KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempercepatkan tindakan membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir ekoran situasi semasa yang semakin buruk.
Anggota Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd Nor yang kini turut terkandas di Lapangan Terbang Kaherah bersama ratusan pelajar Malaysia, berkata buat masa ini keadaan keselamatan mereka adalah terkawal serta masih bersemangat tinggi.
"Mereka masih dalam keadaan terkawal dan selamat, tetapi keadaan di Cairo semakin gawat. Saya jangkakan keadaan akan semakin buruk.
"Kerajaan Amerika Syarikat telah pun menghantar pesawat untuk mengeluarkanwarga mereka. Saya menyeru kerajaan Malaysia supaya bertindak segera danmemulakan rencana membawa pulang pelajar kita," katanya menerusi Khidmat PesananRingkas (SMS) kepada Bernama, di sini Isnin.
Ezam berada di Mesir bagi mempromosikan bukunya yang bertajuk 'Islam dan Rasuah'.
Dilaporkan pada masa ini terdapat 10,328 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.
Sejak Selasa lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - BERNAMA
Omar gesa Hosni undur
LONDON: Legenda industri perfileman Mesir, Omar Sharif menyertai kumpulan yang semakin ramai yang mendesak Presiden Hosni Mubarak, meletak jawatan.
Omar, dalam satu temuramah radio semalam berkata, Hosni gagal meningkatkan taraf hidup rakyat Mesir dan tempoh 30 tahun pemerintahannya sudah lebih daripada mencukupi.
Omar, 78, yang berasal dari Iskandariah, terkenal kerana peranannya sebagai Sharif Ali, aktivis pembaharuan dan revolusi Arab, dalam filem Lawrence of Arabia yang diterbitkan pada 1962.
“Hosni sudah sepatutnya meletak jawatan memandangkan seluruh rakyat Mesir tidak mahukannya. Dan tempoh 30 tahun dia berkuasa sudah cukup lama,” katanya dalam temuramah berkenaan.
“Hosni tidak berjaya meningkatkan taraf hidup rakyat Mesir.
“Ada orang yang amat kaya, mungkin kira-kira satu peratus sementara yang lain miskin, sukar untuk mendapatkan bahan makanan,” katanya.
Bagaimanapun, Omar berkata, dia begitu bimbang mengenai kebangkitan kumpulan Islam, Ikhwanul Muslimin yang sejak puluhan tahun lalu ditindas oleh kerajaan Mesir.
“Saya tak mahu Ikhwan. Mereka sudah sekian lama terperangkap dan kini mula keluar. Mereka mendapat sokongan 20 peratus penduduk dan bagi saya, ia amat membimbangkan,” kata Omar. - DM
Penduduk Gaza harapkan perubahan di Mesir
GAZA: Penduduk di wilayah Palestin ini percaya sebarang perubahan kerajaan di Mesir akan membawa perkembangan positif kepada nasib mereka.
Penduduk wilayah yang dikuasai oleh kumpulan Hamas itu sudah sekian lama menderita akibat sekatan yang dikenakan kerajaan Presiden Mubarak terhadap wilayah itu.
“Setiap penduduk Gaza menanti perubahan di Mesir kerana negara itu umpama peparu yang menjadi saluran udara kami.
“Apa juga perubahan yang berlaku di Mesir akan dapat dilihat di Gaza,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan namanya disiarkan. Di kem pelarian Bureij, Khaled Nasser, 29 begitu optimis.
“Kaum wanita dulu pernah berkata, jika anda melihat langit mendung di Mesir, hujan dijangka turun di Gaza. “Berita baik kini semakin hampir,” kata seorang pemandu teksi sambil bersandar pada teksinya untuk mendengar berita mengenai perkembangan di Mesir menerusi radio. Mesir dan Israel menguatkuasakan kepungan terhadap Gaza selepas Hamas menguasai wilayah berkenaan pada 2007, menyebabkan 1.5 juta penduduknya hidup tersepit. - AFP
Operasi Terusan Suez normal
Israel cari sokongan untuk Hosni
BAITULMAQDIS: Israel mengarahkan diplomatnya di Amerika Syarikat, Eropah dan di negara lain untuk menggalakkan negara tuan rumah mereka menyokong rejim Presiden Mesir, Hosni Mubarak.
Akhbar Haaretz melaporkan semalam, rejim Zionis itu memberitahu diplomatnya bahawa adalah penting bagi Barat dan seluruh Timur Tengah untuk mengekalkan kestabilan rejim di Mesir.
“Kerana itu kita mesti mengekang kritikan awam terhadap Presiden Hosni Mubarak,” menurut kandungan mesej itu yang dihantar hujung minggu lalu.
Akhbar berkenaan melaporkan, ia dihantar kepada diplomat di Amerika Syarikat, Kanada, China, Russia dan beberapa negara Eropah.
Seorang jurucakap Kementerian Luar dan jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel bagaimanapun enggan mengesah atau menafikan laporan itu ketika disoal oleh AFP.
Rejim Zionis itu sehingga ini tidak banyak mengulas mengenai pemberontakan rakyat Mesir.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata Ahad lalu, dia mengarahkan menterinya supaya tidak bercakap secara terbuka mengenai perkembangan di negara itu.
Seorang pegawai kanan Israel dipetik oleh Haaretz sebagai berkata, rejim berkenaan tidak selesa dengan kenyataan terbuka yang dibuat oleh pegawai Amerika Syarikat dan Eropah berhubung keadaan yang semakin buruk di Mesir. - AP
Sejuta orang akan berarak
KAHERAH: Penunjuk perasaan Mesir semalam menggesa diadakan mogok umum dan ‘perarakan sejuta orang’ di bandar raya ini esok.
Langkah itu bertujuan meningkatkan usaha untuk menggulingkan rejim Presiden Hosni Mubarak.
Seorang penganjur tunjuk perasaan, Eid Mohammed berkata, keputusan untuk mengadakan perarakan itu dibuat malam kelmarin.
“Kami juga mengambil keputusan untuk mengadakan mogok umum yang tarikh akhirnya tidak ditetapkan,” kata Eid.
Mogok itu mulanya dicadangkan oleh pekerja sebuah kilang di Suez Ahad lalu.
“Kami akan menyertai pekerja itu dan memulakan mogok umum sehingga tuntutan kami dipenuhi,” kata seorang lagi penganjur tunjuk perasaan, Mohammed Waked.
Di Medan Tahrir, Kaherah, ribuan penunjuk perasaan berhimpun sepanjang malam dalam usaha memastikan tunjuk perasaan antikerajaan terbesar dalam tempoh tiga dekad berterusan.
Sementara itu, kerajaan mengerahkan semula polis pencegah rusuhan mengawal jalan raya selepas dua hari tidak kelihatan setelah anggota tentera dikerah menangani pemberontakan itu.
Bagaimanapun, sepanjang semalam, tidak ramai anggota polis kelihatan.
Tunjuk perasaan yang diadakan sejak minggu lalu sehingga ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 125 orang terbunuh.
Bagaimanapun, Hosni masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berundur.
Dalam pada itu, tentera mengadakan sekatan jalan raya untuk memburu tahanan yang melarikan diri selepas pegawai penjara meninggalkan pos masing-masing.
Antara mereka yang melarikan diri ialah anggota Ikhwanul Muslimin dan pejuang Hamas Palestin.
Sementara itu, tokoh penentang Hosni, Mohamed El Baradei dalam ucapannya kepada penunjuk perasaan meminta mereka bersabar dengan berkata: “Kita di landasan yang betul. Perubahan akan tiba.” - AFP
Hosni rombak Kabinet
KAHERAH - Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam melantik bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kaherah, Jeneral Mahmoud Wagdy sebagai Menteri Dalam Negeri sebagai sebahagian daripada usahanya merombak Kabinet yang dipimpinnya selama 30 tahun.
Namun, pelantikan menteri baru serta janji untuk melakukan pembaharuan belum mampu meredakan kemarahan penunjuk perasaan yang mahu beliau berundur.
Rombakan itu turut melibatkan Menteri Dalam Negeri, Habib alAdly yang digantikan dengan Mahmud Wagdi, seorang jeneral tentera.
Kemarahan itu belum reda apabila para penunjuk perasaan semalam merancang mengadakan mogok besar-besaran dan 'perarakan sejuta orang' pada hari ini di Kaherah demi menjatuhkan rejim Hosni.
"Keputusan ini dibuat semalam dan akan ada sejuta penunjuk perasaan berarak pada hari Selasa (hari ini)," jelas salah seorang penganjur tunjuk perasaan, Eid Mohammed.
Mogok pertama dilakukan oleh para pekerja di sebuah kilang di Suez pada Ahad lalu.
"Kami akan menyertai mogok pekerja Suez dan memulakan mogok awam sehinggalah permintaan kami dipenuhi," kata seorang lagi penganjur protes, Mohammed Waked yang merujuk peletakan jawatan Hosni.
Kekacauan di Mesir kini sudah masuk hari ketujuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 125 nyawa.
Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri Tahrir Square di Kaherah sambil menjerit slogan: Pergi! Kami mahu kamu (Hosni) keluar!" selain menyanyikan lagi kebangsaan Mesir.
Pasukan askar dilihat tidak mengambil sebarang tindakan. Askar-askar dilihat berkongsi teh dan makanan bersama penunjuk perasaan di atas kereta kebal yang diconteng dengan grafiti anti-Hosni.
Askar-askar turut diberi pilihan sama ada memilih Mesir atau Hosni.
Pada peringkat awal kebangkitan rakyat, tidak wujud kumpulan politik pembangkang yang jelas.
Namun semalam, Persaudaraan Muslim menyatakan pihaknya akan cuba untuk membentuk satu jawatankuasa politik dengan bekas penerima anugerah Nobel dan bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Mohamed ElBaradei untuk berbincang dengan pihak tentera berhubung krisis di negara tersebut.
Tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah Mesir itu tercetus berikutan kekecewaan rakyatnya terhadap penindasan, korup dan kurangnya amalan demokrasi di bawah pemerintahan Hosni. - Agensi
Wang terus mengalir di Suez
SUEZ - Setiap kali Hossam melihat kapal kargo yang membawa kekayaan dunia melalui Terusan Suez, hatinya dihujani perasaan kecewa.
Terusan yang menjadi antara laluan perdagangan terpenting sejak kurun ke-19 itu menyumbangkan hampir AS$5 bilion (RM15.3 bilion) kepada Mesir, tahun lalu.
Tetapi Hossam, lelaki berumur 33 tahun yang tinggal di bandar industri Suez di bahagian selatan terusan itu tidak pernah merasai sebarang kekayaan atau manfaat laluan laut tersebut.
Sejak seminggu lalu, kemarahannya dan ribuan penduduk Suez yang kebanyakannya menganggur dan miskin, sampai ke kemuncak sehingga mencetuskan protes paling ganas yang menggoyahkan asas politik Mesir dan menyebabkan Mubarak menggeletar ketakutan.
"Rakyat ditindas! Suez adalah wilayah terkaya di Mesir. Mana pergi wang yang diterima dari Suez? Mana hasil kekayaan terusan itu?," katanya dengan perasaan marah.
Semasa protes mula tercetus, 25 Januari lalu, kematian pertama dilaporkan berlaku di Suez.
Penunjuk perasaan menuntut Mubarak menamatkan cengkaman kuku besinya selama 30 tahun di mana pemimpin itu mengumpul kekayaan peribadi sambil membiarkan rakyatnya dibelenggu kemiskinan.
"Saya mendapat gaji sebanyak 400 pound Mesir (RM210) sebulan," menurut seorang mekanik di Suez.
"Sebanyak RM157 digunakan untuk membayar sewa rumah, RM10 membayar elektrik, RM8 membayar air. Bakinya memang langsung tidak cukup untuk makan dan minum, apatah lagi untuk penjagaan kesihatan," katanya.
Penduduk di Suez menjadi saksi kekayaan negara setiap kali melihat kapal besar syarikat gergasi dunia melalui terusan itu tetapi sayangnya, mereka tidak pernah menikmati hasil lumayan dari Suez.
Tidak hairanlah sejak protes bermula, Suez dibandingkan dengan Sidi Bouzid, bandar Tunisia di mana protes pertama bermula yang mencetuskan revolusi di rantau Afrika Utara dan Timur Tengah.
Gaza mahu Mubarak disingkir
2011/02/01
BANDAR GAZA: Penduduk Gaza memerhati dengan rapi perkembangan di negara jiran Mesir mengharapkan perubahan kerajaan akan membawa kepada dasar kawalan sempadan yang lebih longgar, manakala Israel pula berkempen untuk mempengaruhi negara kuasa besar agar terus menyokong Presiden Hosni Mubarak.
Israel semalam memberitahu diplomatnya di Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa negara lagi agar menggalakkan kerajaan tuan rumah mereka terus menyokong rejim Mubarak yang kini berdepan dengan tunjuk perasaan besar-besaran menuntut Presiden Mesir itu meletak jawatan.
“Kita harus membendung kecaman awam terhadap Presiden Hosni Mubarak,” kata kementerian luar itu.
Akhbar itu berkata, kenyataan itu dihantar kepada diplomat Israel di beberapa negara termasuk AS, Kanada, China, Russia dan beberapa negara Eropah.
Sementara itu, penduduk Gaza pula yakin perubahan positif mungkin bermakna sekatan dikenakan kerajaan Mesir terhadap pintu masuk ke wilayah mereka yang dikepung akan dilonggarkan.
Mesir dan Israel mengehadkan laluan keluar dan masuk ke Gaza selepas Hamas mengambil alih kuasa di semenanjung tepi laut sesak dengan 1.5 juta penduduk itu daripada Presiden Palestin disokong Barat, Mahmoud Abbas pada 2007.
Gaza dan Mesir berkongsi sempadan sepanjang 15 kilometer dan ratusan terowong digali penyeludup bagi merentasi sempadan secara haram untuk membawa masuk bekalan keperluan ke wilayah Palestin itu.
Sejak tunjuk perasaan harian oleh rakyat Mesir yang bermula hampir seminggu lalu, pintu masuk sempadan semakin dikawal ketat.
Pintu masuk antara Gaza dan Mesir, yang sebahagiannya dibuka semula sejak beberapa bulan lalu, ditutup kelmarin oleh pihak berkuasa Mesir hingga diberitahu kelak.
Penyeludup berkata, aliran barangan dari Mesir termasuk minyak murah, terganggu sejak beberapa hari. Penduduk Gaza mula menyimpan bekalan minyak dan barisan panjang penunggang motosikal dilihat di stesen minyak.
“Mana-mana penduduk Gaza menunggu perubahan di Mesir kerana negara jiran itu adalah peparu yang membantu kami bernafas,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan namanya didedahkan.
“Sebarang perubahan di Mesir akan membawa perubahan di Gaza,” katanya. – AP
Anak Mubarak bawa 97 beg besar ke Britain
2011/02/01
Anak lelaki presiden itu, Gamal, 47, dikatakan bertolak dengan pesawat peribadi bersama keluarganya dan 97 beg besar.
Keluarga itu dikatakan menginap di rumah agam enam tingkat milik mereka bernilai £8.5 juta (RM41 juta) berdekatan pusat beli-belah terkemuka Harrods di Knightsbridge, barat London.
Pengendali bagasi penerbangan Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow berkata Wanita Pertama negara itu, turut dilihat tiba di London.
Mubarak dikatakan mempunyai aset £25 bilion (RM120 bilion) sejak berkuasa pada 1981.
Suzanne, Gamal dan anak sulung Mubarak, Alaa, 49, menjadi simbol kekayaan dan rasuah di Mesir. Suzanne turut digelar Marie Antoinette kerana bersikap umpama ratu yang dipancung di zaman revolusi Perancis.
Wanita Pertama Mesir itu turut memegang pasport Britain kerana ibunya, Lily May Palmer adalah wanita Inggeris dan bapanya berasal dari Mesir.
Lily bekerja sebagai jururawat bertemu jodoh dengan pelajar perubatan dari Mesir, Saleh Thabet di utara London pada 1934. Mereka kemudian berpindah ke Mesir dan Suzanne dilahirkan pada 1941. – Agensi
Sejuta diminta sertai bantahan
2011/02/01
KAHERAH: Satu pakatan pembangkang menggesa sejuta penduduk Mesir meningkatkan tekanan terhadap Presiden Hosni Mubarak melepaskan kuasa selewat-lewatnya Jumaat depan dengan keluar beramai-ramai memprotes di tengah ibu kota Kaherah mulai semalam.
Seramai 30 hingga 40 wakil pergerakan terbabit juga mendesak supaya mogok umum dilancarkan di seluruh negara itu bagi memaksa Mubarak berundur selepas 30 tahun berkuasa.
Jurucakap beberapa kumpulan terbabit berkata, wakil mereka berunding sejak petang semalam bagi membentuk strategi bersama menggulingkan Mubarak.
Mereka juga akan memutuskan sama ada pemenang anugerah Nobel, Mohamed ElBaradei akan dinamakan sebagai jurucakap penunjuk perasaan.
Ikhawanul Muslimin pula menyatakan bahawa ia tidak akan menerajui penentangan terhadap Mubarak.
“Kami tidak mahu mengancam revolusi ini,” kata Mohamed Mahdi Alef, bekas pemimpin kanannya.
Mengulas tindakan mogok, salah seorang penaja bantahan, Israa Abdel-Fattah, berkata: “Kami tidak mahu keadaan pulih semula sehingga Mubarak tidak lagi memerintah. Kami mahu penduduk tidak bekerja hingga beliau berundur.”
Israa adalah pengasas kumpulan 6 April, pergerakan belia yang mendesak pembaharuan demokratik dilakukan sejak 2008.
Bank, sekolah dan pasaran saham ditutup buat hari kedua manakala ramai terpaksa berbaris di luar kedai roti untuk menambah bekalan.
Kawat berduri menutup laluan ke Dataran Tahrir dari jalan utama, kawasan plaza yang diduduki penunjuk perasaan sejak Jumaat lalu, menjadikannya pusat kempen menjatuhkan Mubarak yang dipersalahkan atas kemiskinan berleluasa, inflasi, sikap tak peduli pihak berkuasa dan penindasan ke atas penduduk.
Beribu-ribu orang berhimpun di dataran itu sejak awal pagi, ramai yang tidur di kawasan padang atau dalam khemah. Ramai yang mula tiba sejak awal lagi.
Anggota polis dan pengutip sampah juga muncul semula di jalan raya Kaherah manakala stesen kereta api bawah tanah dibuka semula selepas askar dan sukarelawan bersenjatakan cotar dan parang menjaga keamanan semalaman.
Sementara itu, stesen televisyen Al-Jazeera pula menyatakan, enam wartawannya sudah dibebaskan selepas ditahan sehari selepas televisyen itu diarah memberhentikan operasinya. – Agensi
Himpunan jutaan rakyat Mesir esok
|
|
KAHERAH 31 Jan. - Penunjuk perasaan Mesir hari ini menyeru supaya rakyat negara ini melancarkan mogok dan mengadakan perhimpunan berjuta-juta orang di Kaherah esok bagi meningkatkan gesaan menuntut perletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.
Seorang penunjuk perasaan yang juga penganjur, Eid Mohammed berkata, mereka memutuskan untuk melancarkan mogok umum dan perhimpunan seramai berjuta-juta orang esok.
Pelancaran mogok itu buat pertama kalinya diseru oleh pekerja di bandar Suez lewat semalam.
"Kami akan menyertai pekerja Suez dan memulakan mogok umum sehingga permintaan kami ditunaikan," kata seorang lagi penganjur protes, Mohammed Waked.
Di Dataran Tahrir, Kaherah, beratus-ratus penunjuk perasaan berkampung sepanjang malam tadi dalam usaha untuk mengekalkan momentum demonstrasi besar-besaran di negara ini dalam tempoh tiga dekad.
Mereka bertegas untuk tidak berganjak sehingga Mubarak meletak jawatan.
Sementara itu, Mohamed ElBaradei lewat semalam memberitahu sejumlah besar penunjuk perasaan di Dataran Tahrir bahawa mereka kini sedang menuju ke era baru.
"Kita adalah di pihak yang benar, kekuatan kita ialah pada jumlah yang menyertai protes ini. Saya minta anda bersabar kerana perubahan akan tiba.
"Kita perlu berkorban jiwa dan darah untuk negara," kata beliau sambil disambut oleh penunjuk perasaan dengan berteriak 'Rakyat mahu gulingkan Presiden'. - AFP
ElBaradei: Hosni Mubarak mesti letak jawatan sekarang
KAHERAH 31 Jan. - Aktivis demokrasi Mesir, Mohamed ElBaradei mendesak Presiden, Hosni Mubarak untuk meletakkan jawatannya ketika bercakap kepada penunjuk perasaan yang melanggar perintah darurat pada malam ketiga berturut-turut di Kaherah.
Pesawat pejuang terbang rendah manakala polis kembali ditempatkan di jalan-jalan utama di ibu negara itu bagi menunjukkan kawalan oleh pihak berkuasa.
Kehadiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan itu di Dataran Tahrir (Kemerdekaan) semalam, menggariskan usaha pergerakan penunjuk perasaan secara besar-besaran untuk menggulingkan pemimpin negara itu.
Demonstrasi yang kini memasuki hari keenam dan berpusat di dataran berkenaan di mana lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpul semalam, walaupun perintah darurat berkuatkuasa pukul 4 petang waktu tempatan.
Mereka melaungkan ''Berambus, berambus, berambus!.
''Anda adalah pemilik revolusi ini. Anda adalah masa depan,'' kata ElBaradei kepada penunjuk perasaan.
Menurutnya, permintaan asas mereka adalah penggulingan rejim dan permulaan kerajaan baru di Mesir di mana rakyatnya hidup dengan kebebasan, jujur dan bermaruah.
Pemimpin pembangkang Mesir itu menambah, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan.
Dalam pada itu, tanda-tanda menunjukkan kedudukan rejim Mubarak selama tiga dekad mula goyah apabila sekutu utamanya, Amerika Syarikat meminta satu perubahan ke arah demokrasi.
Ditanya jika Washington menyokong Mubarak sebagai pemimpin Mesir, Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton mengelak memberi jawapan tepat.
Kerajaan asing bawa pulang rakyat dari Mesir
BEIJING 31 Jan. - Pelbagai kerajaan mengambil tindakan membawa pulang rakyat mereka dari Mesir dengan menyewa atau menjadualkan pesawat ketika penunjuk perasaan semakin rancak mengadakan demonstrasi mendesak peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak.
Dua syarikat penerbangan China, Air China dan Hainan Air menjadualkan satu penerbangan ke Kaherah hari ini.
Kementerian Luar Jepun berkata, pesawat yang disewa akan membawa 500 rakyatnya yang terkandas dari Kaherah ke Rom.
Amerika Syarikat (AS) dan Turki turut menawarkan untuk membawa pulang rakyat mereka dan syarikat penerbangan utama termasuk Lufthansa dan Air India berikrar menghantar lebih banyak pesawat ke Kaherah dan Iskandariah.
Kementerian Luar Greece berkata, sekurang-kurangnya dua pesawat tentera sudah bersedia untuk mengeluarkan rakyat negara itu.
Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki telah menghantar sebuah pesawat ke Mesir untuk membawa pulang rakyatnya.
Kementerian Luar Jerman mengeluarkan amaran perjalanan ke Kaherah, Iskandariah dan Suez semalam. - REUTERS
''Kami sudah jelaskan bahawa kami mahu satu transisi ke arah demokrasi dan kami mahu melihat langkah-langkah diambil yang akan menyaksikan pelaksanaannya,'' katanya kepada Fox News. - AFP
Kerajaan Hosni sedia runding dengan pembangkang
KAHERAH 31 Jan. - Selepas pemerintahan selama 30 tahun yang tidak dicabar, Presiden Mesir Hosni Mubarak semalam membuka pintu rundingan kepada parti pembangkang dan pihak yang disifatkan beliau menggunakan agama untuk 'menyebar ketakutan' melalui bantahan besar-besaran.
Menurut transkrip ucapan beliau kepada barisan kepimpinan baru kerajaan yang dibacakan di stesen Nile TV, Presiden itu mengakui apa yang disifatkannya sebagai 'demonstrasi aman' serta rungutan orang ramai mengenai ekonomi.
"Keadaan ini memerlukan kita menyusun semula keutamaan negara dalam satu cara yang menuruti kemahuan rakyat," katanya.
Mubarak turut mengakui situasi kekacauan dengan menggesa pemimpin negara terutamanya Perdana Menteri baru, Ahmed Shafiq supaya mengadakan satu dialog dengan semua parti pembangkang kerana ia boleh mencapai proses demokrasi.
Beliau turut meminta barisan kepimpinan baru kerajaan supaya 'menentang pihak-pihak yang melakukan sebarang bentuk rasuah' dan menegaskan 'keperluan melaksanakan langkah adil, serius dan berkesan dalam pembaharuan politik, Perlembagaan dan perundangan'.
Katanya, pemimpin-pemimpin juga perlu 'menghentikan semua keganasan oleh mana-mana pihak yang melakukannya' dalam satu kenyataan yang merujuk kepada parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin.
"Rakyat dan golongan muda Mesir keluar ke jalan-jalan mengadakan bantahan secara aman bagi menyatakan hak kebebasan suara mereka.
"Bagaimanapun, demonstrasi mereka diganggu sekumpulan pihak yang menggunakan nama agama yang langsung tidak mengambil kira hak Perlembagaan dan nilai-nilai kerakyatan," katanya.
Presiden itu hari ini turut menamakan bekas Gabenor Sinai Utara, Jeneral Murad Mowafi sebagai ketua perisik baru negara. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan