Rabu, 6 Julai 2011

JANGAN KITA MENGADU DOMBA...TAK ELOK...TAK CIUM SYURGA NANTI....

Gambarkan himpunan Bersih 2.0 ganas, strategi kuno - Presiden PAS
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Tindakan kerajaan Umno BN cuba menggambarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai ganas adalah strategi kuno dan lapuk, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sambil menyelar tindakan itu, beliau turut mengecam tindakan pemimpin Umno BN yang dakwanya berselindung di sebalik pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

"Provokasi demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih 2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya.

"Kami ingin memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada zaman ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap beberapa siri tangkapan dan juga penemuan terbaru polis yang mengaitkan Bersih 2.0 sebagai himpunan ganas.

Ianya termasuk rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang semalam antaranya 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo BERSIH.

Semuanya dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek Pertama.

Tidak cukup dengan itu, beberapa siri tangkapan termasuk anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang menyebarkan risalah Bersih dan maklumat kepincangan negara dibawah BN kepada rakyat Johor, juga cuba dikatkan dengan Komunis.

Antaranya ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM lain yang ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).

Mengulas siri tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong Bersih itu, presiden PAS itu mendakwa ia bukti kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan semakin tidak waras dalam menangani isu.

"Dengan ini PAS mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah menjadi mangsa di tahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN ini," katanya lagi.

Himpunan Bersih 2.0 ujarnya adalah untuk mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, bukan himpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi.

Tambahnya, sememangnya sudah sekian lama Pakatan Rakyat berusaha untuk menumbangkan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, dan ia bukan lagi suatu yang rahsia.

Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan mereka.

"Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya.

"Di Australia, seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi.

"Sebaliknya Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya, sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru.

Sehubungan itu beliau turut mengingatkan Umno BN agar sedia berundur secara terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan dan membebaskan SPR dan jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng.

"PAS menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan," tegasnya.


MB tawar stadium Selangor untuk Bersih 2.0

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 5 Julai: Selangor tampil negeri pertama menawarkan stadium negeri untuk digunakan penganjur himpunan Bersih 2.0 selepas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersetuju untuk diadakan di stadium.

Tawaran itu dilontarkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang ini, lapor TV Selangor.

Beliau berkata sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk kepada syarat- syarat biasa yang dikenakan kepada pihak yang mahu menggunakan premis sebegitu.

"Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid.

Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan.

"Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih.

"Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau.

Tengah hari tadi penganjur Bersih 2.0 menghadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat baginda supaya perhimpunan aman pada 9 Julai ditukar ke stadium.

Peniaga dedah jadi mangsa percaturan persatuan
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 5 Julai: “Kami menjadi mangsa percaturan persatuan. Kami kesal sangat dan tak sangka dipermainkan persatuan sendiri.

”Tapi kesal pun dah tak berguna dah sekarang. Begitu setia kami kepada persatuan ketika itu. Ketika diminta kerajaan negeri membuat pendaftaran awal kami enggan kerana mengikut arahan persatuan.

“Sedangkan ada orang kuat Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB senyap-senyap daftar,” dedah seorang peniaga ketika ditemui di Bazar Tok Guru.

Isu Bazar Tok Guru menjadi kalut apabila Umno Kota Bharu dan Kelantan bertengek di situ kononnya mahu membela persatuan dengan menghodohkan kerajaan negeri.

Lebih setahun kerajaan negeri dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi mangsa kritikan media massa yang dekat dengan Umno.

Kemuncaknya Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh mencetak risalah dikenali sebagai Khabar dan diedar di masjid-masjid bagi menghentam kerajaan negeri.

Sedangkan nasib peniaga tetap dibela kerajaan negeri apabila mengurangkan harga asal daripada RM88,000 kepada RM65,000 di tingkat bawah dan satu.

Malah peniaga juga diberi kelonggaran berniaga secara percuma selama setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu.

Peniaga terbabit mendedahkan lagi kerana percayakan persatuan mereka tidak mengindahkan kemudahan ditawar kerajaan negeri untuk mendaftar lebih awal.

Rungutan serupa juga disuarakan beberapa lagi peniaga. Tanpa mahu mendedahkan nama mereka sekarang seperti sesal tak sudah.

Sebahagian peniaga membuka kedai mereka mulai semalam. Selain ada juga peniaga sibuk memunggah barang ke dalam lot kedai.

Biar pun sibuk mengemas dan menyusun barangan jualan, semakin ramai pelanggan datang membeli-belah.

Bazar Tok Guru dijangka menjadi tumpuan ramai apabila berlangsung Ekspo masakan Cheng Ho (Kelantan Chengho International Food Festival 2011 - Kelchef). Program bertaraf antarabangsa itu pertama kali diadakan di negara ini, dianjurkan kerajaan Kelantan.

Kelchef akan diadakan bermula 14 hingga 23 Julai ini berhampiran Bazar Tok Guru. Tahun lepas kerajaan negeri menganjurkan Ekspo Cheng Ho di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV.

Seorang lagi peniaga, Sarina Abdul Rashid, 35, ketika ditemui berharap rezeki mereka bertambah di tempat baru terutama ketika berlangsung Kelchef.

“Pelanggan tak ramai lagi kerana tempat baru. Saya minta kerajaan negeri terus mempromosikan tempat ini.

“Kita juga berharap perasmian tempat ini diadakan sekali dengan solat hajat yang amalan biasa bagi umat Islam,” ujarnya.

Zuraidah Ishak, 53, tersenyum pada hari kedua berniaga di Bazar Tok Guru kerana pelanggan mula datang.

Rosnani Yusof, 35, pula mencadangkan PMBK membina peneduh tambahan bagi menghalang tempias apabila hujan lebat. Selain itu dibina pagar di setiap tangga bagi memudahkan warga emas dan kanak-kanak turun naik.


Polis halang taklimat himpunan Bersih
Harakahdaily

PETALING JAYA, 5 Julai: Walaupun Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pihak Bersih menghadap di Istana Negara petang tadi, namun pihak polis masih lagi tidak membenarkan program Bersih diadakan.

Majlis taklimat himpunan aman Bersih kepada para penyokong Pakatan Rakyat Subang yang dijadualkan berlangsung malam ini di Dewan Komuniti Seksyen 7, Kota Damansara masih dihalang oleh pihak polis.

Pihak polis telah mengepung pekarangan dewan sebelum waktu Maghrib bagi menghalang orang ramai memasuki kawasan itu walaupun majlis dijadualkan bermula jam 9.00 malam.

Dengan sekitar 100 anggota termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis trafik yang mengadakan kawalan di situ menyebabkan orang ramai terhalang daripada memasuki kawasan dewan.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah yang tiba kira-kira jam 9.00 malam dan Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim 45 minit kemudian juga dihalang daripada memasuki dewan.

Mereka cuba masuk ke dalam dewan tetapi dihalang oleh polis yang memaklumkan bahawa menerima arahan daripada pihak atasan supaya majlis itu tidak diadakan.

Setelah berunding, pihak polis membenarkan mereka berucap di luar dewan tanpa pembesar suara.

Atas arahan polis, orang ramai bersurai kira-kira jam 10.00 malam tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sebahagian besar anggota polis yang bertugas di situ meninggalkan kawasan dewan sekitar jam 10.40 malam.

Hadir sama ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Subang dan Ketua Muslimat, Ir Masni Mohd Dahlan dan Siti Rohaya Ahad.

Sementara itu, pegawai khas Sivarasa, Peter Chong memberitahu majlis itu diadakan bagi memberi penerangan kepada para penyokong Pakatan Rakyat mengenai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian semasa menyertai himpunan aman Bersih pada 9 Julai ini.

Katanya, para peguam sepatutnya memberikan taklimat tersebut tetapi tidak dapat diadakan kerana dihalang pihak polis.


Presiden PAS ucap takziah
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah di atas kematian anak AJK PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan bapa ahli MPP PKR, Dr Badrul Amin Bahron.

“Moga Allah mengampunkan mereka dan menempatkan bersama orang yang soleh,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ayah Dr Badrul Amin, Haji Bahron Mohd Tahir, 78, meninggal dunia di Hospital Tawau, kira-kira jam 1.00 petang semalam kerana jangkitan kuman pada jantung.

Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Wallace, Jalan Utara Tawau selepas disembahyangkan di Masjid Raya Tawau oleh ratusan sekitar dan ahli keluarga.

Sementara, Abdul Aziz Mohd Azmi, 13, anak Nuridah kembali ke rahmatullah pada 12.00 tengah malam kelmarin.

Abdul Aziz yang mula belajar di Cape Town, Afrika Selatan tahun lepas meninggal dunia selepas kira-kira sebulan menjalani pembedahan kerana ketumbuhan pada tulang belakang.

Sebelum itu, Allahyarham demam tetapi tidak dapat bangun dan menggerakkan badan.

Beliau menjalani pembedahan dengan ditemani ibu dan bapanya.


Permohonan Syabas penjarakan Lutfi, Fahdah ditolak
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak dengan kos permohonan usul pemula yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi mensabitkan Ahmad Lutfi Othman dan Peguam Puan Fahdah Ahmad Kamar menghina mahkamah.

Mahkamah telah mengarahkan Syabas membayar kos sebanyak RM40,000 ke atas Ahmad Lutfi dan Fahdah.

Pada 10 Mac lalu pihak Syabas telah memfailkan usul pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas dakwaan Ahmad Lutfi dan Fahdah dikatakan menghina mahkamah di atas satu artikel yang diterbitkan oleh akhbar Harakah bertarikh 7 Disember 2010 bertajuk "SAR bantu kempen kenaikan tarif air".

Di dalam afidavit yang difailkan oleh pihak Syabas mendakwa kononnya artikel itu mengandungi pernyataan dari Fahdah yang dikatakan menjejeskan kes tuntutan sivil pihak Syabas ke atas Kerajaan Selangor berhubung isu kenaikan tarif air.

Syabas mendakwa artikel tersebut boleh menjejaskan perbicaraan yang adil ke atas kes tersebut kerana Fahdah adalah peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor dalam tuntutan yang dibawa oleh Syabas.

Ahmad Lutfi diseret sekali di atas kapasitinya sebagai Ketua Pengarang Harakah.

Fahdah diwakili oleh Tommy Thomas manakala Ahmad Lutfi diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Cik Azhana Kamaruddin.

Pada 3 Jun yang lalu kedua-dua pihak telah berhujah di hadapan Hakim Arif Yusuf di mana antara lain peguam yang mewakli Fahdah dan Ahmad Lutfi berhujah permohonan menghina mahkamah yang difailkan oleh Syabas tersebut adalah bertentangan dengan hak kebebasan bersuara dan kebebasan media yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Tommy Thomas berhujah terdapat perbezaan antara perbicaraan di hadapan juri dan perbicaraan di hadapan hakim di mana dalam perbicaraan di hadapan juri sesuatu berita tentang kes sesuatu yang sedang berjalan lebih mudah mempengaruhi seorang juri yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang.

Sedangkan di Malaysia, katanya yang tidak memakai sistem juri semua perbicaraan mahkamah dikendalikan oleh seorang hakim yang lebih arif tentang undang-undang dan tidak akan mudah terpengaruh dengan mana-mana laporan berita tentang kes sesuatu yang sedang berjalan di mahkamah.

Peguam Hanipa Maidin pula berhujah kes kenaikan tarif air adalah suatu kes berkepentingan awam dan Harakah telah secara konsisten menyiarkan berita tersebut sebelum artikel "SAR bantu kempen kenaikan tarif air" diterbitkan.

Artikel tersebut, hujah Hanipa, adalah satu rententan berita yang berterusan tentang suatu isu yang berkepentingan awam yang wajar diambil tahu oleh mana-mana anggota masyarakat.

Dalam hujahnya, beliau berkata rakyat berhak mengambil tahu tentang kenapakah tarif air boleh dinaikkan sedangkan dalam masa yang sama dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas mendapat gaji yang amat tinggi setiap bulan.

Kesan permohonan Syabas akan menjadikan hak kebebasan media tidak lagi berkesan dan menjadi khayalan semata-mata, katanya.

Selangor jayakan perumahan mampu milik

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 5 Julai: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bersedia dengan semua kelengkapan dan prasarana dalam usaha merealisasikan konsep perumahan mampu milik di seluruh negeri.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menganjurkan Seminar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor 2011 disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut membentangkan kertas kerja utama dalam seminar sehari itu adalah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Ir Iskandar Abdul Samad bertajuk Dasar dan Hala Tuju Perumahan Mampu Milik Selangor.

Menurut Pengurus Besar PKNS, Othman Omar, seminar ini adalah lanjutan pengumuman Menteri Besar pada 3 Jun lalu bagi memahamkan semua pihak tentang konsep sebenar Perumahan Mampu Milik.

“Program perumahan mampu milik ini adalah usaha Kerajaan Negeri Selangor menyediakan perumahan selesa, selamat dan tersusun tanpa membebankan rakyat, sejajar dengan kemampuan pendapatan mereka.

“Keutamaan diberikan kepada golongan muda yang baru menceburi bidang pekerjaan, warga emas malah Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Projek perintis bagi konsep ini telah pun menjadi realiti di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi melibatkan pembinaan 124 unit pangsapuri di kawasan seluas 4 ekar di mana Menteri Besar meletakkan batu asas pada 3 Jun lalu,” jelasnya.

Menurutnya, ini adalah konsep baru di mana pendekatan dari segi pembangunan fizikal dan insaniah dititikberatkan untuk mewujudkan komuniti berintergrasi dengan semangat kejiranan tinggi.

Katanya, pembangunan fizikal termasuk menyediakan kemudahan awam seperti surau, dewan orang ramai, taman didikan kanak-kanak, perpustakaan, pusat tuisyen, kedai, padang permainan, taman rekreasi, kawasan bercucuk tanam, pejabat pengurusan serta lorong pejalan kaki berbumbung.

Unit-unit kediaman dibina dalam pelbagai tingkat dan keluasan, turut disediakan unit-unit khas bagi warga emas, OKU, ibu tunggal dan keluarga tiada punca pendapatan.

Pembangunan insaniah pula menitikberatkan ciri-ciri reka bentuk kondusif dan ekonomikal, unit pangsapuri untuk warga emas dan OKU dengan reka bentuk menepati syarat serta kawasan hijau melebihi keperluan perancangan biasa bagi membolehkan penduduk bertanam cucuk.

Tangkapan bertentangan dengan titah Agong

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional yang berterusan membuat tangkapan rambang ke atas aktivis Bersih 2.0.

Tindakan tersebut ternyata bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mengkehendaki agar kerajaan bertindak adil dan memahami kehendak rakyat yang mahu sistem pilihanraya dilaksanakan secara adil dan bebas.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong dalam titah Baginda secara jelas meminta agar pihak kerajaan menyelesaikan perkara tersebut dengan baik dan berhikmah.

Justeru tangkapan demi tangkapan terhadap aktivis Bersih 2.0 jelas bertentangan dengan maksud titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang menggesa kerajaan Umno BN agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Namun, AMK Malaysia amat kesal dengan tindakan polis menahan Zulhaidah Suboh yang merangkap Exco AMK di Kuching semalam.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Lee Khai Loon menjelaskan, Akhbar Ali dan Abdul Latip yang merupakan pimpinan AMK di Sungai Besar juga ditahan oleh polis kerana terlibat dalam aktiviti Bersih 2.0.

"Tindakan intimidasi polis yang berterusan menunjukkan bahawa polis tidak professional serta mencabuli hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"AMK Malaysia mendesak kerajaan agar menghormati hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun dan menyampaikan pandangan dan pendapat kerana niat dan matlamat Bersih 2.0 ialah memperjuangkan sistem perjalanan pilihanraya Malaysia yang lebih adil dan telus untuk semua pihak," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata, AMK Malaysia juga menggesa agar pihak PDRM melepaskan tanpa syarat semua tahanan aktivis Bersih 2.0 serta merta dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dalam mencari jalan penyelesaikan kepada isu pilihan raya di Malaysia.

Sistem perjalanan pilihanraya yang adil dan telus, tegasnya, akan memberikan kebaikan kepada semua pihak kerana ia akan memastikan pilihan rakyat dalam memilih pemimpin tidak dipengaruhi oleh unsur ketidakadilan dan rasuah.

"Sebagai sebuah negara yang memilih sistem demokrasi dan pilihanraya sebagai landasan falsafah berpolitik, Malaysia harus dapat mengimbangkan kebebasan bersuara dan kesejahteraan awam.

"Justeru tindakan ugutan, ancaman dan tangkapan awam jelas tindakan terkebelakang ketika mana negara-negara lain sudah mengorak langkah jauh bagi memastikan sistem yang adil dan telus demi menjaga hak rakyat dipelihara," ujar beliau.


Umno BN manipulasi sistem undi pos
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Pemuda PAS tetap mendakwa sistem undi pos yang mahu dikekalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak telus dan sering dimanipulasi pihak tertentu khususnya Umno BN.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat berkata, PAS tidak mempertikaikan kerelevanan undi pos di kalangan tentera, polis, kakitangan awam dan sebagainya, namun biarlah kepada anggota yang betul-betul bertugas menjaga keamanan di perbatasan.

SPR memberi alasan penghapusan sistem itu menjejaskan keselamatan dan kententeraman awam kerana anggota keselamatan tidak boleh menjalankan tanggungjawab mereka ketika menjaga keselamatan negara.

“Kalau seseorang pegawai itu setakat menghadiri kursus di luar kawasan. Apakah ianya dalam keadaan kritikal dalam menjaga keselamatan negara.

"Adakah kursus itu sengaja dirancang dan dimanipulasi oleh sesetengah pihak?”

“Takkan anggota-angota tentera yang berada di dalam kem juga perlu menggunakan undi pos?” soal beliau.

Beliau yang sebelum ini mengetuai jawatankuasa pemantau undi pos ketika Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang berkata,banyak kecurigaan dan manipulasi dari sesetengah pihak terhadap sistem undi pos.

Ia termasuk arahan agar agen pengundian hanya dibenarkan memerhati proses pengundian dari jarak jauh dan tidak mengikut prosesdur.

PAS sebelum ini mendakwa undi pos merupakan "talian hayat" Umno BN untuk terus mengekalkan kuasa.

Mereka juga pernah membawa beberapa bukti dakwaan penyelewengan dalam undi pos kepada SPR namun sehingga kini tiada sebarang perubahan positif ke arah reformasi sistem itu.


Henti provokasi, hormati titah Agong

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengecam kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang dikeluarkan menerusi Datuk Abdul Rahman Othman yang menyatakan bahawa Bersih 2.0 adalah perhimpunan haram yang bertujuan ingin menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Kenyataan itu jelas berbaur fitnah dan cuba mengelirukan rakyat tentang objektif sebenar Bersih 2.0. Ugutan Menteri Dalam Negeri yang ingin menggunakan ISA bagi menghalang Bersih 2.0 juga dilihat melampaui batas-batas negara demokrasi apabila perhimpunan rakyat secara aman dilabel sebagai gerakan subversif yang ingin menggulingkan kerajaan.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, mahasiswa meyakini kenyataan itu dikeluarkan oleh menteri berkenaan bagi menakutkan rakyat agar tidak turut serta dalam himpunan aman tersebut.

Menurut beliau, namun mahasiswa juga cukup yakin bahawa rakyat sudah maklum mengenai objektif Bersih 2.0 yang hanya mahukan penambahbaikan dalam sistem pilihanraya dan tidak sedikitpun membawa motif politik.

Katanya, mahasiswa percaya sekiranya pihak kerajaan sanggup menunaikan harapan rakyat ini, himpunan 9 Julai tidak akan berlaku.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri dalam titah Baginda tidak melabelkan Himpunan Bersih 2.0 sebagai perhimpunan haram, tetapi hanya mencadangkan agar semua pihak mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pihak kerajaan juga perlu memandang serius terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta pihak kerajaan menyelesaikan kemelut yang berlaku dengan sebaik mungkin," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Titah Tuanku Mizan Zainal Abidin, menurut beliau, dilihat oleh mahasiswa sebagai titah yang penuh harapan agar tuntutan rakyat didahulukan oleh pihak kerajaan tanpa mengira sempadan politik.

Katanya, dengan perkembangan terbaru ini, Menteri KDN seharusnya memohon maaf kepada pihak Bersih 2.0 kerana telah mengeluarkan kenyataan melulu dan berbaur fitnah.

Mahasiswa juga mengecam tindakan keras pihak Polis yang menahan aktivis Bersih 2.0 biarpun pihak Bersih 2.0 telah berulang kali memberi jaminan bahawa perhimpunan 9 Julai ini akan berlansung dalam keadaan aman.

Jaminan itu bagi mahasiswa adalah cukup rasional apabila Himpunan Bersih 2.0 yang pertama telah terbukti berlangsung dalam keadaan aman dan hanya menjadi kecoh apabila pihak polis memulakan provokasi dengan tembakan gas dan semburan air pemedih mata.

"Bagi mahasiswa, pihak polis sepatutnya memberi peluang untuk rakyat berhimpun secara aman dan hanya perlu bertindak sekiranya peserta himpunan melanggar syarat yang ditetapkan.

"Mahasiswa juga ingin mempersoal tindakan pihak polis yang menahan mana-mana pihak yang menjual baju Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut dilihat lebih bermotif politik," tegasnya.

Bersih 2.0 tidak langsung menggambarkan mesej negatif, bahkan sudah difahami umum bahawa Bersih 2.0 adalah gabungan gerakan rakyat yang menuntut pembaikpulihan sistem pilihanraya di Malaysia.

Tindakan pihak polis itu jelas memperlihatkan bahawa pihak polis menjadi alat dalam melindungi pihak tertentu yang sebenarnya terlalu alergi dengan perkataan Bersih 2.0.

"Oleh itu, mahasiswa menuntut agar pihak polis menghentikan sebarang penahanan atas nama Bersih 2.0 kerana tindakan tersebut lebih mengeruhkan keadaan," katanya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurutnya, seharusnya mengambil iktibar daripada kepimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Tindakan Tun Abdullah yang telah mengisytiharkan perang terhadap himpunan Bersih 2007 dalam Perhimpunan Agung Umno telah menyebabkan imej kepimpinan beliau yang dikenali sebagai Mr Clean telah tercalar. Akhirnya rakyat telah menolak kepimpinan beliau yang diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum (PRE) Ke-12 lalu.

Beliau menegaskan, mahasiswa berpendirian untuk menyokong sepenuhnya 8 tuntutan Bersih 2.0 yang antara lain meletakkan matlamat untuk menuntut pihak kerajaan melakukan transformasi sistem pilihanraya melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Keengganan kerajaan melaksanakan tuntutan rakyat itu menyebabkan rakyat terpaksa memilih jalan raya untuk menyuarakan tuntutan agar pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih serius terhadap 8 tuntutan Bersih itu.

Selain itu, ujarnya, mahasiswa juga berpendirian untuk terus menyokong usaha rakyat dalam menuntut penambahbaikan sistem pilihanraya yang selama ini disifatkan sebagai berat sebelah.

"Oleh itu, sekiranya Bersih 2.0 meneruskan perhimpunan rakyat pada 9 julai ini, mahasiswa telah sepakat untuk menyumbang 1,000 botol air mineral, 1,000 bungkus garam dan 1,000 helai tuala tangan.

"Sumbangan ini akan disalurkan terus kepada rakyat sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 berjaya dijalankan. Sumbangan ini sebagai tanda bahawa mahasiswa sentiasa mendokong perjuangan rakyat yang mahukan suasana demokrasi yang lebih baik melalui pilihanraya yang bersih dan adil," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kebersamaan mahasiswa dalam himpunan aman 9 Julai ini bukan atas dasar sokongan kepada Datuk Ambiga ataupun mana-mana pihak lain yang terlibat.

"Bagi mahasiswa, sekiranya rakyat tidak tampil dan bersuara, Himpunan Bersih 2.0 pasti tidak akan berjaya. Oleh itu, solidariti mahasiswa bersama Bersih 2.0 adalah atas dasar menyokong penuh 8 tuntutan rakyat sekali gus ingin bersama rakyat dalam himpunan aman 9 Julai ini," ujar beliau.

Kenyataan beliau itu turut disokong oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Selain itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Malaysia Youth and Democratic Students Movement (DEMA), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM), Aksi mahasiswa Peduli (AKSI), Sister In Movement (SIM) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP).

Diterima mengadap Agong bukti Bersih bukan haram
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan penerimaan mengadap pimpinan Bersih 2.0 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin membuktikan pertubuihan itu bukan pertubuhan haram.

Sebelum ini, Datuk Seri Hishammmuddin Tun Hussien melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengumumkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram.

Yang Dipertuan Agung hari ini menerima mengadap tiga pemimpim Bersih 2.0 iaitu Pengerusinya, S Ambiga, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin

Ekoran pertemuan itu, kata sepakat dicapai perhimpunan Bersih akan diteruskan dan menerima pandangan Perdana Menteri, ia akan diadakan di stadium.

"Perkenan YDP Agong tersebut dijunjung kasih kerana bertujuan mendaulatkan sistem demokrasi yang selama ini tempang tanpa dilihat kukuh secara konkritnya," kata naib ketua Pemuda PAS, Raja Ahmad Al-Hiss.

Rakyat pertegaskan Rukun Negara yang selama ini dipegang akhirnya menatijahkan satu pendekatan yang selama ini tidak timbul dan YDP Agong akhirnya memecahkan tradisi akan kemelut yang telah lama melanda, kata beliau.

"Kami yakin titah yang telah dipertegaskan oleh YDP Agong tidak meletakkan mana-mana pihak betul dan secara lembutnya memberikan nasihat daripada Raja yang memerintah kepada rakyat di bawah naungannya," katanya.

Dalam keadaan itu, Pemuda PAS mendesak agar PDRM terutamanya yang jelas melanggari undang-undang dengan menjadikan Akta 47 sebagai BERSIH adalah pertubuhan haram terjawab di atas perkenan YDP Agong menerima majlis mengadap BERSIH 2.0 hari ini.

"Kami meminta agar seluruh rakyat yang ditahan oleh pihak Polis dibebaskan dengan serta-merta berikutan sambitan dengan Bersih 2.0 ini. Sesungguhnya titah YDP Agong seharusnya dihormati oleh semua pihak terutama Polis yang jelas melanggari hak asasi manusia," tambahnya.


Tiada ulasan: