KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memulakan hujah dalam forum malam tadi dengan melahirkan rasa pelik kenapa beliau diserang begitu rupa oleh Umno dan akhbarnya Utusan Malaysia dan media pro-Umno yang lain.
Menurutnya, malam tadi genap 12 hari 12 malam beliau diserang.
"Bermula 21 Ogos hari tu sehinggalah hari ini. Setengah jam warta berita, 10 minit serang saya.
"Saya pun kadang-kadang duduk depan cermin perhati diri saya, dimana mereka takut sangat kat aku ni. Kaya pun tidak, berpengaruh pun tidak," katanya disambut ketawa hampir 200 hadirin yang hadir.
Turut serta sebagai panel forum anjuran NGO - Free Public Forum M'sia (FPF) itu ialah Pakar Perlembagaan Prof Dr Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan penulis blog, Hishammudin Rais.
Forum bertajuk 'Mat Indera - Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan' itu berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KSCAH).
"Ada yang cadang saya dibuang ke luar negara, ada yang cadang saya di ISA, ada yang cadang saya dibuang sahaja ke Laut China Selatan. Ugutan mcm-macam.
"Ini tidak lain kerana apa yang saya cakap dicampur dengan rekaan Utusan, apa yang saya tak cakap dilaoporkan sebagai cakap. Ini satu fitnah," katanya menjelaskan penyebab dirinya diserang.
Berhujah lanjut, Mohamad tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Mohamad Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukan pengkhianat bangsa seperti dituduh Umno.
Perkara itu juga menurutnya dinukilkan sendiri dalam buku "Pengkukir Nama Johor" pada halaman 107 hingga 117 yang menceritakan latar belakang dan perjuangan Mat Indera sebagai pejuang bangsa.
Sambil merujuk tragedi Bukit Kepong 1950 lalu, Timbalan Presiden PAS itu berkata anggota polis di Rumah Pasung yang diserang Mohamad Indera adalah polis British.
"(Kepada) polis jangan lah panik, pembahaginya adalah 31 Ogos 1957, serangan (Rumah Pasung) Bukit Kepong itu sebelum merdeka, anggota polis sebelum 1957 adalah polis British," katanya sebagai jawapan kepada anggota dan pesara polis yang dilaporkan Utusan sebagai tidak senang dengan kenyataannya.
Pecah tembelang
Dalam pada itu Hishammudin Rais pula berkata, Mohamad diserang kerana penipuan fakta kemerdekaan oleh Umno selama ini ibarat sudah pecah tembelang.
Kontroversi kenyataan Mohamad berhubung isu Mat Indera katanya telah menyebabkan masyarakat mula sedar sejarah sebenar kemerdekaan.
"Untuk Umno, (Bukit Kepong) inilah kiblat perjuangan mereka. Setiap tahun tunjuk Bukit Kepong.
"Sekarang Umno dan Utusan takut sebab tembelang pembohongan sudah pecah, kiblat mereka sudah runtuh," katanya sambil memuji keberanian Mohamad.
Umno juga jelasnya cuba memperbodohkan rakyat dengan tulisan sejarah versi mereka.
Sehubungan itu, isu Mat Indera ini perlu dijadikan momentum untuk rakyat melihat kembali sejarah negara.
Aziz Bari pula turut sependapat bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan bukan pengkhianat bangsa seperti didakwa Umno.
Katanya ianya turut dibuktikan dengan beberapa fakta sejarah dan testimoni ahli keluarganya.
"Sehingga kini belum ada kenyataan konkrit bagi menafikan hujah ini," katanya.
Dalam forum tersebut, kesemua mereka juga turut bersetuju agar sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini perlu juga mengiktiraf jasa golongan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang mengangkat senjata menentang penjajah, dan bukannya dari tokoh Umno semata-mata. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan