Rabu, 2 Mac 2011

BILA NAK MEWAH...BERSUKA2..BERPOYA2...AMBIK SAJA HARTA@WANG TAK KIRA SUMBER..RASUAH CARA PALING MUDAH...


Rakyat tewaskan tentera kerajaan



PEMIMPIN ZALIM...penunjuk perasaan mengoyakkan poster Gaddafi di bandar raya Benghazi, ketika pemimpin dunia terus meningkatkan tekanan untuk mendesak pemimpin Libya itu berundur.
PEMIMPIN ZALIM...penunjuk perasaan mengoyakkan poster Gaddafi di bandar raya Benghazi, ketika pemimpin dunia terus meningkatkan tekanan untuk mendesak pemimpin Libya itu berundur.

TRIPOLI: Penentang kerajaan berjaya menghalang cubaan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi untuk merampas semula bandar Zawiya selepas bertempur selama enam jam, kata saksi semalam.

Pemberontak - termasuk tentera yang berpaling tadah - menggunakan kereta kebal, mesingan dan senjata antipesawat menghadapi serangan penyokong Gaddafi yang juga menggunakan senjata sama.


Kata saksi, bandar paling hampir dengan ibu negara Libya itu diserang dari enam arah tetapi tiada laporan kematian diterima.

Zawiya terletak kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.


Cubaan sama dilakukan tentera pro-Gaddafi pada malam kelmarin ke atas bandar Misrata, bandar ketiga terbesar di Libya dan terletak 200 kilometer di timur Tripoli.


Bagaimanapun, cubaan itu digagalkan penentang kerajaan.

Pemberontak berkata, mereka tidak akan mengalah walau apa pun terjadi.


“Kami tahu bandar ini sangat strategik dan penyokong Gaddafi berjuang mahu menguasainya.

“Mereka berjaya ditewaskan kerana kami bersemangat tinggi, manakala mereka langsung tidak bersemangat,” katanya.


Gaddafi yang menjadi pemimpin Libya sejak 41 tahun lalu kini hanya menguasai Tripoli dan bandar berhampiran, manakala selebihnya jatuh ke tangan pemberontak.


Kata saksi, pemuda Zawiya ditempatkan di bumbung bangunan tinggi bagi memantau setiap pergerakan tentera pro-Gaddafi.


Saksi juga mendakwa, rejim Gaddafi menawarkan wang lumayan kepada pemberontak supaya menyerahkan semula bandar berkenaan.


Kelmarin, rejim Gaddafi cuba menunjukkan mereka adalah pihak berkuasa yang sah dengan menghantar 18 lori sarat berisi tepung gandum, gula dan telur ke Benghazi - bandar kedua terbesar Libya. - AP


AS anggap Libya dipimpin pengkhayal



WASHINGTON: Amerika Syarikat melabel Muammar Gaddafi sebagai ‘pengkhayal’ sambil membekukan pelbagai aset - bernilai RM91 bilion - bagi menekan pemimpin Libya itu supaya melepaskan kuasanya.

Ia adalah sebahagian daripada pendekatan Presiden Barack Obama untuk melemahkan Gaddafi yang sebelum ini berdepan tekanan antarabangsa.


Duta AS ke PBB, Susan Rice, berkata sangat pelik apabila Gaddafi boleh ketawa seperti tiada apa-apa berlaku sedangkan pada masa sama, dia membunuh rakyat sendiri.

“Ia menjelaskan lagi betapa Gaddafi tidak sesuai memimpin,” katanya. - AFP


Saya masih disayangi: Gaddafi


JEDDAH: Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, terus berdegil dan enggan mengalah kepada tekanan antarabangsa supaya berundur daripada kekuasaannya.

Semalam, Gaddafi mendakwa dia masih disayangi rakyat Libya dan menafikan ada demonstrasi menentangnya.


“Semua rakyat Libya menyayangi saya. Mereka rela mati demi saya,” katanya.

Mengenai protes di negara itu, Gaddafi berkata, keadaan itu sebenarnya bukan mengecam kerajaan, sebaliknya menyatakan sokongan ke atas rejimnya.


Ditanya tindakan penduduk Benghazi dan bandar lain yang menaikkan bendera lama Libya menggantikan yang sedia ada, Gaddafi berkata, mereka bukanlah rakyatnya.


“Mereka pengikut al-Qaeda yang mendalangi kekacauan di Libya,” katanya.

Sementara itu, laman sesawang stesen penyiaran BBC melaporkan, Gaddafi hanya ketawa apabila ditanya sama ada dia akan meninggalkan Libya jika krisis berterusan.


Kata Gaddafi, dia berasa dikhianati pemimpin dunia apabila mereka mendesaknya melepaskan jawatan.

“Bagaimana saya mahu berundur kerana saya tidak mempunyai jawatan rasmi, malah kuasa sebenarnya ada di tangan rakyat,” katanya. - AN


Ulama Arab Saudi beri sokongan terbuka gerakan reformasi


JEDDAH: Ulama Arab Saudi menyatakan sokongan terbuka kepada kebangkitan rakyat menuntut reformasi di Libya dan menggulingkan Muammar Gaddafi.

Sokongan itu dibuat sebagai reaksi mereka kepada kenyataan anak Gaddafi, Saif al-Islam, yang mendakwa sebelum ini sesetengah ulama pernah ‘menjilat kasut but’ bapanya.


Sementara itu, ahli Majlis Ulama Kanan Saudi, Sheikh Saleh al-Lehaydan, berkata dia tidak pernah mengeluarkan fatwa mengecam penunjuk perasaan anti-Gaddafi.

Sheikh Aed al-Qarni pula berkata, dia pernah melawat Libya tahun lalu untuk bertemu dengan orang ramai, bukannya memuji Gaddafi.


“Pertumpahan darah perlu dihentikan. Kerajaan Gaddafi bukan kerajaan Islam kerana dia merampas kuasa daripada pemerintah lama empat dekad lalu dan tidak pernah menerima mandat daripada rakyat,” katanya.


Tidak cukup dengan itu, Sheikh Aed berkata, Gaddafi bukanlah seorang imam untuk umat Islam, sebaliknya lelaki Badwi bodoh yang gila kuasa. - AN


AS hantar kapal perang ke Libya


Gambar fail menunjukkan kapal pengangkut USS Kearsarge yang dihantar Amerika Syarikat berhampiran perairan Libya.


TRIPOLI - Kuasa-kuasa asing meningkatkan tekanan terhadap diktator Libya, Muammar Gaddafi kelmarin. Sebuah akhbar melaporkan langkah itu diambil selepas tentera Gaddafi menyerang pihak penentang di dua buah bandar yang terletak berhampiran dengan kubu kuatnya di ibu kota Libya, di sini.

Beberapa jet pejuang pasukan tentera yang setia pada Gaddafi turut mengebom sebuah depot simpanan peluru di timur negara itu.

Krisis politik di Libya semakin memuncak apabila Amerika Syarikat (AS) mula meletakkan kapal-kapal perangnya berhampiran perairan negara itu selepas para penunjuk perasaan bertempur dengan tentera upahan Gaddafi.

Para penunjuk perasaan itu menuntut peletakan jawatan Gaddafi selepas hampir 42 tahun beliau memerintah tetapi gagal untuk membantu rakyat miskin di negaranya.

"Kapal-kapal perang itu akan bertindak sekiranya diperlukan," kata jurucakap Pentagon, Kolonel David Lapan.

AS mengumumkan bahawa ia telah menggerakkan kapal induk USS Enterprise dan USS Kearsarge ke perairan Libya.

Washington juga meletakkan pesawat-pesawat pejuangnya di dua pangkalan tentera di selatan Itali dalam keadaan siap sedia untuk melakukan misi ketenteraan.

Pentadbiran Presiden Barack Obama memberitahu, Washington kini menimbang untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya.

Ia bertujuan menghalang Gaddafi daripada terus menggunakan jet-jet pejuang Libya untuk mengebom penunjuk perasaan.

Pendirian tegas itu disuarakan oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton, yang tidak menolak untuk mengambil tindakan ketenteraan bagi menamatkan tindakan ganas Gaddafi terhadap rakyat Libya.

"Gaddafi tidak lagi berhak untuk memerintah Libya, Dia perlu berundur serta -merta tanpa keganasan lanjut," kata Hillary.

"Jika zon larangan terbang dikuatkuasakan, tentera asing boleh menembak jatuh pesawat pejuang tentera Gaddafi," tambahnya

Komen Setiausaha Negara AS itu mengukuhkan pendirian Perdana Menteri Britain, David Cameron yang mahu menggunakan aset ketenteraan bagi 'menangani' rejim Gaddafi.

Sementara itu, Gaddafi memperlekehkan soalan stesen televisyen AS, ABC News yang menyoal sama ada dia akan meletak jawatan.

"Rakyat saya sayangkan saya. Mereka sanggup mati untuk saya," kata Gaddafi.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice menyifatkan komen Gaddafi itu sebagai 'tidak waras'.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak penentang bergerak untuk menumpukan kekuatan mereka di timur Libya dengan pusat kekuatan tertumpu di bandar Benghazi.

Di barat Libya, tentera Gaddafi bagaimanapun berjaya merampas semula kawalan di sempadan Tunisia yang telah jatuh ke tangan pihak penentang.

Beberapa saksi berkata, tentera Gaddafi mengebom sebuah depot simpanan peluru di timur Libya.

Pegeboman tersebut dinafikan oleh Kementerian Pertahanan Libya.

Rejim Gaddafi turut memperhebatkan kepungan ke atas dua buah bandar yang dikawal pihak penentang berhampiran Tripoli iaitu Zawiya dan Misratah.

Kepungan tersebut bagaimanapun, dapat dipatahkan oleh pihak penentang. - Agensi



Klip video persenda Gaddafi


KLIP video di laman YouTube yang menunjukkan gelagat Muammar Gaddafi seolah-olah sedang menyanyi.


BAITULMUQADDIS - Satu klip video yang mempersendakan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menjadi popular dalam laman perkongsian video YouTube di negara-negara Arab.

Klip video bertajuk Zenga Zenga itu dicipta oleh seorang wartawan muzik dan blogger dari Tel Aviv, Noy Alooshe.

Ia menunjukkan Gaddafi mengangkat tangannya di atas satu podium dalam ucapan yang dibuatnya pada minggu lalu.

Lagu berentak rap dan dance itu diubahsuai daripada sebuah lagu nyanyian Pitbull and T-Pain.

Namun, liriknya telah digantikan dengan ucapan Gaddafi.

"Apabila saya melihat Gaddafi berucap, saya dapati nada dan pergerakannya sempurna untuk dibuat satu klip video," kata Aloshee. - Reuters



Oman hantar tenteraatasi tunjuk perasaan


BEBERAPA askar yang berada di atas kereta perisai mengawal kawasan perindustrian Soha di Oman semalam.


MUSCAT - Kerajaan Oman semalam menempatkan pasukan tenteranya di utara Muscat dan berdekatan sempadan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tiga hari selepas bantahan antikerajaan berlangsung.

Negara itu yang diperintah oleh dinasti keluarga adalah negara di benua Arab terbaru terlibat dalam krisis kebangkitan rakyat di Asia Barat.

Para penunjuk perasaan itu berkumpul di Sohar, sebuah bandar pelabuhan 120 kilometer dari arah barat laut Muscat.

Mereka yang menuntut kenaikan gaji dan peluang pekerjaan telah bertempur dengan pihak polis di sini.

Media tempatan melaporkan beberapa bangunan kerajaan dan pasar raya telah dibakar kelmarin dan pada Sabtu lalu, polis telah membunuh seorang penunjuk perasaan selepas demonstrasi jalanan bertukar menjadi ganas.

Seorang jurucakap kerajaan berkata, kekacauan semakin teruk apabila kerajaan menghantar pasukan dan kenderaan tentera di sekitar ibu negara dan sempadan Oman.

Bantahan itu adalah sesuatu yang jarang berlaku di Oman dan pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said menawarkan pembaharuan dalam bidang pentadbiran untuk menenangkan penunjuk perasaan.

Pada Ahad lalu, baginda mengarahkan 50,000 peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam dan menawarkan gaji sebanyak 150 rial (RM1,183) sebulan.

Sehari sebelum itu, Sultan Qaboos telah merombak enam anggota Kabinetnya.

Pada 11 Februari lalu, Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden ekoran bantahan penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur selepas gagal membawa pembaharuan ekonomi di negara tersebut.

Pada Januari lalu pula, para penunjuk perasaan di Tunisia juga berjaya menyebabkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan setelah beliau yang memerintah selama 23 tahun gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda selain pentadbirannya dicemari skandal rasuah. - Agensi


Semua rakyat sayang saya: Gaddafi


2011/03/02


Pemimpin Libya dakwa tidak ada sebarang bantahan

WASHINGTON: "Semua rakyat sayangkan saya," kata pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kelmarin tanpa mengendahkan tekanan antarabangsa untuk berundur selepas empat dekad memerintah negara itu.
“Mereka sayangkan saya. Semua rakyat bersama saya. Mereka sungguh sayangkan saya. Mereka akan mati untuk melindungi saya,” kata pemimpin veteran Libya dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat semasa ditemuramah saluran televisyen ABC, BBC dan The Times of London, temuramah pertama diberinya kepada wartawan asing sejak berdepan dengan kebangkitan rakyat 15 Februari lalu.

“Tiada sebarang demonstrasi langsung di jalanan,” dakwa Gaddafi yang memerintah negara utara Afrika lebih 41 tahun.

“Tiada sesiapa yang menentang kami. Menentang saya untuk apa?”.

Kenyataan yang dibuat pemimpin Libya itu menunjukkan beliau tidak kisah langsung mengenai tentangan rakyatnya. Ia turut dikutuk Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice.

“Ia kedengaran seperti beliau berada dalam khayalan. Beliau boleh bercakap sambil ketawa semasa bersama wartawan antarabangsa yang juga warga Amerika ketika beliau menyembelih rakyatnya sendiri,” kata Rice di Rumah Putih.
“Ini membuktikan beliau tidak layak untuk memerintah dan bagaimana beliau terputus daripada dunia realiti.”.

Gaddafi ditemuramah di Tripoli di saat kuasa dunia menekan rejim pimpinan
beliau berikutan kekerasan melampau digunakan.

Gaddafi turut mengejek apabila diminta mengulas sama ada beliau akan menggunakan senjata kimia untuk mempertahankan kuasa.

“Kita sudah menghapuskannya semua. Ini adalah perkara lampau dan kita sudah menghentikannya. Adakah logik seorang lelaki yang waras akan menggunakan senjata seumpama itu walaupun terhadap musuhnya. Biarkan saya dengan rakyat saya,” kata Gaddafi.

Kumpulan prodemokrasi kini mengawal kawasan di timur negara Afrika utara itu, tetapi kumpulan hak asasi mendakwa sekurang-kurang 1,000 terbunuh dalam tindakan keras dilancarkan penyokong Gaddafi dan askar upahan.

Kini, Amerika secara terbuka meminta Gaddafi berundur dan mencadangkan pengusiran beliau.

Namun Gaddafi membalas balik dan berkata beliau dikecewakan Amerika Syarikat.

“Ini adalah pengkhianatan. Mereka tiada moral. Saya sangat terkejut yang kita bersekutu dengan Barat untuk memerangi al-Qaeda dan sekarang kita melawan pengganas dan mereka meninggalkan kita,” katanya, menurut televisyen ABC.

“Mungkin mereka mahu menjajah Libya,” ABC memetik pemimpin itu sebagai berkata dan menambah Gaddafi menegaskan beliau tidak perlu berundur kerana beliau bukan presiden atau Raja dan tidak memegang sebarang jawatan. – AFP

INFO: Biodata Muammar Gaddafi

  • Nama penuh: Muammar Muhammad ‘Abu Minyar’ al-Gaddafi

  • Tarikh lahir: 7 Jun 1942,
    di sebuah kawasan gurun berhampiran wilayah Sirt

  • Mengetuai rampasan kuasa tentera pada 1 September 1969 menggulingkan Raja Idris yang sedang menjalani rawatan di Turki

  • Apabila Gaddafi melepaskan jawatan perdana menteri pada 1972, beliau memakai gelaran kehormat ‘Pemimpin dan Pembimbing Revolusi’



  • Penduduk Palestin turut berprotes


    2011/03/02

    RAMALLAH, Tebing Barat: Gelombang kebangkitan popular di kalangan dunia Arab turut memberi ilham kepada rakyat Palestin untuk mengadakan protes aman menentang pendudukan Israel sejak 43 tahun lalu, kata pemimpin Palestin.

    Mustafa Barghouthi, yang mendapat kedudukan kedua di belakang Mahmood Abbas dalam pilihan raya presiden pada 2005 berkata kegagalan rundingan damai sejak dua dekad lalu menaikkan semangat rakyat Palestin untuk mengadakan perarakan besar-besaran menentang pemerintah Israel.
    Barghouthi berkata kekacauan di Asia Barat menunjukkan bagaimana cepatnya ia berlaku dan menghasilkan keputusan lebih cepat berbanding pergerakan tanpa keganasan di India menentang pemerintahan British pada kurun ke-20 dan Martin Luther King di Amerika Syarikat. – Reuters



    Isteri, anak Mubarak disekat


    2011/03/02

    Hosni Mubarak
    Hosni Mubarak
    Kerajaan beku semua dana bekas Presiden Mesir serta keluarga

    KAHERAH: Pihak berkuasa lapangan terbang Mesir menghalang isteri dan anak lelaki Hosni Mubarak daripada menaiki pesawat dari resort Laut Merah Sharm el-Sheikh beberapa jam sebelum pihak berkuasa mengeluarkan larangan kepada bekas presiden itu dan keluarganya untuk ke luar negara.
    Pegawai lapangan terbang berkata, isteri Mubarak, Suzanne dan anak bongsu mereka, Gamal cuba menaiki pesawat peribadi di lapangan terbang di Sharm el-Sheikh kelmarin, tempat mereka menginap sejak Mubarak digulingkan pada 11 Februari.
    Pihak berkuasa berkata anggota keluarga Mubarak itu diberitahu mereka tidak boleh keluar tanpa kebenaran khas.

    Selepas insiden itu, pihak pendakwa raya Mesir membekukan semua dana Mubarak dan keluarganya serta melarang mereka ke luar negara. Tidak jelas sama ada halangan itu dibuat kerana cubaan Suzanne dan Gamal untuk meninggalkan Mesir.

    Mubarak, 82, disyaki menutup sebelah mata berhubung dakwaan rasuah terhadap anggota keluarganya dan rakan niaga mereka.

    Kebanyakan dakwaan salah laku itu tertumpu kepada kegiatan perniagaan dua anak bekas orang kuat Mesir itu, Alaa dan Gamal, termasuk isteri Gamal dan keluarganya.
    Tidak seperti kebanyakan pemimpin Arab yang lain, Mubarak tidak banyak menunjuk-nunjuk kekayaan yang dihimpunya dalam hampir tiga dekad menjadi Presiden Mesir.
    Antara harta paling menonjol dimiliki keluarga Mubarak ialah sebuah rumah Townhouse di daerah mewah Knightsbridge di London yang diletak di atas nama Gamal.

    Gamal yang sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan bapanya sebagai presiden dikelilingi ahli perniagaan kaya raya yang mengidamkan kuasa politik bagi memajukan perniagaan masing-masing.

    Beberapa daripada ahli perniagaan itu kini ditahan dan berdepan dengan siasatan jenayah. – Agensi

    INFO: Pergolakan di Mesir

  • Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari.

  • Pendakwa raya membekukan aset Mubarak, isterinya Suzanne dan dua anak mereka pada 20 Februari lalu.

  • Alaa dan Gamal didakwa memiliki simpanan berjuta-juta dolar dalam akaun
    di National Bank of Egypt, sebuah bank dimiliki kerajaan.

  • Hampir 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan RM6 sehari.


  • Amerika mahu serang Libya


    KAPAL induk pengangkut pesawat USS Enterprise belayar melalui Terusan Suez di Mesir pada 15 Februari lalu. Kapal tersebut diarah belayar ke Laut Mediterranean dekat Libya, berkemungkinan sebagai persediaan AS menyerang negara sedang bergolak itu. - REUTERS


    TRIPOLI 1 Mac - Tentera yang setia kepada Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berhimpun dekat sempadan Tunisia semalam manakala Amerika Syarikat (AS) menggerakkan kapal perang dan tentera udaranya menghampiri Libya.

    Penduduk bimbang askar pro-Gaddafi sedang bersiap sedia untuk melancarkan serangan bagi menawan semula bandar Nalut, kira-kira 60 kilometer dari sempadan Tunisia di barat Libya, daripada penunjuk perasaan yang mahu menamatkan pemerintahan beliau.

    AS dan kerajaan asing lain semalam membincangkan langkah ketenteraan yang boleh diambil terhadap Libya sementara Gaddafi memperkecilkan ancaman terhadap rejimnya daripada pemberontakan rakyat yang semakin meluas.

    Dalam kecaman paling keras terhadap pemimpin Libya itu, Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice berkata, Gaddafi mengalami 'delusi dan sudah terpisah daripada realiti', 'menyembelih rakyatnya sendiri' dan tidak layak untuk memimpin.

    Katanya, Washington sedang berunding dengan rakan-rakan dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta sekutu lain mengenai tindakan ketenteraan ke atas Libya.

    AS yang menempatkan Armada Keenamnya di Itali berkata, tentera laut dan udaranya digerakkan lebih hampir dengan Libya sementara pelbagai pelan luar jangka sedang dirangka.

    AS juga berkata, aset Gaddafi dan keluarganya bernilai kira-kira AS$30 bilion (RM93 bilion) di AS telah dibekukan.

    Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, kerajaannya akan berusaha untuk menguatkuasakan zon 'larangan terbang' di Libya bagi melindungi rakyatnya daripada serangan udara tentera Gaddafi.

    Gaddafi, 68, menolak desakan supaya beliau berundur dan memperkecilkan kekuatan pemberontak yang telah menamatkan pemerintahannya di timur Libya dan kini semakin menghampiri ibu negara, Tripoli.

    "Semua rakyat saya mengasihi saya, mereka sanggup mati untuk melindungi saya," katanya kepada rangkaian televisyen AS, ABC dan Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam wawancara di sebuah restoran di Tripoli semalam.

    Beliau menafikan tentera udaranya menyerang penunjuk perasaan, sebalik mendakwa pesawat pejuang Libya mengebom lokasi tentera dan depot senjata.

    Ketika pemberontakan masuk ke minggu ketiga, situasi di kawasan konflik sukar dipastikan disebabkan masalah untuk bergerak di beberapa bahagian negara ini serta sistem komunikasi yang tidak lancar.

    Seorang penduduk Nalut berkata, askar Gaddafi yang tiba dengan kenderaan dilengkapi mesingan berat sudah mengepung kawasan dekat sempadan Tunisia. - Reuters



    Tentera pro-Gaddafi gagal rampas Zawiyah

    TRIPOLI 1 Mac - Saksi-saksi mendakwa tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi gagal merampas kembali bandar Zawiyah yang ditawan pemberontak berhampiran ibu negara, Tripoli.

    Tentera pro-Gaddafi yang dilengkapi kereta kebal dan senjata antipesawat cuba merampas kembali Zawiyah malam tadi dalam pertempuran selama enam jam dengan menyerang kedudukan pemberontak dari enam arah.

    Namun, pemberontak berjaya mematahkan serangan tentera dalam pertempuran di Zawiyah itu, kira-kira 50 kilometer di barat Tripoli.

    "Kami tidak akan menyerahkan Zawiyah walau apa pun terjadi," kata seorang penduduk di situ.

    Gaddafi yang memerintah Libya selama 41 tahun, telah hilang kawalan ke atas sebahagian timur negara ini sejak protes menuntut penyingkirannya bermula dua minggu lalu.

    Sementara itu, kenaikan harga beras dan tepung di Libya telah memarakkan lagi kemarahan rakyat di ibu negara ketika protes menentang pemerintahan pemimpin itu berleluasa di seluruh negara.

    Di kawasan kejiranan Fashloom di sini, penduduk berkata, harga sayur, minyak dan tepung meningkat sekurang-kurangnya 20 peratus sejak 10 hari lalu.

    Orang ramai juga dilihat beratur panjang di luar kedai-kedai roti yang mengehadkan jualan antara lima hingga 20 buku roti kepada setiap pelanggan bergantung kepada kawasan masing-masing. Seorang lelaki di Fashloom berkata, sebuah keluarga besar biasanya memerlukan purata 40 buku roti sehari.

    "Bekalan makanan tidak cukup. Ramai pekerja kerajaan juga masih belum menerima gaji untuk bulan Februari," kata seorang pekerja bank, Basim, 25.

    Orang ramai turut beratur di luar bank-bank yang mengedarkan sejumlah AS$400 (RM1,200) kepada setiap keluarga, yang diberikan rejim Gaddafi bagi mendapatkan sokongan. - AP/Reuters


    Bekas PM Turki Meninggal Dunia

    BEKAS Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan, 85, meninggal dunia akibat serangan jantung pada Ahad, lapor agensi berita Anatolia.

    Erbakan yang menjadi pemimpin berhaluan Islam pertama Turki dalam tempoh empat dekad lalu pernah dilantik semula sebagai ketua berhaluan kiri Islam, Parti Saadet pada Oktober.

    Beliau berkhidmat hampir setahun sebagai Perdana Menteri sebelum mendapat tekanan pihak tentera Turki yang berhaluan sekular untuk meletak jawatan pada 1997.

    Pada Januari 1998, Mahkamah Perlembagaan telah mengharamkan Parti Kebajikan dan Parti Virtue (2001) kerana mencabuli prinsip sekular dalam Perlembagaan dan mengharamkan beberapa anggotanya, termasuk Necmittin selama lima tahun daripada politik.

    Erbakan pernah menjalani hukuman penjara selama dua tahun empat bulan pada 2002 atas tuduhan menggelapkan wang.

    Tempoh hukuman Erbakan itu terpaksa ditangguhkan ekoran masalah kesihatan dan beliau terpaksa menjalani hukuman tahanan dalam rumah pada 2008.

    Erbakan yang merupakan profesor dalam kejuruteraan mekanikal akan dikebumikan di Istanbul pada 1 Mac ini.

    Tiada ulasan: