Jumaat, 30 September 2011

TAK JAWAB DIDUNIA...AKHIRAT KENA GAK JAWAB...JIKA BATIL ATAU SELEWENG....MAKA NERAKA LAH TEMPAT PALING AULA...BEGITU JUGA YANG LAWAN ALLAH

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011


Najib belum jawab kos selenggara rumah RM49 juta | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Ketika Datuk Seri Najib Razak cuba menonjolkan imejnya berjiwa rakyat termasuk ‘menaiki bas’ dan berbasikal, Perdana Menteri itu masih gagal menjawab kos selenggara kediaman beliau dan timbalannya yang menelan belanja RM50 juta setahun.

Kediaman rasmi Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing di Sri Perdana dan Seri Satria, dimiliki Putrajaya Holdings Sdn Bhd dan disewa kerajaan Malaysia.

Keadilan Daily melaporkan, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, beliau mempersoalkan mengapa kos selenggara kediaman PM dan TPM menelan belanja jutaan ringgit.

“RM200 juta diguna untuk membina kediaman PM dan kenapa akhirnya terpaksa menyewa daripada Putrajaya Holdings. Maintainence (elektrik dan air) sebenarnya tak boleh dari 10 peratus dari kos pembinaan. (Tetapi) Ini RM10 juta setahun, satu angka yang tidak masuk akal,” katanya.

Katanya, ia menyerlahkan sikap boros pentadbiran Najib yang gemar berbelanja mewah, tetapi pada masa yang sama cuba menonjolkan imejnya yang berjiwa rakyat.

“Najib dilahirkan dari keluarga yang mewah dan sesungguhnya tidak tahu menahu kesusahan rakyat. Oleh sebab itu pembaziran menjadi sebahagian hidup beliau,” katanya yang turut mengaitkan isu pembelian cincin bernilai RM24 juta oleh oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Justeru itu katanya, Ketua Audit Negara perlu memberikan penjelasan.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud yang membangkitkan soalan itu di parlimen sebelum ini, Najib sehingga kini masih belum menjawab isu berkenaan.

“Selepas kita membuat sidang media, tidak ada pihak bagi jawapan balas menjelaskan kepada kita kenapa kos begitu tinggi, macam isu tu disenyapkan begitu sajaha. Itu lah realiti pengurusan di peringkat tertinggi sedangkan Najib mengarahkan rakyat supaya berjimat cermat,” ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan menyewa dari Putrajaya Holding yang memerlukan kerajaan membayar secara komited kepada pemaju itu setiap bulan.

“Yang kita tahu, keseluruhan Putrajaya Holding ini disewa bermakna kerajaan mempunyai komitmen bulanan kerana ia bukan aset kerajaan. Jika dibuat kos analiss jangka panjang, saya rasa kerajaan rugi,” katanya.

Dalam jawapan bertulis menteri di Jabatan perdana Menteri pada Jun lalu, sejumlah RM48.8 juta dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.

Kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu didedahkan berjumlah RM33 juta sementara kos baik pulih pula RM3.6 juta setahun.

Lebih memeranjatkan, bil elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya sahaja berjumlah RM10 juta dan bil air pula mencecah RM1.9 juta untuk tempoh yang sama.

Pada Disember 2008, iaitu pada masa pentadbiran perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan menjelaskan sewa bagi kediaman PM di Seri perdana hanya pada sekitar RM4.15 juta. Manakala RM2.74 juta lagi dibayar bagi sewa kediaman TPM di Seri Satria.


Tuduh PAS tapi terserlah Umno khianati Melayu | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Hipokrasi Umno semakin terserlah dan terbukti dengan keghairahan menghapuskan kuota Bumiputera 30 peratus, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Selama ini, tanpa segan silu Umno berlagak sebagai pejuang Melayu, tetapi hakikat sebenarnya semua itu hanyalah untuk memperdayakan orang-orang Melayu supaya menyokong parti yang dinamakan parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu," katanya.

Mahfuz mempersoalkan di mana suara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cakap berdegar-degar kononnya beliau "Malay first and Malaysian second"?

Bukan sahaja di peringkat pimpinan yang menunjukkan hipokrasi, katanya, malah ahli-ahli Umno yang selama ini terjerit-jerit seperti kerasukan kononnya membantah penghapusan DEB (Dasar Ekonomi Baru) juga diam menikus.

Dari pemimpin tertinggi Umno sehinggalah ahli yang terjerit-jerit di tepi jalan, kata beliau, semuanya amat jelas hipokrasi tahap tertinggi mereka.

"Mana dia muka-muka yang selama ini menabur fitnah jahat kononnya PAS tidak pedulikan orang-orang Melayu lagi kerana berada dalam Pakatan Rakyat (PR)?

"Ironinya, semakin kuat Umno menjerit menuduh PAS kononnya tidak pedulkan orang-orang Melayu, semakin terdedah perbuatan Umno mengkhianati orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengulangi lagi keinginannya untuk menghapuskan kuota 30 peratus untuk Bumiputera sebagai tindakan tidak tentu arah untuk menutup kegagalan pemerintahan Umno mencapai kuota tersebut.


60 tahun perjuangan PAS dalam kerangka demokrasi | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Menjelang Sambutan 60 Tahun PAS yang bermula malam ini, PAS menjelaskan bahawa aktiviti dan perjuangannya adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, aktiviti dan perjuangan PAS yang dimaksudkan termasuklah:

1. Soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain
2. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing
3. Kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu dan
4. Kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Kenyataan itu turut menyatakan dengan jelas komitmen PAS untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Buku Jingga.

PAS turut berjanji untuk terus berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat.

Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim berkata PAS turut memberikan jaminan akan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

Menyentuh mengenai perbezaan pendapat dengan DAP dalam melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menjelaskan bahawa perbezaan tersebut berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana ujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa PAS melihat perakuan Pakatan Rakyat terhadap Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu sebagai satu hak untuk kerajaan negeri untuk memperkanunkan undang-undang tersebut.

“Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka.

"Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya,” kata kenyataan itu lagi.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Pejabat Agung PAS malam semalam telah mengambil pendirian akan mempertahankan segala dasar yang dipersetujui bersama di samping menghormati perbezaan ideologi di antara ketiga-tiga parti khususnya dalam isu hudud.

Kesemua komponen parti katanya memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

"Kita mendengar penjelasan Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili kerajaan Kelantan bahawa perlaksaan hudud di negeri itu hanya boleh dibuat dengan pindaan perlembagaan persekutuan.

"Kita tidak boleh menafikan mana-mana hak PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan pandangan termasuk dalam isu syariah.


Taib terus berkuasa, kekalkan menteri ‘yes boss’ | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Pengumuman kabinet baru Sarawak yang telah diumumkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud merupakan senarai kabinet yang telah dijangka.

Ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) berkata, tidak banyak perubahan yang dilakukan di dalam kabinet baru Sarawak kali ini.

Katanya, beberapa perkara yang perlu bagi Pemuda PAS Sarawak ingin tekankan berkenaan barisan kabinet baru Sarawak kali ini.

Menurutnya, hampir semua muka-muka lama masih lagi dikekalkan sebagai menteri penuh kabinet Kerajaan Negeri Sarawak.

Kelmarin, Taib mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan hanya seorang Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Jabu Anak Numpang.

Semua menteri dikekalkan portfolio masing-masing kecuali Datuk Fatimah Abdullah dilantik menerajui Kementerian baru, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Tujuh muka baru dilantik Menteri Muda iaitu Datuk Len Talif Salleh, Julaihi Narawi, Liwan Lagang, Abdul Karim Rahman Hamzah, Dr Jerip Susil, Rosey Yunus dan Robert Lawson Chuat.

Ini, ujar Arifiriazul jelas menunjukkan bahawa Taib ingin mengekalkan penguasaan beliau dalam pengurusan pentadbiran Negeri Sarawak bagi menjaga kepentingan-kepentingannya.

“Hampir semua portfolio masih lagi dipegang oleh muka-muka yang sama seperti kabinet yang lepas dengan hanya satu perubahan portfolio dan satu menteri penuh yang lepas digugurkan menjadi menteri muda,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, kata beliau jelas menunjukkan bahawa Ketua Menteri yang sedia ada tiada banyak pilihan dalam barisan kepimpinannya yang berkemampuan untuk dilantik dalam senarai kabinet negeri.

Ini juga, tambahnya menunjukkan bahawa sekali lagi, Ketua Menteri yang sedia ada jelas ingin mengekalkan penguasaannya dalam kabinet negeri dengan mengekalkan semua menteri-menteri ‘Yes Boss’.

Katanya, kabinet Sarawak kali ini hanya mengemukakan tujuh muka baru sebagai Menteri Muda yang sebenarnya tidak membawa dan menggambarkan perubahan yang besar terhadap dasar pentadbiran kerajaan negeri.

“Pemuda PAS Sarawak cukup kecewa selaku wakil kepada golongon muda dan membawa aspirasi golongan belia di Sarawak apabila tiada golongan muda dilantik di dalam kabinet negeri kali ini,” ujarnya.

Ini, katanya jelas berbeza dengan kenyataan Ketua Menteri beberapa hari yang lepas yang inignkan golongan muda bersama-sama dalam pengurusan negeri dan kerajaan tempatan.

“Dengan pengumuman kabinet baru ini dan mengekalkan muka-muka lama dalam pentadbiran kerajaan negeri jelas sekali menunjukkan bahawa janji Ketua Menteri dan Barisan Nasional untuk membuat peralihan kuasa kepada Ketua Menteri baru adalah retorik politik semata-mata,” katanya lagi.

Justeru, kata beliau Pemuda PAS Sarawak menyeru seluruh rakyat negeri Sarawak untuk memulakan proses perubahan pentadbiran kerajaan negeri yang lebih bertanggungjawab, lebih telus dan lebih kompeten bagi mencapai kemaslahatan umum bagi semua rakyat Sarawak.

Menurutnya, proses perubahan ini jelas tidak akan dapat dilakukan dengan mengekalkan pentabir kerajaan negeri yang sedia ada.

“Perubahan ini hanya dapat dilakukan dengan menyeluruh dari luar dengan memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang akan datang,” katanya.

Tiada ulasan: