Selasa, 8 Mac 2011

DAKWAHLAH AHLI AGAR JADI MUSLIM SEJATI SERTA TINGGI BUDI PERKERTI...UTAMAKAN DAKWAH...RAKYAT FAHAM ISLAM...TENTU MEREKA SOKONG ISLAM

PAS amal Islam sebenar, Umno mengelirukan
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 7 Mac: Mantan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mengakui PAS mengamalkan Islam tulen berbanding Umno yang banyak mengelirukan agama itu menyebabkan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain tidak berminat mendekati Islam.

PAS, kata beliau banyak mengajar dirinya lebih dekat dengan Islam dan merasai ada kelainan bila mana mengadakan perbincangan atau pertemuan dalam Pakatan Rakyat.

"PAS lain dengan Umno yang saya kenal. Mereka memperjelaskan kekeliruan sehingga ramai bukan Islam dalam Parti Keadilan Rakyat dapat merasai kelainan berbanding berkawan dengan Umno," jelasnya yang juga Naib Presiden PKR ketika berucap dalam Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Turut berucap ialah Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Penerangan dan AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Mohamad Sabu.

Beliau turut memuji langkah PAS memperjelaskan isu penggunaan kalimah Allah sehingga ada yang pergi ke gereja untuk tujuan berkenaan tetapi sebelum ini tidak pernah terjadi demikian.

Natijahnya kata beliau, PAS bukan sahaja dapat merapatkan jurang dengan masyarakat bukan Islam apabila tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS tetapi juga individu bukan Islam tidak bimbang lagi dengan dasar Islam yang didokongi PAS.

"Dulu memang orang bukan Islam takut PAS kerana bimbangkan terlalu ekstrem, rupa-rupanya tidak, Umno pula dianggap parti asabiah kerana terlalu mengagung-agungkan kemelayuannya," kata beliau pada malam terakhir pada program anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri yang berlangsung selama 10 hari itu.

Justeru itu, katanya kebanyakan kepimpinan Umno lebih suka melakukan rasuah, pecah amanah dan tidak mempedulikan penyelewengan untuk melonjakkan nama sendiri bagi memastikan kedudukan terjamin sedangkan PAS terbukti berjaya mempamerkan kejayaan hasil kerjasama dengan bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Lagipun, ujarnya Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri berjaya membawa contoh sebagai sebuah kerajaan yang bersih dan dapat meningkatkan kemajuan.

Ianya, kata beliau tidak seperti mana yang diwar-warkan oleh Umno dan BN kononnya jika memerintah mengikut cara Islam, negeri boleh bankrap dan pembangunan ketinggalan.



Contohi MBSA haramkan iklan produk seks, tahyul
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berharap negeri-negeri lain mencontohi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengharamkan iklan produk atau perkhidmatan yang berunsurkan seks dan tahyul.

Ketua penerangannya, Fadhil Osman berkata langkah MBSA itu wajar dijadikan teladan yang baik dalam menangani masalah iklan berunsur seks dan tahyul yang boleh menyumbang kepada gejala sosial yang sedia parah di negara ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada MBSA kerana telah mengambil tindakan bijak dan menguntungkan rakyat dengan mengharamkan iklan produk atau perkhidmatan yang berunsurkan seks dan tahyul di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

“Bagi DPPWP, MBSA telah bertindak tepat bagi membasmi gejala mungkar serta khurafat hasil daripada perniagaan yang haram ini.

“Dengan ini peniaga-peniaga tidak akan berani melakukan perniagaan yang salah di sisi syarak dan undang-undang negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Melihat kepada trend hari ini, katanya seolah-olah perniagaan berunsurkan seks seperti rumah urut, produk-produk kesihatan untuk meningkatkan seks amat laris di pasaran serta mendapat sambutan orang ramai.

DPPWP, ujarnya bimbang produk serta perkhidmatan ini disalahgunakan oleh remaja untuk kepuasan seks semata-mata tanpa memikirkan implikasi lain seperti halal haram, kesihatan, gejala sosial dan lain-lain.

Kata beliau, sewajarnya perniagaan seperti itu diharamkan kerana ia mengundang kepada gejala sosial yang lebih parah kepada masyarakat hari ini.

Selain itu, tambahnya iklan-iklan yang memanipulasi wanita dengan berpakaian seksi juga wajar diharamkan.

Katanya, kadang-kadang sengaja tubuh wanita yang seksi dijadikan bahan untuk mempromosi produk sedangkan ianya tidak ada kena-mengena dengan produk tersebut.

“Hal ini boleh mempengaruhi minda serta merosakkan masyarakat khususnya anak-anak muda,” ujarnya.

DPPWP, katanya mengambil contoh bagaimana negeri Kelantan telah mengambil langkah terkehadapan dengan memperkenalkan iklan wanita menutup aurat serta memakai tudung dalam apa juga iklan yang ditampal.

Ini, ujarnya lebih memberikan imej dan gambaran yang positif di samping membina minda masyarakat yang sihat.

Beliau menambah, DPPWP juga mengharapkan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil langkah yang serupa bagi membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar serius dalam mendidik masyarakat serta mengelakkan gejala sosial dari berleluasa.



Pakatan yakin dapat laksana penuh Buku Jingga
Ismail Hashim

(Tan Sri Khalid bersama Exconya dan Dr Wan Azizah melancarkan Buku Jingga peringkat negeri Selangor semalam)

SHAH ALAM, 7 Mac: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin Buku Jingga dapat dilaksanakan sepenuh sebaik Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah negara kerana jumlah yang diperlukan tidak pun sampai RM12.5 bilion.

Beliau turut mengumumkan 26 Mac depan akan diadakan satu majlis pelancaran Agenda Selangor Untuk Rakyat (ARUS) yang mempunyai banyak lagi program kebajikan kepada rakyat akan didedahkan

Katanya, jumlah RM12.5 bilion itu bersangkut paut dengan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kini sedang menjadi kes mahkamah melibatkan bekas dua menteri yang dikatakan menipu jemaah kabinet termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

"Sebenarnya di Selangor ini kita telah banyak melakukan program untuk rakyat sebagai kebajikan kepada mereka meskipun tidak terdapat pun di dalam Buku Jingga bererti kita bukan hanya berjanji tetapi telah melaksanakannya.

"Sepanjang tiga tahun Pakatan mentadbir Kerajaan Negeri Selangor ini, selain dari tujuh perkara utama di dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kita melakukan banyak perkara yang berkesan untuk rakyat negeri ini.

"Cumanya kita tidak mahu menyebutkan lebih banyak apa yang telah, sedang dan akan dibuat kerana ia hanya akan meningkatkan darah panas badan pemimpin BN," seloroh beliau sambil tersenyum disambut tepukan hadirin.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap melancarkan Buku Jingga dan Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang disambut sederhana di Stadium Malawati, malam semalam.

Turut berucap adalah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.

Dalam isu sama, Abdul Khalid berkata, bila tidak berlaku rasuah dan kebocoran maka rakyat akan dapat manfaat yang banyak hasil daripada sistem pentadbiran yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor kini.



Tabiat gila pangkat ‘Wanita Pertama’
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Mac: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yakin selepas ini akan lebih ramai isteri Menteri Besar dan Ketua Menteri BN yang menuntut pangkat baharu ‘Wanita Pertama’ ciptaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sedangkan, katanya rakyat menderita menanggung bebanan kenaikan harga barang dan hutang yang semakin bertambah, pemimpin Umno BN pula sibuk sedang mengagih-agihkan kekayaan dan pangkat buat kaum keluarga dan kroni mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah 'menganugerahkan' isterinya, Ragad Waleed Alkurdi pangkat Wanita Pertama Sarawak.

Baginya, ‘anugerah’ itu adalah bukti tamak haloba dan tabiat gila pangkat pemimpin Umno BN yang sudah di tahap ekstrem.

“Inilah tanda-tanda seolah mereka sudah sedar bahawa kuasa perubahan rakyat semakin mara, dan kekalahan BN pada PRU13 nanti adalah suatu yang tidak mustahil.

“Maka, sebelum terlambat pengorup harta rakyat ini segera mengaut harta dan pangkat buat saraan sehingga 7 keturunan sebelum dijatuhkan oleh kuasa rakyat kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Walaupun kalah, PAS tetap optimis

Rusli Islam

TEMERLOH, 7 Mac: Walaupun kalah, PAS dan Pakatan Rakyat tetap optimis mampu memenangi Dun Kerdau dalam Pilihan raya Umum ke-13 yang akan datang.

"PAS menganggap ruang kempen seminggu adalah taburan benih-benih untuk ia hidup subur pada masa akan datang, insya Allah," kata Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, malam tadi.

Katanya, penyertaan PAS kali ini juga telah berjaya membongkar kelemahan pengurusan pentadbir dan pengabaian pembangunan di Kerdau.

"Felda juga menikmati duit SES yang dijanjikan sebanyak RM13,000, serta MPOB sebanyak RM4,000 dan berharap ia akan menjadi tuntutan semua Felda di seluruh negara," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menurutnya, Unit Peti Undi di Felda Jengka 22, 23 dan 25 memperolehi sedikit peningkatan undi berbanding PRU ke-12, walaupun cuba disogok dengan pelbagai janji oleh Barisan Nasional.

Di samping itu, ujarnya PAS turut merakamkan kekecewaannya terhadap kegagalan SPR menguatkuasakan seluruh peruntukan yang ada sehingga berleluasanya amalan rasuah, pembelian undi, penggunaan jentera kerajaan, penggunaan kemudahan awam dan ugutan dalam PRK kali ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mengakui bahawa PAS bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan jentera BN, tetapi turut berhadapan dengan jentera kerajaan yang digunakan secara berleluasa.

"PRK kali ini juga telah berjaya memperkukuhkan hubungan antara anggota Pakatan Rakyat yang diterjemahkan di dalam pelbagai program bersama," tambahnya.

Sementara itu calon PAS, Hassanuddin Salim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jentera PAS, DAP dan PKR yang bertungkus-lumus membantu dalam gerak kerja pilihan raya kecil kali ini.

Beliau memperolehi 2,336 undi berbanding calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mendapat 5,060 undi sementara jumlah undi rosak sebanyak 90.

Sementara itu di Merlimau, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Yuhaizad Abdullah mendapat 2,319 undi berbanding calon BN, Roslan Ahmad yang memperolehi 5,962 undi dengan jumlah undi rosak sebanyak 130 undi.

Tiada ulasan: