Khamis, 15 September 2011

BESARNYA..KEPERLUAN HARUS...MEMBAZIR HARAM...MENUNJUK2 PUN SAMA...ADAKAH RASULLULLAH SAW DAN SAHABAT MENUNJUK BEGITU...KITA USTAZ...KENA TAHU..

Jamil Khir: Saya guna duit sendiri bukan zakat | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Setelah tertekan dengan laporan bahawa beliau membuat rumah baru umpama istana walaupun baru saja menjadi menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau gunakan duit sendiri.

“Wallahi, saya tak ambil duit zakat, boleh semak zakat Wilayah Persekutuan dapat audit bersih.

(Rumah Jamil Khir yang baru diubahsuai yang terletak di Taman Batu Muda, Batu Caves)

“Saya berani bersumpah kalau mereka berani,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama itu pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, portal Malaysia Today telah menyiarkan gambar rumah milik Jamil Khir yang mana didakwa dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Dalam laporan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin mendesak Jamil Khir menjelaskan tentang rumah mewah itu.

Menurut Khairul Anuar, keraguan timbul apabila Jamil Khir yang dilantik sebagai menteri tiga tahun lalu dan hanya memperoleh gaji tidak menjangkau RM15,000 sebulan, namun mampu memiliki kediaman mewah dalam tempoh yang singkat.

“Kalau dia (Jamil Khir) rasa seorang yang berpegang teguh terhadap agama dan ada kebertanggungjawaban terhadap negara, dia perlu jujur menjelaskan kekayaan sebelum dan selepas (menjadi menteri),” katanya.

Dalam laporan itu, Keadilandaily tidak mendakwa Jamil menggunakan wang zakat untuk rumahnya tetapi melaporkan beliau pernah menggunakan wang Baitulmal untuk membayar peguam bagi membela kesnya yang didakwa atas nama menteri yang menjaga hal ehwal agama.

Jelas Jamil Khir, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu disifatkan sebagai “politik terdesak” untuk memburukkan imejnya, lapor The Malaysian Insider.

“Jawapan mudah, saya duduk rumah di Kampung Batu Muda sejak 1994, sudah 17 tahun saya duduk dan saya tidak tahu mengapa dibangkitkan . . . ia hanya penambahbaikan rumah dan tuduhan adalah politik terdesak.

“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini, saya dulu bukan penganggur . . . saya dulu tentera dan jawatan terakhir saya Mejar Jeneral, malah saya juga tentera yang berpencen dan ada ganjaran, RM1 juta tiadalah tapi adalah,” katanya.

Jelas beliau, rumah itu dibesarkan untuk menampung bilangan ahli keluarga yang semakin membesar.

“Rumah ini pun hutang dengan kerajaan sejak 1994, kami keluarga besar . . . mak dan ayah duduk sekali, anak enam orang jadi ramai lagi pun anak-anak saya bekerja,” katanya.


Perangsang mahu rangsang kerjaya untuk siswazah | Print |
Harakahdaily

SHAH ALAM, 15 Sept: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor sedang berusaha untuk membantu siswazah yang sedang mencari pekerjaan di negeri ini.

Pengerusinya, Raja Idris Raja Kamarudin (gambar) hari ini berkata, syarikat itu akan melancarkan program rangsangan kerjaya untuk siswazah 30 September ini.

Ia akan dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam 30 September ini.

Projek ini adalah sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh Perangsang Selangor, kata Raja Idris ketika memberikan kata-kata aluan dalam majlis taklimat mengenainya hari ini.

Raja Idris dilantik sebagai pengerusi Perangsang Selangor Mac lalu.

Menurut beliau, syarikat ini mensasarkan lebih 1,500 siswazah yang masih belum mendapat pekerjaan di Selangor untuk dibantu dengan latihan dan rangsangan.

Raja Idris berkata, program latihan ini merangkumi latihan dalaman iaitu 'soft skills' ataupun latihan kemahiran insaniah dan seteterusnya diikuti dengan pendedahan kemahiran hidup, iaitu 'life skills' atau lebih dikenali latihan praktikal.

Di samping mendedahkan mereka kepada peluang pekerjaan, siswazah ini juga didedahkan dengan program pembangunan usahawan muda yang dirancang untuk melahirkan para usahawan di kalangan mereka.

Selain memberikan latihan dan rangsangan, Raja Idris juga mencadangkan langkah pertama yang perlu diambil adalah tidak memberikan panggilan negatif seperti 'siswazah menganggur' kepada mereka.

Beliau mencadangkan mereka dipanggil, 'graduan atau siswazah yang masih mencari pekerjaan'.


Najib "tunduk" tuntutan Buku Jingga | Print |
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Biarpun pengumuman perdana menteri malam ini dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah menciplak janji Pakatan Rakyat seperti dimuatkan dalam Buku Jingga, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, tawaran perubahan Pakatan Rakyat lebih luas berbanding beberapa perubahan yang telah diumum Datuk Seri Najib malam ini.

"Perjuangan kita menentang akta zalim ini sudah lama dahulu, cuma Umno BN ni lambat faham.

"Apa yang saya boleh kata, akhirnya BN tunduk dengan tuntutan kita dalam Buku Jingga," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri malam ini yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan BN sangat terdesak untuk menarik sokongan rakyat berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Apatah lagi ujarnya, ucapan Najib tersebut tidak memberi fokus kepada kemerdekaan negara, malah lebih kepada janji perubahan politik mendepani pilihan raya.

"Realitinya Najib dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dalam PRU-13 sehingga beliau berani merombak apa yang sebelum ini dipertahankan sungguh-sungguh," kata Tuan Ibrahim lagi.

Jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik katanya lagi, perdana menteri itu perlu juga memastikan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki termasuk lapan perkara yang terkandung dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sementara itu, beliau juga turut membidas sikap Najib dan Umno BN yang sehingga kini masih berdiam diri dalam menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Prefesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, namun hanya dinaungi British.

"Rakyat masih menunggi pendirian rasmi kerajaan berhubung perkara itu," katanya.


Mansuh ISA: Kerajaan didesak mohon maaf | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ekoran pengumuman perdana menteri malam ini bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dimansuhkan, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mendesak kerajaan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat yang pernah ditahan dibawah akta zalim itu.

Bercakap kepada Harakahdaily, Salahudin berkata tindakan itu perlu kerana sudah ramai rakyat yang menjadi magsa akta itu sejak dari merdeka lagi.

"Kerajaan mesti minta maaf secara terbuka kepada mereka yang pernah ditahan oleh akta ini semenjak merdeka lagi.

"Sejak dahulu kita menentang kata ini. Sememangnya akta ini tidak relevan lagi," katanya yang juga ahli parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengulas ucapan Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan pemansuhan ISA dalam perutusan khas Hari Malaysia yang disiar secara langsung oleh RTM malam ini.

Dalam prutusan khasnya, Najib turut mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Menurut Najib, kerajaan, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya.

Dalam pada itu Isteri mangsa bekas tahanan ISA Norlaila Othman dalam reaksinya terhadap pengumuman perdana menteri itu masih meragui "niat baik" kerajaan.

Menurutnya, sukar untuk mempercayai janji kerajaan kerana sudah banyak kali ditipu.

"Kami tidak tahu hendak (kata) alhamdulilah atau bersorak "yahoo" sebab sudah banyak kali kena tipu. Selagi Kem Kamunting tidak ditutup, selagi semua tahanan tidak dibebaskan dan selagi ISA tidak lagi menjadi akta baru kami akan percaya.

"Walaupun ISA dimansuh, dia boleh buat akta baru pada bila-bila masa saja. Kita tidak mahu akhirnya cuma tukar nama sahaja," katanya dipetik Malaysiakini.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh pula masih menuntut penjelasan daripada pengumuman Najib itu.

"Apakah benar ISA dimansuh dan bilakah tempoh akan dimansuh? Kita tentang ISA sebab peruntukan tahanan tanpa bicara. Tetapi jika dibentuk dua lagi undang-undang yang juga mempunyai peruntukan tahan tanpa bicara, kita anggap perjuangan kita belum selesai.

"Betul mansuh dan kita sedikit lega. Tetapi mansuh satu (akta) dan masuk dua (undang-undang baru), sebab itu kita tidak mahu terlalu gembira lagi," katanya.


Kenyataan Ramlah sahkan 'agenda' British tidak menjajah | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Kenyataan pemimpin Perkasa, Profesor Ramlah Adam (gambar) bahawa 'British tidak menjajah Malaya' dan 'Mohamad Sabu salah apabila berkata polis di rumah pasong Bukit Kepong adalah polis British' menjelaskan niat sebenar episod ini.

Kenyataan Ramlah dan Profesor Zainal Kling sebelum ini adalah bertujuan untuk menafikan kenyataan Mohamad Sabu bahawa polis ketika itu bekerja untuk British iaitu penjajah.

Oleh itu, kedua-duanya ingin mengesahkan hujjah Umno bahawa Mohamad Sabu menghina dan memperkecilkan peranan pasukan keselamatan di negara ini kerana menghina polis rumah pasong Bukit Kepong.

Menurut Ramlah, polis yang berkhidmat ketika tragedi Bukit Kepong bukan polis British, sebaliknya berkhidmat dengan negeri Melayu yang berdaulat.

"Jika begitu, apakah Umno dan Perkasa talibarut penjajah British?" soal Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail.

Ini jelas apabila "Ramlah juga kata British tidak menjajah Malaya bukan?" kata Saifudin dalam Twitternya.

Hingga kini, para ahli akademik Umno berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatakan British bukannya penjajah Malaya tetapi hanya pelindung sahaja.

Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong dalam tulisannya sebelum ini sudah meramalkan, sasaran kenyataan Zainal Kling adalah untuk menafikan polis di rumah pasong Bukit Kepong adalah polis British sebagaimana dakwaan Mohamad Sabu.

Begitu juga kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang berkata, Mat Indera adalah komunis bertujuan untuk menafikan kenyataan Mohamad Sabu.

Kedua-dua kenyataan itu dibuat sekalipun berhadapan dengan bantahan kerana ia bertentangan dengan persepsi dan pendidikan rakyat Malaysia selama ini.

Yayasan Warisan Johor telah mengeluarkan sebuah buku pada tahun 2004 bertajuk 'Pengukir Nama Johor' yang membariskan Mat Indera sebagai salah seorang heronya dan dia bukan komunis.

Kata-kata pengantar buku itu telah dibuat oleh Abdul Ghani sendiri.

Apabila akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan Mat Indera adalah Komunis, Ghani telah menukar kenyataan itu selari dengan pendirian Umno, dari hero kepada petualang, dari pejuang kemerdekaan kepada komunis.

"Jika begitu apa tujuan sambutan merdeka pada 31 Ogos...merdeka dari siapa," kata seorang pemimpin PAS dalam satu majlis sebelum ini.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, pemimpin Umno kena bertanggung jawab dengan kenyataan yang dibuat oleh Zainal Kling itu dan kini Ramlah Adam kerana kedua-duanya ahli dan penyokong Umno.

Sehubungan itu juga, beliau meminta supaya Zainal bertaubat kerana kenyataan beliau boleh merosakkan negara.

"Bagi saya sejarawan seperti ini pada saya boleh merosakkan negara kita kerana mereka boleh putar belit fakta semata-mata untuk membolehkan Umno menjadi juara pada setiap masa," kata Husam.

Menurut Husam, sudah sekian lama British dalam dokumen-dokumennya di London menganggap Malaya adalah tanah jajahan mereka.

Oleh itu, apabila Zainal Kling membuat kenyataan sebegini, ia satu usaha untuk menulis semula sejarah yang sudah dimaktubkan dalam pelbagai dokumen sejarah.

Blogger Umno bantah

Sementara itu, pandangan Zainal dan Ramlah dibantah oleh penulis Umno sendiri, Aspan Alias melalui blognya. Beliau turut menuntut agar Umno membuat pendirian mengenainya.

"Jika apa yang diperkatakan oleh Zainal Keling itu maka saya kesal dengan Che’ gu saya yang bernama Miss Lim semasa saya darjah 5 dahulu kerana memberitahu saya dan murid sedarjah dengan saya yang kita menyambut hari kemerdekaan pada setiap 31 Ogos kerana memperingati saat negara kita terlepas dari penjajahan kuasa asing ke atas negara kita.

"Saya juga menyampah dengan Joginder Singh kerana dalam buku beliau yang menjadi buku teks sejarah semasa itu menyatakan dengan jelas yang Malaya terlepas dari penjajahan Inggeris pada 31 Ogos 1957. Hendak berhujah dengan Joginder Singh pula masalahnya beliau sudah meninggal dunia. Atau pun saya persalahkan Kementerian Pelajaran semasa itu yang memilih buku sejarah karangan Joginder Singh ini sebagai buku teks semasa itu.

"Kenapa baru sekarang ada yang memberitahu yang kita adalah seperti negara Thai yang tidak pernah dijajah. Kenapa semua pensyarah dan semua rakyat mengatakan yang kita tidak pernah dijajah oleh sesiapa?" tulis beliau.


Naik gaji guru RM200 untuk kaburi mata rakyat | Print |
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Kerajaan BN dijangka akan mengumumkan insentif baru dalam masa terdekat berupa pengumuman kenaikan gaji guru sebanyak RM200 sebulan, bagi mengelaburi mata rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Insentif tersebut dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menggambarkan kepada rakyat kononnya Kerajaan BN adalah kerajaan yang prihatin dengan permasalahan rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, selain itu, Kerajaan BN dijangka akan turut mengumumkan beberapa insentif lain kepada orang ramai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, bagi mengimbangi janji yang dibuat oleh Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Menurut beliau, beberapa hari lalu, Perdana Menteri telah membayangkan tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan janji untuk mengkaji semula akta itu, sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak rakyat.

Katanya, selain akta itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam kenyataannya sebelum itu turut menjelaskan langkah Kerajaan BN untuk turut mengkaji beberapa akta lain termasuk undang-undang yang berkaitan dengan ISA.

"Kesemua tindakan Kerajaan BN itu sebenarnya jelas meniru langkah yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah negara seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Malah di dalam buku Jingga, jika diberikan mandat memerintah negara oleh orang ramai pada PRU Ke-13 ini, Pakatan Rakyat bukan berjanji akan menaikkan gaji guru sebanyak RM200, tetapi sebanyak RM500 sebulan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Dalam buku Jingga juga, menurut beliau, turut ditegaskan langkah yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat jika diberikan mandat memerintah negara yang bukan sahaja akan memansuhkan ISA, tetapi kesemua akta-akta zalim yang dilaksanakan di negara kita sekarang.

"Jadi langkah yang dibuat oleh Kerajaan BN sekarang jelas meniru Buku Jingga walaupun tidak kesemuanya. Menjelang PRU Ke-13, saya yakin banyak lagi langkah-langkah yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat seperti yang dijelaskan di dalam Buku Jingga akan ditiru oleh Umno BN," katanya.

Dengan itu, tegas beliau, orang ramai boleh menilai sendiri kehebatan, kejujujuran dan keprihatinan Pakatan Rakyat terhadap rakyat berbanding BN, apabila kesemua tindakan yang dilakukan oleh Kerajaaan BN berhubung perkara itu amat diragui dari segi keikhlasan para pemimpinnya, sehingga jelas kelihatan seperti ada muslihat di sebaliknya.

Sehubungan itu, beliau yakin PRU Ke-13 nanti merupakan satu pertembungan yang sengit antara Pakatan Rakyat dan BN, apabila kecenderungan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat kini semakin ketara berbanding BN.

"Disebabkan terdesak, Kerajaan BN pimpinan Najib pasti akan berusaha menarik sokongan orang ramai dengan pelbagai cara, termasuk dengan menjanjikan pelbagai insentif kepada rakyat dengan mengambil contoh dari Buku Jingga, walaupun janji-janji yang dibuat oleh Perdana Menteri itu ternyata meragukan," ujar beliau.


Komunisme, nasionalisme bertentangan dengan Islam | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan bahawa bukan sahaja ideologi komunis bahkan nasionalisme juga turut bertentangan dengan Islam.

“Perjuangan yang sebenar ialah perjuangan Islam yang berlainan sama sekali dengan perjuangan komunis dan juga berlainan sama sekali dengan perjuangan nasionalisme yang juga turut tidak selari dengan Islam,” kata beliau.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tentang histeria politik tanah air sekarang yang seolah-olah menggambarkan hanya komunis yang bertentangan dengan Islam tetapi lupa bahawa ideologi nasionalisme juga turut bercanggah dengan Islam.

Ini sepertimana yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w tentang larangan berjuang di atas nama asobiyyah yang menyeru ke arah memperkukuhkan kezaliman di atas muka bumi.

“Dalam sunan Abi Daud, Nabi kita Rasulullah s.a.w. menegaskan secara tersangat jelas tentang bahana bahaya dan haramnya asobiyah iaitu semangat nasionalisme yang membantu golongan yang zalim yang menganiaya mereka yang tidak bersalah dengan meninggalkan ajaran Islam,” ujar beliau lagi yang juga merupakan Adun Manir Terengganu.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada satu hadis di dalam sunan Abi Daud yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, bukan daripada kalangan kami mereka yang menyeru kepada asobiyyah, dan bukan di kalangan kami mereka yang berjuang di atas asobiyyah dan bukan di kalangan kami mereka yang mati di atas perjuangan asobiyyah.


Pemuda PAS akan dedah 10 IC palsu setiap hari | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan mendedahkan kepada media, 10 kad pengenalan palsu setiap hari bermula hari ini.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, usaha itu bertujuan mendesak pihak kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kewujudan kad pengenalan palsu yang boleh memberi ancaman kepada negara.

Katanya, Pemuda PAS mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap manipulasi pilihan raya dengan menggunakan kad pengenalan palsu didakwa di mahkamah dengan segera.

Menurutnya, asas-asas yang membuktikan kad pengenalan palsu adalah kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam The Star pada 24 Julai 2011 yang menyatakan bahawa terdapat kad pengenalan klon (palsu) dalam daftar pemilih sah SPR.

Di samping itu, ujarnya terdapat dua nama yang sama di mana nombor kad pengenalan kedua-duanya hampir sama.

Katanya, kedua-dua identiti itu hanya dibezakan oleh beberapa digit nombor kad pengenalan sahaja.

Selain itu, katanya maklumat pengundi palsu itu pernah diwartakan oleh SPR sebagai pengundi.

Selepas Pemuda PAS membuat pendedahan, katanya SPR telah mengeluarkan daripada daftar pemilih sah atas alasan tiada rekod dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dihubungkan melalui sistem ALIS (Agency Link-Up System).

“Atas asas ini, maka kami berkeyakinan penuh bahawa kad pengenalan yang terbabit adalah 90% palsu,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Katanya, kewujudan kad pengenalan palsu adalah merupakan pengkhianatan kepada negara.

Tambahnya, keselamatan negara akan terjejas jika pihak yang bertanggungjawab terhadap manipulasi itu tidak dikenakan tindakan.

Tegasnya, rakyat negara ini wajib mendesak pihak kerajaan bertindak segera mengatasi masalah yang berlaku.

Justeru, beliau mengharapkan semua pihak termasuk media, pertubuhan politik, NGO, individu berpengarah dan seluruh rakyat Malaysia perlu memberi tekanan kepada pihak kerajaan bertindak membanteras pengkhianatan itu.

“Siarkanlah maklumat yang kami berikan dalam media masing-masing sama ada melalui media baru atau media elektronik atau media cetak.

“Maklumat yang kami siarkan adalah diperolehi daripada daftar pemilih yang sah dan rasmi SPR. Ia adalah maklumat public dan tidak rahsia,” ujarnya.

10 kad pengenalan palsu adalah seperti berikut:

1. Nama: JUMAAYAH BINTI ALUS

Nombor KP: 511122-10-5834

Alamat: Tiada

Dun: Sungai Burong

Parlimen: Tanjong Karang

2. Nama: SAINAM BINTI TUKISAN

Nombor KP: 500307-10-5474

Alamat: Jalan Anggerik

Dun: Sungai Panjang

Parlimen: Sungai Besar

3. Nama: KATIMAH BINTI KADNI

Nombor KP: 500808-01-5290

Alamat: Tiada

Dun: Sri Medan

Parlimen: Parit Sulong

4. Nama: BANYAH BINTI SATEMAN

Nombor KP: 481020-01-5614

Alamat: Tiada

Dun: Sedili

Parlimen: Kota Tinggi

5. Nama: JABIDAH BINTI YUSUP

Nombor KP: 470926-08-5666

Alamat: Manong

Dun: Manong

Parlimen: Kuala Kangsar

6. Nama: KARSINAH BINTI PAIMAN

Nombor KP: 420514-01-5164

Alamat: Tiada

Dun: Pulai Sebatang

Parlimen: Pontian

7. Nama: PONIYAM BINTI SAILAN

Nombor KP: 450930-10-5078

Alamat: Tiada

Dun: Tanjong Sepat

Parlimen: Sepang

8. Nama: SALEH BIN TUPAI

Nombor KP: 650715-12-5013

Alamat: Tiada

Dun: Tanjong Batu

Parlimen: Kalabakan

9. Nama: TOMINI BINTI SARMAN

Nombor KP: 470109-01-5692

Alamat: Tiada

Dun: Sedeli

Parlimen: Kota Tinggi

10. Nama: AZINAH BT MOHD FAZIN

Nombor KP: 800820-02-5150

Alamat: KM12 Jalan Tokai

Dun: Tokai

Parlimen: Pendang


Mafrel saran kaji ketahanan dakwat kekal | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Badan Pemantau Pilihan Raya Adil dan Bebas Malaysia (Mafrel) menyarankan kajian terperinci mengenai ketahanan dakwat kekal turut dilakukan di Malaysia.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, semua pihak perlu tahu mengenai keberkesanan penggunaan dakwat kekal dalam proses pengundian sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Ia ekoran satu kajian yang dijalankan di Eropah mendapati dakwat kekal yang disarankan Pakatan Rakyat dalam proses pengundian mudah dipadam dengan bahan yang sedia ada di pasaran.

"Walau apa pun mekanisme yang ingin digunakan, kerajaan kena siasat secara spesifik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Syed Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mengkaji secara menyeluruh prosedur penggunaan dakwat itu dan sejauh mana ia boleh dipadamkan seperti yang didakwa kajian tersebut.

Kajian itu juga harus melibatkan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) contohnya Mafrel sendiri.

"Kita kena meneliti hasil kajian di Eropah itu. Mungkin apa yang dimaksudkan, ia senang dipadamkan setelah beberapa hari, bukan pada hari pengundian," katanya

Beliau juga hairan secara tiba-tiba kajian itu wujud sedangkan sewaktu SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal di saat-saat akhir sebelum pilihan raya umum lepas, mereka memebri alasan ia atas faktor keselamatan.

Mereka mendakwa terdapat pihak yang turut membeli dakwat tiruan di Thailand selain yang dibeli kerajaan di India bernilai RM2.4 juta.

"Saya pun hairan kenapa tiba-tiba kata dakwat ini mudah dipadam. Dulu SPR batalkan penggunaanya atas sebab keselamatan, sekarang timbul kajian ini pula.

"Sebab itulah SPR harus menangani perkara ini dengan baik, buat satu kajian yang menyeluruh, bukan secara 'adhock' apabila timbul sesuatu isu," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Lebih baik dakwat kekal berbanding biometrik


Sementara itu, beliau tetap menegaskan bahawa penggunaan dakwat kekal lebih baik daripada biometrik dalam menangani isu pengundi hantu.

"Mafrel tetap menyokong penggunaan dakwat kekal yang kosnya lebih rendah berbanding biometik.

Jelas beliau, sistem biometrik memerlukan kajian yang lebih mendalam selain sukar untuk dilaksanakan kerana perlu mendapat pengesahan banyak pihak termasuk pengundi sendiri.

“Sistem biometrik ini kos lebih tinggi dan persoalannya adalah bagaimana sistem ini beroperasi dan ia juga memerlukan pengesahan dari semua pihak," katanya.

Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mengadakan perhimpunan 9 Julai lalu di ibu negara.

Tiada ulasan: