KUALA LUMPUR, 23 Sept: Seorang pelajar, Muhamad Akram Sujut, 16, (gambar) hilang dan tidak dapat dikesan sejak 13 September lalu apabila beliau didapati masih belum pulang ke asrama sekolahnya di Pondok Beta Hilir di Kota Bharu, Kelantan hingga hari ini. Sehubungan itu, orang ramai diminta berkerjasama mengesaninya serta melaporkan kepada keluarganya dengan segera jika menemuinya di sebarang tempat bagi menyelamatkan beliau dari segala kejadian tidak diingini. Ayahnya, Sujut Esmon, 45, yang tinggal di B8-10-8, Flat Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani anaknya bagi menyelamatkan Muhamad Akram dan membolehkan beliau menjalani kehidupan seperti biasa. Menurut Sujut, kehilangan Muhamad Akram amat menyedihkan beliau dan seluruh keluarganya serta penuh tanda tanya, setelah beliau menghantarnya ke Stesyen Bas Hentian Putra, di sini, pada jam 10.00 malam 12 September lalu untuk pulang ke asrama sekolahnya. Katanya, pada sekitar jam 8.15 pagi 13 September lalu, Muhamad Akram ada menelefon beliau melalui telefon bernombor 09-7434447 dan memberitahu kepadanya bahawa beliau telah sampai di Stesyen Bas Kota Bharu. "Melalui perbualan menerusi telefon itu, dia juga meminta nombor telefon ustaznya yang bernama Nazri daripada saya," katanya ketika berkunjung ke pejabat Harakahdaily, di sini, hari ini. Pada petang hari yang sama, menurut beliau, beliau telah menerima panggilan telefon daripada kawan anaknya yang tidak beliau pastikan namanya melalui telefon bernombor 014-8092693 yang memberitahu anaknya masih tidak sampai di Pondok Beta Hilir. Katanya, sehingga ke hari ini, anaknya masih juga tidak sampai ke Pondok Beta Hilir dan gagal dikesani, walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh beliau, keluarganya, saudara maranya dan rakan-rakannya untuk mencari dan mengesani anaknya. Dalam usaha mencari Muhamad Akram, beliau telah mendapatkan kerjasama daripada pihak polis dengan membuat laporan kehilangan anaknya di Balai Polis Kota Bharu, Kelantan pada 15 September lalu. Beliau yang berkerja sebagai peniaga menjelaskan, usaha mencari anaknya telah dilakukan di Kelantan termasuk di Tanah Merah dan Machang, dengan kerjasama saudara mara dan sahabat handai beliau dan isterinya yang berasal dari Machang. Selain itu, berita mengenai kehilangan anaknya telah disiarkan di TV3 pada pagi semalam, setelah beliau berkunjung ke stesyen TV3 untuk memaklumkan kejadian itu. "Tetapi sehingga sekarang, anak saya masih juga tidak ditemui. Inilah yang merisaukan kami sekeluarga. Saya amat mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mengesani dan mencari anak saya itu," katanya. Anak beliau, jelasnya, mempunyai ketinggian lebih kurang 5 kaki 6 inci, berkulit putih, berbadan sederhana. Semasa keluar dari rumah, Muhamad Akram berpakaian T shirt putih berline hijau dan berseluar jeans hitam. Kepada orang ramai yang menemuinya diharap menghubungi Sujut di talian 019-3389960 atau 013-3134223.
Nasrudin bin Hassan | 1. Tidak ada petir, tidak ada guruh, tiba - tiba isu perlaksanaan hukum hudud timbul kembali. Pada pandangan saya, apabila timbul isu perlaksanaan hukum hudud dan ia dimulakan oleh pemimpin dan mantan pemimpin UMNO dan BN maka ia menandakan masuknya musim pilihanraya.
2. Isu perlaksanaan hukum hudud tidak akan kedengaran atau ia tidak akan menjadi polemik jika tidak kerana datangnya musim pilihanraya. Isu ini tidak pernah muncul pada musim panas mahupun musim sejuk. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim - musim lain seperti musim haji, musim perayaan, musim cuti hatta musim durian sekalipun. Isu hudud hanya muncul dengan segala ribut polemiknya apabila tiba musim pilihanraya.
3. Hudud adalah sebahagian dari syariat Allah swt yang telah dinaskan di dalam al Quranul Karim. Tuntutan melaksanakannya adalah kekal sejak ia diwartakan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta langit, bumi, manusia dan seluruh alam cakrawala ini. Justeru itu, ia bukan satu isu ! sebaliknya ia adalah ilmu dan syariat yang mesti dipelajari, difahami, dilaksana dan dihayati oleh ummat Islam.
4. Saya kagum dan menyokong kenyataan YAB Ayahanda Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang konsisten dengan pendirian dan prinsip perjuangan Islam yang didokong. Sebetulnya adalah satu keistiqamahan yang dituntut kepada semua pemimpin dan anggota Jamaah Islam. Maka saya tidak nampak sebarang isu atau polemik di situ melainkan musim pilihanraya telah tiba.
5. Perbahasan mengenai hudud tidak selayaknya di media kerana ia bukan isu politik untuk dipolemikkan, tetapi ia adalah ilmu dan syariat yang mempunyai kaedah, usul dan feqh yang perlu dipelajari dengan jujur, difahami dengan halus, diamal dengan telus dan dihayati dengan tekun.
6. Perbahasan dan pengkajian mengenai hudud mesti melalui seminar kefahaman yang berterusan, pengajian khusus di pusat pengajian Islam seperti Universiti, madrasah, masjid, usrah, forum, diskusi, wacana, dialog atau halaqah - halaqah tertentu yang dilakukan secara berterusan.
7. Saya menyarankan kepada semua termasuk non muslim dan khasnya kepada pemimpin - pemimpin Umno dan BN yang mahu memahami dan mendalami hukum hudud dan perlaksanaannya supaya daftar dan menyertai kelas pengajian di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad [KUIZM]. Inilah antara tempat yang sesuai untuk belajar, berdiskusi dan berwacana kearah memahami hukum hudud yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'
8. Berbahas dan berpolemik di dada media, pula mendedahkan isu ini kepada komentar orang ramai yang bercakap tidak berasaskan ilmu adalah suatu yang tidak selayaknya berlaku justeru ia akan mendedahkan kesucian hukum Allah swt ini kepada pencemaran fikrah [pemikiran] dan aqidah [keyakinan].
9. Musim pilihanraya hampir serupa dengan musim tengkujuh dalam beberapa aspek terutama ribut yang menghuru - harakan dan petir yang gegak gempita. Kini Umno dan Agensinya sedang porak peranda ekoran siri pendedahan yang konsisten Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi memenangkan Umno dan BN melalui cara yang tidak demokratik.
10. Selesaikan dulu kepincangan politik dan ketempangan demokrasi negara kerana inilah isu sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat keseluruhannya mendepani pilihanraya umum yang akan datang.
Hak mereka mengundi tercalar dengan wujudnya ic klon dan nama pemilih yang bertindih.
Kedaulatan negara terganggu dengan wujudnya pemegang ic berkod 71 tanpa dikenali dan diketahui asal usulnya dengan jumlah melebih 170 ribu.
Demokrasi tercemar apabila peraturan yang digubal tidak konsisten dan tidak saksama.
Integriti pengendali sistem pilihanraya [SPR] negara yang tercalar kerana sikap yang bias dan tidak telus. ------------------------------------------------------------------------- Nasrudin bin Hassan adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
AS musuh utama keamanan dunia Mohd. Nasir Awang | Hari ini, Jumaat, 23 September 2011 menjadi tarikh amat bersejarah buat para pencinta keamanan dan kedamaian dunia, khususnya yang selama ini merindui wujudnya sebuah negara berdaulat dinamakan Palestin.
Pihak Berkuasa negara itu (PA) dijadualkan mengemukakan permohonan rasmi kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi diiktiraf sama ada sebagai anggota yang sah kepada badan dunia itu, atau sekurang-kurangnya sebagai negara bukan anggota.
Kejayaan salah satu usaha itu menandakan PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat. Status itu melayakkan Palestin memiliki pelbagai hak sebagai sebuah negara dan mempertahankan kepentingannya mengikut piagam dan peraturan dunia. Antaranya menandatangani perjanjian-perjanjian antarabangsa, termasuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Kelebihan itu membolehkan Palestin antara lainnya mendakwa mana-mana pihak (khususnya Israel dan sekutu-sekutunya) di atas jenayah kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat selama berdekad ini.
Dikatakan sehingga kini sudah ada 120 negara mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka. Manakala sebilangan lagi dijangka memberikan sokongan bagi menjayakan permohonan negara itu di Persidangan PBB nanti.
Namun sepertimana dijangka, ia bukanlah usaha yang mudah. Halangan dan usaha menggagalkan hasrat murni itu sememangnya wujud. Bahkan, walau pun majoriti negara dunia merestui usaha Palestin itu, terdapat sebilangan pihak, termasuk yang memiliki kekuasaan dan pengaruh ke atas masyarakat dunia sedang giat memastikan negara bernasib malang itu tidak mencapai hasratnya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa andaikata ada hanya satu entiti yang dianggap halangan utama tercapainya kehidupan aman damai buat rakyat Palestin, maka entiti paling bertanggungjawab di atas kesengsaraan mereka itu ialah Amerika Syarikat (AS).
Walau pun pada zahirnya penderitaan warga bumi Masjidil Aqsa itu disebabkan sifat kebinatangan rejim haram Israel, peranan AS sebagai pelindung dan pembela segala tindakan negara terkutuk itu tidak syak lagi menjadi pendorong dan pemangkin kebuasan dan keganasannya.
Sejak sekian lama negara yang kononnya bertindak sebagai ‘polis dunia’ dan bertanggungjawab memastikan wujudnya keamanan sejagat itu sebenarnya hanya pencacai yang tunduk kepada hasrat menjaga kepentingan Israel. Sebab itu dalam apa jua keadaan, ia akan mengerah seluruh kekuatan serta memanfaatkan segala kedudukannya untuk mempertahankan rejim haram itu.
Media massa sejak minggu lalu banyak melaporkan keresahan AS terhadap usaha terbaru Palestin ini. Ia bimbang sekiranya negara yang menjadi medan pemuas nafsu Israel itu berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa, ia akan merencat dan menyulitkan agenda ganas dan buas Israel selepas ini.
Pengiktirafan terhadap kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara bakal membawa beberapa implikasi penting, yang sudah tentu memberikan keuntungan kepada negara itu dan di masa sama ‘bencana’ buat Israel.
Pemohonan PA disertakan hasrat mengikut garisan sempadan sebelum Perang Enam Hari 1967. Bermakna, jika diiktiraf dan diterima dengan syarat itu, Israel akan dipaksa keluar dari bumi yang kini dijajah dan dijadikan sebahagian negara haram itu. Dikatakan kini terdapat lebih 500,000 warga Israel menetap di kawasan dipertikaikan itu.
Resolusi 242 yang menetapkan Israel mesti keluar dari tanah dimaksudkan itu sebenarnya telah pun diluluskan PBB sejak November 1967. Namun disebabkan Palestin dianggap tiada kedaulatan sebagai sebuah negara, maka ia memberi kesempatan dan kemenangan percuma kepada Israel untuk terus memperkotak-katikkan keputusan badan dunia itu.
Kerakusan Israel terhadap Palestin tidak pernah kendur semenjak ia dimulakan pada 14 Mei 1948. Apa dipedulikannya dengan puluhan perjanjian dan piagam diputuskan PBB? Bila masa ia sedia tunduk atau hormat kepada sebarang resolusi dipersetujui khalayak antarabangsa? Timbunan kutukan dan kecaman dari seluruh dunia langsung tidak meninggalkan kesan kepada mereka, apatah lagi untuk membantutkan sebarang hasrat dan usahanya menjarah bumi Palestin.
Dari masa ke semasa akan ada serangan dan tindakan ketenteraan ke atas wilayah Palestin, di atas apa jua alasan dan dorongan. Halangan terhadap tindakan Israel memperluaskan penempatan haram di bumi Palestin juga bagaikan tidak pernah berkesan. Bangsa terkutuk itu hanya buat-buat pekak badak terhadap larangan atau kutukan dunia.
Ia terus juga menyondol bumi Palestin, mendirikan ceracak dan membina penempatan untuk warganya. Malah tidak sedikit juga kejadian di mana tentera Israel bersama warga awamnya hanya datang secara tiba-tiba ke rumah penduduk Palestin, menghalau tuan empunya rumah dengan rakus dan sewenang-wenang menjadikan rumah itu hak milik mereka. Celaka sungguh bangsa Israel ini, bukan?
Dalam setiap insiden keganasan dicetuskan bangsa terkutuk itu, dunia kerap berlengah dan bertangguh mengambil kata putus menghentikannya. Ia memberikan ruang secukupnya buat bangsa ganas itu menyempurnakan pembantaian dan pembunuhan. Pengusiran juga berlaku saban minggu dicelah-celah suara kecaman dan kutukan antarabangsa.
Ketidakupayaan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Liga Arab, serta kelengahan PBB menangani keadaan memberi ruang seluasnya untuk Israel mengganas sepuasnya.
Kerapkali usaha damai dan cadangan gencatan senjatan awal-awal lagi digagalkan AS menggunakan kuasa vetonya. Itulah faktor utama menambah keangkuhan Israel. Ia bagaikan diberi “lesen besar” untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingannya atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.
Bukan itu sahaja, selaku penguasa rangkaian propaganda dunia, kuasa besar itu turut mencorakkan pemikiran dunia bahawa apa yang dibuat Israel itu adalah demi mempertahankan kedaulatan negaranya, serta menghalang aktiviti terrorisme dari rakyat Palestin.
Dunia sentiasa diberikan gambaran negatif tentang perjuangan menuntut pembebasan dan kedamaian Palestin. Sebaliknya, keganasan dan kebuasan Israel dianggap halal dan diberikan gambaran positif.
Persepsi antarabangsa dicorakkan agar cenderung mencari kesalahan Palestin dalam setiap insiden. Umpamanya, banyak pihak lebih suka bertanya kenapa Palestin tidak mengiktiraf Israel, tetapi tidak ramai yang bertanya kenapa Israel tidak mahu keluar dan berhenti mengambil hak rakyat Palestin?
Lebih malang lagi, ada pemimpin negara Islam yang menyeru Palestin agar menghentikan intifadhah bagi memulihkan usaha damai dengan Israel. Dunia seolah-olah masih tidak faham punca sebenar pergolakan. Apa yang diperbesarkan ialah imej pemuda Palestin membaling batu yang disifatkan ‘ganas’, atau kejadian pengeboman berani mati.
Sejarah membuktikan betapa AS selaku kuasa besar tunggal dunia kini dan sering dianggap ‘polis dunia’ tidak boleh diharapkan untuk mencapai keamanan. Nampak sangat ia amat hipokrit dalam tindakannya menangani konflik Palestin-Israel.
Sebab itu ketika seluruh dunia hari ini kelihatan merestui hasrat Palestin muncul sebagai sebuah negara berdaulat, AS berusaha keras menggagalkannya. Siang-siang lagi ia memberi amaran akan menggunakan kuasa vetonya untuk menolak permohonan PA pada Majlis Keselamatan PBB. Ia juga mengancam akan menarik balik dana tahunan AS$600 juta (RM1.8 bilion) kepada PA jika meneruskan hasratnya itu.
Seluruh dunia yang cintakan kedamaian dan keamanan, terutama dunia Arab dan Islam, wajar sepakat dan bersependirian bahawa selama mana dunia tidak bertindak dengan lebih berani, selama itulah kenagkuhan dan kekejaman Israel akan terus meningkat.
Sikap tidak bertanggungjawab AS itu mengiyakan pandangan bahawa usaha menentang Israel dan menamatkan kerakusannya ke atas Palestin tidak akan berhasil sekiranya serentak itu dunia tidak sama-sama bertindak terhadap AS. Negara itu adalah saham utama keganasan Israel dan sama-sama menjadi musuh utama keamanan dunia.
Nasir Zakaria: Pemuda Umno hina peranan NGO Mohd Nasir Zakaria | Non-governmental organization, ataupun dikenali sebagai NGO atau sekarang mula dipopularkan dengan nama Lembaga Swadaya Rakyat adalah organisasi yang diwujudkan secara bebas daripada kerajaan.
Selepas kerajaan dan swasta, NGO adalah satu lagi ejen pembangunan negara yang berperanan penting sebagai pengimbang dan penyumbang penting negara.
Sebagai pergerakan yang tidak berasaskan keuntungan, bersifat sukarela dan melangkaui peranan parti politik, NGO berperanan besar sebagai penghubung kepada semua ejen pembangunan negara dan lebih terbuka serta lebih mudah disertai oleh semua golongan.
Ahli kepada NGO berkongsi matlamat dan tujuan yang sama, baik untuk tujuan sosial, perundangan, hak-hak tertentu, alam sekitar, haiwan, pengguna, pembangunan komuniti, pendidikan, agama, wanita, belia, mahasiswa ataupun apa-apa tujuan yang eksklusif.
Rekod menunjukkan terdapat 40 000 NGO yang beroperasi di peringkat antarabangsa bahkan di India dianggarkan terdapat 3.3 juta NGO pada tahun 2006.
Menilai gelagat pemimpin politik yang akhir-akhir ini melihat pemimpin NGO sebagai pesaing kepada pemimpin politik adalah agak melucukan. Ketakutan yang bagi saya lahir daripada peranan yang semakin luas yang berjaya dimainkan dan dijuarai oleh pemimpin NGO yang berkecimpung secara langsung dengan masyarakat.
Mereka bergelumang di dalam massa tanpa mengira malam siang serta risiko yang terpaksa ditempuh. Bahkan sebahagian mereka menggunakan daya usaha sendiri mencari dana tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun mana-mana pihak.
Ada beberapa pandangan sisi saya berkaitan komen pemimpin Pergerakan Pemuda Umno negeri Kedah.Pertama. Kenyataan Ketua Pemuda Umno Kedah itu menghina NGO yang bergerak membantu dengan ikhlas pembangunan agama, bangsa dan negara.
Kedua. Ketakutan pemuda Umno yang tidak berasas berkaitan dengan kegilaan pemimpin NGO untuk menjadi calon.
Ketiga. Menafikan peranan NGO yang berjaya menggerakkan kesedaran sivil termasuk politik, ekonomi dan sosial. Kebangkitan NGO termasuk BERSIH 2.0 yang telah berjaya menyedarkan masyarakat sivil dan awam terhadap politik amat membimbangkan Umno.
Keeempat. Kemampuan NGO mengumpulkan khalayak yang ramai benar-benar mengejutkan Umno yang sedang terkial-kial cuba meraih simpati masyarakat terutama pasca PRU 12.
Kelima. Penyertaan pemimpin-pemimpin NGO yang secara kebetulannya ramai yang mesra pembangkang dan kritikal terhadap dasar Kerajaan Barisan Nasional memberi petanda buruk terhadap BN Umno
Keenam. Kegagalan kepimpinan Umno untuk mengheret pemimpin NGO menyokong dasar tidak popular BN yang menekan rakyat.
Justeru, saya berpandangan bahawa perkembangan yang berlaku ini kurang positif. Peranan NGO yang amat besar itu cuba diperlekehkan oleh Pemuda Umno ------------------------------------------------------- YB Ustaz Mohd Nasir Zakaria adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah dan juga Ahli Parlimen Padang Terap. |
Khairil Abdul Rahim | BERA, 23 Sept: Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsan (Anak) Mazlan Aliman menganggap tindakan ahli Umno menghalang misi amal PAS untuk membaiki rumah seorang warga emas sebagai politik balas dendam, kolot dan kebudak-budakan. (Beginilah keadaan atap rumah seorang warga emas yang cuba diberi bantuan tetapi dihalang) Menurutnya, usaha murni yang disertainya itu bertujuan untuk membantu golongan miskin atau kurang berkemampuan terutama dalam kalangan warga emas dan ibu tunggal.
Namun oleh kerana berlainan faham politik, mereka sanggup menghasut supaya tidak menerimanya.
Mazlan menceritakan, peristiwa tersebut berlaku di Kampung Tan Sri Hamzah dekat sini baru-baru ini apabila seorang ibu tunggal warga emas yang tinggal dalam kedaifan pada asalnya bersetuju menerima bantuan misi amal PAS.
“Apabila menerima persetujuan daripada warga tua itu, kami mengutip derma dan menghantar bahan-bahan binaan yang diperlukan untuk mengganti atap lama rumahnya.
“Namun, cukup mengecewakan apabila usaha murni melalui pertolongan misi amal itu ditolak penerima dan anak-anak mereka mentah-mentah,” katanya.
Bagaimanapun, pihak PAS tidak memaksa penerima tetapi percaya perkara itu berlaku akibat segelintir orang Umno tempatan meminta warga tua dan anak-anaknya itu tidak menerima bantuan misi amal PAS dengan pelbagai ugutan.
Mazlan berkata, PAS hanya melaksanakan tanggungjawab untuk membantu golongan miskin yang mengadu rumahnya daif sementara sumbangan yang diberi merupakan derma daripada orang ramai.
“Sebelum ini, kami juga membuat lawatan di rumah warga emas itu dan dia sendiri menceritakan masalah atap bocor kepada kami. Pada awalnya kami tidak menjanjikan apa-apa tetapi memberitahunya akan berusaha membantu,” katanya.
Menurutnya, selepas warga tua tersebut menolak, bahan binaan itu diberi pula kepada penerima lain yang berkelayakan.
Tambah Mazlan, misi amal itu tidak akan berhenti hanya kerana penerima menerima ugutan pihak Umno supaya tidak menerimanya, malah ia akan terus diaktifkan lagi untuk membantu golongan memerlukan. |
|
| |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan