Isnin, 26 September 2011

JIKA TIDAK MEMAHAMI ISLAM...ISLAM BAKA SAJA..MENUNTUT ILMU ISLAM TIDAK...JADI TAK TAHU JAGA IMAN DAN AKIDAH..BERJUANG TIDAK BERLANDASKAN AKIDAH...

Hudud: Jangan buat kenyataan hingga 28 September | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Para Setiausaha Agung PAS, PKR dan DAP dikatakan sebulat suara mencapai kata sepakat untuk mengarahkan semua pimpinan parti masing-masing agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai hudud sehinggalah 28 September ini.

Arahan ini dikeluarkan berikutan pendiriaan bersama yang akan dibuat pimpinan Pakatan Rakyat 28 September nanti dalam mesyuarat mereka.

Sehubungan itu, satu sidang media akan dibuat jam 2 petang ini di Pejabat Agung PAS bagi memaklumkan arahan itu.

Sidang media ini dijadualkan akan diadakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Anthony mewakili Lim Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang itu kini berada di luar negara.

Isu Hudud telah bergema kembali ekoran cabaran yang dibuat oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, Kelantan boleh melaksanakan undang-undang itu sekarang kerana beliau sudah tidak menjadi PM lagi.

Kata Mahathir, pemimpin PAS Kelantan sentiasa menyalahkan beliau apabila tidak melaksanakan undang-undang itu ekoran satu surat amaran yang dikeluarkan semasa beliau menjadi PM lalu.

Mahathir meminta Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz meminta kebenaran dari Datuk Seri Najib untuk berbuat demikian.

Najib pula dalam jawapannya berkata, beliau tidak akan memberikan kebenaran itu walaupun timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata sedia untuk berbuat demikian.

Parti MCA dan Gerakan memberikan amaran kepada Umno, mereka akan keluar dari BN jika membenarkan undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Ekoran itu, DAP juga membuat kenyataan, kesemua pimpinan mereka yang ada akan meletakkan jawatan jika Pakatan Rakyat menjadikan agenda melaksanakan hudud sebagai agenda bersama Pakatan.

Ini ekoran dari sokongan pribadi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pelaksanaannya di Kelantan.

Untuk Islam dan di Kelantan sahaja


Sementara itu, pakar undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata, beliau yakin undang-undang ini boleh dilaksanakan jika Umno sedia bekerjasama untuk melaksanakannya.

"Jika Umno menolak melakukan ini, maka PAS boleh mencanangkan perkara ini ke seluruh negara bagi mendedahkan tembelang sebenar Umno. Selama ini, Umno telah melakukan pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa mereka adalah pembela dan pejuang Islam yang sebenar. Antara contohnya, seperti serbuan gereja di Selangor, isu kepala lembu dan sebagainya," tulis Abdul Aziz.

Bagi beliau, PAS bersedia bertarung pada pilihan raya umum akan datang tanpa DAP. Mereka masih mempunyai PKR dan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mereka sendiri.

"Saya tidak pasti jika DAP, MCA dan Gerakan benar-benar mewakili masyarakat bukan Islam. Masalah dengan parti-parti Cina adalah kerana mereka berfikiran hudud tidak boleh diterima meskipun perlembagaan tidak menyatakan demikian," tulisnya.

"Golongan berkecuali atau atas pagar di kalangan masyarakat bukan Islam saya fikir adalah rasional, mereka tidak bimbang, khususnya selepas Tok Guru memberi jaminan bahawa hukum hudud akan hanya dilaksanakan di Kelantan dan untuk umat Islam sahaja," jelas beliau.


PKR bongkar peranan APCO-FBC naik imej Najib | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Sept: PKR akan terus membongkar isu penggunaan wang rakyat bagi meningkatkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjelang pembentangan belanjawan 2012 Oktober depan.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution (gambar) berkata demikian ketika ditanya mengenai bayaran RM57 juta oleh kerajaan Malaysia kepada firma penerbitan TV dan komunikasi strategik Britain, FBC Media, lapor Keadilan Daily.

“Kita menjangka akan ada perkembangan terbaru mengenai perkara ini menjelang Bajet 2012. Kita akan terus memantau isu ini secara dekat dan akan membuat pendedahan-pendedahan baru yang lebih sensasi,” kata Saifuddin.

Menurut Saifuddin, pendedahan tersebut berkisar mengenai kontrak antara FBC Media dan APCO Worldwide, syarikat perunding Israel yang turut terlibat dalam mempromosi imej Najib sebelum ini.

“Ini merupakan sumber yang diperolehi dari Parlimen. FBC Media lebih awal menggunakan khidmat Apco, berbanding kerajaan Malaysia dengan jumlah USD70,000.

“Kerajaan Malaysia kemudiannya membayar Apco sebanyak RM77 juta. Perkara ini didedahkan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di Parlimen,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

FBC Media, yang berpangkalan di United Kingdom dilantik kerajaan Malaysia untuk menerbitkan program TV berkaitan Malaysia, ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Program- program berkenaan kemudian ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC (Consumer News and Business Channel), CNN (Cable News Network) dan BBC (British Broadcasting Corporation).

Kerajaan Persekutuan pula membayar RM57.68 juta kepada FBC Media antara tahun 2008 dan 2009, manakala kerajaan Sarawak membelanjakan RM15 juta setahun untuk tujuan itu.

“Perkara ini memalukan Malaysia dan menjatuhkan imej kerajaan. Mereka tuduh (ketua pembangkang) Datuk Seri Anwar bayar CNN untuk diwawancara dalam rancangan ‘Connect The World’ dan CNN nafikan.

“Sebaliknya yang terdedah ialah kerajaan Malaysia bayar kepada FBC Media untuk melobi agar Najib muncul di CNBC, CNN dan BBC. Ini menyalahi etika kewartawanan,” kata Saifuddin.

Sebelum ini, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dilapor membelanjakan RM1.5 juta membeli dua muka penuh iklan dalam akhbar New York bagi mengalu-alukan lawatannya sendiri ke New York sebagai ‘Wanita Pertama Malaysia,”.


Imej mewah Rosmah guris hati rakyat - SAMM | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Imej isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bermewahan amat mengguris hati rakyat yang sedang bergelut dalam kehidupan seharian.

“Ia umpama mencurah garam ke luka rakyat,” demikian antara resolusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang telah mengadakan Rapat (Pengurusan) Kebangsaan yang menghimpunkan penyelaras kebangsaan dan negeri dari seluruh negara selama dua hari di Shah Alam yang berakhir semalam.

SAMM dalam satu kenyataan menyatakan rapat kali kedua ini berjaya mengumpulkan orang sumber dari pelbagai latar belakang dan penuh dengan sesi diskusi sehingga menghasilkan idea pelaksanaan praktikal.

Sempena rapat itu, SAMM telah mencapai 12 resolusi penting yang perlu diangkat.

SAMM ialah sebuah gerakan radikal muda bebas bukan 'front' mana mana parti politik tetapi sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik mahupun apa jua organisasi untuk menyelamatkan negara dari kerakusan pemerintah korup yang kedudukan indeks rasuahnya yang parah mengikut beberapa statistik badan dunia.

Demokrasi negara ini sedang 'tenat' apabila kadar kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya amat rendah, SAMM menyokong usaha telus penambah-baikkan sistem pilihan raya dan mendesak PRU WAJIB hanya boleh diadakan selepas proses penambahbaikan selesai.

Apa jua DASAR dan PERUBAHAN NEGARA perlu mengambil-kira pandangan rakyat khususnya orang muda. Justeru itu SAMM melancarkan kaji selidik (skala besar) dalam masa 10 minggu untuk mendapatkan pendapat anak muda khususnya dari 11 juta golongan pekerja muda yang sedang bergelut dalam menyara kehidupan seharian yang semakin menggila kosnya.

SAMM meyakini pemansuhan ISA adalah kejayaan desakan rakyat dan perlu diteruskan terhadap undang-undang 'draconian' lain seperti AUKU. SAMM gesa rakyat jangan termakan gula-gula pengumuman. Undang-undang tidak boleh mansuh dengan pengumuman tetapi pemansuhan harus dilakukan di Parlimen. Selagi tidak dibawa ke parlimen pengumuman pemansuhan tidak bermakna dan tidak boleh dipercayai lagi.

Isu-isu yang menyentap sensitiviti agama dan perkauman serta permainan politik lucah yang tidak langsung menguntungkan rakyat harus segera dihentikan. Tumpuan sumber dan tenaga harus ditumpukan kepada bagaimana membantu rakyat yang semakin susah.

Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 manakala bagi Sabah, Sarawak pula 1963. Maka SAMM dengan tegas mengatakan semua organisasi dan individu yang berjuang melawan penjajah sebelum tarikh merdeka wajar diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.

SAMM menegaskan semua keperluan asas rakyat seperti pembekalan eletrik,air,lebuhraya perlu dimiliknegarakan. Pendidikan serta perkhidmatan kesihatan percuma tidak boleh dikompromi. SAMM menggesa rakyat agar menjadikan ini sebagai agenda utama penilaian ketika PRU nanti.

Menyedari betapa pentingnya kesedaran dan kepedulian di kalangan anak muda, Rapat SAMM kali ini membuat keputusan SAMM harus punya sekolah politik dan jabatan penyelidikan bagi memantapkan pemahaman politik dan kesedaran hak warga dikalangan anak muda.

SAMM menentang keras pengkhianatan pemerintah terhadap kedaulatan negara yang mengagihkan taraf kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya.

SAMM juga menyeru supaya rakyat menolak SEMUA ahli politik atau kaum keluarganya yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan mengumpul kekayaan. Imej Rosmah Mansor bermewahan amat mengguris hati rakyat yang sedang bergelut dalam kehidupan seharian. Ia umpama mencurah garam ke luka rakyat.

Kenaikan harga barang semakin menghimpit, ini diparahkan lagi dengan kewujudan cukai terus kepada pengguna seperti GST/VAT. Adalah satu pembohongan sistem cukai terus kepada pelanggan belum dilaksanakan. SAMM menuntut pemerintah segera bertindak membatalkan sistem cukai yang menjerut leher rakyat. Sistem cukai ini memberi ruang selesa kepada korporat dengan mengalihkan cukai kepada peniaga besar kepada rakyat.

Negara semakin berada di bawah kawalan korporat besar. Indeks jenayah kononnya dikatakan turun, tetapi amat berbeza dengan realiti kerana setiap hari jenayah terus kepada rakyat seperti ragut, rompakan (rumah seumpamanya), bunuh, ugut semakin meningkat. Yang dikatakan turun hanyalah kerana diberi tumpuan kepada jenayah skala tinggi seperti rompakan bank dan seumpamanya. Ini memberi persepsi negara dikawal pemodal dan korporat besar. Indeks jenayah yang mempengaruhi turun indeks jenayah negara ialah jenayah besar yang jejas korporat besar, tetapi bagaimana dengan jenayah yang semakin menggila yang berlaku terus kepada rakyat.

SAMM mendapati negara ini bukan sekadar di ambang krisis tetapi sudah memasuki pintu krisis dan perlu diselamatkan segera.

SAMM melihat anak muda harus menjadi pelopor politik nilai. Dalam isu membela hak rakyat dan memberdaya anak muda, SAMM mengajak anak muda agar tidak kompromi, tidak ada istilah kedurjanaan yang harus dihalalkan untuk mencapai matlamat baik.

Untuk maksud resolusi, serentak dengan itu juga dirancang pelbagai aktiviti dengan pendekatan radikalisme muda.

Selamatkan negara.


Mahasiswa tuntut hak asasi manusia dilaksana | Print |
Hazayani Zakaria

PETALING JAYA, 26 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengkaji garis panduan hak asasi manusia yang diamalkan di Malaysia.

Tuntutan tersebut terkandung dalam deklarasi Mahasiswa yang dicapai sebulat suara di Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 3.0 bermula Sabtu lalu sehingga tengah hari semalam.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Abdul Razab berkata, tuntutan penggubalan Jawatankuasa Khas Parlimen ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengumuman itu, katanya dilihat sebagai tindakan populis Najib untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum yang dikhuatiri berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

"Dalam masa terdekat kita akan menuntut kerajaan menggubal Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyiasat garis hak asasi manusia dan menilai sama ada benar atau tidak hak asasi manusia ini tertunai di Malaysia," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya kongres di Yayasan Selangor, dekat sini petang semalam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan deklarasi mahasiswa mengenai hak asasi manusia itu dibawa ke peringkat antarabangsa untuk dibahaskan dan dibaikpulih.

"Saya tidak menolak kemungkinan isu hak asasi ini dibawa ke peringkat antarabangsa sebab hak asasi ini bagi semua negara banyak yang tercabar. Pemansuhan ISA hanya secebis tapi banyak lagi undang-undang yang menekan termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk bersuara.

"Kita boleh bawa ke Suhakam tapi laporan Suhakam boleh dibakul sampahkan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.

Selain itu, deklarasi turut mencakupi tuntutan reformasi politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan kewanitaan.

Deklarasi itu akan didokumentasikan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, kerajaan-kerajaan negeri, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam masa terdekat.

"Selain Perdana Menteri, kami akan serahkan deklamasi ini kepada semua pihak baik kerajaan BN atau Pakatan Rakyat dan kepada NGO-NGO.

"Deklarasi ini sebagai pengetahuan di peringkat kerajaan dan pembangkang bahawa ini menjadi prinsip mahasiswa yang perlu mereka ambil perhatian," tegasnya.

Kongres dua hari itu antaranya diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh tanah air iaitu Prof Dr. Aziz Bari (pakar perlembagaan), Senator Mumtaz Md Nawi dan Prof Abu Hassan Hasbullah (pensyarah).

Selain SMM, kongres ini turut mendapat kerjasama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Malaysia Youth And Students Democratic Movement (Dema), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Gabungan Mahasiswa Insaniah (GMI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Sister In Movement (SIM).


Mazlan tak mahu bertelagah dengan MBFM | Print |
Khairil Abdul Rahim

BERA, 26 Sept: “Saya tak akan bertelagah dengan badan belia Felda kerana tidak ada untungnya, bagi kami matlamatnya sama iaitu memperjuangkan hak belia iaitu mahu mengangkat martabat generasi kedua dan ketiga Felda," kata Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika ditanya mengenai serangan badan-badan belia sekutu Felda yang akhir-akhir ini menyerang beliau dalam media dan majlis rasmi.

(Gambar: Mazlan sedang berkata sesuatu kepada Adun Triang, Leong Ngah Ngah semasa jamuan hari raya PAS Bera.)

Terbaru ialah kenyataan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd Manap yang menganggap tindakan Mazlan dan Anak mengedarkan borang permohonan tanah Felda Plantation (FP) sebagai tidak bertanggungjawab kerana mempergunakan belia Felda untuk kepentingan politik (pembangkang).

Anuar berkata demikian di Majlis Jamuan Merdekaraya MBFM Jengka 3, kelmarin bersama kakitangan Felda seperti disiarkan dalam sebuah akhbar harian dan difahamkan membuat roadshow bagi tujuan ‘menyerang’ Mazlan.

Malah beliau menganggap edaran borang tersebut hanyalah gimik dan strategi politik bertujuan untuk menghuru-harakan keadaan dalam tanah rancangan terutamanya dalam kalangan generasi muda Felda.

Bagi Mazlan, walaupun MBFM dan sekutu Felda yang lain menyerangnya dengan pelbagai kenyataan, beliau sekali-kali tidak akan berkonfrontasi kerana pendirian tersebut bukan menjadi prinsip Anak.

Mengenai edaran borang FP di seluruh rancangan Felda, Mazlan berkata ia selaras dengan tawaran dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR) setelah Felda gagal menyelesaikan masalah kehidupan generasi kedua dan ketiga yang sudah lama tertangguh.

“Apa yang dilakukan PR sangat relevan untuk membantu generasi kedua dan ketiga Felda kerana jumlah mereka semakin meningkat dan sekarang dianggarkan menjangkau angka lebih satu juta.

“Sebahagian daripada mereka yang tinggal di tanah rancangan pendapatan mereka rendah. Mereka tiada tempat tinggal melainkan terus menumpang ibu bapa (peneroka) dan sesetengahnya pula anak ramai.

“Masalahnya kerajaan atau Felda tidak ada perancangan untuk mereka. Yang ada diberikan bantuan berupa kosmetik seperti padang futsal, padang lumba motor dan sebagainya tetapi keperluan utama untuk masa depan kelompok ini tidak diindahkan,” jelasnya.

Mazlan berkata demikian kepada pemberita semasa jamuan hari raya Aidil Fitri PAS Kawasan Bera di Felda Tementi, di sini semalam.

Tambah Mazlan, konvensyen PR di Pulau Pinang tahun lalu memutuskan tawaran kepada antaranya anak-anak peneroka untuk memiliki tanah FP yang diuruskan oleh korporat.

“Jadi Anak buat kaedah bagaimana untuk permudahkan proses. Kalau kata gimik politik, persepsi itu tidak dapat dielakkan kerana untuk mereka mendapat tanah tersebut mestilah dengan menukar kerajaan. Jadi dari segi politiknya ini tidak dapat dielakkan.

“Kita tawar kepada mereka yang berusia 21 tahun kerana lazimnya mereka pada usia ini mendirikan rumah tangga. Jadi segala serangan yang dibuat oleh kumpulan tertentu hanya menggambarkan bahawa mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat,”ujarnya.

Tambah Mazlan, apabila terbentuk sahaja kerajaan baru selepas pilihan raya umum (PRU), pihak nya akan serah kepada pejabat tanah dan merekalah yang akan menapis berdasarkan kriteria.

“Jadi borang yang diberi percuma ini tidak ditapis oleh Anak, kerana Anak hanya menjadi pemudah cara,” tambahnya.

Sementara itu, Mazlan berkata beliau akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat ini bagi mendedahkan tiga keputusan besar yang dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah Felda.


Umno mengaku parti Islam tapi takut hudud | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Sept: Dari perspektif dan sudut Islam harus diingatkan bahawa adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam yang diberikan kuasa oleh Allah SWT untuk melaksanakan hukum Allah di muka bumi ini.

Berikut adalah ingatan daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini berada di luar negara dalam satu kenyataan esklusifnya kepada Harakahdaily sebagai mengulas kontroversi pelaksanaan hukum hudud yang hangat diperdebatkan kini.

Cabaran mantan perdana Tun Dr Mahathir Mohamad kepada PAS dan khususnya Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kata Tuan Ibrahim seolah-olah menunjukkan Umno, yang pernah satu waktu dulu mendakwa sendiri sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia, memiliki kebebasan penuh daripada tanggungjawab untuk melaksanakan hukum Allah.

“Mencabar PAS melaksanakan hukum Allah ini seolah-olah Umno tidak wajib melaksanakannya sedangkan mereka pernah mendakwa Umno sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia.

"Umno yang diberi mandat memerintah negara selama 54 tahun, saya nasihatkan agar jangan merasa bebas lepas dari tanggungjawab melaksanakan hukum Allah ini sehinggakan kelihatan langsung tidak berusaha agar hukum Allah ini dapat dilaksanakan,” tegur Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sebagaimana kontroversi Mat Indera dan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai sejarah pra-kemerdekaan yang diperbesarkan oleh media pro Umno, Tuan Ibrahim berkata beliau optimis bahawa kontroversi hudud yang sengaja diperbesarkan akan menyebabkan ramai yang mempunyai sangka buruk kepada hukum hudud akan pergi memahami hudud secara mendalam daripada menakuti hukum hudud semata-mata tidak tahu.

“Manusia sifatnya takut pada benda yang dia tidak tahu. Selepas tahu dan faham, mereka tidak akan takut lagi. Seperti kebolehan kerajaan Pakatan Rakyat untuk memerintah, sebelum cuba, rakyat sangsi dan takut, selepas cuba rakyat berasa selesa dan bahkan, kini rakyat melihat Pakatan Rakyat mampu mentadbir negara,” terang beliau.

Kenyataan Tuan Ibrahim dilihat senada dengan Mursyidul Am PAS, yang terdahulunya menyifatkan golongan yang takut kepada hukum hudud sama seperti manusia yang takut kepada ‘hantu’.

“Banyak orang takut Negara Islam. Usahkan hudud malah takut kepada Negara Islam. Orang takut kepada Negara Islam ini macam takut ke ‘hantu’. Orang yang takut kepada hantu itu tidak tahu pun bagaimana hantu tetapi takut kepada hantu.

“Hudud Islam pun begitu juga, takut kepada hudud. Kenapa takut hudud, tidak tahu. Melayu, India, Cina sama,” jelasnya dalam satu majlis di Kuala Terengganu dua hari lepas.

Manakala, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula menyifatkan tindakan Umno menyerang PAS dengan isu hudud ibarat "keris makan tuan".

Ia kerana, sejak isu itu dibangkitkan dan pelbagai percanggahan pandangan antara pemimpin Umno menyebabkan parti komponen BN mula meragui pendirian Umno.

"Mungkin pemimpin tertinggi Umno fikir isu hudud boleh kuatkan kembali perpaduan BN.

"Tiba-tiba keris makan tuan apabila MCA dan Gerakan mengugut mahu keluar BN kerana isu hudud," katanya.

Bagi Mohamad, isu hudud membuktikan Umno tidak pernah belajar dari sejarah.

"Sejak berpuluh-puluh tahun terutama selepas PAS kembali memerintah Kelantan pada tahun 1990, Umno mempermain-mainkan isu hudud untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam kepada PAS.

"Tiba-tiba hari ini, Umno yang ditolak oleh majoriti pengundi bukan Islam. Lebih buruk lagi, parti-parti di dalam BN pula berbalah sesama sendiri kerana hudud," katanya.

Tiada ulasan: