KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS memberikan amaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar jangan terlalu ghairah memberikan 'feel good factor' dalam bajetnya kerana dibimbangi ia menjadi bencana kepada negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, nampak jelas kebelakangan ini Najib menuju ke arah itu.
"Ura-ura Najib mahu menaikkan gaji dan imbuhan untuk kakitangan awam dalam bajetnya nanti adalah untuk memberi 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini.
"Namun, kena ingat data yang ada sekarang menunjukkan ia satu yang negatif kepada ekonomi kita," katanya.
Sebuah laman web melaporkan, Najib akan membentangkan sistem baru gaji kakitangan awam yang dijangka bakal memberikan kenaikan gaji sehingga 40 peratus kepada kakitangan awam tahun depan.
Namun, bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Datuk Seri Salleh Majid tidak bersetuju dengan pendekatan itu.
"Ia hanya akan menyebabkan inflasi meningkat di negara ini kerana pihak lain akan menaikkan harga barangan mereka dengan kenaikan gaji kakitangan awam ini.
"Yang baik adalah memberikan wang itu kepada kumpulan sasaran yang memerlukannya untuk mereka merancakkan ekonomi," kata Salleh dalam satu wawancara dengan satu saluran tv.
Menurut Dr Dzulkefly yang bersetuju dengan pandangan pakar ekonomi itu, data-data yang ada tentang ekonomi terutama hutang individu di negara ini sekarang membimbangkan.
"Hutang isi rumah telah mencecah 76.6 peratus KDNK. Ini sebenarnya melebihi atau sama dengan hutang isi rumah di Amerika Syarikat ketika mereka berdepan krisis kewangan pada tahun 2008 yang dinamakan Krisis Sub Prima yang tidak reda hingga hari ini.
"Mengikut laporan media, nilai ini bagi CEO Maybank, Datuk Seri Wahid Omar, sangat membimbangkan.
"Jika Najib terus dengan strategi feel good factor menjelang pilihan raya ini, ia sangat membimbangkan," katanya kepada Harakahdaily.
Pada Oktober 2010, pinjaman pribadi isirumah Malaysia adalah 8.9 peratus, hutang rumah dan hartanah 50 peratus, hutang kad kredit 6.3 peratus dan pinjaman kereta 27 peratus.
"mengikut fakta Bank Negara bulan mac lalu, hutang pribadi sudah mencecah ke 15 peratus keseluruhan isi rumah kini. Ini sangat mencemaskan," katanya.
Orang ramai membuat pinjaman pribadi kerana dua faktor kata Dr Dzulkefly, iaitu kempen menurunkan interes di kalangan bank-bank dan keperluan kewangan yang ketara di kalangan rakyat.
Sehubungan itu, katanya, jika Najib terus dengan polisi untuk menaikkan gaji kepada kakitangan awam untuk menghasilkan 'feel good factor' menjelang pilihan raya ini, ia satu polisi yang silap.
"Ini satu fiscal mis management," kata beliau kepada Harakahdaily.
Aziz Muda | KUALA LUMPUR, 30 Sept: MCA dan Gerakan terus dicabar supaya keluar dari BN sekarang, bagi menunaikan cakapnya untuk berbuat demikian sekiranya Umno melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan BN.
Kedua-dua parti tersebut dicabar supaya membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh supaya ia jelas kelihatan tidak hanya mainan politik mereka.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud sememangnya telah digunakan di sebuah negeri yang berada di bawah BN sekarang iaitu di Terengganu atas nama Kanun Jenayah Syariah Terengganu.
Menurut beliau, Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah digubal oleh PAS dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN.
Katanya, disebabkan perkara itu, MCA dan Gerakan perlu keluar dari BN sekarang bagi melaksanakan cabaran yang telah dibuatnya itu kerana jika tidak, mereka hanya ternyata bercakap kosong.
"Lebih jauh dari itu, jika MCA dan Gerakan tidak melaksanakan apa yang dikatakan oleh para pemimpin tertinggi mereka itu, kedua-dua parti itu jelas hanya menipu orang-orang Cina yang menjadi ahli-ahlinya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno sejak beberapa hari lalu mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN.
Menurut Mahfuz, untuk membuktikan cabaran yang dibuat itu bukan mainan politik, MCA dan Gerakan perlu mengemukakan usul supaya Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan di Terengganu sekarang dibatalkan.
Katanya, usul tersebut perlu dikemukakan pada persidangan Dun Terengganu dan perlu disokong oleh majoriti ahli-ahli Dun Terengganu termasuk dari Umno untuk membolehkan ia diluluskan.
"Untuk membolehkan usul itu diluluskan, ia mestilah disokong oleh ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno. Tetapi sekiranya ahli-ahli Dun Terengganu dari Umno tidak menyokongnya, usul tersebut tetap tidak boleh diluluskan.
"Disebabkan tidak mendapat sokongan dari Umno, MCA dan Gerakan mestilah keluar dari BN bagi membuktikan cabaran yang dibuatnya itu adalah cabaran yang bersungguh-sungguh, bukan hanya mainan politik," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
26 September lalu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media yang diadakan bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS seperti yang dilaporkan Harakahdaily, turut mencabar MCA dan Gerakan berbuat demikian.
"Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang," katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.
Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS.
Katanya, para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri.
Hazayani Zakaria | PUTRAJAYA, 30 Sept: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar berani menyiasat ‘jerung besar’ yang didakwa terlibat membuat keputusan mencagarkan keseluruhan tanah Felda Plantation kepada kumpulan pelaburannya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) selama 60 tahun. Anak meminta SPRM menyiasat keputusan tersebut kerana dikhuatiri terdapat unsur penyelewengan dan salah guna kuasa memandangkan ianya diputuskan ketika Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab tidak ada dalam mesyuarat kerana menunaikan umrah. Lima individu dinamakan untuk disiasat SPRM iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Presiden Kumpulan FGVH), Datuk Sabri Ahmad. Presiden Anak, Mazlan Aliman hairan bagaimana PGVH diberikan kepercayaan yang melampau sedangkan ia mempunyai masalah pelaburan menerusi Felda Iffico Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT Etgo Canada, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia. "Siasatan mesti dibuat samaada keputusan berisiko tinggi seperti ini yang melibatkan sebuah agensi milik negara mendapat restu daripada Perdana Menteri sendiri sebagai individu yang bertanggunjawab secara langsung ke atas dasar-dasar Felda. "Jika keputusan tersebut adalah atas restu Perdana Menteri, adakah ia mengikut peraturan sepatutnya atau dipengaruhi kepentingan peribadi, penyelewengan dan salahguna kuasa," katanya kepada pemberita di hadapan pejabat SPRM, dekat sini, petang tadi. Selain itu, SPRM juga diminta menyiasat pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Perbadanan Felda (KPF) sedangkan beliau bukan ahli koperasi. "Adakah pelantikan Tan Sri Isa Samad mempunyai agenda menguasai aset KPF RM1.7 bilion dan memudahkan ianya dilaburkan kepada FGVH? spalnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembagunan Wilayah PAS Pusat. Beliau juga melahirkan kebimbangan sekiranya aset Felda tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan agensi pembangunan tanah milik orang Melayu itu senasib dengan bank Bumiputera, Perwaja Steel dan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang bankrap akibat kegagalan urus tadbir ‘jerung besar’.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 30 Sept: Bagi warga Felda, Pengerusi baru mereka, Tan Sri Isa Samad kini menjadi musuh nombor satu mereka.
Tidak sampai setahun dilantik oleh Datuk Seri Najib Razak untuk menjaga Felda, Isa didakwa menunjukkan belangnya yang sebenar satu per satu.
Kemuncak kemarahan mereka kepada Isa adalah perlantikan beliau sendiri sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dalam mesyuaratnya menjelang Aidil Fitri lalu. (Bangunan KPF yang tersergam indah)
Mesyuarat itu pula dibuat kononnya atas sekeping surat yang ditunjukkan Isa kononnya persetujuan Najib agar beliau mengambilalih KPF.
Yang tragisnya bagi warga Felda, pengambilalihan ini dibuat ketika pemegang jawatan itu, Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahad tidak ada.
Ketika itu, Dzulkifli sedang menunaikan umrah di Makkah dan hanya pulang ke tanah pada hari keempat Aidilfitri.
Bagi warga Felda, Datuk Dzulkifli adalah pemimpin terbaik Felda yang mereka temui.
Semasa Datuk Dzulkifli menjadi pengerusi KPF, ahlinya yang terdiri dari peneroka dan kakitangan Felda mendapat dividen terbaik.
Hampir setiap tahun, KPF akan memberikan sekitar 15 peratus dividen setiap tahun, jauh lebih baik dari mana-mana koperasi di negara ini.
Hasilnya, KPF telah diangkat menjadi koperasi contoh di peringkat negara dan dipuji di peringkat antarabangsa.
Julai lalu, KPF muncul antara 10 koperasi cemerlang di negara ini apabila menerima Anugerah Koperasi Cemerlang (Kluster Besar) 2011.
Kepercayaan orang ramai, pengurusan dan pentadbiran yang baik merupakan faktor utama yang membolehkan KPF memenangi anugerah tersebut.
Malah, kejayaannya merangkul anugerah tersebut merupakan bukti selanjutnya prestasi semasa koperasi itu serta kemampuannya memberikan sumbangan kepada masyarakat dan memainkan peranan aktif untuk terus memperkukuhkan gerakan koperasi di dalam negara.
Selain KPF, Bank Rakyat turut menerima anugerah yang sama. (Perdana Menteri menyampaikan anugerah koperasi terbaik kepada KPF) KPF yang ditubuhkan pada tahun 1980 merupakan koperasi warga petani terbesar di Malaysia.
Kini, selepas Isa merampas kuasa sebagai pengerusi KPF, para ahlinya menjadi tertanya-tanya, apakah nasib mereka selepas ini.
Ke manakah duit puluhan juta yang mereka kumpulkan selama ini dalam koperasi itu akan dibelanjakan Isa selepas ini.
KPF telah ditubuhkan pada 1 Julai 1980 di bawah Ordinan Koperasi 1948 untuk menjadi simpanan dan pelaburan anggota Felda.
Penubuhan KPF ini untuk memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melaluinya.
Hasrat untuk menubuhkan KPF sebagai suatu wadah simpanan pelaburan warga Felda telah dicetuskan pada Mesyuarat Lembaga FELDA yang ke 102 pada 15 Januari 1980 Yang dipengerusikan oleh Y.M Tan Sri Raja Muhammad Alias.
Dengan iltizam yang tinggi pihak pengurusan ketika itu, maka KPF telah ditubuhkan pada 1 Julai 1980 di Bawah Ordinan Koperasi 1948 (Digantikan oleh Akta Koperasi 1993).
KPF telah menjadi wadah simpanan dan pelaburan warga Felda yang unggul sehingga kini.
Setiap pelabur dibenarkan melabur sehingga RM250,000 dan ramai ahlinya mempunyai pelaburan sebanyak itu.
Harakahdaily | PULAU PINANG, 30 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) memohon maaf kepada Sultan Johor ekoran rasa tersinggung baginda tentang kenyataannya namun beliau akan menyaman media kerana memutarbelitkan kenyataannya.
"Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.
"Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.
"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.
Beliau memberikan reaksi ekoran laporan media yang berkata Sultan Johor tersinggung dengan kenyataan beliau yang berkata Johor tidak selamat.
Mula-mula, beliau dikatakan menyatakan perkataan itu di Australia namun kemudiannya dikatakan menyatakannya di Singapura pula.
Sebelum ini Harakahdaily melaporkan, kenapa media tidak bising cacian yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka terhadap negeri Kelantan.
Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik.
"Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Beliau merasakan telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.
"Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat," katanya.
Setakat ini, katanya, selain daripada pita rakaman yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa yang saya katakan di Singapura atau di Australia.
"Saya mempunyai akses untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.
"Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama," kata beliau.
Harakahdaily | KUALA LUMPUR, 30 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Aziz Jamaluddin Mhd Tahir yang menyatakan masyarakat Islam hanya membantah hukum hudud ciptaan mereka yang gila kuasa memerintah, bukannya “menentang hukum hudud yang sebenar.” “Bagi DPPM, kenyataan Aziz seperti menuduh PAS yang mencipta hudud, bukannya ia datang daripada hukum Islam. “Jika demikian, DPPM mencabar Aziz untuk membuktikan apakah hudud yang sebenarnya,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) sebagai respons kepada kenyataan Aziz yang disiarkan di dalam portal berita The Malaysian Insider, hari ini. Justeru, beliau meminta Aziz memberikan perbezaan antara hudud yang diperjuangkan PAS dengan hudud yang diperintah Allah SWT untuk dilaksanakan. DPPM, katanya sanggup menyediakan Aziz ruang untuk menyampaikan maksud hudud sebenar seperti yang diperintah oleh Islam. DPPM juga, ujarnya mempersoalkan di manakah bahagian dalam hukuman hudud yang direka oleh PAS dan di bahagian manakah yang datangnya dari perintah Allah SWT. “Jika PAS memperjuangkan hudud untuk kepentingan politik semata-mata, mengapa tidak ada pihak lain seperti Umno memperjuangkan syariat Islam yang sebenar-benarnya?” tanya beliau dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau juga mempersoalkan mengapa Yadim sendiri tidak turut menyuarakan pentingnya hudud serta syariat Islam dalam menyelesaikan masalah sosial dalam negara. Katanya, Aziz Jamaluddin perlu ingat bahawa hudud adalah syariat Islam yang telah lama termaktub dalam al-Quran dan Hadis. PAS, jelasnya hanya membawa kembali syariat Islam yang telah dilaksanakan di zaman Rasulullah SAW ke zaman ini. Tambahnya, umat Islam di zaman sekarang telah lama melupai bahawa hudud serta syariat Islam pernah dilaksanakan dan hudud adalah penyelesaian terhadap masalah sosial yang berlaku sekarang. Sepatutnya, kata Riduan Yadim sebagai organisasi dakwah perlu menerangkan kepada umat Islam tentang syariat Islam yang sebenar. Menurutnya, umat Islam tidak harus dibiarkan dalam keadaan jahil terhadap syariat agamanya. “Yadim tidak harus berdiam diri dalam isu ini, sebaliknya perlu membela golongan yang mahu melaksanakannya. Berdosa besar hukumnya bagi sesiapa yang menolak hukum Allah dilaksanakan, apatah lagi bagi mereka yang berilmu seperti YDP Yadim,” katanya. Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan Aziz agar berhati-hati dalam mengeluarkan ucapan. Menurutnya, menuduh PAS sebagai parti yang ‘gilakan kuasa memerintah’ dengan bahasa kiasan boleh mengguris ribuan penyokong PAS yang ramainya terdiri daripada golongan alim ulama. “PAS sanggup hilang kuasa demi Islam, sanggup kalah juga demi islam, tetapi PAS tidak sanggup menggadaikan Islam demi kepentingan politik sempit bagi meraih kemenangan dunia yang seketika!” tegasnya. | | | | | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan