan lagi peluang Najib. Berbelanja besar dan ‘taste’ atau selera hyper-mewah berlawanan dengan anjuran menyuruh rakyat bercermat. RM4.5 juta menganjur Persidangan Wanita Pertama Dunia yang dihadiri 14 wanita pertama kebanyakan dari Negara Afrika bukan satu yang wajar dalam 13 tahun bajet defisit yang ditanggung kerajaan BN.

Beg tangan, gelang tangan mewah dan cincin belian didakwa RM24 juta yang ada hubungkait dengan FLOM itu amat tidak disenangi rakyat yang dianjurkan berjimat dalam mendepani himpitan kos saran hidup yang tinggi. Perbelanjaan besar rumah kediaman PM dan TPM juga dipandang cukup jelek oleh rakyat. Pertikaian pelbagai pihak tentang ‘entourage’ keluar Negara seperti urusan pra-pertunangan di Kazakhstan masih menantikan pertanggungjawaban secara telus dan amanah.

Najib kini kehilangan ’goodwill’nya atau ‘sangka baik’ dan ‘hormat’ rakyat pada dirinya. Ini petanda buruk bagi seorang pemimpin, khususnya ketua sesebuah kerajaan.

Bersih 2.0 pula terus menyerlahkan kepimpinan buruk Najib dan kegagalan beliau menangani cabaran Politik Baru. Kini rakyat-pengundi yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik samada kerajaan atau pembangkang.

Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang ‘kotor’ dalam sistem pilihanraya. Ini termasuk hal kekotoran dalam daftar pemilih dan mengundi lebih sekali. Isu dakwat kekal lawan kaedah biometric akan terus menjadi polimik tajam. Najib gagal menangani isu semudah ini. Ataukah beliau mahu menyerlahkan niat jahat kerajaannya?

Kezaliman dan tindakan ganas pihak PDRM terhadap peserta Bersih 2.0 satu hal yang menunjukkan bahawa Najib dan menteri-menteri gagal memahami bagaimana mendahulukan rakyat dan faham bahawa ‘era kerajaan tahu semua sudah berlalu’. Najib mendapat liputan buruk media dalam dan luar Negara, termasuk kritikan dari pimpinan politik dalam partinya seperti Saifudin Abdullah dan Khairy Jamaludin., Kedua-dua tokoh pemimpin muda Umno. Mungkin ramai yang takut bersuara.

Tidak pernah disaksikan betapa masyarakat ‘netizen’ media sosial memarahi pemimpin parti politik seteruk kali ini. Tetapi dengan Najib ini, selepas Bersih 2.0, lebih 200,000 warga sebuah facebook menuntut Najib berundur segera. Ini cukup menyiksakan seorang pemimpin! Paranoia atau kegilaan pentadbiran Najib terhadap warna ‘Kuning’ sudah sampai ke peringkat satu ‘disorder’ atau ‘kecelaruan’ pemikiran yang patologik. Ramai yang menjadi mangsa ‘xanthophobia’ ini.

Semacam tidak memahami realiti akar umbi, Najib terus membuka pelbagai ‘front’ memerangi rakyat-pengundi yang sepatutnya dimenangi hati-budi mereka. Umno-BN terus memerhatikan Najib yang bertindak ‘sumbang’ mungkin dengan nasihat pelbagai firma ‘consulting’nya termasuk APCO, yang tidak tahu waqi’ atau realiti politik Negara dan salur-galur psiki orang Melayu, kaum Cina-India dan ratusan etnik dari sabah dan Sarawak.

Najib wajar melebarkan lingkungan kawan dan memperkcilkan daerah lawan. Perilakunya mencetuskan kesan sebaliknya. Najib tidak tahu bahawa beliau punya musuh dalam selimut. Najib melalui sepupunya Hishamuddin menahan 6 pemimpin Parti Sosialis Malaysia, yang hari ini dinobat sebagai PSM06 atau EO6. Dr Jeyakumar, MP Sg Siput yang juga ditangkap telah memulakan mogok laparnya. Atas tekanan rakyat, penulis meramalkan mereka akan di bebaskan. (Telah pun). Menteri Sumber Manusia dari MIC dan Presiden terpaksa mengkritik dan ‘broke-rank’ lantas mengecam kerajaan Najib atas tahanan di bawah Ordinan Dharurat 1960.

Semacam tidak cukup menimbulkan musuh dan tentangan terhadap kerajaannya, Najib mengizinkan mantan Mufti Perlis dan kelompok ‘ulama muda Umno’ dilabel sebagai Wahhabis dan sekaligus dicap sebagai ‘terroris’. Golongan yang beriya-iya membela Umno ini juga dimusuhi pentadbiran Najib. Ini tentunya akan mencetuskan amarah rakyat Melayu-Islam, yang pelik dan sangsi dengan apa tujuan disebalik semua tindakan ini.

Front perang antarabangsa juga dibuka oleh Najib ketika secara ‘terdesak’ mengambil tindakan menahan lantas ‘mendeport’ William Bourdon, peguam hak asasi manusia yang menjadi peguam sebuah NGO, Suara Rakyat Malaysia, SUARAM, yang mengangkat pendakwaan rasuah dalam perolehan kapal selam Scorpene di Mahkamah Perancis.

Peguam yang datang untuk berucap dalam program ‘fund raising’ Suaram bagi membiayai kes perbicaraan terhadap dakwaan rasuah syarikat Perancis DCNS yang membekalkan kerajaan Malaysia kapal selam scorpene, akhirnya dihantar pulang setelah didakwa melanggari peraturan visa kemasukannya. Sekali lagi rakyat dan dunia memerhatikan apa pulak yang cuba dilindungi Najib kali ini. Kes akan didengari di Mahkamah Perancis pada bulan September tahun ini.

Bermakna Najib kini terpaksa berdepan dengan risiko besar dengan apa yang bakal didedahkan siasatan peguam Suaram ini. Mampukah Najib mengangkis persepsi buruk ini, jika sebutan itu membabitkan orang kepercayaannya? Mampukah Umno menerima dampak buruknya seandai dapat di dedahkan Willaim Bourdon nanti skandal perolehan scorpene tentang siapa antara penerima RM540 juta itu?

Najib terus ditimpa nasib malang kerana mantra keramat “1-Malaysia” nya pada awalnya adalah memenangi pengundi kaum Cina dan India yang telah menyokong pembangkang. Ini pendekatan ‘inklusif’ atau ‘keterangkuman’nya. Sedari awal mantra ini kurang disenangi oleh partinya sendiri. Ia dilihat terlalu lunak kepada kaum bukan-Melayu. Mahyuddin sedari awal telah menyanggah dengan beliau bertegas dia Melayu dulu ‘Malay first’ sesuai dengan slogan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Ketuanan Melayu’ yang didukungi Umno sejak azali.

Pelbagai pendekatan ‘inklusif’ Najib tidak di’kongsi’ oleh partinya dan Perkasa digunakan oleh ‘warlords’ Umno seperti Tun Malhathir untuk membantah segala program Najib termasuk agihan projek MRT dan pelbagai lagi yang dilihat terlalu “1-Malaysia”. Seawalnya Perkasa mahu mengheret Najib sebagai bertindak bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153 dsbnya.

Kini Najib bukan sahaja dilihat gagal membaikpulih ekonomi dengan segala program transformasinya bermula NKRA, NKEA, SRI, Model Ekonomi Baru (NEM), ETP dan EPP, tetapi ditanggapi ‘warlord’ partinya sendiri sebagai menghakis ‘penguasaan politik’ dan ‘kedudukan ekonomi’ orang Melayu. Penubuhan Teraju, penghapusan Suruhanjaya Peluang Saksama (EOC) dan pelbagai tindakan bolak-balik dan ‘patah-balik’ tidak dapat merawat ‘kemarahan warlords’ partinya sendiri. Model Ekonomi Barunya (NEM) terpaksa ditenggelamkan akibat serangan partinya sendiri. Hakikat tentangan dari dalam ini tidak mudah Najib tangani. Ia lebih menusuk jiwanya dari serangan Pakatan Rakyat dan masyarakat sivil. Tegasnya, cita-cita transformasi ekonomi pasti akan menemui kegagalan kalau ia tidak didahulukan dengan reformasi. Reformasi telah menjadi satu perkataan ‘lucah’ atau ‘bad word’ buat Umno dan Najib. Najib tersepit dan digigit dek partinya sendiri.

Mutakhir ini dan sedikit berlain adalah penubuhan Angkatan Amanah Rakyat (Amanah) oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan kawan-kawanya. Ia tidak boleh dipandang mudah oleh Najib. Mereka bukan parti pembangkang dan bukan juga 62 NGOs yang menubuhkan Bersih 2.0. Mereka adalah ahli Umno dan BN, sebahagian besar adalah pemimpin atau mantan pemimpin Umno-BN dan berjawatan dalam kerajaan seperti Kadir Sheikh Fadzil, Syed Hamid Albar, Osu Sukam dan dari MCA seperti Ong Tee Keat. Penentangan mereka adalah atas dasar menentang “korupsi, kronisme dan krisis perkauman” yang membarah dan endemik dalam Umno dan BN.

Mereka juga mahu menjadi kuasa ketiga dan sanggup menentang Najib. Apakah mereka bersedia untuk bersama Pakatan dalam satu “Grand Coalition” untuk menjatuhkan kuasa Najib dan Umno-BN? Apakah ‘game-plan’ atau strategi Ku Li. Tidak jelas sehingga kini. Yang jelasnya mereka sangat marah kepada Najib yang dilhat gagal mengeluarkan Negara dari segala macam krisis yang mereka juga adalah sebahagian darinya satu masa dahulu.

Di persimpangan kritikal ini, Najib semacam keseorangan. Yang jelasnya menyokongnya ialah Rosmah. Kalau cepat dilakukan PRU ke-13, ramai yang mahu terus bertanding akan terus terpaksa bersamanya. Sebabnya dalam tradisi Umno, Presiden menentukan calon-calon. Tetapi kalau lambat, tak siapa pun takut dan segan kepada Najib. Dan masa tidak menyebelahinya. Kalau mahu tunggu lepas Bajet, yakni bulan Oktober-November, skandal Scorpene menghantuinya. Kalau mahu tunggu tahun depan Mac-April, pemilihan partinya menjadi Najib lebih gusar dan gundah gulana.

Di persimpangan ini, kombinasi fraksi 3-M – Mahyuddin, Mukhriz dan Mahathir, dikatakan tidak akan duduk sahaja untuk menyaksikan partinya mereka punah kerana gelagat Najib-Rosmah. Usaha Najib mengembalikan sokongan kaum Cina-India disaksikan sebagai gagal. Umno mungkin sahaja memikirkan supaya jangan buang masa dengan kelompok kaum ini.

Apakah Mahyudin-Mukhriz-Mahathir akan merancang manjtauhkan Najib bagi mempastikan Umno berpeluang untuk terus menguasai kepimpinan Negara? Mampukah fraksi 3-M ini mengekalkan sokongan kaum Cina dan India yang cuba dimenangi Najib? Tentunya tidak. Mampukah Umno bertahan dengan hanya sokongan Melayu yang juga terbelah dua? Apakah mereka ini disokong fraksi Amanah Ku Li?

Umno jelas di kedudukan yang paling kritikal sejak pasca PRUke-12. Mereka masih belum mendapat sentuhan strategi keramat lagi. Apakah Najib-Rosmah akan terpaksa dikambinghitamkan bagi memberi laluan kepada parti Melayu tertua di dunia ini untuk terus berkuasa?

Jelasnya, Najib akan terus mencari talian hayatnya untuk kekal bernafas di Putrajaya.

Perkara Haram Dalam Perniagaan

Oleh: Abdul Muhaimin Mahmood

Penolong Pengarah
Cawangan Muamalat dan Sosio Ekonomi (CMSE)
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jakim
Islam sangat menggalakkan aktiviti perniagaan. Banyak ayat dan hadis yang mengalakkan dan menyokong aktiviti perniagaan. Perniagaan juga dianggap sebagai punca rezeki yang paling banyak. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam satu hadis bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis riwayat Tirmizi).
Perniagaan merupakan mekanisma untuk manusia mendapatkan harta dan barangan yang diingini. Manusia adalah makhluk yang lemah dan saling memerlukan yang lain. Pensyariatan perniagaan ini adalah bagi memenuhi fitrah semulajadi manusia. Melalui perniagaan ini, manusia boleh memenuhi keperluan dan tuntutan individu, masyarakat dan negara.
Dalam Islam perniagaan dianggap sebagai satu aktiviti yang sangat mulia. Ia merupakan ibadah dan juga sunnah rasul SAW. Bagi mereka yang melaksanakan aktiviti peniaga dengan amanah, mereka turut dijanjikan balasan syurga bersama para nabi, orang soleh dan syuhada’. Namun demikian, sekiranya ia dilakukan luar dari batasan syariat Islam maka ianya tidak lagi dianggap ibadat tetapi tetapi aktiviti yang boleh mendatangkan padah kebinasaan baik di dunia dan akhirat.
Perkara yang diharamkan dalam perniagaan
Sungguhpun aktiviti perniagaan dianjur dan digalakkan dalam Islam, ia tidak bermakna manusia bebas menentukan tatacara perniagaan tanpa ada prasyarat yang mesti dituruti. Bagi menjamin kemaslahatan manusia terjamin dan terpelihara, Islam telah mengharamkan beberapa perkara dalam aktiviti pernigaan. Antara perkara yang dilarang dalam aktiviti perniagaan ialah:

1. Riba.

Riba merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam. Orang yang menyatakan riba adalah halal akan menjadi kufur dan terkeluar dari Islam, kerana riba adalah salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim yang disebutkan secara jelas dalam al-quran dan sunnah tentang pengharamannya.
Dimaksudkan dengan riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh. Di dalam surah al-Baqarah, ayat 289 dirakamkan bahawa Allah dan rasul memerangi pemakan riba. Firman Allah, mafhumnya:Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (Surah al-Baqarah: 289).
Dalam menjalankan aktiviti perniagaan, amalan riba hendaklah dielakkan sepenuhnya. Peniaga yang baik dan diredhai Allah SWT ialah peniaga yang mampu berniaga dengan berpandukan peruntukan syarak, bebas dari sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, membuat simpanan, membuat pelaburan dan seumpamanya.

2. Memeras ugut dan megambil harta dengan cara yang batil

Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah). Megambil harta orang lain dengan cara yang batil dan salah ini boleh berlaku dalam pelbagai cara dan bentuk seumpama mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya. Sekiranya seseorang berkeinginan kepada barangan dan sesuatu yang berharga pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang dianggap sebagai cara yang salah dan batil.
Pengharaman perbuatan seumpama memeras ugut dan megambil harta orang lain dengan cara yang batil ini, jelas disebutkan dalam sural al-Nisa ayat 29 mafhumnya: (Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu).
Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT melarang hambanya yang beriman dari memakan harta sesama mereka dengan cara yang batil iaitu dengan pelbagai perbuatan yang tidak syarie seumpama riba, judi dan seumpama dengannya dari pelbagai jenis helah yang menjuruskan kepada riba (Ibn Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi al-Dimashqi, Tafsir al-Quran al-azim, Dar Thibah Lil Nashr wa al-Taizi’, 1999/1420H, jld.2, hlm.268).

3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan.

Dalam keghairahan mempromosi dan menarik pelanggan, pelbagai cara dan strategi dibuat dengan tujuan melariskan barang jualan. Sungguhpun perbuatan itu dibolehkan, namun sebagai perniaga yang beriman mereka sewajarnya tidak alpa dan lupa bahawa Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam pernigaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.
Pelbagai cara penipuan boleh berlaku dalam aktiviti perniagaan seperti memalsukan tandatangan, menjual barang tiruan dengan harga yang mahal dan menipu pelanggan dengan iklan-iklan yang palsu.
Termasuk juga dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan seperti menyatakan “demi Allah, barang ini adalah paling murah dijual di kota ini dan saya hanya menjual harga modal sahaja” sedangkan hakikat yang sebenar adalah sebaliknya.

عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏مَرَّ عَلَى ‏ ‏صُبْرَةِ ‏ ‏طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا ‏فَنَالَتْ ‏ ‏أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ ؟ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . قَال َأَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ ‏ ‏مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي. أي : من غش فليس على دينيى الكامل. رواه مسلم

Maksudnya:
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).

عَنْ ‏ ‏أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ ‏أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ ‏‏إِيَّاكُمْ وَكَثْرَةَ الْحَلِفِ فِي الْبَيْعِ فَإِنَّهُ يُنَفِّقُ ثُمَّ ‏ ‏يَمْحَقُ. أيْ: فأن كثرة الحلف فى البيع قد يؤدي ألى رواج السلعة إلا أنه بعد ذلك إلى يُزِيل الْبَرَكَتها.

Maksudnya:
Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah mendengar rasulullah SAW bersabda, awas kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan barakahnya.
Berpandukan kepada dua hadis ini, sebagai peniaga yang beriman dan berpegang teguh kepada ajaran agama ia hendahlah mengelak dari sebarang bentuk penipuan dan banyak bersumpah dalam keghairahan melariskan barangan jualan dan mendapat keuntungan daripadanya.

4. Rasuah.

Rasuah juga merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bidang termasuklah dalam aktiviti perniagaan. Sesetengah orang beranggapan rasuah/ duit kopi/ duit under-table ini adalah satu kemestian dalam perniagaan. Ini kerana pada mereka dengan rasuah ia boleh membantu mengenali orang-orang penting, membantu mendapat projek dan peluang pernigaan yang lebih luas, memudahkan perjalanan projek dan dapat juga membantu memudahkan after sale servis yang dijanjikan. Pendek kata tiada apa yang tidak dapat dilakukan jika dihulurkan dengan sedikit wang ringgit.
Setengah mereka berselindung dengan menukarkan istilah rasuah itu dengan kata-kata lain seperti pertolongan/ bantuan/ hadiah/ sedekah dan seumpamanya. Sememangnya rasuah jauh berbeza dengan sedekah dan hadiah. Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar. Sedekah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mendapatkan balasan pahala dari Allah SWT semata-mata, sedangkan hadiah pula adalah pemberian yang dibuat dengan tujuan mempereratkan lagi ikatan silatul rahim dan kasih sayang.
Rasuah kadangkala membawa keuntungan yang berlimpah, namun mesti diingat bahawa ia juga akan menghakis keberkatan dalam perniagaan, bahkan mereka akan mendapat laknat daripada Allah SWT. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah,Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ ‏ ‏عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ‏ ‏قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي.

Maksudnya:
Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.
Gejala rasuah dalam semua situasi dan kondisi termasuk dalam menjalankan aktiviti perniagaan adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan merupakan perbuatan haram lagi tercela. Sebagai peniaga yang beriman, perbuatan terkutuk ini hendaklah dihindari agar keberkatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat dapat dikecapi oleh semua.

5. Memonopoli barangan (ihtikar).

Perbuatan memonopoli barangan keperluan awam juga adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Monopoli barangan keperluan sepeti gula, beras, minyak dan seumpamanya biasanya dibuat para peniaga agar barangan keperluan berkurangan dipasaran dan hasilnya harga barangan tersebut dapat dinaikkan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda. Perbuatan terkutuk ini adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudharatan dan kesulitan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah. Dalam satu hadis Rasullah SAW bersabda;

عن معمر أن النبي (ص) قال: " من احتكر فهو خاطئ" . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. رواه مسلم.

Maksudnya:
Dari Ma’mar bahawa Rasulullah SAW bersabda; Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan. Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.
Menurut Ibn Taimiah dan muridnya Ibn Qayyim, antara bentuk monopoli yang diharamkan juga boleh berlaku dengan cara para perniaga bersepakat antara satu sama lain bagi menjual barangan dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran.
Hikmah diharamkan perbuatan monopoli ini adalah bagi menolak kemudaratan atau kesulitan terhadap masyarakat umum. Para fuqaha telah berijmak pendapat bahawa sekiranya seseorang mempunyai makanan yang tidak ada pada orang lain; sedangkan orang lain sangat memerlukannya, maka dalam situasi seumpama ini diharuskan bagi pemerintah untuk memaksa pemilik makanan tersebut supaya menjual makanan yang berada dalam simpanannya. Tujuannya adalah bagi menolak kemudaratan terhadap masyarakat. (Al-Banhawi, Mohd Abdul fattah, Fiqh al-Muamalat Dirasah al-Muqaranah, Jamiah al-Azhar, Tanta, 1999, hlm. 223)

6. Larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan.

Dalam keghairahan mencari keuntungan dalam perniagaan, Islam menuntut para perniaga bersikap amanah dan tidak mengaburi mata pelanggan dengan pelbagai helah seperti mengurangkan kadar timbangan dan sukatan. Perbuatan seumpama ini adalah dilarang dan tercela dalam Islam. Termasuk juga dalam kategori tidak menyempurnakan sukatan dan timbangan ini, perbuatan mengurangkan kualiti dan kuantiti sesuatu barangan.
Bagi menunjukkan hina dan tercelanya perbuatan menipu dalam sukatan dan timbangan ini, Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya:Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.
Terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar disempurnakan sukatan dan timbangan dalam aktiviti pernigaan. Antaranya firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 35, mafhumnya: dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). Dalam surah al-Rahman ayat 9, Allah SWT berfirman, Maksudnya: dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang.
Semua ayat tersebut memerintahkan agar disempurnakan timbangan dan sukatan. Bahkan dalam surah al-Isra’ tersebut, Allah SWT turut menjanjikan kesan dan kesudahan yang baik di dunia dan di akhirat bagi mereka yang berbuat demikian. Namunpun demikian, wajar diingatkan bahawa sekiranya perintah dan suruhan ini tidak diendahkan, ia boleh menyebabkan turunnya bala dan azab Allah SWT, sebagaimana berlakunya terhadap penduduk Madyan, kaum nabi Syuib.

7. Larangan membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak.

Sebagaimana dijelaskan bahawa Islam sangat menggalakkan sebarang bentuk aktiviti perniagaan. Namun demikian, Islam melarang dan menegah sama sekali sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan, bukannya kepada kebaikan dan ketakwaan. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : « من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها »

Maksudnya:
Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda: Barang siapa membeli barangan curi, sedang ia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.
Masalah ini adalah sama dengan keadaan orang yang menjual anggur kepada pembuat arak, atau menjual senjata kepada orang yang ia tahu akan menggunakannya untuk memudharatkan orang Islam. Jual beli dalan situasi seumpama ini adalah haram kerana ianya seumpama menolong ke arah berbuat dosa dan permusuhan. Perihal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW:

‏ابْنَ عُمَرَ ‏ ‏يَقُولُ ‏قَالَ رَسُول ُاللَّهِ‏ ‏صَلَّى اللَّه ُعَلَيْه ِوَسَلَّمَ ‏ ‏لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا ‏ ‏وَمُبْتَاعَهَا ‏ ‏وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya:
Ibnu Umar berkata: "Rasulullah SAW bersabda, Allah melaknat arak, peminum, penghidang, penjual, pembeli, pemerah, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya”

عَنْ عِمْرَانَ بن حُصَيْنٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"نَهَى عَنْ بَيْعِ السِّلاحِ فِي الْفِتْنَةِ

Maksudnya:
Dari Imran bin Husain, “Sesungguhnya Rasulullah melarang menjual senjata ditengah berlangsungnya fitnah (perselisihan)”
Seumpama itulah juga, haram dan berdosanya perbuatan menjual apa-apa barangan yang membawa kepada kerosakan akhlak dan membantu kepada tersebar luasnya perkara yang keji dan hina seumpama fitnah dan sebagainya.

8. Haram menjual najis.

Telah berlaku Ijma’ dikalangan fuqaha tentang haramnya sebarang bentuk perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya. Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ianya boleh mendatagkan mudarat dan kerosakkan dimuka bumi.

عن ‏جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ‏ ‏يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ ‏ ‏حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ

Maksudnya:
Dari Jabir bin Abdullahkatanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.
Penutup
Demikian adalah antara perkara-perkara yang diharamkan dalam aktiviti jual-beli atau perniagaan. Kesemua larangan dan tegahan yang disebutkan di atas cukup mencerminkan kesempurnaan dan kesyumulan syariat Islam. Semua perkara yang haramkan ini adalah perkara yang boleh mendatangkan mudarat dan kesulitan kepada manusia. Sekiranya semua manusia bepegang teguh dengan ajaran dan panduan Islam, nescaya semua akan mendapat rahmat Allah SWT dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: