Isnin, 4 Jun 2012

BIARLAH YANG MENERAJU NYA 'ISLAM'....ISLAM MENERAJUI SEMUA BANGSA AKAN SELAMAT....

Loceng amaran Muhyiddin kepada komponen BN?
Jamilah Hamzah
4 Jun 2012
Loceng amaran Muhyiddin kepada komponen BN?
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (lima, kanan) merangkap
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan menyanyikan lagu
"1Malaysia". - fotoERNAMA
ANALISIS - Dua bulan lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak minta maaf atas kesilapan-kesilapan lalu Barisan Nasional (BN). Langkah itu tidak pernah diambil oleh mana-mana ketua BN, yang lazimnya bertindak sebagai perdana menteri.

Semalam, timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU) sebagai penentu hidup atau mati BN.

Mesej Muhyiddin itu ditafsir dari perspektif dan sudut masing-masing. Ada yang mengatakan BN bimbang, panik dan risau akan masa depannya.

Paling jelas, kenyataan terbuka orang nombor satu dan dua semasa BN itu membawa mesej yang jelas - BN perlu kekal berkuasa dan mahukan mandat untuk terus mentadbir negara ini.

Mengulas kenyataan terbaru semalam, penganalisis melahirkan pandangan yang berbelah bahagi mengenai peluang dan masa depan BN pada PRU13.

Ada yang mengatakan bahawa BN semakin bimbang dengan saingan sengit daripada Pakatan Rakyat (PR) menjelang PRU13. Ketika PR melaungkan mahu Melangkah Ke Putrajaya, BN memberi kenyataan-kenyataan sebaliknya.
Mesej itu dilihat dari sudut psikologi.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani, kedudukan BN semakin tergugat dengan saingan yang diberikan oleh komponen PR dan ada kemungkinan akan berhadapan dengan kekalahan.

Beliau juga berkata, kenyataan Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memberi tanggapan PRU13 akan menentukan nasib antara BN dan PR dalam mengemudi kerajaan pada masa akan datang.

"Saya melihat BN akan hilang kuasa jika parti komponen tidak bersatu untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"PR memberi saingan yang sangat sengit untuk merampas kerusi di Wilayah Persekutuan dengan mengenal pasti calon terbaik untuk diletakkan di bahagian itu," kata beliau ketika dihubungi lewat semalam.

Azizuddin turut menekankan bahawa BN memerlukan kerjasama antara satu sama lain termasuklah MIC, MCA dan Gerakan, dan bukan hanya Umno yang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"Sekarang saya melihat hanya Umno bertungkus-lumus menjalankan kempen dan giat turun padang untuk meraih sokongan dan undi tapi parti komponen lain seperti lepas tangan serta sangat lemah dan hampir tidak kelihatan mengadakan kempen menghadapi PRU kali ini.

"Selain itu, sabotaj antara ahli perikatan BN-Umno sendiri sedang berlaku dan mereka seharusnya bersatu padu untuk memenangi PRU kali ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan agar BN turut memberi perhatian ke atas Sabah dan Sarawak. Kedua-dua negeri itu menawarkan 56 kerusi Parlimen.

Ini kerana katanya, jika dua negeri itu dimenangi PR bermakna kuasa pusat akan berada dalam tangan perikatan tidak formal itu - yang dianggotai Pas, DAP dan PKR.

Dalam temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata pihaknya kini lebih yakin dan optimis menghadapi PRU13 bersama PR yang tersusun.

"BN tidak boleh lepas pandang Sabah dan Sarawak yang turut menjadi negeri jaminan kemenangan bagi mereka, PR juga tidak perlu menang semua kerusi di sana untuk rampas Putrajaya.

"PR semakin giat untuk mengaut kerusi di dua negeri tersebut untuk menang dan jika BN tidak mengambil langkah sewajarnya, tidak mustahil BN akan kalah pada PRU kali ini," kata Azizuddin lagi.

Mengupas isu yang sama, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpandangan bahawa mesej Muhyiddin menunjukkan bahawa BN sedang bekerja keras untuk memenangi PRU13.

"BN semakin bekerja kuat untuk hadapi pilihan raya ini kerana PRU kali ini tidak semudah dulu.

"Jika BN kalah pada PRU ini, sistem kerajaan juga akan turut berubah di bawah pemerintah baru nanti," kata beliau.

Bagi penganalisis dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, PRU13 memberi ukuran kepada kemampuan BN untuk terus kekal berkuasa ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun katanya, mesej Muhyiddin itu bukan menunjukkan kebimbangan BN sama sekali.

Sebaliknya kata beliau, "memberi keazaman kepada parti kompenan BN untuk terus mempertahankan kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen."

"BN juga perlu membuat persiapan yang rapi untuk pilihan raya musim ini untuk mendapat kedudukan yang lebih baik," katanya lagi.

Sebelum ini, Muhyiddin juga pernah menarik perhatian dengan mengatakan bahawa PRU13 merupakan ibu kepada segala pilihan raya yang diadakan di negara ini.

Ketika ada yang mengatakan BN semakin panik, peluang untuk perikatan yang memerintah negara ini sejak merdeka masih belum berakhir. Kerisauan dan kebimbangan ada pada semua parti yang bertanding - BN dan juga PR di mana satu perikatan mahu kekalkan kuasa manakala yang satu lagi mahu menggantikannya.

Itu matlamat mereka. Jika tidak apa gunanya bertanding dana arena politik bernama PRU.
Pas perlu jadi peneraju PR sebelum ganti Umno
Wartawan Sinar Harian
4 Jun 2012
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamad
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamad
KOTA BHARU - Pas perlu membuktikan parti itu mampu menjadi peneraju dalam pakatan sebelum memikirkan untuk menggantikan Umno.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada masa ini, DAP mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai ketua pembangkang.

“Dalam kalangan tiga parti, Pas mempunyai kerusi paling sedikit, kita tidak nampak bagaimana parti yang mempunyai kerusi paling sikit boleh jadi peneraju,” katanya ketika kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu sedia menggantikan Umno sebagai wadah utama bagi umat Melayu dan Islam.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berkata, adalah jelas DAP mendapat  keuntungan yang paling besar dalam pakatan tersebut sekali gus akan menolak agenda yang wibawa Pas.
Dalam pada itu, veteran Umno Terengganu, Datuk Abdul Rahman Bakar menyifatkan Pas masih belum layak untuk menggantikan Umno sebagaimana diidamkan.
Abdul Rahman berkata, sokongan parti itu masih jauh di belakang DAP dan PKR dan keadaan itu memberi gambaran jelas keupayaan sebenar Pas.
“Pas juga sentiasa akur dengan tekanan daripada DAP dan PKR, langsung tiada pendirian mereka sendiri sekadar pak turut semata-mata dan ia boleh dibuktikan dengan pelbagai isu yang berlaku sebelum ini.
“Oleh itu, bagaimana Pas mahu ganti Umno? Mereka perlu buktikan keupayaan dulu baru boleh bercakap,” katanya.
Menurut Abdul Rahman, Pas juga tidak layak menggantikan Umno kerana sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal mahu menegakkan Islam dan ketuanan Melayu.
Beliau berkata, ia jauh berbeza dengan Umno yang sentiasa konsisten dalam matlamat asal parti biar apa juga keadaan sekalipun selain menjadi juara menjaga kebajikan rakyat dengan pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan.
“Malah, kita lihat bilangan kerusi Parlimen Pas lebih kecil dari PKR dan DAP sedangkan kerusi Umno pula banyak dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.
Umno atau Pas yang terpinggir?
Wartawan Sinar Harian
4 Jun 2012
Exco Pemuda Pas Pusat, Mohd Nasir Zakaria
Exco Pemuda Pas Pusat, Mohd Nasir Zakaria
ALOR SETAR - "Jika Umno tidak terpinggir, mengapa selama memerintah, Umno tidak jadi Ketua Menteri Pulau Pinang walaupun menang banyak kerusi di negeri itu?" tanya Exco Pemuda Pas Pusat, Mohd Nasir Zakaria sebagai reaksi terhadap kenyataan pemimpin Umno yang meragui hasrat Pas mahu menggantikan parti itu sebagai wadah politik orang Melayu/ Islam di negara ini.

Mohd Nasir berkata, Umno seharusnya terlebih dahulu cermin diri sebelum menuduh Pas parti terpinggir dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana selama lebih 50 tahun memerintah, parti tidak banyak membantu orang Melayu melainkan
hanya individu atau kumpulan tertentu.

"Kerana itu, Pas perlu gantikan Umno dan rakyat sudah jelas mengenai keperluan itu," katanya.

Menurut Mohd Nasir, tidak timbul isu Pas terpinggir dalam PR, tidak diberi jawatan atau memiliki kerusi yang sedikit berbanding PKR dan DAP, seperti yang dibangkitkan pemimpin Umno.

"Amalan dalam gabungan, kita bukan bergerak sendiri tetapi bersama PR. Kita (Pas) akan gantikan Umno, DAP ganti MCA dan PKR ganti Gerakan untuk parti pelbagai kaum. Kita sudah sedia ke arah itu dan akan bekerja keras untuk mencapainya," katanya.
DAP nafi kawal Pas
NORMAWATI ADNAN
4 Jun 2012
Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar
Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar
IPOH – DAP tidak pernah mengawal apa lagi menekan Pas dalam menentukan hala tuju dan matlamat parti berkenaan.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar berkata, meskipun perjuangan Pas dan DAP berbeza, DAP masih menyanjung tinggi Perlembagaan Negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi.

Menurutnya, isu DAP menjadi punca kecelaruan Pas dalam perjuangannya sama sekali tidak timbul.

“Dasar Pas jelas memperjuangkan Islam, DAP pula membawa negara sekular.

Namun dalam hal ini, kita tidak sesekali bertindak di luar batasan untuk mencemari Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi.

“Sejak dahulu lagi, DAP tidak pernah mempertikaikan perkara itu dan apabila isu ini seolah-olah dibangkitkan, kita anggap ia hanya satu taktik Barisan Nasional (BN) untuk mengelirukan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Sivakumar berkata, pihaknya kagum dengan keyakinan Pas dalam mendepani pilihan raya umum akan datang.

“Memang Pas mempunyai peluang baik untuk menakluki beberapa negeri pada pilihan raya akan datang dan sebagai parti gabungan, kita juga sudah sedia membantu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam usaha mencapai kematangan berpolitik, ahli politik di negara ini tidak harus mengamalkan politik perkauman.

Menurut beliau, sekiranya dasar politik perkauman terus dijadikan sandaran, tidak mustahil proses menyatupadukan rakyat berbilang kaum akan tergendala.

“Jika kita teruskan dengan politik perkauman, ini akan membawa impak positif kepada seluruh rakyat yang mahukan keamanan dan kesejahteraan.

“Kenapa kita tidak boleh mencapai tahap kematangan politik di mana orang Melayu boleh memperjuangkan keadilan untuk komuniti Cina, pemimpin Cina mempertahankan kebajikan untuk masyarakat India, begitu juga sebaliknya.

“Saya kira, jika setiap pemimpin berusaha untuk menegakkan kepimpinan politik yang matang, tidak akan timbul soal kepentingan bangsa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, dalam agenda pembangunan negara, perjuangan atas nama bangsa hanya akan melahirkan generasi yang berpuak-puak.

Berbeza dengan PR katanya, matlamat BN yang ditunjangi Umno, MCA dan MIC dilihat masih belum mampu menghakis politik perkauman meskipun selepas 1Malaysia diperkenalkan.

“Setiap hari isu perkauman ditimbulkan BN melalui ceramah politik dan media arus perdana, ini menunjukkan konsep 1Malaysia gagal dicapai dan direalisasikan,” katanya.
Hasmy: Suhakam pantau PRU13
G MANIMARAN & ARHIZA AHMAD
4 Jun 2012
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memantau perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak asasi semua pihak, termasuk pengundi.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihak berkuasa, media termasuk parti politik akan dipantau bagi memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak asasi pengundi.

Menurutnya, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan ia akan diputuskan sebelum pilihan raya nanti.

Katanya, disebabkan masalah kemudahan dan sumber tenaga pihaknya akan mengadakan pemantauan secara umum melainkan jika ada kes-kes tertentu dan aduan yang memerlukan tindakan pihaknya.
Jika cadangan itu menjadi kenyataan, ini kali pertama Suhakam, yang ditubuhkan 12 tahun lalu, memantau satu pilihan raya umum.
“Kami akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut.

“Suhakam mengadakan beberapa siri pemantau dalam pilihan raya kecil sebelum ini termasuk Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, dan ia bukan kali pertama dilakukan.

“Tujuan Suhakam melaksanakan pemantau itu bagi memastikan kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan dan akses kepada maklumat dan hak kepada keselamatan berkaitan pilihan raya dilaksanakan dengan adil,” katanya dalam pertemuan bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online di pejabatnya di sini Jumaat lalu.

Sebelum ini satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Badan Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) telah memantau perjalanan pilihan raya di negara ini.

Badan pemantauan tersebut mendakwa mereka bergerak secara profesional bagi memastikan mereka tidak dipengaruhi atau berpihak kepada mana-mana parti politik.

Hasmy berkata, walaupun tiada sebarang laporan diterima sepanjang pemantau yang dilakukan dalam pilihan raya kecil, tetapi pemantau dilihat perlu bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya berlaku pencabulan hak asasi manusia.

Katanya, Suhakam yakin pihak SPR mampu menguruskan pilihan raya itu, bagaimanapun ia harus mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan hak asasi manusia.

“Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak walaupun ada tuduhan yang menyatakan Suhakam memihak kepada kerajaan dan begitu juga sebaliknya.
Berdasarkan spekulasi, PRU13 kemungkinan diadakan dalam waktu terdekat. Ada yang meramalkan awal Julai ini ataupun September. Mandat kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

Tiada ulasan: