BUTTERWORTH, 21 Sept: Peguam Mohamed Hanipa Maiden menganggap kes yang melibatkan Mohamad Sabu sebagai kes 'karut' kerana mana ada kes yang berhubung sejarah dibicarakan di mahkamah melainkan di Malaysia.
Sepatutnya, kata beliau ia dibawa ke medan pentas akademik bukan ke mahkamah seperti mana hari ini.
Pagi tadi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan pada pukul 12.15 tengah hari dengan ikat jamin RM15 ribu. (Gambar: Mohamad bercakap kepada media selepas dibebaskan oleh mahkamah.) Jika sabit kesalahan beliau boleh dikenakan tahanan dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.
Kes beliau akan disebut sekali lagi pada 27 Oktober ini dan dibicarakan pada 5 hingga 9 Disember depan di Mahkamah Sesyen di sini.
Beliau dibela oleh Hanipa Maidin dan Amirudin Zulkiply manakala pendakwaan dilakukan oleh Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusuf dan Suhaimi Ibrahim di hadapan Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajudin.
Turut hadir memberikan sokongan moral kepadanya ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Khalid Man, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Kedah, Nasir Mustaffa dan ramai lagi kepimpinan PAS dari Pulau Pinang dan Kedah. Sementara itu, Mohamad berkata, beliau sedia dibicarakan dan yakin kesnya akan mencapai kemenangan demi memperbetulkan fakta sejarah yang telah diselewengkan oleh penjajah.
Umno juga ujarnya, akan kalah untuk mempertahankan fakta yang salah sekaligus meranapkan impian Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pemerintahan negara ini.
"Saya yakin seyakin-yakinnya kita boleh menang kes ini dan Umno tewas dalam hal persejarahan Malaysia ini," tegas beliau ketika berucap ringkas di luar mahkamah.
Katanya, Umno dan BN hanya mahu menggambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul mengenai kemerdekaan negara.
"Umno dan BN hanya mahu mengambarkan perjuangan mereka sahaja yang betul tentang kemerdekaan dengan membelakangkan perjuangan orang lain walaupun mereka lebih ke hadapan menentang penjajah," katanya.
http://ilmudanulamak.blogspot.com | Soalan: Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".
Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?
Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?
Jawapan:
Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;
1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)
2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)
3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.
4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.
5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)
6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)
Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut; 1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu 2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang) 3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.
Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.
Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.
Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa - sama ada besar atau kecil - wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.
Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.
Wallahu a'lam.
http://ilmudanulamak.blogspot.com | Soalan: Assalamualaikum ustaz, boleh ustaz tolong jelaskan bagaimanakan yang dimaksudkan tempoh idah selepas bercerai bagi seorang wanita. Ada yang berkata tempohnya adalah 3 bulan dari tarikh bercerai atau pun 3 kali suci. Andai kata wanita tersebut telah lepas 3 kali suci tetapi tempoh idah cerainya tidak sampai 3 bulan bolehkah wanita tadi bernikah atau mesti digenapkan masa 3 bulan tersebut barulah wanita tadi boleh bernikah. Penjelasan ustaz diucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.
Jawapan:
Idah yang ditetapkan oleh syariat ke atas wanita yang diceraikan suami adalah seperti berikut:
1. Wanita yang diceraikan suami dan ia masih kedatangan haid; idahnya tiga kali suci (dari haid) berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)” (Surah al-Baqarah, ayat 228). Dikecualikan jika ia mengandung, maka idahnya ialah idah wanita mengandung yang akan disebutkan nanti.[1] Maksud tiga kali suci ialah tiga kali suci selepas haid, iaitu; apabila suaminya menceraikannya ketika ia suci itu dikira suci pertama, kemudian ia kedatangan haid, kemudian disusuli suci kedua, kemudian kedatangan haid lagi, kemudian disusuli suci ketiga. Apabila habis sahaja suci yang ketiga iaitu ia kedatangan haid semula, tamatlah idahnya.
2. Wanita yang diceraikan suami dan ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[2] atau belum didatangi haid (kerana masih kecil); idahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum idahnya), maka idahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, idahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu beridah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah. (Tafsir al-Munir, lihat pandangan Imam Mujahid dalam al-Jassas. Lihat juga; Tamam al-Minnah, al-Azzazi).
4. Wanita yang diceraikan suami dan ia mengandung; idahnya ialah dengan melahirnya anak berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya” (Surah at-Talaq, ayat 4).
5. Wanita yang dicerai suaminya dan ia menjalani idah dengan idah penceraian tadi (iaitu 3 kali suci atau 3 bulan), kemudian sebelum tamat idah suaminya meninggal, bagi kes ini idahnya bertukar kepada idah kematian suami ialah 4 bulan 10 hari (bermula dari tarikh kematian suaminya) berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari” (al-Baqarah, ayat 234).
6. Wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi oleh suaminya; tiada idah berdalilkan ayat (bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya (yakni sebelum menyetubuhinya), maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 49). Adapun jika ia kematian suaminya, maka idahnya ialah 4 bulan 10 hari walaupun belum sempat berlaku persetubuhan (jimak) antara dia dan suaminya berdalilkan makna umum ayat tentang idah kematian suami tadi.
Wallahu a'lam.
Nota hujung:
[1] Ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafiie dan Maliki. Adapun mazhab Hanbali dan Hanafi; eddahnya ialah tiga kali haid. Mereka mentafsirkan al-quru’ dalam ayat di atas sebagai haid, bukan suci. Berdasarkan pandangan kedua, maksud tiga kali haid ialah dengan ia melalui tiga kali kedatangan haid, iaitu; selepas ia diceraikan ia didatangi haid pertama, kemudian suci, kemudian datang haid kedua, kemudian suci, kemudian datang haid ketiga dan apabila tamat haid ketiga habislah tempoh idahnya. (Tafsir Ibnu Kathir).
[2] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)
Rujukan:
1. Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4. 2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4. 3. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4. 4. At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377. 5. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19. 6. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “’Iddah”.
http://ilmudanulamak.blogspot.com | Soalan: Salam ustaz, saya ada satu kemusykilan berkaitan dakwaan tentang cara pemakaian tudung yang diikat@dipin di belakang leher seperti trend sekarang adalah mengikut cara pemakaian biarawati kristian. Adakah dakwaan itu benar walaupun si pemakai (wanita islam) tidak pernah mempunyai niat sedemikian, hanya pakai tudung dengan meng'pin'kan di bahagian leher bagi menampakkan kekemasan. Harap ustaz dapat memberikan penjelasan.
Jawapan:
Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah: وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ “Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)
Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”. (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).
Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).
Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan indentiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.
Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka di tempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab; "Harus". Dikatakan kepadanya; "Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)". Imam Malik menjawab; "Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai". Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata; Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....). Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkab larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.
Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukakan beberapa dhabit yang diberikan ulamak; 1. Berkata Imam al-Qurthubi; "Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya" (Faidhul-Qadier, 6/104). 2. "Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama" (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah). 3. "Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka" (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307). 4. "Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain" (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).
Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati Kristian? Persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati Kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Krisrian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182. 2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj.... 2. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.
Nota hujung:
[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian. [2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai.
Muhammad Faizal | KUALA LUMPUR, 21 Sept: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isternya, Datin Seri Rosmah Mansor mengenepikan sepina yang meminta mereka hadir sebagai saksi adalah sebagai takut serta tidak menepati apa yang beliau katakan sebelum ini. "Saya melihat tindakan Najib untuk mengenepikan sepina yang dikenakan ke atas beliau dan isterinya adalah sebagai takut malah tidak menepati apa yang beliau katakan sebelum ini. "Sebelum ini kita melihat Najib sanggup hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya. "Najib pilih berundur sebelum bertarung, tindakan ini adalah kurang menyenangkan kerana beliau adalah salah seorang saksi yang terlibat dalam konpirasi tersebut," jelasnya. Anwar yang berkata pada satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS itu menjelaskan kedatangan Najib dan isterinya amat penting kerana tanpa mereka merupakan saksi penting. "Kenapa beliau tidak mahu hadir saya tidak pasti kenapa, malah beliau mengatakan dia tidak terlibat sedangkan semua orang tahu bahawa beliau pernah bertemu dengan Saiful sebelum Saiful mendakwa dia diliwat. "Ini amat penting bagi kita untuk mendapat maklumat mengenai sejauh mana penglibatannya dan apakah tujuan utama pertemuan beliau dengan Saiful," sambungnya lagi. Anwar menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Sebelum itu pada 8 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, membenarkan permohonan pasukan pembelaan menemuramah 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah. Najib dan Rosmah yang dikaitkan mempunyai hubungan terhadap perancangan konspirasi menyatakan kesanggupan mereka hadir jika pasukan pembelaan mengemukakan sepina.
Muhamad Faizal | KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pembahagian kerusi antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat hampir muktamad, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS hari ini, Anwar memberitahu perbincangan di peringkat negeri sebahagiannya sudah selesai dan hanya menunggu laporan untuk tindakan selanjutnya di peringkat pusat.
Menurutnya, tidak timbul bahawa pembahagian kerusi di dalam Pakatan Rakyat menimbulkan banyak masalah.
"Hari ini kita telah berbincang tentang isu pembahagian kerusi dan semuanya telah selesai dan kita minta setiap negeri memberi pandangan kepada jawatankuasa peringkat pusat sehingga akhir bulan ini.
"Tidak benar mengatakan rundingan pembahagian kerusi ini gagal dan kita tidak nafikan bahawa rundingan ini memang mempunyai perbezaan pendapat peringkat parlimen dan dewan undangan negeri, tetapi hari ini selesai serta minta negeri menyatakan laporan untuk pertimbangan peringkat pusat, " jelas Anwar.
Dalam pada itu Setiusaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali juga memberitahu, sebahagian negeri sudah selesai mengemukakan cadangan.
"Sudah ada negeri yang telah selesai mengemukakan cadangan masing-masing dan sekarang dalam pertimbangan peringkat pusat.
"Buat masa ini kita tidak akan mendedahkan negeri mana yang telah selesai, dalam pada itu mana-mana negeri yang tidak mendapat jalan penyelesaian seperti berlakunya pertindihan maka jawatankuasa peringkat pusat akan membuat keputusan," jelas Mustafa.
Sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan PAS mahu bertanding di kerusi parlimen PKR yang lompat.
Pada pilihan raya umum 2008, PKR mendapat kemenangan terbesar di Parlimen dengan 31 kerusi, yang mana Pakatan Rakyat menang di lima negeri dan 82 kerusi Parlimen manakala PAS memenagi 23 kerusi Parlimen.
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 21 Sept: Pakatan Rakyat mengecam tindakan kerajaan mengenakan pendakwaan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu ekoran isu kontroversi sejarah Bukit Kepong.
Bercakap dalam sidang media Pakatan Rakyat hari ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim
"Keputusan mendakwa Mohamad Sabu, timbalan presiden PAS kita anggap sebagai bercanggah dengan apa diumumkan Datuk Sri Najib untuk mengambil sikap menerima, berbincang dengan baik.
"Walaupun diumumkan ISA dimansuhkan, namun cara rakus kasar dikenakan kepada Mohamad Sabu," katanya.
Turut serta pada sidang media itu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Menurut Anwar, kenyataan Mohamad yang mendakwa Mat Indera sebagai pejuang dalam serangan rumah pasung Bukit Kepong telah diakui sendiri dalam buku "Pengukir Nama Johor" yang kata pengantarnya ditulis Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
"Sebab itu kita membantah pendakwaan terpilih ini terhadap Mohamad Sabu," tegasnya.
Hari ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu didakwa di bawah Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini ekoran ucapannya mengenai Bukit Kepong.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.
Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.
Hakim Ikmal Hisham Ahmad Tajuddin menetapkan 27 Oktober ini sebutan semula kes sementara perbicaraan diadakan pada 5 hingga 9 Disember depan.
Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun, atau didenda atau kedua-duanya sekali. | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan