Selasa, 6 September 2011

BILA KERJA UNTUK MENCARI NAMA..NAK MENUNJUKKAN BERTAPA DERMAWAN DIRI KITA ....WANG ZAKAT MACAM MANA KITA GUNA DAN TADBIRKAN...SEDANGKAN FAKIR MISKIN MASIH RAMAIPERLU BANTUAN ZAKAT...MEREKA MEMANG ADA HAK..ADAKAH KITA BOLEH MENAHAN HAK MEREKA...MUNGKIN KITA BERSUNGGUH2 MENGUTIP TETAPI TAK BERSUNGGUH2 MENCARI FAKIR MISKIN DAN MENGHANTAR HAKNYA KEPADA MEREKA....SEDANGKAN ITU TUGAS AMIL@PUSAT ZAKAT...ADAKAH KITA BOLEH JAWAB DIHADAPAN ALLAH NANTI....

Mat Indera: Umno guris hati rakyat Johor
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Umno telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa Mat Indera (gambar) adalah pengkhianat bangsa.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, Umno tidak cermat mengulas isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong yang membabitkan Mat Indera.

"Mereka (Umno) telah mengguris hati rakyat Johor kerana mendakwa Mat Indera pengkhianat bangsa. Sedangkan dalam buku Pengukir Nama Johor mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang bangsa,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor itu dinaungi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sendiri.

"Saya sebagai Ketua Pemuda PAS Johor sangat kecewa dengan tindakan Umno yang tidak mengiktiraf jasa Mat Indera.

"Saya yakin seluruh rakyat negeri Johor terguris dan kecewa dengan tindakan Umno,” ujarnya.

Di akhir biografi ringkas Mat Indera di dalam buku tersebut, penulis ada menyebut: "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? Mat Indera adalah seorang yang berani berjuang secara terbuka melibatkan jasmaninya, rohaninya, inteleknya, dan emosinya demi bangsa dan negara. Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan. Justeru Mat Indera sewajarnya diabadikan namanya sebagai seorang pejuang, bukan seorang petualang".

Sementara itu, walaupun Mat Indera dikaitkan dengan peristiwa serangan Rumah Pasung Bukit Kepong, namun menurut saksi, seorang anggota polis marin bernama Abu Bakar yang terselamat dalam serangan, Mat Indera tidak menyerang.

Beliau sebaliknya melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis.

Mat Indera memang bertanggungjawab mengarahkan serangan tetapi arahan yang diberikan ialah untuk menangkap beberapa orang anggota polis yang berjudi dan mabuk pada malam Tahun Baru Cina.


Merdeka jadi sejarah Umno, rakyat hilang patriotik
Khairil Abdul Rahim

BANDAR JENGKA, 5 Sept: Sejarah kemerdekaan negara telah ‘diumnokan’ berdasarkan cara kerajaan menyampaikan penceritaan sejarah kemerdekaan dengan hanya menonjolkan tokoh Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya harus dibezakan antara perjuangan parti dengan perjuangan kemerdekaan negara.

“Sebab itu akibatnya dapat lihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat.

“Kerajaan dan media awam mesti jujur dengan fakta sejarah, pejuang-pejuang yang telah terkorban patut dihargai jasa mereka, bukannya dengan hanya menonjolkan peranan Umno.

“Sekarang ini hanya Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan. Tak disebutkan langsung perjuangan anak Melayu yang menentang penjajah Inggeris sehingga berkorban nyawa selain Umno.

“Di Pahang sendiri muncul ramai pejuang Islam yang mencetuskan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sejak zaman Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan yang seangkatan dengan mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Anak Perantauan di dataran Jengka 18 di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di seluruh negara terdapat nama-nama seperti Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Tok Pulau Manis, Rosli Dhobi dan ramai lagi.

Tambahnya, hinggalah kepada era menentang penjajah sekitar tahun 1940-an nama-nama seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

“Masalahnya rentetan nama-nama pejuang ini dipadamkan daripada sejarah seolah-olah hanya Umno yang berjuang menuntut kemerdekaan. Perlu disedari akibatnya dapat dilihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat. Contoh paling mudah ialah mereka enggan kibar bendera,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Pusat akan meminta Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu menyaman segera akhbar Utusan Malaysia kerana menyelewengkan fakta sebenar ucapan dalam satu ceramah beliau demi kepentingan politik.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan akhbar milik Umno itu tidak boleh dibiarkan berterusan memutarbelitkan isu kerana mahu menggambarkan PAS menyokong komunis.

Beliau berkata, pada hakikatnya Mohamad tidak menyebut langsung menyokong perjuangan komunis dalam ceramahnya itu.

“Isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong, Mat Indera dan komunis sengaja diperbesarkan oleh akhbar lidah rasmi Umno itu untuk meraih kepentingan politik. Walhal berdasarkan video rakaman Mat Sabu tidak sepatahpun menyebut tentang menyokong komunis dalam ceramahnya.

“Tetapi propaganda tersebut dimainkan secara halus dan berulang-ulang sebagai cubaan mengaitkan PAS dengan komunis dan DAP supaya dibenci oleh orang Melayu. Semuanya kerana kepentingan politik.

“Sebab itu PAS Pusat akan meminta Mat Sabu segerakan saman akhbar Utusan Malaysia dan media Umno lain bagi meminta mahkamah menghentikan propaganda itu,” katanya.

Kira-kira 500 hadir dalam Sambutan Hari Raya Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) bagi meraikan generasi muda yang bekerja di luar negeri ini.

Turut berucap Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat.

Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang (BPPNP) Roslan Zainal, Bendahari, Musaniff Abdul Rahman, Ketua Penerangan Suhaimi Saad, Ketua Pemuda, Shahril Azman Abdul Halim serta AJK BPPNP dan pimpinan PAS Kuala Krau.


Arifin Zakaria dilantik Ketua Hakim Negara
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria (gambar) dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa 12 September ini, menggantikan Tun Zaki Tun Azmi yang mencapai umur persaraan wajib 66 tahun pada tarikh berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, lapor Bernama.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib berkata, Tuanku Mizan juga memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Arifin, manakala Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Md Raus Sharif dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang bersara awal.

Perdana Menteri berkata, semua pelantikan berkuat kuasa 12 September ini.

"Bagi pihak kerajaan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Zaki Tun Azmi di atas segala khidmat bakti beliau di sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Hakim Negara, khususnya dalam mentransformasikan badan kehakiman sehingga berjaya mengurangkan kes-kes tertunggak di semua peringkat mahkamah, demi memberi keadilan yang pantas kepada semua pihak.

"Saya juga memaklumkan persaraan awal Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Presiden Mahkamah Rayuan, pada umur 65 tahun yang telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan amat berterima kasih atas segala jasa beliau kepada badan kehakiman, khususnya dalam memimpin Mahkamah Rayuan,” katanya.

Najib juga berkata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kini berurusan dengan Istana Negara bagi menetapkan majlis penyampaian watikah pelantikan serta majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan setia untuk hakim berkenaan.


Apa motif Putera bawa ramai peserta ke Somalia
M Faqih

KOTA BHARU, 5 Sept: Ketika Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor dikenang sebagai seorang wira, persoalan baru pula timbul apakah motif Kelab Putera 1Malaysia membawa begitu ramai ahli rombongan ke Somalia.

Rombongan sehingga 54 orang termasuk petugas media tentunya mebabitkan kos begitu tinggi dan siapa pula menanggungnya.

Bagi Pemuda PAS Kelantan kos menanggung begitu ramai ahli rombongan sebenarnya boleh diguna menyediakan keperluan untuk disampaikan kepada mangsa di Somalia.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman mempersoalkan apakah alasan Kelab Putera 1Malaysia membawa begitu ramai anggota rombongan.

“Jika dilihat mana-mana misi kemanusiaan antarabangsa yang dianjurkan NGO dinaungi Umno mereka lebih mementingkan publisiti dan mempolitikkan misi.

“Sebelum ini dalam misi bantuan ke Gaza penganjur mempolitikkan misi tersebut sehingga Timbalan Presiden PAS, Muhamad Sabu yang sepatutnya berucap dibatalkan di saat-saat akhir.

“Tindakan itu menyebabkan beberapa NGO menarik diri daripada menyertai misi dan meneruskan misi secara bersendirian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Umno Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad hari ini dilapor mempertahankan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia dan tidak menganggap sengaja mencari publisiti.

Allahyarham Noramfaizul (gambar) yang bertugas sebagai jurugambar Bernama TV meninggal dunia baru-baru ini akibat terkena tembakan curi ketika menyertai misi anjuran Kelab Putera 1Malaysia.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, berdasar pengalaman lepas terbukti ada maksud tersirat di sebalik misi kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia, di mana lebih bermotifkan kepentingan politik.

”Ini dapat dibuktikan juga dalam misi bantuan kepada rakyat Malaysia di Mesir di mana Kelab Putera 1Malaysia mempolitikkan misi tersebut sehingga wakil kerajaan Kelantan dinafikan untuk menyertai rombongan terbabit,” ujarnya.

Selain itu berdasar pengakuan beberapa anggota rombongan mereka tidak dibekalkan baju kalis peluru dan tiada latihan keselamatan sebelum misi ke Somalia berlangsung.

Kata beliau juga jika dibandingkan misi bantuan kemanusiaan antarabangsa dianjur NGO lain seperti Yayasan Amal Malaysia dan Misi Cakno Palestin mereka tidak mencari publisiti secara berlebihan.

“Saya juga berharap agar mana-mana misi bantuan kemanusiaan selepas ini supaya mengambil berat soal keselamatan bukan hanya untuk mencari publisiti murahan daripada musibah menimpa orang lain.

”Janganlah berterusan mempolitik misi bantuan yang dianjur semata-mata kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah,” katanya.

Abdul Latif turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Noramfaizul dan mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

SANGGUP MEMBANTU WALAU JAUH DAN BAHAYA...INI KERJA BAGUS...BAGAIMANA PULA FAKIR MISKIN DINEGERI SENDIRI

PAS akan bukukan biografi Mat Indera
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Pusat Penyelidikan PAS (PPP) akan membukukan biografi pejuang Mat Indera termasuk mewawancara mereka yang mengenali allahyarham terutama keluarga terdekat.

Pengarah operasinya, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, ini ekoran sejak ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan oleh akhbar Utusan Malaysia dan media-media perdana milik Umno, nama Muhammad (Ahmad) bin Indera atau Mat Indera mulai dikenali oleh orang ramai terutama golongan muda.

Katanya, profil ringkas beliau mula terpapar di ruangan maya termasuklah dimuatkan di dalam Wikipedia berbahasa Melayu.

“Ceramah Mohamad Sabu yang telah disensasikan ini, bukan sahaja telah mempopularkan nama Timbalan Presiden PAS tersebut, malah sejarah berkaitan dengan Mat Indera mula disoroti semula sehingga menuntut kepada satu kajian yang lebih mendalam tentang biografi beliau,” katanya kepada Harakahdaily.

Berbeza dengan tokoh-tokoh golongan kiri yang lain, katanya Mat Indera tidak begitu dikenali disebabkan beliau meninggal dunia dalam usia yang begitu muda, iaitu sekitar awal 30-an.

Tambahnya, tidak banyak diketahui tentang beliau melainkan melalui sejarah yang ditulis berkaitan dengan peristiwa serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong.

Beliau berkata, di dalam peristiwa tersebut Mat Indera telah dilabelkan sebagai pengganas dan bersubahat dengan komunis seperti yang digembar-gemburkan oleh media-media arus perdana.

Katanya lagi, disebabkan gambaran tersebut, perjuangan Mat Indera keseluruhannya dilihat dari sisi yang negatif sehingga kaum keluarganya dipercayai tertekan dengan tanggapan-tanggapan tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya telah ada usaha-usaha untuk mengkoreksi semula sejarah perjuangan Mat Indera seperti yang dilakukan oleh Yayasan Warisan Johor dalam buku “Pengukir Nama Johor” yang diterbitkan pada tahun 2004.

Di dalam buku tersebut, sejarah perjuangan Mat Indera telah dilihat dari sudut yang lebih adil termasuklah memaparkan rentetan perjuangan beliau untuk menuntut kemerdekaan.

“Secara tidak langsung, melalui buku ini ketokohan beliau turut diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Johor apabila Menteri Besar Johor sendiri telah memberikan prakata di muka hadapan buku ini.

“PPP melihat usaha Yayasan Warisan Johor ini merupakan satu langkah yang baik untuk meluruskan semula sejarah berkaitan dengan Mat Indera,” ujarnya.

Menurutnya, PPP telah mengenal pasti beberapa orang penulis untuk terlibat dengan penulisan buku ini, di samping akan melakukan sendiri kajian melalui kaedah kajian perpustakaan dan kaedah wawancara dengan mereka yang mengenali Mat Indera, terutama kaum keluarga mereka.

Selain daripada itu, jelasnya PPP juga akan menyahut jemputan beberapa orang tokoh sejarah seperti Profesor Emeritus Khoo Kay Kim dan Profesor Ramlah Adam yang bersedia mendedahkan dokumen-dokumen versi mereka.

PPP juga, kata beliau merujuk kepada dokumen sejarah golongan kiri seperti memoir-memoir tokoh mereka, seperti Memoir Shamsiah Fakeh yang antara lain pernah menyebut Mat Indera belum pernah menyertai PKM sehingga beliau dihukum bunuh.

“Penerbitan buku ini merupakan sebahagian kecil daripada usaha PPP untuk meluruskan semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara, setidak-tidaknya memberikan keadilan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air yang selama ini telah digelapkan jasa-jasa mereka.

“PPP memberi perhatian terhadap Mat Indera bukan sahaja disebabkan nama ini disebut oleh Timbalan Presiden PAS, tetapi juga disebabkan Mat Indera ini merupakan golongan agamawan, malah ada maklumat tidak rasmi yang menyatakan beliau hafiz al-Quran,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada maklumat tersebut, latar belakang beliau adalah seperti perwatakan Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan lain-lain tokoh agamawan yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.


Takziah buat keluarga Allahyarham Noramfaizul
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Pakatan Rakyat ingin memanjangkan ucapan setinggi takziah beserta simpati kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa menjalankan tugasan di Mogadishu, Somalia.

“Pemergian arwah di usia yang muda selaku anak lelaki sulung keluarga, lantas meninggalkan seorang balu dan dua orang cahaya mata sememangnya amat menyayat hati semua warga Malaysia,” ujarnya Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS), Liew Chin Tong (DAP) dan Nurul Izzah Anwar (PKR) di dalam kenyataan bersama, hari ini.

Bagi mereka, warga wartawan dan pengamal media di Malaysia juga telah kehilangan seorang rakan sekerja yang berani dan berdedikasi kepada kerjayanya.

Melihat kepada tragedi itu, mereka juga menggesa supaya langkah-langkah keselamatan yang cukup dan tertib akan dipertimbangkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk mengelakkan daripada berlakunya tragedi sedemikian rupa.

Bagaimanapun pun, mereka berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa soalan-soalan yang ditimbulkan ramai akan dijawab dengan tulus demi menampilkan kebenaran.

“Dalam sementara itu, kami berdoa supaya keluarga arwah akan diberikan kekuatan dan kesabaran tatkala menempuhi masa yang mencabar dan penuh hiba ini.

“Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan semoga arwah ditempatkan bersama golongan orang-orang yang soleh,” ujar mereka lagi.


Reaksi Khoo Kay Kim undang banyak persoalan
Mohamed Hadi al-Majwi

Saya tertarik untuk mengulas wawancara Berita Minggu bersama dengan tokoh sejarawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (KKK) yang disiarkan menerusi akhbar tersebut pada 4 September 2011. Sudah tentulah tujuan utama wawancara tersebut ialah untuk membidas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu) mengenai isu Mat Indera dan Bukit Kepong tetapi itu tidaklah menghairankan bagi akhbar yang menyokong parti pemerintah. Saya lebih berminat untuk mengulas jawapan-jawapan KKK yang saya sifatkan secara peribadi sebagai lebih banyak mengundang persoalan daripada merungkaikan jawapan.

Misalnya, KKK mempertahankan Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn Jaafar dengan mengatakan bahawa mereka bukanlah pegawai British seperti mana yang didakwa oleh Mat Sabu. Menurut KKK, Tanah Melayu tidak pernah menjadi jajahan British dan beliau berikan alasan-alasan beliau seperti yang dimuatkan di dalam wawancara tersebut. Pandangan ini bukanlah baru, malah disokong oleh hujah-hujah yang berasas. Namun begitu, pelbagai persoalan timbul di dalam benak fikiran saya berkenaan isu Tanah Melayu yang tidak pernah dijajah:

1. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, kenapa kita diajar sejak di bangku sekolah lagi bahawa British adalah penjajah?

2. Kalau negeri-negeri Melayu (kecuali Negeri-Negeri Selat) ialah Negeri-Negeri Melayu Naungan, mengapa British tidak digelar sebagai penaung?

3. Kalau British ialah penaung sahaja bukan penjajah, kenapa hasil bumi Tanah Melayu habis dikaut oleh British? Kenapa kuasa eksekutif terletak di tangan pegawai British bukannya di tangan istana? Adakah Negeri-Negeri Melayu Naungan benar-benar berdaulat kalau pemerintahannya dikendalikan oleh pegawai British?

4. Kalau 'nasihat' pegawai British di dalam pentadbiran mesti diikuti oleh raja-raja Melayu berdasarkan perjanjian yang telah mereka tandatangani (kecuali di dalam soal agama Islam dan adat istiadat Melayu), adakah ini bukan penjajahan namanya? Kalau ini bukan satu bentuk penjajahan, maka istilah apakah yang selayaknya untuk kita panggil?

5. Kalau British bukan penjajah, kenapa Tanah Melayu perlu dimerdekakan? Lazimnya sesebuah negara yang merdeka akan bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi Tanah Melayu ini merdeka daripada cengkaman siapa? Rombongan Kemerdekaan ke London pada tahun 1956 itu tujuannya apa pula?

6. Kalau British bukan penjajah, maka Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan sebagainya menentang siapa dan derhaka kepada siapa?

7. Kalau Tanah Melayu tidak pernah dijajah British, adakah segala usaha para pejuang kemerdekaan, baik golongan yang kanan, yang tengah mahu pun yang kiri untuk memerdekakan negara kita tidak boleh dianggap sebagai usaha mengusir penjajah?

8. Yang paling penting sekali, kalau kita betul-betul mahu membezakan status antara negeri naungan dan negeri jajahan, jawablah dengan hati yang jujur, adakah terdapat perbezaan ketara di antara kedua-duanya?

Saya tidak mengajukan soalan-soalan di atas kepada KKK kerana saya yakin beliau pun tahu jawapannya. Tetapi saya mohon supaya kita semua berfikir sejenak, adakah kita semua sedar mengenai fakta yang KKK kemukakan? Adakah fakta ini didedahkan kepada para pelajar kita menerusi mata pelajaran Sejarah mereka?

Disebabkan reaksi KKK inilah saya merasakan bahawa ada sesuatu yang sangat, sangat, sangat tidak kena mengenai sukatan pembelajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah-sekolah. Sejarah apakah (atau sejarah siapakah) yang sebenarnya diajar di sekolah-sekolah selama in


Sampai bila media perdana nak jadi tunggangan Umno
Mohd Firdaus Jaafar
Media seharusnya menjadi medan kepada rakyat untuk mengetahui isu-isu semasa. Media sepatutnya menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan berita-berita terkini yang dapat membuka minda rakyat.

Rakyat yang dahagakan infomasi serta maklumat terkini yang lengkap serta adil sepatutnya dihidangkan dengan sesuatu yang mana akan membuka ruang fikiran rakyat dengan lebih luas dan membolehkan rakyat bertindak mengikut akal bukannya nafsu semata-mata.

Tambahan pula media arus perdana berdepan dengan saingan sengit daripada portal-portal berita yang ‘bersepah’ di internet jadi seharusnya media arus perdana menjadi pemangkin kepada ketelusan dalam menyiarkan berita-berita yang bersifat membina ‘sistem’ pemikiran rakyat.

Namun ini tidak terjadi di Malaysia yang senantiasa melaungkan slogan ‘Kebebasan Media’ yang kononnya memberikan berita yang ‘tidak memihak’ kepada mana-mana parti ataupun individu.

Media arus perdana bebas meng’hentam’ dan mem’belasah’ mana-mana parti atau individu yang tidak sealiran dengan parti pemerintah.

Utusan Malaysia dan TV3 dilihat lebih terkehadapan dalam mengeluarkan berita walaupun kadang-kadang berita yang disiarkan itu belum tentu sahih.

Ada kalanya mereka hanya bersandarkan berita yang dikutip daripada blog-blog ‘picisan’ penulis upahan Umno BN lalu di war-warkan sehingga menjadi tajuk utama media mereka.

Sekadar mengambil contoh apabila mereka mensensasikan tajuk ‘Kristian Agama Rasmi Negara’ jelas menunjukkan bahawa cubaan untuk ‘meniup api’ perkauman dikalangan rakyat yang hidup berbilang bangsa serta harmoni.

Yang terbaru bagaimana Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau dikenali dengan Mat Sabu dihentam di setiap waktu kononnya beliau dalam satu ceramahnya menyokong pergerakan komunis di dalam peristiwa Bukit Kepong.

Media arus perdana terus memainkan isu tersebut dengan serangan bertali arus terhadap beliau sedangkan dalam masa yang sama mulut,tangan dan kaki beliau ‘diikat’.

Kenapa tidak diberi peluang untuk beliau muncul di media arus perdana untuk membela diri daripada serangan bertubi-tubi sedangkan media ‘berfoya-foya’ dalam ‘menjaja’ berita berkaitan isu ini?

Mat Sabu hanya berpeluang menjawab kembali serangan terhadap beliau hanya di dalam portal-portal berita di internet yang mana liputannya amat terhad.

Sudah pasti tindakan media arus perdana seperti ini didalangi oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang menjalankan kerja di sebalik tabir. Mereka tidak menghiraukan samada berita yang akan dikeluarkan nanti sahih atau tidak tetapi hanya mengambil kira keuntungan politik yang bakal diperolehi daripada pihak pemerintah.

Media arus perdana harus berubah. Sesuatu mesti dilakukan untuk mendapatkan kembali integriti yang sudah tiada lagi disisi majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat sudah mula beralih kepada media alternatif kerana muak dengan ‘perangai’ dan ‘kelakuan’ media arus perdana yang terus menerus menabur fitnah demi untuk survival politik Umno BN yang semakin terhakis.

Apakah disitu ada keberkatan sekiranya perbuatan memfitnah dan pembohongan menjadi salah satu agenda utama?

Mengapa mufti-mufti yang begitu ramai di dalam negara yang sekecil Malaysia ini tidak bersuara untuk menegur ‘kebiadapan’ media arus perdana yang terang-terang melanggar apa yang diajarkan di dalam Al Quran dan Hadis? Sedangkan dalam masa yang sama mereka juga bersama-sama mewar-warkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.

Tidak malukah apabila menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar dan dalam masa yang sama rakyat mengetahui kesahihannya? Apakah pembaca berita tidak ada sedikit pun rasa bersalah ketika berhadapan dengan rakyat yang dibohonginya atas hanya bersandarkan alasan cari makan?

Tema Hari Kemerdekaan yang ke 54 iaitu ‘1 Malaysia : Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera tidak akan mencapai sasarannya selagi media tidak mahu melakukan transformasi dan yang pasti slogan hanya akan tinggal slogan selagi mana Umno BN terus memerintah.

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar (LaPAS) Dewan Pemuda PAS Malaysia


Tidak perlu pemangku MB Kedah
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tidak bersetuju diwujudkan jawatan pemangku Menteri Besar Kedah kerana Datuk Seri Azizan dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar dengan baik.

"Jawatan Pemangku Menteri Besar itu adalah pemilihan parti. Dalam konteks di negeri Kedah, jawatan Pemangku Menteri Besar itu memang tak timbul dan tak perlu.

"Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri pun baru-baru ini dah keluarkan kenyataan mengenai perkara itu dan ia tidak perlu dibangkitkan lagi oleh sebarang pihak," tegasnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Ustaz Azizan dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sejak dulu, katanya, untuk apa lagi diwujudkan jawatan Pemangku Menteri Besar.

"Soal hendak mewujudkan jawatan Pemangku Menteri Besar itu sebenarnya tidak berbangkit. Tambahan pula Ustaz Azizan dan Presiden PAS sendiri pun dah keluarkan kenyataan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan Pemangku Menteri Besar Kedah, jadi semua pihak perlulah faham dengan realiti itu," tegas beliau.

Jadi dengan itu, tegas beliau, semua pihak perlu faham dengan realiti itu dan tidak perlu membangkitkan lagi perkara yang sudah diputuskan itu kerana keputusan itu sendiri dibuat setelah difikirkan dengan mendalam oleh kepimpinan tertinggi parti.

Semalam, Datuk Seri Azizan sendiri dalam kenyataannya menegaskan tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan pemangku bagi membantu beliau mentadbir negeri itu berdasarkan situasi kesihatannya pada masa ini.

Selama ini pun, tegasnya, beliau bukan menjalankan tugas berseorangan tetapi sudah lebih tiga tahun mentadbir negeri Kedah dengan dibantu barisan exco kerajaan negeri yang dilantik.

Malah, menurut Azizan beliau cukup kuat untuk menjalankan tugas selaku ketua pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang dilakukannya sejak Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2008 lalu.

“Bagi saya sebagai Menteri Besar, saya tengok apa yang ada sudah elok. Barisan exco telah menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, jika seseorang Menteri Besar itu sudah tidak mampu untuk menjalankan tugasnya, perkara berkenaan perlu dimaklumkan kepada Sultan Kedah.

Selepas itu, katanya, barulah parti pemerintah kerajaan negeri semasa boleh mencadangkan kepada Sultan Kedah mengenai pelantikan baru.

“Persoalannya, sekarang ini saya cukup kuat. Saya tidak tahu tang (bahagian) mana saya tidak mampu. Cuti bukan satu masalah. Saya akan terus menjalankan tugas selagi diberi amanah oleh PAS Pusat untuk mengetuai Kedah,” katanya.

Tiada ulasan: