Sabtu, 24 September 2011

HANYA ALLAH YG BOLEH HANCURKAN DAN MUSNAHKAN SEGALA BENTUK PENIPUAN..MAKA BERDOALAH...LIPAT GANDA IBADAT SERTA DEKATKAN DIRI DENGAN ALLAH..

Sekat video undi: SKMM perlekeh intelek rakyat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperlekeh intelek rakyat Malaysia apabila menghalang stesen televisyen menyiarkan hebahan khidmat awam (public service announcement, PSA) 'Undilah'.

Kempen 'Undilah' terbitan Pete Teo dan dilancarkan pada Hari Malaysia 16 September lalu merupakan klip video mengajak rakyat malaysia keluar mengundi dan disertai oleh tokoh-tokoh tanah air tanpa mengira parti politik.

Sambil melahirkan rasa terkejut dengan pengharaman itu, Nurul yang merupakan salah seorang yang menjayakan video tersebut berkata, usaha pihak penerbit amat bagus untuk mengukuhkan proses demokrasi di Malaysia.

"PSA ini yang disertai diri saya sendiri dan ramai lagi tokoh masyarakat Malaysia, adalah satu usaha tak berpihak (non-partisan) untuk mengajak rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi dan keluar mengundi bila tiba masa pilihanraya nanti demi mengukuhkan proses demokrasi yang diamalkan di negara kita. Ia bertujuan memupuk semangat demokrasi di kalangan rakyat Malaysia, tanpa mengira pihak mana yang disokong," kata Nurul Izzah.

Bagi beliau. di kala para pemimpin negara begitu gah mahu menjadikan Malaysia negara pengamal 'demokrasi terbaik' di dunia, tindakan seperti yang dilakukan SKMM ini jelas merosakkan usaha-usaha tersebut dan seakan memperlekeh intelek rakyat Malaysia amnya.

Justeru, beliau menggesa SKMM menjelaskan sebab arahan pengharaman tayangan video tersebut.

"Saya memohon SKMM untuk menjelaskan arahan yang dikeluarkan kepada penyiar tempatan, malah memohon agar SKMM menterbalikkan arahan tersebut dan mempromosi video ini sebagai satu langkah yang dapat memperkukuh demokrasi di negara tercinta ini.

"Janganlah kebebasan SKMM diperkuda demi permainan politik seorang menteri yang sudah jelas ketinggalan zaman, yang semakin hilang ditelan arus pemodenan corak politik tanah air," katanya.

Video 'Undilah' turut disertai Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Shah Alam, Khali Samad dan beberapa pelakon tempatan.


IC palsu: Rashid tidak boleh lepas tangan | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak boleh berlepas diri dari skandal pengeluaran kad pengenalan palsu di Sabah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Sebuah akhbar harian memetik Abdul Rashid berkata beliau telah diminta memeriksa kad-kad pengenalan berkenaan tetapi beliau enggan atas alasan bukan bidang kuasanya.

"Persoalannya, bekas Pengerusi SPR itu diberitahu dan sedar tentang skandal pemalsuan kad pengenalan itu tetapi beliau tidak mengambil sebarang tindakan walaupun atas sifatnya sebagai warganegara yang bertanggungjawab," kata beliau.

(Sebuah buku diterbitkan khas bagi melaporkan skandal IC palsu di Sabah)

Abdul Rashid sebelum ini menafikan pihaknya pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Beliau berkata, beliau “tidak ada kena mengena” dengan pengeluaran kad pengenalan itu dan menekankan bahawa pengeluaran kad pengenalan bukan di bawah bidang kuasa suruhanjaya itu tetapi di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

"Apa yang SPR lakukan ialah hanya untuk mendaftarkan warganegara dengan kad pengenalan sebagai pengundi," akhbar harian berkenaan memetik Abdul Rashid sebagai berkata.

Sebelum itu, Wikileaks baru-baru ini mendakwa Abdul Rashid mengakui bahawa pihaknya pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Menurut Mahfuz, jika benar sekalipun itu bukan bidang kuasanya, Abdul Rashid masih boleh bertindak atas sifatnya sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

"Banyak bentuk tindakan yang boleh dilakukan oleh bekas Pengerusi SPR itu sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

"Tetapi, jika itu pun tidak dilakukan oleh Abdul Rashid, beliau boleh dituduh bersubahat dan bersubahat bermakna terlibat dengan skandal itu," katanya.

Jika Abdul Rashid diberitahu dan sedar tentang kad-kad pengenalan palsu itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, beliau boleh dituduh sengaja mendaftarkan mereka yang mempunyai kad pengenalan palsu sebagai pengundi.

"Sebab itulah beliau tidak boleh cuci tangan dan tidak boleh berlepas diri sebab kenyataannya kpada akhbar harian itu menunjukkan dengan jelas beliau terlibat," katanya.

Mahfuz menggesa semua pihak melihat skandal pendaftaran pemegang kad pengenalan palsu itu sebagai salah laku sebuah badan dibawah kuasa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan semata-mata sebagai perbuatan individu.

"Ia adalah sala laku dan penglibatan SPR dan bukan semata-mata perbuatan dan penglibatan Abdul Rashid," katanya.

Mahfuz juga menyifatkan kenyataan Abdul Rashid itu menguatkan lagi bukti bahawa daftar pemilih dikeluarkan oleh SPR sememangnya tidak bersih.

"Malah, ia mengingatkan kita kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas yang diadakan pada tahun 1999 sebagai batal kerana terdapat pengundi hantu," katanya.

Apa yang berlaku itu bukan sahaja mengenai daftar pengundi yang tidak bersih, kata Mahfuz lagi, malah sekaligus membuktikan bahawa pilihan raya di negara ini dikendalikan oleh SPR yang dibuktikan oleh mahkamah telah mencemari pilihan raya dengan pengundi hantu.

Menguatkan lagi keyakinan bahawa daftar pengundi yang ada tidak bersih, katanya lagi, rakyat tidak pernah mendengar sebarang usaha yang jelas, terbukti dan serius untuk membersihkan daftar pengundi.

"Rakyat mestilah meningkatkan tekanan supaya daftar pengundi dibersihkan dan menuntut supaya daftar pengundi negara ini diaudit oleh badan audit antarabangsa yang berwibawa dan dihormati untuk memastikan ia benar-benar bersih.

"Bukan itu sahaja, ia mesti diaudit secara berkala supaya daftar pengundi tidak dikotorkan sewenang-wenangnya demi kepentingan Umno dan BN," tegas Mahfuz.


Anak yatim kampung Chicha harap dapat jumpa Nik Aziz | Print |
Harakahdaily

KUBANG KERIAN, 23 Sept: Harapan anak-anak yatim di Kampung Chicha semakin menjadi kenyataan kerana rumah baru mereka yang diusahakan ayah angkat mereka Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub dengan hasil titik peluh para penderma sudah hampir selesai.

Harakahdaily mula menyiarkan kesengsaraan yang dialami anak-anak yatim Kampung Chicha, yang nasib bagai jatuh ditimpa tangga, yang ibu bapa mereka meninggal setahun yang lalu kini tinggal sehelai sepinggan akibat rumah mereka terbakar hangus enam minggu yang lalu.

(Rumah anak yatim Kampung Chicha yang dibina atas sumbangan orang ramai hampir siap)

Salahuddin, yang juga Naib Presiden PAS telah memohon kepada mereka yang bersimpati agar dapat bersama-sama membantu anak-anak yatim untuk membina rumah baru kepada para anak buahnya ini.

“Hasil daripada kutipan sumbangan rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar negara sebanyak lebih RM45 ribu telah dapat dikumpul untuk membina semula rumah kediaman mereka,” kata beliau kepada Harakahdaily selepas melawat tapak rumah baru (gambar) tersebut.

PAS Kawasan Kubang Kerian, katanya telah mengambil tanggungjawab menyelia pembinaan rumah anak-anak yatim ini yang dijangka siap dalam sebulan dua lagi.

“Anak-anak yatim ini berharap Yang Amat Berhormat Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat akan dapat datang membaca doa selamat sempena berpindah ke rumah baru mereka,” tambah beliau.


Warga negara segera ancam keselamatan negara | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Kewarganegaraan segera yang diberi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kepada warga asing mengancam keselamatan rakyat, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Mustaffa Kamil Ayub, lapor KeadilanDaily.

Menurut Mustaffa, ia memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi, politik dan sosial masyarakat semata-mata bagi memenuhi kelangsungan politik Umno-BN.

“Isu penting yang tidak boleh ditolak dalam isu ini ialah ia bakal mengundang peningkatan jenayah dalam masyarakat.

“Sebab, setiap warga asing memiliki latar belakang budaya berbeza dengan rakyat kita,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajeed baru-baru ini yang mengakui rakyatnya mendapat kerakyatan mudah di Malaysia sejak setahun lalu dengan syarat mengundi Umno BN.

Pendedahan Hasina pada 16 September lalu melalui laman rasmi negara itu bagaimanapun dipadamkan keesokan harinya selepas isu itu didedahkan di Malaysia.

“Taktik ini juga bukti jelas betapa zalimnya pentadbiran Najib yang sanggup menjadikan nyawa rakyat demi survival politiknya,” kata Mustaffa.

Pada masa ini masa ini, setengah juta warga Bangladesh berada di Malaysia termasuk yang sudah tamat tempoh permit mereka.

Angka itu diperoleh setakat 29 Jun lalu seperti diakui sendiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pertambahan jumlah itu melonjak lebih sekali ganda berbanding pada 2007 sekadar 200,000 orang sahaja.

Selain warga Bangladesh, laman antarabangsa Wikileaks baru-baru ini mendedahkan sebanyak 60,000 warga asing didaftarkan sebagai pengundi di negara ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangannya kira-kira 200,000 warga Indonesia turut didaftarkan sebagai pengundi.

Antara jenayah yang kerap dilakukan warga asing di negara ini ialah membunuh, merompak dan merogol gadis bawah umur.

Terbaru kes pembunuhan kejam seorang wanita yang dikerat badannya kepada 15 bahagian yang dilakukan warga Bangla.


Anwar sampai mesej PRU 13 di Terengganu hari ini | Print |
Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 23 Sept: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menyampaikan mesej sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Setiu dan Kuala Nerus, hari ini.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, siri lawatan Anwar ke negeri ini bagi menyampaikan mesejnya secara langsung kepada rakyat.

“Hari ini, Datuk Seri Anwar akan berkunjung ke Permaisuri, Setiu dan Batu Enam, Kuala Nerus untuk bertemu rakyat secara langsung.

“Anwar akan menyampaikan sendiri mesej kepada rakyat di Terengganu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, insya Allah,” ujarnya kepada Harakahdaily ketika berkunjung ke Majlis Hari Raya dan Rumah Terbuka PAS Terengganu di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar, dekat sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota melahirkan rasa bangga dengan sambutan rakyat terhadap rumah terbuka PAS Terengganu.

Menurutnya, pelbagai lapisan masyarakat Melayu, Cina dan India termasuk di kalangan pemimpin MCA Terengganu hadir meraikan majlis tersebut.

Ini katanya, petanda penerimaan rakyat terhadap kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

“Saya lihat sambutan rakyat hari ini cukup baik dan meriah kerana semua lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina dan India hadir.

Menurutnya, usia kepimpinan Umno dan BN sudah berada dipenghujung yang mesti digantikan dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Hadir sama ke majlis tersebut mantan Pengerusi PKR Terengganu, Abdul Rahman Yusof serta beberapa orang pemimpin PKR Cabang Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.


Kempen 'Tunai 8 Tuntutan, Baru PRU-13' 30 Sept | Print |
Muhammad Faizal

PETALING JAYA, 23 Sept: Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 hari ini mengumumkan bahawa pihaknya akan mengadakan satu kempen baru iaitu "Tunaikan 8 Tuntutan, Barulah PRU-13".

Jawatankuasa Pepandu Bersih 2.0, Dr Subramaniam Pillay menjelaskan pada satu sidang media kempen ini adalah lanjutan kepada tuntutan himpunan Bersih 2.0 yang diasakan pada 9 Julai yang lepas.

"Kempen ini bertujuan untuk meneruskan peningkatan kesedaran rakyat Malaysia mengenai lapan tuntutan untuk reformasi pilihanraya dan untuk memberi peringatan kepada kerajaan supaya tidak mengadakan pilihanraya umum sebelum lapan tuntutan segera Bersih 2.0 itu ditunaikan.

"Pilihanraya umum tidak harus dilaksanakan tanpa memastikan tuntutan-tuntutan minima untuk pilihan raya bebas dan adil dipenuhi," jelasnya.

Tambah Dr Subramaniam lagi kempen ini akan diadakan pada 30 September jam 8.30 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia hadir memberi sokongan.

"Kami menyeru agar rakyat Malaysia untuk hadir pada kempen tersebut di mana kami akan memberi penjelasan terperinci mengenai kempen tersebut," tambahnya lagi.

Ketika menyentuh berkenaan dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini, beliau menjelaskan PSC perlu perlu menyiapkan lapan tuntutan tersebut baru laksanakan pilihanraya.

"Penubuhan PSC adalah satu yang baik dan apa yang kami mahukan PSC perlu melaksanakan lapan tuntutan ini baru melaksanakan pilihanraya.

"Ini yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu tanpa perlaksanaan tuntutan ini sepenuhnya maka pilihanraya tersebut tidak akan bersih malah akan wujud gejala-gejala kotor seperti yang dilakukan pada pilihan raya yang lepas.

"Perlu diingat tuntutan Bersih ini bukan hanya untuk parti tertentu sahaja tetapi semua parti yang bertanding termasuk Barisan Nasional (BN), jadi kerajaan mahupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak perlu takut untuk melaksanakan tuntutan tersebut," tambahnya lagi.




Sebelum itu perhimpunan BERSIH 2.0 yang di adakan pada 9 Julai menuntut lapan perkara agar pilihanraya negara ini benar-benar bersih iaitu bersihkan senarai pengundi, mereformasikan undi pos, guna dakwat kekal dalam pilihanraya, akses media bebas dan adil, tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, hentikan politik kotor.

Sidang media yang diadakan di pejabat Empower itu turut dihadiri Maria Chin Abdullah dan beberapa jawatankuasa yang lain.


Pakatan perlu waspada taktik Umno BN alih isu | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk bertindak secara lebih bijaksana dalam menghadapi teknik alih perhatian Umno Barisan Nasional (BN) supaya isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tidak ditenggelamkan begitu saja.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata muktahir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, kata beliau, rakyat sedang dan akan bakal saksikan bagaimana media perdana akan menggiatkan usaha untuk mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama yang melibatkan kepentingan dan kebajikan rakyat tenggelam dengan isu-isu yang sengaja diwujudkan.

Katanya, teknik mengalih perhatian dengan membawa isu yang sengaja diada-adakan terutama isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata Umno BN untuk lima dekad yang lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang tidak dijawab mereka.

Selain mengalihkan perhatian, kata beliau sebenarnya tujuan asal BN sengaja mewujudkan isu ialah supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab sesuatu isu besar yang dibangkitkan.

“Teknik ini sentiasa digunakan tidak lain tidak bukan kerana BN mempunyai kuasa mutlak terhadap media perdana.

“Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik ini,” kata beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu, antaranya ucapan Mohamad Sabu, isu bendera, isu hudud, isu sejarah kemerdekaan bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Isu sedemikian, kata beliau sengaja diwujudkan oleh Umno BN untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah dan penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran.

Demikian juga, isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas PRU ke 13, isu akta yang akan menggantikan ISA.

“Semua ini adalah isu besar yang sepatutnya menjadi isu sebenar untuk PRU ke 13 kerana ianya mempunyai impak kepada rakyat secara langsung,” kata beliau.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan walaupun ada-kalanya terpaksa jawab isu-isu yang sengaja dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN terpaksa menjawabnya.

“Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN,” nasihat beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menasihatkan Pakatan Rakyat untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi isu-isu yang sengaja dibangkitkan Umno BN.

Ini kerana, katanya isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi mereka supaya terus berbalah dengan Umno BN dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim turut menyeru Pakatan Rakyat untuk tidak terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi mengalih perhatian kepada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat dan menumpukan perhatian untuk memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada persiapan akhir untuk pertarung PRU-13 dengan mengemaskinikan segala maklumat penting.

Katanya, bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada tahap optimum.

Tambahnya, tindakan segera bagi mengesan kelemahan jentera dan pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera.

“Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana segera bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan,” nasihat beliau.

Selain itu, katanya gerak kerja rayuan undi, semakan daftar pemilih, peralatan pilihanraya dan cara penerangan isu-isu semasa semua parti mesti dilengkapkan sebelum parlimen dibubarkan.

“Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen bubar.

“Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang,” nasihat beliau lagi.

Tiada ulasan: