Rabu, 7 September 2011

HUKUM MENYEKAT PERKEMBANGAN ISLAM DOSA BESAR ...DAN BOLEH MEROSAKKAN IMAN..DULU DAKWAH RASULULLAH SAW DISEKAT OLEH ABU LAHAB DAN KAFIR QURISY..KIASLAH

Pihak berkuasa agama: Permudah jangan menyusahkan
Nasrudin bin Hassan
1. Usaha memberikan peringatan, tunjuk ajar agama, nasihat dan bimbingan hidup kepada ummat Islam dizaman mereka terkepung dalam dunia jahiliyyah moden hari ini adalah suatu tindakan yang sangat mulia.
Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. : sesiapa yang telah menunjuk jalan kebaikan di dalam Islam maka baginya pahala [ atas tindakannya ] dan pahala orang yang melaksanakan kebaikan tersebut.

Firman Allah swt surah Fussilat : ayat 33 bermaksud :
"Siapakah yang lebih baik perkataannya berbanding mereka yang mengajak manusia kembali kepada Allah dan beramal soleh dan berkata sesungguhnya aku terdiri dari kalangan orang - orang yang menyerah diri kepada Allah swt.
2. Masjid dan surau adalah antara tempat strategik dan sistematik untuk menyampaikan Islam dan mengukuhkan kefahaman ummat Islam terhadap cara hidup berlandaskan syariat Islamiyah. Ia bagai benteng akhir bagi ummat Islam untuk berpaut guna menyelamatkan fikrah dan aqidah mereka. Terlalu sukar untuk mencari kelas atau majlis pengajian Islam secara terancang dan sistematik selain masjid dan surau.
3. Alangkah malang bagi masa depan ummat Islam jika masjid dan surau juga terdapat kekangan atau halangan untuk menyampaikan Islam dan peringatan kepada ummat Islam agar menjalani kehidupan berasaskan panduan dan pedoman agama. Selain daripada institusi atau pusat pengajian Islam, di mana lagi ummat Islam dan masyarakat awam boleh duduk bersimpuh menimba ilmu secara formal dan serius jika tidak di masjid dan surau.
4. Menyampaikan Islam dan menyeru manusia agar taat dan tunduk kepada perintah Allah swt adalah perbuatan dan perkataan yang paling mulia, maka pastinya menghalang dan mengekang pengajian Islam dan penyebarannya kepada masyarakat pula adalah suatu tindakan yang paling hina.
Firman Allah swt Surah al Baqarah : 114 bermaksud:
dan siapa lagi yang paling zalim [jahat] berbanding mereka yang menghalang masjid - masjid Allah daripada disebut namaNya dan merancang pula untuk meruntuhkannya.
5. Saya yakin bahawa penyebaran Islam mesti dipantau serta dipastikan tulen prinsip dan maudhu'nya. Tetapi pastikan juga pengajian dan penyebarannya berjalan lancar tanpa sebarang kekangan terutama saat ummat Islam sangat memerlukan agamanya untuk hidup selamat dan diredhai oleh Allah swt.
6. Tauliah adalah untuk memastikan usaha jua aktiviti penyebaran Islam dan kelas - kelas pengajiannya berjalan secara terancang, sistematik dan mampu menampung keperluan ummat Islam masa kini terhadap agama yang mereka anut. Pihak berkuasa agama mesti mempunyai suatu mekanisme yang berkesan bagaimana mengurus tauliah.
7. Tidak munasabah, seorang yang mahu menyampaikan Islam dan memberikan peringatan kepada masyarakat khasnya ummat Islam agar sedar tanggungjawab dan amanah hidup sebagai seorang muslim terpaksa berdepan dengan tindakan undang - undang semata - mata kerana isu tauliah. Munasabahnya ialah pihak berkuasa agama selayaknya membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan usaha murni tersebut bukan menyusahkan. يسروا ولا تعسروا [ mudahkan dan jangan susahkan ]. Jika tauliah menjadi isunya, kenapa tidak ditauliahkan kepada mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan.
8. Hari ini, tauliah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan para pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam dan mendidik ummah sedang situasi di luar sana, ummat Islam sedang terperangkap dalam iklim sosial yang mendorong mereka untuk rosak dan binasa akhlak, pemikiran dan aqidah mereka. Apakah pihak berkuasa agama tidak peka perkara ini ?
9. Saya masih ingat Allahyarham Tuan Guru Hj Musthafa Abu Bakar Pengasas Pondok Pasir Tumbuh turut menjadi mangsa tauliah apabila Al Marhum ditahan kerana mengajar di Hulu Besut seketika dulu, sehinggalah Almarhum Tuan Guru kembali kerahmatillah, kesnya belum selesai. Malah ramai tuan - tuan Guru yang memiliki lautan ilmu untuk mendidik ummah menjadi mangsa tauliah. Terbaru Dr Asri Zainal Abidin mantan mufti Perlis dan sebelumnya Ust Fathul Bari sebelum menyertai Ulama' Muda UMNO
10. Masjid dan surau terlalu banyak, ruang pengajian dan dakwah yang perlu dimanafaatkan juga terlalu banyak. Cendikiawan Islam yang diiktiraf ilmu mereka oleh Universiti di mana mereka menuntut dan akhirnya pula dengan segulung ijazah, master atau Phd juga terlalu ramai, tetapi berapa jumlah tauliah yang dikeluarkan ? Jika Tuan - Tuan Guru, alim ulama', para ilmuan Islam, cendikiawan muslim masih belum layak mendapat tauliah, kriteria bagaimana yang layak untuk dapatkan tauliah tersebut? atau pihak berkuasa agama nantinya digelar sebagai Pihak Penghalang Agama !
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Dr Asri kecam tindakan Jais
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin (gambar) menyifatkan apa yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sekarang adalah mengekalkan sistem penjajah untuk mengekang agama sendiri.

Sehubungan itu, beliau yang melahirkan simpati terhadap anggota parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang didakwa Jais semalam berkata, "jangan hairan jika ramai orang murtad..kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama."

Asri mengulas tindakan Jais yang mendakwa Khalid semalam dan akan dibicarakan di Mahkamah Syariah Klang 24 November depan kerana memberikan tazkirah di sebuah surau tanpa tauliah dari Jais.

Sebelum ini, Asri juga adalah menjadi mangsa Jais apabila beliau dikepong oleh penguatkuasa Jais ketika sedang memberikan kuliah agama seumpama penjenayah.

Khalid dipanggil ke pejabat Jais Shah Alam semalam dan dibebaskan dengan jaminan mulut oleh pembantunya sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadhan pada 16 Ogos lepas di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Turut menerima tindakan dari Jais adalah Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman apabila tauliah beliau ditarik pada bulan Ramadhan baru-baru ini.

"..simpati apabila ada ahli Parlimen yang diambil tindakan oleh Jais kerana memberi tazkirah..sekalipun tiada bukti ada kesalahan dalam tazkirah tersebut.

"Begitulah susahnya berdakwah..sistem penjajah dipakai untuk mengekang agama sendiri..jangan hairan jika ramai orang murtad..kuasa agama untuk menyusahkan perkembangan agama," tulis Asri dalam Facebook.

Bagi beliau, tindakan Jais ini seumpama arahan Nabi s.a.w "Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat" dimansuhkan.

Bagi Dr Asri, perkara ini berlaku kerana pihak yang tidak layak dan berilmu sewajarnya diberikan kuasa mkenjaga agama.

"Yang tidak layak menaungi agama diberikan kekebalan yang tidak diberikan kepada al-Khulafa al-Rasyidin sekalipun..apapun yang selamat HARD ROCK CAFE jua," tulis beliau.


Khalid Samad: Jais kubu Umno di Selangor
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 7 Sept: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu memberi bukti jelas bahwa badan itu merupakan kubu ataupun benteng terakhir Umno dalam usaha menyekat pergerakan PAS.

Ini kerana, Jais mahu menyekat PAS dari mendekati rakyat terutamanya program keagamaan yang diadakan di masjid mahupun surau.

Khalid yang didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor semalam berkata demikian ketika mengulas tindakan Jais ke atas beliau itu.

“Saya melihat apa yang jua yang dilakukan oleh Jais ini hanyalah bermotifkan politik dan pendirian saya jelas bahawa Jais merupakan kubu Umno serta merupakan benteng terakhir mereka untuk menyekat segala pergerakkan yang dilakukan oleh PAS.

"Enakmen yang diguna pakai oleh mereka adalah yang digubal semasa pemerintahan mereka dan dengan cara ini sahajalah mereka dapat membuat apa yang mereka suka lebih-lebih lagi apabila sudah hampir dengan pilihanraya,” jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya di Kuala Terengganu mendakwa Umno terlibat di belakang operasi memeriksa yang dibuat Jais ke atas gereja methodist Damansara Utama.

Ekoran itu, Umno Selangor mahu menyaman beliau dan Mustafa menjawab beliau akan memberikan buktinya dalam mahkamah nanti.

Dalam pada itu, Khalid tidak menolak Jais bukan sahaja menyekat pergerakan PAS tetapi juga ingin menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat.

“Jelas kerana semuanya bermotifkan politik dan Umno berada dalam ketakutan, mereka bukan sahaja ingin menghalang PAS tetapi juga ingin menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat.

“Sepatutnya Intitusi ini bertujuan menyebarkan pengetahuan tentang Islam tetapi sekarang semuanya telah berubah mereka pula yang menghalang.

“Selama tiga tahun kita telah cuba mencorak Jais dengan pendirian Islam memerintah bukannya diperintah tetapi Jais tetap berkeras dengan pendirian lama mereka yang mahukan pentauliahan jika ingin menyampaikan tazkirah kecuali di rumah sahaja,” katanya lagi.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya akan terus lawan untuk menegakkan Islam walaupun terpaksa hilang keistimewaan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan dengan kesalahan tersebut.

“Kalau Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup kehilangan segala-galanya dalam mencari keadilan kepada gadis Melayu sebelum ini kenapa kita ingin takut untuk menegakkan Islam.

“Dari sudut undang-undang saya akan beri kerjasama sepenuhnya dan akan bersuara jika tindakan tersebut bertentangan dengan apa yang Islam inginkan,” sambungnya lagi.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.


Tanpa tauliah Dr Rani akan terus sebarkan Islam
Harakahdaily

SHAH ALAM, 7 Sept: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman berkata, tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menarik balik tauliah mengajar agama tidak akan menyekat dari beliau memberikan kuliah agama.

"Saya akan teruskan, takkan kerana tidak ada tauliah ini akan menyekat saya bercakap tentang agama," kata Dr Rani (gambar) kepada Harakahdaily.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan, Adun Meru itu berkata, sementara menuntut penjelasan daripada Jais atas tindakan mereka itu, beliau akan terus memberi kuliah agama di masjid dan surau, tidak kira tindakan yang hendak diambil oleh Jais kelak.

“Saya cuma menyampaikan kuliah menyentuh kebenaran tentang Islam. Tak akan saya tidak boleh berbuat demikian, tidak boleh cakap mengenai Islam? Saya akan teruskan kuliah saya di masjid, jika mereka kata salah, bawa saya ke mahkamah, kita jumpa di mahkamah,” katanya lagi.

“Apapun kami akan bertemu dengan Jais untuk mendapatkan bukti, minta mereka tunjuk bukti... alasan mereka membatalkan tauliah yang diberikan kepada saya,” kata beliau lagi.

Harakahdaily semalam menyiarkan berita tindakan Jais menarik balik tauliah yang diberikan kepada beliau setahun lalu.

Penarikan itu dibuat dalam satu surat yang dihantar Jais kepadanya bulan Ramdhan lalu.

Harakahdaily juga menyiarkan tindkan Jais mendakwa anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Dr Rani adalah Pesuruhjaya PAS Selangor menakala Kahlid adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Dr Rani dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor Jun lalu bagi menggantikan Datuk Dr Hassan Mohamad Ali yang juga Exco kerajaan Selangor yang mempengerusikan portfolio agama dan indrastruktur.

Dr Rani mendedahkan beliau juga difahamkan ramai lagi pemimpin PAS Selangor dan dari negeri-negeri lain turut telah ditarik balik tauliah yang membenarkan penyampaian kuliah agama di negeri paling kaya di Malaysia itu.

Bagaimanapun beliau tiada jumlah angka yang tepat mengenai pemimpin-pemimpin PAS yang terbabit.

"Saya difahamkan ramai lagi pemimpin PAS sudah ditarik balik tauliah, tidak disambung tempoh kelayakan tauliah,” kata beliau.

“Saya fikir ia ada kaitan dengan politik, kerana pilihan raya sudah dekat... mereka sedar pemimpin-pemimpin PAS sudah semakin dekat dengan rakyat... mereka yang datang ke masjid dan surau, yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata beliau sambil menambah, pihaknya akan mengadakan satu sidang media penghujung minggu ini bagi memberi penjelasan tentang perkembangan terbaru.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mendakwa, Umno terlibat di belakang Jais dalam isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama.

Malah kata Dr Rani, Badan Perhubungan PAS Selangor akan membuat pendirian pada mesyuarat bulanannya minggu depan.


Tiada ulasan: