Selasa, 27 September 2011

AL MULK...INGATLAH KERAJAAN ALLAH YANG MAHA BESAR DILANGIT DAN BUMI...JANGAN KITA MELAMPAUI BATAS...SEKSAAN ALLAH MAHA BERAT.....

Skim al It’aam lonjak pasaran beras tempatan
Sutan Habib

KOTA BHARU, 27 Sept: Skim bantuan beras percuma (Al-It’aam) yang dilaksanakan di Kelantan mulai Febuari lalu berjaya meningkatkan permintaan beras tempatan sehingga 80 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi Negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Pengilang-Pengilang Padi Bumiputera Pantai Timur, Zakiron Zahid.

“Walau pun mulanya hanya untuk membantu meringankan bebanan rakyat miskin, namun ia turut membantu pengilang-pengilang padi, pengedar-pengedar dan peniaga beras tempatan.

”Bahkan turut membantu para penanam padi. Program ini memberi manfaat kepada 8,100 penduduk miskin, di mana setiap bulan mereka menerima beras sebanyak 10 kg setiap seorang,” katanya pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2011 di sini kelmarin.

Program dwitahunan itu bertema ‘Pemangkin Kecemerlangan Pertanian Kelantan’ diadakan Dataran Stadium Sultan Muhammad ke-IV bermula 21 September sehingga 2 Oktober ini.

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama Timbalan Menteri Buruh Thailand, Vitsa Khanthap dan jurucakap Jabatan Perdana Menteri Thailand, Paijitra Argsornnarong.

Che Abdullah berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta tahun ini bagi mengendalikan skim bantuan beras tersebut.

”Program Skim Al-It’aam merupakan yang pertama diadakan di Malaysia bagi membantu rakyat miskin di Kelantan.

”Program serupa juga pernah dirancang Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2009, bagaimanapun ditangguhkan sehingga sekarang,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut melancar program ’Bertani Satu Ibadah’ bagi menerapkan amalan agama dalam bidang pertanian.

Bertani Satu Ibadah

Menurutnya matlamat pelaksanaan ‘Bertani Satu Ibadah’ untuk mencapai matlamat Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara 2015.

Beliau juga berkata, program Hari Peladang tahun ini turut menarik minat pelabur-pelabur dari luar negara datang melihat pencapaian bidang pertanian di Kelantan.

Katanya, pelabur terbabit termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Australia dan Thailand berminat mengintai peluang di negeri ini.

Menteri Besar berkata, kaum Saba’ mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang pertanian sehingga mampu mencipta teknologi canggih dan empangan sejak zaman lampau lagi.

“Pembinaan empangan dan saliran yang baik mampu menghasilkan hasil pertanian yang berlipat kali ganda. Ini membuktikan aktiviti pertanian sudah lama sebati dalam kehidupan manusia.

“Di Kelantan dasar pertanian dicetus berdasar kepada dasar Membangun Bersama Islam bagi memastikan segala kerja buat diredhai Allah SWT,” katanya.

Sementara itu pengusaha industri mee kuning dari Kuala Krai, Nor Aziah Ariffin diumumkan penerima anugerah Usahawan Industri Asas Tani, manakala kategori Usahawan Tani Jaya dimenangi Zulkifli Awang.

Selain kategori Perternak Jaya Ruminan (Zulkifli Mohd Zin), Perternak Jaya Bukan Ruminan (Deraman @ Mohammad Jaafar), Perikanan Jaya (Saat Abdullah), Usahawan Laut Dalam Jaya (Nazori Yusof).

Peladang Jaya Lelaki (Mohd Noor Awang Hamat), Peladang Jaya Wanita (Norma Abdullah), Peladang Jaya Muda (Zairi Abdullah), Nelayan Jaya (Che Hashim Che Mamat), Nelayan Muda Jaya (Che Mohammad Che Hashim) dan Kunita Jaya (Kunita Jaya Sri Kemanyang.

Kategori Kelompok Jaya dimenangi Projek Kelompok Pemulihan Tanah Terbiar Kampung Slow Kulim, Teliar, Pasir Mas dan Kumpulan Pengembangan Wanita Jaya (KPW Kampung Renok Baru Gua Musang).


Siasatan Bersih 2.0: Suhakam tunggu maklum balas polis | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) masih menunggu maklum balas dari polis berhubung dengan siasatan mereka terhadap perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu.

Ini kerana, sehingga kini, Suruhanjaya sedang menunggu maklumbalas dari pihak Polis atas permohonannya, dan peringatan seterusnya telah dikemukakan berhubung tujuan untuk menemubual Personel Polis yang bertugas semasa perhimpunan 9 Julai awam.

(Antara mangsa tembakan gas pemedih mata polis terhadap peserta perhimpunan Bersih 2.0)

Demikian kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataannya hari ini.

Suruhanjaya telah memutuskan untuk mengadakan Siasatan Awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh Naib Pengerusi Suruhanjaya Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi b Haji Abdul Majid dan Encik Detta Samen.

Menurut Hasmy, sehingga 27 September, Suruhanjaya telah menyiapkan semakan penghujahan awam yang telah diterima daripada orang ramai dalam bentuk dokumen, kenyataan-kenyataan dan rakaman video, dan telah mengenal pasti saksi-saksi.

Ia kini dalam proses melengkapkan sesi temubual dengan saksi-saksi dan juga sedang mengatur untuk mendapatkan keterangan beberapa saksi yang tinggal di luar Lembah Klang, katanya.

Suruhanjaya, katanya, akan menetapkan dan mengumumkan tarikh pendengaran untuk Siasatan Awam tersebut sehingga proses temu bual berakhir.


Penduduk Kg Baru diajak tolak rang undang-undang | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mengharapkan lebih ramai penduduk Kampung Baru tampil ke depan bagi mendesak kerajaan menarik balik bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru di Parlimen pada bulan Oktober nanti.

Isu utama yang mereka bangkitkan adalah imuniti yang diberikan kepada rang undang-undang ini.

Desakan itu dibuat kepada kerajaan khususnya Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

"DPPKT sanggup menyediakan ruang buat penduduk Kampung Baru menyuarakan rasa hati mereka jika mereka sanggup berbuat demikian. Ini kerana isu Kampung Baru bukanlah isu politik yang boleh dipolemikkan. Ia adalah isu Orang Melayu dan survival Orang Melayu di Kuala Lumpur bergantung kepada isu Kampung Baru," kata Mohamad Shuhaimi Abdul Aziz (gambar) , Ketua Pemuda PAS Titiwangsa.


Mereka juga menyokong desakan Salahuddin Ayub supaya Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru ditarik balik kerana ia tidak matang untuk dibentangkan di Parlimen nanti.

"Mengapa kerajaan perlu tergesa-gesa untuk membentangkan di parlimen sedangkan majoriti penduduk masih tidak faham, bahkan ramai yang menolaknya? Mungkinkah ada sesuatu kepentingan lain disebalik pembentangan Rang Undang-Undang ini tanpa pengetahuan umum?" katanya.


Ramai yang membantah kerana beberapa item yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang tersebut yang secara jelas kesannya akan mengenepikan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) sebagai pentadbir Kampung Baru yang telah mentadbir selama 111 tahun lamanya.

Yang menghairankan Pemuda PAS, mengapa perlu diwujudkan Perbadanan Kampung Baru sedangkan MAS telah sedia ada untuk mengawal dan mentadbir Kampung Baru.

Jika MAS bermasalah, ia perlu diperkemaskan dan diperkasakan, bukan digantikan dengan organisasi lain, katanya.

Selain itu, penduduk Kampung Baru bimbang kerana Perbadanan ini diberikan imuniti yang membawa maksud ia tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Ia beerti Perbadanan Kampung Baru kebal dari sebarang tindakan undang-undang dengan Menteri Wilayah Persekutuan pula diberikan kuasa mutlak dalam membuat sebarang keputusan.

"Secara logiknya, sesiapa yang membaca Rang Undang-Undang ini pasti menyatakan bahawa ia jelas berat sebelah," katanya.

Pemuda PAS turut menyokong agar perkembangan referendum rakyat didedahkan kepada penduduk Kampung Baru secara telus.

Dengan referendum ini barulah diketahui benarkah penduduk menyokong Rang Undang-Undang ini atau sebaliknya.

Mereka difahamkan hanya 30 peratus penduduk memulangkan borang referendum tersebut.

Jika benar demikian, bagaimana kerajaan boleh membuat keputusan dalam keadaan majoriti penduduk tidak diketahui sikap mereka.


Justeru, DPPKT bersama penduduk Kampung Baru membantah bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru pada bulan Oktober nanti.

"Kampung Baru perlu dipertahankan, kerana hanya itulah sahaja warisan milik Orang Melayu di Kuala Lumpur ini. Sejarah akan mencatat jika ia dibentang dan diluluskan di Parlimen kelak, Kampung Baru akan hanya tinggal nama dalam buku sejarah untuk dibaca oleh generasi muda akan datang," katanya.


Tidak salah kalau sejarah dinilai kembali | Print |
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 27 Sept : "Pendapat kamu benar tapi pendapat aku belum tentu salah," jelas Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution pada satu program Wacana 'Merdeka Wajarkah Sejarah Ditulis Semula' anjuran Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Saifuddin yang menjadi panel ketiga menjelaskan sejarah negara ini tidak salah kalau dinilai ataupun ditelitikan kembali kerana itu adalah hak yang perlu diutamakan dalam memenuhi pendapat individu.

"Sejarah menjadi isu yang agak panas pada masa kini dan pelbagai isu timbul dari Mat Indera sehinggalah pada satu tahap kenyataan yang mengatakan negara ini tidak pernah dijajah, tapi apa yang ingin saya nyatakan adalah tidak salah kita menilai jika ada pendapat baru dan bukan masa untuk kita mencari siapa hero.

"Kita melihat di Filipina yang sekarang ini juga sedang hangat dengan soal sejarah disana dan pelbagai pihak mengeluarkan pendapatnya sendiri dan ini lah negara demokrasi yang mengamalkan kebebasan untuk menyatakan pendapat.

"Apa yang saya sentuh ini adalah negara Filipina bebas untuk rakyatnya persoalkan kemerdekaan tetapi di negara kita sebaliknya mereka yang berkata-kata dengan pendapat sejarah baru ditangkap serta didakwa di mahkamah," jelasnya.

Tambahnya lagi, apa jua pendapat yang dinyatakan oleh setiap individu ia tidak boleh dikatakan salah kerana tentu ada bukti-bukti terbaru yang ditemuinya dan sepatutnya kerajaan menilainya terlebih dahulu bagi mengetahui kesahihannya.

"Sejarah perlu dilihat dari pelbagai sudut dan bukannya hanya tertumpu kepada satu arah sahaja. Mungkin terdapat bukti-bukti terbaru dan dalam keadaan ini kebenaran sejarah perlu kita pertahankan kebenaran walaupun baru ditemui sehingga menimbulkan pertikaian.

"Betul yang mengatakan orang terakhir dalam perjuangan akan diraikan dan keadaan ini seumpama dalam perlumbaan larian yang mana peserta terakhir akan diraikan apabila menang sedangkan pelari sebelumnya diabaikan.

"Inilah yang berlaku dalam sejarah negara mereka yang memperjuangkan kemerdekaan akan dianggap perjuang sejarah tetapi mereka yang berjuang dari awal sejak zaman Kesultanan Melaka tidak pernah dianggap perjuang kemerdekaan, kenapa ini berlaku dan ia perlu dipersoalkan.

"Merungkai cerita Tok Janggut di Kelantan, beliau bukannya pemberontak tetapi beliau hanya memimpin rakyat yang tidak puashati dengan cukai yang dikenakan oleh Inggeris, pemimpin rakyat adakah itu juga dikatakan pemberontak.

"Kita perlu melihat Tok Janggut adalah seorang pembela bukannya pemberontak tetapi tidak pernah ada dalam pelajaran sejarah yang menjelaskan siapa Tok Janggut yang sebenarnya.

"Persoalan sedemikian yang timbul ini perlu dikaji semula dan tidak salah untuk kita mengkaji atau reformasikan kembali sejarah negara kalau ada fakta baru," sambung beliau lagi.

Saifuddin juga memberitahu sejarah terbit dari tiga faktor iaitu melalui sikap prajudis dan prasangka.


Buktikan siapa yang sokong RUU Kg Baru | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Sekretariat Pembangunan Kg Bharu (SPKB) mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) mengeluarkan senarai nama penduduk Kg. Bharu yang menyokong penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu (PPKB).

Ia ekoran belum ada perkembangan mengenai borang referendum yang diedar kepada pemilik dan pewaris tanah bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan PPKB Jun lalu.

Setiausaha Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi memaklumkan hanya sekitar 30 peratus sahaja borang dikembalikan dan tidak dapat dipastikan berapa ramai yang menyokong dan membantah.

Namun Raja Nong Chik mendakwa 30 peratus itu bersetuju dengan PPKB dan membuat keputusan untuk membacakan Rang Undang-Undang (RUU) PPKB untuk kali kedua pada sesi Parlimen Oktober depan.

"Kita minta menteri buktikanlah 30 peratus ini semuanya menyokong RUU PPKB," kata peguam yang mewakili SPKB, Zulhazmi Sharif pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang melantik beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam PPKB sedangkan Kg. Bharu sudah ditadbir MAS ejak 111 tahun lalu.

"Kenapa nak libatkan lima NGO ini dalam PPKB? Apa kena mengena NGO ini dengan Kg. Bharu? Saya yakin mereka ada kepentingan masing-masing. Belum apa-apa lagi dah dengar nak projek sana sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPKB, Mohd Nor Hassan mempertikai RUU PPKB yang dilihat banyak membelakangkan mereka sebagai pemilik dan pewaris tanah.

Beliau berkata, majoriti pemilik dan pewaris tanah termasuk dirinya menolak RUU PPKB kerana ia tidak memberi jaminan bahawa hak mereka akan dipertahankan sekiranya bersetuju dengan cadangan itu.

"Perkara yang asal tidak diubah malah dimasukkan semula dalam rang undang-undang...maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata untuk bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru kepada kami.

"Malah ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuas menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan perbadanan boleh rampas tanah kami," katanya yang merupakan generasi kedua Kg. Bharu.

Justeru beliau mahu kerajaan menarik balik balik RUU PPKB dan berbincang dengan mereka secara serius.

Raja Nong Chik Ahad lalu berkata, RUU PPKB akan dibacakan untuk kali ke-2 setelah beberapa kali mendapat bantahan hebat daripada penduduk.


Pemuda PAS gesa Ismail bertindak waras | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Pemuda PAS menyeru Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Negeri Sembilan, Sazali Ismail agar bertindak waras dan matang dalam mendepani isu sejarah.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasinya, Suhaizan Kaiat (gambar) menyatakan demikian sebagai respons berhubung kejadian pergaduhan antara ahli Perkasa dan penyokong PAS pada ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Seremban pada 24 September lalu dan kenyataan Sazali yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.

“Saya menasihatkan beliau agar tidak cepat melatah dan jangan 'kecoh-kecoh' kerana isu sejarah yang dibawakan oleh Timbalan Presiden PAS itu masih lagi bersifat abstrak dan boleh diperbincangkan lebih mendalam di meja-meja akademik dan intelektual,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau meminta Sazali tidak perlulah bertindak berlebih-lebihan dan emosi.

Bahkan Suhaizan mendesak agar Sazali lebih bersungguh-sungguh dalam memberikan respons, teguran dan perhatian terhadap isu undi pos yang berlaku di kalangan tentera berbanding isu sejarah yang masih tiada kata putus yang jelas.

“Saya mahu beliau berani menegur dan bertindak khususnya berkaitan kebarangkalian ruang manipulasi yang amat besar dalam sistem undi pos,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Beliau menambah, dalam sistem undi pos, kertas undi anggota tentera begitu berisiko untuk dimanipulasi dimana kertas undi berpotensi digunakan oleh pihak berkepentingan untuk menang secara undemocratic dalam pilihan raya.

Katanya, isu itu lebih dekat dengan Sazali yang pernah berada dalam perkhidmatan tentera.

Bahkan, ujarnya isu itu lebih signifikan jika beliau benar-benar ingin mempamerkan loyalty serta concern terhadap reformasi perjalanan sistem Pilihan Raya Umum (PRU) yang dilaung-laungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menjelang PRU 13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

“Di peringkat pemuda PAS pula, kita bersedia untuk berjumpa dan memberikan penerangan kepada beliau jika beliau mahu.

“Bahkan, kita mempunyai bukti-bukti yang jelas beserta data berkaitan kes manipulasi undi pos ini,” ujarnya lagi.

Antaranya, kata beliau ialah pengakuan bekas anggota tentera sendiri yang terlibat memangkah kertas undi bagi pihak anggota tentera yang lain di mana kes itu sudah jelas.

“Oleh itu, saya minta agar beliau (Sazali) jangan salah fokus. Persoalan manipulasi undi pos ini sememangnya sudah jelas. Kita ada bukti. Anda perlu bertindak. This is your job!,” katanya.


Nik Aziz perjuangkan hudud bersama 1/2 juta fannya? | Print |
Harakahdaily

KOTA BHARU, 27 Sept: Mungkin ada yang merasa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesaorangan dalam memperjuangkan undang-undang syariah kali ini tetapi sebenarnya tidak.

Sekurang-kurangnya 561,047 orang sentiasa mengikuti beliau dalam bentuk fan dalam Facebook Menteri Besar Kelantan itu.

Dan yang menariknya, dalam satu posting mengenai hudud yang dibuat dalam facebooknya, beliau menerima 4,536 komen untuk posting itu sahaja.

9,146 pula menyatakan 'like' (suka) kepada posting itu manakala 3,054 orang pula membuat 'share' (kongsi) posting itu dalam facebook mereka.

Posting itu berbunyi:

KARIKATUR UTUSAN MALAYSIA HARI INI: Aduhai Utusan Malaysia, akhbar yang mengaku membela Melayu dan Islam.. Sedarkah apa yang anda lakukan? Di mana batasan anda bermain politik sehingga perkara yang jelas nasnya di dalam al-Quran pun anda ingin permainkan??

Wahai umat Islam... wahai PERKASA... wahai para mufti... wahai NGO Melayu/Islam.. wahai para ulama dan ulama muda UMNO... tidak jelaskah ini sebagai menghina perundangan Islam?

Kebanyakan komen yang diberikan adalah menyokong penyataan beliau itu dan bersetuju bahawa Utusan telah menghina perundangan Islam.

Dalam posting berikutnya, Nik Aziz menulis, beliau jarang membaca Utusan Malaysia.

"Bagi saya ia lebih kepada surat pekeliling Umno. Pagi ini saya ditunjukkan lakaran kartun yg disiarkan semalam, memperlekehkan kalimah hudud.

"Saya tidak mahu mengulas panjang, cukuplah saya katakan, padanlah dengan tahap pemikiran sidang pengarang Utusan Malaysia...," katanya.

Posting ini sehingga berita ini ditulis telah diberikan komen sebanyak 367 kali dan dishare oleh 134 orang.


PAS desak tarik balik Rang Undang-undang Kg Baru | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Sept: PAS mendesak kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru 2010 (RUU PPKB 2010) dan tidak meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen Oktober depan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebaliknya berkata, RUU PPKB tersebut perbincangan semula membabitkan pihak yang benar-benar berkaitan dengan Kg Baru.

Menyifatkan RUU PPKB sebagai "tidak masak", dan "cacat", Salahuddin berkata cadangan bacaan kali kedua itu bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris Kg Bharu.

"Penangguhan bacaan kali kedua sebelum ini membuktikan rang undang-undang ini tidak masak, tidak sempurna dan cacat maka satu perundingan yang serius perlu dilakukan yang perlu melibatkan wakil penduduk yang sah termasuk badan bukan kerajaan yang ada di Kg Bharu," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian juga menegaskan, menarik balik RUU tersebut adalah langkah paling baik kerana kerajaan gagal memberikan jaminan bahawa ianya tidak mengenepikan kuasa Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS).

"Sudahlah rang undang-undang ini dibuat tanpa berbincang dengan penduduk, MAS dan wakil yang berkepentingan...apa yang dicadangkan juga tidak diambil tindakan dengan maksud menteri harus ditarik balik kalau benar-benar prihatin.

"Prosedur yang paling tepat adalah tarik balik kerana amalan Parlimen terlalu sukar untuk kita menang di peringkat jawatankuasa...tiada jaminan cadangan untuk kita balas kerana kerajaan boleh menang di peringkat jawatankuasa memandangkan kuasa kuasa majoriti akan menentukannya," katanya.

Jasa Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo'

Salahuddin dalam pada itu turut menganggap kejayaan awal penentangan penduduk terhadap RUU PPKB hasil pengorbanan ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' yang berusaha keras memberi kesedaran kepada penduduk mengenai 'sesuatu yang tidak kena' dengan RUU tersebut.

Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' menerusi Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) parlimen Titiwangsa menubuhkan Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu (SPKB) dengan tujuan membantu beliau meneliti, mengkaji dan memberikan maklumat penuh berkaitan RUU PPKB 2010.

"Kejayaan awal penentangan RUU ini hasil kerja keras arwah Dr. Lo' Lo' yang bertindak menyedarkan penduduk.

"Kalau kerajaan kata penubuhan sekretariat ini tidak memberikan apa-apa kesan, kenapa menteri tak teruskan bacaan kali kedua sebaliknya beberapa kali kali terpaksa ditangguhkan. Ini menunjukkan kuasa penduduk dengan bantuan arwah Dr. Lo' Lo' ketika itu," katanya.

SPKB di bawah naungan Allahyarhamuha Dr. Lo' Lo' mengadakan enam siri penerangan kepada para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu serta mengambil inisiatif mengedarkan sainan RUU PPKB 2010 kepada mereka.

Kesannya, penduduk Kg. Bharu faham kandungan RUU PPKB 2010yang jelas cuba memanipulasi mereka.


Syukur alhamdulillah, anak saya dah pulang - Sujut | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 27 Sept: "Syukur alhamdulillah, anak saya sudah pulang. Semoga Harakah terus maju," demikian bunyi SMS yang dikirim oleh Sujut Esmon (gambar) kepada Harakahdaily jam 8.44 pagi semalam.

Sujut, seorang peniaga, 45, dan keluarganya kini menghela nafas lega apabila anaknya yang hilang, Muhamad Akram, 16, telah pulang ke rumahnya sekitar jam 9.00 malam, Ahad, 25 September lalu.

Menurut beliau, kepulangan Muhamad Akram disedari oleh salah seorang anaknya yang masih kecil lalu terus memberitahu kepada isterinya yang juga emak kepada anak-anaknya itu dengan nada penuh kegembiraan.

"Kepulangan anak saya itu kemudiannya terus dimaklumkan oleh isteri saya kepada saya yang berada di pasar untuk menjalankan perniagaan sekitar jam 10.00 pagi 25 September lalu menerusi SMS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Muhamad Akram, pelajar Pondok Beta Hilir, Kota Bharu, Kelantan, menurut beliau, pulang ke rumahnya dengan dihantar oleh seorang lelaki lalu terus masuk dan mendiamkan diri di dalam biliknya.

"Apabila ditanya oleh emaknya atau isteri saya tentang ke mana dia pergi dan apa yang berlaku ke atasnya sejak kehilangannya itu, dia hanya menjawab tidak tahu dan tidak ingat.

"Sehingga hari ini, saya, isteri dan seluruh keluarga kami masih tidak diberitahu oleh anak saya itu ke mana dia pergi dan apa sebenarnya yang berlaku ke atas beliau selama ini kerana dia masih kelihatan seperti trauma dan kebinggunggan," jelasnya.

Harakahdaily pada 23 September lalu atas tajuk "Pelajar Hilang Sejak 13 September Lalu Gagal Dikesan" melaporkan, Muhamad Akram hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga ke hari itu.

Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini.

Ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, Sujut yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa.

Di samping mencari di pelbagai tempat termasuk di Tanah Merah dan Machang di Kelantan dengan kerjasama sanak saudara dan rakan-rakan, kehilangan Muhamad Akram turut dilaporkan oleh Sujut kepada pihak polis di Balai Polis Kota Bharu pada 15 September lalu.

Selain itu, berita kehilangan pelajar yang mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih dan berbadan sederhana itu turut disiarkan di TV3 pada 22 September, sebelum dimaklumkan oleh beliau kepada Harakahdaily pada 23 September lalu.

Menurut Sujut, sebaik sahaja berita kehilangan anaknya itu disiarkan oleh Harakahdaily, beliau menerima sekitar 10 SMS daripada pembaca dari seluruh negara termasuk dari Johor, Kedah, Kelantan dan Sabah yang meminta beliau bersabar dengan kehilangan anaknya itu.

Dalam masa yang sama, para pembaca itu juga turut memberitahu kepada beliau yang mereka akan turut mendirikan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya anaknya itu selamat dan pulang segera ke rumah.

"Selain itu, ada juga dari mereka itu yang turut membantu saya dengan menunjukkan cara-cara tertentu dengan kaedah Islamik dalam usaha untuk menyelamatkan anak saya itu agar pulang ke rumah dengan selamat, termasuk menyuruh saya membaca surah Yaasin sebanyak 40 kali," katanya.

Berkat doa dan kerjasama daripada mereka, beliau bersyukur kepada Allah kerana anaknya benar-benar telah pulang ke rumahnya di Petaling Jaya pada 24 September lalu, iaitu setelah selama satu malam berita mengenai kehilangan anaknya itu disiarkan di Harakahdaily.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas jasa mereka yang tolong berdoa, solat hajat dan bekerjasama dengan saya dalam usaha mencari serta menyelamatkan anak saya itu sehingga dia pulang ke rumah dengan selamat.

"Jasa semua pihak terbabit tak dapat saya membalasnya. Hanya kepada Allah saya serahkan segala-galanya untuk membalas jasa semua pihak," katanya.

Disebabkan Muhamad Akram masih tidak memberitahu kisah kehilangannya itu kepada beliau dan emaknya, beliau masih tidak mengetahui kejadian itu dengan lebih jauh.

Namun kepada emak saudaranya, Zalina Samat, 50, iaitu adik kepada isterinya atau adik iparnya yang tinggal di Nilai, Muhamad Akram telah menceritakannya dengan ringkas.

"Berdasarkan ceritanya kepada adik ipar saya itu, setelah bertolak dari Stesyen Bas Hentian Putra pada jam 10.00 malam 12 September dan sampai di Stesyen Bas Kota Bharu pada 13 September lalu dan selesai bercakap dengan saya menerusi telefon, dia telah pulang semula ke Stesyen Bas Hentian Putra di Kuala Lumpur.

"Dia pulang semua ke Stesyen Bas Hentian Putra bersama seorang rakan. Selepas itu, dia juga turut tinggal dengan kawannya itu di Hentian Putra, sehingga dihantar pulang ke rumah pada 24 September lalu," katanya.

Selain itu, jika semasa keluar rumah pada 12 September lalu, Muhamad Akram membawa beg besar yang berisi pakaian, kepulangannya ke rumah hanyalah dengan membawa beg sandang sahaja.

"Saya tidak dapat membuat apa-apa rumusan mengenai kisah kehilangannya itu. Saya juga tidak mahu menekannya untuk bercerita lebih lanjut sekarang sebab takut dia tension. Saya terpaksa menunggu lebih lama sehingga dia boleh dan bersedia menceritakannya dengan baik suatu hari nanti.

"Buat masa ini biarlah dulu dia tenangkan dirinya. Selain itu, saya juga akan membuat laporan balik kepada pihak polis tentang kepulangan anak saya itu. Tetapi saya bersyukur kepada Allah kerana dia selamat dan sihat," ujar beliau.


BN hilang arah dan hilang tumpuan | Print |
Aspan Alias

Isu bertambah-tambah sekarang ini. Isu klip video “Undilah” sedang diperkatakan dengan hebat di mana-mana. Arahan MCMC untuk menarik balek penyiarannya di TV saluran perdana merupakan satu tindakan yang membayangkan kerajaan sedang begitu takut dengan keadaan politik sekarang.

Ahli Parlimen Kota Belud memberi ulasan yang video itu mengandungi unsur anti BN dan beliau menyokong tindakan mengarahkan saluran-saluran TV untuk tidak menayangkan video itu. Apa kandungan yang dianggap sebagai anti BN tidak dapat di ketahui tetapi orang ramai berpendapat yang kata-kata Tengku Razaleigh yang menyebut negara kita ada masalah merupakan penyebab kenapa video itu di katakan anti BN. Pemimpin BN minta semua orang berkata yang BN tidak ada masalah.

Bagi setengah pemimpin berpendapat BN merasa pedasnya dengan kata-kata itu kerana mereka yang paling banyak memakan cili itu. Kata-kata Tengku Razaleigh itu merupakan kata-kata yang amat ditakuti dan sekali gus ianya dianggap sebagai anti BN sedangkan Tengku Razaleigh tidak pun menyebut apakah masalah-masalah yang beliau maksudkan. Itu menunjukan yang pemimpin Umno sedar yang mereka sedang menghadapi masalah.

Hakikatnya BN memang bermasalah khususnya Umno. Kalau tidak ada pun kata-kata Tengku Razaleigh itu rakyat tahu BN berada dalam masalah besar yang belum pernah dialaminya sebelum ini. Kalau tidak ada masalah masakan keadaan haru biru yang di alami negara sekarang ini wujud.

Saya selalu menyebut dalam tulisan saya sebagai seorang yang telah begitu lama menyertai Umno bercakap benar itu seolah-olah menjadi cegahan dan sesiapa bercakap secara jujur dan terbuka orang itu akan menghadapi masalah dan ditekan dan diketepikan. Pemimpin BN hanya mahu pujian walaupun tidak betul.

BN bermasalah dengan keyakinan rakyat terhadapnya. Krisis keyakinan ini sangat besar yang datang dari setiap sudut. BN sudah diketahui rakyat sebagai pentadbir yang melakukan “stripping” terhadap aset negara kepunyaan rakyat untuk kepentingan beberapa orang tertentu dalam kerajaan.

Ramai kroni kepada pemimpin-pemimpin tertinggi negara menyelesaikan masalah hutang mereka dengan menggunakan wang dan harta rakyat dan negara secara sistematik dan akhirnya ramai pula rakyat yang menyokongnya kerana menipu mereka. Orang Melayu dan Umno akan menyokong siapa sahaja yang menipu dan membohongi mereka.

“Corporate Exercise” AirAsia dan MAS adalah isu yang besar dan sudah diketahui umum sebagai satu tindakan yang amat buruk padahnya kepada kerajaan BN pimpinan Umno ini. “Share swap” di antara AA dan MAS ini merupakan penipuan terancang bagi kepentingan orang-orang dan pihak tertentu dalam persekitaran pihak berkuasa. Urusan yang sebesar ini tentunya telah mendapat persetujuan Kabinet dan kita tidak tahu kenapa kerajaan yang menjaga amanah kepada harta rakyat melalui Khazanah itu tidak bertanggungjawab terhadap isu ini.

Apa yang berlaku di antara AirAsia dengan MAS merupakan satu kes pemindahan harta rakyat kepada beberapa individu yang berkepentingan serta satu “exercise” untuk menyelesaikan hutang beberapa orang kroni dengan menggunakan harta rakyat pembayar cukai.

Tuntutan Bersih untuk pihak kerajaan melaksanaan 8 tuntutan dalam pengendalian pilihanraya masih lagi menghantui pimpinan sehinggakan pimpinan kita menghadapi pandangan serong oleh masyarakat antarabangsa kerana kegagalan menyelesaikan masalah tuntutan ini.

Perpecahan di dalam Umno di setiap peringkat akan menjadi penghalang yang terbesar dalam usaha Umno mendapatkan keyakinan rakyat keseluruhan untuk terus memberikan sokongan terhadapnya. Telah di sebut acapkali yang Umno akan menurunkan calon-calon yang “winnable” tetapi sehingga hari ini parti itu menghadapi kesulitan untuk mencari calon yang “winnable” itu kerana “winnable” atau tidaknya seseorang calun itu merupakan elemen intrepitasi masing-masing.

Saya tidak nampak Umno akan mampu melaksanakan pencarian calon-calon “winnable” itu kerana Umno itu sudah terlalu dipersoalkan oleh rakyat untuk kekal sebagai sebuah parti yang “winnable”.

Dalam definasi “winnable” itu ianya mesti seorang calon dari parti yang “winnable” serta calon yang akan diberikan sokongan dan dukongan oleh parti dan pimpinan setempat. Ramai yang berpendapat yang calon-calon yang dikatakan sebagai calon yang “winnable” itu sebahagiannya adalah calon “payung terjun” yang akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.

Dalam parti sedang berkecamuk di peringkat bahagian-bahagian ini untuk meletakan calon payung terjun itu akan hanya memberikan padah yang lebih buruk terhadap parti Umno itu sendiri. Dulu-dulu calon-calon payung terjun ini mudah diterima kerana semasa itu sikap perjuangan masih menebal dan rakyat tahu turunnya calon payung terjun itu adalah untuk kebaikan perjuangan parti.

Tetapi perjuangan itu sudah lama hilang dan orang ramai menerimanya sebagai tindakan yang hanya memberikan kepentingan beberapa kelompok dalam pimpinan parti dan calon-calon itu adalah calon kepada kelompok di dalam Umno sahaja. Najib pastinya akan hanya menurunkan payung terjun dari mereka yang menyebelahi beliau kerana isu ini penting bagi menjaga keselesaan beliau sebagai pemimpin utama.

Keadaan ini lebih lagi menjadi perhatian kerana tindakan secara senyap-senyap mereka di dalam Umno untuk menurunkan Najib dari kepimpinan itu adalah real dan nyata kepada mereka yang memerhatikan politik Umno secara detail. Di kalangan pemimpin Umno di peringkat tertinggi bukannya baik sangat sebenarnya. Masing-masing mahukan calon-calon yang di turunkan nanti adalah dari kelompok mereka dalam parti.

Dalam proses pemilihan calon-calon ini lah akan timbul permasalahan yang besar di dalam Umno kerana masing-masing akan mengaku dan yakin yang setiap di antara yang bercita-cita itu merasakan yang mereka adalah calon-calon yang “winnable”. Tetapi tidak kurang pemimpin-pemimpin yang adalah di dalam barisan kepimpinan bahagian-bahagian Umno sekarang ini mempunyai “apprehension” untuk menjadi calon Umno pada masa ini kerana belum pasti menang dalam pilihanraya kali ini.

Ahli-ahli Umno tidak sehaluan dengan ahli-ahli dari MCA dan Gerakkan dan saya pernah menulis yang BN di Semenanjung itu adalah Umno tanpa parti-parti komponen yang lain. Jika keadaan ini berlaku BN itu Umno, Umno itu adalah BN di Semenanjung ini yang dijangkakan akan hanya mempunyai kurang dari 70 kerusi selepas pilihanraya yang akan datang.

Sesungguhnya Umno telah terlalu lama terabai kerana sudah terlalu lama dikuasai oleh manusia pemimpin yang terlalu mementingkan kuasa peribadi. Ketagihan mendapat kuasa menyebabkan parti menjadi korban dan budaya perjuangan yang ada di dalam Umno sudah terlalu jauh dan menyimpang dari matlamat asal perjuangannya.

Sesuatu parti politik itu selalunya ada budaya yang menyebabkan parti itu tertubuh. Tetapi apabila budaya yang selama ini telah memperkuatkan perjuangan parti itu sudah hilang, maka identiti parti itu dengan sendirinya hilang. Apabila identitinya hilang maka parti itu akan dengan sendirinya lemah dan tersasar dari matlamat asalnya.

Banyak bangsa di dunia ini telah hilang dan hanya tinggal di kawasan-kawasan terpencil di banyak negara dan ketinggalan di dalam pembangunan dunia sejagat ini. Semuanya berlaku bermula dengan kehilangan identiti bangsa mereka.

Umno dan pemimpin-pemimpinnya sedang menjurus ke arah itu….maruah boleh dijual beli. Yang penting mereka menjadi pemimpin. Samada mereka dihormati atau dipandang rendah oleh rakyat tidak menjadi isu.

Sekarang ini Najib sedang menjelajah negara dan ber “shopping” undi. Beli sana dan beli sini. Jika menang lagi boleh cari lagi wang untuk menggantikan yang telah di belanjakan dalam masa sibuk membeli undi sebelum PRU itu. Keadaan akan menjadi seperti biasa kembali....pemimpin sibuk menyaingi rakyat untuk berniaga dengan bermodalkan kuasa yang di berikan rakyat tadi.

Walaupun “Melayu tidak akan hilang di dunia ini” tetapi “Melayu akan hilang dunianya”. Syabas Umno kerana Melayu sudah beransur-ansur hilang dunianya hasil dari perjuangan parti ini. — aspanaliasnet.blogspot.com





Surah Al-Mulk

Bismillah

A001
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; (Al-Mulk 67:1) | | English Translation

A002
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Al-Mulk 67:2) | | English Translation

A003
Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? (Al-Mulk 67:3) | | English Translation

A004
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). (Al-Mulk 67:4) | | English Translation

A005
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang. (Al-Mulk 67:5) | | English Translation

A006
Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (Al-Mulk 67:6) | | English Translation

A007
Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. (Al-Mulk 67:7) | | English Translation

A008
Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?" (Al-Mulk 67:8) | | English Translation

A009
Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! " (Al-Mulk 67:9) | | English Translation

A010
Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka". (Al-Mulk 67:10) | | English Translation

A011
Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka. (Al-Mulk 67:11) | | English Translation

A012
Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (Al-Mulk 67:12) | | English Translation

A013
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (Al-Mulk 67:13) | | English Translation

A014
Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya! (Al-Mulk 67:14) | | English Translation

A015
Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). (Al-Mulk 67:15) | | English Translation

A016
Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)? (Al-Mulk 67:16) | | English Translation

A017
Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu? (Al-Mulk 67:17) | | English Translation

A018
Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu. (Al-Mulk 67:18) | | English Translation

A019
Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Mulk 67:19) | | English Translation

A020
Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya. (Al-Mulk 67:20) | | English Translation

A021
Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran). (Al-Mulk 67:21) | | English Translation

A022
Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah - atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata? (Al-Mulk 67:22) | | English Translation

A023
Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". (Al-Mulk 67:23) | | English Translation

A024
Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan". (Al-Mulk 67:24) | | English Translation

A025
Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?" (Al-Mulk 67:25) | | English Translation

A026
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata". (Al-Mulk 67:26) | | English Translation

A027
Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): "Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!". (Al-Mulk 67:27) | | English Translation

A028
Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), - maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?". (Al-Mulk 67:28) | | English Translation

A029
Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata". (Al-Mulk 67:29) | | English Translation

A030
Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?". (Al-Mulk 67:30) | | English Translation

Tiada ulasan: