Jumaat, 9 September 2011

SUSAH JIKA TAK RETI ATAU JAHIL....DIBERI KUASA OLEH RAKYAT....TETAPI DAH BERKUASA...LUPA JASA RAKYAT...ALLAH BOLEH UBAH JIKA KITA DAH MELAMPAU

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian tersebut adalah Latihan Ilmiah untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem”.

Tambahnya, tujuan kajian tersebut adalah untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong, Muar.

Menurutnya, meskipun kajian tersebut adalah dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Haji Nawi Idrus, Ketua Pengawal Kampung (Home Guard) dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.

“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.

“Setakat kajian PPP, mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Di dalam kajian tersebut, ujarnya pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:

“Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”

Selain daripada itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.

“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.

Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Haji Ibrahim Jubah dan Haji Muhammad Yassin Muhammad (bapa Tan Sri Muhyiddin).

Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.

Malah, katanya menurut pengkaji lagi pada mukasurat 30, Haji Muhammad Yassin bin Muhammad begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

“Fakta ini sekaligus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD, bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.

Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA, sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.

Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.

“Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal,” ujarnya.

Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” mukasurat 357-358:

“Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat Nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Dato’ Dol Said di Naning, Dato’ Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu”.

Justeru, tegas Ahmad Zuhdi, PPP melihat kenyataan Tan Sri Abdul Samad Idris itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.


Khairy tak layak debat dengan Mohamad Sabu
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin diingatkan agar sedar diri bahawa beliau bukanlah individu yang layak berdebat dengan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tindakan Khairy yang ingin menunjukkan kehebatannya dengan menyifatkankan Mohamad menolak cadangan berdebat dengannya kerana takut kepadanya hanyalah memalukan dirinya sendiri.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Khalid Samad berkata, Mohamad adalah Timbalan Presiden PAS dan PAS Pusat telah memutuskan Mohamad berdebat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno.

Menurut beliau, keputusan yang dibuat oleh PAS Pusat itu sejajar dengan kedudukan Mohamad Sabu selaku Timbalan Presiden PAS yang selayaknya berdebat dengan Muhyiddin, selaras dengan kedudukan mereka sesama Timbalan Presiden kedua-dua parti terbabit.

Katanya, Khairy perlu tahu kedudukannya selaku Ketua Pemuda yang tidak selayaknya berdebat dengan Mohamad Sabu selaku Timbalan Presiden PAS kerana jurang antara beliau dan Mohamad Sabu terlalu jauh.

"Apabila Khairy mengatakan Mohamad Sabu takut untuk berdebat dengannya, ia tentu tidak tepat, apatah lagi jika kenyataan itu dikeluarkan ketika Mohamad Sabu sendiri masih belum memberikan jawaapan kerana tidakpun dimaklumkan oleh pihak penganjur yang mahu mengadakan debat itu," katanya.

Pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini, Khalid berkata, lebih jauh dari itu Khairy ternyata berbohong untuk meraih populariti apabila mendakwa telah menerima tawaran daripada kerajaan negeri Kelantan untuk berdebat dengan Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong.

Menurut beliau, kerajaan negeri Kelantan tidak pernah menghantar sebarang surat rasmi kepada Khairy selaku Ketua Pemuda Umno berhubung debat itu, tetapi hanya satu e-mel dari Kelantan yang bertanyakan sama ada Khairy bersedia berdebat atau tidak.

"Emel itu dikirim oleh Saifudin Ibrahim yang mewakili Jawatankuasa 'Bual Bicara' kepada Khairy untuk bertanyakan Khairy sama ada bersedia berdebat atau tidak. Jika Khairy bersetuju, surat jemputan rasmi akan dihantar oleh pihak penganjur kepadanya," katanya.

Emel tersebut, tegasnya, turut diforward kepada beliau dan menerusi emel itu dijelaskan bahawa debat yang mengisi program 'Bual Bicara' anjuran kerajaan Kelantan itu dicadangkan pada akhir September ini pada jam 9.00 malam di Balai Islam, Kota Bharu.

"Dalam emel itu dijelaskan, program tersebut lebih kepada santai dan lebih kepada dialog antara audien. Pembicara seorang lagi sedang diuruskan oleh pihak penganjur iaitu Mohamad Sabu, manakala moderatornya Amin Idris dari TV Al-Hijrah.

“Khairy cuba mengambil kesempatan dalam isu Mat Sabu (Mohamad) ini. Dia berbohong dengan mengatakan telah menerima surat undangan daripada kerajaan Kelantan, makala Mohamad Sabu 'pengecut atau penakut' kerana menolak untuk berdebat dengannya," katanya.

Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan Kelantan tidak pernah menghantar sebarang surat rasmi kepada Khairy selaku Ketua pemuda Umno berhubung perkara itu.

Khairy dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan media tempatan sekitar 4 September lalu berkata, beliau telah menerima jemputan untuk berdebat dengan Mohamad Sabu berhubung isu tragedi Bukit Kepong di Kelantan akhir bulan ini.

Namun, menurut Khairy, Mohamad menolak cabaran itu dan menyerahkan kepada Pemuda PAS untuk berdebat dengannya, manakala Mohamad akan berdebat dengan Muhyiddin.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, tindakan Khairy itu ternyata untuk meraih populariti ekoran keadaannya sekarang yang semakin ketiadaan sokongan akar umbi dalam Umno.

"Emel yang dihantar untuk bertanyakan sama ada beliau sanggup atau bersedia berdebat daripada Kelantan itu dikatakan telah menerima surat jemputan rasmi dari kerajaan Kelantan.

"Mohamad Sabu yang masih belum menjawab malah belum dimaklumkan oleh pihak penganjur pun dikatakan telah menolak untuk berdebat dengannya," katanya.

Pada hal, penolakan Mohamad Sabu bukan kerana takut kepada Khairy, tetapi PAS Pusat sendiri telah memutuskan Mohamad akan berdebat dengan Muhyiddin, manakala Khairy pula jika mahu beredebat dengan sesama Ketua Pemuda iaitu dengan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

"Tindakan Khairy itu juga kelihatan akan menepati andaian pelbagai pihak bahawa Khairy akan menjadi mantan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Agung Umno akan datang," ujar beliau.


Khalid dedah 'bukti' Mais alat BN
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini membawa bukti terhadap dakwaannya bahawa dan Mais Agama Islam Selangor (Mais) adalah alat BN.

Pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini, beliau mendedahkan gambar Pengerusi Mais, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa bersama ahli parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan yang terang-terang memaki baju BN pada satu majlis di perkarangan sebuah masjid ketika pilihan raya parlimen itu.

"Bersama Kamalanathan, 'Ust Kamal' di perkarangan masjid di felda Hulu Selangor, di mana Ust Kamal pakai baju BN dan Datuk Adzib duduk senang hati dengan dia tak ada masalah.

"Ini gambar beliau dengan Ust Kamal memberi plak kalimah Allah kepada penduduk felda, ini dalam kawasan masjid ni. Yang dia duk bantai PAS bantai Pakatan Rakyat tentang isu kalimah Allah, dia buat itu dengan P. Kamalanathan dengan pakai baju BN.

"Bagi saya Datuk Adzib memang orang Umno BN. Saya minta dia jawab," katanya sambil menunjukkan beberapa keping gambar yang dibawanya.

Pendedahan itu dibuat selepas beliau pada 6 September lalu dipanggil ke pejabat Jais dan dinyatakan pendakwaan kerana memberikan tazkirah tanpa tauliah pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Khalid didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Turut menerima tindakan JAIS Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadan lalu.

Sementara itu, Mais dalam satu kenyataan hari ini tidak membenarkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad membuat apa-apa penyampaian agama di masjid dan surau di seluruh Selangor kerana tidak mendapat tauliah.

Ia termasuklah tazkirah, ceramah, kuliah dan apa-apa pengisian agama.

Turut dimaklumkan rayuan Khalid berhubung tauliah beliau, ditolak melalui mesyuarat Jawatankuasa tauliah Mais yang bersidang pada 23 Jun 2011.

"Penolakan ini adalah selaras dengan perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak memberi tauliah mengajar atau berceramah mengenai agama Islam kepada mana-mana ahli politik terutama di masjid dan surau di Selangor," kata pengerusinya Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa .

Oleh itu, Mais mengingat dan mengarahkan nazir masjid dan pengerusi surau seluruh Selangor tidak menjemput, membenarkan atau memberi peluang kepada Khalid dan mana-mana ahli politik menyampaikan ceramah, mengajar, tazkirah atau khutbah berkaitan agama Islam kecuali mempunyai tauliah yang masih berkuatkuasa.

Sementara itu, Khalid mendakwa sehingga kini beliau tidak menerima sebarang penjelasan yang dimintanya berhubung sebab tidak diberi tauliah kerana beliau "mempunyai rekod jenayah".

"Pada 30 Oktober 2009, JAIS kata lupakan, (kamu) tak diberi tauliah (sebab) tak layak," katanya sambil mendakwa tindakan Jais itu dipengaruhi sikap Mais dan campurtangan Umno dan BN.


Ambil tindakan tegas terhadap pengugut Md Sabu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ahli Parlimen Seputeh dan Setiausaha Organisasi DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji pihak yang menghantar SMS mengugut akan simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Teresa Kok (gambar) dalam satu kenyataannya berkata, mereka yang menghantar SMS ini menunjukkan diri mereka tidak berkebolehan membahaskan isu-isu yang dibincangkan secara matang, sabar dan rasional.

Lebih teruk lagi, tindakan mereka menunjukkan mereka bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mencederakan mereka yang tidak bersalah.

Mohamad Sabu mendakwa menerima SMS ugutan yang mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Katanya, kiriman SMS itu diterima semalam dan beberapa hari lalu daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya.

Ekoran itu, Teresa menggesa agar orang ramai diberi kesedaran bahawa ugutan nyawa sebegini bukan perkara kecil tetapi merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Seksyen 503 dan 503 di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk segera siasat dan tangkap mereka yang bersalah agar menghantar mesej yang tidak berbelah kepada mereka bahawa apa yang telah dilakukan itu adalah suatu jenayah.

"Jika tidak, penjenayah akan berfikir mereka bebas melakukan jenayah tanpa sebarang hukuman," kata Teresa dalam kenyataannya.

Beliau juga menggesa PDRM untuk mengambil setiap langkah yang sewajarnya untuk menjamin keselamatan Muhamad Sabu dan keluarganya.


Penduduk sementara pula boleh mengundi
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sejarah negara apabila seorang penduduk sementara pula disahkan boleh mengundi dalam negara ini.

Bukti manipulasi dalam pilihanraya itu boleh dirujuk kepada pengundi bernama Numi binti Syukri yang mempunyai kad pengenalan bernombor 880306114096 yang akan mengundi di Kg Bukit Payung, daerah mengindi Mukim Tenang, Dun Hulu Besut dan Parlimen Besut di Terengganu.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Maalaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Numi binti Syukri yang mempunyai kad pengenalan 880306114096 itu ternyata seorang penduduk sementara yang boleh dibuktikan menerusi semakan JPN.

Menurut beliau, namun anehnya, Numi boleh mengundi di Dun Hulu Besut, Parlimen Besut di negeri Terengganu berdasarkan daftar pemilih terkini yang disediakan oleh SPR.

Katanya, bukti kedua pula boleh dirujuk kepada pengundi bernama Hasmidah binti Surahbil yang mempunyai kad pengenalan bernombor 820315126446, lokaliti Taman Baiduri Jaya, daerah mengundi Bandar Teknologi Kajang, Dun Semenyih, Parlimen Hulu Langat di negeri Selangor.

"Bukti ketiga pula melibatkan pengundi bernama Jamaluddin bin Tahir yang mempunyai kad pengenalan bernombor 840803125475, lokaliti Tmn Universiti/Tmn Tropika, daerah mengundi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dun Bangi, Parlimen Serdang di negeri Selangor," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, menurut beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Pemuda PAS Malaysia telah banyak membongkar isu-isu berkaitan dengan manipulasi pilihanraya di negara ini.

Katanya, antaranya adalah kes Mismah yang boleh bertukar status kewarganegara dalam tempoh satu jam setengah, Kg Baru menjadi pengundi, kes nombor kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu, double voting, undi pos dan beberapa kes lain.

'Kali ini Pemuda PAS akan membongkar satu lagi manipulasi dalam pilihanraya yang membabitkan penduduk sementara pula. Pemuda PAS Malaysia mahu penjelasan daripada JPN dan SPR berhubung dengan bukti-bukti itu.

"Kami merasa amat curiga dengan data-data yang dimiliki oleh mereka. Teguran daripada semua pihak telah dibuat berulang kali. Mengapa masih berlaku lagi kepincangan dalam SPR dan JPN," katanya.

Kesalahan yang dibuktikannya itu, menurut beliau, tidak harus berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia mendesak kepada Perdana Menteri agar tidak membubarkan Parlimen seterusnya mengadakan pilihanraya selagi masalah-masalah yang dibangkitkan tidak diperbaiki.

"Jika Perdana Menteri tetap berdegil untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan teguran semua pihak tidak diendahkan, Pemuda PAS mendesak seluruh rakyat Malaysia turun ke Himpunan Bersih 3 yang akan diadakan sebelum pilihanraya akan datang," tegas beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman, Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa dan AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.


Detik kebenaran Bernama
Dean Johns, Malaysiakini

Dengan mengandaikan berita kematian jurugambar BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor di Somalia adalah benar – satu andaian besar perlu diberikan kepada rekod Bernama yang memalukan dalam membuat laporan kurang tepat – ini adalah satu ombak menyedihkan bagi Allahyarham, keluarga dan juga rakannya.

Namun, sekiranya ini adalah satu detik kebenaran yang jarang, ia juga adalah satu pemeriksaan realiti yang bermanfaat bagi mana-mana rakyat Malaysia yang masih naif atau cukup jahil untuk mempercayai longgokan pembohongan dan kepalsuan yang disebarkan secara rutin oleh mesin publisiti Umno / BN.

Apa-apa kebenaran terhadap kematian Faizul telah hancur berkecai disebabkan oleh jenis sampah (dihasilkan) oleh Bernama yang terkenal dalam peranannya sebagai agensi berita baik untuk regim Umno / BN. Jenazah Faizul masih belum sejuk sepenuhnya sebelum majikannya memetik kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang biasanya palsu dan bersifat menjaga diri sendiri dari Perth, Australia bahawa jurukamera tersebut adalah “hero Malaysia sejati yang merangkumi peranan kita untuk membantu di mana-mana jua bantuan diperlukan.”

Bahkan, seberani beliau pun, Faizul bukanlah hero Malaysia tapi hero 1Malaysia; yang mana “badan hancur lebur dan nyawa melayang” seperti yang Najib secara nakal nyatakan menyuruh Umno/BN mesti mempertahankan Putrajaya. Dan ini juga bukan satu misi ikhlas rakyat Malaysia untuk membantu orang-orang derita di Somalia, tapi hanyalah mencari publisiti ‘Kelab Putera 1Malaysia’ yang direka untuk menabur imej tidak bertimbangrasa regim Umno/BN dengan imej kemanusiaan yang palsu.

Malah, lawatan Kelab Putera 1Malaysia ke Mogadishu juga agak mirip alasan “pisioterapi lutut” yang diberikan Najib ketika hilang dari negara pada hari kemerdekaan untuk bercuti di Perth. Tidak dinafikan bahawa beliau sememangnya telah memendekkan percutian misteri beliau, supaya dapat membantu Bernama dalam usahanya untuk damage-control saat ketibaan jenazah jurukamera yang mati di Malaysia.

“Jangan kita main permainan salah-menyalah sekarang, saya rasa ini adalah perkara yang tidak sensitif untuk dilakukan,” kata beliau, sebelum mengeluarkan hujah-hujah yang bertujuan untuk melegakan rejim daripada apa-apa tanggungjawab untuk dalam kematian Faizul yang maut ditembak.


Selepas itu, Najib cuba untuk mencari alasan untuk kegagalan memberikan peralatan keselamatan kepada mangsa dan konvoy yang bersama beliau dengan komen seperti “sekuriti yang diberikan mencukupi”, “jika anda pakai jaket kalis peluru pun tapi tiada jaminan sepenuhnya” dan “banyak senjata di tangan orang tidak professional, dan ada bahaya.”

Najib meludah ke langit dengan kenyataan-kenyataan sedemikian kerana ia hanya mengingatkan ramai antara kita bahawa rakyat Malaysia turut berada dalam keadaan bahawa kerana banyak senjata ada di tangan polis Umno/BN yang tidak professional. Dan kiasan beliau kepada soalan jaket kalis peluru juga menyebabkan ramai yang tertanya berapa banyakkah baju yang boleh dibeli dengan harga salah satu beg Birkin Hermes koleksi isterinya.

Tapi ayat yang mendedahkan penipuan Najib kepada kenyataan bertimbang rasanya untuk mengelakan permainan salah-menyalah dan tidak sensitif terhadap kematian Noramfaizul yang menyedihkan ialah apabila Bernama melaporkan “jenaka” beliau yang menyatakan “wartawan antarabangsa turut terbunuh. Jika anda tidak mahu jadi wartawan, tinggal sahaja di rumah.”

Tuan yang angkuh, hamba yang bodoh

Ketidak-sensitifan kenyataan tersebut, bertambah dengan fakta bahawa Bernama terasa perlunya untuk memetik kata-kata tersebut menzahirkan lagi tentang hubungan “tuan yang angkuh, hamba yang bodoh” ini dalam hubungan antara Putra dan media Umno/BN dan gabungan mereka dalam menghina rakyat Malaysia.

Terdapat juga kekurangan yang jelas kepaduan dalam laporan Bernama dalam kes tembakan tersebut, di mana agensi 'berita' itu memetik Najib sebagai mendakwa bahawa "mereka (konvoi) terkena tembakan rambang yang tidak bertujuan ke arah konvoi mereka", tetapi pada masa yang sama juga memetik apa yang dikatakan saksi yang hanya dikenali sebagai "Halima" sebagai memberitahu New York Times bahawa "satu trak Kesatuan Afrika datang ke hala kereta konvoi tersebut dan memulakan menembak".

Bernama juga memberitahu kita bahawa meskipun sudah menyatakan “tembakan rambang”, Najib tetap berpendirian bahawa Presiden Somalia Sheikg Sharif Sheikh Ahmad telah berjanji untuk menyiasat insiden tersebut dan memberikannya satu laporan lengkap.

Kita hanya boleh berharap laporan penyiasatan Sheikh Ahmad akan mempunyai lebih kredibiliti daripada lagenda keputusan “mati tiba-tiba” atau “bukan dibunuh dan bukan bunuh diri” sebagai punca kematian mangsa-mangsa yang mati di tangan “penguatkuasa undang-undang” regim Umno/BN.

Sementara itu, Bernama juga bekerja lebih masa untuk menjauhkan tuannya Umno/BN daripada sebarang tanggungjawab dengan memetik kata Ketua Misi Somali, Dr Alwai Abdul Rahman yang menafikan bahawa jaket kalis peluru akan dapat menyelamatkan nama Noramfaizal Mohd Nor, kerana “peluru yang digunakan adalah bermutu tinggi.” Gelarlah saya sebagai sinis, tetapi ini semua kelihatan amat seperti cara typical ala-Bernama apolegetik Umno / BN.

Diubah secara total dan ditambah benda-benda yang tidak pernah disebutkan

Seperti juga satu laporan mengenai Menteri Luar Negara Anifah Aman yang dipetik sebagai berkata bahawa Duta Malaysia ke Libya, Zulkifli Yaacob telah berkunjung ke Somalia untuk mengaturkan pelan sekuriti sebelum Kelab Putera 1Malaysia datang mengunjung.

Kalau-kalau anda membayangkan bahawa saya telah sewel dalam mendakwa mendakwa bahawa Bernama mampu merekacipta berita sebelum saya menghurai lanjut, mari kita sama-sama melihat aduan oleh pelajar bahawa beliau dan rakan-rakannya telah disalahpetik dalam satu feel good fantasi baru-baru ini yang bertajuk "Najib speech inspirational, say students in Perth.”

Pelajar tersebut, yang meminta supaya nama beliau dirahsiakan kerana beliau seorang penerima biasiswa kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa Bernama telah “mengubah segalanya dan menambah perkara yang tidak pernah dikatakan oleh kami. Dan semua ini dilakukan sebelum ucapan itu dilakukan bukan selepas.”

Pendeknya, seperti yang saya nyatakan bertahun lamanya, sekiranya anda mempercayai Bernama, anda akan percaya pada semua benda. Dan rasa kekesalan terhadap agensi berita ini walaupun pada saat ia sedang mengalami saat kebenaran yang jarang berlaku, seperti dalam kematian Noramfaizul Mohd Nor, ia terus mengabdikan dirinya kepada pembunuhan yang sistematik, sejuk berdarah terhadap kehidupan dan jiwa kewartawanan: iaitu kebenaran.


Dr Farish Noor: Rekonstruksi Semula Sejarah?
Harakahdaily


1
Oleh Dr Farish A Noor [Di terjemahkan daripada artikel asal “Historical Reconstruction Again” oleh Ahmad Nabil Amir]
Dan begitulah, dengan alasan yang kompleks dan menjengkelkan, sejarah silam ditarik sekali lagi kepada kenyataan sekarang; sementara kita rakyat Malaysia terus membenamkan kepala ke dalam tanah dan melupakan masa depan. Kini kebanyakan kita tentu sudah mangli dengan kontroversi kecil yang mendapat liputan besar dan disiarkan sebagai tajuk utama: iaitu persoalan sama ada pergelutan yang terjadi dalam serangan ke atas balai polis Bukit Kepong harus dikenang sebagai detik historis dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan.
Malangnya kepada semua parti yang terlibat kelihatan isu ini telah dirampas oleh politik dan ahli politik lagi, seperti yang lazim berlaku di Malaysia hampir setiap hari. Lebih membimbangkan ialah bagaimana keragaman aspek dalam peristiwa ini diangkat secara selektif oleh parti dan aktor yang berlainan untuk melanjutkan hujah mereka, dan mengenepikan kepentingan untuk melihat dalam konteks yang lebih luas terhadap landas yang memunculkan peristiwa ini. Adalah mustahil untuk bersikap objektif dalam hal yang berkait dengan penulisan dan pembacaan sejarah, dan kemungkinan kita dapat menyingkirkan kepura-puraan tersebut. Tetapi buat ketika ini mungkin sebahagian nota pinggir mengenai hal tersebut akan bermakna untuk membuka ruang pencerahan dan perjernihan sedikit sebanyak.
Adakah PAS pro-Komunis? Soalan yang cukup janggal.. Mana mungkin parti Islam sokong Komunis!Adakah PAS pro-Komunis? Soalan yang cukup janggal.. Mana mungkin parti Islam sokong Komunis!A. Adakah PAS pro-Komunis?
Salah satu hasil dari perdebatan ini adalah kebangkitan semula pertanyaan lapuk sama ada PAS (Parti Islam se-Malaysia) adalah pro-komunis dalam sejarahnya ketika itu. Hal ini kelihatan sebagai satu pertanyaan yang janggal untuk dikemukakan sama sekali, kerana nyata tidak serasi bagi parti Islam untuk menaruh rasa simpati terhadap fahaman komunisme, yang sering dipandang sebagai pencetus masalah terhadap cita-cita Islam. Tetapi harus diingat bahawa ketika parti Islam Malaya didirikan pada November 1951, banyak pengasas yang membinanya adalah nasionalis yang anti-penjajah yang ingin melihat tamatnya pemerintahan British di Tanah Melayu. Sebahagian daripada mereka adalah bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan juga parti Islam yang pertama di negara ini, Hizbul Muslimin (yang berhasil didirikan, dan sejurus kemudian diharamkan, pada 1948).
Sejarah kekirian PAS mencapai kemuncaknya di bawah teraju Presiden Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), yang tidak menyembunyikan penentangannya terhadap undang-undang British dan antara yang enggan menetapkan perundingan untuk mencari penyelesaian dengan British. Dr. Burhanuddin melahirkan rasa simpati terhadap Parti Komunis Malaya (MCP), yang berkongsi perasaan anti-British dengannya; tetapi ini tidak bermakna beliau mendukung Komunisme sebagai suatu ideologi. Pendirian PAS terhadap MCP ketika itu (dalam dekad 1950an dan 1960an) justeru adalah cukup pragmatik yang berlatarkan satu matlamat bagi menolak pemerintahan kolonial British. Bagaimanapun, harus disedari bahawa PAS juga turut gusar dengan pengaruh Beijing di rantau ini, dan tiada alasan untuk mencadangkan bahawa pemimpin PAS sedia menerima Tanah Melayu diperintah di bawah telunjuk Komunis, baik secara langsung atau tidak, dari Beijing.
B. Adakah parti MCP alat kepada Komunis China?
Kenyataan bahawa MCP dan sayap gerilanya menentang apa jua dan sebarang bentuk penjajahan pemerintah British adalah mudah untuk dibuktikan, dan rekod perjuangan mereka dalam membakar semangat anti-kolonial tersedia bagi sesiapa untuk menyiasat. Persoalan yang lebih sulit untuk dijawab bagaimanapun adalah ini: sejauh mana bebasnya MCP, dan adakah ia – sebagaimana didakwa British – bekerja untuk melanjutkan pengaruh komunis China di rantau ini waktu itu? British kadangkala kaku dalam menangani hal MCP, dan harus diingat bahawa lakaran imej MCP sebagai ‘ancaman bangsa Cina’ adalah hasil bikinan agensi propaganda penjajah British ketika itu.
Di sini, bagaimanapun, perspektif yang lebih luas tentang perkara ini mungkin berguna. Fikirkan tentang Malaya pada tahun 1950an dan layari rantau ini secara menyeluruh, tatkala Perang Dingin sedang hangat. Di Vietnam, Burma dan Indonesia parti Komunis sedang menggembling kekuatan dengan jumlahnya; dan boleh jadi kebimbangan terbesar terhadap Britain ketika itu (seperti yang digusarkan oleh penjajah Perancis dan Belanda yang pergi) adalah kemungkinan seluruh Asia Tenggara menjadi wilayah Komunis. Harus diingat bahawa ini adalah masanya ketika rantau ini digelar ‘Benteng Kedua dalam perang terhadap Komunisme’; dan tatkala blok Barat ingin memastikan bahawa Indonesia – sebagai negara terbesar di rantau ini – tidak akan jatuh ke tangan Parti Komunis Indonesia (PKI).
D. N. AiditD. N. AiditDi Indonesia, PKI bangkit dengan tangkas dan menggarap kuasa di bawah kepimpinan manusia seperti D.N. Aidit, dan cukup instrumental dalam membangunkan kekuatan militer rakyat yang kemudiannya mencetuskan gerakan pembantaian ke atas Malaya dalam kempen ‘Ganyang Malaya’ (Hancur Malaya). Hanya setelah kegagalan menggerakkan rampasan kuasa pada 1965 dan penghapusan yang nyata parti PKI antara 1966 hingga 1970 ancaman Komunis di Indonesia reda, dan ikatan antara Malaya dan Indonesia kembali normal.
Berlatarkan hal inilah muncul ketakutan terhadap MCP – dan kebimbangan bahawa ia didukung oleh China – yang disuarakan dan dicanai di Malaya. Sementara adalah benar bahawa MCP anti-British, tiada bukti untuk mencadangkan bahawa ia mendakwa akan dukungan majoriti di kalangan masyarakat utama Melayu-Muslim di negara ini, walaupun terdapat askar melayu dalam Regimen ke-10.
C. Harus Berunding atau Bertempur?
Kemungkinan isu yang paling sengit daripada semua ini adalah sama ada perjuangan menuntut kemerdekaan sebenarnya diperjuang dan dimenangi oleh Sosok Kiri, Islamis atau Nasionalis di Malaysia. Di sinilah medan jangkaan dan seseorang cuma dapat meneka dan membuat spekulasi. Kenyataannya adalah langkah keselamatan yang diperkenalkan sewaktu pengisytiharan tempoh Darurat yang Pertama (1948-1960) bererti hampir kesemua parti dari golongan-kiri, gerakan kesatuan peniaga, kumpulan pekerja, dan lain-lain dihapuskan atau disingkirkan. Mereka yang tinggal untuk meraih keuntungan daripada hal ini adalah pejuang kebangsaan yang konservatif yang memilih untuk menerima perundingan tentang syarat kemerdekaan Tanah Melayu, dan mereka yang merundingkan beberapa isu termasuk hak kerakyatan kepada yang bukan Melayu dan lain-lain.
Tetapi tidak kira bagaimana seseorang melihatnya, kenyataan dalam sejarah adalah gerakan sosok-kiri di negara ini ditubuhkan lama sebelum parti dan gerakan kebangsaan-konservatif muncul. (parti Anarki Melayu diasaskan pada 1919, sebagai contohnya; dan parti MCP pada 1930. Sebaliknya MCA hanya ditemui pada Februari 1949.)
Tentu kita boleh mengandaikan spekulasi sepanjang mana jua berkait dengan persoalan yang banyak tentang ‘bagaimana sekiranya’ situasi lampau itu berbeza. Bagaimana sekiranya MCP tidak diharamkan? Bagaimana sekiranya MCP berhasil dalam kempen gerilanya? Bagaimana sekiranya separuh rakyat Melayu mendukung sayap kiri, dan seterusnya.
Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua.Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua.Tetapi dalam peristiwa sebenar, sebagaimana ia berlaku, sosok kiri yang radikal semuanya menghilang pada saat akhir perundingan dan hanya gabungan UMNO-MCA yang berhasil mengaturkan syarat akhir pengunduran British dari Malaya. Jangan jadi terlalu optimis tentang ini: Britain tidak ‘melepaskan’ Malaya dengan kerelaannya, tetapi terpaksa melakukannya kerana kemusnahan ekonomi kolonialnya di saat Perang Dunia Kedua. Matlamat utamanya ketika itu adalah untuk memastikan pelaburan pentingnya di bekas tanah jajahannya tidak dimilik-negarakan, seperti dalam kes di Indonesia ketika Sukarno merampas semua aset kapital pemerintah Belanda dan memilik-negarakannya. Tidak mengejutkan, Britain mahu memastikan pelaburannya dalam bijih dan getah tidak lenyap ketika ia berundur.
Bagaimanapun kita ditinggalkan dengan beberapa hal untuk difikirkan:
Malaya (ketika itu dibawah Tunku Abdul Rahman) merundingkan kemerdekaannya dengan syarat yang membawa faedah bagi kedua pihak. British tidak ditembak hingga terburai atau dibedil hingga relai, dan sungguhpun kehilangan nyawa dalam perang gerila namun harga kemusnahan manusia adalah kurang berbanding apa yang dipertaruhkan di Vietnam dan Indonesia. Sebaliknya, dalam tiga negara di mana perjuangan anti-kolonial diketuai oleh pasukan tentera tempatan – Indonesia, Vietnam dan Burma – tentera tempatan itu kemudian mengambil alih kuasa dan beraksi secara langsung dalam politik dalam dekad seterusnya. Seandainya perang yang sama dicetuskan di Malaya, mungkinkah lahir situasi di mana tentera nasionalis meraih kuasa juga, dengan jeneral dan kolonel mengambil alih kerajaan sepertimana mereka lakukan di Vietnam, Indonesia dan Burma?
Yang mana satu dari hal itu yang telah menyeret perdebatan kita tentang ‘perundingan berbanding dengan perjuangan’. Cuba lakukan penerbangan ke Vietnam atau Indonesia dan di mana saja anda akan menyaksikan tugu pejuang-kebebasan, jeneral, kolonel, pemimpin gerila dan lain-lain. Generasi kepimpinan Malaya yang pertama, sebaliknya, hampir tidak pernah melepaskan satu tembakan atau menikam seseorang dengan pisau belati. Tetapi adakah itu perkara yang buruk? Sementara saya memahami nilai patriotisme dan keberanian dalam menghadapi musuh; seseorang harus juga bertanya: jika dan apabila kita dihadapkan dengan musuh yang mahu berundur yang ingin merundingkan syarat pengunduran, patutkah kita berunding atau berlawan? Saya secara peribadi merasa muak dengan kesemua percakapan kejantanan yang menzahirkan sifat macho dan aksi heroik, dan dengan terus terang benci pada semua lagak keganasan. Melihat pada India, kita harus ingat bahawa sementara terdapat nasionalis India yang bersedia untuk bertempur dengan kekuatan militer British (seperti Subhas Chandra Bose), kemerdekaan India juga dirundingkan – melalui kaedah pembangkangan sivil yang pasif dan penentangan yang berterusan, daripada menggunakan senapang dan bom. Hal yang sama boleh diungkapkan tentang Afrika Selatan, dimana dasar Apartheid ditundukkan oleh tuntutan akhlak yang tinggi daripada tenggelam ke tahap yang sama dengan keganasan regim.

Negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik..Negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik..PATUTKAH nasionalis Melayu memilih untuk berunding atau berjuang ketika itu? Sekarang dengan jujur saya tidak melihat bagaimana persoalan ini dapat dijawab secara objektif oleh sesiapa (walau saya sendiri). Apa yang boleh kita katakan, dengan sedikit kepastian, adalah dalam kes negara-negara di mana gerombolan nasionalis militia/askar tempatan menentang cengkaman penjajah hasilnya adalah campurtangan militer, dan penerusan pengaruh militer dalam politik. (Pasukan tentera Indonesia di bawah pentadbiran Sukarno dan Suharto menuntut hak untuk menubuhkan kuasa politik, berdasar pada sejarah institusinya dan peranannya dalam perang menumpaskan penjajah.) Apakah yang berlaku sesudah itu? Berkemungkinankah Tanah Melayu/Malaysia dengan itu menjadi negara militer? Kita sama sekali tidak tahu, dan spekulasi yang melangkaui hal ini, adalah, sia-sia.

Asas dari kebuntuan yang berakar dalam politik Malaysia kini nampaknya berlegar pada persoalan siapa yang menulis sejarah negara kita dan siapa yang mentafsir/memaknakannya. Kemungkinan salah satu alasan mengapa kita terus saja mengulangi perdebatan ini adalah kebimbangan bahawa sejarah kita tidak cukup inklusif sebagaimana sepatutnya. Kita tidak boleh menafikan bahawa akhirnya pakatan UMNO/MCA yang memenangi syarat kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957. Tetapi kita juga tidak dapat, dan tidak wajar, menafikan peranan yang dimainkan oleh kumpulan lain termasuk gerakan kesatuan peniaga, gerakan sekerja, media yang masih mentah ketika itu, golongan inteligensia anak watan, budayawan, aktivis Islam dan pejuang kiri kesemuanya. Kesemua mereka adalah sebahagian daripada keseluruhan drama yang kita nyatakan sebagai sejarah negara kita. Dan sejarah negara kita harus menjadi jelas begitu: suatu rakaman Sejarah Negara yang memperlihatkan kerumitan dan kepelbagaian daripada hal yang kompleks ini yang dipanggil ‘Malaysia’.

Kekesalan saya, sebagai ahli akademik yang tidak mempunyai pilihan, adalah nilai objektiviti dan keseimbangan telah lama meninggalkan pentas dan terlontar keluar dari jendela. Namun kita tidak harus lupa bahawa kisah sejarah yang dipintal menurut acuan yang pincang dan berat sebelah tidak sekadar menggambarkan catatan silam yang tidak benar atau tidak sempurna; malah turut menjadi legasi yang terputus yang sedihnya akan diwariskan pada generasi akan datang. Dan hal itu bukan satu kehilangan kepada salah seorang daripada kita, tetapi kepada semua.


Dr. Farish A. Noor adalah Felo Penyelidik Kanan di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University NTU, Singapura dan penulis buku Islam Embedded (Vol: I & II) —The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS (1951-2003). Penerbit: Malaysian Sociological Research Institute, Kuala Lumpur
Tahun: 2004 ISBN: 983-99866-8-6.



Dakwat kekal: Kabinet setuju, Nazri kata tidak tahu
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Kabinet telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut laporan sebuah akhbar bahasa Cina.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan seumpama itu.

Memetik sumber, laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini menyebut, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam, lapor Malaysiakini.

Laporan itu berkata kabinet berpandangan dakwat kekal lebih
sesuai, berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan telah diguna dengan jayanya oleh beberapa negara untuk menghindari pengundian berganda.

Ketika dihubungi hari ini, Nazri berkata: "Saya juga tak tahu."

Beliau menjelaskan bahawa keputusan kabinet adalah untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Raya memutuskan semua isu yang berkaitan dengan reformasi pilihan raya.

Sebelum ini, Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa semua cadangan berhubung reformasi pilihan raya perlu dibincang dan diputuskan oleh jawatankuasa khas berkenaan.

Jawatankuasa khas itu yang akan dibentuk dalam sidang parlimen akan datang - mulai 3 Oktober ini - dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu ekoran tekanan pembangkang dan pertubuhan sivil untuk reformasi sistem pilihan raya.

Pembangkang masih belum memutuskan sama ada akan menyertai jawatankuasa khas itu, dan mendakwa Najib gagal menunjukkan komitmennya untuk reformasi pilihan raya.

Menjelang pilihan raya umum 2008, SPR pernah membuat pengumuman akan menggunakan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundian berganda namun ia dibatalkan kemudiannya.

Difahamkan, arahan pembatalan itu dibuat oleh kerajaan BN pimpinan Umno walaupun pengumumannya dibuat oleh Pengerusi SPR ketika itu.

Baru-baru ini, Bersih 2.0 mengumumkan antara tuntutan badan itu adalah penggunaan dakwat kekal di samping tujuh lagi tuntutan.

Pengerusi SPR pula mengumumkan, penggunaan dakwat kekal lebih realistik untuk mengelakkan pengundian berganda berbanding dengan sistem biometrik yang dicadangkan kerajaan.

Ekoran pengumuman itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bersetuju jika SPR ingin menggunakannya dalam pilihan raya ini tetapi mengingatkan ini hanya satu dari lapan tuntutan Bersih yang turut disokong PAS.




5,000 warga Myanmar jadi pengundi di Terengganu
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ribuan warganegara asing dengan 5,006 orang daripadanya dikenalpasti warganegara Myanmar telah disenaraikan sebagai pengundi oleh SPR untuk mengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Daripada angka itu, seramai 2,272 orang akan mengundi dalam Parlimen Kemaman, manakala 1,979 orang akan mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal yang diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi pihak BN.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan, data tersebut telah dikesan oleh pihaknya sepanjang tahun ini dan ia membuktikan betapa kotornya permainan politik para pemimpin Umno BN.

Menurut beliau, dengan angka tersebut, Parlimen Kemaman dan Dun Kijal sudah boleh dimenangi oleh BN dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dengan hanya menjadikan warga Myanmar sahaja sebagai pengundi.

Katanya, dengan itu, kemenangan yang diperolehi oleh BN dalam PRU itu khususnya bagi kerusi Parlimen Kemaman dan Dun Kijal adalah kerana warganegara asing dari Myanmar.

"Sebenarnya PAS Terengganu juga telah dapat mengesan kemenangan BN bagi Parlimen Kemaman dan Ahmad Said di Dun Kijal dalam PRU Ke-13 pada tahun 2008 lalu adalah juga kerana pengundi warganegara Myanmar.

"Proses untuk membolehkan warganegara Myanmar itu menjadi pengundi dilakukan di Langkawi, tetapi mereka mengundi di Terengganu. Kini cara yang sama juga turut dilakukan oleh Umno BN bagi menghadapi PRU Ke-13 nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain warganegara Myanmar, menurut beliau,Umno BN turut menjadikan warganegara lain bagi mengundi di pihak mereka di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Katanya, jumlah warganegara asing yang akan dijadikan pengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti cukup besar sehingga ribuan orang.

"Pengalaman kami di Terengganu dalam berhadapan dengan pengundi-pengundi hantu, pada tahun 2004 kenaikan pengundi sebanyak 17 peratus iaitu hampir 170,000 pengundi baru dari Pahang dan Selangor.

"Pihak PAS telah pun membuat bantahan mengenai kemasukan pengundi-pengundi hantu itu kepada SPR dalam PRU tahun 2004 lalu tapi tidak dipedulikan oleh SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Kini, tindakan tidak bertanggungjawab itu, tegasnya, semakin menjadi-jadi yang membabitkan sindiket pakatan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sehingga turut diajadikan penduduk sementara pula sebagai pengundi hantu atau pengundi bertindih.

Katanya, 44 kes pengundi bertindih telah dilaporkan oleh beliau kepada SPR baru-baru ini yang melibatkan pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan berwarna hijau pula yang sama tetapi berbeza angka bagi dua digit terakhir.

"Laporan kami mengenai seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan itu diterima dan turut diakui oleh SPR dan SPR berjanji akan mengatasi masalah seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan," katanya.

Bagaimanapun, janji SPR itu seperti mempunyai muslihat tertentu kerana perkara asas yang ditekankan oleh PAS bukan seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan, tetapi salah satu kad pengenalan tersebut berbeza dua digit terakhirnya dengan kad pengenalan individu terbabit yang satu lagi.

"Permainan politik kotor BN dengan sindiket SPR dan JPN itu tidak akan dibiarkan oleh PAS. PAS tetap akan terus membuat bantahan dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan masalah ini," tegas beliau.


Tiada ulasan: