Isnin, 4 Jun 2012

LAWAK...DULU MASA KES ANWAR...SAPE YANG ENGGAN DATANG JADI SAKSI...MAHKAMAH DUNIA PE DE HAIRAN...TUNGGULAH MAHKAMAH ALLAH DIAKHIRAT NANTI...MATI...TETAP MATI...SEMUA MANUSIA MESTI MATI...

Dr M: Bawa saya ke mahkamah, saya tak takut

4 Jun 2012
Dr M: Bawa saya ke mahkamah, saya tak takut
Tun Dr Mahathir Mohamad
CYBERJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gentar dengan dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk mendedahkan apa yang dikatakan skandal kewangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Dipetik Bernama,  Dr Mahathir berkata, Kit Siang boleh berbuat apa sahaja sekarang juga untuk membuktikan berlakunya skandal kewangan sepanjang pemerintahan beliau.

"Dia (Kit Siang) boleh buka apa-apa fail, sekarang pun tak apa. Nak bawa saya pergi ke mahkamah pun boleh. Saya tak takut apa-apa pun," katanya ketika merasmikan KRU Academy di sini hari ini.
 
Semalam, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, mendakwa bahawa Dr Mahathir khuatir kebenaran skandal kewangan yang berlaku ketika pemerintahan beliau akan terdedah jika pakatan pembangkang memerintah negara.
 
Apabila ditanya mengenai 'Himpunan Hijau ke Putrajaya' anjuran Pas yang menarik 50,000 penyokong, Dr Mahathir menyifatkannya sebagai 'perhimpunan besar-besaran kerana diupah' dan tidak menjanjikan bahawa pakatan pembangkang bakal menang dalam pilihan raya akan datang.

"Saya biasa mendapat kurang daripada 100 orang yang datang untuk mendengar ucapan saya namun saya berjaya memenangi pilihan raya.
 
"Jika anda mengupah orang supaya datang, mereka akan datang. Ini adalah perhimpunan besar-besaran kerana diupah.
 
"Anda tengoklah nanti semasa pilihan raya kalau jumlah 50,000 itu dapat diterjemah kepada sokongan dan menghantar mereka (pakatan pembangkang) ke Putrajaya," katanya.
2 anggota panel siasat Bersih 3.0 tarik diri
Arhiza Ahmad & Jamilah Hamzah
4 Jun 2012
2 anggota panel siasat Bersih 3.0 tarik diri
Anggota panel Hanif Omar (kanan) dan Dr Ruszmi Ismail (kiri) dan Hussamuddin Yaacub (dua dari kiri).
PUTRAJAYA - Dua anggota Panel Penasihat Bebas yang dilantik oleh kerajaan untuk menyiasat dakwaan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0, yang diadakan akhir April lalu, telah memutuskan untuk menarik diri daripada menganggotai panel tersebut.
Mereka ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim dan Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah.
Pengerusi panel, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, Shim menarik diri atas sebab-sebab kesihatan manakala Mohammad Medan pula disebabkan beban tugas semasa.

"Kerajaan akan menentukan pengganti kedua-dua mereka ini dalam tempoh yang terdekat. Bagaimanapun ia masih lagi belum diputuskan siapa yang akan dilantik untuk menyertai panel bebas ini," katanya.
Pembentukan panel itu diumumkan oleh kerajaan awal bulan lalu.
Selain Shim dan Medan serta Hanif sebagai pengerusi, anggota lain panel terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub,  Penasihat undang-undang Media Chinese International Liew Peng Chuan dan ahli psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.
Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan pelantikan Hanif sebagai pengerusi panel tersebut.
Bagaimanapun Hanif mempertahankan bahawa beliau akan bertindak secara profesional sebagaimana telah diperlihatkan sebelum ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel itu akan diberi kebebasan dalam pelbagai aspek, termasuk soal tempoh masa, serta pihak yang akan dirujuk bagi membantu siasatan mereka.
Katanya, beliau ada mendengar syor sesetengah pihak untuk mendapatkan bantuan kepakaran pihak luar, contohnya jabatan polis New York atau polis United Kingdom bagi membantu siasatan, namun menurutnya akhirnya ia terpulang kepada keputusan panel berkenaan.
“Harapan kita adalah untuk orang ramai ketahui apa yang sebenarnya berlaku, hari ini ada bermacam-macam saluran, banyak tuduhan dan ada kecenderungan pihak tertentu hanya melihat kepada satu aspek sahaja terhadap apa yang berlaku pada hari itu, jadi cerita menyeluruh mesti dikemukakan panel ini.
“Kalau ia dikemukakan pihak Kementerian Dalam Negeri atau polis, mungkin ada pihak yang dah begitu prejudis, hingga apa yang kita cakap pun mereka tidak akan percaya, jadi panel ini ditubuhkan bagi tujuan itu,” katanya.
Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.
Beliau berkata pada pandangannya penemuan panel itu juga dapat membantu kerajaan untuk melihat ke hadapan, khususnya dengan penampilan rang undang-undang berhubung perhimpunan aman, hasil transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Terma rujukan (TOR) panel itu yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan sebahagian daripadanya menjurus kepada insiden keganasan polis terhadap perusuh termasuk juga petugas media yang turut dikasari pihak berkuasa terbabit.
Antara TOR yang menjurus kepada pihak polis tersebut adalah untuk memastikan sama ada penguatkuasaan agensi-agensi mematuhi prosedur perundangan dan tindakan setiap masa terutamanya ketika penggunaan kekerasan, gas pemedih mata, dan meriam air.
Antara terma rujukan lain berkaitan polis adalah untuk menyiasat sama ada terdapatnya keganasan fizikal secara rawak digunakan pihak polis terhadap orang awam dan petugas media, menyiasat sama ada terdapatnya rampasan tidak mengikut undang-undang terhadap gambar dan rakaman video dan peralatan mereka dimusnahkan.
Selain itu panel juga menyiasat sama ada terdapatnya antara mereka yang ditangkap tidak menurut lunas perundangan dan mengalami kecederaan serius semasa dalam tahanan polis, dan juga menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam menghormati peserta dan kawalan perhimpunan berdasarkan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat yang mengamalkan demokrasi.
Selain itu, berdasarkan TOR, panel juga akan mengadakan penyiasatan terhadap penganjur perhimpunan Bersih 3.0.
Panel penasihat teliti 43 klip video
Arhiza Ahmad & Jamilah Hamzah
4 Jun 2012
Panel penasihat teliti 43 klip video
Hanif Omar (dua dari kanan) bersama tiga anggota panel siasatan (dari kiri) Prof Dr Ruszmi Ismail, Hussamuddin Yaacub dan Liew Peng Chuan.
PUTRAJAYA - Panel Penasihat Bebas akan meneliti 43 klip video, durasinya 73 jam, yang disediakan oleh polis, menunjukkan kelakuan peserta Bersih 3.0 di sekitar Kuala Lumpur termasuk kemusnahan harta benda dalam perhimpunan pada 28 April lalu.

Pengerusinya, Tun Mohammed Haniff Omar berkata, rakaman itu merangkumi semua aspek termasuk aspek membabitkan individu yang mengajak orang ramai untuk berhimpun pada hari berkenaan.

Menurutnya, rakaman yang dipertontonkan kepada ahli panel bermula sehari sebelum perhimpunan sehingga pada hari kejadian tersebut.
"Kami masih teliti video klip ini untuk mendapatkan bukti.

"Video klip yang sebanyak 43 buah itu, kami terpaksa memilih sudut berlainan yang menggambarkan suasana sebenar perhimpunan tempoh hari," katanya pada sidang media petang tadi.

Menurut Hanif lagi, melalui video tersebut mereka akan meneliti tingkah laku, suasana dan kerosakan harta benda ekoran perhimpunan Bersih 3.0.
Hanif berkata, mereka akan menyiarkan video klip itu kepada umum selewat-lewatnya Isnin depan.
Beliau juga meminta kerjasama masyarakat yang mempunyai bukti atau rakaman perhimpunan tersebut supaya tampil memberi bukti yang dimiliki supaya panel dapat menilainya.

"Saya seru kepada mereka yang ada bukti tersebut serahkan dengan segera untuk dikaji," katanya.

Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi nombor 1388-8681-12, nombor telefon 03-88861811 atau 03-88868112 atau faks di nombor 03-88894836 atau boleh e-mel kepada bilikgerakan@moha.gov.my.


Gerhana bulan separa malam ini, Zuhrah lintasi matahari Rabu
nurul aini mohamed ali
4 Jun 2012
Gerhana bulan separa
Gerhana bulan separa - Foto Bernama
SEMPORNA - Gerhana bulan separa dapat dilihat bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam di Pulau Mabul di sini malam ini.

Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) bermula jam 7.10 malam sehingga 8.10 malam.

Transit planet Zuhrah melintasi matahari pada berlaku pada pagi Rabu ini bermula 6.27 pagi dan berakhir pada jam 12.49 tengah hari, lapor Bernama.

Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.
Sementara itu, wartawan Sinar Harian Online, Nurul Aini Mohamed Ali memetik Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad antara lain berkata, rakyat Malaysia berpeluang  menyaksikan fenomena itu ketika matahari mula terbit.
"Planet Zuhrah juga dikenali sebagai 'Kejora' hanya boleh dilihat melintasi matahari 100 tahun akan datang, jadi orang ramai perlu mengambil peluang ini bagi menyaksikan keajaiban alam ini," katanya.
Tambah beliau, sebanyak lima teleskop akan disediakan pada hari itu bagi memberi peluang orang ramai menyaksikan fenomena tersebut.
Beliau ditemui pada sidang media sempena fenomen gerhana bulan separa yang berlaku bermula jam 7.18 dan berakhir jam 9.18 malam tadi.
Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa apabila bulan terbit dan dapat disaksikan sehingga 8.07 malam apabila bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi.
"Penduduk di Asia Timur, Utara Amerika Barat, England dan Timur Kanada turut berpeluang menyaksikan fenomena ini," ujar beliau.
Angkasa menganjurkan program ini bagi menanam minat dalam bidang sains angkasa kepada orang ramai  pelajar sekolah khusunya.
"Fenomena yang sama hanya boleh disaksikan 26 April tahun depan," katanya.
Salah seorang pengunjung, Linda Osman  berkata, program ini memberi inspirasi kepada kanak-kanak bagi menyelami keajaiban alam dan memberi mereka maklumat secara terperinci mengenai fenomena gerhana bulan separa.
Bagi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurul Jannah Azmi, beliau didedahkan dengan pengetahuan ini secara praktikal kerana dapat menyaksikan gerhana secara langsung.
"Sesuai dengan jurusan fizik yang saya ambil, program ini sekali gus dapat menambah pengetahuan saya. Fenomena ini juga jarang berlaku dan saya tidak mahu melepaskan peluang pada malam ini," katanya.