Sabtu, 17 September 2011

PEMBELOT..PEMBULI BANGSA TAK PE LAGI...JANGAN PEMBELOT...PEMBULI...DAN MENZALIMI ISLAM...NI LAGI HARU....AKHIRAT HUKUM SETIMPAL MENUNGGU...BERTAKWALAH

Jika Najib ikhlas, bebas atau dakwa tahanan ISA | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini digesa membebaskan semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Penjara Kamunting sebagai langkah keikhlasan pertama ekoran pengumuman beliau untuk menghapusan akta tersebut.

“Jika tidak dapat dibebaskan dengan serta-merta pun, PAS menggesa agar tahanan tanpa bicara ini dapat dihadapkan ke mahkamah serta-merta supaya mereka dapat membela diri sekiranya kerajaan mendakwa mempunyai bukti kukuh bahawa mereka adalah golongan pengganas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan mereka yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan kekal dalam jagaan sehingga dua akta baru diluluskan.

Beliau turut menambah, tahanan yang sedia ada buat masa ini telah ditahan kerana disyaki mempunyai talian dengan rangkaian pengganas.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri berkata dua akta baru hanya akan dibentangkan di parlimen pada tahun depan.

“Amat dikesali kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA kini akan kekal ditahan sehingga dua akta baru menggantikan ISA disiapkan.

Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambahkan perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib semalam,” bidas Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim berkata seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah keikhlasan dan demi membantu Najib mendapatkan


Ada pihak cuba sabotaj sambutan Hari Malaysia | Print |
Atif Idris

MACHANG, 17 Sept: Konsep 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri kini dianggap semakin malap apabila diskriminasi agensi-agensi kerajaan pusat terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat semakin menjadi-jadi.

Terbaru terbukti semalam apabila sebanyak 20 kontinjen yang mewakili sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran difahamkan diarah menarik diri di saat-saat akhir bagi menyertai perbarisan sempena Hari Malaysia.

Sebelum ini akhbar Harakah mendedahkan Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang dilaporkan secara terang-terangan meminta guru-guru dan keluarga mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Permintaan dibuat ketika beliau berucap pada majlis makan colek di Gua Musang dan beberapa tempat lain pada Ramadan lalu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perbarisan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia sepatutnya turut disertai kontijen dari sekolah di bawah Jabatan Pelajaran.

Katanya, biar pun difahamkan 20 kontinjen dari sekolah terbabit menarik diri di saat-saat akhir, namun kemeriahan sambutan ulangtahun merdeka tetap terasa apabila 75 kontinjen lain mengambil bahagian.

”Sebelum ini beberapa program kerajaan negeri yang melibatkan portfolio penerangan disabotaj pihak tertentu dengan menyekat pelajar sekolah kementerian daripada turut serta.

“Perbuatan tersebut seolah-olah menggambarkan hari kemerdekaan hanya milik Umno, sedangkan majlis sambutan diadakan serentak di seluruh negara.

“Kami kesal terhadap tindakan tidak profesional tersebut kerana ia tidak mencerminkan semangat 1Malaysia seperti dilaungkan Perdana Menteri,” katanya di sini semalam.

Dr Fadzli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi berkata, sebagai rakyat yang cintakan tanah air, sepatutnya tidak ada pihak cuba menggagalkan program sambutan Hari Merdeka di Kelantan.

Oleh itu beliau berharap semua pihak perlu memerdekakan diri daripada kongkongan kefahaman politik sempit kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak yang cuba menggagalkan sambutan ulangtahun kemerdekaan di sini.

”Mereka seperti tidak ada semangat kemerdekaan. Sedangkan sambutan ini dibuat dengan kerjasama erat kerajaan negeri dan pusat,” katanya.


PM mansuh ISA di saat terdesak | Print |
Atif Idris

MACHANG, 16 Sept: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai langkah di saat-saat terdesak.

“ISA sepatutnya dihapus sejak lama dulu dan bukan di saat-saat terdesak seperti sekarang. Zaman komunis sudah lama berlalu, lagi pun tidak ada lagi fahaman komunis kecuali sekular di Malaysia.

“Sejak dahulu ISA telah membuat jenayah kepada alim ulama di Kelantan. Sebab itulah saya menyertai PAS kerana melihat pengkhianatan Umno terhadap alim ulama.

“Ulama PAS dikenakan ISA sedangkan kita ada mahkamah, hakim dan peguam,” katanya ketika ditemui pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia di padang Majlis Daerah Machang di sini, hari ini.

Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan dan Hari Malaysia diserikan pelbagai persembahan antaranya kebudayaan melibatkan Melayu, India dan Cina.

Selain itu pertunjukan mempertahankan diri dan tempur tanpa senjata oleh Rejimen Askar Melayu Diraja yang memukau hadirin.

Perdana Menteri malam tadi mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Buang Negeri 1959 dalam ucapan perutusan khasnya sempena Hari Malaysia.

"Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri pada 3 April 2009, ISA akan dikaji secara komprehensif.

"Suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus," kata Najib.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, apa tujuan diwujudkan sistem kehakiman kalau rakyat disekat membela diri daripada tuduhan tertentu.

“Alim ulamak adalah golongan yang mengajar supaya manusia taat kepada Allah dan meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dilarang Islam,” tambah beliau.

Menurutnya juga Nabi Muhammad saw memerdekakan manusia daripada syaitan kepada mentaati Allah SWT seperti sering disebut dalam permulaan solat setiap hari.

Katanya, Nabi Muhammad saw ialah penganjur kemerdekaan yang sebenar di dunia, berjuang memerdekakan umat Islam daripada gangguan nafsu syaitan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob ketika berucap sebelum itu berkata, kedatangan Islam ke alam dunia membawa mesej dan sifat kemerdekaan bagi menyeru manusia membebaskan diri daripada belenggu jahiliah serta syirik.

“Konsep kemerdekaan komprehensif dilaksanakan di Kelantan melalui dasar ‘Membangun Bersama Islam’ iaitu mengemudi manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau juga Pengerusi Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kekantan dan Sambutan Hari Malaysia.

Sambutan kali ini disertai 75 kontinjen jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan beruniform dan sekolah.

Sementara itu kontinjen terbaik dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam (MPKB-BRI), naib johan UITM Machang, manakala tempat ketiga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.


Gamis gesa kerajaan mansuh Auku | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menggesa kerajaan meneliti semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang saban tahun diperjuangkan oleh mahasiswa untuk memansuhkannya.

“Saya minta untuk kerajaan juga turut mengkaji dan memansuhkan akta Auku ini,” kata Ketua Penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari dalam satu kenyataan.

Katanya, Auku menjadi halangan kepada mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan pandangan secara bebas bertepatan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ia, ujarnya menggariskan bahawa hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai warganegara Malaysia.

Menurutnya, pembatasan hak-hak asasi warga institusi pengajian tinggi (IPT) dalam Auku juga bersalahan dengan piawaian Hak Asasi Manusia PBB.

“Perkara ini merupakan suatu keaiban kepada Malaysia yang mendokong prinsip demokrasi.

“Sewajarnya sebagai negara demokrasi berperlembagaan, mahasiswa dan ahli akademik perlu turut sama diberi ruang untuk berkongsi rasa dan pandangan secara murni bersama-sama kerajaan dan pihak pentadbiran universiti bagi membentuk masyarakat dan negara yang adil serta sejahtera,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Gamis menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus kerajaan mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Selain itu, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Di samping itu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Najib berkata, selain itu kajian semula komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan seksyen 27 Akta Polis 1967, mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

“Bagi saya, ini merupakan pembaharuan yang baik di lakukan oleh kerajaan dan transformasi seperti ini yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.

“Mungkin ini juga di sebabkan oleh tempias gelombang himpunan Bersih 2.0 yang lalu. Dan pengumuman ini juga titik tolak penentuan tarikh PRU yang ke-13,” kata Mohd Yusof.


PKR minta siasat pengakuan PM Bangladesh | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi, lapor Keadilan Daily.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

“Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kuantan berkata demikian apabila diminta mengulas pengakuan Sheikh Hasina yang dipetik dari www.ngoab.gov.bd - laman rasmi Hal Ehwal badan bukan kerajaan (NGO) Jabatan Perdana Menteri negara itu.

Mengikut laman itu, Sheikh Hasina berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka juga diberi hak sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keratan laman web rasmi Pejabat PM Bangladesh (bawah).


Mat Indera: Cetusan idea Mat Sabu satu inovasi
Saleha

Mat Indera. Cetusan Idea Haji Mohamad Sabu Presiden Pas, satu Inovasi!, itulah pada pandangan saya. Ketika ini riuh rendah Kisah Mat Sabu dan Mat Indera diperkatakan. Ini mendatangkan keterujaan saya untuk mengetahuinya. Haji Mohamad Sabu saya tahu dia seorang Timbalan Presiden Pas masa kini yang mencetuskan kisah ini, tetapi siapa Mat Indera.

Cetusan idea Haji Mat Sabu membangkitkan reaksi daripada pelbagai pihak hingga kepada professor-professor. Mat Indera diceritakan menjadi orang penting dalam peristiwa Bukit Kepong pada tahun 1950. Saya mencari dari segenap sumber untuk mengetahui siapa Mat Indera. Macam-macam versi saya temui. Tetapi apa yang menarik, saya temui ialah fakta tentang pengkisahan ini. Fakta pada tanggapan sendiri bukan fakta umum, nanti Prof. Ramlah Adam murka kerana fakta sejarah hanya sejarahwan yang berhak menyatakannya. Mana mungkin rakyat bawahan yang berpendidikan rendah memandai-mandai tentang fakta sejarah.

Saya tidak ingin mengulas atau mentafsir tentang kisah ini tetapi saya ingin mengaitkan kisah ini dengan situasi sekarang, kerana ia tidak memerlukan pengkajian yang mendalam. Saya bukanlah orang berpendidikan tinggi yang membolehkan mengkaji sejarah secara mendalam. Apa yang berlaku sekarang adalah lebih sesuai kerana tidak memerlukan fakta sejarah iaitu ada mata tengok, ada telinga dengar, ada otak fikir, ada mulut bercakap, ada hati nukilkan yang tersirat menjadi tersurat.

Izinkan saya menyatakan fakta yang diperolehi dan menghubungkan dengan situasi sekarang. Fakta itu ialah Mat Indera mengetuai parti buruh dan kenapa parti buruh diminati.

Saya memperolehi fakta Mat Indera mengetuai parti buruh daripada ahkbar Sinar Harian 7 September 2011 muka surat 6 iaitu kenyataan daripada Baharom adik kepada Mat Indera, “Baharom memberitahu, ketika Mat Indera mengetuai Parti Buruh di Pelabuhan Muar, abangnya seorang yang disenangi pekerja buruh yang lain”. Fakta kenapa parti buruh diminati. Saya perolehi dari akhbar Mingguan Malaysia m2 Ahad 11 September 2011 muka surat 2, “Penyebaran ini mendapat tempat di kalangan kesatuan sekerja berikutan tindakan majikan yang tidak mesra pekerja”. Fakta inilah yang akan dihubungkan dengan situasi sekarang ini.

Penjawat awam Malaysia adalah buruh dan majikannya adalah kerajaan Malaysia. Buruh yang dimaksudkan ini bukan pegawai atasan kerana mereka adalah pembuat dasar bagi pihak kerajaan. Kumpulan sokongan adalah buruh kerana mereka sebagai perlaksana arahan. Kerajaan Malaysia sebenarnya tidak adil kepada kakitangan perkhidmatan lama. Kakitangan lama yang sampai tempoh bersara rata-rata berkhidmat lebih tiga puluh tahun. Ini adalah kerana kakitangan sokongan dalam perkhidmatan lama ada yang telah dinafikan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi walaupun mempunyai ijazah dan bersara ditahap kumpulan sokongan. Ini amatlah tidak adil jika seseorang berada di tempat tersebut.

Diberikan contoh di sini. Seorang rakan yang mempunyai kelulusan ijazah tetapi pihak kerajaan Malaysia tidak pernah memberi peluang menjawat jawatan dengan kelulusan ijazah walaupun beliau berpengalaman lebih tiga puluh tahun sehinggalah bersara ditahap kumpulan sokongan dengan gred yang sama disandang sewaktu mula.

Beliau berusaha menuntut ilmu tanpa mendapat apa-apa kemudahan dari pihak kerajaan. Sejak dari ijazah asas membawa ke ijazah sarjana. Kemudian beliau diterima dan mendaftar pula untuk ijazah doktor falsafah. Memandangkan kesukaran yang akan ditempuhi apabila menjadi penuntut Phd beliau telah bersara sebelum tempoh umur persaraan yang ditandatangani iaitu 58.

Beliau bersara pada gred sokongan dengan pencen lebih kurang seribu dan graduiti lebih kurang tujuh puluh ribu untuk perkhidmatan selama 32 tahun. Wang graduitinya untuk membeli rumah kos rendah pun tak lepas. Kalau pun ada pemilik flat kos rendah seksyen 3 Petaling Jaya Lama yang ingin menjualnya harga tidak kurang 90 ribu. Dengan wang itulah dia berjimat untuk meneruskan hidup disamping membiayai pengajiannya.

Suka juga dinyatakan kakitangan yang mendapat segala kemudahan daripada kerajaan untuk melanjutkan pelajaran bukan semuanya dengan niat untuk menuntut ilmu melainkan mereka sekadar merebut peluang yang tersedia lebih-lebih lagi yang dapat pergi keluar negara disamping dapat lari seketika daripada tugasan kerja dan apabila kembali status akademik lebih tinggi. Mereka dari kumpulan ini sekiranya tidak mendapat segala keistimewaan tidak akan bersusah payah meneruskan pengajian.

Berbalik rakan yang disebutkan di atas, beliau dengan perbelanjaan sendiri bersusah payah dan di tempat kerja pula ditekan oleh pegawai yang lebih atas selalunya yang lebih muda. Di tempat kerja berhempas pulas menjalankan kerja, di masa tidak bekerja ketika itulah diisi dengan menunut ilmu. Malangnya dia bersara pada gred rendah yang disandangnya sejak mula bertugas 32 tahun lalu. Di mana keadilannya. Pencapaian apa yang kerajaan Malaysia utamakan.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Tuan Haji Mohamad Sabu Timbalan Presiden Pas yang melahirkan inovasi dengan mencetuskan isu Mat Indera. Cetusan ideanya bukan sekadar kajian sejarah Malaysia tetapi menjangkau kelain cabang yang untuk difikirkan oleh selain orang sejarah tetapi juga terhadap keadilan kerajaan Malaysia sebagai majikan kepada buruhnya penjawat awam perkhidmatan lama.

Oleh yang demikian bukan semua rakyat Malaysia seperti Prof. Ramlah Adam, Prof. Zainal Kling dan lain-lain yang mesra kerajaan Malaysia. Mereka ini sudah tentu mesra kerajaan Malaysia dengan nama sentiasa dijulang dan kedudukan usah nak cakap. Tetapi buruh kerajaan yang disebutkan di atas adalah kategori yang tidak dapat menjadi mesra kerajaan Malaysia.


Saya lihat kehadiran British sebagai penjajahan | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 16 Sept: “Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.

Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.

Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.

Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.

“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.

Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.

Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).

Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).

“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.

Berikut tulisan penuh beliau.

YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.

Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.

Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.

Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:

"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."

Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.

Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.

Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.

Profesor Datuk Dr Zainal Kling.


Tahniah rakyat, teruskan perjuangan anda | Print |
Nasrudin Hassan
1. Pemansuhan ISA disambut baik oleh semua pihak. Saya tidak pasti bagaimana sikap mereka yang lantang mempertahankan ISA sebelum daripada ini seperti Perkasa Datuk Ibrahim Ali, justeru hampir tiada insan yang boleh bersetuju dengan kezaliman dan kekejaman ISA sebagai sebuah akta draconian.

2. Tentunya pihak yang paling bersyukur dan paling gembira ialah Warga GMI [Gerakan Mansuhkan ISA] yang selama ini menjadi wadah rakyat prihatin yang merindui keadilan dan menentang kezaliman terutama ahli keluarga mangsa kekejaman ISA.

3. Entah berapa banyak air mata mereka tumpah merintih dan munajat kepada Tuhan Yang Maha Kuasa berdepan kezaliman sang penguasa. Semoga janji pemansuhan ini segera dikotakan. Layaknya ia telah dimansuhkan sejak puluhan tahun yang lalu, setelah komunis tumpas dan menyerah diri lantaran semangat asal ISA diluluskan adalah untuk menangani pengganas komunis. Malangnya ISA digunakan untuk memenjara sosok dan minda pejuang dan ahli politik yang berbeza idealogi dengan pemerintah.

4. Gerakan Mansuhkan ISA [GMI] sangat konsisten menggerakkan kebangkitan rakyat untuk menolak dan memansuhkan ISA dan saya sangat teruja melihat kegigihan mereka tanpa tara dan mempeduli risiko apalagi penat dan lelah. Mereka menongkah keangkuhan pemerintah bercagarkan masa depan mereka, bukan sahaja untuk membebaskan anggota keluarga mereka yang terpenjara tetapi jua untuk memastikan kem Kemunting ditutup kekal agar tiada lagi yang menjadi mangsa kekejaman "Kem Guantanamo Malaysia" itu.

5. Kemenangan rakyat ini menjadi satu bukti bahawa rakyat mempunyai keupayaan bertindak yang berkesan dan mereka mesti bersatu mengembeling kekuatan agar mereka tidak hanya dijadikan kuda tunggangan atau kerbau yang dicucuk hidung sehingga mereka boleh diperlakukan apa sahaja oleh sang pemerintah.

6. Rakyat tidak perlu cepat tersilau dan terkesima dengan satu atau dua perubahan yang dilakukan oleh kerajaan sementelah ia sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah, justeru masih banyak perkara dan perubahan yang perlu dilakukan oleh pemerintah demi kepentingan rakyat dan rakyat semestinya meneruskan kebangkitan mereka seperti:

- Gerakan Menuntut Royalti Petroleum yang digerakkan oleh rakyat Kelantan dan Terengganu,
- Gerakan Mansuh AUKU yang digerakkan oleh Mahasiswa,
- BERSIH yang digerakkan oleh lebih 60 NGO yang menunutut keadilan dan ketelusan dalam sistem demokrasi negara dan termasuklah
- perubahan pada iklim sosial negara agar tidak disuburkan elemen yang merosakkan moral dan meruntuhkan aqidah ummah.

7. Rakyat mesti terus mengembeling keupayaan mereka, menyemarak samangat reformasi memulih setiap sendi dan saraf sistem pemerintahan negara agar perubahan yang dilakukan tidaklah hanya bersifat tempelan dan pancing undi tetapi perubahan menyeluruh yang membawa negara dan rakyat makmur, aman, harmoni dan sejahtera. Perubahan juga jangan hanya pada bentuk aktiviti, pendekatan dan agenda bertindak, tetapi juga perubahan mesti melibatkan sikap, akhlak dan cara berfikir.

8. Terima kasih dan tahniah tetap diberikan kepada YAB Perdana Menteri di atas langkah mengejut yang diambil oleh beliau sebagai ketua kerajaan, lantaran itulah tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan itulah jua yang menjadi desakan rakyat selama ini.

9. Semoga Allah memberi kekuatan kepada rakyat untuk terus menggerakkan agenda perubahan menyeluruh demi masa depan negara dan seluruh warganya terutama usaha untuk menegakkan keadilan sebagaimana yang dituntut oleh Syariat Islam. Jua didoakan petunjuk buat semua, khasnya pemimpin dan pemegang amanah pemerintahan negara agar melakukan banyak lagi perubahan positif khususnya yang telah menjadi tuntutan rakyat.

10. Kini rakyat sedang memerhati dengan tekun dan teliti, apakah YAB Perdana Menteri juga mempunyai keberanian untuk melakukan transformasi dalam sistem demokrasi dan pengendalian pilihanraya negara agar keadilan dan ketelusan dapat dilaksanakan dengan yakin dan hak pengundi dapat diberikan sepenuhnya tanpa sebarang manipulasi. Antara yang menjadi fokus rakyat ialah penghapusan undi pos, dakwat kekal, akses media secara saksama, pemurnian daftar pemilih dan kaedah pengendalian hari mengundi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
11.45 am \ Jumaat
16 September 2011.

Kerajaan akui ISA zalim - GMI | Print |
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula sedar kebangkitan rakyat yang mahukan kebebasan dalam demokrasi yang merupakan mesej yang dibawa oleh GMI sendiri.

"Ini sebagai pembuktian berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini.

"Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka dan dinamik demokrasinya," kata beliau pada sidang media tergempar GMI bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, hari ini.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai kejayaan GMI, beliau juga berkata, pengumuman itu membuktikan ISA digunakan ke atas individu yang berbeza ideologi politik dengan kerajaan.

"Beliau (Najib) memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

"Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA," katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dan isterinya yang juga aktivis GMI, Norlaila Othman dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nuridah Salleh.

Masih ragu-ragu

Pengumuman itu yang dibacakan Najib dalam pengumuman khas malam tadi sempena hari Malaysia itu bagaimanapun masih diragui GMI.

Antara persoalan yang timbul mengenai segala peruntukan dalam ISA khususnya berhubung dengan tahan tanpa bicara dan kuasa yang digunakan polis dan Menteri Dalam Negeri.

"Adakah peruntukan tersebut dipindahkan kepada dua undang-undang baru yang bakal digubal?

"Kelihatannya perintah mahkamah dikecualikan untuk undang-undang berkenaan," katanya.

GMI juga mahu kerajaan menyatakan dengan jelas bila ISA akan betul-betul dimansuhkan dan semua tahanan akan dibebaskan.

"Berapa lamakah tempoh ISA akan dimansuhkan? Jika memakan masa sehingga dua tahun sebagaimana tempoh pertama kali PM sebutkan tentang keji semula ISA sehingga sekarang, maka jangan salahkan rakyat jika menganggap pengumuman ini sebagai umpan dan sandir\wara pilihan raua ke 13 serta survival politik BN," katanya.

Selain itu tegasnya, kerajaan harus menutup Kem Kamunting serta merta selepas membebaskan tahanan di dalamnya.

"Apa akan jadi dengan Kem Kamunting? Kem ini mesti ditutup dan dijadikan warisa dunia seperti Robben Island di Afrika Selatan sebagai pengajaran kepada kezaliman dan kekejaman yang berlaku di bawah ISA," tegasnya.

Najib juga katanya harus membentangkan usul pemansuhan ISA pada sesi Parlimen akan datang.

Perkara tersebut turut disokong Nuridah yang meminta Najib membuktikan keikhlasannya untuk memasuhkan akta zalim itu.

"Kita minta kerajaan melihat gesaan -gesaan GMI ini dan membentangkan usul pemansuhan ISA ini ke Parlimen pada sesi terdekat ini kalau betul-betul ikhlas nak mansuhkan ISA," katanya.

Minta pampasan

Sementara itu, GMI turut menuntut kerajaan memohon maaf dan membayar papmpasan setara kepada tahanan ISA setimpal dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang dilalui tahanan dan keluarga mereka.

Selain itu, GMI mahu mereka yang terlibat dalam meyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan.

"Kerajaan, menteri berkenaan dan polis mestilah amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.

Norlaila yang turut meminta kerajaan membayar pampasan kepada mangsa pula berkata, ianya perlu kerana banyak kes penceraian berlaku akibat suami ditahan ISA.

"Saya tuntut pampasan daripada kerajaan kerana adakah kerajaan sedar ada isteri meminta cerai apabila suami ditahan ISA dan tahanan yang keluar hilang pekerjaan dan sukar untuk mendapat pekerjaan baru serta masih dianggap pengganas," katanya yang aktif berjuang dalam GMI selama tujuh tahun suaminya ditahan di Kem Kamunting.


Umno disifatkan pembelot, pembuli bangsa Melayu | Print |
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 16 Sept: Jika Umno mendakwa negara ini tidak pernah dijajah, ia menjadikan parti itu pembela terbesar penaklukan Inggeris ke atas negara ini, kata blogger ahli Umno, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Malah, tegas beliau, ia sekaligus bererti Umno adalah pembelot bangsa Melayu yang membuli bangsa Melayu

Jika benar negara ini tidak pernah dijajah seperti yang didakwa, Mohd Ariff mempersoalkan apa sebenarnya peranan Umno dalam sejarah orang Melayu?

"Jika ia tidak pernah berjuang untuk kemerdekaan kerana kita tidak pernah di jajah dan para pemimpinnya memperakui hal demikian, maka Umno sebenarnya tali barut imperialism Inggeris.

"Umno merupakan the biggest apologist ke atas penaklukan Inggeris ke atas negara kita. Ini juga bererti Umno itu pembelot bangsa Melayu yang membuli bangsa Melayu tapi amat bongkok tunduk nya kepada kuasa imperialis seperti Inggeris," kata beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Manis dalam kawasan Parlimen Pekan.

Jika British hadir hanya untuk memberi perlindungan dan memainkan peranan sebagai sheriff, kata Mohd Ariff, kita tidak ada pilihan lain daripada memperakui bahawa selama ini, Tanah Melayu adalah sebuah negara atau koleksi negeri-negeri yang berdaulat.

Jika ini pendirian Umno yakni selama ini, katanya lagi, semenjak British datang ke Tanah Melayu, negeri Melayu semuanya adalah negeri-negeri berdaulat, maka semua mereka yang berkhidmat dan bermatian untuk negeri-negeri tersebut adalah pendukung negeri-negeri yang berdaulat.

Mereka, katanya lagi, adalah "loyal subjects" dan sesiapa yang membunuh "loyal subjects" adalah pengkhianat.

"Maka demikian, celaka sungguhlah Umno. Tok nenek saya dari Tembeling dan Tebing TInggi yang bertombak dan berlembing melawan Inggeris semua adalah pengkhianat rupa-rupa nya.

"Mat Kilau, Mat Kelubi, Bahaman, Tok Gajah, Tok Janggut, Pa Andak Endut dan Maharajalela semua adalalah pengkhianat?" Mohd Ariff mempersoalkan.

Beliau juga mempersoalkan, adakah Umno menipu kita selama ini dan deskripsi bahawa kita dijajah sebenarnya suatu pembohongan Umno yang di perpanjangkan oleh Umno untuk menghamba abdikan fikiran orang Melayu?

Beliau berkata, kekeliruan yang terbit dari kontroversi cetusan fikiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu tentang status Mat Indera sebagai pejuang penentang penjajah telahpun menyebabkan kesan yang beliau khuatir akan terjadi.

Kesan yang beliau maksudkan itu ialah kajian menyeluruh ke atas peranan dan sumbangan Umno di dalam merdeka tahun 1957.

"Maka dari tahun 1957 sehingga 1963 apabila Malaysia di tubuhkan, tahun-tahun tersebut tahun apa? Adakah ianya penjajahan dalam bentuk yang abstrak yang dicipta oleh pimpinan Umno.

"Adakah Umno penipu terbesar kerana memanjangkan penipuan dan pembohongan kita dijajah?

"Tujuan Umno tidak lain dan tidak bukan untuk menjadikan orang Melayu itu bergantung kepadanya dan menghamba abdikan fikiran orang Melayu," kata beliau.


Tiada ulasan: