KUALA LUMPUR, 26 Sept: Parti MCA dan Gerakan dicabar keluar dari BN sekarang, ekoran kenyataan kedua-dua pemimpin utama parti itu untuk keluar dari BN sekiranya BN melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud. Kedua-dua parti itu dicabar keluar dari BN kerana Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi perlaksanaan hudud sememangnya telah digunakan di Terengganu sekarang. Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN. Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan itu undang-undang Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan oleh Kerajaan BN Terengganu sekarang adalah kanun jenayah syariah yang digubal oleh PAS. Katanya, sekarang BN di Terengganu telah menggunakannya sejak BN merampas kembali Terengganu dari PAS dan MCA serta Gerakan perlu sedar perkara itu serta melaksanakan janjinya untuk keluar dari BN sekiranya BN berbuat demikian. "Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang," katanya pada sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini. MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno beberapa hari lalu termasuk semalam mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN. Menurut Saifuddin, para pemimpin kedua-dua parti itu kini perlu menyedari realiti yang berlaku di Terengganu sejak BN mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu dari PAS dan perlu melaksanakan apa yang dikatakan oleh mereka itu. Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS. Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri. Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang sehubungan itu turut mengingatkan para pemimpin Umno BN bahawa hajat mereka untuk memporakperandakan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dengan mencetuskan isu hukum hudud dan agenda penubuhan negara Islam hanyalah sia-sia kerana ia diyakini tidak akan kesampaian. Malah, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kini jauh lebih utuh dan matang dari sehari ke sehari berbanding di peringkat awal penubuhan Pakatan Rakyat dulu. "Asas kerjasama Pakatan Rakyat adalah rakyat didahulukan atau kepentingan rakyat yang diutamakan, di samping menghargai perbezaan pendapat antara parti-parti yang berada di dalamnya," katanya. Serentak dengan itu, katanya, para pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya akan terus berkerjasama bagi kerja-kerja pilihanraya dengan teratur, tanpa dapat diganggu gugat oleh para pemimpin Umno BN. Manakala Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke pula berkata, isu mengenai perlaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu bukanlah isu baru dan ia telah lama difahami oleh para pemimpin Pakatan Rakyat. Beliau yang juga wakil kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga wakil kepada DAP menjelaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menghormati pendirian parti masing-masing. Atas penghormatan itulah, para pemimpin Pakatan Rakyat berkerjasama dengan baik sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan, malah kini kerjasama itu semakin mantap dengan ketiga-tiga parti berfungsi dengan baik. "Sekarang Tun Dr Mahathir tiba-tiba menjadi pengacau dan jurucakap kepada Umno untuk membangkitkan perkara itu. Tetapi dalam masa yang sama, semua orang faham Umno sebenarnya tak nak laksanakan hukum hudud. Apa yang dibangkitkan hanyalah untuk kepentingan politik mereka. "Pada kami dari DAP dan Pakatan Rakyat, apa yang dibangkitkan itu sebenarnya tak timbul kerana ia merupakan isu yang dah lama, tambahan pula ia tidak dinyatakan di dalam Buku Jingga. "Kalau tak ada dalam Buku Jingga, itu bukanlah dasar Pakatan Rakyat. Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup faham perkara itu, jadi tak perlulah Umno BN menimbulkan kembali isu itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.
Majdan Dagang | KUALA LUMPUR, 26 Sept: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dicabar menyaman pihak yang mengaitkan beliau dengan pemalsuan bukti dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Tindakan ini penting bagi membersihkan nama baik institusi kehakiman dan keluhuran perlembagaan negara ini," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang medianya di Ibu Pejabat PAS di sini, petang ini. Gesaan itu dibuat apabila baru-baru ini bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, mendakwa Gani dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan terbabit pemalsuan bukti tersebut. Sebelum surat terbuka daripada bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu, telah wujud dakwaan-dakwaan tentang salah laku dan peranan Peguam Negara dalam kes Anwar oleh para blogger, namun isu itu didiamkan sahaja. Mahfuz juga menggesa supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Gani kerana dakwaan itu menggugat kredibiliti institusi kehakiman dan penyiasatan negara ini. “Selain itu, turut terdapat dakwaan daripada blogger tentang penglibatan Gani Patail dalam kes rasuah dan peranannya dalam kes pembunuhan Altantuya. Kegagalan Gani Patail menangani isu ini menyebabkan timbul pelbagai tafsiran yang mencemarkan Jabatan Kehakiman,” ujar Mahfuz. Menurut Mahfuz lagi, jika Gani terus mendiamkan diri, beliau yang juga ahli Parlimen Pokok Sena akan menggerakkan usaha menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong agar suatu Suruhanjaya Diraja dibentuk.
Harakahdaily | (Najib bersama Rosmah dan Zambry bersama isterinya buat pertama kalinya menaiki bas untuk berjumpa rakyat)
PERTAMA KALI NAIK BAS ... Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bas sempena lawatan sehari beliau ke Perak di sini, Sabtu lalu. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abd Kadir (kanan) dan isteri Datin Seri Sharifah Zulkifli (kiri) .
Gambar ini dirakamkan ketika Najib dalam perjalanan dari pekan Tanjung Tualang ke Sekolah Kebangsaan Changkat Tin bagi menghadiri majlis perkahwinan iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi dan pasangannya Ahmad Fariz Hassan.
Namun, ramai yang tidak tahu, inilah bentuk dan rupa bas yang dinaiki Najib dan isterinya itu.
Bekas calon PAS di Beting Maro, Abang Ahmad Kerdi dalam twitternya menulis "Mau menitis air mata ni tengok gambar ni melaporkan 'PM naik bas menyelami KEPERITAN rakyat kebanyakan'
Rizal Tahir | YALA (Selatan Thai), 26 Sept: Para ulama di wilayah selatan Thailand diberi peranan penting bagi memberi gambaran sebenar Islam kepada penduduk di sini.
Sebuah buku bertajuk 'Islam dan Kebenaran Yang Mesti Diketahui' telah dihasilkan oleh ulamak di lima wilayah selatan negara berkenaan diharapkan mampu memberi pemahaman kepada masyarakat setempat berhubung pergolakan yang berlaku.
Presiden Persatuan Pondok Wilayah Selatan, Abdul Aziz Yanya (Sano), berkata kandungan buku berkenaan memberi definasi betul mengenai perjuangan. (Abdul Aziz menunjukkan buku 'Islam dan Kebenaran Yang Mesti Diketahui')
Beliau berkata golongan ulama amat dihormati oleh masyarakat di wilayah berkenaan.
Katanya, dengan melalui tulisan yang disumbangkan oleh golongan berkenaan ianya diharap mampu meredakan sentimen benci antara satu sama lain khususnya masyarakat beragama Islam dengan Buddha.
"Antara kandungannya mengenai perjuangan yang betul, jihad dan penentuan mati syahid dan sebagainya.
"Kita cuba beri keterangan mengikut kaca mata Islam dan alhamdulillah ia diterima oleh masyarakat dan keganasan semakin kurang," katanya
Beliau bekata demikian ketika ditemui di Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand (SBPAC), di sini.
“Mereka (ulama) tidak beri apa-apa bayaran untuk menulis buku ini tetapi atas dasar untuk keamanan bersama mereka mengambil tanggungjawab ini,” katanya lagi.
Untuk rekod SBPAC ditubuhkan pada Disember 2010 untuk mentadbir lima wilayah iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkla dan Satun.
Sementara itu, Ketua Setiausaha SBPAC, Panu Uthairat berkata, hasil kajian mendapati pengganas di selatan negara itu dianggarkan tidak melebihi 1,000 orang.
Manakala mereka disokong antara 6,000 hingga 7,000 penduduk kampung di wilayah berkenaan.
Sementara berpuluh ribu lagi dalam keadaan keliru sama ada untuk menyokong atau pun tidak pihak pengganas berkenaan.
"Justeru, peranan alim ulama amat penting untuk memberi gambaran sebenar apa yang betul dan apa yang salah.
"Ini kerana masyarakat di sini cuba dipengaruhi anasir jahat yang sengaja mencari jalan memecah belah masyarakat di sini," katanya.
Beliau berkata, kerajaan Thailand juga menyediakan pelajaran secukupnya kepada masyarakat dan dianggarkan 75 peratus pegawai kerajaan adalah anak tempatan.
"Malah Raja Thailand sendiri kerap memainkan peranan khususnya untuk meningkatkan pembangunan di wilayah selatan," ujarnya.
Ujarnya lagi, sektor pelancongan di Yala juga semakin meningkat, khususnya di Betong yang bersempadan dengan Malaysia.
Ahmad Lutfi Othman | Cuba bayangkan sambutan terhadap Wacana Merdeka, anjuran Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 13 September lalu, sekiranya tidak dibantu kontroversi ucapan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS.
Mungkin program sehari di Dewan Kuliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) itu akan mengulangi kelaziman aktiviti akademik lain, yang selalunya menyaksikan lebih banyak kerusi yang kosong.
Namun wacana "Menghargai Perjuangan Kemerdekaan" (temanya seakan klise dan gagal memikat imiginasi) kelihatan cukup segar dan berjaya mencuri perhatian, hinggakan program berkenaan dapat dimulakan mengikut tentatif program, sekitar jam 8.30 pagi, dan dewan pula penuh dengan peserta. (Dr Redzuan bersama Ahmad Lutfi selepas sesi pertama wacana.)
Saya sendiri, yang dimaklumkan tentang majlis berkenaan, dua hari sebelum itu oleh seorang teman, Faisal Tehrani, terpaksa menempuh kesesakan jalan raya (sesuatu yang saya cuba elak selepas menjalani bypass CABG dan diserang strok) untuk sampai awal ke UM.
Dekan FSSS, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman dan pakar sejarah, Prof Dr Mohamad Abu Bakar, pada sesi pertama wacana turut mengakui "faktor Mat Sabu", yang dikira menyebabkan wacana mendapat sambutan baik.
Ya, sesuatu yang agak luar biasa apabila wacana berkaitan sejarah, subjek tentang masa lampau yang selama ini mungkin dianggap membosan, telah menimbulkan polemik berpanjangan, yang dirancakkan oleh penglibatan pelbagai pihak. Tiba-tiba sahaja begitu ramai orang bercakap tentang masa silam dan berbicara seolah-olah tokoh sejarah!
Dari sisi lain, hanya dengan penglibatan orang politik seperti Mat Sabu barulah sesuatu isu itu berjaya "dimartabatkan" sebagai agenda nasional.
Terima kasih Mat Sabu, yang namanya disebut beberapa kali dalam wacana tersebut, disusuli tepukan. Meskipun terpaksa meniti garis kontroversi, dilempar dengan pelbagai ugutan, kecaman dan ancaman fizikal, beliau berjaya mengetengahkan isu sejarah kemerdekaan, untuk didebatkan secara terbuka. Banyak perkara yang tersimpan kini mula dibongkar.
Dr Redzuan mengakui, mutakhir ini, sama ada di majlis-majlis rumah terbuka Aidilfitri atau kenduri, juga melalui panggilan telefon dan pertanyaan SMS, beliau tidak menang tangan untuk menjawab isu berkaitan sejarah kemerdekaan negara.
Namun, sebagai seorang ahli akademik, yang terikat dengan pelbagai peraturan dan sekatan, persoalan itu sukar dijawab dengan baik oleh Dr Redzuan. Saya sendiri pun tidak mudah untuk mendapat reaksi beliau. (Ruginya warga Malaysia yang tidak dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para sarjana dan golongan intelektualnya, terutama dalam bidang "sensitif dan kritikal").
Apa pun, menarik sekali ungkapan Prof Mohamad Abu Bakar, bahawa selama ini yang seringkali sukar diteka adalah masa depan tetapi kini, yang payah ditembak adalah masa lampau (unpredictable past).
Dalam interbiunya bersama Harakah (terbitan 23-25 September), yang turut diedarkan kepada peserta wacana, beliau merumuskan: "Sejarah Malaysia akan berpotensi mengalami transformasi lagi sekiranya suluhan kritis dibuat terhadap tokoh-tokoh yang selama ini diidolakan, atau pejuang yang selama ini terbenam dalam lipatan sejarah dicungkil dan dinobatkan sebagai wira. Inilah yang sedang berlaku sehingga tercetusnya kontroversi di sekitar Bukit Kepong."
Dr Redzuan, seperti lazimnya, membentangkan pengaruh Timur Tengah dalam membangkitkan kesedaran sosial dan politik di kalangan orang Melayu. Beliau menyanggah pandangan yang cuba memisahkan gelombang kebangkitan menentang Malayan Union pada 1946 dengan peranan pemimpin agama, yang berpusat di madrasah, yang merupakan jaringan paling berkesan menyebarkan kesedaran ini.
Sesungguhnya perjuangan menentang penjajah tidak pernah putus sejak 1511 sehinggalah 1957.
"Gambaran yang diberi seolah-olah Datuk Onn Jaafar seorang pemimpin nasional yang secara tiba-tiba muncul dan popular di kalangan orang Melayu," katanya. Datuk Onn tentunya memerlukan jaringan dan pandekatan yang melibatkan massa, yang ketika itu dikuasai ulamak, terutama yang mendirikan madrasah.
(Selain penubuhan madrasah yang berkembang pesat, Dr Redzuan turut menekankan soal penerbitan akhbar sebagai instrumen membangkitkan kesedaran bangsa, terutama Al-Imam (1906-1908), yang diasaskan oleh Syed Syeikh Al-Hadi bersama Syeikh Tahir Jalaludin).
Beliau sepakat dengan Mohamad Abu Bakar, yang mengaitkan perjuangan menuntut kemerdekaan dengan permainan bola sepak. Ternyata mereka mahu pengiktirafan diberikan kepada semua pihak yang terbabit.
"Malangnya, sumbangan pejuang-pejuang (agamawan) ini terkadang tidak disebut, seperti juga pemain bolasepak, siapa yang menjaring gol sahaja yang didewa-dewakan, sedangkan pemain lain turut bertungkus-lumus untuk memenangkan pertandingan," kata Dr Redzuan.
"Kebetulan penyumbat gol adalah Umno," ujar Mohamad Abu Bakar. Malanglah, katanya, bagi pemain lain, yang tidak menjaringkan gol, apatah lagi buat penjaga gol seperti Apek (penjaga gol pasukan kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat), disambut gelak-ketawa peserta.
Dr Redzuan yang membuat kajian peringkat PhD mengenai peranan dan pengaruh Timur Tengah kepada masyarakat Melayu turut menyentuh mengenai kesedaran pelajar Melayu di Mesir tentang kemerdekaan, pada awal abad ke-20, yang ditampilkan dalam akhbar Ittihad (1913), Neracha dan Seruan Azhar (1925).
Dalam bukunya, Islam dan Masyarakat Melayu; Peranan dan Pengaruh Timur Tengah, dicatatkan: "Isu tentang betapa perlunya Tanah Melayu ... membebaskan diri daripada penjajahan juga ditekankan secara khusus oleh Seruan Azhar dalam keluaran bulan Oktober 1927. Dalam keluaran ini, keperluan menjadi sebuah negara merdeka ditekankan kerana dengan hidup merdeka bangsa dapat hidup bebas dan negara berkembang dengan maju."
Dr Redzuan turut menarik perhatian peserta wacana apabila mendedahkan bahawa pada waktu pelajar Melayu di Mesir pada 1920-an ghairah berbicara soal membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, sekelompok pelajar Melayu di London, seperti disebutkan dalam Memoir Tunku Abdul Rahman, masih berfoya-foya di kelab malam di sana!
Lebih menarik apabila di akhir pembentangannya beliau menunjukkan gambar mayat Tok Janggut, yang digantung dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas oleh British.
"Cuba perhatikan gambar mayat Tok Janggut, yang diarak di seluruh Kota Bharu, tetapi jangan tumpu kepada Tok Janggut sahaja, perhatikan di sebelahnya, yang juga orang Melayu memakai songkok, ini adalah polis yang berkhidmat di zaman British," kata Dr Redzuan sinis.
Ucapan penutupnya itu disambut tepukan bergemuruh. Tidak pasti apakah yang tergambar dalam fikiran sebahagian besar peserta ketika itu; mungkinkah minda mereka segera merujuk kepada kes serangan di balai polis Bukit Kepong, seperti ditimbulkan Mat Sabu dalam ceramahnya di Padang Menora, Tasik Gelugor, 21 Ogos lalu.
Saya kira ramai peserta menghadiri wacana itu bagi mendapatkan penjelasan tentang persoalan semasa, termasuk mengenai dakwaan bahawa negara kita tidak pernah dijajah British. Dan bagi saya jawapan Dr Ahmad Kamal Ariffin Muhd Rus, pensyarah Jabatan Sejarah UM, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Status Negara-Negeri Melayu pada Era Pentadbiran British, mampu memecahkan kebuntuan. (Dr Ahmad Kamal (kiri) membentangkan hujah, sambil diperhatikan Prof Mohamad Abu Bakar) "Hampir mustahil untuk mendakwa kita tidak dijajah British," tegasnya, menjawab soalan. Beliau turut mengemukakan hujah yang selalu digunakan, iaitu Artikel 6, Perjanjian Pangkor (20 Januari 1874) bahawa segala nasihat yang diberikan Residen British hendaklah diambil tindakan oleh Sultan kecuali yang menyentuh soal agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Kedudukan tersebut diperkukuhkan dalam Artikel 10 yang menyebut bahawa pungutan dan kawalan terhadap hasil pendapatan serta pentadbiran negeri hendaklah ditadbir dengan nasihat Residen.
"Dari segi undang-undang, kedudukan Negeri-Negeri Melayu (NM) pada era pentadbiran British sememangnya bertarafkan Negeri Lindungan. Namun begitu, dalam amalan, keseluruhan perjalanan pentadbiran dalaman NNM sememangnya dikuasai pihak British. Ini bermakna, disebabkan penguasaan itu, pada realitinya NNM sememangnya dijajah," kertas kerjanya dipetik.
"Meskipun terdapat perjanjian bagi membolehkan pihak British seolah-olah diberi izin oleh pihak yang berdaulat untuk menjalankan pentadbiran, namun dalam banyak hal kandungan perjanjian tersebut memberi ruang kepada pegawai British berperanan sebagai pemerintah de facto.
"Kawalan British terhadap dua elemen pemerintahan yang terpenting, iaitu kewangan dan undang-undang, dilakukan dengan seni muslihat yang paling licik. Malah pada 1909, Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pernah dilucutkan kedaulatan baginda terhadap undang-undang dengan kaedah yang sengaja ditaksakan biarkan disedari ia merupakan satu kesalahan," tegasnya.
Dr Ahmad Kamal juga menekankan bagaimana Residen British yang menguasai kawalan dan pengurusan kewangan Negeri-Negeri Melayu mesti mendapat kelulusan gabenor di Singapura ketika menyediakan belanjawan tahunan NNM.
"Malah Residen British diarahkan untuk tidak membentangkan draf belanjawan kepada pemerintah Melayu. Residen Douglas (Selangor) diberi amaran keras apabila mengajukan draf belanjawan kepada gabenor dengan cop mohor sultan. Douglas diingatkan beliau tidak berkhidmat di bawah cop mohor Raja-Raja Melayu," ujarnya.
Ya... seperti kesimpulan Mohamad Abu Bakar: "Apakah orang Melayu akan mengatakan mereka dijajah hanya selepas dikenakan tindakan ganas dan buas?"
Apakah jika penjajahan itu dilakukan dalam bentuk halus dan licik, walaupun kesannya cukup sengsara dan pedih, maka kita dikira masih bebas dan merdeka? Tetapi, kalau tidak dijajah, mengapa ada gerakan kemerdekaan dan ada pula bapa kemerdekaan?
Zulkifli Sulong | GOMBAK, 26 Sept: PAS telah mempersiapkan kira-kira 80 peratus keperluan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS (JPP), Dr Hatta Ramli (gambar).
"Kita juga telah membuat count down (kiraan masa) kalau-kalau parlimen dibubarkan 11 November ini," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.
Anggota Parlimen Kuala Krai itu diwawancara semasa majlis aidil fitri penduduk Kuala Krai di perantauan yang diadakan di pusat khidmat Parlimen Gombak Sabtu lepas.
Turut serta di majlis itu sebagai tuan rumah adalah semua Adun dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, Kelantan.
Sabah, Sarawak dan Selangor selesai 100% Menurut Dr Hatta, Pakatan Rakyat juga telah menyelesaikan 80 peratus perundingan pembahagian kerusi di kalangan parti dalam Pakatan iaitu PAS, PKR dan DAP.
"Kuasa untuk runding kerusi ini bukan tangjawab JPP tetapi sehingga kini kita telah selesaikan 80 peratus perundingannya.
"Hatta di Sabah, Sarawak dan Selangor kita telah selesai 100 peratus," kata Dr Hatta yang juga anggota Parlimen Kuala Krai.
PAS, katanya, akan bertanding beberapa kerusi di Sarawak dalam pilihan raya ini berbanding hanya satu kerusi dalam pilihan raya umum lepas.
Pada asasnya, kata beliau, Pakatan telah meletakkan kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya ke 12 lalu sebagai asas pembahagian kerusi.
"Namun Pakatan juga membenarkan kita berunding untuk kerusi-kerusi tertentu dan pertukaran kerusi mengikut kesesuaian...ini yang sedang berjalan," kata beliau.
Sasaran 60 kerusi
Dr Hatta juga memaklumkan, JPP telah menyahut cabaran Presiden PAS untuk memenangi 60 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke 13 ini.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan, PAS mensasarkan 60 kerusi untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Ia telah disasarkan oleh PAS melalui projek Roadmap to Putrajaya yang telah diluluskan oleh PAS Pusat.
Untuk melaksanakan sasaran ini, PAS telah memberikan fokus khas bagi 60 kerusi yang disasarkan untuk menang itu.
"Kita telah memberikan tumpuan secara individu setiap kerusi dan memberikan fokus khas bagi setiap kerusi berkenaan," katanya.
Beliau yakin, setiap kerusi yang disasarkan mempunyai keperluan dan masalah tersendiri dan pihak pusat akan memberikan bantuan mengikut keperluan itu.
"Kita mengenal pasti, antara masalah besar adalah ketidaksampaian maklumat ke peringkat akar umbi pengundi kita. Jadi kita akan memberikan tumpuan dalam aspek ini," katanya.
Dr Hatta juga sangat berharap bantuan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi mendekati pengundi bukan Islam.
"Kita berharap peranan DHPP untuk mendekati bukan Islam kerana menjadi taktik BN untuk menakut-nakutkan golongan ini," kata beliau.
Tuntutan Bersih 2.0
Dalam pertemuan itu, Dr Hatta juga berkata, pihaknya tidak menolak Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan BN gagal menunaikan lapan tuntutan Bersih2.0
"Kita akan pastikan paling tidak lapan tuntutan Bersih 2.0 akan diterima di samping merunding lain-lain perkara. (Dr Hatta bergambar dengan para Adun di Kuala Krai yang menjadi tuan rumah bersama beliau di samping para tetamu)
"Jika lapan tuntutan asas ini pun tidak dapat diterima kerajaan, ia (Bersih 3.0) mungkin jadi," katanya.
Dr Hatta juga berkata, antara tuntutan paling asas dalam Bersih 3.0 adalah penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda dalam pilihan raya.
"Ia paling mudah untuk dilaksanakan dan jauh lebih murah dan mudah berbanding biometrik. Kalau ia tidak dapat dilaksanakan juga, saya tidak tahulah apa kedudukan kerajaan yang ada sekarang ini," kata beliau.
Persytiharan 16 September
JPP juga, katanya, menyambut baik perisytiharan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 16 September lalu.
"Cuma kira harap, ia dilaksanakan dan ganti kepada ISA misalnya hendaklah lebih baik bukan semakin teruk.
"Di samping itu, kita berharap kerajaan juga mengkaji beberapa undang-undang drakonian lagi iaitu Akta Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Kesemua undang-undang perlu dikaji kerana ia tidak diperlukan lagi," kata Dr Hatta, bekas pensyarah perubatan UKM itu.
Di mana bertanding?
Ketika ditanya, beliau akan bertanding di mana dalam pilihan raya umum ke 13 ini, Dr Hatta berkata, ia terserah kepada parti untuk menetapkannya.
"Sebagai ahli parti, bertanding atau tidak, di mana tempatnya, ia terserah sepenuhnya kepada parti, bukan hak kita," kata beliau.
Dr Hatta tinggal di Gombak, Selangor tetapi bertanding di kawasan parlimen Kuala Krai Kelantan dan menang dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
Harakahdaily | IPOH, 26 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menegaskan akan sentiasa konsisten untuk menegur mana-mana pihak yang membabitkan kemungkaran di negeri ini. Timbalan ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pihaknya meneliti kenyataan rasmi Exco kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman berhubung penganjuran Pertandingan ‘Full Moon Beach’ yang turut mempertandingkan Miss Bikini Malaysia di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober nanti. Baginya, kenyataan itu jelas merujuk kepada sikap Pemuda PAS negeri menegur aktiviti yang tidak bermoral tersebut. “Kami lahirkan sikap berterima kasih dan syabas di atas langkah segera Kerajaan Negeri Perak di dalam membabitkan isu moral ini dan yang sensitif terhadap umat Islam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambahnya, dalam kenyataan tersebut Hamidah juga mengakui kegagalan memantau aktiviti yang disifatkan tidak bermoral dan juga mengakui setelah Pemuda PAS mendedahkan perkara tersebut menyebabkan kerajaan negeri memberi respons. Tambahnya, exco itu juga jelas mengakui bahawa Pemuda PAS negeri sentiasa memantau sebarang aktiviti dan juga perjalanan pembangunan pentadbiran negeri untuk kebaikan semua pihak bersama. “Akhirnya, kami masih menanti keputusan yang dinyatakan oleh Datuk Hamidah agar pihak kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti seumpama ini dan masih menunggu jawapan balas daripada pihak Pangkor Island Beach Resort sebagai penganjur tentang pertandingan tersebut,” ujarnya.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 26 Sept: Majlis Agama Islam negeri-negeri wajar meningkatkan kerjasama dakwah dan hubungan dengan bukan muslim dan bukan Melayu, termasuk dalam menangani Islamophobia dan religiophobia yang semakin meningkat. Demikian antara cadangan Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) dalam merangka resolusi Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia 2011 buat kali pertama selama dua hari yang bermula hari ini. Setiausahanya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata kongres itu merupakan titik sejarah yang baru bagi melihat kerjasama yang lebih utuh dalam kalangan Majlis Agama Islam negeri-negeri dalam melaksanakan agenda pemartabatan Islam di tanahair. Katanya, ACCIN percaya bahawa Kongres ini tepat pada masanya dan ia merupakan persidangan yang amat penting untuk merencana masa depan Islam dan umatnya. Menurutnya lagi, ACCIN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kesudian pihak penganjur menjemput pertubuhan-pertubuhan NGO Islam bagi berinteraksi dan terlibat sama dalam memberikan pandangan-pandangan yang boleh dijadikan panduan dan agenda bertindak dalam bentuk resolusi yang akan dirangka. Untuk itu, tambah beliau, ACCIN ingin memberi cadangan kepada perkara-perkara berikut supaya diambil perhatian dalam merangka resolusi yang disimpulkan dalam 10 perkara. 1. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menegaskan komitmen terhadap prinsip-prinsip terkandung dalam Perlembagaan dan Syariah sebagai panduan umum dan Piagam Majlis untuk menghadapi era globalisasi kini. 2. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menegaskan kembali komitmen tingginya, bersesuaian dengan “Cairo Declaration of Human Rights in Islam”, untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia dari perspektif Islam. 3. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menekankan kepentingan untuk menilai kembali semua aspek pentadbiran Syariah dan memastikan pendekatan yang adil dan seimbang terhadapnya. 4. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar menyatakan keprihatinan, bersesuaian dengan "World Interfaith Harmony Week”, terhadap persamaan, perbezaan dan kehidupan harmoni antara agama dan kepercayaan tanpa mengabaikan asas dan kesucian Islam serta Ahlu Sunnah Wal Jamaah. 5. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar melebarkan kerjasama (interaksi dan perkongsian pintar) untuk menghadapi cabaran ummat manusia, khasnya ummat Islam tanpa mengira ras, warna kulit, bahasa, jantina, agama/mazhab, sekutu politik, status sosial atau pertimbangan lain. 6. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar mengenal pasti sumbangan kepada NGO-NGO Islam, merangkumi kos bangunan, sekretariat, pengajian, kenderaan, program dan lain-lain, termasuk daripada sumber zakat. 7. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri wajar meningkatkan kerjasama dakwah dan hubungan dengan bukan muslim dan bukan Melayu, termasuk dalam menangani Islamophobia dan religiophobia yang semakin meningkat. 8. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu memberikan perlindungan kepada muallaf dan meningkatkan usaha serta proaktif untuk dakwah non-Muslim di seluruh Malaysia, merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 9. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri perlu mengurangkan birokrasi dalam pemberian bantuan zakat kepada para asnaf bagi mengelakkan golongan ini dieksploitasi oleh golongan lain. 10. Majlis Agama Islam Negeri-Negeri diminta sentiasa membantu meningkatkan sosio-ekonomi ummah dan memperkasa aspek pendidikan agama kepada anak bangsa. “Semoga cadangan-cadangan ini mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujar Mohd Roslan dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Bagi pihak ACCIN, beliau mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di atas penganjuran kongres yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini. | | | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan