Jumaat, 30 September 2011

CAKAPLAH TENTANG POLITIK...TAPI BIAR BERDASARKAN HUKUM DAN AKIDAH...ISLAM@QURAN TETAP DIATAS...ALQURAN BUKAN MAHKLUK BAHKAN IA KALAM ALLAH...

Karnival 100 tahun Batu Arang 15-16 Oktober | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Keinginan Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) dan seluruh penduduk Batu Arang untuk melihat kampung mereka dinaiktaraf benar-benar menjadi kenyataan, apabila pengisytiharan fasal pertama Batu Arang Bandar Warisan akan berlangsung dengan Karnival 100 Tahun Batu Arang pada 15 hingga 16 Oktober ini.

Karnival yang dirancang dengan penuh kemeriahan itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sekitar jam 12.00 tengah hari di mercu tanda Batu Arang yang terletak di sekitar bulatan besar Batu Arang.

Setiausaha JKKK Batu Arang, Ahmad Rafie Yob (gambar) menjelaskan, karnival tersebut pada mulanya dirancang oleh pihaknya selama tiga hari, tetapi diubah kepada dua hari pada 26 hingga 27 September lalu dan kemudian dicadangkan pula oleh Pejabat Menteri Besar kepada 15 hingga 16 Oktober ini.

Menurut beliau, karnival tersebut akan turut dihadiri anak dan cucu kepada pengasas perlombongan arang batu di Batu Arang, J.A. Russlel iaitu yang dikenali sebagai Datuk Russlel dan Corirolene Russlel yang juga Pengarah Urusan Teh Boh.

Katanya, karnival tersebut akan dipenuhi dengan pelbagai acara menarik sejak hari pertamanya bermula jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam.

"Acara pada 15 Oktober itu akan dipersembahkan oleh Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (Padat) yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan Ali dengan pelbagai acara kesenian termasuk silat.

"Pada sebelah malamnya akan diadakan forum perdana yang akan dikendalikan oleh Padat dan dipengerusikan oleh Datuk Dr Hassan Ali sendiri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Manakala acara pada hari kemuncaknya pada 16 Oktober, menurut beliau, ternyata lebih menarik yang bermula jam 9.00 pagi dengan kunjungan Tan Sri Khalid untuk merasmikan karnival tersebut dan disambut dengan cara tersendiri serta penuh kemeriahan.

Katanya, setibanya Tan Sri Khalid di persimpangan Ijok sekitar jam 9.00 pagi, beliau akan diiringi masuk ke Batu Arang hingga ke tapak karnival oleh ahli-ahli persatuan motorsikal berkuasa tinggi dengan 250 buah motorsikal masing-masing.

"Turut menyambut Tan Sri Khalid bersama-sama ahli-ahli persatuan itu termasuklah Pengerusi JKKK Batu Arang, Rosli Sharif," jelasnya.

Selepas itu, menurut beliau, Tan Sri Khalid akan dibawa pula melawat lokasi-lokasi terpilih di Batu Arang dengan diiringi 50 buah kereta pacuan empat roda yang dijangka bermula jam 10.00 pagi, sebelum bermula acara perasmiannya sekitar jam 12.00 tengah hari di mercu tanda Batu Arang.

Setelah pengisytiharan fasal pertama Batu Arang Bandar Bersejarah berlangsung, katanya, pengisytiharan peringkat kedua atau peringkat kemuncaknya akan dilangsungkan pula pada tahun hadapan yang dijangka sekitar bulan March dan akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Menurutnya, usaha ke arah menjadikan Batu Arang sebagai Bandar Bersejarah dilakukan oleh beliau sendiri dengan dibantu oleh Ahli Majlis MPS Zon 24 yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Selayang, Zaidi Talib, Pengerusi JKKK Batu Arang, Rosli Sharif dan rakan-rakannya yang lain dalam JKKK Batu Arang.

Kertas cadangan untuk membolehkan Batu Arang diwartakan sebagai Bandar Bersejarah telah disiapkan dan dikemukakan oleh beliau pada bulan Mac tahun lalu kepada Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail, Pejabat Daerah Gombak dan MPS.

Selepas itu, beliau juga telah diminta oleh pihak MPS untuk melakukan penerangannya dengan lebih lanjut sebanyak dua kali, iaitu pada bulan Mac dan Mei lalu di pejabat MPS, di samping memberikan taklimat khas kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada bulan April tahun lalu.

Pada tahun ini pula, katanya, Ahli Majlis Diraja Selangor yang juga Orang Besar Daerah Gombak, Datuk Wan Mahmod Pak Wan Teh juga telah tertarik melawat kawasan itu sebanyak dua kali kerana turut tertarik dengan perancangan menjadikan Batu Arang Bandar Warisan.

Selain itu, pihak Majlis Perbandaran Selayang termasuk Yang Dipertuanya juga turut hadir bagi meninjau perkembangan yang dilakukan oleh pihaknya setelah kertas cadangannya diluluskan dan perancangan menjadikan Batu Arang Bandar Warisan dipersetujui oleh kerajaan negeri.

Katanya, sekiranya Batu Arang diwartakan Bandar Bersejarah, kawasan tersebut akan akan maju kerana akan dijadikan pusat perniagaan penting di Selangor dengan jualan barangan murah, dilengkapi tugu besar sebagai mercu tanda Batu Arang dekat Bulatan Batu Arang dan pembinaan muzium geologis.

Rumah-rumah lama yang ditinggalkan dalam usaha perlombongan arang batu di kawasan itu akan dijadikan homestay, di samping pembinaan pasar yang cantik, rangkaian jalan raya yang sempurna, pembinaan pusat sukan yang akan menjadi kunjungan ramai dan pusat rekreasi.

Antara pusat rekreasi yang dirancang untuk diujudkan termasuklah pembinaan pusat sukan lasak, khususnya pusat basikal lasak, pusat permainan kereta kontrol, kapal terbang kontrol yang turut dilengkapi pusat-pusat jualan peralatan berkenaan serta tempat-tempat membaikinya dan pusat memancing.

Manakala pusat-pusat perniagaannya pula termasuklah pusat jualan fabrik, pakaian, pusat makanan dan sebagainya yang pasti akan mempertingkatkan lagi pendapatan para peniaga di kawasan itu khasnya dan seluruh penduduknya amnya.

"Selain itu, kami juga merancang untuk mengadakan tempat berjalan kaki di kawasan ini bagi rekreasi, manakala pada setiap pokok di kawasan ini pula akan dibubuh plat orang-orang berjasa kepada Batu Arang dan sekitarnya," jelasnya.


Fahami Kanun Jenayah Syariah II Kelantan | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat memahami bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 diluluskan secara demokratik iaitu melalui undi di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan pendapat di kalangan pemimpin DAP dari segi penafsiran undang-undang tersebut iaitu sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Sivil, bukan Mahkamah Syariah.

"Di Kelantan, enakmen tersebut wujud mengikut prosedur di Dewan Undangan Negeri yang mendapat sokongan 39 undi sewaktu dibentang.

"Jadi tak timbul kita melanggar prinsip demokrasi cuma percanggahan pendapat di sini dan DAPmenentang kerana penafsiran yang berbeza...mungkin DAP tak setuju bukan soal hudud tapi soalnya kerana pada penafsiran DAP bahawa sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Syariah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Pakatan Rakyat selepas mesyuarat kira-kira tiga jam lewat malam tadi sebulat suara memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat menghormati semangat PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan namun turut tidak menafikan hak DAP dan PKR untuk menyatakan pandangan mereka dalam isu syariah.

Ujar Tuan Ibrahim, soal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah namun Kelantan tetap mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

"Bagi PAS, kita lihat samada bertentangan atau tidak bertentangan (dengan Perlembagaan Persekutuan), itu keputusan pihak berautoriti seperti mahkamah dan sebagainya dan pengakuan ini mengiktiraf undang-undang tersebut dan hak kelantan untuk laksana undang-undang tersebut.

Bagaimanapun katanya, dalam Buku Jingga, pelaksanaan hudud memang tidak termasuk dalam agendanya.

Sebaliknya yang dipersetujui bersama ialah menghormati sistem demokrasi dalam negara.

"Hudud tidak termasuk dalam perkara yang dipersetujui bersama (dalam Buku Jingga) tapi yang dipersetujui bersama ialah menghormati sistem demokrasi.

"Jadi dalam menghormati sistem demokrasi, cadangan Kelantan untuk laksanakan hudud juga merupakan keputusan yang dibuat secara demokratik iaitu melalui Dewan Undangan Negeri," katanya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus memberikan penerangan mengenai hudud kepada orang Islam dan bukan Islam agar mereka faham bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Pas akan teruskan penerangan dan Menteri Besar Kelantan (Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat) pun telah buat kenyataan bahawa PAS akan teruskan penerangan kepada sesiapa yang kurang jelas dari semasa ke semasa melalui seminar, dialog, wacana ilmiah dan bersikap terbuka terhadap apa yang sulit dalam enakmen hudud ini.

"Sebab kita laksana hudud kepada orang Islam sahaja, orang bukan Islam tidak terlibat dengan enakmen ini dan yang keduanya kita laksanakan dalam konteks Kelantan sahaja," katanya.


Ancam Mat Sabu: Polis digesa siasat Perkasa | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Sept: PAS mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan pendesak Melayu, Perkasa ekoran ancaman terbuka mereka untuk 'menyerang' Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sambil menyifatkan ancaman itu boleh mencetus ketegangan, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata pihak polis sepatutnya sudah boleh memanggil Perkasa.

"Sepatutnya pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap Perkasa yang membuat ancaman secara terbuka.

"Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi jangan pulak sampai bertindak menghalang hak orang lain berceramah," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas amaran Perkasa Negeri Sembilan bahawa mereka akan menganjurkan lebih banyak protes ke atas Mohamad Sabu jika timbalan presiden PAS itu berani menjejakkan kakinya di negeri berkenaan untuk menyampaikan ceramah.

Amaran itu dilontarkan ketuanya Mohd Noor Nordin Abdullah yang dengan angkuh berkata beliau sendiri akan mengetuai protes terhadap Mohamad, jika timbalan presiden PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Sabtu lalu satu pergaduhan tercetus pada ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban.

Pada kejadian itu dua penyokong PAS cedera selepas bergelut dengan ahli Perkasa yang menyerbu pentas ceramah ketika timbalan presiden PAS sedang berucap.


Hudud: Kini ia terletak di kaki Umno | Print |
Analisis Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Pakatan Rakyat berjaya mencapai kata sepakat semalam untuk membenarkan PAS membuat penjelasan dan penerangan tentang undang-undang jenayah syariah termasuk hudud.

Bagaimanapun pelaksanaannya akan bergantung kepada kejayaan untuk mendapat kata sepakat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan ianya dilaksanakan.

Dalam masa yang sama, Pakatan Rakyat juga menerima prinsip bahawa DAP tidak bersetuju dengan undang-undang ini ketika PAS dan PKR menghormatinya, namun ia tidak menghalang PAS untuk terus menerangkannya kepada masyarakat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara ini dalam sidang media bersama yang diadakan kira-kira jam 1 pagi tadi selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di Pejabat Agung PAS.

"Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakannya. Untuk melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan," kata Anwar.

Anwar juga berkata, "Kenapa kita mesti nafikan hak PAS untuk articulate isu ini, ini proses demokrasi...bukan Umno yang kontrol Pakatan Rakyat...kita hormati hak rakyat untuk membentangkan cadangan mereka. Nafikan PAS untuk articulate kes ini, ia tidak ada."

Keputusan yang dicapai semalam menolak sama sekali harapan musuh Pakatan Rakyat untuk melihat mereka berpecah sebagaimana isu negara Islam yang memecahkan PAS dan DAP pada tahun 2003 dalam Barisan Alternatif.

Ia juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.

PKR dan PAS juga menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

"Kita hormati hak PAS untuk hendak melaksanakan hudud di samping menghormati hak DAP untuk tidak bersetuju dengannya," kata Anwar.

Mesyuarat yang disertai oleh hampir semua pemimpim utama PAS, PKR dan DAP itu bermula jam 10 malam.

Hanya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sahaja yang tidak menyertainya dan beliau diwakili oleh Exco kerajaan negeri Kelantan yang juga seorang peguam, Datuk Takiyudin Hassan.

Dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ini bermakna semua pihak dalam Pakatan Rakyat boleh menyatakan pendirian mereka mengenainya secara terbuka.

PAS dibenarkan secara rasmi untuk terus menerangkan undang-undang Allah ini di samping berusaha untuk melaksanakannya dengan syarat usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berjaya.

Anwar menegaskan, "Kita tidak boleh halang PAS untuk memberikan pandangan atau cadangan dalam atau di luar mesyuarat."

Kini persoalan yang perlu dijawab adalah, bagaimanakah caranya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan undang-undang ini dilaksanakan?

Anggota Parlimen PAS akan menyokong. Begitu juga anggota Parlimen PKR, mereka juga akan menyokong berdasarkan keputusan semalam. Jelas juga, DAP menyatakan mereka tidak menyokong hukum ini.

Ini bermakna, berjaya atau tidak pelaksanaan undang-undang ini bergantung juga kepada kerjasama dari anggota Parlimen dari Barisan Nasional (BN) khasnya Umno.

Pendek kata, undang-undang ini akan berjaya dilaksanakan kalau ia turut disokong oleh Umno kerana parti inilah yang mempunyai ahli paling ramai sekarang dalam Dewan Rakyat.

Jadi bola sekarang sebenarnya terletak di kaki Umno. Kalau parti yang mendakwa memperjuangkan hak orang Melayu itu menyokong undang-undang Islam ini, ia akan berjaya dilaksanakan.

Jika Umno tidak menyokongnya kerana takut MCA dan Gerakan yang memberikan amaran akan keluar BN jika ianya dilaksanakan, maka ketika itu Umnolah sebenarnya yang salah.

Pendek kata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semalam telah berjaya menolak isu ini kepada Umno dari menjadi isu panas dalam Pakatan Rakyat.

KENYATAAN PENUH PAKATAN RAKYAT

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang


Banyak pengkisahan Umno alat British | Print |
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 29 Sept: Isu utama dalam pembongkaran sejarah kemerdekaan ialah supaya rakyat menentukan adakah Umno hakikatnya adalah ciptaan penjajah British, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Tidak kira sama ada kita kaji, nilai semula atau menginterpretasikan sejarah Bukit Kepong, Mat Indera atau apa sahaja yang berkaitan dengan kemerdekaan dan perjuangan menentang British, matlamat utama kita adalah supaya rakyat yang mempunyai kesedaran menilai dengan jujur dan terbuka sama ada Umno sebenarnya dicipta oleh British untuk kepentingannya dan benarkah dakwaan kononnya parti itu ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan?" kata beliau.

Menurut Mohamad, selama ini terlalu banyak pengkisahan sama ada dalam bentuk ucapan atau tulisan yang menceritakan Umno sebenarnya adalah alat British, pecacai (running dog) penjajah itu dan sebagainya.

"Ada yang menceritakan, Umno dicipta oleh British untuk mewarisi pemerintahan negara ini setelah penjajah itu tidak sanggup lagi berhadapan dengan ancaman komunis.

"Walaupun tidak sanggup lagi memerintah Malaya kerana tidak tahan ancaman kominis, British diceritakan hanya mengharapkan Umno sahaja untuk berkhidmat menjaga kepentingan ekonomi imperialnya termasuk lombong, ladang-ladang dan lain-lain malah demi kepentingan dasar luarnya apabila Malaya dimerdekakan.

"Penjajah itu diceritakan bimbang jika pihak lain selain Umno seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mengambil alih pemerintaha, kepentingan ekonominya juga akan diambil alih dan tidak ada lagi hegemoni kuasanya selepas Malaya dimerdekakan," katanya.

Bagi Mohamad, apa pun jua tentangan yang dihadapi dari Umno yang begitu histeria kerana sejarah dikaji dan tafsir semula, usaha berterusan mesti dibuat secara jujur dan berani demi kebenaran dan kepentingan generasi akan datang untuk menentukan sama ada parti itu sengaja dicipta oleh British untuk menjaga kepentingannya ke atas negara ini selepas merdeka.

"Rakyat perlu mengkaji mengapa pegawai-pegawai British yang kemudiannya menjadi pemimpin awal Umno seperti Tunku Abdul Rahman (Putra al-Haj) dan Tun Abdul Razak (Hussein) diizinkan berceramah dan berkempen ke seluruh pelusuk negara sedangkan pemimpin dan aktivis parti lain yang memperjuangkan kemerdekaan ditangkap, dipenjarakan malah ramai yang dibunuh.

"Bukan golongan kiri sahaja, semua pihak selain Umno menghadapi kekejaman British jika berjuang menuntut kemerdekaan.

"Mengkaji sejarah tersebut dengan jujur demi untuk mencari kebenaran bukan bermakna menghina tokoh-tokoh yang terlibat dalam pengkajian sejarah itu," katanya.

Dalam tulisannya yang bertajuk "And the facts are..", Raja Petra Kamarudin menceritakan bagaimana seorang penolong pegawai daerah di Terengganu yang juga pengasas Umno negeri itu, Datuk Andika, memberitahu bahawa beliau diberi perangsang oleh British supaya menyertai Umno.

Menurut Raja Petra, Andika memberitahunya bahawa British bukan sahaja memberi cuti kepadanya bagi berkempen untuk Umno malah memberikan bantuan kewangan.

Editor Malaysia Today itu juga menceritakan bahawa Andika menubuhkan Umno di Terengganu, iaitu di Dungun, selepas bertemu Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak di Kuantan.

Mengulas apa yang diceritakan oleh Raja Petra itu, Mohamad berkata, sama seperti tulisan Raja Petra, banyak lagi tulisan lain yang boleh membawa kepada kesimpulan dan interpretasi yang membantu untuk menentukan adakah Umno dicipta oleh British dan menjadi pencacai penjajah itu.

Ketika diminta mengulas amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan yang melancarkan protes sekiranya beliau hadir berceramah di negeri itu pada masa akan datang, sambil tertawa Mohamad berkata beliau akan berceramah seperti biasa di mana sahaja jika ada jemputan.

"Di Pasir Mas kampung (Presiden Perkasa, Datuk) Ibrahim Ali atau dekat rumahnya di Taman Melawati pun saya akan pergi berceramah jika ada jemputan," kata beliau.


Kelantan sambut baik keputusan Majlis Pimpinan Pakatan | Print |
Harakahdaily

KOTA BHARU, 29 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyambut baik keputusan mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat yang menghormati niat kerajaan Kelantan untuk memasukkan hukum hudud di dalam undang-undang syariah.

Keputusan yang diputuskan di dalam mesyuarat malam semalam itu disifatkan sebagai keputusan yang sungguh bermakna untuk seluruh umat Islam khususnya di negeri Kelantan Darul Naim.

Demikian kata Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau mengulas keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan malam tadi. Mesyuarat itu bersetuju untuk membenarkan PAS terus menerangkan mengenai undang-undang syariah itu di samping menyatakan dengan jelas DAP tidak menyokong ianya dilaksanakan.

"Kesediaan DAP selaku parti komponen dalam Pakatan Rakyat untuk menghormati hasrat kerajaan negeri Kelantan adalah merupakan satu perkara yang cukup besar ertinya dan jauh lebih baik daripada UMNO yang mendakwa sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan Islam namun sehingga kini masih enggan memberikan laluan untuk hudud dilaksanakan di Kelantan," kata beliau.

Dalam erti kata lain, katanya, pimpinan Umno harus malu dengan pimpinan DAP yang sering dilabelkan sebagai anti Islam namun dalam masa yang sama bersikap positif terhadap hasrat kerajaan negeri Kelantan.

"Sewajarnya Umno memberikan laluan dan berusaha untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 yang memperuntukkan penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali.

"Akta inilah yang membatasi kuasa mahkamah syariah di setiap negeri khususnya Kelantan untuk melaksanakan hudud," kata beliau dalam kenyataannya.

Sehubungan itu, DPPNK menggesa seluruh NGO, para mufti dan ulama serta pergerakan Pemuda Umno untuk menggiatkan usaha mendesak kerajaan pusat untuk meminda akta tersebut bagi memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.

"DPPNK ingin memperingatkan, hudud bukannya agenda peribadi mana-mana pihak atau parti, tetapi ia merupakan kewajipan daripada Allah SWT untuk pemerintah," tegas beliau.

Perlu diingatkan, katanya, halangan terbesar hasrat ini pada hari ini bukannya DAP seperti yang digembar-gemburkan oleh Umno tetapi Umno sendiri yang menjadi penghalang.

"Jika Umno yang mempunyai ahli parlimen yang teramai di Dewan Rakyat masih lagi enggan untuk memberikan laluan, maka jelaslah bahawa slogan mempejuangkan agama Islam yang dilaungkan oleh UMNO hanyalah satu retorik semata-mata," tambah beliau lagi.


Ali Rustam burukkan Kelantan macam mana? | Print |
Ahmad Danial

MELAKA, 29 Sept: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) mempersoalkan tindakan polis mahu bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan memburuk-burukkan negeri Johor.

Beliau melontarkan pertanyaan itu kerana Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah memburukkan Kelantan sebelum ini.

"Macam mana pula orang Kelantan dengan Ali Rustam, apa yang Ali Rustam tak cakap tentang Kelantan. Dalam dan luar sidang Dun, sentiasa Kelantan diburukkan.

"Beliau pernah melarang pegawai kerajaan pergi Kelantan. Pernah beliau menarik balik larangan itu?"

"Di Melaka orang buang anak, di Kelantan orang buang anak dan dibakar anak itu, itu antara ucapan Ketua Menteri dalam sidang Dun," ujar Adly yang juga Yang Dipertua PAS Alor Gajah di dalam blognya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis sedang mempertimbangkan tindakan yang boleh dikenakan ke atas Lim Guan Eng ekoran kenyataannya memburukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, beberapa laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan pihaknya akan mengenal pasti tindakan yang boleh diambil memandangkan kenyataan itu dibuat di luar negara.

Beliau yang nyata berang dengan keceluparan Guan Eng, turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu tidak boleh diterima, berniat jahat, tidak berasas dan tidak benar sekali gus mengingatkan pemimpin DAP itu tidak bercakap sesuka hati. (http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

Menurut Adly, kalau polis Johor hendak bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, maka Ketua Polis Kelantan juga wajar bertindak terhadap Ali Rustam.

Beliau mempersoalkan mengapa polis mahu bertindak terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang yang dituduh memburukkan Johor tetapi mendiamkan diri terhadap tindakan Ketua Menteri Melaka yang acapkali memburukkan negeri Kelantan.

"Burukkan Johor bertindak, burukkan Kelantan tak apa, 1Malaysia apa?” soal Adly sinis.

Adly berkata rakyat Johor sedang dihasut agar membenci Lim Guan Eng kerana dianggap menjatuhkan imej Johor.

"Menjatuhkan imej Johor di luar negara. Johor selamat, YAB Lim kata tak selamat?

"Sedangkan secara faktanya Pulau Pinang paling selamat di Malaysia dengan indek jenayah 27%," katanya.

Tiada ulasan: