Khamis, 7 Jun 2012

CAKAP BIAR TERANG...BERBELIT2 BUKAN PEMIMPIN YANG BAIK...KEKAL DIMELAKA DAN MANA SAJA SEBELUM MATI...DAH MATI TAK DE LAGI...KITA KEKAL DIAKHIRAT...JAHAT PERANGAI MASUK NERAKA...TAQWA MASUK SYURGA...JADI DUK DUNIA JANGAN JAHAT DAN SAMSENG...

Khairy: PTPTN tak wajar sekat pelajar Unisel
ARHIZA AHMAD
7 Jun 2012
Logo PTPTN
Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajar menyekat penuntut Universiti Selangor (Unisel) daripada terus menikmati kemudahan pinjaman agensi itu walaupun pembangkang berpendirian ia patut dimansuhkan, kata Khairy Jamaluddin hari ini.

Ketua Pemuda Umno menegaskan, para penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.
"Walaupun terbukti Kerajaan Selangor gagal untuk memberikan pendidikan percuma kepada negeri yang ditadbir oleh mereka, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana keutamaan harus diberi kepada pelajar.

"Mereka ini datang daripada pelbagai kelompok, bukan semua berkemampuan untuk membayar yuran pengajian.

"Oleh itu PTPTN harus mengambil kira perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembekuan itu," kata beliau dalam satu kenyataan SMS hari ini.
Semalam, pemimpin-pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengecam tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman kepada pelajar Unisel.
Unisel terletak di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Mereka mendakwa PTPTN mengambil tindakan itu atas arahan Khaled.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Khaled menyekat kemudahan PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel.
"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?
"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau.
Selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam, Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menyekat permohonan pinjaman Perbadanan PTPTN pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar di Unisel.
Sehubungan itu tegas Menteri Besar, tidak wajar mengheret pelajar yang tidak bersalah ke kancah politik.
PTPTN beku pinjaman sementara waktu
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
7 Jun 2012
Logo PTPTN
Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesahkan pihaknya telah memutuskan untuk membekukan sementara waktu pemberian pinjaman kepada pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, keputusan itu dibuat setelah terdapat suara dan desakan supaya pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara dan PTPTN dimansuhkan.

“PTPTN sentiasa mengikuti perkembangan ini dan memandangkan berat cadangan dan desakan tersebut, terutamanya ia datang daripada parti pembangkang yang kebetulan adalah kerajaan di negeri Selangor.

“PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai oleh kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bersedia dan komited untuk memberikan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun,  PTPTN percaya ada kesungguhan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendidikan percuma , oleh yang demikian pinjaman PTPTN untuk para pelajar tidak diperlukan.

Setelah menimbang perkembangan itu, PTPTN membuat keputusan untuk menangguhkan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel buat sementara waktu.

Keputusan itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu dibuat juga setelah mengambil kira beberapa faktor termasuk kenyataan yang dibuat oleh Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggesa agar peminjam tidak membayar PTPTN.

Gesaan itu akan menjejaskan keupayaan pembiayaan PTPTN di mana dana bayaran balik ini akan digunakan untuk membiayai pinjaman bagi pelajar yang sedang mengikuti pengajian termasuk di Unisel.

“PTPTN perlu mengambil masa untuk mengkaji implikasi kewangan yang bakal ditanggung apabila peminjam tidak membayar balik dan sudah tentulah akan menjejaskan kemampuan PTPTN memberi pinjaman kepada pelajar baharu.

“Seterusnya, PTPTN akan membuat keputusan muktamad selepas berpuas hati mengenai pendirian dan jaminan Unisel dalam perkara ini,” kata kenyataan itu lagi.
PTPTN-Unisel: KPT hanya semak bukan batal, kata TPM
NOOR AZURA SAHRIL
7 Jun 2012
Logo PTPTN
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengambil tindakan menyekat kemudahan pinjaman ke pelajar Universiti Selangor (Unisel) ekoran pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang mahu ia dimansuhkan dan ia hanya bersifat sementara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu menurut Timbalan Perdana Menteri, perkara itu bangkit kerana PR pernah menyuarakan pemansuhan PTPTN di mana Menteri Besar Selangor, Tan Sri  Abdul Khaled Ibrahim mahu pinjaman itu dihapuskan.
Beliau berkata, tindakan penangguhan sementara itu dilakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya kerana mahu menyemak semula sama ada Unisel ingin meneruskan pinjaman PTPTN kepada pelajarnya atau sebaliknya.

“Sebelum ini, Menteri Besar kata mahu ia dimansuhkan.

"Justeru, Khaled Nordin hanya mahu  menyemak sama ada mereka memerlukan pinjaman PTPTN atau sebaliknya dengan mengambil kira pandangan pelajar  kerana Unisel di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Jika akhirnya Kerajaan Negeri tidak mahukan PTPTN, mereka perlu mencari sumber kewangan lain untuk memberikan  pinjaman kepada pelajar Unisel," kata Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (Puncak) Peringkat Parlimen Gombak, hari ini.
Muhyiddin menambah, "justeru, perlu bagi kementerian menyemak semula perkara terbabit.”

PTPTN mengesahkan ia memutuskan untuk menangguhkan pinjaman kepada pelajar Unisel buat sementara waktu.

PTPTN beranggapan bahawa IPT yang dikuasai kerajaan negeri seperti Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) bersedia menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya sekali gus menolak pinjaman PTPTN.

Jelas Muhyiddin, penanguhan PTPTN itu hanya bersifat sementara, bukan membatalkannya sama sekali.
Keputusan itu kelak akan diteliti dan dipertimbangkan dengan sebaik-sebaiknya oleh kementerian sekiranya masih ada keperluan.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, saranan pembangkang supaya PTPTN dimansuhkan adalah perkara yang tidak sepatutnya dibangkitkan tanpa mengambil kira soal pengajian.

“Pembangkang bercakap tanpa mengetahui apa yang mereka cakapkan, sekali mereka bercakap dah terkena batang hidung sendiri, tanpa mengakui mereka melakukan kesilapan,” katanya.
Ali Rustam kekal di Melaka?
YUSOF HARUN
7 Jun 2012
Datuk Seri Ali Rustam adalah antara tokoh pemimpin politik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan. Bukan sekadar beliau adalah Ketua Menteri (KM) Melaka, tetapi beliau beberapa kali membuat percubaan untuk melonjakkan diri dalam hierarki Umno. Anak kelahiran Semabuk ini memulakan hidup makan gaji selaku juruteknik Lembaga Lektrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad).

Kini beliau berjaya mentransformasikan Melaka yang dahulunya hanya dikunjungi untuk mengambil gambar di A Famosa kepada negeri pesat membangun dalam industri pelancongan, pengeluaran dan perubatan. Namun DAP dan sekutunya, sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat melihat Ali dengan pandangan dan sikap berbeza.

Dalam kiraan politik pembangkang, apa yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) Melaka tidak mencukupi hatta sekiranya Ali dapat membangunkan Melaka lebih besar dan lebih canggih dari Kotaraya New York.

Dalam Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11), Ali menang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru dengan majoriti 5,992 tetapi dalam pilihan raya berikut majoritinya merosot kepada 2,708. Ini merumuskan bahawa populariti Ali merosot. Justeru pembangkang mengunjurkan dalam PRU13, sama ada majoriti itu terus berkurangan atau lebih buruk, Ali mungkin kalah. Hakikatnya, dua pilihan raya umum tersebu bukanlah asas untuk menentukan pola dan trend pengundi.

Sementara DAP dan sekutunya bermati-matian psiko rakyat Melaka agar mengundi mereka ke Seri Negeri yang populariti mereka di seluruh negara sendiri merosot dan diburukkan lagi dengan ketidaksefahaman antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka hampir terlupa, dalam suasana terbaik seperti pada 2008 sekalipun, mereka masih gagal mengusir Ali dari kerusinya.

Ali agak unik. Saya sendiri berpeluang melihat keunikan ini dalam pelbagai bentuk tatkala menulis biografi beliau pada 2006. Ketika itu Ali sudah lapan tahun memimpin Melaka selaku KM bermula dari 3 Disember 1999. Saya berasakan buku biografi ini harus dibaca setiap rakyat Melaka mahupun di negara ini kerana Ali kini menjadi sebahagian dari sejarah Melaka.

Beliau mungkin mewakili generasi lama tapi pemikirannya kalaupun tidak setaraf Tun Dr Mahathir Mohamad pun, telah meletakan dirinya sebagai pemimpin masa hadapan. Justeru tidak mengejutkan apabila beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Mengikut satu kajian yang dibuat seorang profesor dari Universiti Malaya, Ali mendahului dua lagi calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhamad Muhd Taib.

Sebelum pengundian bagi menentukan siapa bergelar Timbalan Presiden Umno, pencalonan Ali dibatalkan menurut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno apabila tiga agennya didakwa mengamalkan politik wang.

Walaupun ramai terkilan dengan keputusan Lembaga Disiplin Umno, namun mereka merasakan Ali akan kembali semula bertanding pada masa hadapan. Rata-rata merasakan Ali adalah satu-satunya pemimpin yang bukan sahaja perlu untuk negeri ini tetapi juga untuk politik nasional.

Sukar untuk menafikan beliau berfikiran dinamik. Setiap hari ada saja yang difikirkan bagi membawa Melaka menjadi sebuah negeri berbeza dengan segala macam kelainannya.

Dulu Melaka dikenali sebagai Melaka Bandaraya Bersejarah, kebelakangan ini pula, slogannya bertukar macam sebuah rangkap pantun berbunyi Melaka Maju Negeri ku sayang, Negeri Bandar berteknologi Hijau. Bunyinya mungkin boleh membuat kita tertawa, namun itulah Ali Rustam.

Orang boleh tertawa tapi bagi beliau, Melaka mendahului negeri lain dalam merancang dan merangsang teknologi hijau. Ali mempunyai wawasan dalam kerangka memajukan Melaka. Namun kepimpinan politik bukan sekadar mengenai seorang pemimpin yang berwawasan kerana boleh dilakukan sesiapa saja.

Yang lebih penting untuk merealisasikannya sehingga menjadi kenyataan adalah perkara lain. Bahkan mengikut cerita, Ali sudah merancang dan turun ke padang sejak hari pertama lagi menjadi KM Melaka.

Pada mulanya ada yang merasakan apa yang ditunjukkan Ali sebenarnya adalah perkara biasa bagi seseorang yang baru dilantik menjadi KM atau Menteri Besar (MB). Tetapi ia terbukti salah. Ini kerana, pada hari ini, setelah memegang jawatan itu selama hampir 12 tahun, Ali masih lagi seolah-olah berada pada hari pertama berkhidmat.

Barangkali mindanya yang tidak pernah tandus dengan idea dan perwatakannya yang terus bekerja, merancang serta melaksanakan pelbagai program dan projek tanpa mengenali erti penat.

Ini berpunca daripada kehidupannya zaman kanak-kanak yang melakukan pelbagai kerja – memotong kayu dan menoreh getah. Manakala, zaman remaja beliau pro-aktif dalam menghulurkan idea dan tenaga dalam pergerakan belia. Pada usia 63 tahun, Ali boleh memilih untuk bersara dan duduk goyang kaki di rumah tanpa perlu memikirkan lagi pentadbiran negeri Melaka atau Umno Negeri. Tapi, setakat ini, tidak ada tanda-tanda beliau akan berbuat demikian.

Ramai merasakan apa pun yang akan diperuntukkan kepadanya oleh pucuk pimpinan, Ali akan memberikan yang terbaik. Sebagaimana Ali bersiap sedia memikirkan pelbagai hal pada hari pertama pelantikan semula selaku KM, beliau juga memiliki idea apa yang harus difikirkan pada hari pertama menjadi seorang Menteri pusat. Namun, bukan sahaja lebih ramai membuat spekulasi beliau kekal memimpin Melaka, malah ramai yang mahukan sedemikian.
Pas anggap tindakan kumpulan demo tidak faham dosa dan pahala
ROSMIZA KASIM
7 Jun 2012
Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan
Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan
KOTA BHARU - Pas Kelantan mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang seolah-olah menyindir Kerajaan Negeri dengan menggunakan pelbagai gimik untuk menyediakan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai apabila memberi peluang kepada rakyat memberikan sumbangan.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Fadhli Datuk Hassan menyifatkan kumpulan tersebut adalah golongan yang tidak memahami dosa dan pahala apabila Kerajaan Kelantan membuka peluang kepada rakyat memberi sumbangan untuk bersama-sama melakukan amal jariah.

Malah katanya, ada di antara pihak tertentu beranggapan Kerajaan Negeri mengutip derma daripada rakyat untuk menampung kos pembinaan lebuh raya sepanjang 73 kilometer yang bernilai RM1.9 bilion, sedangkan ia sebenarnya konsep wakaf.

Menurutnya, sejak pemerintahan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi rakyat bekerjasama dengan kerajaan untuk melakukan kerja-kerja kebajikan termasuk pembinaan jambatan mahupun surau dan masjid di negeri ini.

“Kenapa apabila ada rakyat memberikan sumbangan untuk membina masjid dan surau tiada pihak yang mempersoalkan tetapi setelah rakyat membantu kerajaan menyediakan lebuh raya ada yang mempertikaikan dengan anggapan kita mengutip derma.

“Saya yakin Kerajaan Negeri mampu membina lebuh raya tersebut berdasarkan sumber-sumber yang ada dan tidak perlulah pihak lain mempertikaikannya kerana sebenarnya kita mengotakan janji-janji Barisan Nasional (BN) sebelum ini mahu membina lebuh raya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Pusat Penerangan Pas di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 400 ahli badan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi sukarelawan ‘Tukar Acu Test Sepenggal’ yang diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berhubung pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.

Pusat penerangan tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil rakyat di Jalan Dato’ Pati di sini, semalam.

Mohd Fadhli berkata, pendekatan membuka peluang kepada rakyat memberi sumbangan itu bukannya untuk mengaut duit rakyat bagi menjayakan janji-janji kerajaan tetapi sebenarnya sebagai pendedahan menggalakkan umat Islam beramal jariah.

“Rakyat juga sedar pembinaan lebuh raya ini penting kepada mereka dan bukan sahaja digunakan oleh orang Islam sahaja, bahkan semua orang akan menggunakannya terutamanya mengatasi masalah kesesakan,” katanya.

Tiada ulasan: