Khamis, 8 September 2011

JANGAN KITA UTAMAKAN PARTI DAN KEPENTINGAN PERIBADI DARI ISLAM SERTA KEBENARAN....SEBAB ALLAH ADILI MENGIKUT SYARAK BUKAN PARTI YANG KITA ANUT...

Apa pula status penulis buku Pengukir Nama Johor?
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Jika benar apa yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman bahawa Mat Indera adalah komunis, apakah kedudukan penulis dan buku yang dinaungi beliau yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membangkit perkara itu ekoran tindakan Ghani menafikan taraf Mat Indera yang diherokan oleh buku itu sebelum ini namun apabila bertembung dengan sikap Umno yang mengkomuniskan Mat Indera, ia berubah.

(Mohamad Sabu menunjukkan buku Yayasan Warisan Johor yang nyatakan Mat Indera adalah hero...kini MB Johor bertukar arah mengatakan Mat Indera Komunis pula)

Bahkan, kerana Mat Indera turut dibela timbalan presiden PAS Haji Mohamad Sabu, beliau kini menjadi sasaran bahkan ada cadangan agar digugurkan kerakyatannya.

Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.

Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.

Soal Tuan Ibrahim, sekiranya perlu Mohamad digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, terbitan Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang juga mengangkat Mat Indera sebagai hero?

“Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila beliau tetiba bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai 'bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik' pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri?” soal beliau lagi.

Walaupun menjadi penaung kepada buku Pengukir Nama Johor, Abdul Ghani semalam menidakkan tulisan buku tersebut dengan berkata Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Di sebalik kenyataan tersebut, Abdul Ghani secara ironisnya turut dipetik Bernama sebagai berkata penulisan dan catatan tersebut dalam buku tersebut boleh “menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.”

Desakan menggugurkan kerakyatan, kata Tuan Ibrahim juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

“Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

"Inilah contoh terbaik untuk mengunkapkan kata-kata P.Ramli fening, fening,” bidas beliau.

Berbangga dengan penjajah


Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan.

Bahkan, kata beliau, ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata perkara yang paling menyayatkan hati pada zaman ini ialah kebutaan golongan yang masih dikongkong mentaliti penjajah dalam membakulkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah didewa-dewakan oleh golongan ini sebagai hero, katanya dengan kesal.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan, kata beliau nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah seperti Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris.

“(Mereka) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah,” bidas beliau.

Tegas Tuan Ibrahim, dalam bab menjaga Islam, rekod kerajaan Barisan Nasional adalah lagi menyedihkan.

Selepas 54 tahun negara merdeka, kata beliau, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.

“Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan,” selar beliau lagi.

Disebabkan masih dibelenggu mentaliti penjajah, kata Tuan Ibrahim sehingga sekarang isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih tidak mempunyai penyelesaian.

Malah katanya, setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.

“Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah,” kata beliau.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyelar kewujudan budaya baru seperti gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah.

“Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim,” terang beliau.

Mengenai isu terbaru di mana timbul desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, Tuan Ibrahim menyoal mengapa saranan yang sama tidak kedengaran kepada mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka.

“Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa,” terang beliau.


5,000 warga Myanmar jadi pengundi di Terengganu
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ribuan warganegara asing dengan 5,006 orang daripadanya dikenalpasti warganegara Myanmar telah disenaraikan sebagai pengundi oleh SPR untuk mengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Daripada angka itu, seramai 2,272 orang akan mengundi dalam Parlimen Kemaman, manakala 1,979 orang akan mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal yang diwakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said bagi pihak BN.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan, data tersebut telah dikesan oleh pihaknya sepanjang tahun ini dan ia membuktikan betapa kotornya permainan politik para pemimpin Umno BN.

Menurut beliau, dengan angka tersebut, Parlimen Kemaman dan Dun Kijal sudah boleh dimenangi oleh BN dengan mudah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dengan hanya menjadikan warga Myanmar sahaja sebagai pengundi.

Katanya, dengan itu, kemenangan yang diperolehi oleh BN dalam PRU itu khususnya bagi kerusi Parlimen Kemaman dan Dun Kijal adalah kerana warganegara asing dari Myanmar.

"Sebenarnya PAS Terengganu juga telah dapat mengesan kemenangan BN bagi Parlimen Kemaman dan Ahmad Said di Dun Kijal dalam PRU Ke-13 pada tahun 2008 lalu adalah juga kerana pengundi warganegara Myanmar.

"Proses untuk membolehkan warganegara Myanmar itu menjadi pengundi dilakukan di Langkawi, tetapi mereka mengundi di Terengganu. Kini cara yang sama juga turut dilakukan oleh Umno BN bagi menghadapi PRU Ke-13 nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain warganegara Myanmar, menurut beliau,Umno BN turut menjadikan warganegara lain bagi mengundi di pihak mereka di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti.

Katanya, jumlah warganegara asing yang akan dijadikan pengundi di Terengganu dalam PRU Ke-13 nanti cukup besar sehingga ribuan orang.

"Pengalaman kami di Terengganu dalam berhadapan dengan pengundi-pengundi hantu, pada tahun 2004 kenaikan pengundi sebanyak 17 peratus iaitu hampir 170,000 pengundi baru dari Pahang dan Selangor.

"Pihak PAS telah pun membuat bantahan mengenai kemasukan pengundi-pengundi hantu itu kepada SPR dalam PRU tahun 2004 lalu tapi tidak dipedulikan oleh SPR," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Kini, tindakan tidak bertanggungjawab itu, tegasnya, semakin menjadi-jadi yang membabitkan sindiket pakatan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sehingga turut diajadikan penduduk sementara pula sebagai pengundi hantu atau pengundi bertindih.

Katanya, 44 kes pengundi bertindih telah dilaporkan oleh beliau kepada SPR baru-baru ini yang melibatkan pengundi yang mempunyai dua kad pengenalan berwarna hijau pula yang sama tetapi berbeza angka bagi dua digit terakhir.

"Laporan kami mengenai seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan itu diterima dan turut diakui oleh SPR dan SPR berjanji akan mengatasi masalah seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan," katanya.

Bagaimanapun, janji SPR itu seperti mempunyai muslihat tertentu kerana perkara asas yang ditekankan oleh PAS bukan seorang pengundi mempunyai dua kad pengenalan, tetapi salah satu kad pengenalan tersebut berbeza dua digit terakhirnya dengan kad pengenalan individu terbabit yang satu lagi.

"Permainan politik kotor BN dengan sindiket SPR dan JPN itu tidak akan dibiarkan oleh PAS. PAS tetap akan terus membuat bantahan dari semasa ke semasa bagi menyelesaikan masalah ini," tegas beliau.


PKR persoal projek runding terus Kementah RM2b
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: PKR menuntut Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertahanan menghentikan projek ‘Network Centric Operatioan’ (NCO) dianggarkan berjumlah RM 2 bilion yang dianugerahkan secara runding terus kepada Sapura Secured Technologies Sdn Bhd.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berkata, beliau difahamkan sehingga kini projek NCO Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu masih belum mempunyai ‘roadmap’ atau perancangan program dalam kerangka pertahanan negara, lapor KeadilanDaily.

“Apakah dengan ketiadaan ‘roadmap’ bermakna kos projek ini akan melambung tinggi tanpa had?

“Pihak mana yang akan membuat untung atas ketiadaan, mahupun had perbelanjaan yang dibuat NCO?,” soal beliau pada sidang media di perkarangan Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, di ibu negara hari ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua sambil diawasi oleh kira-kira 20 anggota polis dan tentera yang memerhatikan sidang media tersebut.

Program NCO berkenaan dikatakan bagi mengintegrasikan semua aplikasi sistem, pengesan, sistem arah dan kawal serta persenjataan yang dianggarkan menelan RM2 bilion dalam dua atau tiga tempoh Rancangan Malaysia (10-15 tahun)

Perkara ini pernah didedahkan oleh Pengarah Komunikasi Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 19 Ogos lalu.

Dalam pada itu Izzah menjelaskan, keperluan staf am (KESAM) atau pun ‘General Service Requirement’ (GSR) yang meliputi setiap keperluan perkakasan dan perisian yang temasuk dalam NCO tidak disiapkan mahu pun diluluskan sebelum projek dilaksanakan.

Ini kerana tender projek tersebut tidak melalui proses pemeriksaan tatakelola dan urus tadbir yang telus dibimbangi menuju kegagalan.

Dalam masa sama kajian daya maju teknikal (technical viability study) untuk sistem P4 (Pemerintahan, Pengawalan, Perhubungan & Perisikan) iaitu sistem ‘Command & Control (C2) sedia ada masih dalam kajian.

“Tetapi KEADILAN difahamkan pihak Sapura tetap berkeras untuk membangunkan sistem C2 yang baru. Mengapa Kementerian boleh membiarkan Sapura berkeras sedemikian tanpan mengendahkan laporan hasil kajian tersebut?” soal Izzah.

Sementara itu, Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR mempersoalkan samaada pembelian peralatan tentera menjadi keutamaan kerajaan.

“Keputusan ini dipersoalkan oleh anggota ATM sendiri. Ini kerana seolah-olah wujud trend pembelian peralatan tentera yang melebihi keperluan semasa,” ujarnya.


Utusan diberi tempoh akhir 24 jam
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu memberikan tempoh 24 jam sebagai tempoh terakhir kepada Utusan Malaysia untuk memohon maaf atau berdepan saman.

Ianya berhubung laporan muka depan akhbar Umno itu pada 27 Ogos lalu yang bertajuk "Mat Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong" yang didakwa fitnah terhadap dirinya dan PAS.

Gagal berbuat demikian dalam tempoh tersebut, beliau akan mengarahkan peguamnya memfailkan saman terhadap akhbar itu minggu depan.
"Tulisan muka depan itu telah menimbulkan fitnah, kemarahan orang ramai kepada saya di atas rekaan berita yang dibuat Utusan terhadap saya.

"Kerana itu juga telah berlaku kehangatan politik dan fitnah terhadap saya sehingga ada ancaman begitu berat yang saya lalui," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini sebentar tadi.

Turut serta pada sidang media itu peguamnya, Hanipa Maidin.

Menurutnya lagi, notis guaman juga telah dihantar kepada ketua pengarang akhbar itu secara rasmi hari ini.

Dalam laporannya itu, Utusan Malaysia menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Mat Indera, lelaki yang didakwa bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Bagaimanapun laporan itu dakwa Mohamad sebagai tidak benar dan fitnah kerana beliau tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan Komunis namun dilapor sebaliknya oleh Utusan Malaysia.


NGO desak Jamil Khir letak jawatan
Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 8 Sept: Badan Bukan Kerajaan (NG0) Jingga 13 hari ini mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, DatUK Seri Jamil Khir Baharom meletak jawatan dengan segera kerana tidak mahu bertanggungjawab terhadap laman sesawang yang dilihat telah menghina Agama Islam serta memesong akidah umat Islam dinegara ini dan juga seluruh dunia.

Ketuanya Fariz Musa yang ditemui pada satu sidang media yang diadakan di Kelab Shah Alam Selangor menyatakan kekecewaan terhadap pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang enggan menerima memorandum Jingga 13 dalam isu individu yang menghina Islam di internet semalam.

(Faris [duduk di tengah] dalam sidang medianya hari ini)

"Saya berasa amat kesal kerana kehadiran saya di pejabat JAKIM di Putrajaya semalam sewaktu ingin menghantar memorandum bukannya di hadiri oleh Ketua Pengarah mahupun wakil kepada menteri tetapi di hadiri oleh beberapa orang pihak polis.

"Dan yang paling kecewa sekali adalah jawapan JAKIM mengatakan pihaknya tidak mempunyai kuasa dan bukan dibawah bidang kuasanya untuk membuat dakwaan terhadap penulis atau laman sesawang tersebut melainkan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kenapa Jakim tiada kuasa bukankah jabatan ini bertindak untuk menaikkan martabat Agama Islam serta bertindak terhadap sebarang isu yang menghina Islam," jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau juga memberitahu bahawa agensi-agensi seperti Jakim mahupun Jais telah mengamalkan sikap pilih kasih atau "double standard" setiap aduan yang dilakukan.

"Jelas timbul sikap pilih kasih dalam urusan di jabatan-jabatan tersebut dan kita lihat mereka lebih tertumpu kepada agenda politik sahaja apatah lagi ia berkaitan dengan Pakatan Rakyat manakala isu yang jelas menghina Islam ini tidak dipandang berat langsung.

"Banyak laporan yang telah dibuat terhadap individu penghina Islam yang mengelarkan dirinya sebagai Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara berikutan tindakan biadapnya menghina, mencaci, mencarut serta cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini melalui laman sosial Facebook, Twitter, Google Plus termasuk laman sesawang yang begitu mudah diakses oleh orang ramai di internet.

"Kami mendapati manusia biadap ini masih bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan berikutan JAKIM tidak memandang serius tentang perkara tersebut," katanya lagi.

Beliau juga mahukan martabat Jakim ini dipulihkan agar ia terus dihormat oleh seluruh rakyat dinegara ini terutamanya yang beragama Islam.

"Perletakan jawatan yang dilakukan oleh Jamil Khir dapat memulihkan kembali maruah Jakim dan kita lihat selama ini beliau hanyalah bertopengkan Islam dalam setiap urusan tetapi agenda utamanya hanyalah untuk kepentingan politik Umno.

"Selain itu juga, kami tidak akan berdiam dalam isu tersebut dan desakan demi desak akan yterus dilakukan sehinggalah pihak Jakim bertindak terhadap aduan tersebut. Kalau perkara ini masih gagal dilakukan serta kami tidak mendapat maklumbalas terhadap apa yang kami tegaskan disini maka bukan sahaja Jamil Khir perlu letak jawatan malah JAKIM juga perlu ditutup kerana fungsi utamanya dalam memastikan kesucian Agama Islam sudah menjadi agenda yang tidak penting lagi," sambung Fariz lagi.

Tambahnya lagi individu yang menghina Islam itu telah mula memainkan peranannya dalam memesongkan akidah umat Islam dan sasarannya mereka adalah pelajar-pelajar yang masih belum faham secara jelas tentang Islam.

"Individu tersebut telah mula menghantar email secara rambang kepada pelajar-pelajar dan kita lihat sasaran mereka lebih tertumpu kepada mereka yang masih belum faham tentang Islam sepenuhnya dan bagi mereka golongan ini terlalu mudah untuk mereka pengaruhi.

"Jamil Khir dan JAKIM perlu bertindak tegas dan jangan hanya tertumpu kepada isu politik rancangan Umno serta serangan mereka kepada Pakatan Rakyat dan kita lihat seperti apa yang berlaku di Selangor sekarang ini," kata Fariz lagi.

Semalam Jingga 13 seramai 13 orang anggota yang diketuai oleh Fariz Musa telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet.

Memorandum tersebut telah diterima oleh pihak SKMM manakala Jakim enggan menerimanya dengan alasan isu tersebut bukan bidang kuasa Jakim.


Mengapa AS enggan iktiraf Negara Berdaulat Palestin?
HALUAN Palestin

Rakyat Palestin menuntut dunia dan PBB mengiktiraf negara berdaulat Palestin mengikut persempadanan yang ditetapkan pada 4 Jun, 1967.

Hakikatnya, proses perdamaian yang telah berlangsung selama 18 tahun antara Palestin dan Israel adalah untuk mengakhiri konflik berpanjangan antara kedua belah pihak dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat. Negara ini tentunya dibentuk berdasarkan persempadanan tahun 1967.

Konflik ini akan berakhir lebih mudah kerana matlamat yang satu: mencapai keamanan. Keamanan mampu direalisasi apabila dunia membuka mata dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat yang bersempadan dengan Israel.

Melihat kepada fakta-fakta ini, saya terfikir: Mengapa pentadbiran US tidak melihat matlamat ini, dan menganggap kedua-dua pihak sedang bergerak ke arah yang sama? Atau, adakah dengan memperoleh pengiktirafan daripada PBB bermakna perbincangan antara kedua-dua negara sudah tidak diperlukan lagi?

Untuk menjawab persoalan ini, kita harus mengenepikan seketika peranan PBB, dan melihat tindakan Amerika dan Israel sepanjang proses perdamaian berlangsung. Adalah tidak bijak untuk Amerika menggunakan kuasa Veto untuk menggagalkan usaha Palestin sambil melaungkan pula komitmennya untuk menghidupkan proses perdamaian.

Fakta ini amat penting kerana usaha-usaha yang diambil Palestin ke arah mencapai matlamat perdamaian dan pengiktirafan dunia sangat jelas dapat dilihat. Tanpa lelah, ia telah mengumpul respons massa dan membendung sebarang keganasan politik. Semua pihak yang berusaha ke arah pengiktirafan Palestin sebagai negara berdaulat tidak pernah mempamerkan niat untuk mengetepikan kewujudan Israel. Bahkan, ia berhajat untuk berada di dalam kelab yang sama dengan Israel dan negara berdaulat lain yang telah menjadi ahli.

Agenda ini akan terus dihidupkan dalam forum dan organisasi serantau dan antarabangsa. Palestin akan terus mendedahkan perkara pokok permasalahan ini iaitu pendudukan haram secara paksa dan kekerasan. Ini jugalah yang dibawa ke resolusi 242 dan 338 di PBB dan membawa kepada penerimaan Palestin sebagai ‘entiti bukan ahli’ di PBB.

Gerakan untuk memperoleh penerimaan PBB dan pengiktirafan dunia tidak bercanggah dengan pokok proses perdamaian yang sedang diusahakan. Namun, bagaimana pula kini apabila proses itu terbantut selama 3 tahun akibat pendudukan dan keganasan ekstrim rejim Israel?

Segala kepentingan Israel harus dibawa ke meja rundingan secara rasional bersama Palestin. Kepentingan tersebut juga tidak patut mengakibatkan sekatan dan embargo ke atas Palestin yang menambah parah ke atas masalah yang sedia ada.

Israel sepatutnya bertindak rasional dengan mengambil setiap undi yang menyokong penubuhan negara berdaulat Palestin mengikut persempadanan 1967 sebagai menyokong pengiktirafan ke atas mereka. Ini berikutan masih wujud beberapa negara yang tidak mengiktiraf kewujudannya sebagai sebuah negara. Amerika Syarikat, sebagai penaja utama rundingan wajib menangani situasi ini dengan tanggungjawab, hikmah dan keprihatinan yang tinggi.

Malangnya, pentadbiran Amerika dilihat dengan terang-terangan mengamalkan dasar berat sebelah kepada Israel dan mengenepikan hak Palestin secara melampau dan tidak rasional. Dasar ini hakikatnya merugikan Amerika dan menghilangkan keyakinan dunia terhadap peranan dan pengaruhnya di rantau itu, terutamanya dengan perubahan pucuk pimpinan di negara-negara Arab.

Peluang Palestin di sidang PBB September ini mesti digunakan sebaiknya untuk menterjemahkan sokongan antarabangsa ke arah Palestin yang merdeka, berdaulat dan diperakui mengikut persempadanan 1967 agar kedua-dua negara dapat wujud dengan aman.

Pengiktirafan PBB jika diperolehi, tetap tidak akan mencapai matlamat yang dituju tanpa rundingan perdamaian yang tulen berjaya dilakukan.

Jika rundingan itu berjaya, sebuah era baru di Timur Tengah akan bermula, lebih-lebih lagi dengan jatuhnya rejim sedia ada yang digantikan oleh pentadbiran baru yang lebih menyokong prinsip demokrasi dan penglibatan politik yang lebih meluas. Pentadbiran baru ini juga dibina atas dasar kerjasama ekonomi serantau dan keselamatan.

Rundingan-rundingan ini mampu mencapai matlamat yang dituju dengan pelbagai inisiatif dan idea yang dikemukakan sejak bertahun-tahun untuk menyelesaikan konflik ini.

Nidal Foqaha ialah Pengarah Am Palestinian Peace Coalition – Geneva Initiative, Ramallah. Beliau juga terlibat dalam jawatankuasa pemandu Forum NGO Keamanan Palestin-Israel


Kerakyatan: Mahu lucut Mat Sabu tapi beri pada pendatang
Tuan Ibrahim Tuan Man

"Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah" – itulah ungkapan untuk menggambarkan negara kita walaupun telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.

Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.

Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.

Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.

Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan.
Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.

Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.
Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat


Undian tajuk Umno-Komunis Pererat Hubungan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah bil 1671 Umno-Komunis Pererat Hubungan berikutan MoU dimeterai di Beijing tahun lalu.

Ini berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang disiarkan Umno Online, 4 Ogos mengumumkan 'jalinan erat' antara Umno dan Parti Komunis China (CPC) dipertingkatkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dalam suasana harmoni di Bangunan Perhubungan Antarabangsa CPC di Beijing pada tarikh yang sama.

Bagi membaca kenyataan penuh, boleh baca Harakah cetak atau terus langgani Harakah versi digital yang dikenali sebagai 'elektronik paper' di alamat, http://epaper.harakah.net.my

Undian ini terbuka kepada semua pembaca melalui internet dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Manakala keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, KONSPIRASI DNA LELAKI Y berada pada tahap 79.32 peratus sahaja.

Begitu juga terdapat 66 undian daripada 353 atau 18.7% yang tidak bersetuju dan 7 undian (1.98 %) yang berkecuali atau tidak pasti.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan juga undian-undian yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php.


Mogok lapar desak MB Pahang bayar saman
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Sepuluh pemegang saham sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd hari ini memulakan mogok lapar sebagai protes terhadap kegagalan Kerajaan Negeri Pahang membayar ganti rugi kepada mereka.

Mereka bertekad akan meneruskan mogok lapar di hadapan sebuah tokong di Segambut itu sehingga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob melunaskan bayaran saman berjumlah RM70 juta.

Seruan Gemilang memfailkan saman tersebut terhadap Kerajaan Negeri Pahang dan Pengarah Perhutanan Negeri pada Disember 2002 kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak konsesi pembalakan berhubung pengeluaran kayu balak di atas tanah milik Umno di Mukim Bebar, Daerah Pekan seluas 4,000 hektar.

Seruan Gemilang menamakan Kerajaan Negeri Pahang sebagai defendan pertama dan Pengarah Perhutanan Negeri, defendan kedua.

Salah seorang pemegang saham, Johnson Chong pada sidang media mereka berkata, mereka terpaksa membuat tindakan nekad itu bagi menuntut keadilan dan hak mereka.

"Kami tidak mementingkan jumlah saman ini tapi apa yang kami mahukan ialah keadilan kerana kami mengikut undang-undang dalam saman ini," kata beliau yang sudah bersedia menghadapi sebarang kesan daripada mogok tersebut.

Seruan Gemilang ketika ini mengalami masalah yang kritikal dari segi kewangan untuk meneruskan operasi mereka manakala para pekerja sudah ramai yang berhenti akibat tidak mendapat gaji.

Dalam pernyataan tuntutan, Seruan Gemilang mendakwa pada 31 Julai 2000, defendan kedua (Pengarah Perhutanan Negeri) memberi kelulusan kepadanya bagi mengeluarkan kayu balak dari mukim itu bagi kawasan seluas 3,200 hektar.

Pada 13 Mei 2002, defendan kedua telah memberi kelulusan kepada Seruan Gemilang bagi mengeluarkan kayu balak dari baki kawasan seluas 800 hektar di tanah yang sama. Ini bermakna Seruan Gemilang telah diberi kelulusan untuk mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 4,000 hektar.

Bagaimanapun defendan kedua hanya membenarkan Seruan Gemilang mengeluarkan kayu balak dari kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala baki selebihnya telah diberikan kepada beberapa pihak ketiga untuk mengeluarkan kayu balak dari tanah tersebut.

Kedua-dua defendan dalam pernyataan pembelaan mereka menyatakan bahawa Seruan Gemilang hanya diberi lesen untuk menjalankan kerja pembalakan secara pemindahan bagi kawasan seluas 2,800 hektar sahaja manakala bagi baki 1,200 kektar itu pula, defendan mendapati Seruan Gemilang tidak berminat untuk menjalankan kerja pembalakan di situ.

Mahu Adnan bertanggungjawab

Seorang lagi pemegang saham, Ramli Sulaiman, 42, mahu Adnan bertanggungjawab terhadap kegagalan itu dan menuntut hak mereka ditunaikan segera.

"Saya sangat tidak puas hati dengan sikap Menteri Besar yang tidak bertanggungjawab. Beliau janji nak bayar (saman) tapi sampai hari ini tidak bayar-bayar.

"Kami jadi susah disebabkan kerajaan negeri mungkir janji dan saya mahukan hak saya sebanyak RM3.5 juta daripada RM70 juta itu," kata beliau yang merupakan bekas anggota polis di Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman dan bekas pengawal peribadi Sultan Pahang.

Beliau juga mahu Adnan meletakkan jawatan kerana gagal menunaikan janji dan menyusahkan rakyat.

"Kalau tak mampu nak pikul tanggungjawab, letak sahaja jawatan. ramai lagi yang layak jadi Menteri Besar," katanya.

Sepanjang mogok lapar itu, mereka tidak akan menyentuh sebarang makanan selain minum air kosong sahaja.

Turut bersama mereka pagi tadi ialah Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.


DAP sokong PAS gesa kaji semula sejarah merdeka
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Kerajaan harus mengkaji sejarah berpandukan fakta, bukannya bermotifkan politik, kata dan Setiausaha Organisasi DAP, Teresa Kok.

“Saya menyokong cadangan PAS supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji semula sejarah pejuangan kemerdekaan negara kita agar mereka yang telah benar-benar menyumbang kepada usaha tersebut dapat dikenali, dihormati dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, semua pelajar sejarah tahu pemimpin Umno bukannya satu-satunya pihak yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, sebagaimana disebarkan oleh pemimpin Umno selama ini.

Pada hakikatnya, kata beliau mereka yang telah berjuang mencapai kemerdekaan pada ketika itu termasuklah gerakan persatuan perniagaan, persatuan pekerja, pihak media daripada pelbagai bahasa, golongan intelektual, kumpulan kebudayaan, golongan Islam dan pihak berhaluan kiri.

Namun begitu, ujarnya media aliran utama tidak memberitahu orang ramai tentang sejarah yang sebenarnya selama ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Seputeh menambah, sesetengah aspek sejarah yang tidak dikehendaki dipadamkan manakala sesetengah tokoh yang terpilih diagung-agungkan.

“Sepastinya, sejarah sesebuah bukanlah sesuatu yang kemas dan rapi tetapi kompleks dan berkepelbagaian, apatah lagi bagi tanah air kita yang terdiri daripada berbilang etnik kaum,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyaran kerajaan agar menerima cadangan PAS untuk mengkaji semula sejarah secara objektif, jujur dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak secara bersama.

“Umno harus hentikan tuduhan “buta sejarah” terhadap pihak lain semata-mata kerana ingin mengagung-agungkan sumbangan Umno.

“Kalau tidak, pada akhir harinya, Umno terbukti tidak berani mengakui hakikat sejarah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: