Ahad, 4 September 2011

BILA KITA LEMAH SEJARAH...ATAU MEMANG TAK AMBIK SUBJEK SEJARAH...YANG MENENTANG INGGERIS..IA DIPENJARA...NI LAH SEBENARNYA PENCETUS KEMERDEKAAN...

Bagaimana agaknya Umno tulis sejarah Anwar
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Sept: Setelah membuat satu kenyataan yang membuatkan rakyat terfikir bagaimana sepatutnya sesebuah sejarah harus ditafsir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini sekali lagi mengajak rakyat berfikir mengenai kesahihan penulisan sejarah oleh manusia, dan mengapa sejarah tidak harus diterima bulat-bulat tanpa soal selidik terlebih dahulu.

Menggunakan ungkapan sinis ‘Yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi’, Tuan Ibrahim berkata adalah sukar untuk mencari penulisan sejarah oleh manusia yang jujur, kerana majoriti penulis sejarah menulis dari perspektif di pihak mana mereka berada dan ada yang menulis di bawah kawalan ketakutan dan telunjuk golongan berkuasa.

“Umum dan rata-rata sebenarnya menyedari bahawa penulisan sejarah akan menyebelahi golongan yang akhirnya mendapat kuasa atau golongan yang menang. Manakala bagi golongan yang kalah pula, sejarah yang ditulis, terutamanya apabila bercanggah fakta dengan sejarah golongan yang menang, mereka tidak berani untuk berterus-terang untuk menyerang penulisan sejarah golongan yang berkuasa pada ketika peristiwa tersebut berlaku kerana kebesaran risiko dan tekanan yang mereka terpaksa hadapi.

Bahkan, ada mereka yang berani, namun lazimnya sejarah yang ditinggalkan mereka akan dihapuskan oleh golongan yang menang supaya generasi seterusnya hanya terus mengagongkan dan mengenangkan jasa golongan yang menang demi kepentingan masing-masing,” terang Tuan Ibrahim.

Akibatnya, kata beliau golongan yang tertewas ini lebih selesa menulis puisi, cerpen dan novel bagi meluahkan bantahan dan penentangan mereka terhadap satu-satu isu atau tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.

“Maka lahirlah kata-kata sinis ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi’,” kata beliau.

Tuan Ibrahim menyifatkan sejarah sebagai peninggalan untuk dinilai, difahami, dipelajari dan diambil iktibar terhadap sesuatu yang pernah berlaku, jarang sekali ia adalah untuk mencari kesalahan mana-mana pihak ketika peristiwa sejarah tersebut berlaku.

Namun, kata beliau segalanya menjadi terbantut apabila fakta sejarah yang ditinggalkan tidak boleh dibahaskan, tidak boleh dicabar dan tidak boleh dibincangkan secara akademik, terutamanya apabila muncul dua-tiga versi fakta sejarah yang bercanggah mengenai sesuatu peristiwa.

Akibat penulisan sejarah yang tidak tepat katanya, maka timbul usaha untuk menilai semula, membahas, perbincangan ilmiah dan diskusi mengenai satu-satu fakta sejarah dari pelbagai sudut.

“Namun, harus diingat, perkara yang paling malang dalam proses penulisan sejarah berkisar kepada mereka yang telah tiada untuk membela diri mereka terhadap penulisan yang tidak tepat terhadap mereka dalam penulisan sejarah, yang lumrahnya ditulis oleh golongan yang menang.

Kemunculan waris-waris untuk membela bagi pihak bapa, ibu atau waris mereka juga menambahkan warna-warni kepada perdebatan bahan sejarah – namun, apakah ianya tepat? Sudah tentu, ia masih boleh dipertikai lagi,” terang beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, secara tidak sedar, rakyat dan negara kini sedang mencipta dan mencatitkan sejarah tersendiri, namun persoalan utamanya ialah apakah sejarah yang sedang kita lakar kini, sebagai contoh apa yang berlaku 20 tahun yang lalu untuk generasi masa depan, akan atau telah dibuat secara jujur?

“Jawapannya masih sama, ianya tidak jujur kerana adanya kepentingan golongan pemerintah dalam menjaga minda generasi seterusnya pada waktu ini, dengan anggapan bahawa mereka akan kekal berkuasa.

Sebagai contoh, sejarah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya dibahas pada masa hadapan, apakah versi yang bakal dicatat dalam sejarah?” soal beliau.

Rakyat, kata beliau tidak perlu melihat jauh dalam melihat apa yang beliau maksud dalam ungkapan ‘yang menang tulis sejarah, yang kalah buat puisi.’

“...untuk seseorang yang pernah menjadi Timbalan Presiden Umno dan Perdana Menteri suatu waktu dahulu, sekarang sudahpun ditulis dan digerombol oleh pihak pemerintah dalam wajah baru sebagai pengkhianat, penentang kerajaan dan selainnya sekiranya akhbar-akhbar pro-kerajaan pemerintah kini dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan.

Mana catatan terhadap jasa beliau dalam membangunkan negara, malah memajukan Umno suatu masa dahulu? Adakah ia akan dicatat dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional, atau akan dipadamkan begitu sahaja? Adakah dalam carta sejarah kepimpinan Umno, gambar Timbalan Dr Mahathir ini pada 1990-an akan dihilangkan begitu sahaja dalam sejarah?

Sejarah apa pula mengenai beliau yang akan dituliskan dalam buku sejarah yang bakal diajar kepada pelajar pada masa depan?” tanya Tuan Ibrahim lagi.

Beliau turut menambah bahawa perkara sama turut berlaku dengan sejarah Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar Terengganu yang cuba dibuang dari sejarah, sehinggakan gambar beliau sebagai Menteri Besar cuba dihilangkan.

“Inilah realiti dalam permainan penulisan sejarah manusia oleh golongan yang menang, yang menjadi punca utama pahlawan-pahlawan negara yang bangun berjuang bermati-matian seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Datok Bahaman di Pahang, Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Datok Maharajalela dan Si Puntong di Perak, Dol Said di Negeri Sembilan dan puluhan pimpinan yang lain kini hilang dari sejarah,” terang beliau lagi.

Yang muncul, dicatat, dihargai malah tidak boleh dipertikaikan hari ini, katanya hanyalah pejuang yang diterima oleh Inggeris dalam sejarah penjajahan mereka terhadap Tanah Melayu.

“Sesiapa yang ingin mengungkit semula jasa golongan yang tertewas, walaupun jasa mereka berharga akan terus dicop sebagai pengkhianat atau penyokong golongan tertentu dan cuba mengubah sejarah negara oleh pihak pemerintah,” kata beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa benarlah juga, mereka yang diterima sebagai pejuang oleh penjajah Inggeris ada jasa dalam usaha memerdekakan negara; namun pada masa yang sama benarlah juga ungkapan "Yang menang tulis sejarah, yang kalah membuat puisi".

“Janganlah kita lupa pula dengan pejuang rakyat yang tidak diiktiraf, malah digelar sebagai pengganas oleh pihak penjajah atau golongan pemenang, mereka juga ada jasanya yang patut dimartabatkan dalam sejarah negara,” nasihat beliau.

Tuan Ibrahim turut menasihatkan pihak pemerintah jangan cepat mencela para pembaca sejarah yang menilai kedudukan tokoh-tokoh negara pra-kemerdekaan yang tercatit dalam sejarah ini secara peribadi dengan fakta sejarah yang cukup – walaupun kesudahan tafsiran mereka mungkin bercanggah dengan versi sejarah yang dihasratkan pihak kerajaan.

“Kerana ini adalah fenomena yang bagus untuk negara yang menunjukkan rakyat semakin matang dalam mengkaji maklumat yang diterima mereka sebelum menerimanya bulat-bulat tanpa soal selidik seperti dulu,” kata beliau lagi.

Sejarah pra-Merdeka negara kini hangat diperdebatkan apabila Umno dan medianya melancarkan serangan siang-malam sejak 27 Ogos yang lalu terhadap satu kenyataan yang dibuat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos yang lalu.

Dalam laporan muka depannya baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Kenyataan itu menurut akhbar Umno itu diucapkan timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Ekoran itu, isu itu menjadi 'peluru' pemimpin Umno dan medianya menyerang Mohamad Sabu dan PAS kononnya parti itu menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.

Sejak itu juga, berpuluh laporan polis dibuat terhadap Mohamad khususnya oleh Umno dan menggesa beliau memohon maaf serta menarik balik kenyataannya.

Mohamad bagaimanapun menafikan laporan akhbar itu yang didakwa cuba memfitnah dirinya dan tidak akan sesekali memohon maaf. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

Beliau turut menyatakan dalam sidang akhbar terbarunya bahawa serang Umno terhadap beliau sengaja ditimbulkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan pengurusan pilihan raya dan kenaikan harga barangan keperluan sekarang.

”Ini kerana semua orang sudah tahu ketika zaman penjajah, sesiapa sahaja yang menentang British akan dianggap sebagai pengkhianat.

”Sama seperti Tok Janggut yang bangkit melawan Inggeris bagi menuntut kemerdekaan dianggap sebagai penderhaka, sedangkan mereka pejuang sebenar menuntut kemerdekaan,” ujarnya.

Mengapa Umno adakan MoU dengan Komunis China
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Sept: AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Umno telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2011.

Malahan, katanya ada usaha untuk menghantar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno untuk mempelajari daripada Parti Komunis China.

“Sekiranya MoU ini dibuat oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau DAP atau PKR, maka sudah tentu sebelum turun daripada kapalterbang akan disumbat ke Kamunting.

“Apakah Komunis China, berbeza dengan komunis Malaya? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Komunis, jelas beliau ideologinya tetap sama tidak kira di mana tempat.

“Kenapa Umno hipokrit?” soalnya lagi.

Menurutnya, jika benar anti komunis kenapa menghantar pulang 11 pejuang Uighurs ke China, walaupun dibantah oleh Suruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian d Kuala Lumpur sedangkan mereka menentang kerajaan komunis China kerana menceroboh wilayah mereka di Xinjiang Julai 2009.

“Inilah sikap hipokrit Umno dalam apa jua isu.

“Isu Palestin Umno tunjuk hero, tetapi dalam masa yang sama, Apco Yahudi dibayar RM77 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata, Umno melalui bantuan media mereka yang tidak ada etika kewartawanan dan tidak takut dosa dan pahala dengan sewenang-wenangnya menuduh PAS menyokong komunis.

Katanya, orang pekak dan buta pun tersenyum apabila Umno menuduh PAS menyokong komunis.

Tambahnya, tidak ada rekod PAS berbaik dengan komunis sedangkan Umno menjemput Parti Komunis China menghadiri Persidangan Agung Umno dan yang terbaru mengadakan MoU dengan Parti Komunis China.

Pemimpin Umno juga, ujarnya pernah ditangkap menjadi agen komunis di negara ini walaupun pemimpin Umno pernah menuduh PAS lebih merbahaya daripada komunis.

Namun, katanya kerja-kerja untuk berasmara dana dengan komunis tidak pernah dilakukan oleh PAS.

Jsuteru, kata beliau ucapan Mohamad Sabu hanya untuk menutup tahap kepuasan hati terhadap Najib merudum kepada 59 peratus, daftar pemilih SPR yang kotor dan kenaikan harga barang keperluan harian.


Kerajaan Johor iktiraf ketokohan Mat Indera
Mohamed Hadi al-Majwi

Sebelum kita disesatkan lebih jauh lagi oleh media-media parti pemerintah, eloklah kita semua kembali ke pangkal jalan, mengkaji dan memahami semula sejarah. Sebetulnya tatkala kali pertama saya menonton klip video ceramah Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai tragedi Bukit Kepong itu, hati saya telah terdetik "Apa sajalah yang UMNO akan merapu lepas ni". Dan memang saya mahu saksikan, label apakah yang hendak dicop kepada Mat Sabu rentetan daripada ceramah beliau. Sememangnya ucapan Mat Sabu telah diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan kalau salah bacaan, kita juga akan terperangkap dengan permainan Utusan Malaysia. Mat Sabu tidak pernah menyebut komunis, tetapi hanya menyebut nama Mat Indera, pejuang yang telah mengetuai serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Inti ucapan Mat Sabu ialah ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan yang peranannya digelapkan oleh parti pemerintah, tetapi di tangan Utusan Malaysia, tiba-tiba Mat Sabu pula yang sokong komunis!

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Saya tidak perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber untuk membuat pendirian bahawa Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, seperti yang disebutkan oleh Mat Sabu. Saya hanya merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri. Jangan tak percaya, Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor. Nah, saya tak pasti adakah selepas ini nama-nama ini pula akan dilabelkan sebagai pengkhianat tetapi merekalah yang bertanggungjawab mengangkat ketokohan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan.

Siapa Mat Indera

Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British. Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Tafsiran sejarah bukannya pengkhianatan

Buku ini turut memuatkan biografi tokoh yang terlibat secara langsung menangkap Mat Indera iaitu Bajuri Haji Siraj atau Sarjan Bajuri. Beliau merupakan pegawai yang terlibat untuk memberkas Mat Indera dan menerima habuan $75,000.00 seperti yang ditawarkan oleh pihak British. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Pontian dan pernah bertanding sebagai calon bebas setelah tidak terpilih sebagai calon Perikatan di dalam pilihanraya kecil Dun Pontian Kecil pada tahun 1961.

Di bahagian Pendahuluan buku ini, Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid menyifatkan bahawa kedua-dua versi cerita (Mat Indera dan Sarjan Bajuri) merupakan subjek yang amat menarik untuk terus diperbincangkan dan dibuat kajian lebih lanjut. Ada yang menganggap Mat Indera sebagai wira dan ada pula yang menganggap Sarjan Bajuri sebagai wira. Menurut beliau, sejarah ialah apa yang ditafsirkan dan dikemukakan oleh para sejarawan berdasarkan bukti yang mereka dapati. Katanya lagi, "proses pembuktian dan pentafsiran ini berjalan terus menerus tanpa henti selagi manusia mampu menggali dan berfikir untuk mencari 'kebenaran'".

Kebenaran inilah yang dicari oleh setiap pengkaji sejarah. Apa yang dipohon oleh Mat Sabu ialah pihak parti pemerintah memberikan gambaran yang seadil-adilnya kepada para pejuang kemerdekaan dan tidak hanya memberi fokus kepada UMNO sahaja. Golongan kiri, golongan alim ulama' dan golongan yang "bukan UMNO" turut terbabit memperjuangkan kemerdekaan, hatta Dato' Onn Jaafar yang pernah dicop oleh UMNO sebagai boneka British juga turut berhasrat memperjuangkan kemerdekaan. Berikanlah kepada mereka penghormatan yang sewajarnya berdasarkan neraca intelek, bukan bidasan jelik. Tidak dapat difahami mengapa tafsiran sejarah yang berbeza berasaskan hujah-hujah akademik boleh dilabel sebagai pengkhianatan, petualang dan entah apa-apa lagi.

Rasional bukan emosi

Apabila seorang tokoh politik seperti Mat Sabu memberi tafsiran sejarahnya (yang bukannya tiada asas), mengapa reaksi-reaksi yang timbul langsung tidak ilmiah malah disulami kecaman demi kecaman yang penuh emosi? Berfikirlah secara rasional dan selak kembali lembaran-lembaran sejarah yang mungkin kita terlepas pandang.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang". Kenyataan ini saja sudah membuatkan saya tertanya-tanya, adakah Yayasan Warisan Johor juga mahu menjadi pengkhianat seperti Mat Sabu? Bilakah pula agaknya Utusan Malaysia ingin mengisytiharkan Yayasan Warisan Johor sebagai pengkhianat?


Benarkah Umno menentang ideologi komunis?
Chegubard

Tahniah kepada Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS kerana berjaya menarik umum untuk memasuki ruang perbahasan yang selama ini taboo untuk dibincangkan.

Malaysia sebenarnya begitu terasing dengan sejarah perlawanan penjajah. Kita selalu disajikan oleh cerita sejarah yang telah disunting untuk kepentingan pihak tertentu yang mewarisi kepentingan penjajah kapum pemodal British. Malah dalam beberapa hal pwaris itu lebih melampau dari penjajah asal khususnya dalam bab pembodohan minda.

Setiap kali kemerdekaan maka disajikan hanya Dato Onn, Tunku Abdul Rahman hinggalah Najib... adakah ini saja hero negara ? Sajian sejarah yang disunting ini menjadikan anak muda hilang minat dengan sejarah negara yang dilihat tidak cool....

Namun kemerdekaan kali ini yang awalnya dijangka tidak menarik perhatian kerana ditenggelami suasana 1 Syawal telah menjadi begitu menarik. Sejarah yang selama ini taboo telah dibincangkan terbuka.

che'GuBard tidak mahu menyentuh panjang, cukup dengan menyentuh benarkah Umno memusuhi PKM kerana ideologi Komunis atau kerana mewarisi sentimen perang penjajah.

Jika benar dengan bercakap soal ideologi komunis menghina bekas polis dan tentera maka bagaimana pula dengan Regim Najib yang memberikan lesen kepada lidah rasmi Parti Komunis China ?

Malaysiakini pernah melaporkan KDN memberikan permit kepada lidah Rasmi Parti Komunis China (klik sini untuk baca lanjut)

Betul benar, telah lama beri permit kepada organ parti kominis ini terbit di Malaysia. Mengikut laporan Malaysiakini pada 10 Januari 2005, KDN telah meluluskan untuk penerbitan suara rasmi Parti Kominis Malaya bernama "People's Daily".

Mengikut Wikipedia:

The People's Daily (Chinese: 人民日报; pinyin: Rénmín Rìbào) is a daily newspaper in the People's Republic of China. The paper is an organ of the Central Committee of the Communist Party of China (CPC), published worldwide with a circulation of 3 to 4 million. TERJEMAHAN: People's Daily adalah akhbar harian di China. Akhbar ini adalah suara rasmi Parti Komunis China


Yang hairannya, Harakah diterbitkan dengan 1001 satu syarat, Suara Keadilan tak diberi permit banyak lagi terbitan tidak dibenarkan tetapi lidah parti komunis dibenarkan.

kalaulah permit ini dibawah urusan kerajaan negeri , dan ada negeri PR memberikan kelulusan maka muncullah tuduhan seperti satu penghinaan kepada bekas2 tentera kita yang telah terkorban menentang penentangan Parti Komunis Malaya satu masa dahulu? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China di mana segala kelengkapan mereka datang dari Parti Komunis China?

Tidakkah tindakan seperti ini juga seperti meludah di atas pusara mereka2 yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong juga?

Umno juga sendiri menjalinkan hubungan istimewa dengan parti komunis China, sehingga ada program pertukaran latihan.

Malah ramai yang tidak sedar Ramadhan yang lepas regim Najib telah menghantar paksa pulang Pelarian2 Politik Uighur China.

Menghantar pulang pelarian Uighur tersebut akan mendedahkan mereka kepada siksaan, kezaliman dan juga kepada kematian. Uighur ini ialah kelompok Islam yang bermasalah dengan Beijing, mereka punya sejarah melawan untuk sebuah negara Islam Merdeka.

Menghantar pulang mereka ke China seperti menghantar mereka untuk mati, ini kezaliman lebih lagi ketika Ramadhan.

Persoalanya adakah tindakan UMNO ini adalah disebabkan hubungan formal UMNO dan Parti Komunis China yang terjalin sejak lama dulu dan diformalkan beberapa tahun lepas. Barang diingat, hubungan ini bukan hubungan Kerajaan dengan Kerajaan. Ia adalah hubungan antara parti UMNO dengan Parti Komunis China.

Siapa sebenarnya yang pro komunis?

Kalau nak kata menghormati pejuang2 yang menentang komunis, ratusan ribu kaum Uighur gugur shahid menentang kebangikitan komunis sekitar tahun 30an dan 40an dahulu.

che'GuBard pertegaskan artikel ini ditulis bukan untuk memburukkan mana - mana ideologi. Ideologi. Jawapan kepada semua ini ialah untuk menunjukkan betapa Umno itu munafik nombor satu.

itu belum masuk lagi bagaimana kita bermuka - muka menentang Israel tetapi kita ada hubungan dagang bantu ekonomi negara haram Israel. (klik untuk baca artikel hubungan malaysia Israel)

baca lanjut artikel di http://chegubard.blogspot.com

Tiada ulasan: