AS cuba laga-lagakan Arab Saudi dengan Libya
RIYADH - Amerika Syarikat (AS) meminta kerajaan Arab Saudi membekalkan senjata kepada pihak penentang pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, lapor sebuah akhbar semalam.
Permintaan tersebut dibuat bagi mengelak pembabitan secara langsung tentera AS dalam konfrontasi ketenteraan di Libya.
Setakat ini, keluarga diraja Arab Saudi dilapor masih belum membuat keputusan berhubung permintaan AS tersebut.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah pernah menjadi sasaran percubaan membunuh oleh komplot Gaddafi pada tahun lalu.
Kerajaan Arab Saudi diberitahu bahawa pihak penentang memerlukan roket pemusnah kereta kebal dan peluru mortar bagi menangkis serangan kereta kebal tentera Gaddafi di samping peluru berpandu darat ke udara untuk menembak jatuh jet pejuangnya.
Bekalan senjata itu boleh dihantar ke kubu kuat pihak penentang di bandar Benghazi dalam masa 48 jam tetapi perlu melalui beberapa pangkalan udara di Libya atau lapangan terbang di Benghazi terlebih dahulu.
Jika pihak penentang dapat melancarkan serangan ke atas kubu-kubu kuat Gaddafi di barat Libya, AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak lagi tertekan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu.
Sebelum ini tentera AS menjelaskan bahawa penguatkuasaan zon larangan terbang memerlukan Washington melancarkan serangan udara bagi memusnahkan saki-baki tentera udara Libya.
Pilihan tersebut tidak disenangi Washington kerana mereka akan terbabit secara langsung dalam peperangan di Libya dengan memihak kepada pihak penentang.
Sejak beberapa hari lalu, beberapa pesawat pengintip AS membuat beberapa penerbangan di sekitar Libya.
Tentera AS turut menghubungi agensi trafik udara di negara Malta untuk meminta maklumat mengenai destinasi penerbangan pesawat-pesawat Libya termasuk perjalanan sebuah jet peribadi Gaddafi yang berlepas ke Jordan dan kembali semula menjelang hujung minggu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, pesawat-pesawat pejuang Libya melancarkan serangan udara terbaru ke atas kedudukan pihak penentang di bandar pelabuhan Ras Lanuf semalam.
Serangan itu bagi menghalang pihak penentang daripada meneruskan kemaraan mereka ke kubu kuat Gaddafi di ibu negara Libya, Tripoli.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan udara semalam itu yang berlaku sehari selepas tentera pro-Gaddafi menyerang pihak penentang dengan menggunakan beberapa buah helikopter tempur, bedilan artileri dan roket.
Kumpulan-kumpulan penentang di bandar itu memberitahu, mereka mampu menewaskan tentera elit Gaddafi tetapi sukar untuk melawan tentera udaranya.
"Kami tidak mahu campur tangan tentera asing tetapi kami mahu zon larangan terbang dikuatkuasakan," kata seorang pejuang penentang, Ali Suleiman.
Penentangan terhadap Gaddafi, 68, yang bermula pada 15 Februari lalu berlanjutan lebih lama dan lebih berdarah berbanding revolusi bagi menyingkirkan pemimpin Mesir dan Tunisia.
Libya kini di ambang perang saudara dengan penentangan terhadap rejim Gaddafi dijangka memakan masa sehingga beberapa minggu atau bulan.
Dalam perkembangan berkaitan, Britain menyatakan bahawa ia akan menghantar satu pasukan baru untuk membina hubungan dengan kumpulan penentang di Libya.
Kenyataan itu dibuat selepas satu misi pada hujung minggu lalu yang melibatkan pasukan askar khas dan seorang diplomat disalah anggap sebagai askar upahan oleh para penentang Gaddafi.
Beberapa askar Britain dan seorang diplomat itu mendarat di Benghazi, Libya dan mereka ditangkap para penentang Gaddafi.
Namun, askar-askar dan diplomat itu dilaporkan meninggalkan Libya semalam
Beberapa orang daripada lapan rombongan Britain yang ditahan itu dilaporkan membawa bahan letupan dan pasport palsu. Sementara itu di Paris, Gaddafi mendakwa Perancis masuk campur dalam urusan dalaman negaranya dan menyalahkan kumpulan Al-Qaeda berkaitan penentangan ke atas rejimnya.
Gaddafi dalam satu temubual yang disiarkan oleh televisyen France24 semalam mengkritik tindakan Perancis yang menyokong Majlis Kebangsaan iaitu kerajaan sementara yang ditubuhkan oleh para penentang pemimpin itu di Benghazi.
Pada Ahad lalu, Perancis mengiktiraf pembentukan Majlis Kebangsaan yang diwujudkan oleh pemimpin-pemimpin penentang Gaddafi.
Majlis tersebut mengumumkan ia merupakan wakil tunggal untuk Libya walaupun Gaddafi masih mengekalkan kuasanya di Tripoli. - Agensi
Bekas Presiden Perancis dibicara kes rasuah
PARIS - Perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas Presiden Perancis, Jacques Chirac bersama sembilan defendan lain bermula di sebuah mahkamah di sini semalam.
Chirac, 78, merupakan ketua negara Perancis pertama yang dihadapkan ke mahkamah sejak pemimpin Perancis era Perang Dunia Kedua, Marshal Philippe Pétain dihukum penjara seumur hidup.
Beliau didakwa terbabit dalam beberapa penyelewengan dan salah guna kuasa semasa menjadi Datuk Bandar Paris sebelum memegang jawatan Presiden Perancis pada 1995 hingga 2007.
Kes tersebut membabitkan Chirac mendalangi satu komplot supaya Dewan Bandar Raya Paris membuat pembayaran yang menguntungkan parti politik pimpinannya semasa beliau memegang jawatan datuk bandar.
Pemimpin tersebut yang menyebelahi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George Bush untuk menyerang Iraq berkemungkinan besar tidak dihukum penjara tetapi pada dasarnya, Chirac boleh dipenjara 10 tahun dan didenda $210,000 (RM635,884) sekiranya didapati bersalah.
Pemimpin veteran itu dijangka hadir di mahkamah berkenaan hari ini dengan perbicaraan kes tersebut diramalkan mengambil masa selama sebulan. - Agensi
21 maut di Misrata
KRISIS...asap jelas kelihatan ketika penentang kerajaan berundur di pinggir Bin Jawad di timur Libya, semalam.
BENGHAZI: Seramai 21 orang, termasuk seorang budak, terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera di bandar dikuasai penentang kerajaan, kata doktor semalam.
Menurut pegawai perubatan itu, kumpulan antikerajaan dan penyokong Muammar Gaddafi bertempur di Misrata menyebabkan 21 orang syahid.
“Ada kemungkinan jumlah korban akan meningkat,” katanya.
Secara keseluruhan, kata doktor itu, 91 orang cedera dan sembilan daripadanya parah.
Tanpa mendedahkan identitinya, doktor terbabit berkata, sebahagian besar mangsa pertempuran itu adalah orang awam, termasuk seorang budak lelaki berusia dua setengah tahun.
“Saya tak pasti apa senjata digunakan untuk membunuh penentang kerajaan, tetapi ia bukan senjata api,” katanya.
Doktor itu berkata, tentera yang menyokong Gaddafi turut menggunakan ambulans sebagai kenderaan bagi menyerang orang awam.
Jurucakap kumpulan antikerajaan, Abdul Basit Abu Mziriq, turut mengesahkan 21 orang terbunuh.
Katanya, pertempuran berlangsung seharian.
“Dari jam 7 pagi hingga 6 petang, tentera yang setia kepada Gaddafi terus melepaskan tembakan ke arah orang awam dan bangunan,” katanya.
Walaupun begitu, penentang yang kini mentadbir Misrata berjaya membalas serangan sehingga akhirnya tentera terbabit berundur.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut Libya memberi akses serta-merta bagi menyelamatkan mangsa pertempuran di Misrata.
Penyelaras bantuan kecemasan PBB, Valerie Amos, berkata pertubuhan kemanusiaan perlu dihantar segera ke kawasan konflik.
“Orang awam kini berdepan maut dan perlukan bantuan segera,” katanya. - AFP
Pemimpin Libya masih ‘berenang’ dalam duit minyak
LONDON: Di sebalik tekanan dan kesukaran mentadbir negara, rejim Muammar Gaddafi masih memiliki sumber kewangan kukuh hasil daripada pendapatan eksport minyak mentah, lapor Financial Times, semalam.
Memetik seorang pegawai petroleum kanan dari Barat, akhbar bisnes itu melaporkan, pembayaran eksport minyak mentah dibuat melalui Bank Pusat Libya dan ada kemungkinan besar ia dikawal Gaddafi sepenuhnya.
Keadaan itu berlaku ketika Libya kini berada di bawah sekatan antarabangsa.
Pada minggu terakhir Februari lalu - ketika keganasan mula tercetus - Libya mengeksport kira-kira 570,000 tong minyak sehari dan menjual kira-kira 400,000 tong sepanjang minggu lalu.
Menurut Financial Times, mengikut harga semasa, nilai eksport minyak mentah Libya sepanjang dua minggu lalu adalah RM2.33 bilion.
Libya adalah pengeluar minyak keempat terbesar di Afrika dan menghasilkan kira-kira 2.3 peratus keperluan petroleum dunia sebelum krisis melanda negara itu.
“China dan India masih menjalankan urusan pembelian dengan negara itu,” lapor akhbar berkenaan. - AP
Penentang Gaddafi undur dari Bin Jawad
AJDABIYA: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 50 lagi cedera apabila kumpulan antikerajaan dan penyokong kerajaan Muammar Gaddafi bertempur di bandar Bin Jawad.
Penentang kerajaan pula dilaporkan berundur dari bandar itu. Maklumat Hospital Ajdabiya menunjukkan, seramai tujuh orang disahkan maut dan 52 cedera akibat pertempuran kelmarin.
Di Hospital al-Jala di bandar Benghazi, seorang doktor memberitahu, lima mayat dibawa ke situ dari Bin Jawad.
Kakitangan hospital berkata, tujuh mayat ditempatkan sementara di situ sebelum lima daripadanya diserahkan kepada waris untuk dikebumikan.
“Korban adalah pejuang sukarela - kebanyakannya dari Benghazi - yang mahu menggulingkan Gaddafi,” katanya. - AFP
Arab Saudi bebaskan ulama Syiah lancar kempen hapus monarki
DUBAI: Arab Saudi membebaskan seorang ulama Syiah yang ditahan bulan lalu kerana cuba mengadakan protes Hari Kemarahan, kata seorang aktivis hak asasi manusia semalam.
Presiden Human Rights First, Ibrahim al-Mugaiteeb, berkata Sheikh Tawfiq al-Aamer dibebaskan pihak berkuasa malam kelmarin.
Beratus-ratus orang mengadakan protes di timur Arab Saudi pada Jumaat lalu selepas Sheikh Tawfiq ditahan pada 27 Februari kerana menggesa diwujudkan perlembagaan bagi menggantikan sistem pemerintahan monarki mutlak ketika ini.
Penganut Syiah di Arab Saudi biasanya tertumpu di kawasan timur negara itu.
Walaupun 10 peratus daripada warga Arab Saudi berfahaman Syiah, mereka biasanya sering diketepikan daripada pembangunan dirangka kerajaan. - AFP
Penduduk Ras Lanouf di timur Libya lari selamatkan diri
|
|
RAS LANOUF 7 Mac - Penduduk Ras Lanouf melarikan diri hari ini kerana bimbang bandar yang dikuasai pemberontak di timur Libya ini akan diserang oleh tentera Muammar Gaddafi.
Ketika tentera Gaddafi menyekat kemaraan pemberontak menuju ke bandar kelahirannya dan menawan semula sebuah pekan penting, pemimpin veteran itu menuduh Perancis mencampuri urusan dalaman Libya dan sekali lagi menyalahkan al-Qaeda sebagai punca pergolakan di negaranya.
Penduduk kelihatan melarikan diri dari bandar minyak Ras Lanouf dengan menaiki kereta menghala ke Brega yang ditawan oleh pemberontak minggu lepas.
Kakitangan sebuah hotel tempatan berkata, penduduk meninggalkan bandar ini kerana 'mereka menerima berita pertempuran akan meletus'.
Askar pro-Gaddafi semalam menyekat kemaraan pemberontak menuju ke bandar kelahiran Gaddafi, Sirte.
Pemberontak juga terpaksa berundur dari Bin Jawad yang ditawan kelmarin, selepas tujuh maut dan 50 lagi cedera dalam pertempuran.
"Kami berundur dari Bin Jawad, Ras Lanouf akan menjadi barisan pertahanan kami," kata seorang pemberontak, Aqil al-Fars.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut pasukan kemanusiaan dibenarkan meninjau keadaan penduduk awam di bandar Misrata yang dibedil berkali-kali oleh kereta kebal tentera Gaddafi semalam, menyebabkan ramai yang 'cedera dan terkorban'.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata, Menteri Luar Libya bersetuju untuk membenarkan satu pasukan 'penilaian kemanusiaan' melawat Tripoli.
Ki-moon melantik bekas Menteri Luar Jordan, Abdelilah al-Khatib sebagai duta khas untuk mengadakan rundingan segera dengan kerajaan Gaddafi di Tripoli.
Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengalami tekanan yang semakin meningkat untuk membekalkan senjata kepada pemberontak selepas pentadbiran Presiden Barack Obama didakwa terlepas peluang untuk menumbangkan Gaddafi pada peringkat awal pemberontakan yang bermula pada 15 Februari lalu.
Ahli Kongres AS dan bekas pegawai pentadbiran nampak bersepakat mengenai kemungkinan senjata dibekalkan kepada pemberontak yang serba kekurangan sebagai cara untuk membantu mereka menewaskan tentera Gaddafi. - AFP
Penunjuk perasaan depan KDN Mesir diserang
|
|
KAHERAH 7 Mac – Kira-kira 200 lelaki berpakaian biasa yang bersenjatakan pisau, pedang dan bom petrol menyerang penunjuk perasaan di Kaherah malam tadi semasa demonstrasi untuk menuntut pembaharuan terhadap perkhidmatan keselamatan yang dianggap sentiasa melanggar hak asasi manusia.
Kumpulan itu menyerang penunjuk perasaan semasa demonstrasi di ibu pejabat agensi keselamatan Mesir, dipercayai kali pertama lelaki bersenjata yang berpakaian biasa dikerahkan untuk menyuraikan aktivis pembaharuan di tengah Kaherah sejak Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Insiden malam tadi yang menyebabkan 15 orang cedera tidak ubah seperti serangan ke atas penunjuk perasaan di Dataran Tahrir oleh kumpulan lelaki yang mengaku setia kepada Mubarak semasa pemberontakan 18 hari yang membawa kepada penyingkiran beliau.
Sejak pengunduran Mubarak pada 11 Februari lalu, aktivis mendesak supaya pembaharuan lebih luas dilaksanakan, termasuk rombakan besar-besaran terhadap pasukan polis.
Askar Mesir yang terus berkawal sejak pemberontakan meletus telah melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan penunjuk perasaan, yang melarikan diri tetapi diserang oleh kumpulan lelaki yang mereka gambarkan sebagai samseng.
Sejak dua hari lalu, penunjuk perasaan memecah masuk ke dalam 11 pejabat jentera keselamatan di seluruh negara, merampas dokumen yang dikhuatiri akan dimusnahkan oleh pegawai untuk menyembunyikan pencabulan hak asasi manusia.
Sementara itu, Perdana Menteri baru, Essam Sharaf menubuhkan Kabinet sementara semalam untuk membantu mengemudi negara ini dalam melaksanakan pembaharuan dan mengadakan pilihan raya bebas.
Bekas ketua keselamatan Kaherah, Mejar Jeneral Mansour el-Essawy dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menggantikan Mahmoud Wagdi, manakala bekas duta Mesir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nabil Elaraby dilantik untuk menjadi Menteri Luar bagi menggantikan Ahmed Aboul-Gheit. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan